Selangor tambah bekalan air mentah sebelum tamatkan catuan
- Apr 22, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan beberapa langkah segera bagi menghasilkan tambahan 1,000 juta liter sehari (JLH) bekalan air mentah di negeri itu dan jika petunjuk pelaksanaan adalah positif, program catuan air akan ditarik balik.
Langkah-langkah yang akan diambil adalah pembenihan awan melalui teknologi dari Thailand, mengepam air mentah dari kolam takungan bekas lombong ke Sungai Selangor, mengepam air sungai hasil hujan lebat di hilir untuk ditakungkan ke kolam-kolam sekitar Sungai Selangor, dan meneroka air bawah tanah yang berpotensi menghasilkan air mentah antara 300 hingga 400 JLH.
Sehingga langkah-langkah itu membuahkan hasil, program catuan air terpaksa diteruskan kerana paras air di empangan utama iaitu Empangan Sungai Selangor masih di bawah kritikal dan air yang ada sekarang hanya mampu bertahan 29 hari jika catuan tidak dilakukan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata sehingga 20 April lalu, paras Empangan Sungai Selangor terus menurun hingga ke bawah 40% dengan simpanan air mentah di empangan itu adalah sebanyak 89.29 juta meter padu (jmp) atau 38.82% berbanding 235.32 jmp jika empangan penuh 100 peratus.
Walaupun hujan turun di beberapa kawasan di negeri ini sejak kebelakangan ini, usaha pembenihan awan yang telah dijalankan gagal menghasilkan hujan di kawasan yang dikehendaki terutamanya di Empangan Sungai Selangor.
Sehubungan itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah diarah untuk menghubungi Kerajaan Thailand bagi mengkaji kemungkinan menggunakan teknologi pembenihan awan yang dikenali sebagai “The Royal Rainmaking Technology” untuk mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
"Teknologi ini juga boleh memastikan mengapa usaha pembenihan awan yang telah dijalankan gagal menghasilkan hujan di kawasan yang dikehendaki, terutama di Empangan Sungai Selangor," ujarnya.
Abdul Khalid turut menjelaskan langkah-langkah yang akan dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah catuan air di Selangor hasil mesyuarat bersama Luas, Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta empat syarikat konsesi.
Menurutnya, kerajaan negeri merancang untuk menaikkan paras simpanan air mentah terutama di Empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus keperluan air ke Lembah Klang sebagai persediaan menghadapi musim kering yang dijangka lebih teruk pada Mei hingga akhir September tahun ini.
Jelas beliau, Luas dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) sedang giat meneroka kolam-kolam bekas lombong terutamanya di kawasan Lembangan Sungai Selangor bagi tujuan mengepam air mentah dari kolam takungan bekas lombong ke Sungai Selangor.
"Dengan cara ini, pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dapat dikurangkan dan air di empangan mampu bertahan lama," katanya.
Abdul Khalid menjelaskan, Luas dan JPS juga telah menjalankan aktiviti mengepam air sungai hasil hujan lebat di hilir untuk ditakungkan ke kolam-kolam sekitar Sungai Selangor untuk digunakan pada musim kering nanti.
"Kita telah mengenal pasti untuk membeli pam-pam yang berkeupayaan untuk melakukan kerja-kerja pengepaman ini berbanding menyewa pam daripada pihak luar kerana ia lebih menjimatkan," kata beliau.
Abdul Khalid menambah, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk meneroka air bawah tanah yang berpotensi menghasilkan air mentah antara 300 hingga 400 juta liter sehari (JLH) sementara menunggu projek HORAS yang akan siap Julai 2015.
"Kolam takungan air bawah tanah ini disediakan dengan mengambil kira keadaan musim kering pada masa akan datang di mana pada ketika musim kering yang teruk dan berpanjangan, air permukaan seperti air sungai akan berkurangan," jelas beliau.
Menurutnya, usaha-usaha di atas akan dapat menghasilkan kira-kira 1,000 JLH air mentah dan jika petunjuk pelaksanaan adalah positif dalam tempoh seminggu, kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji semula keputusan catuan air.
"Kita amat berharap rakyat memahami situasi ini dan menyokong usaha-usaha kerajaan negeri dalam menghadapi persediaan menghadapi musim kering yang dijangka lebih teruk dan berlanjutan," ujarnya.
Beliau juga berharap pihak-pihak tertentu tidak memanipulasi keadaan ini kerana kekurangan air di Selangor adalah disebabkan faktor cuaca manakala hujan yang diterima belum cukup untuk menambah kapasiti air di empangan.
MH370: Keluar sijil kematian, kerajaan nak tutup kes?
- Apr 22, 2014
- HARAKAHDAILY
Bagi penulis Shahbudin Husin, jika misi pencarian masih diteruskan dan skalanya pula berubah ke kawasan lain serta lebih banyak aset mungkin digunakan, mengapakah begitu cepat kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian.
Beliau juga bertanya apakah ini menandakan misi pencarian akan ditamatkan dan kes akhirnya akan ditutup dengan cara membayar sejumlah wang pampasan kepada waris mangsa.
“Apakah wang benar-benar cukup bernilai kepada waris mangsa berbanding ahli keluarga yang masih belum diketahui nasibnya itu?” tulis beliau di dalam blognya, sebagai mana di bawah.
Meskipun belum ada sebarang bukti serpihan pesawat MH370 dan cebisan mayat penumpangnya ditemui sehingga ini, kerajaan dilaporkan sudah mahu mengeluarkan sijil kematian iaitu pengesahan rasmi bahawa kesemua mereka ditakrifkan sudah meninggal dunia.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan untuk mengumumkan status penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dalam tempoh terdekat ini.
Pengumuman tersebut, katanya, diambil setelah mendapat pengesahan daripada pakar-pakar berkaitan dan betujuan supaya waris-waris penumpang itu dapat meneruskan kehidupan mereka walaupun sukar menerima hakikat kehilangan anggota keluarga tersayang mereka.
Keputusan mahu mengeluarkan sijil kematian ini dipercayai diambil setelah pencarian memasuki hari ke 47 masih juga gagal menemui sebarang bukti pesawat itu terhempas di Lautan Hindi sebagaimana yang disimpulkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak.
Beberapa isyarat "ping" yang dikesan, serpihan yang ditemui serta tompokan minyak yang uji, ternyata tiada langsung kaitannya dengan pesawat atau kotak hitam milik MH370 itu.
Di ketika yang sama, penyiasat antarabangsa juga dikhabarkan mula menyiasat kemungkinan pesawat itu sebenarnya tidak terhempas di Lautan Hindi sebagai yang dipercayai sebelum ini, tetapi kemungkinan ianya didaratkan di sebuah lokasi yang lain atau terhempas di kawasan terpencil selain daripada Lautan Hindi.
Laporan yang disiarkan oleh NST itu menyebut, ia adalah kemungkinan baru yang sedang diteliti ketika ini.
Sebelum ini, laporan dari Russia juga menyebut MH370 tidak terhempas di Lautan Hindi, sebaliknya dirampas dan semua penumpangnya disembunyikan di sebuah perkampungan kabilah antara Afghanistan dan Pakitan.
Sementara itu, dalam masa yang sama, Hamzah juga berkata misi pencarian di Lautan Hindi masih perlu diteruskan dengan kemungkinan menggunakan lebih banyak aset atau kawasan pencarian diperluaskan lagi.
Jika misi pencarian masih diteruskan dan skalanya pula berubah ke kawasan lain serta lebih banyak aset mungkin digunakan, mengapakah begitu cepat kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian?
Apakah ini menandakan misi pencarian akan ditamatkan dan kes akhirnya akan ditutup dengan cara membayar sejumlah wang pampasan kepada waris mangsa?
Apakah wang benar-benar cukup bernilai kepada waris mangsa berbanding ahli keluarga yang masih belum diketahui nasibnya itu?
Sehingga ini, memang dilaporkan ramai waris mangsa tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian itu sehingga mereka benar-benar diberikan bukti bahawa pesawat itu telah terhempas dan penumpangnya telah meninggal dunia. Bagi kebanyakan waris, bukti nyata tentang kematian adalah perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum mereka diberikan sijil kematian yang diikuti dengan pemberian sejumlah wang pampasan.
Ramai waris yang menolak tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian tanpa sebarang bukti itu dan menganggapnya sesuatu yang tidak patut dilakukan ketika ini.
Setelah mengeluarkan kenyataan bercanggah, tidak telus dan tidak tepat mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu, tindakan mahu mengeluarkan sijil kematian hanya setelah misi pencarian gagal menemui sebarang bukti dalam tempoh 47 hari, ia adalah satu lagi bukti kegagalan kerajaan bertindak waras dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan perikemanusiaan.
Tidakkah tindakan mengeluarkan sijil kematian ini menunjukkan prosesnya menuju ke arah penutupan kes? Walaupun misi pencarian akan diteruskan, tetapi setelah sijil kematian dikeluarkan, sudah tentulah usaha tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh lagi?
Kenapakah hanya setelah 47 hari misi pencarian, kerajaan seolah-olah sudah berputus asa dan lebih selesa ianya diakhiri dengan kematian? Bukankah Islam menetapkan pengisytiharan kematian hanya setelah 4 tahun manakala undang- undang negara pula setelah 7 tahun?
Bagaimana jika setelah sijil kematian dikeluarkan, pesawat itu akhirnya dapat ditemui dan semua penumpangnya masih hidup?
Dalam hal ini, kerajaan tidak seharusnya terlalu awal mahu membuat kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia. Jika kesimpulan pertama yang diumumkan Najib sebelum ini bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan kemudian merakamkan usul takziah di Parlimen, ternyata masih gagal dibuktikan kebenarannya serta menyinggung perasaan waris mangsa, kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia melalui pengeluaran sijil kematian ini sekali lagi mengguris perasaan mereka.
Seharusnya, sebagaimana yang kerapkali dijanjikan bahawa pencarian akan diteruskan sehingga bangkai pesawat, cebisan mayat dan kotak hitam ditemui, ia benar-benar menjadi ungkapan janji yang ditepati. Janganlah cepat membuat pusingan U atau menuju ke persimpangan lain sebelum tiba ke destinasi yang dijanjikan.
Jika tidak, ia lebih mendedahkan kelemahan kerajaan dan seolah-olah benarlah tanggapan bahawa banyak yang cuba disembunyikan di sebalik kehilangan pesawat itu.
Persepsi lawan realiti dalam era internet
- Apr 22, 2014
- A KADIR JASIN
IDR adalah badan pemikir yang ditubuhkan oleh Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir bagi menyemarakkan semula tradisi berfikir serta membantu menyelidik hal-hal berkaitan siasah dan pentadbiran negeri.
Dua majlis diadakan. Satu membabitkan kalangan politik Barisan Nasional bertempat di kediaman rasmi MB dan satu lagi melibatkan kakitangan kerajaan awam di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Kita berbincang mengenai peranan media baru dan lama, khususnya media sosial dalam pembentukan persepsi dan persoalan sama ada media massa turut menjadi mangsa tragedi MH370.
Saya kata, dalam bidang maklumat dan propaganda, persepsi sama penting dan dalam hal-hal tertentu lebih penting daripada fakta dan realiti. Kita tidak boleh lari lagi daripada mengakui peranan media sosial dan kewartawanan jelata dalam pembentukan persepsi – buruk atau baik.
Pemerintah dan parti-parti politik perlu memahami penghijrahan audiens daripada media tradisional/media arus perdana kepada media atas talian, khususnya media sosial dalam usaha mereka merancang strategi komunikasi masing-masing.
Konspirasi Media Asing
Menjawab hujah dan pertanyaan peserta, saya berkata yang saya tidak nampak ada konspirasi (persekongkolan) oleh media massa luar untuk membusukkan nama Malaysia, khususnya dalam peristiwa kehilangan pesawat MH370 MAS pada 8 Mac lalu.
Daripada pemerhatian saya, selain beberapa berita yang sedikit disensasikan dan disuntik dengan unsur-unsur nasionalisme serta emosi, khususnya oleh media massa China, laporan mengenai tragedi itu umumnya faktual.
Saya maklumkan kepada audiens bahawa selagi pesawat itu tidak ditemui, selagi itulah media massa akan melaporkannya dan mengisi ruang yang tidak terjawab dengan teori dan spekulasi. Selepas itu, sekiranya pesawat berkenaan ditemui, siasatan mengenainya pula akan menjadi tumpuan pemberitaan.
Saya katakan kepada audiens yang kita perlu terlebih dulu melihat ke dalam diri kita sebelum menyalahkan media massa dan pihak luar jika imej antarabangsa kita rosak.
Saya sebutkan berkenaan orang kita yang tidak berhati perut (tapi ada duit) yang mendera pekerja asing mereka sehingga luka parah atau mati. Patutlah kalau negara kita dicaci cerca oleh media massa luar. Kita sendiri mengutuk kedurjanaan seperti itu.
Kemudian, dalam kita hangat membincangkan kecekapan TUDM mengawal ruang udara kita berkaitan kehilangan MH370, kita dikejutkan dengan berita seorang pegawainya ditangkap di Amerika Syarikat kerana disyaki cuba menyeludup senjata.
Ini selepas seorang warganegara kita bernama Leonard Francis atau Fat Leonard (Leonard Gemuk) yang berpangkalan di Singapura ditangkap dan didakwa di Amerika atas tuduhan menipu Tentera Laut Amerika.
Jadi bolehkah kita menuduh media massa asing memburukkan imej negara kita dengan melaporkan kejadian-kejadian seumpama itu sedangkan media massa kita pun melakukan yang sama?
Sebaliknya kita wajib mengutuk dan, di mana yang boleh, menghukum rakyat kita yang melakukan jenayah dan kesalahan undang-undang di luar negara sehingga membusukkan imej negara.
Orang macam inilah yang boleh dituduh tidak patriotik, bukan orang yang menegur pemerintah demi memperbetulkan kesalahan untuk kebaikan dan kelangsungan negara dan bangsa.
Saya ulangi mesej bahawa kita mengundi memilih wakil untuk memerintah. Kita tidak memilih anak, bini, menantu dan kawan rakan mereka. Adalah menjadi kewajipan ahli parti, pengundi, pembayar cukai dan warganegara menegur wakil yang mereka pilih. Inilah inti pati demokrasi – kerajaan rakyat, dipilih oleh rakyat untuk rakyat.
Membunuh pembawa berita (killing the messenger) tidak akan menyelesaikan masalah kalau apa yang dikatakan itu benar.
Seorang pembawa khabar buruk dilenyapkan, berpuluh yang lain akan muncul. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membolehkan setiap orang yang memiliki komputer dan telefon pintar menjadi wartawan jelata jika mereka mahu.
Kuasa membentuk persepsi dan mengawal pengaliran maklumat bukan lagi hak mutlak pemerintah dan parti-parti politik. Monopoli penjanaan persepsi dan penyaluran maklumat sudah dipecahkan oleh ledakan ICT.
http://kadirjasin.blogspot.com/
PAS anjur majlis keadilan Memali 23 Mei
- Apr 22, 2014
- MUHAMMAD FAIZAL
Berkata pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar memberitahu majlia keadilan itu akan diadakan di sebuah madrasah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya.
"Kita akan menganjurkan satu majlis keadilan Memali pada 23 Mei nanti bagi memberi penerangan dan keadilan kepada mereka tentang fakta-fakta sebenar di sebalik insiden tersebut.
"23 Mei dipilih oleh Presiden PAS dan lokasinya di madrasah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Libya," katanya. Hadir sama ialah timbalannya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Fazizi Ahmad Kamil.
Jelas beliau, beberapa tokoh yang terlibat pada peristiwa tersebut turut dipanggil bagi memberi penerangan tentang kejadian itu.
"Kita jemput semua hadir, media paling utama untuk mereka ketahui kebenaran sebalik kejadian, yang selama ini dipesongkan fakta.
"Biar mereka mendengar sendiri apa yang akan dikatakan oleh orang kampung yang terlibat dan masih hidup sehingga sekarang," sambung beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz yang juga merancangkan untuk membawa keluarga-keluarga mangsa serta mereka yang terlibat bertemu dengan bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Musa Hitam bagi merungkaikan segala persoalan yang timbul.
"Selepas bertemu dengan Musa, saya akan membawa mereka semua ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menuntut hak yang sebenar, tarikh akan dimaklumkan," sambung beliau.
Ekoran daripada penerangan Musa, beliau menegaskan agar kerajaan menarik balik kertas putih dan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat kejadian sebenar.
Katanya, jika kerajaan masih enggan menubuhkan RCI, beliau bersama-sama keluarga mangsa itu akan bertemu dengan Majlis Raja-Raja dan seterusnya berjumpa Yang di-Pertuan Agong.
Kes Anwar saman Anifah dibicara 25 Ogos depan
- Apr 22, 2014
- HARAKAHDAILY
Kes saman itu berhubung kenyataan menteri berkenaan dalam satu sidang akhbar di Washington lima tahun lalu.
Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Anifah dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar.
Latheefa ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut menetapkan 27 hingga 29 Ogos untuk perbicaraan kes itu.
"Selain itu, 15 dan 17 Sept serta 7 dan 8 Okt turut ditetapkan untuk perbicaraan manakala 2 Mei ditetapkan untuk pengurusan kes," katanya sambil menambah lapan saksi termasuk Anwar dan Anifah akan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 April lepas memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Anifah bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jan 2013, yang menghidupkan semula saman sivil Anwar terhadap Anifah atas kapasiti peribadi menteri itu.
Pada 6 Jan 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan untuk membatalkan saman berhubung kenyataan yang dibuat menteri itu pada Mei 2009 semasa siding akhbar di Jabatan Negara di Washington.
Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan rasmi beliau dan kerajaan Malaysia atas dakwaan menteri itu memfitnahnya dalam siding akhbar Anifah bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton.
Beliau mendakwa kenyataan Anifah tidak berasas dan telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.
Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama
Belasungkawa: Selamat tinggal 'Harimau Jelutong'
- Apr 22, 2014
- DR MUJAHID YUSOF RAWA
Pertama, secara majazinya ‘Harimau Jelutong’ itu telah meninggalkan belang, kedua secara hakikinya mendiang meninggalkan nama yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.
Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang meninggalkan kita.
Singh is King
Ungkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada di dalam Parlimen semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba menghalangnya di Parlimen.
Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!” lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.
Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata, “Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka”. Saat itu heboh dewan dengan gelak ketawa.
Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti “jangan main-main...” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan diambil segera.
Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen BN.
Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.
Saya dan DAP
Saya mula mengenali DAP semasa di bangku sekolah menengah lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihan raya umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown, lambang DAP tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak Melayu sezaman dengan saya.
Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS, saya sukar menerima pandangan Umno apatah lagi media menyerang PAS setiap hari tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada masa itu.
Saya boleh rumuskan semasa di bangku sekolah, saya melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu malah sikap ‘anti-Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda Melayu pada zaman saya.
Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang kepada sejauh mana DAP mampu membuktikan sebaliknya.
Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.
Karpal dan Saya
Jujurnya saya terlalu kerdil secara relatifnya berbanding dengan ketokohan Karpal dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Bermula dari tahun 1974 Karpal memulakan karier politiknya sebagai ADUN di Kedah, saya baru di tahun 4 sekolah rendah.
Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang menentang.
Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun 90-an dan cuba mencari objektiviti mengapa beliau menentang undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia sebagai negara sekular.
Pertama Kali Bertemu
Pada tahun 2005 saya telah kembali ke negeri asal saya iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya, tetapi saya sempat mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS Pusat.
Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang lain sebaris dengan MP lama termasuklah Karpal.
Heboh dewan hari pertama mengangkat sumpah apabila MP Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.
Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas-balas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.
Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli Parlimen muda yang cuba mempelajari selok belok berbahas dalam Parlimen. Saya mendapati perbahasan beliau banyak berlegar di sekitar perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau kepada salahlaku kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.
Ucapan Karpal
Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka semasa hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif pada hujung 90-an.
Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya kepada sistem perundangan negara khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.
Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini.
Ucapannya serius dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu disambut tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.
“Saya Tidak Menentang Islam”
Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontroversinya “langkah mayat saya dahulu...”, Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak pernah menentang Islam.
Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di Kepala Batas. Di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para peserta konvensyen, Karpal menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “I'm not opposed to Islam at all, I'm a god fearing man”.
Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai sasaran utama kelompok Melayu dari kedua belah pihak Umno dan PAS atas apa juga perbezaan politik mereka.
Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?
Logik Karpal Tentang Hudud
Karpal adalah ahli undang-undang. Hujah beliau tidak sangat menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih berminat kepada ideologi perundangan.
Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud. Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the constitution...”.
Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama dan mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.
Bagi saya tidak mudah untuk kita menuduh seseorang sebagai anti-agama Islam hanya kerana asas penolakan Negara Islam dan hudud atas asas perundangan.
Ini adalah kerana bagi saya anti-agama adalah terdorong atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?
Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah dengan PMnya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana membiarkan sekatan ini berlarutan?
Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?
Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya, saya cuma mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu politik daripada isu substantif.
Logik Balas
Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.
Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?
Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultravirus dengan Akta Mahkamah 1965 siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula peruntukan?
PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak pernah diterima untuk dibahaskan.
Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat kefahaman rakyat secara substantif.
Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan termasuklah hudud pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran politik namun Rashid Al Ghanoushi pernah memberikan kerangka bagaimana isu ini perlu digarapkan dengan berkata:
“No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahda or anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture....the dynamic continues untill there is concensus about the opinion of religion on the issue..”.
(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang mewakili agama, walaupun parti An Nahda atau sesiapa yang lain. Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya... dinamika ini berlangsungan sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama kepada isu tersebut).
Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran yang demokratik digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut. Dengan kerangka ini jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan hangat sekali lagi mutakhir ini.
Karpal dan PAS
Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal ialah Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mantan Menteri Besar Kelantan.
Pertembungan mereka adalah kerana konsistennya Mursyidul Am PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta Mahkamah Syariah (1965).
Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.
Namun demikian seluruh negara telah menyaksikan satu pertemuan bersejarah yang penuh mesra antara kedua-kedua pemimpin hebat ini di rumah Karpal apabila Mursyidul Am PAS itu menziarahi Karpal di Pulau Pinang sambil menerima kek harijadinya daripada Karpal pada 27 Jan 2013.
Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.
Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya bahawa, “We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally”.
(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip dan rakan yang penting).
Selamat Tinggal Selamanya
Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan khususnya mempertikai ‘ruling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.
Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa berbisa dan pedas namun ianya bernas.
Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.
Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksimumnya.
Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika dahulu, “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih merbahaya...”
Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this country to know that no one is above the law” dan kerana meyakini prinsip moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak istana.
Bagi seseorang yang tegas dalam dunia politik dan perundangan, Malaysia turut terasa perginya seorang anak Malaysia mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan jujur.
Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu, tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang tercinta ini.
Sepi seketika hiruk pikuk suara yang menghentam Harimau Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis di maklumkan seluruh negara.
Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa terngiang di telinga kawan dan lawannya,
“You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.
Selamat Tinggal Komrad Karpal!
_______________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Anwar tarik diri, Wan Azizah kekal Presiden PKR
- Apr 22, 2014
- NAZRI ABDULLAH
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi menarik diri dari bertanding merebut kerusi Presiden PKR pada pemilihan PKR 2014.
Penarikan diri Anwar itu sekaligus memberikan laluan menang tanpa bertanding kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengekalkan jawatan yang telah disandangnya itu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Datuk Johari Abdul pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini, yang merujuk kepada satu surat yang dihantar oleh Ketua Umum PKR itu minggu lalu.
"Saya menerima surat ini pada 19 April yang menyatakan beliau secara rasmi menarik diri bertanding jawqtan Presiden PKR dalam pemilihan 2014," kata Johari yang turut membaca surat satu perenggan Anwar itu.
Dalam surat tersebut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab kenapa tindakan itu diambil oleh beliau.
"Dengan keadaan kematian Karpal (peguam Anwar dalam kes Liwat ll), juga kes mahkamah yang beliau sedang lalui dan nasihat dari beberapa kumpulan perundangan agar beliau fokus kes beliau dan tak mahu ROS ambil kesempatan atas kes ini," kata Johari.
Menurut Johari lagi, walaupun Anwar telah menarik diri, namun nama dan gambar beliau tetap akan dicetak pada kertas pemilihan.
Bagaimanapun katanya yuran atau deposit pencalonan tidak akan dikembalikan.
Pemilihan PKR 2014 akan bermula 25 April sehingga 11 Mei ini menyaksikan 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli PKR layak mengundi.
Pemilihan bermula 25 April di Lawas Sarawak, diikuti kawasan-kawasan lain di Sarawak, Kelantan Terengganu dan Pahang pada 26 April.
Seterusnya akan diadakan di Johor dan Melaka pada 27 April; Kedah, Perlis dan Sabah pada 3 Mei; Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada 4 Mei; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pada 10 Mei dan Selangor pada 11 Mei.
Tangguh umum status penumpang dan kru MH370
- Apr 22, 2014
- SALMIYAH HARUN
Ini kerana menurut Pengerusi Sukarela Peguam (SukaGuam) Khairul Anwar Rahmat ada hikmah di sebalik mengapa Islam dan Peruntukan Undang-undang memberikan tempoh yang lama.
Katanya, menurut Islam orang hilang dipanggil sebagai al-mafqud dan sudah ada Fatwa Kebangsaan yang jelas berkenaan hukum dan tempoh yang perlu ditunggu iaitu sehingga empat tahun.
"Anggaplah kematian mengikut undang-undang sivil Sekesen 108 Akta Keterangan pula seseorang hanya boleh dianggap sudah meninggal dunia selepas tujuh tahun dari tarikh mula hilang," katanya dipetik Berita Harian.
Justeru katanya, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa mengisytiharkan status penumpang dan pesawat MH370 meninggal dunia atau hilang dan tidak mungkin dikesan.
Tegasnya, pengumuman demikian akan mengundang implikasi perundangan membabitkan harta pusaka, pewarisan, tuntutan insurans, liabiliti hutang, status perkahwinan, pembahgian faraid dan tempoh bermula iddah isteri jika beragama Islam.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, Islam memberi tempoh sehingga empat tahun untuk mensabitkan kematian terhadap kehilangan seseorang yang tidak diketahui di mana kedudukannya atau hidup matinya.
Beliau berkata, selagi tidak ditemui jasad atau bukti mensabitkan kematiannya secara fizikal, maka tempoh empat tahun perlu diambil kira.
"Dari segi Islam, pernah disabitkan kematian setelah berlalu selama empat tahun.
"Selagi tak jumpa, selagi tak sampai empat tahun, itu terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan hal itu," katanya.
Kemalangan bas jejas guna pengangkutan awam - Fomca
- Apr 22, 2014
- HARAKAHDAILY
Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, tiga kemalangan yang berlaku dalam masa seminggu ini akan mengikis keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama mereka.
"Pengguna memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang diyakini selamat dan kerajaan serta agensi penguatkuasa perlu lebih tegas dalam melaksanakan tugas mereka kerana ia melibatkan keselamatan nyawa ramai penumpang.
"Ditambah dengan musim perayaan yang semakin dekat, kami khuatir lebih banyak kemalangan bas ekspres akan berlaku akibat dari kecuaian dan tahap keselamatan yang rendah," katanya kepada Bernama.
Kelmarin, apabila sebuah bas persiaran yang membawa penumpang dari Pulau Redang ke Singapura terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung dan mengorbankan seorang pelancong dari Singapura.
Fomca juga menurutnya mencadangkan agar MIROS mengkaji atau menilai kembali kesesuaian bas ekspres dua tingkat untuk digunakan bagi perjalanan yang jauh kerana menurutnya terdapat laporan mengatakan bahawa bas tersebut direka bagi laluan bandar yang singkat.
"Di negara luar, bas dua tingkat hanya digunakan bagi pengangkutan di dalam bandar dan untuk jarak yang dekat," katanya.
Menurutnya struktur bas tersebut yang tinggi adalah tidak stabil apabila dibawa laju serta pengadang jalan raya di negara ini yang rendah membuatkan ia mudah terbalik.
Pada Sabtu lepas pula, sebuah bas ekspres yang membawa 28 penumpang terbabas di Km 118, Lebuh Raya Pantai Timur yang mengakibatkan 10 orang cedera.
Sementara pada 12 April lalu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik di Bentong, Pahang. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan