Rabu, 6 Februari 2013

NALURI MANUSIA SUKAKAN KEADILAN BUKAN SEBALIKNYA...AMAN DAMAI BUKAN PUTAR BELIT SERTA PENIPU

LTAT Astacanggih: Pengerusi Bousted diminta jelaskan

Hazayani Zakaria, 06 Feb 2013

(Mahfuz dan rakan-rakannya melihat dokumen yang ditunjukan Deepak mengenai pembelian saham Astacanggih)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa Pengerusi Boustead Holdings Berhad tampil memberikan penjelasan berhubung pembelian Astacanggih Sdn Bhd milik ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Beliau berkata, penjelasan itu penting kerana pembelian tersebut didakwa melibatkan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan anggota tentera.

"Kepentingan anggota tentera dalam LTAT tidak dilindungi kerajaan sebaliknya pembelian Astacanggih menunjukkan LTAT ditipu.

"Pengerusi Bousted perlu tampil ke hadapan untuk jelaskan kepada anggota tentera siapa yang mengarah beliau untuk mengambil alih Astacanggih yang akhirnya membawa kepada satu kerugian yang besar kepada LTAT.

"Sudah tentu ada tangan ghaib di belakang Bousted untuk membuat pembelian itu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Sebelum itu, Mahfuz mengadakan pertemuan dengan Deepak membincangkan permintaan Deepak yang ingin mendapatkan bantuan PAS bagi mendapatkan perlindungan saksi agar beliau terus boleh membuat beberapa pendedahan penting.

Dalam kenyataannya di sidang media itu, Deepak berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak perlu menyaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli apabila Rafizi mendakwa dia mengarahkan pembelian itu.

"Sebenarnya yang membuat arahan pembelian ini bukannya Zahid tetapi Datuk Seri Najib Sendiri.

"Jadi saya memohon Zahid supaya menarik balik saman kepada Rafizi itu kerana ia sudah jelas sekarang," kata Deepak dalam sidang media itu.

Bagi Mahfuz, apa yang berlaku kepada tanah LTAT amat mengharukan semua pihak.

"Bayangkan tentera kita berjuang untuk rakyat dan negara, tinggalkan negara untuk berkhidmat di seluruh dunia tetapi mereka dikhianati apabila kepentingan mereka tidak dilindungi bahkan tabung mereka, LTAT ditipu," kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, dokumen yang ditunjukkan oleh Deepak kepada beliau amat mengejutkan tentang jenayah penyelewengan oleh pemimpin negara.

"Oleh itu saya minta pengerusi Bousted tampil ke depan dan jelaskan siapa sebenarnya yang mengarahkan beliau membeli syarikat milik Deepak ini yang membawa kerugian besar kepada kepentingan anggota dan bekas tentera.

"Saya minta beliau tampil sebelum dikambing hitamkan," kata Mahfuz.

Exco akan hadir majlis Mutapha Mohamad

Rizal Tahir, 06 Feb 2013

(Husam dan Fatah dalam sidang media hari ini)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan berusaha sedaya mungkin menghalang unsur kempen politik dalam pembahagian sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penerima, kerana sumbangan itu dari dana awam kepada golongan daif yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata sehubungan itu, beliau bersama dua orang anggota exco kerajaan negeri termasuk timbalannya akan hadir ke majlis penyampaian sumbangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Majlis Daerah Tanah Merah yang akan diadakan di Sekolah Menengah Tanah Merah 1, Sabtu ini jam 9.00 pagi.

Katanya, pada majlis itu juga, pemimpin Umno seperti Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz  akan hadir.

Menurutnya, beliau difahamkan wang yang bakal disalurkan pada penerima akan menggunakan sampul yang berlambangkan BN.

“Mesyuarat exco yang bermesyuarat hari ini telah membuat keputusan melarang mereka menggunakan apa saja simbol parti.

“Oleh kerana yang terlibat itu penerima bantuan dari JKM, saya membuat keputusan untuk hadir pada jam 9.00 pagi esok,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Darul Naim, tengah hari tadi.

Menurutnya, perkara sedemikian telah berlaku di Pasir Mas kira-kira empat tahun yang lalu, di mana pihak Umno telah menganjurkan program itu di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas dan menjemput  menjemput penerima bantuan hadir.

Jelasnya, beliau hadir pada malis itu dan diberi ruang untuk berucap.

“Kali inipun saya akan hadir dan telahpun menghantar surat pada Pengarah JKM Kelantan dan salinan kepada JKM Tanah Merah.

“Saya akan hadir bersama Datuk Abdul Fatah Mahmod yang juga Adun Bukit Panau, Datuk Mejar (B) Md Anizam Adun Kemahang dan Adun Gual Ipoh, Chegu Wan Yusof, termasuk timbalan saya, Abdul Fatah Harun,” ujarnya lagi.

Sambung Husam lagi, sekiranya tidak diberikan peluang untuk berucap, beliau hanya akan mendengar dan meneliti program itu.

Tambahnya, sekiranya diberi peluang berucap, Husam akan mengambil kesempatan untuk berucap untuk menjelaskan isu royalti kepada rakyat yang hadir.

“Jadi Tok Pa jangan terkejutlah ya kalau saya hadir sebab saya pernah buat macam tu empat tahun lalu di Pasir Putih,”ujarnya.

Beliau seterusnya menambah, perkara itu dilakukan sebagai memberi peringatan kepada BN supaya tidak mencampur adukkan program kerajaan dengan lambang parti mereka.

Tambahnya, menurut maklumat yang diperolehi dari Datuk Abdul Fatah, mereka didesak mengisi borang Umno, jika tidak penerima berkenaan tidak akan dapat sumbangan itu.

Jelasnya, tindakan itu tidak ubah seperti samseng dan ianya bertentangan dengan undang-undang dan menaniaya rakyat yang daif.

Husam seterusnya menambah, beliau mendapat maklumat JKM telah diberi sampul duit berlambangkan parti BN itu.

Sambungnya, pada mulanya pegawai JKM enggan berbuat demikian, akhirnya setelah dipaksa pegawai berkenaan terpaksa melakukannya.

“Saya selaku pengerusi porfolio kebajikan, bertanggungjawab melindungi pegawai saya," tegasnya.

Husam turut mengulangi beliau akan hadir pada majlis itu dan berkeyakinan kerusi untuknya juga ada pada hari berkenaan.

Jelas Husam sebahagian dana untuk penerima adalah peruntukan kerajaan negeri.

Tegasnya, sepatutnya beliau yang menyampaikan bersesuaian dengan exco kebajikan negeri, tetapi kerajaan Kelantan tidak amalkan perkara sedemikian dan tidak mengambil kesempatan untuk menyampaikannya saat pilihanraya umum menjelang.

Ini kerana katanya, bantuan tersebut untuk orang ramai yang layak menerima dan tidak boleh dijadikan modal kempen politik.

“Kalau nak buat juga, kena buat di tempat lain dan jangan di Kelantan,”ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri, Abdul Fatah Mahmod, menyifatkan perkara yang bakal berlaku Sabtu ini berhubung bantuan JKM sebagai suatu perkara yang pelik serta melibatkan dana awam.

Jelasnya, semua penerima telah dikerah untuk ke Sekolah Menengah Tanah Merah 1, yang berupa kerahan ugutan, wajib hadir, wajib beri sokongan terhadap BN.

Fatah turut mendedahkan ada kes dalam Dun Bukit Panau di mana penerima dipaksa mengisi borang Umno terlebih dahulu.

“Syukurnya penerima itu menelefon saya, saya bagitahu dia, jangan isi sebab bantuan itu melibatkan dana awam bukan parti BN, ada dari dana kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Alhamdulillah dengan kesedaran rakyat apa lagi dengan cara itu saya yakin penerima yang melebih 3,000 orang di Tanah Merah tidak akan mudah terpedaya dengan ugutan itu,”ujarnya.

Husam dan Fatah berkata demikian selepas mesyuarat exco, di Kota Darulnaim, di sini tengahari tadi.

Royalti: Husam ajak Mustapha dialog dalam forum terbuka

Salmah Mat Husain, 06 Feb 2013
KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, akan menghantar surat pada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed, untuk mengadakan forum terbuka.

Menurutnya, forum terbuka yang bakal diadakan di mana-mana universiti akan membincangkan isu royalti yang telah dibohongi Mustapha, bersesuaian dengan pertemuan beliau bersama mahasiswa yang mengulas itu berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di Kota Darulnaim, di sini tengahari tadi.

“Saya juga difahamkan Tok Pa ke universiti membohongi mahasiswa berhubung royalti.

“Saya nak cadangkan pada Datuk Pa, universiti ni tempat intelektual, kita boleh adakan forum secara ilmiah, jadi saya minta dia menghubungi mana-mana universiti supaya mengadakan forum terbuka antara saya dan Tok Pa,”ujarnya.

Katanya, dengan itu perbincangan cara ilmiah dapat dilakukan, di mana masing-masing dapat mengeluarkan hujjah.

“Dia boleh bangkang hujah saya, saya bagi hujah dan dia boleh bantah hujah saya.  Orang ramai ni (penonton) adalah golongan cerdik pandai.

“Universiti adalah tempat yang baik untuk pertukaran pendapat secara terbuka, isu royalti isu terbuka, isu rakyat. Jadi Datuk Pa jangan berselindung, buat serang hendap senyap-senyap tak berani nak berdepan,”ujarnya.

Husam memberitahu, sekiranya Mustapha tidak sudi berforum dengannya, beliau akan mengambil alih tugas itu untuk memohon dengan pihak universiti supaya memberi ruang untuknya, sebagaimana universiti memberi ruang pada menteri itu untuk bertemu mahasiswa.

Jelasnya, universiti juga tidak patut menghalang kemasukkannya ke tempat itu, memandangkan beliau juga pemimpin kerajaan.

“Saya sebagai exco kerajaan Kelantan telah dipilih oleh rakyat, dan pemilihan serta perlantikan saya juga adalah sah,”ujarnya.

Tegasnya, undang-undang negara turut mengiktiraf kedudukannya sebagai anggota exco kerajaan negeri dan Tok Pa sebagai menteri kabinet.

Jadi, tambahnya status keduanya adalah sama dari segi layanan demokrasi, mahasiswa boleh dengar ucapan Tok Pa dan tidak ada sebab mereka tidak dibenarkan mendengar ucapan wakil dari Pakatan Rakyat.

“Hari ini saya akan menulis surat pada Datuk Pa berhubung cadangan forum bersama itu untuk mendapat maklumat berhubung persetujuan atau sebaliknya.

“Sekiranya beliau tidak bersetuju, saya juga akan menulis surat pada universiti untuk mengadakan program pertemuan sebagaimana Datuk Pa dengan mahasiswa,”ujarnya.

Khalid mahu pilihan raya Selangor tak cepat, tak lambat

Subky Latif, 06 Feb 2013
TAN Sri Khalid Ibrahim yang tidak bercadang menyertai politik, apabila menyertai politik menyusahkan ketenangan Perdana Menteri Najib.
Dia tidak main isu Altantuya dan tidak main isu Deepak, saudagar permaidani.

Dia main isu membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor. Ketika Najib  terus berteka-teki tentang bila PRU13, dia bercadang untuk membubarkan DUN Selangor setelah Chap Goh Meh iaitu kira-kira dua minggu selepas Hari Raya Cina.

Sama ada Parliman dibubarkan atau tidak, dia bercadang membubarkan DUN Selangor dulu setelah puas menunggunya sejak sekian lama.  Alasannya tak mahu dan   tak lalu menunggu lama.

Ikut isyarat yang pernah diberinya beberapa tahun dulu, pilihanraya umum di Selangor sedia diadakannya apabila genap empat tahun penggalnya. Itu yang pernah disebutnya semasa Najib berura-ura hendak mengadakan PRU lebih dua tahun lalu.

Najib pernah mencanangkan untuk mengadakan PRU segara kerana tidak mahu lama bertenggek atas mandat Abdulllah Badawi. Dia mahu mandatnya sendiri. Tiada gahnya menumpang mandat orang.

Reaksi Khalid masa itu, biarlah  Najib panggil pilihanraya mengejut, Selangor tidak akan ikut selagi penggal lima tahun itu tidak genap empat tahun.

Banyaklah orang  tegur betapa payahnya Selangor kalau tidak pilihanraya serentak. Barisan dari seluruh negara yang tumpu ke Selangor jika pillihanraya berasingan. Tidak dihiraukannya sama ada kerajaan Pakatan yang lain tidak bersamanya. Alasannya tidak sedia membubarkan DUN kerana tidak mahu terlalu cepat.

Dia mahu pilihanraya itu tidak cepat  dan  tidak lambat.

Dia tidak gentar risiko UMNO/BN akan menghurung Selangor macam lalat menghurung bangkai. Apa yang menyebabkan dia tidak takut?

Agaknya dia berkongsi dengan keyakinan rakan-rakan Pakatannya bahawa ia akan menawan Putrajaya. Sama ada  PRU13 itu cepat atau lambat BN akan kalah. Kalau Selangor tidak mengadakan pilihanraya, ia boleh menumpu membantu PR memenangi PRU itu. Bila BN kalah  dan orang PR jadi Perdana Menteri, maka giliran TV, radio dan media perdana pula mengutamakan berita kerajaan masa itu, kurang atau tidak lagi ia memburukkan Pakatan Rakyat. Bahkan keburukan UMNO, Najib dan Dr. Mahathir pula yang mereka utarakan.

PR tak suruh mereka buat begitu. Tetapi mereka itu hidup atas kerajaan. Mereka takut orang tak beri iklan dll, mereka sendiri  memandai mengatakan PR jauh lebih baik dari  BN.

Kalau PR yang memerintah, maka keupayaan BN dari seluruh negara bertumpu dalam pilihan  raya di Selangor tidaklah setanding tumpuan kerabat Pakatan.

Dan masa itu sempat SPR buang semua pengundi hantu.

Dipercayai Najib dan mentornya Dr. Mahathir nampak apa yang Khalid politikkan itu, maka dia pun tergamak untuk menyegerakan PRU13. Orang nampak betapa  Khalid telah menyebabkan Najib melambatkan pilihanraya hingga buahnya busuk di pokok  dan  gugur sendiri.

Sekarang jika Raja perkenan, Khalid mahu membubarkan DUN Selangor dulu. Khalid tahu dia tidak dapat menetapkan tarikh mengundi. SPR akan menentukannya. Jika ia bubar, SPR ada masa 60 hari untuk mengisinya semula.

Khalid tahu SPR akan tunggu Parlimen bubar dan pilihanraya serentak dalam masa 60 hari DUN Selangor dibubar. Maka Khalid dapat segerakan Najib buat keputusan. Apapun orang akan kata, Najib dipermain Khalid. Pakatan di Selangor dapat mendahului BN memulakan kempen antara masa DUN Selangor dibubarkan dengan Parlimen dibubarkan.

Ladang Gemilang: Mampat sokong turunkan sewa

Harakahdaily, 06 Feb 2013
AMPANG: Penasihat Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail (gambar) menyokong cadangan Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) agar kerajaan negeri mempercepatkan urusan sewa beli pangsapuri dan menurunkan kadar sewa sebanyak 50% daripada RM300 kepada RM150 untuk penghuni Ladang Gemilang.


"Di mana logiknya kerajaan ingin membantu, sekiranya kerajaan mengenakan sewa yang kurang munasabah sedangkan mereka ini tidak pernah membayar sewa rumah yang mereka diami sebelum ini?

“Kenapa tidak digunakan hasil petroleum untuk membantu meringankan beban penduduk asal Ladang Tok Pelam yang telah diambil tanah mereka ini?" tanya Tengku Ibrahim.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Himpunan Ummah Bersama PAS di sini kelmarin bersama-sama lain-lain tokoh yang menyertai PAS menegaskan Perantau sepatutnya turun lebih awal lagi.

Sambil melahirkan rasal kesal yang amat sangat kepada kerajaan negeri, beliau berkata, sepatutnya penduduk asal Ladang Tok Pelam itu diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri mampu milik di kawasan pembangunan tersebut dengan gantian kediaman yang setimpal atau harga berpatutan yang mampu dibayar mereka melalui wang pampasan yang diberikan dengan nilaian sebenar harga tanah yang diambil.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap penduduk di Tanjung, Chabang Tiga, Losong dan lain-lain penempatan perkampungan Melayu di bandar Kuala Terengganu segera membentuk jawatankuasa bertindak bagi menyelamatkan perkampungan mereka yang telah dibina oleh nenek moyang mereka sebelum ini.

Beliau juga turut menasihatkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said agar tidak rakus mengambil tanah-tanah orang Melayu di bandar melalui Akta Pengambilan Tanah kononnya untuk tujuan pembangunan yang akan menyebabkan hilangnya perkampungan Melayu di bandar Kuala Terengganu.

PR Kedah ikrar sumbang 15 kerusi ke Putrajaya

Harakahdaily, 06 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Kedah berikrar akan menyumbangkan 15 kerusi kawasan parlimen kepada Pakatan Rakyat dalam usaha membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata jentera ketiga-tiga parti di negeri itu komited untuk menjadikan 15 kerusi dari negeri itu sebagai penyumbang pertama Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

"Atas nama PAS dan Pakatan Rakyat, kita berikrar 15 kerusi Kedah adalah penyumbang pertama pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihan raya nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Pakatan Rakyat negeri ini dijangka mampu mengekalkan 11 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU 2008 lalu dan yakin menambah empat lagi kerusi yang kini dikuasai BN.

"Seluruh jentera Pakatan Rakyat kini sedang berkerja ke arah itu iaitu untuk mendapatkan 15 kerusi parlimen bagi membantu Pakata Rakyat ke Putrajaya," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sebelum ini beliau yang juga pernah melontarkan ikrar tersebut ketika berceramah di hadapan 50 ribu hadirin ketika Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Pokok Sena 31 Januari lalu.

Turut serta dalam ceramah itu sebelum ini termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Razak.

Pada PRU 2008 lalu, Pakatan Rakyat Kedah telah menguasai 11 daripada 15 kerusi parlimen di negeri itu dengan enam kerusi dimenangi PAS dan lima lagi oleh PKR.

Kerusi yang dimenangi PAS adalah Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Jerai, Sik dan Baling.

PKR pula menang di Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai serta Kulim Bandar Baharu manakala BN pula menang di empat kerusi iaitu Langkawi, Jerlun Kubang Pasu dan Alor Setar.

Selangor peruntuk RM70.4 juta untuk pelajaran

Selangorku, 06 Feb 2013
SHAH ALAM: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM70.4 juta sepanjang lima tahun ini khusus bagi bantuan pendidikan untuk rakyat di Selangor.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali (gambar) berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, sejumlah RM32.1 juta diperuntukkan untuk Hadiah Pengajian Intitut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 32,130 anak negeri Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, program yang dimulakan sejak 1 Julai 2008 lalu diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) menerima sebanyak 45,164 permohonan daripada pelajar dan hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja layak dipertimbangkan untuk proses pemberian HPIPT sebanyak RM1,000.

Manakala, sebanyak RM38.3 juta pula diperuntukkan untuk Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri yang diberikan kepada 4,770 orang pelajar sejak lima tahun kebelakangan ini.

Dr Halimah berkata, seramai 758 pelajar diberikan pengurangan dan pelupusan bayaran balik atas sebab Penilaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang cemerlang mulai tahun 2004 hingga 2012.

Katanya, sejumlah RM5.05 juta jumlah pinjaman pelajaran yang dilupuskan sejak lapan tahun lalu.

“Bagi PNGK di antara 3.75 hingga 4.00 pinjaman diubah kepada biasiswa penuh dan bagi 3.49 hingga 3.74 diberi kadar pengurangan pinjaman sebanyak 50 peratus dan bagi 3.20 hingga 3.49 diberi pengurangan sebanyak 25 peratus,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang tadi.


 Saranan membentuk kerajaan yang adil oleh al-Quran

 Noraini Ismail,
06 Feb 2013
Artikel ini merupakan pemenang tempat ketiga pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58. Saranan membentuk kerajaan yang adil oleh al-Quran Gambar: Sufian, anak sulung Noraini Ismail mewakili ibunya menerima replika cek daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Masihkah kita ingat akan kemelut yang terjadi di Timur Tengah terutama di Mesir dan Tunisia sejak akhir-akhir ini? Kemelut ini telah terjadi akibat daripada kerajaan yang menaungi rakyatnya sudah tidak lagi berkelakuan baik atau berakhlak mulia. Hal ini disebabkan keadaan pemerintah di kedua-dua negara ini yang diberitakan bersifat begitu menekan, menindas dan menzalimi rakyatnya sendiri tanpa berlaku adil terhadap semua rakyat. Akibatnya, rakyat yang sepatutnya mengasihi kerajaan sudah bertukar kepada memusuhi kerajaan kerana raja adil raja disembah, raja tak adil raja disanggah. Peristiwa di atas adalah antara dua kes dalam beribu-ribu contoh yang menjadi isu terhadap ketidakadilan dalam mentadbir sesebuah kerajaan.

Malah, keadilan dan rasa amanah menjadi perkara pertama dalam proses pembentukan kerajaan yang adil berdasarkan firman Allah dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat ke-58 bermaksud, “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”.

Mengikut kepada mafhum petikan surah ini, ayat ini ditujukan kepada golongan pemerintah. Hal ini kerana golongan ini merupakan orang yang banyak menentukan keputusan kepada rakyat jelata demi menzahirkan tuntutan berlaku adil kepada semua untuk membentuk kerajaan yang berteraskan keadilan kepada semua pihak tidak kira agama, bangsa, dan warna kulit bak kata peribahasa, “seperti bergantung pada rambut sehelai”. Tambahan pula, mengikut fakta daripada ilmuwan Islam, negara yang diperintah oleh kerajaan yang berpaksikan keadilan dan bertunjangkan konsep amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sudah pasti menjamin kestabilan dan keselamatan negara yang diperintah.

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan maksud keadilan dalam petikan ayat ini berkisar tentang tuntutan kepada golongan pemerintah dalam memikul tanggungjawab dengan penuh rasa amanah demi membentuk negara yang adil mencakupi segenap aspek. Namun, jika sifat ini dipandang enteng oleh golongan pemerintah, maka impian membentuk kerajaan yang adil dalam sesebuah negara itu hanya akan tinggal angan-angan sahaja. Hal ini kerana ketidakadilan sesetengah golongan pemerintah yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan rakyat jelata dengan membolot harta rakyat amnya.

Hal inilah yang dikatakan peri pentingnya penghayatan amanah dalam sesebuah kerajaan demi membentuk negara yang adil dan saksama. Mari kita alihkan skop pemikiran kita kepada kisah di sebalik turunnya ayat ini. Menurut Ibnu Kathir, selepas pembukaan kota Makkah pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah telah meminta kunci untuk membuka pintu Ka’bah daripada Usman bin Thalhah. Setelah masuk, baginda pun keluar dari Ka’bah, lalu membacakan petikan daripada surah An-nisa’ ayat ke-58 ini. Selepas itu, Usman bin Thalhah dipanggil oleh baginda lalu baginda bersabda kepada beliau yang berbunyi, “Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan akan kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim”. Munurut kenyataan kebanyakan ulama’ tafsir, turunnya petikan surah ini ditujukan kepada Usman, maka dengan sebab itulah, Rasulullah SAW menyerahkan kunci itu kembali kepada beliau. Menurut catatan sejarah, Usman tidak mempunyai anak. Setelah wafatnya Usman pada tahun 42H, maka anak kunci itu diwariskan kepada sepupu Usman yang bernama Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Dan sampailah sekarang, kunci itu berada telah diwarisi secara turun-temurun kepada anak-anak Syaibah dan dijamin kekal hingga hari Kiamat yang dikatakan salah satu daripada mukjizat Rasulullah. Jadi, benarlah sabda Rasulullah berbunyi, “Kekal selama-lamanya di tangan kamu” yang jelas membuktikan bahawa keturunan Abu Thalhah akan mewarisi kunci itu dan dijamin kekal hingga Hari Pembalasan. Maka, daripada kisah di sebalik turunnya ayat ini, kita dapat simpulkan bahawa amanah merupakan salah satu perkara utama dalam menjamin kelangsungan sesuatu perkara yang diamanahkan itu terjaga dengan sebaik-baiknya. Walaupun berlakunya peredaran zaman dan perubahan waktu dalam jangka masa yang panjang.

Orang yang memegang amanah sebenarnya memikul tanggungjawab yang berat bersesuaian dengan mutiara kata berbunyi, ‘Yang berat adalah memegang amanah, manakala yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia’. Mari kita lensakan skop pemikiran kita dengan mengkaji dengan sedalam-dalamnya berkenaan tiga perkara pokok yang boleh dipetik dalam petikan ayat daripada surah ini, iaitu konsep keadilan dan amanah yang apabila diadunkan semua ini akan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap perkara yang sedang kita lakukan. Sama ada hal yang berkaitan keduniaan mahupun sebaliknya. Pertamanya adalah konsep amanah. Amanah dari segi bahasa adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud tenteram, aman, terselamat dan harmoni. Manakala, dari segi nilai dan akhlak, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanankan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Malah, menurut riwayat Ahmad ada mengatakan bahawa, “Tiada iman pada orang yang tidak beramanah”. Dalam konteks pembentukan kerajaan yang adil, amanah diistilahkan sebagai tidak rasuah atau menyalahguna kuasa, mengutamakan kepentingan diri, keluarga atau kroni melebihi maslahat rakyat dan sebagainya. Selanjutnya daripada petikan surah an-Nisa’ ini menjelaskan konsep keadilan. Mengikut kepada erti keadilan dari segi bahasa adalah sama rata di antara dua pihak.

Manakala, mengikut makna yang diterbitkan dari segi istilah mengikut syariat Islam ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Petikan daripada surah an-Nisa ayat ke-58 ini jelas terbukti peri pentingnya keadilan di dalam Islam mengikut daripada perintah Allah berbunyi, ‘hendaklah kamu hukum dengan keadilan’. Di sini, dapatlah juga kita faham bahawa apa sahaja yang kita lakukan sama ada orang atau barang atau benda atau perkara, sama ada yang bersifat maddi (material) mahupun bersifat maknawi atau rohani. Jika dapat diletakkan pada tempatnya, inilah yang dikatakan adil. Sudah semestinya adil yang dimaksudkan ini apabila dipadukan dengan pembentukan kerajaan adalah sesuatu perbuatan yang tidak zalim atau berat sebelah apabila menetapkan hukum atau memberi bantuan kepada rakyat jelata, tidak kira penyokong atau bukan penyokong kerajaan. Kerajaan yang membeza-bezakan bantuan daripada segi status ini tidak ubah seperti prinsip kerajaan komunis pada zaman dahulu kala. Ketidakadilan ini tidak ubah seperti peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘tiba di dada dibusungkan, tiba di perut dikempiskan’. Lantaran itu, maka terbitlah perkataan tanggungjawab yang berkait rapat dengan adunan bersama rencah konsep keadilan dan amanah. Tanggungjawab merupakan salah satu amanah yang sangat berat dan hanya layak dipikul oleh insan yang memahami dengan sepenuhnya akan maksud tanggungjawab yang sebenar. Bukannya insan yang sekadar melepaskan batuk di tangga malah inginkan tanggungjawab tersebut semata-mata untuk mendapat populariti yang tidak seberapa bagai. Secara semulajadinya, setiap manusia mempunyai tanggungjawab dan amanah tersendiri.

Oleh itu, berusahalah untuk menerima amanah tersebut dengan sebaik-baiknya. Hal ini kerana setiap amanah yang diberikan merupakan kepercayaan orang yang memilih anda. Mereka percaya bahawa anda sememangnya layak untuk menunaikan amanah tersebut. Mari kita luaskan skop pemikiran kita terhadap aplikasi yang boleh kita amalkan khususnya golongan pemerintah melalui terjemahan petikan daripada ayat surah an-Nisa’ ini dalam menghuraikan maksud sebenar ayat yang diturunkan dalam menuntut kerajaan yang adil dan amanah menurut syariat Islam. Sebelum itu, elok kiranya kita tumpukan terlebih dahulu akan maksud sebenar kerajaan yang adil mengikut syariat Islam. Kerajaan yang adil akan mempastikan setiap rakyat terhindar daripada sebarang bentuk penganiayaan dan kezaliman. Manakala, lahirlah pula konsep kerajaan berkebajikan yang semestinya bersifat pemurah dan pengasih kepada rakyatnya. Kebajikan kerajaan tergambar melalui keutamaannya dalam dasar-dasar pembangunan dan pentadbirannya sesuai dengan kehendak tuntutan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat ke-58 ini.

Lantaran itu, benarlah apa yang dikatakan kerajaan yang adil akan sentiasa mengutamakan rakyat bawahan yang berada dalam keadaan yang daif di samping mengalakkan kemajuan golongan pertengahan dan tinggi. Tamsilnya, kerajaan yang adil akan sentiasa bersama rakyat dan kekal dengan sikap dan sifat tegas mereka dalam menggubal dasar pentadbiran kerajaan persekutuan demi mempastikan hak rakyat dibahagikan sama rata seperti kata peribahasa, “datar saja lurah dengan bukit” tanpa perlu adanya sebarang rasuah dan unsur riba dalam pentadbiran. Sebagai contoh, kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, sumber makanan yang meluas dan konsep mampu milik diamalkan untuk semua peringkat tanpa perlunya ada harga keperluan asas yang tinggi bagai mencekik darah rakyat.

Ditambah pula kos taraf hidup yang semakin meningkat, dan penyediaan kemudahan penginapan mampu milik serta gaji minima yang sesuai dengan peredaran masa yang secara tidak langsung menjamin kesenangan dan kebahagiaan hidup rakyat sejagat. Tambahan lagi, rakyat di bawah pimpinan kerajaan yang mengamalkan konsep negara berkebajikan yang diambil daripada konsep kerajaan yang adil akan sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram, damai dan aman. Hal ini kerana, keyakinan mereka terhadap kemurahan dan sikap mengambil berat kerajaan yang memimpin mereka. Jelaslah, kerajaan yang adil akan membawa 1001 manfaat kepada kita semua bertepatan dengan perintah Allah yang menegaskan kepada pemimpin untuk membina kerajaan yang berteraskan keadilan demi menyahut tuntutan menuntut kerajaan adil berdasarkan makna yang terperinci di sebalik ayat ke-58 surah An-Nisa’ ini. Mari kita lebarkan sayap pemikiran kita terhadap faktor utama terhadap kebangkitan rakyat Timur Tengah yang menentang kerajaan dan beberapa ciri negara yang mengamalkan konsep keadilan melibatkan kerajaan yang memerintah. Persoalan yang bermain di fikiran kita sekarang, apakah punca sebenar mereka memberontak menentang kerajaan sedangkan kita dituntut menghormati dan menyanjung kerajaan yang memimpin kita? Jawapannya ialah sikap kerajaan yang tidak menghiraukan nasib rakyat jelata di bawah pemerintahan mereka. Menurut penganalisis politik antarabangsa, rakyat memberontak disebabkan kecuaian kerajaan mereka memberikan peluang pekerjaan yang saksama, kemudahan pendidikan yang selesa, peluang memiliki rumah yang sewajarnya serta penglibatan terbuka dalam penyataan pendapat dan pembangunan negara.

Rakyat merasakan diri mereka dipermainkan dan tidak dihormati oleh kerajaan sendiri malah lebih teruk kerana merasakan mereka terhina berada dalam negara sendiri. Ternyata, sesebuah kerajaan yang tidak berakhlak seperti ini akan dibenci oleh rakyat secara umumnya. Konsep negara berkebajikan juga boleh diguna pakai dalam mencari keadilan memimpin kerajaan. Lantaran itu, beberapa syarat wajib telah ditetapkan demi mengapai impian membentuk negara yang adil berteraskan contoh kepada prinsip negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh Parti Islam Se-Malaysia(PAS). Antara syarat-syaratnya adalah negara mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti. Pembaziran duit rakyat mesti dielakkan demi menggambarkan pemimpin yang berintegriti. Seterusnya, negara berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil. Akhirnya, negara berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua. Hal inilah yang menjadi tuntutan utama keadilan dan konsep amanah kepada golongan pemerintah demi kebaikan seluruh pihak.

Tambahan lagi, Islam mewajibkan setiap golongan pemimpin sentiasa berjuang ke arah penambahbaikan taraf hidup rakyat demi kemaslahatan rakyat di bawah pimpinan mereka. Hal ini kerana, golongan pemerintah yang berjuang membentuk negara yang adil segenap aspek akan sentiasa bersifat produktif, bermoral bersih dan amanah bersesuaian dengan sabda Nabi SAW, “Peniaga-peniaga yang amanah dan jujur akan dibangkitkan bersama-sama dengan orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat nanti”. Secara tuntasnya, kita sebagai umat Islam boleh mengutip beberapa pengajaran daripada petikan al-Quran surah an-Nisa ayat ke-58 ini dan segala ilmu yang kita peroleh ini mungkin boleh diguna pakai dalam kehidupan seharian kita sekalian dan diamalkan untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama khususnya mereka yang bergelar pemerintah dalam membentuk negara yang adil, telus dan amanah daripada segenap aspek. Imam Ghazali pernah berkata, “Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia”.

Antara pengajarannya adalah rakyat sepatutnya sedar akan peri pentingnya kerajaan yang adil di bawah konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang merupakan salah satu contoh dan model kepada usaha pembentukan kerajaan yang adil sebagaimana yang dituntut dalam Islam bertunjangkan makna di sebalik ayat al-Quran surah an-Nisa’ ayat ke-58 itu. Negara yang adil lebih besar dan luas kerangkanya dalam meliputi hak rakyat untuk dilayan sama adil, agihan ekonomi yang adil, hak berpolitik secara bebas, keperluan sosial yang wajib dipenuhi, pemimpin dan rakyat yang berintegriti dan seterusnya membentuk kerajaan Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek. Sebagai khalifah di bumi milik Allah ini, kita tidak terlepas daripada memerlukan nasihat, dan nasihat yang terbaik buat kita adalah datang daripada Allah (Al-Quran) dan Rasulullah(Al-Sunnah). Maka, jelaslah sifat amanah amat dituntut dalam Islam dan merupakan sifat yang disukai oleh Allah yang mampu membawa kepada pembentukan akidah dan takwa dalam usaha membentuk negara yang adil berteraskan Quran dan Sunnah. Penulis berasal dari Dungun, Terengaanu dan bekerja sendiri.

Tiada ulasan: