Jumaat, 22 Februari 2013

JANGAN BURUK PERANGAI....BURUK PERANGAI MASUK NERAKA ALLAH SWT

Kabin mungkin jadi bilik gerakan pilihan raya

Harakahdaily, 21 Feb 2013



KUALA LUMPUR: Tindakan pihak yang meletakkan kabin di atas taman permainan dan tanah rizab amat dikesali dan dibimbangi akan digunakan untuk bilik gerakan pilihan raya.

Kabin-kabin telah mula diletakkan di kawasan Dewan Negeri Chempaka sejak awal tahun ini walaupun tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, berdasarkan maklumat daripada penduduk tempatan, kabin-kabin itu telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Katanya, penduduk tempatan mendakwa kabin itu akan digunakan sebagai bilik gerakan beliau untuk pilihanraya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Saya berharap beliau akan tampil ke hadapan memberi penjelasan sekiranya dakwaan penduduk adalah tidak benar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, adalah menjadi polisi Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak membenarkan kawasan-kawasan lapang, taman-taman permainan dan tanah-tanah rizab dicerobohi.

Katanya, kejadian di Chempaka itu telah dibangkitkan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor semalam dan Menteri Besar akan bertemu dengan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, esok.

“Tindakan daripada Pihak Berkuasa Tempatan dilihat sebagai terlalu perlahan kerana tapak kabin itu dan kawasan di sekelilingnya boleh disimen tanpa sebarang tindakan daripada mereka. Sudah tentu kerja-kerja ini memakan masa beberapa hari,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Menurutnya lagi, kabin yang diletakkan itu telah mengurangkan kawasan untuk orang ramai terutamanya kanak-kanak berekreasi.

Tambahnya, tindakan membolot kawasan untuk orang ramai bagi kegunaan kelompok tertentu adalah satu tindakan yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat dan juga tidak bermaruah.

“Sebelum ini terdapat penduduk yang meminta saya menyokong permohonan mereka untuk meletakkan kabin di atas kawasan lapang, taman permainan dan tanah rizab.

“Walau bagaimanapun saya tidak pernah menyokong mana-mana permohonan tersebut.

“Saya bertegas bahawa kawasan-kawasan tersebut adalah untuk kegunaan seluruh rakyat dan tidak wajar dimonopoli oleh sesiapa,” ujarnya lagi.

Amanat Tok Guru di Himpunan Wanita Kelantan

Aslani M, 21 Feb 2013
KOTA BHARU: Ketika Umno melalui agen sibuk membodek anak-anak Kelantan di perantauan dengan pelbagai tawaran, namun ia tidak menghalang mereka hadir pula pada program anjuran kerajaan negeri.

Malah program yang dianjurkan sejak setahun lalu sudah diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan).

Dan pada Sabtu ini (23 Febuari) sekali lagi program serupa diadakan dan kali diurusetiakan Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan.

Himpunan Wanita Kelantan di Perantauan itu akan diadakan di Bazar Pusat Bandar, Taman Melawati, Jalan Negara, Kuala Lumpur bermula jam 4 petang hingga 12 malam.

Anak-anak Kelantan yang berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berpeluang beramah mesra dan mendengar amanat disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Zainiah Abdul Halim (gambar) berkata, pelbagai program menarik diadakan termasuk cabutan bertuah, persembahan dikir barat dan kuiz “Ambo Banggo Jadi Anak Kelate”.

“Selain itu pertandingan mewarna, melukis, hadiah belon dan ais krim kepada kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa,” katanya di sini.

Selepas solat Asar diadakan sembang santai bersama VIP dan selebriti yang akan mengupas tajuk “Kelantan Menerajui Perubahan”.

Program berkenaan menampilkan artis Wan Aishah Wan Arrifin, Dr Nadzirah Mohd (pensyarah), Zawati Ibrahim (usahawan Jati Mas Sdn Bhd) dan peguam Mumtaz Md Nawi.

Program berkenaan akan dikendalikan selebriti TV Al-Hijrah, Amin Idris. Selepas itu diadakan penyampaian hadiah pertandingan mewarna dan melukis.

Pada jam 6 petang program Amanat Tok Guru akan dimulakan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar.

Manakala ketibaan Menteri Besar akan disambut dengan persembahan silat wanita. Selepas selesai Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan amanat akan diadakan jamuan rakyat dan cabutan bertuah hadiah bonanza.

Selepas solat Maghrib dan Isya’ berjemaah iaitu kira-kira jam 9.15 malam akan diadakan persembahan dikir barat oleh pasukan anak Kelantan di perantauan.

Program Himpunan Wanita Kelantan di Perantauan berakhir dengan ceramah bakal menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Selain itu Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ustazah Noraini Hussein.

1Malaysia: Penjelasan gambar Nik Zawawi

Harakahdaily, 21 Feb 2013



(Gambar yang disebarkan dalam internet)

KUALA LUMPUR: Pelbagai spekulasi cuba diwujudkan pihak tertentu terhadap beberapa keping gambar membabitkan pimpinan PAS bersama pemimpin BN yang tersebar di internet sejak beberapa hari lalu.

Antaranya gambar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh serta Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sedang berbual dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di sebuah hotel.

Sebenarnya, gambar tersebut adalah gambar yang diambil ketika kesemua mereka menyertai Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP) kali ke-7 di Baku, Azerbaijan pada 22 hingga 23 November 2012 yang lalu.

ICAPP adalah satu persidangan yang menjemput semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang untuk turut serta dalam persidangan tersebut.

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat adalah Armenia, Bangladesh, Cambodia, China, India, Indonesia, Iran, Iraq, Japan, Kazakhstan, Republic of Korea, Kyrgyzstan, Laos, Lebanon, Malaysia, Maldives, Mongolia, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Philippines, Russia, Sri Lanka, Syria, Tajikistan, Thailand, Turkey dan Vietnam.

Turut menjadi wakil PAS selain tiga pemimpin dalam gambar tersebut adalah adalah Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun beliau tidak ada dalam gambar tersebut, tetapi dilihat ada dalam gambar-gambar lain di persidangan tersebut.

Chua Soi Lek pula hadir mewakili BN bersama Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam persidangan itu, Datuk Mustafa Ali telah diberi penghormatan untuk berucap mewakili PAS.

Mustafa ketika diminta menjelaskan gambar itu berkata, ianya perbualan biasa dan tiada apa yang perlu dipolemikkan.

"Kami deligasi dari Malaysia ditempatkan di hotel yang sama. Jadi ada kalanya bertembung dan berbual lah.

"Kalau tak silap saya, gambar itu diambil oleh pembantu Chua Soi Lek sebab kami semua ada dalam gambar itu," katanya sambil ketawa.

Simbol 1Malaysia?

Sementara itu, satu lagi gambar yang turut hangat diperkatakan adalah gambar Nik Zawawi bersama Shahidan, Soi Lek dan beberapa orang lagi rakyat Malaysia.

Apa yang menjadi kontroversi adalah apabila kesemua mereka dalam gambar itu menunjukkan jari telunjuk yang menyerupai 'tarade mark' 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib seawal menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Gambar itu sekaligus diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membawa persoalan adakah Nik Zawawi 'mesra' Umno dan sudah menerima gagasan 1Malaysia Najib.

Sebenarnya, gambar tersebut diambil ketika Nik Zawawi menyertai Persidangan Centrist Asia Pacific Democrats International (CAPDI) kali ke-6 di Phnom Penh, Cambodia pada Disember 2010.

Selain Nik Zawawi, turut mewakili PAS menyertai persidangan tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menjelaskan simbol tangan tersebut, Raja Ahmad berkata, ianya bukan isyarat 1Malaysia seperti yang difitnah pihak tertentu, sebaliknya adalah simbol "One Nation Political Parties" yang merupakan trade mark kepada persidangan tersebut.

"Itu lambang kebersamaan semua parti dalam persidangan itu. Tiadak ada kena mengena dengan 1 Malaysia pun.

"Ianya sebagai menunjukkan bahawa semua parti politik seluruh Asia Pasifik bersatu untuk politik yang matang dan bersih dan sederhana," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menjelaskan, hanya tiga parti yang menjadi tradisi dijemput pihak penganjur ke persidangan itu iaitu PAS, Umno dan MCA.

RM403j: BN Kedah didesak perjelas kos loji air

Muhammad Faizal, 21 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Bongkar 403, Mohd Firdaus Jaafar hari ini mendesak BN Kedah menjelaskan tindakan mereka sebelum ini yang sanggup menukarkan geran percuma yang disediakan oleh kerajaan kepada pinjaman sehingga menyebabkan Kedah menanggung hutang.

Jelas beliau, selain tindakan itu, kos bagi projek pembinaan loji air itu juga turut meningkat sehinggakan jauh berbeza dengan harga yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

"Kita mahu BN Kedah segera tampil memberi penjelasan berhubung dengan isu pembinaan loji air yang harga meningkat berkali ganda dan juga tindakan mereka menukarkan geran percuma kepada pinjaman.

"Tempoh seminggu kita berikan dan jika mereka tidak tampil memberi penjelasan, satu memorandum akan kita hantar kepada BN Kedah untuk desakan tersebut," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata lagi, penyelewengan yang dilakukan oleh BN berkenaan dengan loji air Padang Sanai dan Lubuk Buntar melibatkan kerugian hampir RM145 juta.

"Pembinaan loji pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti 25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta, tetapi harganya menjadi RM65 juta apabila ditukar status pinjaman.

"Manakala loji pembersihan air Padang Sanai yang sepatutnya bernilai RM50 juta untuk kapasiti 50 juta liter air tetapi dengan sentuhan tangan BN harganya melonjak menjadi RM155 juta" , jelas beliau lagi.

Dengan tindakan itu katanya, rakyat boleh menilai sikap BN negeri itu.

PAS desak SPRM siasat kroni miliki tanah kerajaan

Muhammad Faeez Azahar, 21 Feb 2013


IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) berhubung kelulusan pemilikan tanah kerajaan negeri di Bandar Seri Iskandar.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Iskandar Al-Hiss berkata, tanah seluas kira-kira 14.164 hektar (35 ekar) diberikan pajakan negeri kepada Syarikat Proaktif Upaya Sdn. Bhd milik Setiausaha Pemuda BN Perak yang juga Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat sekitar bulan April 2012 yang lalu.

Menurutnya, pihaknya mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa negeri mengikut perjumpaan majlis mesyuarat meluluskan pajakan tersebut kepada Ketua Pemuda Umno itu.

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana tanah tersebut boleh diluluskan kepada kroni mereka,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai membuat laporan di SPRM Perak, Meru, Ipoh dekat sini hari ini. (Gambar atas)

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu, Salman Saleh, Hafez Sabri dan Safarizal Saleh.

Katanya, hasil daripada semakan pihaknya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat itu terbukti dikategorikan tidak aktif.

Ini, katanya menjadi satu tanda tanya kepada rakyat khususnya di negeri Perak bagaimana kerajaan negeri boleh memberi pemilikan tanah ini kepada syarikat pemimpin mereka yang dibuktikan tidak aktif.

Mengulas lanjut, katanya tanah tersebut diberikan pajakan negeri selama 99 tahun dengan kos keseluruhan hampir RM45,000.

“Kami hari ini tampil mengemukakan laporan agar pihak SPRM membuka kertas siasatan kerana berlaku penyalahgunaan kuasa di atas kelulusan tersebut.

“PAS mendesak agar pihak SPRM menjalankan siasatan dengan beberapa dokumen sokongan seperti peta dan juga akaun terima bayaran bagi bukti siasatan,” jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu.

Jelas Raja Iskandar, kelulusan tersebut ternyata menjadi persoalan adakah pemberian tersebut mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa kerana ianya melibatkan pemimpin parti politik.

“Kami juga mengharapkan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Kadir menjawab isu ini kerana ianya melibatkan integriti kerajaan yang dipimpin beliau.

“Kami harap satu lagi pendedahan ini dapat dijelaskan kepada umum dan kami tidak teragak-agak untuk meneruskan pembongkaran penyelewengan BN Perak,” tegasnya.

Toleh semula di sebalik 13 Mei 1969

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, 21 Feb 2013
Pada pilihan raya 1969, Tun Dr Mahathir tewas kepada calon PAS dan seterusnya dipecat daripada parti Umno oleh Perdana Menteri ketika itu YM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, selepas surat tulisannya kepada Tunku menimbulkan kemarahan Tunku. Demikian menurut Tunku, di dalam satu temu ramah sekitar awal tahun 1990, yang salinannya dihantar kepada pemimpin Umno seluruh Malaysia.

Dr Mahathir dilaporkan akan ditahan di bawah ISA ketika beliau berlepas dari stesen keretapi Kuala Lumpur menuju Seremban dan ramai anggota polis sedang menunggu untuk menahan Dr Mahathir.

Namun, ditakdirkan sahabat baik Dr Mahathir dari Istana Negeri Sembilan iaitu Tunku Abdullah menyelamatkan Dr Mahathir dengan menurunkan beliau di hutan Nilai seterusnya menyembunyikan Dr Mahathir di Istana Melewar. Tunku yang dimaklumkan polis tentang isu ini telah membuat keputusan untuk tidak mengizinkan polis ke istana. Hal ini kerana, Tunku tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Istana.

Allahyarham Tun Razak Hussein akhirnya membawa Dr Mahathir kembali ke dalam Umno dan beliau menjawat pelbagai jawatan kabinet sehinggalah beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, sekalipun beberapa hari sebelum perlantikannya, seorang setiausaha akhbarnya ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan komunis. Kemudiannya penahanan setiausaha akhbar itu disifatkan sebagai agenda Allahyarham Ghazali Shafie cuba menyekat perlantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dalam Pilihan Raya 1969 juga menyaksikan kaum Cina mula mendapat lebih kerusi yang seterusnya mencetuskan rasa tidak senang hati segolongan penyokong Umno yang dilaporkan menyebelahi Tun Abdul Razak Hussein. Mereka menggesa beliau supaya menggantikan Tunku secepat mungkin sebagai PM. Walau bagaimanapun, Tun Razak tidak rasa perlu untuk tergesa-gesa menjadi Perdana Menteri sekalipun didesak oleh para penyokongnya.

Sebab utama kenapa Tunku ditentang ialah kerana Tunku dilihat lebih menyebelahi kaum Cina, ini tidak menghairankan kerana Tunku dibesarkan dan juga bekerja dalam kerajaan yang persekitaran yang di kelilingi oleh kaum Cina. Malah Tunku juga berjaya mengadakan Rundingan Baling dengan Chin Peng pada tahun 1955 secara aman dan selamat yang mungkin ketika itu dilihat secara berhati hati dan was was oleh segolongan penyokong Umno.

Dokumen serta saksi saksi lisan mengesahkan kampung halaman Chin Peng di Sitiawan Perak namun dinafikan Mahkamah negara kita dengan alasan yang amat lemah iaitu ketiadaan surat beranak. Persoalannya berapa ramaikah rakyat tanah melayu ketika itu mempunyai surat beranak selepas melaporkan kelahiran di rumah pasung (balai polis) berdekatan.

Jika dikaji secara terbuka, Chin Peng menentang penjajah British manakala Umno yang tunduk pada British atas alasan tidak perlu pertumpahan darah. Lantas membiarkan saja British mengaut keuntungan besar daripada hasil bijih timah, getah dan lain-lain. Wang hasil bijih timah dan getah yang begitu substantial jumlahnya disimpan oleh Kerajaan British Tanah Melayu di  bank bank di Singapura dan kemudiannya dilaporkan diberikan sebagai pinjaman pada Amerika dengan dikenakan faedah untuk membiayai peperangan di mana-mana Amerika mengambil bahagian.

Tunku Abdul Rahman pernah diserang hendap di stesen kereta api Tanjung Malim. Komunis menyangka kerata api ini dinaiki Persuruh Jaya Tinggi British, Sir Henry Gurney. Komunis memohon maaf pada YM Tunku serta merta setelah mendapati tiada Persuruhjaya British, cuma YM Tunku dan rombongannya.

Henry Gurney kemudiannya dibunuh oleh komunis di Bukit Fraser. Beliau adalah orang yang bertanggungjawap membantu Israel apabila Israel mula merampas tanah rakyat Palestin serta membunuh rakyat Palestin. Henry Gurney diberi tugas menasihati Israel tentang isu-isu keselamatan semasa menceroboh Palestin atas arahan majikannya kerajaan British yang berpusat di London. Namun asasnya, komunis cuma membunuh Sir Henry Gurney sahaja dan membiarkan pemandu serta isteri Henry Gurney terus hidup. Pembunuhan Henry Gurney dilakukan komunis atas alasan risalah yang mahukan Chin Peng hidup atau mati dengan ganjaran 250 ribu Pound Sterling yang bersamaan RM1 juta. Ketika itu jumlah RM1 juta amat benilai sekali kerana sebungkus nasi lemak boleh dibeli dengan wang 1 sen (RM0.01).

Dengan sedikit penerangan di atas, maka nampak jelaslah sedikit hubungan baik Tunku dengan kaum Cina yang sentiasa berterusan semenjak zaman persekolahan sehinggalah zaman Tunku berkhidmat di pelbagai jabatan kerajaan hinggalah menjadi Perdana Menteri yang pertama.

Berbalik pada malam 12 Mei menuju ke tengah malam iaitu awal pagi 13 Mei 1969. Seperti yang diceritakan pada saya oleh seorang persara polis yang kini berkhidmat sebagai pemandu teksi. Kejadian yang membuatkan kaum Melayu marah (mengikut kefahamannya sebagai anggota polis ketika itu) ialah pembunuhan wanita mengandung di luar panggung Capitol Kuala Lumpur.

Namun dengan merujuk kepada beberapa bahan yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan British sebagai tidak lagi sulit, kita akan dapati kacau bilau mula dicetuskan oleh kaum Melayu di Kampung Baru. Mereka adalah penyokong Umno yang turut melibatkan Dato’ Harun.

Jelas, kekecewaan penyokong Umno yakni penyokong Tun Razak yang mahukan Tun Razak segera menggantikan Tunku Abdul Rahman yang di lihat mereka sebagai pro-Cina.  Namun, Tun Razak tetap dilaporkan tidak bersetuju dengan idea untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Maka dengan ringkasnya, untuk kefahaman yang mudah, provokasi serta huru hara 13 Mei dimulakan oleh segolongan penyokong Umno sendiri yang seterusnya mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa semata-mata atas prinsip Michaevelli – “end justify the means” untuk mencapai matlamat mereka sekalipun caranya salah dianggap mereka sebagai munasabah.

Amat malang bagi rakyat pelbagai bangsa di Tanah Melayu. Mereka tertipu oleh British yang memerintah dengan memecahbelahkan kaum Melayu dan Cina hinggakan kaum Cina menentang British dari dalam hutan sebagai komunis (dasar pecah dan perintah). Dalam hal ini saya amat bersimpati dengan terkorbannya begitu ramai anggota pasokan keselamatan Tanah Melayu termasuk pasukan polis bantuan dan sebagainya semasa menentang komunis.

Jika dikaji perbuatan Umno menakut-nakutkan antara kaum kini, saling tak tumpah seperti British dahulu. Jadi, pihak pasukan keselamatan kini terutamanya PDRM dan ATM patut lebih bijak melihat senario ini dan tidak termakan umpan hasutan Umno  pada saat akhir sebelum PRU.

Pasukan keselamatan patut melihat semula nama beberapa individu dan pertubuhan yang telah pun dikategorikan oleh Cawangan Khas sebagai satu kumpulan samseng Melayu. Amat menghairankan saya apabila PM dan pemimpin Umno berjawatan menteri berkongsi pentas dengan pertubuhan tersebut. Apakah Cawangan Khas cuma mampu melihat sahaja situasi ini atau  telah menasihatkan PM sebelum hadir ke majlis berkenaan berdasarkan maklumat awal kain kain pemidang yang PM dijemput hadir?

Namun, ulangan episod berdarah 13 Mei amat mustahil untuk berlaku pada zaman ini. Hal ini kerana jika di rancang sebagai lakonan, akhirnya akan terbongkar hanya dalam beberapa minit dengan visual di internet.

Maka rakyat serta merta dapat membuat kesimpulan perkara itu 'distage' yang seterusnya. Lantas menjadikan rakyat tidak terpengaruh dengan apa-apa provokasi palsu. Tunku Abdul Rahman mungkin tidak dapat dijatuhkan oleh penyokong Umno sendiri jika kewujudan internet sudah meluas seperti hari ini.

Dalam suasana hari ini, perlu satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar huru hara 13 Mei 1969. Tragedi yang jelas mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa berdasarkan kertas kertas Sulit Kerajaan British yang kini di klasifikasi semula sebagai tidak lagi sulit agar dapat menjadi teladan dan sempadan supaya dapat dielakkan daripada berulang lagi.

'Yang serang kami keluar dari bangunan Umno Pekan'

Hazayani Zakaria, 21 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) hari ini menyerahkan memorandum bantahan keganasan samseng Umno terhadap mahasiswa di Parlimen Pekan.

Memorandum tersebut turut disertakan dengan salinan laporan polis, video dan gambar sebagai bahan bukti tambahan bagi membantu siasatan polis.


Gambar-gambar samseng yang mereka ambil dari rakaman video juga diedarkan kepada wartawan hari ini. (gambar)

Pengerusinya, Syis Abdul Kadir berkata, GM13 menggesa pihak polis mengadakan siasatan segera berhubung insiden yang disifatkan sebagai pencabulan demokrasi itu.

"GM13 mahu siasatan dijalankan dengan adil terhadap mereka yang melakukan keganasan ini kerana kami telah membuat laporan polis pada hari insiden serangan," kata beliau kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil polis Bukit Aman, Kavetha.

Mengulas lanjut, Syis berkata, pihaknya berani menggelarkan individu yang melakukan serangan sebagai samseng Umno kerana mereka nampak individu-individu tersebut keluar dari Bangunan Umno Bahagian di Pekan.

(Syis menyerahkan memo kepada pasukan polis)

"Mungkin yang lakukan itu penduduk tempatan. Tapi sewaktu mengedarkan risalah dari rumah ke rumah, sambutan mereka baik.

"Cuma di bandar Pekan, kami yakin orang yang memaki hamun dan menghalau kami itu orang Umno kerana kami nampak mereka keluar dari Bangunan Umno berhampiran," katanya.

Turut hadir ialah seorang aktiivis yang diserang,  Ekhsan Bukhari yang merupakan bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Presiden Pro Mahasisawa UM, Edikop Lakip Sadiyanto.

Gambaran BN T’ganu runtuh PRU13 - komen Facebook

Salmiyah Harun, 21 Feb 2013

KUALA LUMPUR: Insiden Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu yang runtuh semula  semalam menjadi bahan jenaka orang ramai terutamanya di laman sosial Facebook.

Selepas gambar stadium dimuatnaik di laman sosial itu, pengguna laman Facebook terus memberi pelbagai komen, namun komen sindiran antara  komen yang paling dominan.

Ramai yang menyifatkan kejadian runtuh itu umpama memberi gambaran bahawa kerajaan Umno BN Terengganu akan 'runtuh' dalam PRU ke-13 ini.

"Tanda-tanda akan runtuhnya sebuah kumpulan...," komen Jamilah Ahmad dari Permatang Pauh.

"Runtuhan ini isyarat sah bahawa Negeri Terengganu yang diperintah BN akan pasti runtuh pada PRU-13, untuk diambil alih oleh PR...sama-sama kita tengok persitiwa ini," demikian komen Kamaruzzaman Jamal dari Kajang.

"Ini menunjukkan BN akan juga runtuh bukan saja di T'ganu tapi seluruh M'sia pada PRU-13 nanti.... doakan," komen Nor Azman Ibrahim dari Bangi.

Sejak beberapa insiden bangunan runtuh berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Ahmad Said, negeri Terengganu mendapat gelaran 'darul runtuh' sehingga menjadi buah mulut dan kemudian seolah-olah menjadi 'badi' yang terus membadai negeri itu.

Sebelum ini, beberapa kejadian runtuh seperti  tangki air Sekolah Menegah Paka, di Dungun Terengganu, perhentian bas Kuala Berang dan astaka di Padang Astaka Jertih.

"Terengganu darul runtuh katakan...," komen Mohd Taib dari Serdang.

"Nama dahlah Darul Runtuh, jadi asyik runtuh aja le!," komen Meor Raz dari Perak.

Malah ada yang menyarankan agar kerajaan Terengganu merobohkan kesemua sisa-sisa bangunan itu kerana dibimbangi akan mengundang bahaya lagi selepas ini.

"Kalau sedang 'repair' pun boleh runtuh...ini menunjukkan struktur lemah...runtuhkan terus...buat yang baru...lebih selamat...jangan gadaikan nyawa orang lain...duit minyakkan banyak!," komen Bro Wandy.

Semalam kira-kira jam 11.30 pagi, lima pekerja rakyat tempatan mengalami kecederaan apabila kerangka bangunan stadium itu menimpa mereka.

Runtuhan itu melibatkan sebahagian daripada struktur asal bumbung tersebut, dianggarkan sepanjang 137 meter.

Kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung, katanya.

Ia merupakan kejadian kedua selepas bahagian bumbung stadium di Gong Badak, Kuala Terengganu itu runtuh pada Jun 2009.

Menurut laporan itu, stadium berkenaan sedang dibaikpulik dengan kos RM15 juta.

Bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Tiada ulasan: