Banyak masalah nampakkan Najib PM paling lemah
Harakahdaily, | 08 Feb 2013 |
Katanya, walaupun dari segi fizikal Najib nampak tegap dan gagah, namun beliau sebenarnya diselubungi pelbagai masalah peribadi dan keluarga.
Sejarah lima Perdana Menteri yang lepas kata Idris tidak pernah kedengaran berhubung penglibatan aktif isteri mereka di dalam pentadbiran.
"Macam-macam isu dikaitkan dengan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sehingga menjadi buah mulut di kalangan pemimpin Umno.
"Sekarang mereka hanya memendam rasa, akan meletup apabila tiba masanya," katanya.
Selain itu ujar Idris, isu misteri pembunuhan warga Mongolia Antatuya Shaaribuu masih menghantui Najib dan sedikit sebanyak menganggu pemikiran beliau.
Najib juga jelasnya dilihat lemah untuk membaik pulih Umno dan meningkat pengurusan ekonomi.
Beliau kata Idris hanya boleh mencipta beberapa slogan transformasi tetapi masih tidak berisi.
"Beliau memang terkenal sebagai pemimpin sejak muda lagi hanya pandai mengumpan, bukan menyelesaikan masalah pokok," tegasnya.
Mengulas isentif yang diperkenal Najib pula, beliau berkata, BRIM contohnya diberikan kerana untuk umpan pilihanraya dan bukan satu mekanisme jangka panjang.
Malah ia sebenanrnya melibatkan peningkatan hutang negara secara berterusan.
Beliau turut mempersoal apa perancangan Najib untuk mengurang hutang negara sehingga mencecah RM502 bilion sehingga 2012 lalu.
"Hutang negara pada tahun 2009 hanya RM363 bilion meningkat sebanyak RM139 bilion dalam masa empat tahun," katanya lagi.
Lebih malang kata Idris, Najib dilihat lebih berminat mencuri idea yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat untuk membuat kebajikan.
Namun apa yang dijanjikan Pakatan Rakyat adalah dengan menggunakan wang lebihan, bukan pinjaman seperti yang dibuat Najib.
Kelemahan lain Najib lagi katanya termasuk gagal menangani masalah pengaliran wang haram hampir RM200 bilion.
Selain itu zaman Najib juga menyaksikan 271 ekar tanah KTMB di Tanjung Pagar terlepas kepada Singapura.
Isu mengaitkan Datuk Musa Aman Ketua Menteri Sabah yang dituduh menerima wang RM40 juta daripada tauke balak juga mencalar imej Najib.
Paling memberi kesan kepada anak muda adalah masalah pengangguran di kalangan siswazah hingga mencecah 76,200 orang.
"Najib bernasib malang kerana beliau memimpin Umno di era ledakan teknologi maklumat, di mana rakyat tidak boleh ditipu.
"Ditambah pula dengan masalah peribadi sehingga masih tidak bertemu tarikh pilihanraya.
"Beliau begitu trauma untuk menentukan tarikh, kerana membayangkan jika BN kalah maka bebanan akan dihempap kepada beliau," kata Idris.
Jelajah kebangkitan pendidik di Johor esok
Normala Sudirman, | 08 Feb 2013 |
Program Jelajah yang bakal diadakan ini bakal berlangsung dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan Persatuan Gerakan kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK) juga Sukarelawan Pendidikan Rakyat Kebangsaan (NGO KAWAN).
Program bermula dengan Motivasi & Pemantapan Jatidiri Pendidik 2013 pada jam 9.00 pagi di Dewan Utama TJ Mart Saleng,Kulai Johor. Sasaran peserta adalah semua guru warga pendidik dari pelbagai institusi seperti PASTI Negeri Johor, Guru KPM, Ustaz ,Ustazah ,Pesara Perkhidmatan Pendidikan ,aktivis pendidikan, NGO PENDIDIK, NGO KAWAN dan ahli pas yang berminat mengikuti isu pendidikan dan perguruan di Malaysia.
Manakala jam 2.00 petang pula akan disambung dengan Pelancaran Konvoi Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan di No.31B,Jalan Ledang 25, Taman Bukit Tiram,Ulu Tiram Johor. Edaran Risalah 'Hit & Run' akan disertai dan diiringi dengan 25 buah kereta dan diiringi kenderaan bermotor bakal mengikutI siri jelajah ini ke beberapa tempat tumpuan di DUN Puteri Wangsa.
Tepat jam 9 malam pula "Ceramah Bangkit Pendidik Memimpin Perubahan" akan membariskan tokoh dan ikon pendidikan yang telah mewarnai landskap perjuangan Parti Islam SeMalaysia PAS bertempat di Dataran PASTI Al- Irfan7, No.1, Jalan Beladau 43,Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram Johor.
Antara barisan penceramah yang akan bersama ialah Dato' Salleh Jaafaruddin (Mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia), Tn. Hj. Ramlan Bin Sariman (Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Johor), Dato' Hj. Adnan Bin Ibrahim (Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak) selain daripada YB Salahuddin Bin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Dato Mahfodz Bin Mohamed (Pesuruhjaya PAS Negeri Johor).
Turut menyerikan program yang bakal melakar sejarah itu adalah YB Hjh Halimah Bin Ali (Ecxo Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor).
Ceramah boleh dilayari serentak di seluruh dunia di www.ustream.tv/channel/cikgumalatv. Sebarang kemusykilan boleh menghubungi di talian 013-77717009 (Ustaz Abdullah Husin) atau 013- 718 62899 (Ustaz Aminuddin).
Saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Negeri Johor merangkap Presiden NGO PENDIDIK menyeru agar semua rakyat Johor yang prihatin dan peka dengan isu pendidikan dan perguruan di Malaysia agar hadir beramai- ramai bagi menjayakan program Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan ini.
Sudah tiba masanya warga pendidik bangkit membuat perubahan untuk menggerakkan gelombang kesedaran rakyat agar membebaskan minda dan jiwa mereka dari sebarang campur tangan politik yang akan merugikan anak bangsa yang pewaris kepimpinan akan datang dalam persada pendidikan negara.
Kerajaan adil, negara stabil
Nik Muhammad Nasri , | 08 Feb 2013 |
Allah berfirman di dalam al-Quran, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58)
Sebab turun ayat
Ayat di atas turun ketika Nabi Muhammad SAW membuka Makkah dalam peristiwa Fath Makkah. Nabi memanggil Uthman bin Talhah yang memegang kunci Kaabah. Nabi bersabda: “Unjukkan aku anak kunci Kaabah.” Uthman membawa anak kunci tersebut. Apabila Nabi membuka tangannya untuk menerima kunci, Al-Abbas bangun lalu berkata: “Aku bersumpah dengan bapa dan emakku. Berikan kunci itu supaya aku himpunkan dengan tugas memberi minum jemaah Haji.” Uthman menahan tangannya. Nabi bersabda: “Berikan kunci itu wahai Uthman!” Uthman berkata: “Nah! Ambillah dengan amanah dari Allah.”
Nabi bangun dan membuka pintu Kaabah. Baginda keluar dari Kaabah lalu bertawaf. Jibril turun kepada Nabi memberitahunya supaya mengembalikan anak kunci tersebut. Nabi memanggil Uthman lalu diberikan kembali anak kunci tersebut. Kemudian Nabi membaca ayat Surah an-Nisa. ayat 58 ini.
Maksud dan huraian ayat
Jelas kepada kita dari sebab turunnya ayat di atas pentingnya sifat amanah dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman dan dalam semua keadaan. Sifat amanah, berhukum dengan adil adalah di antara ciri-ciri istimewa agama Islam. Ia mesti ada kepada mereka yang diberikan amanah dan tanggungjawab menghukum di antara manusia.
Sifat amanah dan adil banyak disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Di antaranya firman Allah, Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami (Allah) kemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang (untuk memikulnya). Semuanya enggan memikul amanah itu dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya. Dan manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia itu suka melakukan kezaliman dan sangat jahil.” (Surah al-Ahzab : ayat 72)
Ibn Abbas berkata: ‘Amanah yang dimaksudkan ialah perkara ketaatan dan yang diwajibkan. Dibentangkan amanah itu kepada langit, bumi dan gunung-ganang sebelum dikemukakan kepada Adam. Mereka tidak mampu memikulnya.’ Itulah firman Allah: Maksudnya: “Dan manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia itu suka melakukan kezaliman dan sangat jahil.”
Al-Hakim at-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Abbas, katanya: Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Allah berfirman kepada Nabi Adam: “Wahai Adam! Aku kemukakan amanah itu kepada langit dan bumi tetapi mereka tidak mampu memikulnya. Adakah engkau bersedia memikulnya dengan semua perkara yang ada di dalamnya? Adam bertanya: “Wahai Tuhan! Apa yang ada di dalamnya? Allah berfirman: “Jika kamu buat baik, kamu dibalas dengan kebaikan. Jika kamu sia-siakan, kamu akan disiksa.” Adam menerima dan bersedia memikulnya. Adam tidak lama tinggal di dalam syurga melainkan sekadar waktu di antara solat pertama dan waktu Asar sehingga akhirnya syaitan menyebabkan dia terkeluar darinya.
Amanah merangkumi perkara taat kepada Allah dan perkara yang diwajibkan yang ada kaitan dengan pahala dan dosa. Ini termasuk amanah harta seperti simpanan dan amanah yang ada pada tubuh badan sendiri seperti pancaindera. Bahkan dalam setiap ibadat yang dilakukan ada ciri amanah yang mesti disempurnakan.
Dalam konteks sebuah kerajaan moden ia meliputi wang negara, wang rakyat, agensi kerajaan, jabatan, peruntukan, pelbagai tabung dan lain-lain. Mengkhianati amanah awam ini sangat besar dosanya kerana melibatkan banyak wang dan banyak pihak disebabkan sifat tidak amanah seorang dua atau beberapa orang yang fasik. Inilah yang kita dengar dari Laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai skandal melibatkan pemimpin besar dalam negara yang berkaitan dengan harta awam ini. Mereka tidak ada sifat amanah dan mereka sebenarnya tidak layak memikul amanah itu.
Firman Allah dalam ayat yang lain, maksudnya:
“Dan orang yang memelihara amanah (yang dipikulnya) dan janji-janjinya.” (Surah al-Mukminun : ayat 8)
Serta firman-Nya, maksudnya:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal : ayat 27).
Ayat-ayat al-Quran di atas menekankan kepentingan dan kelebihan sifat amanah, menunaikan janji dan amaran supaya tidak mengkhianati amanah dalam pelbagai aspeknya.
Begitu juga hadis-hadis Nabi SAW yang menyebutkan tentang sifat amanah dan adil. Di antaranya, maksudnya:
“Tidak sempurna iman bagi orang yang tiada sifat amanah. Tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menunaikan janji.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban daripada Anas bin Malik).
Menunaikan amanah adalah kewajipan. Apabila disia-siakan amanah maka tunggulah saat kehancurannya. Justeru, melantik pemimpin yang memimpin sebuah kerajaan yang penuh amanah adalah satu nikmat yang besar dari Allah. Di situlah turunnya rahmat, datangnya berkat, selesanya hidup rakyat tanpa ada perasaan takut diganggu-gugat.
Selepas sifat amanah ditunaikan datang pula giliran berhukum dengan adil antara manusia. Justeru, sifat amanah dan adil menjadi dua asas penting hukum Islam. Sama ada berkait dengan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, politik, ekonomi, sosial dan seluruh sistem kehidupan.
Konsep Adil Dalam Islam
Perkataan adil mempunyai makna yang luas dan sangat bererti. Menurut Ibn Atiyyah: ‘Adil ialah melaksanakan setiap perkara fardhu yang terdiri dari akidah, syarak dan hubungan dengan manusia dalam menunaikan segala amanah, meninggalkan kezaliman, prihatin dan memberikan hak. (al-Bahr alMuhit j 5/ms 529)
Menurut Al-Baidhawi: ‘Adil ialah pertengahan dalam urusan aqidah, amalan dan akhlak.’
Adil ialah memberikan hak kepada empunyanya tanpa kurang dan meletakkan sesuatu pada tempat yang layak dengannya. Adil menjadi topik perjuangan para Nabi dan rasul sepanjang zaman. Ia menjadi prinsip utama yang diperjuangkan oleh para pemimpin yang benar. Adil adalah asas kepada sebuah pemerintahan. Ia menjadi ciri penting mengukur sebuah tamadun untuk membangun, maju atau sebaliknya. Apabila keadilan ditegakkan, kehidupan mereka akan sejahtera. Ia membangkitkan nilai positif lain sehingga menjadikan masyarakat itu benar-benar hidup dalam sebuah sistem yang boleh melindungi mereka.
Akal yang waras sentiasa mahukan keadilan ditegakkan. Bagi sebuah masyarakat, keadilan mesti ditegakkan sehingga orang yang lemah dapat mengambil balik haknya. Orang yang kuat tidak akan melampaui batas kepada mereka yang lemah. Keamanan akan tercapai dan sistem akan tersusun dengan baik.
Keadilan adalah prinsip kemanusiaan sejagat. Sebuah bangsa terhormat ingin mencapai nilai keadilan ini, sekalipun agak berbeza dari segi pendekatan dan metodnya bagi mencapai keadilan yang diimpikan itu.
Berdasarkan hakikat pentingnya sifat adil ini, maka perintah supaya berlaku adil sangat banyak di dalam al-Quran. Di antaranya ialah firman Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl : ayat 90)
Menurut Abdullah bin Mas’ud, ayat al-Quran ini merupakan ayat terbaik yang menghimpunkan kebaikan dan kejahatan.
Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Muhammad bin Kaab al-Qurazi, katanya: Umar bin Abdul Aziz memanggilnya lalu berkata: ‘Beritahu saya sifat adil’ Saya (iaitu Muhammad) berkata: ‘Bakhin (iaitu satu perkataan yang menunjukkan besarnya pertanyaan itu). Engkau bertanya mengenai satu perkara yang sangat besar. Jadilah bapa kepada manusia yang kecil, anak kepada manusia yang lebih dewasa, saudara kepada mereka yang sebaya, begitu juga bagi perempuan. Balaslah manusia menurut kadar dosa/kesalahan mereka dan kadar tubuh mereka. Jangan kamu pukul seseorang satu rotan kerana ikutkan emosi, kelak kamu dianggap melampaui batas.’
Ibn al-Arabi membahagikan keadilan kepada tiga bahagian:
1. Adil dengan Allah iaitu mengutamakan hak Allah mengatasi kehendak peribadi, mencari redha Allah daripada menuruti hawa nafsu sendiri, menjauhi larangan dan menjunjung perintah Ilahi.
2. Adil dengan dirinya sendiri iaitu menegah diri daripada melakukan sesuatu yang menyebabkan dirinya binasa, menahan sifat tamak kerana menurut kehendak syarak, membiasakan diri dengan sifat memadai dan mencukupi pada setiap masa dan keadaan.
3. Adil dengan manusia lain iaitu bersedia berkorban, tidak khianat dalam perkara kecil atau besar, merasai denyut nadi kesusahan orang lain, tidak menyakiti orang lain dengan perkataan dan perbuatan, sabar menghadapi ujian disebabkan manusia lain.
Jika dilihat kupasan Ibn al-Arabi mengenai keadilan ini dalam konteks sebuah kerajaan yang adil, maka perlaksanaan sifat adil itu yang mengambilkira ketiga-tiga aspek di atas tentu sekali menjadikan urus tadbir kerajaan tersebut yang merangkumi semua agensi di bawahnya sebagai sesuatu yang tiada tolok banding dari segi kehebatannya.
Al-Quran juga menyebut mengenai keadilan dalam berucap sekalipun terhadap kaum keluarga dan ketika bercerita mengenai harta anak yatim dan melakukan aktiviti ekonomi. Ini terdapat dalam surah Al-An’am ayat ke 152.
Allah berfirman, maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencianmu kepada sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (surah al-Maidah : ayat 8).
Prinsip keadilan sejagat sangat jelas dari ayat di atas. Allah mengingatkan orang mukmin yang dilantik menjadi pemerintah agar berlaku adil sekalipun terhadap musuh atau mereka yang tidak sebulu dengan pemerintah. Berlaku adil adalah manifestasi dari takwa dalam diri.
Hadis-hadis Nabi SAW juga banyak mengungkapkan mengenai keadilan ini. Di antaranya hadis yang bermaksud: ‘Umat ini sentiasa berada dalam kebaikan selama mana ia benar dalam percakapan, adil dalam menjatuhkan hukuman, mempunyai sifat belas kasihan apabila diminta supaya belas kasihan.’
Dalam satu riwayat daripada Ali bin Abi Talib, katanya: ‘Menjadi tanggungjawab pemerintah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila ia melakukan demikian wajiblah ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita supaya menunaikan amanah dan berlaku adil, kemudian memerintahkan supaya mentaatinya.’
Apabila kita bercakap mengenai adil, maka lawannya ialah zalim. Sebagaimana Allah menyanjung sifat adil, maka begitu juga Allah memberi amaran kepada mereka yang zalim dalam firman-Nya, yang bermaksud:
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) akan terbelalak.” (Surah Ibrahim : ayat 42).
Ayat di atas mengingatkan kepada si zalim, termasuk kerajaan yang tidak berlaku adil kepada rakyatnya supaya jangan merasa selesa, aman, tenteram dan tidak ada apa-apa balasan dari perbuatan zalim mereka terhadap rakyat kerana Allah tetap akan membalasnya di akhirat nanti.
Di antara bentuk kezaliman yang besar ialah berhukum dengan hukuman yang lain dari apa yang diturunkan oleh Allah dan kezaliman pemerintah itu sendiri. Hal ini kerana kezaliman pemerintah berkait dengan rakyat. Implikasi dari zalim atau adilnya pemerintah akan memberi kesan langsung kepada rakyat itu sendiri.
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang menerangkan Allah telah mengharamkan kezaliman ke atas zat-Nya Yang Maha Mulia dan mengharamkan kezaliman sesama manusia.
Nabi SAW Tegakkan Keadilan
Rasulullah SAW menegakkan keadilan dalam seluruh aspek hidup, sama ada secara peribadi, dalam keluarga, dalam kalangan sahabat dan dalam pemerintahan. Contohnya, Nabi SAW menyelesaikan pertikaian antara kabilah Arab meletakkan Hajar al-Aswad di dalam peristiwa Kaabah dibina semula selepas runtuh disebabkan banjir dengan cara tersendiri yang memuaskan semua kabilah. Nabi SAW berlaku adil dalam kalangan para isterinya walaupun bilangan mereka ramai. Baginda mengiktiraf Perjanjian Fudhul yang dimeterai ketika zaman jahiliah oleh kabilah Arab bagi memerangi kezaliman. Nabi SAW melaksanakan hukuman qisas iaitu balasan setimpal kepada seorang Yahudi yang melukakan kepala seorang hamba perempuan.
Kesimpulan
Pemerintah yang adil mendapat naungan Arasy Allah di akhirat. Mereka yang berjuang menegakkan kerajaan yang adil mendapat pahala yang besar. Rahmat dan berkat turun kepada pemerintahan yang adil.
Penulis berasal dari Kampung Gong Limau, Cukai, Kemaman, Terengganu dan merupakan penceramah bebas.
Guru terbeban, Umno-BN peduli apa!
Guru penat, |
Hakikatnya, sejak sekian lama kami diperlakukan sesuka hati, dijadikan tikus makmal dan bermacam-macam lagi.
Yang terbaharu ialah perubahan waktu kerja bagi sesetengah sekolah/aliran telah dilanjutkan sehingga ke jam lima, sama seperti kakitangan pentadbiran. Cuti tahunan juga telah dikurangkan dan kerja-kerja pengkeranian semakin bertambah.
Pada masa yang sama, gaji atau elaun tidak bertambah dan syarat untuk kenaikan skim tidak banyak membantu memotivasikan para guru. Semua itu tidak termasuk, kerja lebih masa dan tanggungjawab mengurus anak murid dalam aktiviti kokurikulum pada hari Sabtu atau Ahad.
Hakikatnya bukanlah kami terlalu berkira soal gaji atau imbuhan, tetapi berilah hak kami yang sepatutnya. Jangan bebankan kami dengan tugasan yang tidak sepatutnya dan pada yang sama menyalahkan kami jika prestasi para murid tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Sesungguhnya kami bukan robot yang tiada hati dan perasaan. Boleh diarah itu dan ini sesuka hati. Dibebankan dengan pelbagai dasar yang dirangka oleh mereka yang langsung tidak faham kerjaya dan susah payah seorang guru. Kami juga ada keluarga yang perlu diberi perhatian.
Mungkin ada yang berkata, kalau tidak sanggup semua itu jangan minta jadi guru. Ya, mungkin betul dari satu sudut, tetapi banyak perubahan dasar berlaku setelah kami berkhidmat dan perubahan itu sebahagiannya hanya untuk memuaskan hati pihak atasan atau menteri.
Bagi kami, tiada lagi harapan yang tinggal pada Umno-BN untuk mendengar rintihan kami. Apatah lagi, setiap lagi menteri baru dilantik, jaminan sama yang diberikan, tetapi sehingga kini tiada apa-apa perubahan, malah beban kerja makin bertambah, bukan berkurang.
Kami berharap, Pakatan Rakyat memenangi PRU13 nanti dan membela nasib guru.
AES: Peguam Negara diminta nasihat menteri
Muhammad Faizal, | 08 Feb 2013 |
Penasihat Undang-undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff berkata menteri itu seharusnya memahami sesuatu perkara sebelum mengeluarkan kenyataan agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
"Saya mengesa agar AG segera menasihati menteri agar menutup mulut dan belajar undang-undang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Adakah menteri faham apa itu saman sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa saman perlu dibayar, adakah menteri membaca kandungan Saman AES yang Kementeriannya keluarkan kepada orang yang dikatakan melakukan kesalahan," tegas Zulhazmi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di dalam sebuah akhbar tempatan.
Kong Cho Ha memberitahu penerima Saman AES perlu membayar saman-saman tersebut walaupun Peguam Negara telah menangguhkan semua prosiding Saman AES di Mahkamah.
Malah Kong Cho Ha juga turut menyatakan, bahawa saman AES adalah sah mengikut undang-undang justeru penerima saman hendaklah membayar saman-saman tersebut.
Tambahnya lagi, menteri perlu merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan dan Peguam Negara berkaitan persoalan undang-undang sebelum menteri mengeluarkan kenyataan.
"Saman tidak kira ianya melibatkan AES atau bagi kesalahan trafik yang lain bermaksud suatu arahan untuk hadir ke Mahkamah bukan arahan untuk membayar.
"Kompaun hanyalah suatu tawaran jika tidak mahu ke Mahkamah tetapi bukan suatu kewajipan untuk membayar kerana ianya suatu tawaran sahaja," jelas Zulhazmi lagi.
Zulhazmi menegaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan bahawa saman AES perlu dibayar itu adalah salah dari sudut undang-undang.
"Jika tidak tahu lebih baik bertanya supaya nanti rakyat tidak akan kata bahawa Menteri tidak tahu undang-undang.
"Bagaimana Menteri hendak menggalakkan rakyat mengikut undang-undang sedangkan Menteri sendiri tidak tahu undang-undang," sambungnya lagi.
Beliau yang turut merujuk kepada gesaan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman pada 1 Februari 2013 yang lepas menyarankan AG agar menarik balik semua saman AES dan memulangkan bayaran kompaun dan denda yang telah dibayar oleh penerima saman.
Namun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman dibuat oleh AG berkaitan prosiding AES di Mahkamah dan juga terhadap saman yang telah dikeluarkan.
"kami nasihatkan penerima saman supaya jangan gundah, jangan keliru.
"Saman ialah arahan ke Mahkamah bukan arahan membayar, jika ke mahkamah pun tidak perlu kerana ditangguhkan oleh Peguam Negara, maka tidak perlulah ke Mahkamah," kata beliau.
Kerajaan negeri jawab Syabas isu air S'gor
Harakahdaily, | 08 Feb 2013 |
Penjelasan itu dilihat sebagai menjawab tohmahan yang dibuat Syabas melalui risalah yang diedar di beberapa kawasan khususnya yang terlibat dengan gangguan bekalan air baru-baru ini.
Antara kandungan dalam akhbar itu, Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan fakta kegagalan Syabas menguruskan air di negeri itu.
Antara kegagalan itu termasuk gagal mengedarkan dengan baik air mentah yang dirawat, tangki dan pam tidak diselenggara serta pemantauan yang lemah sehingga air hilang akibat bocor dan dicuri.
Selain itu, ianya juga turut menjelaskan berhubung pendirian Syabas untuk menaikkan tarif air tetapi pada masa sama peratus Non Revenue Water (NRW) tidak dikurangkan.
NRW adalah kadar air yang hilang akibat paip bocor dan dicuri.
Dalam penjelasan itu, mereka mendakwa NRW ketika ini adalah 33 peratus.
Ia bermakna daripada 100 unit air terawat di dalam loji, hanya 67 unit sahaja sampai kepada pengguna manakala bakinya 33 peratus atau 663 juta liter sehari hilang entah ke mana.
"Mengikuut perjanjian penswastaan 2004, jika tarif air ingin dinaikkan, peratus NRW perlu diturunkan," kandungan akhbar itu dipetik.
Oleh yang demikian, kerajaan negeri terpaksa menyekat Syabas menaikkan tarif air kerana syabas gagal menurunkan kadar NRW.
Selain itu, mereka juga turut menjelaskan berhubung isu Capex dan punca kepada masalah berlakunya gangguan air baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan