Isnin, 21 April 2014

PUAS KITA AIBKAN MANUSIA DIDUNIA.... DIAKHIRAT TIBA MASANYA..... AIB2 KITA PULA DIBUKA

SESIAPA yang membaca akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac lalu tentunya tertanya-tanya dengan maklumat yang dipaparkan akhbar tersebut.

"Ahli politik wanita didakwa berkhalwat," lapor Utusan.

Menurut laporan itu, seorang ahli politik wanita bersama pasangannya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kangar atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel pada awal Mac lalu.

Ahli politik wanita berusia 34 tahun yang disebut namanya itu dituduh berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun. Mereka ditahan ketika berada di sebuah bilik hotel pads pukul 1.30 pagi, 3 Mac lalu.

Ahli politik itu didakwa di bawah Seksyen 9(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 manakala pasangan didakwa di bawah Seksyen 9(1) enakmen yang sama.

Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Syarie menetapkan tarikh perbicaraan kepada14 Mei.

Bagi mereka yang tidak mengikuti secara dekat politik Perlis, identiti ahli politik wanita itu pastinya menjadi tanda tanya memandangkan dia tidak dikenali di peringkat nasional.

Hanya setelah membaca laporan The Star pada tarikh yang sama kita akan mengetahui  bahawa ahli politik wanita itu sebenarnya mengetuai salah satu sayap Umno negeri Perlis.

Pastinya kita kagum dengan keprihatinan Utusan dalam memelihara aib pemimpin parti itu di khalayak pembaca. Utusan bukan sahaja tidak menyiarkan jawatan yang disandang ahli politik wanita itu walaupun ianya jawatan tinggi parti di peringkat negeri, malah tidak menyiarkan gambarnya seperti dilakukan The Star.

Sekali lagi syabas diucapkan kepada Utusan kerana memelihara aib manusia. Namun sayangnya tindakan menjaga aib itu hanya dikhususkan kepada para pemimpin Umno.

Sebagai bukti, Utusan pada tarikh yang sama menyiarkan wawancara bersama pensyarah bidang ilmu dan peradaban, Prof Datuk Dr Sidek Baba (gambar) yang sarat dengan kecaman dan kata nista terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sidek yang disifatkan Utusan sebagai "begitu rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya satu ketika dulu" kini tergolong dalam kelompok bekas kenalan dan penyokong Anwar yang lantang mengecam dan menghodohkan peribadi Anwar.

Sidek mendakwa masih mendukung dan bersimpati dengan Anwar sejak 1998 hingga 2011. Namun mengaku berubah pendirian selepas Anwar menghadapi pertuduhan liwat kedua.

Sidek mengakui telah menemui 30 orang antaranya bekas penasihat agama Anwar, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, bekas Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Nor, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin, Timbalan Menteri Luar, Hamzah Zainuddin dan tidak ketinggalan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan maklumat tentang Anwar.

Mengaku sebagai 'orang akademik' dan 'ahli dakwah', Sidek dipetik Utusan sebagai berkata, "kebenaran maklumat adalah penting dan pedoman syarak adalah mustahak" sebelum beristikharah memohon petunjuk Allah.

Beliau memberikan tiga sebab untuk "meninggalkan Anwar" iaitu mendakwa Anwar mendokong pluralisme agama, hubungan Anwar dengan pihak luar "yang kontroversial" dan masalah integriti yang dimiliki Anwar.

Memang pelik dan dangkal bagi seorang yang mendakwa ilmuwan dan syarie untuk membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada musuh politik Anwar. Apatah lagi sebahagian daripada mereka disifatkan oleh aktivis  veteran Umno dan Setiausaha BN Bandar Tun Razak, Zaharin Md Yassin sebagai 'biawak'. Namun itulah standard 'keilmuwan' dan 'komitmen syarak' Sidek yang kita mahu atau tidak mahu akui.

Bagi mereka yang mahu menilai sejauh mana kekuatan intelek Sidek dalam isu Anwar dan ulasannya tentang politik negara bolehlah membaca wawancara 1/3 muka Utusan dengan beliau.

Berbalik kepada komitmen Utusan dalam menjaga aib pemimpin politik, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa akhbar milik Umno itu hanya berminat menjaga aib pemimpin parti itu sahaja. Seperti kata Presiden PKR yang juga Adun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail  pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, "Apa perasaan YB (Adun-Adun Umno-BN) jika menjadi mangsa fitnah (qazaf) selama 16 tahun?"

Itu sebenarnya ingatan ikhlas daripada isteri Anwar sendiri kepada pemimpin Umno dan mediumnya Utusan Malaysia tentang budaya fitnah dan qazaf yang kini telah berakar subur dalam parti itu.

Yang lebih mengaibkan, tatkala ghairah menyuburkan budaya qazaf, lebih ramai pemimpin Umno yang diragui moral dan integritinya menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

Rasanya perlu untuk Prof Sidek beristikharah bagi memohon petunjuk Allah kerana kini berada dalam kelompok ahlul qazaf...
--------------------------------
Qazaf adalah satu kesalahan jenayah syariah apabila seseorang menuduh lelaki/wanita yang baik melakukan zina (termasuk liwat) tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil.


NEW YORK: Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangannya berhubung bekalan makanan yang semakin berkurangan dan mungkin kehabisan di kem pelarian Palestin di Yarmouk akibat kepungan berlarutan di kawasan itu berikutan perang saudara yang sedang melanda Syria.
Agensi Bantuan dan Kerja bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat PBB (UNRWA) memberi amaran tentang kekurangan makanan yang begitu mencemaskan di kem Pelarian itu sehingga Sabtu apabila pertempuran antara pihak yang terlibat dalam perang saudara di Syria semakin memuncak dan sekali gus menyekat penghantaran bekalan yang amat diperlukan.
Menurut jurucakap UNRWA Chris Gunness, agensi itu tidak dibenar mengagihkan bantuan makanan pada 18 April di Yarmouk, tempat yang menjadi tumpuan lebih 20,000 orang awam bagi mendapatkan bantuan daripada PBB.
Gunness dengan penuh terharu berkata "ini hari kesepuluh berturut-turut UNRWA tidak dapat mengagihkan bantuan makanan di Yarmouk”.
Katanya memandangkan makanan yang dibekalkan UNRWA boleh bertahan paling lama hanya 10 hari, maka bekalan yang telah disumbangkan PBB kepada kem itu akan kehabisan.
Yarmouk menempatkan lebih 160,000 pelarian Palestin sebelum tercetusnya perang saudara di Syria pada Mac 2011.
Sejak Disember 2012, antara 140,000 dan 145,000 pelarian Palestin dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Yarmouk apabila tentera puak penentang meningkatkan kehadiran mereka di kawasan itu dan tentera kerajaan pula menguasai kawasan sekelilingnya.
Gunness berkata UNRWA “teramat bimbang” dengan keadaan manusia yang begitu memerlukan bantuan di Yarmouk dan ingin memaklumkan bahawa pertikaian bersenjata yang tidak putus-putus berlaku sejak sebulan lepas, mengganggu usahanya untuk meringankan penderitaan orang awam yang terperangkap di kawasan itu.
UNRWA dapat memasuki Yarmouk hanya sebanyak 10 hari dalam tempoh 30 hari antara 11 Mac dan 10 April dan oleh itu, hanya dapat mengagihkan 3,390 bungkusan makanan.
Gunness mengulangi harapan UNRWA agar semua pihak menamatkan permusuhan dan mencari penyelesaian terhadap perselisihan mereka secara aman dan agensi itu pula dapat memasuki kawasan berkenaan secara kerap dan terus menerus bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan.
Dalam perkembangan berasingan, ketua Misi Bersama Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia dan PBB (OPCW-UN) mengumumkan pada Sabtu bahawa sehingga 19 April, Syria telah membuang atau memusnahkan kira-kira 80 peratus bahan senjata kimianya.
Sigrid Kaag, penyelaras khas misi bersama OPCW-UN, dalam kenyataannya berkata hasil perbincangan yang diadakan dijangka dapat "mengekalkan momentum itu dan menyelesaikan sepenuhnya operasi pembuangan bahan berkenaan dalam masa beberapa hari lagi".
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa langkah itu akan dapat memenuhi tempoh  yang ditetapkan majlis eksekutif OPCW, termasuk tarikh akhir 30 Jun 2014 bagi memusnahkan sepenuhnya program senjata kimia Syria.
Kaag menyifatkan "pembaharuan fasa dalam gerakan itu" sebagai sesuatu yang "positif dan perlu dilakukan" bagi memastikan wujud kemajuan ke arah menepati tempoh yang ditetapkan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Kaag berkata Syria juga selesai memusnahkan semua bekas gas mustard kosong dan mencapai kemajuan dalam menghentikan pengeluaran senjata kimia serta tempat penyimpanan senjata itu.
Pembuangan bahan paling kritikal bermula pada awal Januari, sejajar dengan persetujuan yang diatur Rusia dan Amerika yang mewajibkan Syria membuang bahan senjata kimianya dan menyertai Konvensyen mengenai Pencegahan, Pembangunan, Pengeluaran, Penyimpanan dan Penggunaan Senjata Nuklear 1992. - Bernama

Suasana Jakarta pada hari kempen tanpa kereta.
JAKARTA: Kos hidup di ibu negara Indonesia, Jakarta dianggap sangat tinggi berbanding bandar raya utama lain di dunia, menurut kajian baru-baru ini oleh sebuah firma penyelidikan pasaran.
Pengurus Negara Ipsos Business Consulting Indonesia, Domy Halim berkata berdasarkan kaji selidik terbaharu syarikat itu pada hujung Februari lepas, kos hidup di Jakarta didapati lebih tinggi berbanding Bangkok, Hong Kong dan New York.
Kaji selidik itu membandingkan peratusan wang yang dibelanjakan oleh penduduk Jakarta terhadap beberapa produk dan keperluan gaya hidup seperti kopi, makan di luar, sambungan internet jalur lebar, tiket wayang dan telefon pintar antara lain.
Satu cawan minuman panas di sebuah kedai kopi boleh mencecah harga sehingga US$2.88 (RM9.30) di Jakarta.
"Angka ini mewakili 1.12 peratus daripada pendapatan purata penduduk. Di Hong Kong, penduduknya membelanjakan 0.28 peratus daripada pendapatan purata mereka terhadap barangan serupa.
"Bagaimanapun, persepsi rakyat sama ada sesuatu produk itu mahal atau tidak juga bergantung kepada status sosioekonomi mereka," kata Domy. - Bernama

Kit Siang, Mohamad Sabu dan Anwar meletakkan jambangan bunga di keranda mendiang Karpal Singh dalam majlis penghormatan negeri di Dewan Sri Pinang, Georgetown.
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengajak orang ramai supaya menghargai pemergian Karpal Singh dengan meraikan pencapaian dan merealisasikan aspirasi beliau mengenai keadilan, integriti dan kebebasan.
Menurutnya, semangat juang yang tidak pernah luntur  "Harimau Jelutong" itu dalam mempertahankan ketidakadilan dan hak-hak setiap warga walau dihalang oleh masalah fizikal perlu dicontohi.
"Anda boleh menghalang fizikalnya, tapi tidak semangatnya. Saya melihat sendiri semasa sama-sama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting pada 1988, beliau mengalami sakit belakang yang teruk tetapi tetap enggan mengalah.
"Kecekalan dan kekuatan beliau sekali lagi teruji apabila mengalami kemalangan pada 2005 yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah.
"Namun kelumpuhan itu berjaya diatasi apabila beliau tetap meneruskan kerjayanya dalam bidang undang-undang dan politik. Karpal kemudian menjadi orang kurang upaya pertama di Malaysia yang dua kali dipilih ke Parlimen, kedua-duanya dengan majoriti sangat besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penghormatan Negeri untuk mendiang Karpal di Dewan Sri Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP itu menambah, seperkara lagi yang meninggalkan kesan amat besar dari mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu adalah prinsip utuhnya untuk membantu semua golongan.
"Beliau enggan mengenakan bayaran bagi kes-kes ketidakadilan tidak kira individu itu orang kenamaan seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang atau Melayu miskin, India dan Cina.
"Oleh kerana itu pemergiannya akan meninggalkan kekosongan besar bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang terinspirasi dengan prinsip Karpal.
"(Presiden Amerika Syarikat) Thomas Jefferson berkata apabila kerajaan takut kepada rakyat, wujudlah kebebasan; apabila rakyat takut kerajaan, wujudlah kezaliman. Sepanjang hayatnya, Karpal menunjukkan kepada kita semua bagaimana untuk tidak takut pada kerajaan,” ujar Guan Eng.
Orang ramai mula memenuhi Dewan Sri Pinang dan kawasan sekitar Gurney Drive di sini seawal jam 8 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh.
Orang ramai berpusu-pusu mendekati van yang membawa jenazah Karpal sebaik ia tiba di pintu pagar dewan tepat pada jam 8.11 pagi.
Van membawa jasad Karpal berlepas ke Krematorium Batu Gantung sekitar  jam 11 pagi melewati tiga tempat penting dalam hidup Karpal iaitu Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (tempat mula kerjaya peguam), Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (tempat mula kerjaya politik) dan St. Xavier Instution (sekolah). - Sumber Roketkini

Guan Eng berucap pada majlis penghormatan negeri untuk mendiang Karpal Singh di Dewan Sri Pinang, Georgetown.

Saiful Bahri menyampaikan cenderahati kepada Presiden PAS pada majlis perasmian ijtimak semalam.
KEMAMAN: Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Ijtimak Kepimpinan PAS negeri yang  diadakan di Pekan Kemasik yang ditutup dengan program ceramah malam tadi.

“Semoga kita mulakan gerak kerja ‘roadmap’ pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di tempat masing-masing sebagai pemikul amanah,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Paka berkata, setahun sudah berlalu, ahli-ahli dan para pendukung PAS akan menggerakkan lonjakan bagi ‘roadmap’ untuk menawan negeri ini pada PRU14 nanti.

Tambahnya, dalam tempoh itu, PAS negeri hendak memperkukuhkan tarbiyah di semua peringkat.

Ini, ujarnya kerana dengan kefahaman dan tarbiyah itu, merupakan proses nabi itu untuk membacakan ayat Allah Taala dan mendidik mereka tentang Al-Quran, meskipun, dahulu mereka ada dalam keadaan kejahilan yang sejahil-jahilnya.

“Inilah asas kita dan ini merupakan kekuatan ahli di semua peringkat, kita akan melonjakkan perjuangan kita bagi menghadapi PRU yang akan datang,” katanya.

Justeru, persiapan menuju Wisma Darul Iman perlu dimulakan dari sekarang, dan tidak boleh bertangguh lagi.

Pada PRU13 Mei tahun lalu, PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya memenangi 15 daripada 32 Dewan Undangan Negeri setelah kehilangan kuasa pemerintahan negeri pada PRU 2004.

PAS diberi mandat memerintah negeri ini pada PRU10 apabila memenangi 28 daripada 32 kerusi Dun tetapi keputusan yang sama diperolehi oleh BN pada PRU selepas itu.

Salahuddin dan Suhaizan ketika bertemu Humza (dua dari kiri)  di pejabat beliau di Scotland.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat yang sedang dalam lawatan kerja ke United Kingdom mengadakan perbincangan dengan Menteri Hubungan Luar dan Pembangunan Antarabangsa Scotland, Humza Yousaf.
Pertemuan selama satu jam itu turut dihadiri Pengerusi PAS Representative Council (PRC UK), Jubri Bade.
Dalam perjumpaan di The Scottish Goverment itu, Humza menjelaskan perjuangan Scotland untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British.
Menurut beliau, satu pungutan referendum rakyat Scotland akan dilaksanakan pada September 2014 bagi meninjau pandangan rakyat sama ada mahukan kemerdekaan atau kekal di bawah kuasa British.
Humza ialah pemimpin Scottish National Party (SNP).
Menurut beliau, berdasarkan tinjauan pendapat yang diusahakan oleh SNP, sokongan terhadap tuntutan kemerdekaan telah meningkat daripada 36% kepada 47%.
SNP ujarnya menyokong usaha mendapatkan kemerdekaan daripada British.
Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan Scotland untuk membenarkan referendum dilaksanakan.
Jika referendum ini berjaya, Scotland diberi masa 18 bulan untuk persiapan kemerdekaan.
Antara isu-isu yang hangat dibincangkan menjelang referendum adalah penggunaan matawang pound kerajaan British.
"Kerajaan British tidak membenarkan Scotland yang merdeka menggunakan mata wang British. Scotland yang merdeka juga tidak menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
"Permohonan untuk masuk EU akan berhadapan dengan bantahan daripada British," jelas Suhaizan.
Walaubagaimana pun SNP berkeyakinan penuh bahawa pendapatan hasil negeri daripada sumber petroleum, pertanian, penternakan dan lain-lain akan membolehkan Scotland mampu mentadbir negaranya sendiri, anggota pasukan polis dan tentera akan diberi pilihan sama ada mahu berkhidmat dengan Scotland yang merdeka ataupun kekal bersama British.
"Menariknya SNP diberi hak untuk mempromosi agenda kemerdekaan mereka dalam media arus perdana British. Sesuatu yg tidak berlaku dalam negara kita," kata Suhaizan.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar ketika menziarahi Nozula di hospital.

IPOH: Keadaan Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis bertambah baik dan beliau masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
  
Pengarah HRPB Datuk Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin berkata Nozula berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
  
"Sebentar tadi Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) ada melawat dan Nozula sudah sedar," katanya ketika ditemui pemberita di HRPB, semalam.
  
Sementara itu, Nor Fatma Nadia, anak kepada Nozula berkata bapanya belum dimaklumkan tentang kematian ibunya.
  
"Semalam bapa telah sedar. Sebelum ini tidak sedar sebab diberikan ubat supaya boleh berehat," katanya.

Turut melawat Nozula pada kira-kira pukul 6 petang ini ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
  
Dalam kemalangan itu, Nozula, 57, mengalami kecederaan serius iaitu lebam di paru-paru selain tujuh tulang rusuknya, enam di bahagian kanan dan satu di kiri patah.
  
Kemalangan yang menimpa Nozula berlaku kira-kira 6.30 petang di Km 23, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ketika beliau dan keluarganya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Cheras, Kuala Lumpur.
  
Kenderaan SUV yang dipandu anak perempuannya dipercayai terbabas kerana jalan licin sebelum merempuh tebing bukit yang menyebabkan isterinya Datin Maziah Din maut. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia dijangka menandatangani perjanjian bagi menetapkan pihak mana yang akan mengendali bangkai dan kotak hitam Malaysia Airlines Penerbangan MH370, jika ditemui. 
  
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata perjanjian itu dalam proses penggubalan dan beliau tidak dapat mendedahkan lebih lanjut mengenainya buat masa ini.
  
"Rangka perjanjian antara Malaysia dan Australia menyentuh persefahaman tentang bagaimana harus dikendali bangkai pesawat, kotak hitam dan mayat manusia jika kami dapat kesan (pesawat).
  
"Sebaik saja kami dapat bereskan butiran dengan Australia, kami akan dapat memberi lebih banyak maklumat kepada media," katanya pada persidangan akhbar dipengerusikan oleh pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai perkembangan berhubung pencarian MH370 di sini hari ini.
  
Hadir sama Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya. - Bernama

Tiada ulasan: