Jumaat, 15 Februari 2013

KETIDAK BETULNYA SATU2 TINDAKAN JELAS PILIH KASIH...JELAS TIDAK ADIL...TIDAK TELUS...MAKA NI MENYEBABKAN RAKYAT TERLALU MUAK@MENYAMPAH

Kadar insurans kenderaan naik mulai esok

Muhammad Faizal, 14 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Kadar premiun insurans kenderaan bagi semua jenis kenderaan akan dinaikkan mulai esok, Jumaat 15 Februari.

Maklumat tersebut diperolehi melalui surat edaran yang dihantar kepada pengendali dan agen-agen insuran bertarikh 7 Februari  lalu.

Bagi pemilik kenderaan, mereka akan mulai membayar dengan tarif harga yang baru mulai esok apabila ia dikuatkuasakan sepenuhnya.

Bagi perlindungan pihak ketiga motosikal 100cc dan ke bawah, cadangan kenaikan adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun dan RM1 hingga RM2 untuk perlindungan komprehensif.

Untuk perlindungan pihak ketiga kereta persendirian 1,400cc, kenaikan adalah antara RM6 hingga RM34 setahun untuk empat tahun dan RM7 hingga RM19 untuk perlindungan komprehensif.

Surat pekeliling itu turut memberitahu kelulusan kenaikan premium itu telah diluluskan oleh Bank Negara sebelum ini.

Bank Negara pada 26 Februari 2010 telah mengumumkan kenaikan premium insuran secara berperingkat dalam tempoh empat tahun mulai tahun 201.

PRU13: Ubah tiga peristiwa memalukan Najib

Harakahdaily, 14 Feb 2013

KUALA LUMPUR: Mampukah Malaysia melalui peralihan kuasa yang aman dengan Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional sebagai kerajaan Malaysia yang baru di Putrajaya pada PRU13?

Demikian persoalan yang dilontarkan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berhubung pengiraan detik 56 hari menuju PRU13.

Beliau berkata, sekiranya dapat dicapai dalam PRU13, maka ia akan mengubah aib Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di dalam kemelut Psy dan Gangnam Style yang menjadi rahmat kepada negara.

Ini, ujarnya membolehkan Malaysia membuka halaman baru untuk mencapai Merdeka Kedua yang mana rakyat Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan bukannya bersaing sesama sendiri tetapi dengan negara-negara lain dalam dunia.

Katanya, kemunculan Psy dan Gangnam Style pada pesta Tahun Baru Cina Barisan Nasional di Pulau Pinang sepatutnya menjadi hiburan dan rampasan kuasa politik di dalam sejarah negara sehingga Najib, Umno dan Barisan Nasional mendapat majoriti dua pertiga parlimen tetapi telah bertukar menjadi kemusnahan besar politik dan perhubungan awam.

Tambahnya, tiga aib besar yang menimpa Najib dan Umno BN dan yang lebih buruk lagi turut memalukan negara, iaitu:

- Video satu minit “tiga Ya untuk Psy dan tiga Tidak untuk BN” yang pantas tersebar selepas kemeriahan di Sekolah Han Chiang ditonton hampir setengah juta di You Tube daripada banyak laman sejak Isnin.

- Video lima minit Psy tiada, Najib/BN merah muka ketika acara menggaul yee sang, video kedua tentang kemunculan Psy di pesta Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang yang pantas tersebar, memaparkan Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah dan menteri kabinet menunggu bintang Korea itu selama lima minit untuk menyertai mereka dan tersipu-sipu meninggalkan pentas tanpa menggaul yee sang apabila Psy menolak. Ini merupakan kejadian yang merosakkan maruah negara dan memalukan semua rakyat Malaysia tidak kira PR atau BN – yang mana Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri terpaksa mengorbankan maruah negara demi kehangatan K-pop Korea.

- Psy menolak untuk mempersembahkan “Gangnam 1Malaysia Style”. Najib telah mengumumkan di atas pentas selepas kerosakan “3 Ya untuk Psy dan 3 Tidak untuk BN” berkenaan “persembahan menarik” Psy, mengisytiharkan “(Psy) is ready for us and he will show you the proper Gangnam Style…and I am told he has a surprise for you – the Gangnam 1Malaysia Style” tetapi Psy tidak mempersembahkan kejutan “Gangnam 1Malaysia Style” menghancurkan harapan Najib dan peluang pemimpin BN seperti Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen untuk menari “Gangnam 1Malaysia Style” dengan bintang pop Korea Selatan itu di Pulau Pinang.

Wang untuk Psy lebih baik bagi kepada OKU

Mohammad Faizal Che Yusof,
Sebagai mewakili suara OKU yang dianggarkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia, kami amat merasa terkilan dan kesal terhadap pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dalam menyambut perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dalam suatu petunjukan yang melibatkan seorang penyanyi terkenal, Park Jae Sang (Psy) sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Kolej Han Jiang, kami difahamkan sejumlah RM2 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia di bawah teraju Umno dan Barisan Nasional.

Walaupun kerajaan menafikan kos tersebut ditanggung olehnya, tetapi jumlah wang yang sebegitu banyak hanya untuk hiburan yang memakan masa beberapa minit bukanlah tindakan yang betul.

Apakah YAB Perndana Menteri yang juga memegang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat “KPWKM” sedar betapa jumlah perbelanjaan yang besar itu amat bermakna kepada pembangunan OKU di Negara ini?

Dengan perbelanjaan sebesar itu, alangkah baiknya ianya diserahkan kepada NGO-NGO yang berasaskan perkhidmatan kepada OKU. Pelbagai program bagi menggerakkan pelbagai aktiviti ke arah peningkatan potensi OKU dan kesedaran masyarakat kepada keperluan OKU boleh dilakukan.

Atas dasar pelbagai kepincangan yang berlaku inilah, kami tampil bersama kebangkitan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan OKU berada pada tempat yang sewajarnya.

Kami penuh yakin ruang yang diberikan dalam Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya cukup untuk kami menyuarakan betapa pembangunan OKU di Malaysia selama ini perlu diperbetulkan agar ketempangan yang ada mampu dipulihkan.

Sikap kerajaan di bawah pimpinan umno hari ini jelas menunjukkan kerajaan tidak memberi fokus yang cukup untuk diberikan pembangunan yang menyeluruh kepada OKU. Hanya melalui perubahan politik sahajalah pembaikan mampu dilaksanakan.

Kami juga penyuh yakin hanya melalui perubahan kuasa politik sahajalah penstrukturan semula KPWKM dapat dilakukan bagi mewujudkan Kementerian Pembangunan OKU dan Kesejahteraan Masyarakat bagi memastikan OKU terbela pada masa hadapan.

Kami akan terus berusaha sedaya mungkin untuk menyuarakan hak-hak OKU dan marilah sama-sama kita berdoa agar perubahan kuasa politik mampu dilakukan agar Malaysia baru dapat dihasilkan sebaik PRU13 kelak.

Umno Kelantan upah penulis burukkan PAS

Harakahdaily, 14 Feb 2013

JELI: Umno Kelantan kini terpaksa berhempas pulas bagi mengembalikan fenomena 2004, di mana ketika itu berjaya melonjakkan kedudukan kepada tahap lebih selesa.

Hari ini Datuk Mustapa Mohamed mengimpikan situasi 2004 berulang semula berdasar kepada beberapa kenyataan media, dengan harapan jawatan Menteri Besar yang pernah diimpikan boleh menjadi realiti.

Biar pun tidak menguar-uarkan secara terus terang seperti pernah dilakukan Datuk Dr Awang Adek Hussin dengan menaikkan sepanduk sebagai bakal Menteri Besar Kelantan menjelang PRU12, Mustapa dilihat tidak gopoh seperti Awang.

Sehubungan itu sumber rapat dengan Umno di sini memberitahu Mustapa terpaksa melakukan apa sahaja bagi membolehkan situasi 2004 berulang kembali.

Antaranya Umno Kelantan dikatakan mengupah penulis upahan bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri dan PAS melalui buku dan risalah yang dijangka disebar pada kempen pilihan raya PRU13.

Menurutnya buku terbabit antaranya dihasilkan bekas wartawan Utusan Malaysia dan seorang blogger yang rapat dengan Umno.

Katanya, buku yang ditulis bekas wartawan terbabit membincangkan tema transformasi rakyat Kelantan dengan mengutip semula cerita-cerita lama bagi menghodohkan kerajaan negeri.

“Bekas wartawan terbabit ketika bertugas di Kelantan sebelum ini pernah menulis untuk Umno dengan mendapat upah yang agak lumayan,” kata sumber itu.

Menurutnya juga buku dan risalah tersebut difahamkan akan disebarkan secara meluas ke seluruh Kelantan pada kempen pilihan raya umum ke-13.

Dalam perkembangan berkaitan banyak bahagian Umno di Kelantan dikatakan tidak senang dengan tindak tanduk Mustapa hanya mempromosi dirinya dalam sebuah akhbar harian tanpa memberi ruang kepada pemimpin lain.

Satu sumber lain memberitahu Ketua Umno Kelantan tersebut dikatakan membeli ruang khas dalam media berkenaan sehingga dua muka surat hampir setiap hari bagi memaparkan aktivitinya.

“Bukan Mustapa sahaja yang hendak menang, Ketua Umno di bahagian lain juga hendak menang. Tapi apa yang berlaku sekarang Ketua Umno Jeli itu hanya mengutamakan dirinya sendiri,” ujarnya.

Sementara itu sumber di Kuala Lumpur pula mendakwa Umno Kelantan dijangka menghimpunkan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan dalam masa terdekat bagi mempengaruhi mereka untuk menyokong BN.

Katanya, agen yang dilantik Umno sedang mencari anak-anak Kelantan yang berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor supaya hadir pada program berkenaan.

Talian Rakyat: Adik Mimie masih perlukan bantuan

Anis Nazri, 14 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Nur Soffiea Shamimie Mohammad Nasseri, 6 tahun telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi persediaan menjalani pembedahan membuang limpa, pagi ini.

Shamimie atau Mimie yang mengidap penyakit Idiophatic Thrombocytopenic Purpura's Chronic (ITP Chronic) dijadualkan akan menjalani pembedahan tersebut, 19 Februari ini.

Ketika dihubungi Harakahdaily, bapa Mimie, Mohammad Nasseri Nasron, berkata Mimie berada dalam keadaan stabil, yang membolehkn pembedahan dilakukan ke atasnya.

"Dia masih ceria macam biasa. Aktif bermain dengan adik-adiknya sementara menunggu ditempatkan di wad, biarpun tangannya sudah dicucuk untuk memasukkan ubat nanti," kata beliau ketika ditanya perkembangan kesihatan Mimie.

Tambah Nasseri, ketika ini sumbangan yang diterima daripada orang ramai yang prihatin terhadap Mimie sudah menjangkau RM18,000.

Namun, kos anggaran pembedahan tersebut, katanya sekitar RM50,000 hingga RM100,000.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini kami mendapat bantuan sebanyak itu. Terima kasih kepada semua pihak yang bermurah hati memberikan sumbangan kepada anak saya, sama ada bantuan kewangan mahupun doa," kata beliau lagi.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah menyiarkan cerita berkenaan penyakit adik Mimie, selain merayu bantuan kewangan bagi membolehkan pembedahan membuang limpa dijalankan ke atasnya.

Adik Mimie disahkan mengidap ITP Chronic atau kurang darah kuning itu sejak dua tahun lalu.

Keluarganya mula mengesan kesakitannya apabila dia mengalami demam, yang kemudiannya berlarutan beberapa hari.

Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang, ibu bapanya mendapati dua kesan lebam di kakinya.

Pelbagai prosedur dijalankan bagi mengesan punca lebam tersebut, dan akhirnya dia disahkan ITP Chronic dan terpaksa mendapatkan rawatan pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut Nasseri, penyakit Mimie itu membimbangkan keluarga kerana risikonya jika jatuh ketika bermain, ia memberikan kesan yang sangat buruk.

Nasseri berkata pihak pakar memberikan tiga pelan rawatan untuk diikuti.

"Rawatan pertama, perlu memasukkan ubat untuk Mimie, iaitu Methylprednisolone. Jika platlet darahnya naik, ok. Namun, tiada sebarang perubahan positif, lalu pelan kedua pula memasukkan ubat lain, Rituximab," cerita Nasseri.

Namun, setelah kedua-dua rawatan itu dilakukan, keadaan Mimie tidak berubah, malah keputusan platletnya mencapai bacaan '1' yang jauh dari kadar normal.

Justeru, pihak pakar PPUM mengesyorkan agar Mimie menjalani pelan rawatan terakhir bagi menyelamatkan nyawanya, iaitu pembedahan bagi membuang keseluruhan limpanya.

Sementara itu, Nasseri turut memaklumkan keluarga turut menerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor, selain Adun Selat Kelang, Dr. Halimah Ali yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Kepada para pembaca yang prihatin dengan nasib adik Mimie, bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun ibu bapa Mimie 06190003801207 (CIMB) atas nama Nor Zalinda Ramli atau 06190003800204 (CIMB) atas nama Mohamad Nasseri Nasron.

-------------------------------------------------

Cerita Talian Rakyat Harakahdaily ini bertujuan untuk berkongsi penderitaan masyarakat dengan pembaca Harakahdaily. Jika anda mempunyai cerita sebegini, jangan segan hubungilah kami. Mungkin kami dapat membantu meringankan bebanan anda. Cerita berkaitan masalah rakyat di tempat anda juga boleh dikongsikan. Hubungi kami di 012-9060475 atau email ke talianharakahdaily@gmail.com.

Serangan di Pekan tidak patah semangat mahasiswa

Hazayani Zakaria, 14 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Kejadian mahasiswa diserang samseng di Parlimen Pekan tidak mematahkan semangat Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) meneruskan program bertemu rakyat.

Pengerusi GM13, Syis Abd Kadir berkata, mahasiswa tidak sesekali mahu bermusuh dengan rakyat sebaliknya ingin menyampaikan harapan mereka kepada rakyat khususnya di Pekan yang merupakan kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Pendirian GM13 jelas iaitu tidak mahu bermusuh dengan rakyat dan kami akan meneruskan program seperti yang dijadualkan.

"Kami akan cuba pergi ke tempat-tempat di Dun di Pekan dan kalau dihalang, kami berundur. Kami bukan pergi untuk bergaduh," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Pagi semalam, dua siswa dan dua siswi dari kumpulan GM13 diserang dengan parang oleh samseng di Felda Chini 4.

Kumpulan itu diserang ketika mengedar risalah dan surat ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ dari rumah ke rumah di kawasan Felda berkenaan pada jam 11 pagi.

Pada hari Selasa sebelumnya, seorang aktivis GM13, Ekhsan Bukhari diserang di Kampung Datuk Keramat dalam Dun Pulau Manis.

Menurut Syis juga, selepas kejadian tersebut, pihaknya lebih berhati-hati sewaktu masuk ke kampung-kampung.

"Kami memang ada unit keselamatan sendiri tapi selepas serangan demi serangan, anggota Unit Amal di Pekan membantu menjaga keselamatan kami," katanya yang gusar dengan keselamatan siswi yang turut menyertai program tersebut.

Program tersebut akan berakhir pada 17 Februari ini.

Syis juga berkata, GM13 mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi melancarkan gerak kerja GM13 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bendahari GM13, Ahmad Shukri Kamarudin iaitu CIMB:05010001387201 atau BIMB:12029020545096

 

 

SPRM perlu siasat siapa taja PSY

Harakahdaily, 14 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu penajaan persembahan Park Jae-sang (Psy) di Pulau Pinang baru-baru ini yang dilihat seperti mahu disembunyikan.

Naib ketuanya Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata kenyataan daripada Scooter Braun Projects, iaitu syarikat pengurusan bintang popular dari Korea Selatan itu bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membuat bayaran atas persembahan tersebut menimbulkan tanda tanya.

"Umum mengetahui bahawa bayaran yang dikenakan kepada PSY hampir mencecah RM 2 Juta, siapakah penaja bayaran tersebut? Siapakah individu atau syarikat yang begitu ‘pemurah’ bagi membantu BN Pulau Pinang untuk membawa PSY di sana?

"Jika ianya sebuah syarikat, adakah pihak kerajaan telah memberikan beberapa projek lain bagi ‘habuan’ tersebut," soalnya.

Sebelum ini,  Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi, Psy atau Park Jae-Sang, telah ditawarkan 'harga tetap' sebanyak AS$500,000 (atau RM1.5 juta) untuk mempersembahkan  lagu hitnya 'Oppa Gangnam Style' di majlis tersebut.

BN, bagaimanapun, menegaskan ia tidak membiayainya, sambil menambah bahawa "kita tidak membayar satu sen pun" untuk persembahan bintang sensasi dunia itu.

Ianya sekaligus menimbulkan tanda tanya pihak mana yang sudi membiayai program anjuran BN itu.

Sehingga kini masih belum ada mana-mana pihak tampil membuat pengakuan berhubung penajaan persembahan yang mendapat reaksi bercampur-campur dari rakyat negara ini.

Mega Ultimate, syarikat yang sebelum ini dikatakan membayar persembahan bintang pop Korea itu juga terus membisu.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, rakyat kebanyakan melihat kos hampir RM2 juta untuk persembahan lapan minit itu sangat besar jika dinilai dengan keperluan mendesak rakyat.

"Oleh yang demikian, pihak kami mendesak agar SPRM menyiasat jika ada unsur-unsur rasuah kepada mereka yang terlibat menganjurkan persembahan tersebut khasnya.

"Kami juga mendesak agar didedahkan siapakah penyumbang atau penaja RM 2 Juta tersebut bagi membuat bayaran kepada PSY, dan sudah tentu apakah kepentingan penyumbang atau penaja tersebut terhadap Kerajaan," katanya.

Pengalaman sehari beratur di pejabat Imigresen

Li Fook Gao, 14 Feb 2013



(Nasrudin terkejut pejabat Imigresen penuh dengan manusia)

KUANTAN: Jam tepat 10.30 pagi, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan tiba di Pejabat Imigresen Kuantan bersama anak sulongnya yang sedang menunggu keputusan SPM.

Sebagai seorang ayah biasa yang ingin memberikan hadiah bermakna untuk anaknya, Nasrudin juga ingin memberikan yang terbaik buat anaknya, justeru datang ke pejabat Imigresen untuk memohon pasport antarabangsa untuk anaknya.

Pasport ini adalah sebahagian hadiah berumrah buat anaknya pada bulan Jun akan datang atas kecemerlangan anaknya dalam Sijil Menengah Agama (SMA).

Alangkah terkejutnya Nasrudin dan anaknya dengan keadaan di pejabat Imigresen. Terlalu ramai orang yang terpaksa beratur menunggu giliran untuk mengambil prosedur untuk membuat pasport.

Maklumlah hari ini ialah hari pertama bekerja setelah cuti panjang Tahun Baru Cina.

Berdiri-berdiri, tiba-tiba 2 jam dah berlalu.

Perut Nasrudin dan anaknya mula rancak berkeroncong kerana belum sempat bersarapan dan kini masuk waktu makan tengahari.

Melihat ada beberapa warga emas di belakang barisan, Nasrudin mengambil keputusan untuk memberikan laluan kepada mereka dan bergegas ke kantin untuk mengalas perut bersama anak kesayangannya.

Setelah makan, mereka kembali beratur di belakang warga emas.

Jam 1.30 petang, setelah 3 jam beratur, akhirnya tiba giliran Nasrudin bersama anaknya berurusan di kaunter.

Alamak.

Nasrudin diberitahu bahawa pemohon yang berusia kurang daripada 18 tahun perlu membawa sijil beranak selain kad pengenalan untuk mendapatkan pasport antarabangsa.

(Nasrudin beratur dari pagi hingga ke petang di pejabat Imigresen...pengalaman yang sangat berguna untuknya)

Air peluh menitis daripada rambut Nasrudin, namun beliau bersenyum dan bersabar.
Dua beranak ini bergegas pulang ke rumah yang jauhnya kurang 25 minit untuk mengambil sijil beranak anaknya.

Dalam masa sejam, mereka kembali ke pejabat Imigresen.

Jam 2.30 petang, dengan kelengkapan dokumen, Nasrudin dan anaknya dengan penuh harapan bahawa misi mendapatkan pasport akan selesai kali ini dengan kunjungan kedua.

Setibanya di kaunter, harapan Nasrudin hancur berkecai.

Kaunter permohonan pasport telah ditutup kecuali untuk urusan mengambil passport sahaja masih beroperasi sehingga jam 5.30 pm.

“Tak apalah kak. Abah ambil cuti besok, kita datang awal sikit untuk selesaikan urusan pasport,” kata Nasrudin sambil tersenyum.

Perkara itu mesti disegerakan kerana pihak syarikat travel memerlukan passport lebih awal bagi urusan ziarah dan umrah yang menjadi hadiah Nasrudin kepada anak kesayangannya Kak Long.

Begitulah cerita bagaimana sehari suntuk dihabiskan di pejabat imigresen.

Bagi mereka yang melihat, apa yang dilalui Ketua Pemuda PAS Pusat adalah sama seperti yang dirasai rakyat jelata.

“Mereka juga rakyat biasa. Merekalah Pakatan Rakyat.”

Pengalaman sehari beratur dan beratur di pejabat Imigresen memberitahu Nasrudin bahawa di sana perlu banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk negara.

PRU13: PAS Perak gesa ahli naikkan bendera

Harakahdaily, 14 Feb 2013
KUALA LUMPUR: PAS Perak menggesa ahli seluruh negeri menaikkan bendera PAS di setiap rumah bagi menunjukkan kesediaan PAS negeri menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin (gambar) berkata, PAS Perak yakin semua bilik gerakan di setiap Unit Peti Undi (UPU) telah mula digerakkan untuk dihiasi dengan bendera dan logo parti.

Katanya, kehangatan bahang PRU13 sudah semakin dirasai dengan melihat Barisan Nasional (BN) juga telah menaikkan bendera mereka termasuk arahan membuka 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di 222 kawasan parlimen seluruh negara sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno Malaysia.

“Situasi ini jelas menunjukkan betapa hampirnya PRU13 dengan pelbagai program yang menyalahgunakan jentera kerajaan telah diadakan dengan lebih kerap bagi meraih undi rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PAS Perak yakin sejarah kejatuhan BN Perak pada PRU12 lalu mampu diulangi kembali kerana BN ternyata gagal menggunakan tempoh selama tiga tahun selepas ‘rampasan kuasa’ bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap akauntibiliti dan ketelusan mereka mentadbir negeri tanpa penyalahgunanaan kuasa dan rasuah.

“Malah kita di Perak sudah lama menantikan PRU13 ini bagi mengembalikan kuasa rakyat yang telah dirampas selain menunjukkan kita tidak bertindak di luar lunas undang-undang demi mementingkan kuasa seperti dimomok-momokkan oleh BN bahawa PR akan melakukan huru-hara jika kalah di dalam PRU13,” katanya.

Nostalgia Kg Banggul Peradung di PGU 7.0

Harakahdaily, 14 Feb 2013
KUALA TERENGGANU: Mulai semalam hingga Sabtu ini, semua penyokong dan pimpinan PAS Terengganu berkampung untuk program PAS Ganti Umno (PGU).

Kali ini, Kampung Banggul Peradung yang terletak di DUN Telok Pasu yang terkenal dengan "Amanat Haji Hadi' telah dijadikan tapak perhimpunan PGU yang terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13.

Di kampung inilah pada awal tahun 1980an dahulu, Amanat haji Hadi direkodkan dan dijadikan modal kempen Umno untuk memberikan imej negatif kepada PAS.

Namun, PAS telah menjadikannya sebagai tapak untuk menyerang kembali Umno dan bakal menggantikan parti yang disifatkan oleh Tun Dr Mahathir sebagai sudah busuk hingga ke usus itu.

Semalam, program bermula sejak jam 10 pagi lagi dengan karnival jualan dan aneka permainan kanak-kanak.

Malam tadi, hiburan alternatif dipersembahkan oleh penyanyi dari Shoutul Amal, Iwan Shahman, Pondok Darul Muhajirin dan juga Dikir Barat Jen KL dan Megat Nordin.

Pagi ini, program  khas dengan beberapa selebriti diadakan termasuk bertemu muka dengan KS Bawani, gadis India yang menggoncang negara melalui video klip listen! listen! Listen!.

Turut serta adalah Aishah dan juga Dr Khairudin at-Takiri.

Petang ini pula dipersembahkan pentomen dan nasyid manakala malam ini ceramah NGO akan diadakan di sini.

Besok pula akan diadakan larian ekspedisi hijau PGU dan pertandingan bola sepak.

Malam esok pula akan diadakan ceramah khas oleh Datuk Dr Haron Din (timbalan mursyidul am PAS), Haji Mohamad Sabu (timbalan presiden PAS) dan Datuk Nasrudin Daud (Speaker DUN Kelantan)

Sabtu 16 Februari pula adalah hari kemuncak PGU ini dan majlis perasmian akan diadakan pada sebelah petangnya.

Ia bermula dengan pelbagai permainan, ekspresi muslimat, ziarah perubatan pada sebelah pagi dan jamuan rakyat pada tengaharinya.

Majlis perasmian PGU ini akan bermula pada sebelah petang di mana ia akan dirasmikan sendiri oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malamnya pula akan ada ceramah umum yang akan diberikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi serta beberapa pimpinan yang lain.

Pelaburan Selangor 2012 rekod terbaik di bawah PR

Harakahdaily, 14 Feb 2013
SHAH ALAM: Selangor berjaya mencapai pelaburan sebanyak RM10.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012 iaitu melebihi jumlah purata yang ditetapkan iaitu RM10 bilion.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata bagi tempoh itu, Selangor mencatat rekod tertinggi berbanding negeri lain, dan juga tertinggi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri 2008 lalu.

Nilai itu juga katanya sekaligus menjadikan negeri itu antara penyumbang terbesar kepada pelaburan di Malaysia iaitu sebanyak 30 peratus.

Jumlah RM10.5 bilion itu katanya lagi melibatkan 211 projek perkilangan yang diluluskan masing-masing 131 projek baru dengan nilai RM7.477 bilion dan 80 projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.043 bilion.

Beliau berkata, dari jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM6.5 bilion (62%) adalah daripada pelaburan tempatan manakala sebanyak RM3.9 bilion (38%) daripada pelaburan asing.

“Dari segi potensi peluang pekerjaan pula, Selangor turut mencatat jumlah potensi peluang pekerjaan tertinggi sebanyak 18,975 peluang pekerjaan. Dari segi peratus, mencatatkan sebanyak 31 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau menambah industri pembuatan barangan peralatan kenderaan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berjumlah RM4.4 bilion dengan 34 projek. Ia diikuti dengan Industri Pembuatan Barangan Elektrik dan Elektronik sebanyak RM1.5 bilion dengan 19 projek.

Tambahnya, jumlah itu menunjukkan Selangor masih kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan tempatan dan asing, malah pelabur tempatan menaruh harapan keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

“Kita menjangkakan Selangor akan terus berada di kedudukan nombor satu sehingga akhir tahun 2012,” katanya.

Untuk rekod, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2008 hingga Oktober 2012, Selangor muncul negeri tertinggi dengan jumlah sebanyak RM48.53 bilion

Sudahkah Musa Hasan jumpa kepintaran pembangkang?

Subky Abdul Latif, 14 Feb 2013
Saya sengaja hendak menyalin semula 12 perkara jaminan PAS upayakan Melayu dan Islam apabila bersama-sama Pakatan Rakyat berjaya membebaskan Putrajaya seperti yang disenaraikan dalam keluaran Harakah 8 – 10 Februari lalu.
1.    PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berasaskan prinsip-prinsip di atas.
2.    PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu/Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
3.    PAS tetap beristiqamah untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka Perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha pengupayaan Melalyu.
4.    PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkilatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah.
5.    PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapatan rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera.
6.    PAS akan terus mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain.
7.    PAS tetap akan memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam.
8.    PAS akan terus komited untuk menampilkan kepimpinan Melalyu yang bebas  rasuah dan penyelewangan di semua peringkat kepimpinan bermula daripada kepimpinannegara hingga kepimpinan komuniti.
9.    PAS tetap akan mempertahankan Tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan penempatan-penempatan rakyat yang mempunyai kpentingan  Melayu/Bumiputera seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang terpenting kekuatan  ekonomi Melayu.
10.    PAS akan terus mempertahankan warisan Melayu selagi tidak bertentangan dengan syarak,sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang.
11.    PAS tetap akan mempertahankan pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak kepentingan elimen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan.
12.    PAS akan terus berusaha memasakkan jati diri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris kepimpinan akan datang.

Yang disenaraikan di atas adalah antara contoh pelan, program dan otak pembangkang bagi membangunkan bangsa dan negara.

Ia baru mengenai memperkasakan Melayu. Belum lagi pelan dan program ekonomi, pendidikan, keselamatan dan lain-lain yang diperlukan oleh sebuah pembangunan negara.

Adakah Tan Sri Musa Hassan sudah membaca, mengkaji dan mendengarnya? Kalau beliau rajin sedikit membuat penyelidikan, maka dia akan jumpa  banyak kualiti dan keupayaan pembangkang untuk mentadbir negara jika diberi peluang.

Tiada ulasan: