Kakitangan awam diajak tukar ke kebebasan dan intergriti
Harakahdaily, | 07 Feb 2013 |
KUALA LUMPUR: Kakitangan perkhidmatan awam, termasuk polis dan tentera yang bosan dengan tekanan politik dalam kerja seharian mereka kini mempunyai jalan keluar daripada kemelut tersebut menuju kebebasan dan intergriti.
“PAS mengingatkan bahawa perkara ini boleh dihentikan dengan para kakitangan perkhidmatan awam, termasuk polis dan tentera membuat perubahan dalam pilihanraya ke-13,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelbagai tekanan dan paksaan yang dikenakan ke atas kakitangan-kakitangan bagi menyokong program dan agenda Umno dan pelbagai surat tunjuk sebab dikeluarkan yang langsung tidak berkaitan dengan tugas rasmi.
“Campur tangan melampau Umno juga menyebabkan ramai kakitangan ditukar, diberi amaran dan ditahan kenaikan gaji dan pangkat, semata-mata dilihat tidak menyokong Umno,” tambahnya.
Selagi Umno BN terus berkuasa, kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, para kakitangan perkhidmatan awam akan terus ditekan dan dibuli bagi menghadiri pelbagai program Umno dan melakukan perkara-perkara untuk agenda Umno, walaupun perkara itu bertentangan dengan naluri dan sifat mereka untuk kekal berdikari dan hak membuat pilihan sendiri.
Tuan Ibrahim turut mengesa seluruh kakitangan awam bertindak dengan bijak bagi menghentikan campur tangan melampau ini, dan bertindak keluar dari tekanan dan paksaan politik ini dengan memberi mandat kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13.
PAS, katanya bersama Pakatan Rakyat memberikan jaminan perkhidmatan awam akan dibiarkan bebas dan berdikari daripada cengkaman dan tekanan politik jika diberi mandat nanti.
“Para kakitangan awam tidak lagi perlu risau dan takut untuk melakukan perkara yang betul yang tidak disukai parti pemerintah sehingga menyebabkan mereka ditukar dan dipisahkan daripada keluar dan kesan kepada gaji, pangkat dan masa depan mereka di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang menjunjung konsep kerajaan bermoral dan adil seperti yang dituntut Islam,” tegas beliau.
Sejarah tercipta di Pulau Pinang dan Najib terpaksa menjanjikan perkara lain pula..
http://darisungaiderhaka.blogspot.com, | 07 Feb 2013 |
Nampaknya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksalah turun ke Pulau Pinang untuk menabur janji yang baru pula...
Ini kerana janjinya yang dibuat pada awal Disember 2012 yang lalu iaitu akan membina sebanyak 20,000 unit rumah mampu milik jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula pulau tersebut pada pilihan raya nanti telah dilaksanakan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang..
“Kita akan laksanakan tidak kurang daripada 20,000 unit rumah mampu milik,” kata Najib semasa ucapan perasmian Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia.
Beliau berkata janji perumahan itu tidak bersyarat dan membuktikan BN sebuah kerajaan yang mengambil berat tentang Pulau Pinang.
Dia kata janji itu tak bersyarat tapi perlu memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional Pulau Pinang.. apa tah dia cakap ni..
Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat hari ini telah mengumumkan akan membina 19,172 Unit Perumahan Mampu Milik diseluruh negeri Pulau Pinang..
Sekaligus mencipta sejarah sebagai negeri paling banyak membina rumah Mampu Milik berbanding dengan mana-mana Kerajaan Negeri terutamanya yang ditadbir oleh UMNO/BN..
Berikut adalah teks ucapan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa pelancaran pendaftaran Perumahan Mampu Milik di Komtar..
Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan anda semua ke majlis pelancaran yang ringkas tetapi bermakna bagi melancarkan pendaftaran minat untuk 1,840 rumah mampu milik di 2 kawasan iaitu Jalan SP Chelliah (1,320 units) di pulau dan Bandar Cassia, Batu Kawan (520 unit) di tanah besar. Pelancaran hari ini adalah permulaan kepada program bercita-cita besar RM500 juta Rumah Mampu Milik yang dijalankan kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membina 19,172 unit di seluruh Pulau Pinang, termasuklah di bahagian pulau.
RM500 juta ini dapat disediakan berikutan penjualan tanah kerajaan melalui tender terbuka. Kami mahu melakukan lebih lagi untuk Pulau Pinang dengan menjalankan usaha paling besar berbanding mana-mana kerajaan negeri dengan membina 19,172 unit rumah mampu milik. Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa 1,840 unit pertama akan dibina oleh pemaju swasta dan PDC, yang mana akan dikira berasingan.
Kerajaan negeri tidak membina apa-apa rumah tetapi membinanya melalui PDC mengikut model yang sama dengan kerajaan Persekutuan yang tidak membina rumah secara terus tetapi melalui agensi mereka, Syarikat Perumahan Awam Negara(SPAN). Ini menolak serangan tidak berasas oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri tidak membina satu pun rumah kos rendah.
Pagi ini, saya dengan sukacita memaklumkan bahawa sejumlah 1,320 unit rumah pangsa kos sederhana rendah dan pangsapuri mampu milik akan dibina di Jalan SP Chelliah sahaja. Ini terdiri daripada 770 unit pangsapuri 700 kaki persegi kos sederhana rendah RM72,500 sebuah, 303 unit pangsapuri 800 kaki persegi berharga RM200,000, 165 unit pangsapuri 900 kaki persegi berharga RM300,000 dan hanya 82 unit pangsapuri 1000 kaki persegi berharga RM400,000. Saya ingin menekankan bahawa pangsapuri bernilai RM400,000 terdiri daripada 6.2% daripada keseluruhan 1,320 unit di Jalan S.P. Chelliah.
PDC telah menetapkan dasar ini dari segi bilangan, saiz dan harga unit sebagai keperluan minimum di dalam Permintaan Cadangan (RFP) dengan tender terbuka yang berdaya saing untuk membangunkan projek rumah mampu milik Jalan SP Chelliah mengikut maklumbalas daripada beberapa pemaju. Dalam erti kata lain, sistem tender terbuka berdaya saing yang diamalkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membolehkan PDC memberikan lebih banyak kepada rakyat Pulau Pinang berdasarkan konsep ‘Harga Rizab’. Setakat ini 17 syarikat telah menghantar tawaran.
Memandangkan program Rumah Mampu Milik dijalankan oleh PDC, saya telah mengarahkan Dato Rosli Jafar untuk mematuhi julat harga dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan Negeri. Dato Rosli telah mengikut harga siling yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 September lalu iaitu RM72,500 hingga RM400,000 di kawasan bandar dan RM 72,500 hingga RM220,000 di kawasan luar bandar.
Sememangnya siling harga RM400,000 ditetapkan untuk kawasan bandar seperti George Town dan siling harga RM 220,000 untuk kawasan luar bandar seperti Batu Kawan. Saya kesal apabila kerajaan negeri dan arkitek profesional seperti Dato Rosli telah diserang dengan penipuan melalui media kawalan BN bahawa hanya pangsapuri RM400,000 sahaja yang dibina. Mereka yang bukannya profesional pun mahu bercakap seperti seorang arkitek. Biarlah arkitek profesional melakukan kerja mereka.
Jelas, adalah okey untuk Perdana Menteri melakukan sedemikain tetapi tidak okey untuk kerajaan negeri mengikut apa yang telah dilakukan Perdana Menteri. Hari ini rakyat Pulau Pinang dapat melihat terbongkarnya penipuan mereka kerana kebanyakkan rumah berharga antara RM72,500 hingga RM220,000. Malah juga tidak benar bahawa PDC akan mengaut keuntungan daripada program ini memandangkan ini ialah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat PDC.
Untuk Bandar Cassia, Batu Kawan, keseluruhan projek akan memperlihatkan lebih daripada 11,800 unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10-15 tahun. Buat masa ini, untuk Bandar Cassia Fasa 1, Batu Kawan, akan terdapat 149 unit pangsapuri 800 kaki persegi kos sederhana rendah RM72,000 sebuah. Akan terdapat 98 unit 900 kaki persegi berharga RM168,000 dan 273 unit 1,000 kaki persegi berharga RM220,000 untuk pendaftaran.
Bagaimanapun, fasa seterusnya bergantung kepada permintaan pasaran, PDC bercadang untuk meningkatkan secara berperingkat bilangan harga berpatutan pada RM168,000 lebih daripada 60%. Apa yang penting adalah keazaman PDC untuk membina rumah mampu milik dengan kualiti terbaik di Malaysia.
Projek Batu Kawan akan direka oleh Surbana International Consultants, yang bertanggungjawab terhadap rumah HDB Singapura yang terkenal di serata dunia. Apa yang kita nampak pada perumahan awam di Singapura dari segi kualiti, rekaan dan konsep harapnya akan ada di Batu Kawan dalam tempoh beberapa tahun.
Saya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil peluang mendaftar bagi rumah mampu milik di Komtar Concourse, MPSP Office di Bandar Perda dan pejabat PDC, Bayan Baru bermula hari ini sehingga 7 Mac 2013, dari 9 pagi – 5 petang setiap hari, termasuklah pada cuti umum ketika Tahun Baru Cina ini.
Sesiapa dengan pendapatan seisi rumah bulanan tidak melebihi RM3,500 adalah layak untuk memohon unit kos sederhana rendah, manakala mereka yang pendapatan seisi rumah bulanan melebihi RM3,501 layak untuk memohon pangsapuri mampu milik. Saya dengan sukacitanya melancarkan pendaftaran bagi rumah mampu milik di Jalan SP Chelliah dan Bandar Cassia, Batu Kawan. Terima kasih.
Kesimpulannya ialah rakyat Pulau Pinang tidak perlu menukar Kerajaan yang ada kerana projek yang dijanjikan oleh Najib itu kini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri..
Dan Najib terpaksalah menjanjikan sebuah janji yang baru pula....
Tahun Baru Cina: PAS Perak kunjungi media Cina
Muhammad Faeez Azahar, | 07 Feb 2013 |
IPOH: PAS Perak hari ini telah mengadakan kunjungan mesra ke pejabat- pejabat akhbar Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.
Kunjungan yang diketuai oleh Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussien itu telah mengunjungi enam pejabat syarikat akhbar iaitu Sin Chew Daily, Guang Ming Daily, Nanyang Siang Pau, The China Press, Kwong Wah Yit Poh dan Oriental Daily.
Kunjungan tidak rasmi itu disambut dengan penuh mesra oleh wartawan serta kakitangan pejabat dan PAS telah memberi buah limau tanda simbolik.
Ustaz Abu Bakar berkata, program yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk mengeratkan lagi kerjasama dan hubungan baik antara PAS dengan pihak media.
Kunjungan tersebut, katanya membuktikan PAS sangat menghargai jasa pihak media kepada parti itu dalam menyiarkan segala berita yang telus dan tepat.
Menurutnya, PAS Perak sangat berpuas hati dengan aspek pemberitaan akhbar Cina yang dilihat bersifat adil dengan memberi ruang kepada semua pihak.
“Kehadiran kami telah disambut dengan penuh mesra dan ini memberi gambaran bahawa semua media termasuk dari kalangan Cina begitu selesa dengan PAS,” katanya kepada Harakahdaily yang turut bersama dalam kunjungan tersebut.
Turut serta ialah Ketua Penerangan PAS negeri, Dr Nuri Al-Amin, Setiausaha Pemuda PAS negeri dan penolongnya, Salman Saleh dan Safarizal Saleh.
Yazid Sufaat, pekerja ditahan di kantin mahkamah
Harakahdaily, | 07 Feb 2013 |
KUALA LUMPUR:
Tangkapan ke atas Yazid Sufaat dan pekerjanya, Mohd Hilmi Hasim sekali
lagi memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli.
“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, hari ini kerajaan telah membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan terus menzalimi rakyat,” ujar Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Syukri Razab dalam satu kenyataan.
Hal ini, katanya menunjukkan selepas pemansuhan ISA, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian yang persis seperti ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas).
Berikut ialah kenyataan beliau.
Yazid Sufaat seorang bekas tahanan ISA telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di Kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta jam 12.30 tengah hari ini. Beliau ditahan bersama pekerja beliau Mohd Hilmi Hasim. Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani. Menurut Pegawai Penyiasat, Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan. Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
Sebaik ditahan, pihak polis membawa Yazid dan pekerjanya ke kediaman Yazid di Taman Bukit Ampang untuk digeledah. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Peguam Fadiah Nadwa Fikri yang sedang berada di kediaman Yazid, sehingga jam 4 petang Polis masih menggeledah. Peguam juga dimaklumkan bahawa Yazid dan Hilmi akan ditahan selama 48 jam atau dua hari menggunakan peruntukan Seksyen 5 (2) Akta yang sama. Seksyen 5 (2) juga memboleh pihak Polis menangguhkan hak orang yang ditahan untuk mendapat khidmat konsultasi guaman sehingga 48 jam dari tempoh ditahan. Walaubagaimanapun pihak Polis masih belum memaklumkan balai Polis tempat Yazid dan pekerjanya akan ditahan
Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) yang diluluskan parlimen pada Julai 2012 merupakan akta ganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ini memberi kuasa besar kepada pihak Polis untuk menahan orang yang dituduh sehingga 28 hari untuk tujuan siasatan tanpa melalui proses mahkamah. Orang yang dituduh juga boleh untuk tidak dibenarkan bertemu peguam dalam tempoh 48 jam atau dua hari selepas ditahan.
Selain menafikan hak tertuduh untuk mendapatkan pembelaan di mahkamah, Akta ini juga memberi ruang untuk pihak Polis membuat tangkapan secara wewenangan berdasarkan Klausa 4 (1). Klausa ini turut memberi kuasa kepada pihak Polis untuk membuat penangkapan tanpa waran.
Suaram mengutuk tindakan Pihak Polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia. Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan pihak Polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan.
Tangkapan ke atas Yazid dan Hilmi ini sekali lagi memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli. Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, hari ini kerajaan telah membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan terus menzalimi rakyat. Hal ini menunjukkan selepas pemansuhan ISA, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian yang persis seperti ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas). Suaram mendesak pihak Polis agar menghentikan sebarang tangkapan atau penyiasatan di bawah Akta Zalim ini. Suaram juga menggesa pihak Kerajaan Malaysia agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dimansuhkan segera.
“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, hari ini kerajaan telah membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan terus menzalimi rakyat,” ujar Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Syukri Razab dalam satu kenyataan.
Hal ini, katanya menunjukkan selepas pemansuhan ISA, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian yang persis seperti ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas).
Berikut ialah kenyataan beliau.
Yazid Sufaat seorang bekas tahanan ISA telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di Kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta jam 12.30 tengah hari ini. Beliau ditahan bersama pekerja beliau Mohd Hilmi Hasim. Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani. Menurut Pegawai Penyiasat, Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan. Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
Sebaik ditahan, pihak polis membawa Yazid dan pekerjanya ke kediaman Yazid di Taman Bukit Ampang untuk digeledah. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Peguam Fadiah Nadwa Fikri yang sedang berada di kediaman Yazid, sehingga jam 4 petang Polis masih menggeledah. Peguam juga dimaklumkan bahawa Yazid dan Hilmi akan ditahan selama 48 jam atau dua hari menggunakan peruntukan Seksyen 5 (2) Akta yang sama. Seksyen 5 (2) juga memboleh pihak Polis menangguhkan hak orang yang ditahan untuk mendapat khidmat konsultasi guaman sehingga 48 jam dari tempoh ditahan. Walaubagaimanapun pihak Polis masih belum memaklumkan balai Polis tempat Yazid dan pekerjanya akan ditahan
Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) yang diluluskan parlimen pada Julai 2012 merupakan akta ganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ini memberi kuasa besar kepada pihak Polis untuk menahan orang yang dituduh sehingga 28 hari untuk tujuan siasatan tanpa melalui proses mahkamah. Orang yang dituduh juga boleh untuk tidak dibenarkan bertemu peguam dalam tempoh 48 jam atau dua hari selepas ditahan.
Selain menafikan hak tertuduh untuk mendapatkan pembelaan di mahkamah, Akta ini juga memberi ruang untuk pihak Polis membuat tangkapan secara wewenangan berdasarkan Klausa 4 (1). Klausa ini turut memberi kuasa kepada pihak Polis untuk membuat penangkapan tanpa waran.
Suaram mengutuk tindakan Pihak Polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia. Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan pihak Polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan.
Tangkapan ke atas Yazid dan Hilmi ini sekali lagi memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli. Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, hari ini kerajaan telah membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan terus menzalimi rakyat. Hal ini menunjukkan selepas pemansuhan ISA, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian yang persis seperti ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas). Suaram mendesak pihak Polis agar menghentikan sebarang tangkapan atau penyiasatan di bawah Akta Zalim ini. Suaram juga menggesa pihak Kerajaan Malaysia agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dimansuhkan segera.
Kerajaan adil datangnya daripada pemimpin yang adil
Muhammad Fakhrurrazi Bin Ahmad, | 07 Feb 2013 |
Keadilan merupakan suatu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Keadilan merupakan tiang utama yang mengukuhkan sesebuah pemerintahan. Keadilan juga merupakan ikatan yang dapat menautkan rukun dan kasih antara pemerintah dan yang diperintah. Keadilan juga menjadi jaminan utama sesebuah negara itu kekal aman, damai dan harmoni di bawah lembayung rahmat Allah SWT.
Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menegaskan tentang konsep keadilan agar manusia dapat merasakan kepentingannya. Allah menggunakan pelbagai istilah untuk mengungkapkan makna keadilan seperti kalimah ‘al-Adl’, ‘al-Qisth’, ‘al-Wajnu’, ‘al-Wasth’ dan ‘al-Mizan’. Hal ini kerana keadilan yang dituntut oleh al-Quran mempunyai konteks yang lebih luas, bukan hanya dalam proses menetapkan hukuman atau menyelesaikan perselisihan sahaja. Bahkan al-Quran menuntut keadilan terhadap diri sendiri, baik dalam penulisan, pertuturan atau amal perbuatan.
Keadilan tidaklah patut ditafsirkan dengan kesamarataan atau kesaksamaan semata-mata. Keadilan juga tidak bermakna semua individu diberikan kebebasan sepenuhnya. Memahami definisi keadilan secara dangkal dan semberono mengakibatkan kita tenggelam di dalam pola pemikiran yang bersandarkan logik akal dan tenggelam dalam kemahuan hawa nafsu semata-mata.
Dalam merungkaikan definisi keadilan, kita perlulah menjadikan wahyu Allah SWT sebagai rujukan utama untuk memandu kita memahami konsepnya yang sebenar. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa; Ayat 58)
Berdasarkan ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa definisi yang paling tepat untuk merungkaikan maksud ‘Keadilan’ adalah, proses meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya, serta menyerahkan amanah kepada orang yang berhak menerimanya serta menjatuhkan hukuman dengan adil berpandukan syariat.
Melalui definisi ini, kita perlu memahami bahawa konsep keadilan memerintahkan agar amanah diserahkan kepada yang pihak berhak. Keadilan tidaklah bererti semua rakyat jelata mendapat hak yang setara. Ada perkara-perkara yang perlu sentiasa dipertimbangkan dan diperhalusi. Sebagai contoh; Seorang bapa mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Satu hari, dia mahu menghadiahkan mereka pakaian. Untuk bersifat saksama, dibelikan kedua-dua mereka baju Melayu dan songkok. Adakah tindakan ini adil? Sudah pastilah tidak. Hal ini kerana si bapa menzalimi hak anak perempuan yang sewajarnya memakai baju kurung sebagai lambang kewanitaannya.
Islam amat menitik beratkan soal memilih pemimpin yang adil. Hal ini kerana soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan akan dipersoalkan oleh Allah SWT terhadap kita pada hari kiamat. Di dalam kitab ‘al-Jami’ Li Ahkam al-Quran', Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa, "Bagi umat Islam, dalam memilih pemimpin mestilah daripada golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin".
Di dalam al-Qur’an juga Allah menyuruh kita agar menjauhi pemimpin yang zalim. Sebagaimana dikisahkan tentang Nabi Musa yang lari dari kezaliman Firaun dan pembesarnya:
“Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: Hai Musa, Sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu. Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut dan waspada, dia berdoa: "Ya Tuhanku, selamatkanlah Aku dari orang-orang yang zalim itu". (Surah al-Qasas: Ayat 20-21)
Umat Islam juga perlu menjaga keimanan mereka dan melindungi diri mereka daripada kesesatan. Allah menukilkan kisah Ashab al-Kahfi yang gigih mempertahankan akidah dan keimanan mereka dengan melarikan diri daripada kezaliman Maharaja Decius:
“Dan oleh sebab kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada sembahan-sembahan yang disembah mereka selain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di dalam gua nescaya Allah, Tuhan kamu melimpah kurniaan rahmat-Nya ke atas kamu dan menyediakan pertolongan terhadap urusan kamu”. (Surah al-Kahfi ; Ayat 16)
Allah SWT juga menegaskan bahawa urusan kepimpinan itu tidak akan diserahkan kepada orang yang zalim sekalipun mereka daripada keturunan yang mulia. Suatu ketika, Nabi Ibrahim berdoa memohon kepada Allah agar urusan kepimpinan diserahkan kepada zuriat baginda:
“Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam bagi umat manusia. Ibrahim berdoa: (Dan saya mohon juga) daripada keturunanku. Allah berfirman: (Permohonanmu diterima tetapi) janji-Ku ini tidak mengenai orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah : Ayat 124)
Sejarah Nabi Muhammad SAW yang berhijrah ke Madinah dari Makkah juga mempunyai kaitan yang amat signifikan. Perjalanan baginda sejauh 320 km yang penuh dengan ujian dan cubaan itu merupakan manifestasi kepada kepentingan membentuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama yang dikehendaki Allah SWT :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surahal-Baqarah : Ayat 218)
Cuai memilih pemimpin boleh menyebabkan seseorang itu dimurkai Allah SWT, maka urusan memilih pemimpin bukanlah perkara main-main. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati. Tersalah pilih boleh menyebabkan kita terperangkap di dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak pada hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (HR. Al-Bukhari)
Untuk membuatkan kita tidak memilih pemimpin yang salah, terlebih dahulu kita perlu memahami apakah ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin yang adil di sisi Islam:
1. Pemimpin yang adil wajib mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah. Dia seharusnya insaf bahawa mereka diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi hamba-Nya serta menggalas amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Prinsip ubudiyyah perlu diterapkan di semua peringkat pemerintahan. Firman Allah SWT:
“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah az-Zariyat : Ayat 56)
Kepimpinan yang adil wajib bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai teras utama pentadbiran dan panduan untuk menggubal undang-undang negara. Dia juga hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip masuliyyah di dalam melaksanakan amanah. Hal ini termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya." (Riwayat al-Bukhari)
Seseorang pemimpin itu perlulah menjadikan tuntutan Allah lebih diutamakan daripada tuntutan majoriti rakyat. Sebagai contoh, tuntutan golongan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) supaya hak mengamalkan gaya hidup songsang diperakui atas dasar hak asasi manusia tidak perlu dilayan . Hal ini kerana jika dituruti, akan mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan, mendatangkan kecelaruan pemikiran dan gangguan psikologi, tersebarnya penyakit berjangkit dan yang paling ditakuti, mendatangkan kemurkaan Allah SWT.
2. Kekuatan fizikal, spiritual dan mental yang kuat juga amat penting. Hal ini kerana kekuatan fizikal dapat memastikan kepimpinannya sentiasa teguh dan tidak diganggu gugat oleh sesiapapun. Kekuatan spiritual juga penting untuk menjadikan pemimpin itu kental menghadapi segala fitnah dan cubaan yang melanda terutamanya dalam era teknologi dan maklumat hari ini.
Rakyat juga perlukan pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi agar rakyat yakin bahawa mereka sentiasa dipandu dengan wawasan, misi dan visi yang jelas. Pemimpin juga perlu pandai menggunakan segala peluang yang ada, bijak berdiplomasi dalam urusan antarabangsa, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian serta mentadbir hasil mahsul negara dengan efisien.
Ciri-ciri ini ada pada Nabi Yusuf AS seperti diceritakan oleh Allah SWT:
“Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil negara (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirnya. Dan demikianlah caranya Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kepada yang Kami kehendaki, dan kami tidak menghilangkan balasan baik bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf : Ayat 55-56)
3. Seseorang pemimpin itu mestilah menjadikan kemaslahatan ummah sebagai perkara utama yang perlu difikirkan di dalam setiap tindakan yang diambil. Kemaslahatan ummah pula dapat dipelihara dengan menjadikan Maqasid al-Syariah sebagai landasan utama pentadbiran. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya 'al-Mustashfa', terdapat lima perkara penting yang perlu dipelihara dalam Maqasid al-Syariah iaitu agama (akidah), nyawa, akal, nasab keturunan dan harta.
Maqasid al-Syariah ini jika dipelihara akan menyebabkan kebajikan disebarkan kepada rakyat dan mengelakkan kesusahan daripada menimpa mereka. Firman Allah SWT, maksudnya:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang yang beriman." (Surah at-Taubah : Ayat 128)
4. Perbuatan pilih kasih perlu dijauhi oleh pemimpin yang adil. Para pemerintah dilarang untuk membeza-bezakan rakyatnya berdasarkan pangkat, darjat, keturunan, warna kulit, atau agama, bersesuaian dengan perintah Allah SWT, maksudnya:
“Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah : Ayat 8)
Dunia hari ini menyaksikan kepincangan ekonomi yang maha dahsyat akibat pendekatan pilih kasih yang diamalkan kerajaan Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat memastikan kepentingan golongan ultra-kaya dipelihara dengan menubuhkan Federal Reserve pada tahun 1913.
Federal Reserve memastikan agar bank gergasi yang mengamalkan riba sentiasa dilindungi dengan menyediakan kecairan aset sekiranya krisis kewangan berlaku. Kuasa yang ada pada Federal Reserve untuk mencetak wang juga menyebabkan golongan ini begitu berkuasa, terutamanya apabila standard ekonomi berasaskan emas dihapuskan oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971.
Akibatnya, krisis kewangan yang teruk berlaku apabila hanya golongan kaya dibantu dan golongan marhaen dipinggirkan. Inflasi dan deflasi terus menerus menjadi wabak. Abad ke-21 menjadi saksi keruntuhan sistem yang berat sebelah ini. Tahun 2007-2008 menyaksikan Great Recession berlaku di Amerika Syarikat hingga 2 juta orang kehilangan pekerjaan. Krisis itu juga menjadi kesan domino apabila merebak ke Eropah malahan di China juga dilaporkan sebanyak 6.7 juta orang telah kehilangan pekerjaan. Hingga kini, kesannya masih gagal dipulihkan.
5. Segala janji yang diucapkan perlulah ditunaikan. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh kawan dan lawan. Sifat berdusta menyebabkan masyarakat akan hilang kepercayaan kepadanya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sikap jujur dan amanah amat penting dalam pentadbiran. Pemimpin yang menipu rakyatnya tidak layak untuk dihormati. Apatah lagi jika pemimpin itu mempergunakan segala kelebihan yang ada padanya untuk kekal berkuasa. Mengawal media massa agar sentiasa memaparkan kebaikannya dan menutup kelemahannya juga adalah satu bentuk penipuan. Hal itu juga boleh dianggap sebagai suatu proses membodohkan rakyat secara terancang.
Kejatuhan rejim yang rakus mengekalkan kuasa haruslah dijadikan iktibar. Nama-nama seperti Raja Louis XVI, Tsar Nikolay Alexandrovich Romanov, Raja Farouk I, Mohammad Reza Shah Pahlavi, Ferdinand Marcos, Jeneral Soeharto, Saddam Hussein, Zine El Abidine Ben Ali, Hosni Mubarak dan ramai lagi adalah contoh bahawa bangkai gajah tidak dapat disembunyikan dengan nyiru dan kemenangan mutlak akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.
6. Akhlak dan budi pekerti yang baik adalah permata insan. Pemimpin perlu menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. Seperti yang disebut dalam al-Quran, maksudnya:
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa kan diri kamu sendiri. Padahal kamu semua membaca kitab Allah. Tidakkah kamu berakal?” (Surah al-Baqarah : ayat 44)
Secara logiknya, nasihat seorang pemimpin kepada rakyatnya untuk tidak boros dan berjimat cermat adalah lebih mudah diterima jika pemimpin itu terlebih dahulu mengamalkannya. Slogan “Kepimpinan melalui teladan” ini perlu dijiwai oleh golongan pemerintah, bukan hanya sekadar meniti di tepian bibir. Uswah hasanah ini akan memberi kesan yang positif kepada masyarakat yang dipimpinnya. Selain daripada itu, tindakannya akan turut membuatkan rakyat kasih kepadanya.
Kesimpulannya, tuntutan membentuk kerajaan yang adil adalah tanggungjawab semua. Kerajaan yang adil akan membuka pintu kepada segala kebaikan dan ketaatan, menegakkan hak dan kebenaran, menghapuskan kebatilan dan kezaliman, memakmurkan semua lapisan masyarakat, menjanjikan sokongan rakyat yang berterusan, menyebabkan pemerintahan Islam dihormati disegenap pelosok alam dan yang paling penting, menyebabkan pemimpin dan yang dipimpin mendapat redha Allah SWT. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA :
"Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh.” (Riwayat Imam Ahmad)
Muhammad Fakhrurrazi Bin Ahmad berasal dari Kampung Sungai Petai, Kuala Berang, Terengganu Darul Iman.
Peserta demo di Maran dipercayai turut berdemo di Kemaman
Khairil Abdul Rahim, | 07 Feb 2013 |
Ramli (empat dari kanan) bersama ahli PAS selepas membuat laporan polis hari ini.
MARAN: Pengarah Briged Keselamatan PAS Pahang, Ramli Abdul Rahman, hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis di sini berikutan perhimpunan provokasi dipercayai didalangi Umno di perkarangan masjid As-Syakirin, di sini petang semalam.
Katanya, perhimpunan sekitar 20 orang individu yang mengaku kononnya penyokong PAS itu, dipercayai orang yang sama yang berdemo di Kemaman, Terengganu kelmarin dan bergerak ke seluruh negara untuk tujuan yang sama.
Tambahnya, kumpulan yang menyamar penyokong PAS ini yang dipercayai diupah, menjerit dan memekik kononnya bagi menyelamatkan kalimah Allah dengan jelas mengaitkannya sebagai agenda PAS dan DAP sedangkan Umno sebagai penyelamat.
“Petang semalam kira-kira pukul 5.30 petang sekitar 20 orang telah membuat himpunan provokasi di masjid daerah dan mereka dilihat membawa sepanduk yang mempunyai logo PAS. Mereka juga memijak gambar Lim Guan Eng dan bendera DAP.
“Malam tadi peristiwa itu telah disiarkan melalui Buletin Utama TV3, Astro Awani dan akhbar Utusan Malaysia hari ini.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya penglibatan ahli-ahli PAS atau Pakatan Rakyat dalam insiden ini malah tidak tahu menahu langsung, sebaliknya hairan bagaimana media Umno boleh berada di situ,” katanya selepas membuat laporan.
Turut hadir Naib Yang Dipertua PAS Maran Shaharuddin Omar, Setiausaha Kawasan Mohd Nor Saleh, Ketua PKR Maran Boestamin Bakar dan kira-kira 20 penyokong.
Ramli yang juga ahli jawatankuasa PAS Maran berkata, mereka memandang serius terhadap penyamaran dan penggunaan logo PAS oleh individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai didalangi oleh ahli Umno.
“Pihak kami juga kesal dengan tindakan TV3, Awani dan Utusan Malaysia yang telah menyiarkan berita ini tanpa usul periksa atau merujuk terlebih dahulu kepada PAS.
“Laporan dibuat hari ini untuk meminta pihak polis menyiasat tentang penyamaran yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab itu bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini terutama ketegangan antara kaum dan agama,” katanya.
Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, kesal isu kalimah Allah dipolitikkan begitu sekali oleh pihak yang hanya mahu memporak-perandakan keamanan bagi tujuan pilihan raya.
Serentak dengan itu, katanya, PAS Pahang akan mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman mana-mana individu yang menyamar sebagai ahli PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan