Doktor termuda di dunia berasal dari Palestin
- Apr 08, 2014
- HARAKAHDAILY
Ismail Haniyah sangat menghormati Eqbal Asa’d. Siapa Asa’d? Dia adalah doktor termuda di dunia. Dia berasal dari Palestin.
Haniyah menegaskan Asa’d berusia 20 tahun sebagai seorang doktor yang hebat.
Guinness World Records menetapkan Asa’d sebagai doktor termuda di dunia, dipetik blog Kembara Hadi.
Asa’d adalah seorang pelarian Palestin yang tinggal di kem pelarian Palestin di Lebanon.
Dia disenaraikan di Weil Cornell Medical Collage di Qatar ketika berusianya baru 14 tahun.
Pada usia 20 tahun, dia mendapat gelaran sarjana di bidang perubatan dengan keputusan yang memuaskan.
Sejak kecil, Asa’d adalah seorang anak genius.
"Seorang anak wanita genius. Seorang gadis yang tamat sekolah rendah pada usia 7 tahun," tulis Mi’raj News Agency.
Setiap tiga bulan, secara menakjubkan dia menghabiskan program satu tahun seluruh sekolah. Dia dengan cepat berpindah kelas dengan keputusan yang baik.
"Dia membaca, belajar, berlumba untuk mendapatkan nilai terbaik. Dalam tiga bulan, dia mampu melampaui pelajar kelas barunya," tulis Mi’raj.
Pada usia 12 tahun, dia memperoleh Baccalaureatenya. Kemudian dia ditemui oleh media dan satu penghargaan biasiswa negara asing diterimanya untuk bidang perubatan. Dia menjadi doktor pelatih termuda di dunia di usia 17 tahun.
Asa’d adalah puteri dari seorang pelarian Palestin dari Lembah Bekaa, Lebanon. Kerajaan yang membayar pendidikannya adalah Qatar.
Asa’d bercita-cita ingin membuka klinik di desanya iaitu di Bekaa. Akibat polisi Israel, orang Palestin tidak diberi hak untuk bekerja sebagai peguam dan doktor di Lebanon.
Itulah luar biasanya Palestin. Mereka dijajah Israel. Tapi doktor termuda di dunia berasal dari Palestin.
Speaker cadang contohi "Prime Minister's Question Time" Australia
- Apr 08, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin boleh mencontohi kaedah 'Prime Minister's Question Time' seperti yang dilaksanakan di Parlimen Australia.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tertarik dengan kaedah itu, yang dikongsi oleh Timbalan Speaker Australia Bruce Scott ketika mengunjungi beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.
Melalui kaedah itu, perdana menteri Australia meluangkan masa khas sehari dalam seminggu di Parlimen untuk menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan anggota Parlimen, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Scot selama kira-kira 40 minit.
Jelas Pandikar Amin, kaedah itu sesuai, seiring tuntutan masa bagi membolehkan Parlimen Malaysia ditambah baik dari semasa ke semasa, termasuk mencontohi kaedah dari negara yang mengamalkan sistem sama yang berasaskan undang-undang British.
Scott turut menyatakan kekaguman beliau terhadap sistem Parlimen di negara ini yang cepat dalam membuat sesuatu keputusan, katanya.
Selain itu, Pandikar Amin berkata antara perkara lain dibincangkan dalam pertemuan itu adalah isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Beliau berkata Scott dan anggota delegasi menzahirkan rasa simpati mereka, menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi dan memberi jaminan untuk terus membantu Malaysia sedaya mampu di bawah bidang kuasa negara itu dalam usaha mencari pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac lepas. - Bernama
GST: Kalau tak mampu beli kek, buat sendiri - MP BN
- Apr 08, 2014
- ABDUL AZIZ MUSTAFFA
Hanipa (gambar) membangkitkan kesulitan yang dihadapi rakyat berpendapatan rendah apabila terpaksa membayar mahal untuk membeli kek apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan dalam perbahasan mengenai cukai itu di Dewan Rakyat.
"Ini lagi satu hujah yang paling... Apa punya hujah ini?
"Ini (jenis) hujah tidak setuju dengan lebuh raya, guna jalan raya. Inilah hujah BN," Hanipa terus menempelak.
Tidak berpuas hati dengan hujah wakil BN itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad turut melemparkan kecaman.
"Ini yang dikatakan penghujahan yang regresif. Yang sekarang ini orang mampu beli kek dekat kedai, tetapi bila laksana GST, kata jangan beli dekat kedai, buat kek dekat rumah sahaja.
"Inilah regresif. Harga minyak naik, naik basikal. Kalau tidak hendak bayar tol naik, pergi jalan kaki.
"Inilah pemikiran BN. Kalau macam ini, kerajaan hendak naikkan kadar enam peratus jadi 10 peratus, ingat dia orang akan bantah tidak?" kata Khalid.
Bila Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan mencelah dan menyifatkan kenyataan seperti "buatlah kek sendiri, buatlah air sendiri, tidak payah pergi makan dekat luar" adalah kenyataan yang menghina rakyat berpendapatan rendah, Hanipa berkata, golongan tersebut (BN) memang sudah terbiasa dengan hujah-hujah begitu.
"Sebenarnya, mereka sudah biasa cakap dekat kampung macam itu.
"Oleh sebab itu mereka ingat kita di sini pun macam dekat kampung... dia bukan kira, dalam Parlimen, luar Parlimen itu dia cakap.
"Dia sudah biasa bohong orang kampung, dia ingat dekat sini pun dia boleh bohong. Inilah masalahnya," kata Hanipa ketika berbahas di Dewan Rakyat semalam.
Ketika itu, dewan riuh dengan bantahan Ahli-Ahli Parlimen BN terhadap kenyataan itu.
Tidak peduli dengan bantahan itu, Hanipa terus mencabar hujah sedemikian diulang di dalam TV.
"Saya cabar kalau hujah yang sama ini kita buat dalam TV, gunakan hujah yang sama... Hujah depan ramai-ramai di dalam TV berani tidak?" katanya.
Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun pula menyifatkan mentaliti BN itu sama dengan mentaliti penindas-penindas rakyat menjelang Revolusi Perancis yang bermula pada abad ke-18 dahulu.
"Saya rasa ini ialah satu mentaliti dan juga falsafah hidup, falsafah politik sebelah sana.
"Apabila kita kata GST akan datangkan impak negatif terhadap golongan yang berpendapatan rendah, mereka kata "kalau dahulu beli kek sekarang buat kek dekat rumah".
Beliau menyamakan mentaliti itu dengan mentaliti Marie Antoinette menjelang tercetusnya revolusi tersebut apabila bangsawan itu berkata, "if they cannot find bread, let them go and eat cake".
Setelah dikritik bertalu-talu Zahidi bangun memberikan penjelasan: "Saya sebenarnya sebagai BN, saya menyokong kalau kek, kita galakkan rakyat membuat sendiri di rumah.
"Begitu juga makan, daripada makan di kedai mamak ataupun makan di kedai-kedai, saya sokong untuk buat makanan sendiri di rumah kerana ianya lebih halal, lebih bersih dari segi Islamnya lebih baik."
Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah oleh Ahli Parlimen Batu, Tuan Chua.
"Ini yang mereka keliru. Dahulu SST, kita tidak mahu makan di hotel jangan bayar tax tetapi sekarang kalau hendak masak di rumah atau buat kek sendiri di rumah (pun) kena bayar GST, tidak ada escape.
"Hendak buat macam mana pun di rumahkah, di luarkah, terpaksa kita bayar GST yang membebankan. Ini yang kita maksudkan there is no escape kalau kita ada GST," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan