Rabu, 20 Februari 2013

SEDARLAH PELBAGAI PIHAK SERTA PERINGKAT MENYOKONG BAGI MENYEDARAKAN RAKYAT

Ribuan sambut kepulangan Tok Guru Nik Aziz

Aslani M & Salmah Mat Husain, 20 Feb 2013


KOTA BHARU: Ribuan rakyat Kelantan pelbagai kaum menyambut kepulangan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari Makkah tengah hari ini.

Ribuan lagi menyambut ketibaan Menteri Besar dari menunaikan ibadat umrah itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Mereka berarak dengan kereta dan motosikal ke dataran Stadium Sultan Mohamad IV.

Biarpun terik matahari namun orang semakin ramai d dataran stadium. Ada kaum Cina, India, Siam dan masyarakat Orang Asli.

Pengarah program, Datuk Takiyudin Hassan berkata, himpunan diadakan bagi menunjukkan kasih sayang kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Katanya, rakyat kelantan dari pelbagai tempat menunjukkan sokongan padu kepada Menteri Besar yang tidak berbelah bagi.

Pelbagai sepanduk dinaikkan antaranya Tok Guru Nik Aziz Kami Tunggu Kepulanganmu, Tok Guru Nik Aziz Pejuang Islam Sejati dan lain-lain lagi.

Program dimulakan dengan tazkirah oleh Pegawai Penernagan Urusetia Penerangan, Ustaz Hamid Derani, kemudian ucapan wakil R, Abu Saamah, wakil Yik, Ustaz Mansor Daud, wakil penghulu, Che Hassan, wakil Kelab Kebajikan Penyokong Tok Guru, Nik Halim Nik Mat, wakil kaum Cina, Lau Chin Chua.

Selain itu wakil golongan profesional Datuk Dr Zulkifli Mohamad, wakil peneroka Felda dan Kesedar, Adnan Mat Nasir, wakil kaum India, Tharuman Arjunan, wakil masyarakat Orang Asli, Pandek Panjang, wakil wanita dan wakil kaum muda.



Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kepulangan Menteri Besar dari Makkah diharap dapat memberi satu kekuatan baru bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang bakal diumum tidak lama lagi.

"Tok Guru membawa balik doa dari Makkah. Keberkatan dan kekuatan InsyaAllah akan terus memberi kemenangan yang berkekalan kepada Kelantan bukan sahaja ketika menghadapi PRU-13 ini.

"Saya juga amat terharu dengan sokongan padu dizahirkan wakil-wakil kaum dan pelbagai pihak yang tetap berdiri teguh bagi mempertahankan kerajaan negeri dan kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz," katanya pada ucapan akhir di perhimpunan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz meluahkan rasa tenang dan sejuk hati apabila melihat begitu ramai rakyat Kelantan yang datang dari jauh dan dekat bagi menyambut kepulangannya daripada mengerjakan umrah.

Katanya dalam setiap gerak kerja perlu kepada hidayah. "Wang, pangkat, kuasa dan pelbagai lagi tidak memberi sebarang makna kalau tidak ada hidayah daripada Allah Taala," katanya.

Menurutnya juga kesatuan umat Islam dapat dilhat secara jelas di Makkah ketika mengerjakan umrah apabila pelbagai bangsa dan kaum datang menunaikan ibadat kepada Allah.

"Islam ternyata mampu menyatukan pelbagai bangsa dan kaum yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Hanya Islam yang boleh satukan manusia," ujarnya.

Program berakhir dengan solat Zuhur berjemaah. Sebahagian yang hadir terpaksa menunaikan solat di atas tikar di bawah pancaran terik matahari.

 ‘Saya kesal apa dilakukan ke atas Dr Fadzilah’
Posted on Wednesday, February 20 @ 12:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Sumber Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan melahirkan kekesalan terhadap apa yang dilakukan ke atas pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

“Biarpun kita tidak bersetuju dengan pandangan dan kritikan beliau, namun janganlah sampai menghina dan mengaibkannya sedemikian rupa, itu bukan akhlak kita berjuang,” tulis beliau di Facebooknya.

Justeru, penegasan beliau buat kesekian kalinya, khas dihulurkan kepada semua rakan-rakan pimpinan, penceramah, facebooker, blogger, websiter dari Pakatan Rakyat agar tidak membalas hujah dengan kejian dan makian atau menyerang lawan dengan memburukkan peribadi dan hal anak beranaknya.

“Kekalkan rentak menentang penyelewengan, penipuan dan fitnah lawan atau mana-mana pihak dengan hujah yang berasaskan nas, fakta dan figure,” ujarnya lagi.

Sumber: Harakahdaily


  Alangkah cantiknya jika begini dan begitu....
Posted on Wednesday, February 20 @ 16:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh: tokpepijat

"Selepas peristiwa Memali dan Sauk, tiba-tiba negara dikejutkan dengan peristiwa Lahad Datu (LD).

Bezanya LD melibatkan warga asing dan mempunyai mesej sejarah lampau. Berbanding dengan Memali yang melibatkan ahli PAS dan akta ISA dan Sauk yang melibatkan satu kumpulan "persilatan".

Di sini kita boleh membuat perbandingan cara dan rentak kerajaan terutama Kementerian Dalam Negeri(KDN) menangani isu tersebut.

Pertama dengan Memali. Berlaku di zaman Mahathir. Melibatkan orang kampung dan seorang guru mantan pegawai agama Jabatan Perdana Menteri. Cara kerajaan menangani krisis tersebut amatlah kejam dan tidak munasabah. Lebih kepada politik kepartian.

Tahun 1985 adalah tahun-tahun kebangkitan Gerakan Islam. Ini menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada UMNO selaku parti pemerintah ketika itu. Teruknya kerajaan terutama KDN menangani krisis tersebut hanya sekadar menyahut seruan pewakilan UMNO Baling dalam Perhimpunan Agong UMNO.

KD menghantar pasukan polis termasuk Komando 69 dan Senoi Praaq untuk menyerang orang kampung yang mengakibatkan 14 terbunuh.

Seterusnya isu Sauk. Krisis ini menimbulkan pertanyaan dan kontroversi. Ianya berlaku dua tahun selepas krisis Mahathir-Anwar.

Ada spekulasi mengatakan krisi Sauk hanyalah "lakonan" UMNO untuk mengenakan PAS. Seolah-olah PAS menganjurkan keganasan dan untuk mengguling kerajaan seperti tohmahan Memali.

Peristiwa Sauk dianggap PAS sebagai tidak logik dan melucukan. Hinggakan ada pimpinan PAS mahu ianya dilakonkan kembali dan diambil masa detik lakonan bermula hingga semua senjata dipunggah ke dalam Jip Pajero.

Kali ini KD berdepan dengan krisis Lahad Datu(LD). Jika Memali dan Sauk membabitkan rakyat tempatan, kini Lahad Datu membabitkan warga asing dan lebih merumitkan ianya berkaitan sejarah lampau.

Beberapa persoalan timbul berkaitan isu LD. Antaranya :

a) Begitu mudah 100 orang warga asing menceroboh negara kita. Bahkan ada bersenjata. Walaupun lokasi pencerobohan 130km dari LD, ianya suatu perkara serius tentang kedaulatan negara.

b) Antara motif pencerobohan mereka adalah isu hak milik tanah Kesultanan Sulu.Begitu mudah sesebuah kumpulan datang ke negara kita dan mendakwa hak milik mereka. Bahkan tidak mahu berganjak.

c) Ingin berjumpa personaliti tertentu. Siapa individu tersebut yang begitu berkuasa besar ? Adakah individu tersebut berjanji untuk berikan IC dan tanah dengan syarat sokong BN ?

d) Sikap Kerajaan Filipina terhadap isu ini. Setakat ini ada percanggahan kenyataan antara Manila dan Putrajaya. Mesti salah satu betul dan bohong. Siapa betul dan siapa bohong?

Adakah tuntutan Filipina terhadap Sabah masih belum gugur? Dan Filipina sedang menguji kita melalui penghantaran "Tentera Sulu"?

Apapun, sikap KDN terhadap LD berbanding Memali amat berbeza. Barangkali KDN sudah serik dan ingin "bertaubat" akibat dosa di Memali.

KDN sudah belajar ilmu diplomasi . Ilmunya sudah dipraktikalkan dalam HKR 112 KL Alangkah bagusnya jika ianya diamalkan sejak dahulu lagi. Tiada darah mengalir di Memali.

Yang pasti jika tiada campurtangan politik UMNO terhadap KDN terutama PDRM, tiada pertumpahan darah berlaku atas bumi Malaysia.

Alangkah cantiknya jika begini dan begitu....
"


 Menjawab Mahathir: Kalau kita tolong dia, dia balas duit kita….
Posted on Wednesday, February 20 @ 16:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Hafiz Zainuddin
“ORANG memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa”, inilah kalimah indah yang diungkap sejak kecil sehingga menyatu dalam minda dan gerak tindak kita sebagai individu. Mungkin atas sebab itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu agar rakyat terutamanya peneroka FELDA agar “tidak menggigit tangan orang yang membantu mereka.”

Sudah tentu kita tahu, mesej langsung Mahathir ialah agar peneroka FELDA tidak mengundi oposisi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi. Dia mahu peneroka membalas budi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyediakan segala “nikmat” yang dikecapi mereka.

“Kenapa kita nak tolong dia (BN), sebab dia tolong kita. Kalau dia tak tolong kita, kita jadi penganggurlah dulu,” katanya pada majlis ‘Warga FELDA Bersama Negarawan Ulung Tun Mahathir Mohamad’, di Kuala Lumpur, semalam.

Nilai terima kasih dan balas budi yang ditekankan Mahathir itu sama dengan apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah kata, “You help me, I help you”. Apapun, bukanlah perkara itu yang mahu dibincangkan.

Dalam hal ini, Mahathir secara tidak langung telah menghina orang Melayu. Memetik kenyataan beliau “Kalau dia tak tolong kita, kita jadi penganggurlah dulu” menggambarkan seolah-olah orang Melayu itu tidak tahu berusaha, bodoh dan hanya mengharap ‘sedekah’ dan ‘suapan’ dari kerajaan. Adakah orang Melayu perlu berbangga dengan pembodohan ini?

Pergantungan kepada kerajaan: Bila orang Melayu meletak harap hanya pada kerajaan mereka boleh hidup senang-lenang, UMNO-BNlah yang meraih laba besar daripada sikap ini.

“Budaya” suap-menyuap, budaya subsidi yang berjaya menjadi budaya baru orang Melayu adalah kejayaan UMNO paling besar. Dan kita tidak perlu hairan sekiranya sebahagian besar orang Melayu mempunyai sikap pasif dan penakut akibat pembodohan ini. Melayu telah hilang daulat, demokrasi telah hilang cahaya apabila konsep ‘balas budi’ ini dikeramatkan.

Walhal, kita sudah maklum, tanpa usaha tulang empat kerat ini, takkan berbuah sawit di ladang, takkan keluar susunya getah, takkan menguning padi di sawah. Ya, kita haru akui, UMNO-BN berjaya dengan doktrin songsang mereka apa lagi lebih lima dekad memerintah.

Memang, menjadi tanggungjawab mana-mana pemerintah memberi kemudahan kepada rakyatnya. Masakan tidak, rakyat juga memberi kesenangan kepada pemerintah dengan membayar segala macam cukai kepada kerajaan. Daripada sebiji bawang, sampailah kepada cukai pendapatan. Tidak satupun terlepas dicukai. Maka memang patutlah kerajaan menyediakan kemudahan bagi rakyat.

Ini tidak lagi termasuk saman, kompaun, yang dikenakan, dan dengan itu juga, duit kerajaan ini disalahgunakan sehingga tak mampu lagi disembunyi seperti kes pemberian kontrak puluhan bilion kepada syarikat tertentu, isu lembu NFC, pembelian kapal selam Scorpene, isu cincin RM24 juta, isu FGVH dan sebagainya. Semuanya adalah duit kita.

Jadi, di mana boleh kita letak logik kenyataan Mahathir agar rakyat membalas budi kerajaan bersandarkan realiti yang berlaku di Malaysia kini? Dulu lain, sekarang lain….

Rasanya Mahathir sendiri memang tahu kerajaanlah yang sepatutnya membalas jasa rakyat. Ekonomi Malaysia tidak akan rancak tanpa pembabitan jutaan rakyat Malayia yang bertungkus lumus bekerja.

Atau, adakah Mahathir boleh bersetuju dengan andaian sebegini, seorang bapa mencabul anaknya dengan alasan beliaulah yang menyara anaknya sejak kecil?

Sikap berterima kasih, membalas budi, harus pada tempatnya, jangan sampai dipijak kepala. Terlajak dengan kenyataan Mahathir itu, mungkin ungkapan ini sesuai dengan realiti sebenar yang berlaku di negara ini, “Kalau kita tolong dia (BN), dia balas duit kita semua!”

Sumber: Roketkini.com


  Umno hapus tulisan jawi
Posted on Wednesday, February 20 @ 15:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh: imamsurau

"KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersalahkan Umno sebagai bertanggungjawab merosakkan tulisan jawi yang sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini suatu ketika dahulu.

Beliau yang turut kesal dengan sikap Umno seolah-olah juara rakyat kononnya dalam isu kalimah ALLAH berkata, kesalahan Umno itu menyebabkan masyarakat masa kini semakin jauh dengan Islam sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Jelasnya, dengan tulisan yang jawi yang diubah kepada sistem rumi telah menyebabkan beberapa perkataan berubah maksud sebenar dan boleh dipersoalkan seperti ‘nikmat’ dalam tulisan rumi yang difahami sebagai perkara yang baik dan menyeronokkan membawa maksud celaka.

“Ketika baru-baru lepas merdeka, tulisan jawi ada lagi. Surat Perjanjian Pangkor digunakan tulisan jawi, orang putih buat perjanjian Singapura guna tulisan jawi, tiba-tiba Umno hapus tulisan jawi, masa Umno (memerintah). Kita orang Melayu kena sedar kesilapan Umno ini.

“Siapa yang memudahkan agama kefahaman orang Islam. Kita tengoklah akibatnya di tiap-tiap kampung ada kes dadah dan tiap-tiap keluarga ada kes dadah macam banjir yang tidak boleh disekat,” katanya ketika mengadakan ceramah di Pulau Bahagia, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Dr Khairudin Aman Razali dan Adun Sura, Wan Hasan Mohd Ramli.

Tulisan jawi dimansuhkan penggunaannya oleh mantan Menteri Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Khir Johari sekitar tahun 1960an.

Abdul Hadi berkata, keadaan itu juga menyebabkan orang Melayu semakin menjauhkan diri daripada syariat Islam.

Berhubung isu kalimah ALLAH, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan beliau tiada khilaf dengan Majlis Syura Ulama Pas dan Dewan Ulama Pas, sebaliknya Umno dikatakan sengaja mengheret isu tersebut untuk memancing undi pilihan raya.

Jelasnya, penggunaan kalimah ALLAH sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk dibenarkan dalam Kitab Injil berbahasa Melayu itu perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan bukannya Pas.

Abdul Hadi menjelaskan, isu kalimah ALLAH telah selesai pada 2010 apabila beliau diajak oleh Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan perbincangan dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), mufti dan menteri berkaitan.

“Itu adalah bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan kita (Pas). KDN bawah dia (Kerajaan Barisan Nasional), Jakim pun bawah dia dan dia (Kerajaan BN) perlu ambil tanggungjawab ini tahun 2010 lagi,” katanya.

sumber"


 Setelah 22 Tahun Diabaikan, Tiba-Tiba Peneroka Felda Disayangi Mahathir
Posted on Wednesday, February 20 @ 14:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Shahbudin Husin

Apabila tiba-tiba Mahathir mengingatkan para peneroka Felda supaya mengingati jasa kerajaan yang mewujudkan tanah rancangan itu dan tidak menggigit tangan pihak yang membantu mereka, ramai yang ketawa kecil dengan sikap bekas Perdana Menteri itu. Nasihatnya kepada peneroka Felda itu tidak lebih menunjukkan sikap terdesaknya yang menjadi wakil tidak rasmi UMNO dan BN bagi mendapatkan undi Melayu setelah pengundi Cina menunjukkan sikap yang nyata menolak BN yang telah mendakap kuasa selama lebih 54 tahun lalu.

Kenapa hanya sekarang beliau ingat kepada peneroka Felda sedangkan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, peneroka Felda begitu jauh di hatinya? Itulah antara pertanyaan sinis ramai orang mengenai sikap Mahathir yang memberi nasihat kepada peneroka Felda itu.

Apakah nasihat Mahathir itu mahu didengari oleh para peneroka Felda sedangkan selama ini Mahathir tidak pernah memperdulikan mereka. Apabila mengambil alih kuasa Perdana Menteri pada 1981, Mahathir telah membawa keluar Malaysia daripada negara pertanian kepada negara perindustrian. Beliau memperkenalkan dasar pandang ke timur, mewujudkan industri berat, merangka pembangunan yang hebat-hebat dan sentiasa mempunyai sikap mendongak ke langit.

Dunia pertanian dinombor-duakan. Orang kampung dan luar bandar bukan lagi keutamaan. Rasanya sepanjang menjadi Perdana Menteri juga Mahathir tidak pernah menjejak ke mana-mana tanah rancangan Felda untuk bertemu dan menyelami kehidupan para peneroka. Rumput sudah dilupakan dan tidak dipandang lagi.

Tidaklah salah mengalih kepada negara industri tetapi larian Mahathir ke arah itu sehingga beliau melupakan hakikat bahawa sebahagian besar rakyat negara ini adalah orang kampung dan penduduk luar bandar yang mana peneroka Felda adalah sebahagian daripadanya. Beliau benar-benar menjadi Melayu yang lupa.

Hari ini apabila kedudukan BN cukup genting akibat penolakan rakyat, yang sebahagian besar sebab penolakan itu adalah berpunca daripada sikap Mahathir sendiri sepanjang memegang kuasa yang gemar mengamalkan sikap pecah dan perintah, tiba-tiba peneroka Felda menjadi penting kepada UMNO, BN dan Mahathir. Ketika gah berkuasa, nilai peneroka Felda dan pengundi luar bandar hanyalah sehelai kain batik dan kain pelikat saja, itupun hanya diberikan lima tahun sekali.

Undi peneroka Felda menjadi penting sehingga turut menjadi keutamaan Mahathir ialah kerana tanah rancangan Felda merangkumi 54 kawasan Parlimen yang mana dalam pilihanraya lalu, hanya dua daripadanya dimenangi oleh Pas. Undi peneroka adalah penentu dan kiranya tidak dijaga seumpama menatang minyak yang penuh, tidak mustahil daripada 54 kawasan itu, 10 atau 15 daripadanya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Jika itu berlaku, habislah kuasa BN. Dengan undi bukan Melayu tidak lagi memihak kepada BN, barulah kini undi peneroka Felda menjadi penting. Mereka bukan saja dijaga dan dibelai, malah sering diberi ganjaran demi ganjaran. Hanya setelah undi Cina tidak memihak, barulah undi Melayu dianggap bernilai.

Najib memang sejak sekian lama memberi perhatian kepada Felda. Sejak Timbalan Perdana Menteri, Felda dibawah kendalian kuasanya. Namun Najib juga penuh dengan masalah yang menyebabkan undi peneroka juga berpecah. Tetapi dengan Mahathir sendiri turut memberi perhatian kepada peneroka Felda, tidak lain membuktikan ketakutan yang amat sangat dalam dirinya akan kehilangan kuasa BN dalam pilihanraya akan datang ini. Daripada 28 juta rakyat Malaysia, Mahathir barangkali menjadi orang paling takut jika BN tumbang dan hilang kuasa. Sebabnya mungkin pelbagai dan hanya beliau yang tahu punca sebenarnya.

Kalau tidak kerana takut yang amat sangat, mana mungkin Mahathir mahu mencemar duli bertemu peneroka Felda. Dunia Felda bukan mainannya. Dunia Mahathir ialah projek mega, KLCC, KLIA atau membelasah Amerika.

Itupun pertemuan Mahathir dengan peneroka Felda itu tidak diadakan di tanah rancangan di hujung gunung atau jauh di pedalaman. Sebaliknya 3000 peneroka itu diangkat ke PWTC, di dewan yang nyaman dan sejuk untuk mendengar amanat dan nasihat daripada bekas Perdana Menteri yang selama ini mengabaikan mereka.

Kata-kata dan nasihat Mahathir supaya mengenang budi dan kemudian membalasnya dengan undi, mungkin didengari dan mungkin juga hanya ibarat angin lalu kepada sebahagian peneroka. Jika peneroka tidak mahu mendengar nasihat Mahathir itu, ia bukanlah salah mereka. Ia salah Mahathir sendiri.

Pertama, kerana Mahathir selama ini telah mengabaikan peneroka Felda dan lebih gemar memberi tumpuan kepada aspek lain. Walaupun Mahathir menyebut Felda ditubuhkan oleh kerajaan tetapi peneroka tidak terasa sentuhan Mahathir ada di situ. Sentuhan Mahathir lebih banyak di Langkawi berbanding tanah rancangan Felda. Malah Mahathir lebih kerap ke Amerika berbanding tanah Felda.

Jadi, bagaimana peneroka Felda mahu mendengar nasihat orang seperti itu.

Yang keduanya, Mahathir sendiri menunjukkan contoh tidak baik dalam konsep berbudi dan membalas budi ini. Catur politiknya sehingga menduduki kerusi Perdana Menteri penuh dengan amalan pecah dan perintah, buang kawan dan menolak orang yang menaikkannya. Lebih dari itu, UMNO yang berjaya menjadikannya Perdana Menteri bukan saja sanggup "dibunuhnya" malah kemudian ditinggalkan hanya kerana tidak bersetuju dengan seorang Perdana Menteri yang dipilihnya sendiri.

Di manakah sikap mengenang budinya?

Maka itu, amatlah malang jika masih ada peneroka yang mahu mengambil nasihat Mahathir itu sebagai azimat. (SH 20/02/2013)

Sumber: shahbudindotcom.blogspot.com


  Semakin banyak ditabur semakin ditolak oleh peneroka-peneroka Felda
Posted on Wednesday, February 20 @ 15:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Suhaimi Said

Saya memulakan ceramah saya di Felda Sg Klah malam tadi dengan mengucapkan tahniah kepada peneroka-peneroka, isteri (isteri-isteri peneroka dan janda-janda peneroka) serta anak (anak-anak peneroka Felda) yang telah menerima RM15,000.00.

Umpan ini agak besar jika dibandingkan dengan umpan-umpan sebelum ini, hanya peneroka-peneroka tidak diberitahu bahawa sepatutnya mereka boleh mendapat RM50,000 bukan RM15,000 hasil dari penggadaian seluas 850000 ekar tanah Felda Plantation kepada FGV.

Peneroka Felda Sg Klah adalah terdiri daripada mereka yang sangat perihatin apabila saya bertanya, "Baki RM35,000.00 lagi tu pergi ke kantung mana?"  Mereka jawab, "Roooosmaaaah."  Ya, RM35,000 itu disorokkan daripada pengetahuan peneroka-peneroka dan akan dijadikan umpan sedikit demi sedikit untuk memancing peneroka-peneroka.

Wang RM5000 kepada peneroka, RM5000 kepada isteri peneroka dan RM5000 kepada anak peneroka bukan boleh bertahan lama, tak sampai beberapa bulan wang itu sudah kering.  Maka umpan baru dihulurkan ke mulut peneroka-peneroka iaitu BRIM RM500.00.  BRIM pertama sudah kehabisan dalam tempoh beberapa hari sahaja.  Ini BRIM kedua, hari ini dapat, namun minggu hadapan sudah tiada.

Ini menggelisahkan Mr Najib.  Tabur umpan, umpan dah habis, tetapi peneroka masih tidak puas hati.  Ramai peneroka kini meninggalkan UMNO kerana isu yang lebih besar tidak diselesaikan oleh Felda dan UMNO.

Mereka tidak puas hati kenapa kini mereka dibebankan dengan hutang baru sebanyak RM5000.00 kerana pemberian 800 unit saham FGV.  Kalau betul Felda nak bantu peneroka kenapa peneroka kena membayar RM3640.00 untuk 800 unit saham itu dengan hutang berjangka (selama 6 bulan).  Ada pengurus-pengurus Felda menjanjikan kepada peneroka-peneroka ini bahawa mereka boleh menjadi senang lenang apabila memiliki saham 800 unit itu, dan ada pulak golongan-golongan didalam GPW yang berkempen: "Rugilah kalau kita tak ambil 800 unit saham tu, nanti orang lain jadi jutawan, kita terkebil-kebil melihat orang jadi senang."  Kempen ini cukup berkesan sehinggakan bukan sahaja orang UMNO dan orang atas pagar mengambil saham ini bahkan orang Pakatan Rakyat pun ambil juga.

"Ah..kamu orang PAS, orang PKR ada ambik tak?" Saya tinggikan suara saya bertanya kepada hadirin.  "Ambiiiiik!!!" jawapan dari mereka.

"Dah jadi jutawan sekarang?"

"Dah jadi tak tentu keruan!!!!" jawapan mereka.

Tetapi tak mengapa, saya teruskan ceramah, kan Felda dan UMNO itu baik, tuan-tuan berhutang dengan bank sebanyak RM3640, Felda ambil alih hutang tu, maka hutang tuan-tuan dah jadi kosong dengan bank, tak berhutang lagi.

"Kenapa Felda ambil alih hutang dari bank tu?  Ada yang tahu?" saya limparkan soalan itu kepada hadirin.

"Tak tau..!!!" mereka jawab.

Hutang dengan bank itu bertempoh (6 bulan) kalau tak bayar dalam tempoh tu bank akan saman.  Dan cubalah bayangkan betapa marah seluruh 112,000 keluarga peneroka kepada Felda dan UMNO jika mereka disaman oleh Bank.  Maka Felda ambil alih hutang itu semata-mata nak mengelakkan peneroka-peneroka marah kepada UMNO dan Felda dan untuk mengelakkan supaya peneroka-peneroka lari dari UMNO!!!

Tapi apa nak disusahkan.  Kan Felda beri tuan-tuan setiap bulan RM50.00 kerana Felda ambil alih hutang itu?  Tanya saya sinis.  "Tidak Haji....kami yang kena bayar RM50.00 sebulan kepada Felda!!!"

Ho...ho..saya teruskan ceramah saya.  Dulu saya dan Mazlan Aliman dah beritahu, jangan ambil saham 800 unit tu, bukan boleh jadi kaya dengan saham yang tak sampai satu lot tu.  Orang Besaut dan Sg Klah (orang PAS dan PKR) ada yang talipon saya samada boleh ambil atau tidak saham tu.  Saya dah jawab.  Jangan ambil.  Tapi tuan-tuan ambil juga kan?  Tulah.....

Baik.  FGV ni bukan syarikat berdaya maju.  Syarikat ini berniaga dibanyak negara di dunia ni.  Tapi kebanyakannya rugi.  Maka kepada syarikat yang rugi inilah UMNO menaruh kepercayaan untuk disenaraikan.

Berbuihlah mulut kita supaya jangan digadaikan Felda Plantation, itu adalah sumber pendapatan Felda; tanpa Felda Plantation, Felda akan mengalami kekurangan pendapatan dan kebajikan yang boleh dihulurkan oleh Felda kepada peneroka-peneroka serta anak-anak peneroka akan berkurangan.

Tapi apa boleh buat.  Kami Pembangkang.  UMNO guna tv, media, pengurus-pengurus Felda, GPW dan semua badan belia dirancangan Felda.  Secara bisik-bisik, peneroka-peneroka dibisikkan bahawa mereka boleh menjadi orang senang bahkan jutawan jika mereka bersetuju supaya FGV disenaraikan dan Felda Plantation ini digadaikan kepada FGV.

Kita kata bahawa FGV ni takkan maju, takkan ada korporat-korporat besar luar negara nak melabur apabila mereka dapat tahu bahawa ladang-ladang didalam Felda Plantation ini tidak begitu produktif kerana pokok-pokok di kebanyakan ladang itu sudah tua, dan sebahagian lagi ladang-ladang itu baru ditanam, masih belum mengeluarkan hasil.  Mereka ambil kira hal ini.

Selepas disenaraikan; saham FGV melonjak naik, dan Isa Samad dengan penuh kegembiraan menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Felda dan UMNO/BN adalah betul, peneroka-peneroka akan mendapat faedahnya.  Selepas lonjakan itu saham FGV terus jatuh dan merudum hingga RM4.38 sedangkan harga semasa IPO adalah RM4.56.. Ingat-ingat nak jadi jutawan....

Dengan penggadaian Felda Plantation selama 99 tahun kepada FGV, harapan anak-anak peneroka untuk mendapat tanah seperti dijanjikan didalam Buku Jingga hancur berkecai.  Pekerja-pekerja (anak tempatan) Felda Plantation yang bergaji rendah, tak ada SOCSO, KWSP, cuti sakit, cuti tahunan..(mereka sanggup berkeadaan itu kerana menjangkakan tanah yang mereka kerjakan itu menjadi milik mereka akhirnya) hilang segala-galanya.

Felda telah menganiaya anak-anak peneroka dan pekerja-pekerja (anak tempatan) dengan menggadaikan Felda Plantation kepada FGV.

Felda menjanjikan seperti yang termaktub didalam Surat Perjanjian diantara peneroka dan Felda bahawa Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk dikeluarkan geran tanah kebun dan kampung kepada peneroka-peneroka apabila peneroka-peneroka selesai menjelaskan hutang kepada Felda dan bayaran CAC kepada Kerajaan Negeri yang dibuat melalui Felda.

Tetapi sebahagian besar dari peneroka-peneroka Felda tidak dikurniakan geran tanah setelah menjelaskan hutang mereka, sesetengahnya sudah melebihi 16 tahun.  Apa tujuan Felda menafikan geran tanah kepada peneroka-peneroka, tidak lain dan tidak bukan untuk memanipulasikan agar Felda tidak melakukan tanam sendiri tetapi tanam melalui Felda, yang boleh memberikan keuntungan kepada Felda dan merugikan peneroka-peneroka.  Felda akan membuat untung yang besar melalui tanam semula, dan akan untung lagi apabila Felda bersikap seperti ceti memberikan hutang kepada peneroka-peneroka dan dengan penyata pendapatan dan penyata hutang tidak diserahkan kepada peneroka-peneroka.

Berlaku di kebanyakan rancangan Felda di Negeri Sembilan di mana Felda gagal menanam semula untuk peneroka-peneroka, walhal, semasa peneroka menuntut untuk tanam sendiri, Felda tidak mengizinkan dan mereka yang mahu tanam sendiri diugut hingga kononnya mereka itu boleh dipecat dari rancangan Felda.

Di kawasan Felda Rokan di Negeri Sembilan, Felda telah gagal menanam semula hingga sudah melebihi 10 tahun menyebabkan peneroka-peneroka terpaksa menanggung hutang melebihi RM200,000.00 kerana Felda memberikan elaun sara hidup sebanyak RM15000.00 sebulan sedangkan tanah mereka tidak ditanam semula dan mereka tidak mempunyai apa-apa hasil untuk membayar hutang Felda.

Kalau semasa peneroka menuntut untuk tanam sendiri dahulu mendapat tentangan paling keras dari Felda, tetapi kini Felda pulak yang meminta peneroka-peneroka supaya mengambil alih ladang-ladang mereka supaya mereka boleh melakukan tanam sendiri.  Nasi sudah jadi bubur.

Tetapi kepada peneroka-peneroka yang dibebankan dengan hutang oleh Felda tidak perlulah begitu khuatir kerana seperti terkandung di dalam JANJI PALONG,  hutang-hutang peneroka ini akan dimansuhkan.

Dengan meninggalkan satu persoalan kepada peneroka-peneroka samada mereka akan terus menyokong UMNO setelah pendedahan ini dan menerima jawapan bahawa hadhirin serentak mengatakan: "TIDAAAK...!" saya memberhentikan ucapan saya untuk memberi laluan kepada Chua Yee Ling dan YB Dr Mariah.

Sumber: lubokkawah.blogspot.com


  Ramai calon Pas digugurkan
Posted on Wednesday, February 20 @ 14:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh: imamsurau

"SHAH ALAM – Majlis Syura Ulama Pas terpaksa menggugurkan ramai calon yang disenaraikan oleh pimpinan parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas beberapa sebab.

Setiausahanya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, antara sebab utama ialah mereka yang berkenaan didapati tidak menepati syarat ketat ditetapkan parti termasuk kemungkinan akan melompat parti setelah dipilih sebagai wakil rakyat.

“Setelah dicadangkan di peringkat kawasan dan negeri, tapisan yang paling mustahak ialah di peringkat Majlis Syura Ulama. Pada peringkat ini, kita akan menentukan calon mengikut ciri-ciri kepimpinan Islam, tidak melakukan dosa besar dan tidak meneruskan dosa-dosa kecil.

"Selain itu, banyak lagi perkara-perkara lain yang kita fokuskan," katanya.

Apa yang paling diutamakan, kata Nik Muhammad Zawawi ialah setiap calon dipilih mampu mempertahankan dasar dan imej parti, sama ada mereka kalah ataupun menang dalam pilihan raya.

Ditanya pada peringkat manakah proses pemilihan akhir itu sekarang, katanya, pihaknya sudah menyelesaikan 95 peratus proses tapisan dan ia akan diumumkan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

"Calon yang kita gugurkan dalam proses di peringkat Majlis Syura Ulama kerana syaratnya tidak mencukupi dan nama ini dikembalikan semula kepada Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat dengan senarai yang bersih," katanya.

Mereka yang disenaraikan sebagai calon, katanya, mempunyai ciri-ciri yang diyakini untuk mempertahankan dasar parti serta boleh menjaga keperibadian supaya tidak menjejaskan imej parti.

“Ciri-ciri ini kita yakin, dia boleh mempertahankan dasar parti dan boleh jaga keperibadian supaya tidak keluar parti...

"Alhamdulillah, setakat ini tiada calon yang melompat dalam Pas," katanya.

sumber"


 VIDEO: Jelajah Merdeka Rakyat - Kota Damansara 19 Februari 2013
Posted on Wednesday, February 20 @ 13:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh YT pakdoe allan



Ceramah Bekas Jeneral

Ceramah Pemimpin Pakatan Rakyat. Dr hatta, Saifuddin, DS Anwar Ibrahim


Tiada ulasan: