Selasa, 8 April 2014

ORANG KAYA SECAWAN KOPI RM12 PUN MAMPU BAYAR....GST NI APA DIA HAIRAN


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan alasan kerajaan bahawa barangan seperti budu dan belacan tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dalam cuba memberi maksud ia 'tidak membebankan' orang miskin, sebagai menghina rakyat.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata, alasan kerajaan itu bukan sahaja sebagai alasan simplistik untuk ianya diluluskan, tetapi lebih dari itu ia sebenarnya memberi maksud 'rakyat miskin boleh teruskan kehidupan dalam keadaan miskin mereka'.

"Inilah 'sumbangan' kerajaan kepada orang miskin supaya mereka hanya makan budu dan belacan letak limau nipis yang tidak dikenakan GST.

"Ibarat kata, orang miskin hanya makan budu dan belacan dan tak layak dapat benda-benda lain kerana pendapatan kamu tidak layak," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) GST selepas melalui dua hari perbahasan untuk bacaan kali kedua.

Pungundian lewat petang semalam menyaksikan 118 ahli parlimen BN menyokong RUU itu sementara 81 ahli parlimen Pakatan Rakyat menyatakan tidak bersetuju.

Keputusan itu disambut bantahan ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan berdiri sambil mempamerkan plakad bantah dan tolak GST.

Cukai GST ini dijadual dilaksanakan pada April tahun hadapan.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan kekecewaan di atas kelulusan RUU itu yang didakwa sesuatu yang malang buat rakyat negara ini.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 482 peralatan yang bernilai RM2.58 juta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor (HTAR) dan Hospital Tunku Fauziah Kangar, Perlis (HTF) telah dikategorikan sebagai kehilangan aset (V4L) atau peralatan tiada di lokasi.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 tidak dapat mengesahkan status peralatan tersebut kerana tiada daftar diselenggara bagi memantau peralatan V4L.

Penemuan Audit di bawah Pengurusan Perkhidmatan Kejuruteraan Peralatan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati di HTAR sehingga 31 Ogos 2013 sejumlah RM9,346 yuran masih dibayar bagi 26 peralatan V4L dan baki 419 peralatan tidak dapat disahkan status yurannya.

"Didapati daftar pergerakan harta modal KEW.PA-6 tidak diselenggara dengan sempurna di semua lokasi yang dilawati menyebabkan peralatan sukar untuk dikesan dan sebahagian peralatan tidak dijumpai sejak tahun 1998," jelas Ketua Audit Negara.

Semakan lanjut terhadap 26 peralatan V4L yang masih dibayar di HTAR  mendapati Notis Untuk Mula/Tamat Perkhidmatan (SNF) telah dikeluarkan bagi 12 peralatan.

Bagaimanapun, bayaran yuran bagi peralatan tersebut masih diteruskan dan jumlah yuran lebih dibayar bagi peralatan berkenaan dalam tempoh antara 8 hingga 38 bulan ialah RM4,497.

Manakala pihak Audit tidak dapat mengesahkan sama ada SNF telah dikeluarkan untuk 14 peralatan V4L kerana tiada salinan SNF dikemukakan untuk semakan.

Berdasarkan sejarah penyenggaraan di CMIS, penyenggaraan terakhir  dilaksanakan bagi 14 peralatan tersebut di antara bulan Jun 2006 hingga  Disember 2012 melibatkan yuran lebih dibayar berjumlah RM4,849.

Pada pendapat Audit, pihak Kementerian perlu membuat Laporan Awal dan  Laporan Polis setelah peralatan yang dilaporkan sebagai V4L tidak dapat dikesan selepas tempoh 30 hari seperti yang telah ditetapkan.

Selain itu, pihak Kementerian juga perlu memastikan SNF dikeluarkan bagi peralatan yang terlibat untuk menghentikan pembayaran yuran peralatan tersebut.

Pihak Kementerian hendaklah menyelenggara daftar bagi peralatan V4L dan  seterusnya sentiasa mengemas kini senarai induk peralatan bagi memudahkan pemantauan dibuat.

Mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejurteraan (BPKj) berkuat kuasa mulai 1 Disember 2008, aset yang tidak dijumpai semasa penyenggaraan dilaksanakan oleh syarikat konsesi, pengguna (user) hendaklah mencari aset tersebut dalam tempoh 30 hari.

Sekiranya aset tidak dijumpai selepas 30 hari, pengguna hendaklah memaklumkan kepada pegawai aset untuk tindakan pelaporan kehilangan dan hapus kira mengikut Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan dan kemahiran negara dalam mengesan sebarang aktiviti pengintipan terhadap Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata kerajaan tidak boleh menafikan adanya aktiviti berkenaan, sebaliknya perlu melengkapkan tahap keselamatan negara.

Lebih-lebih lagi, tegas beliau selepas pendedahan pakar komputer yang pernah berkhidmat dengan CIA dan NASA, Edward Snowden berhubung dakwaan intipan agensi keselamatan negara Amerika Syarikat terhadap Indonesia, India, Mexico dan Perancis, dan termasuk Malaysia yang didakwa diintip Singapura.

"Saya fikir kerajaan ada maklumat lebih mengenai aktiviti tersebut, tetapi mungkin tidak mahu mendedahkan di parlimen ini atas dasar menjaga keselamatan dalam negeri.

"Cuma saya bimbang, jawapan menteri itu bukan bererti negara kita tidak diintip, tetapi bimbang kita gagal mengesan intipan, yang kita tahu negara kita ada kemungkinan besar terdedah dengan aktiviti tersebut oleh negara kuasa besar," tegas beliau ketika bangun mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Nik Abduh lagi, beberapa isu yang melanda negara membuktikan kelemahan tahap keselamatan negara, antaranya isu pesawat MH370, passport palsu, dan penculikan pelancong asing di Sabah.

Justeru, Nik Abduh mempersoalkan langkah proaktif yang dilakukan kerajaan untuk memastikan tahap keselamatan negara terpelihara, khususnya melibatkan keselamatan dalam talian atau 'online security' bagi memastikan segala data rahsia negara dapat disimpan dengan selamat.

Menjawab soalan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, menegaskan kerajaan telah menggubal Dasar Keselamatan Cyber Negara pada 2006 bagi mengurus keperluan tersebut di peringkat kebangsaan.

Katanya, terdapat lebih 200 agensi yang terlibat di bawah sektor tersebut yang bergerak bagi memastikan maklumat berkaitan negara tidak dicerobohi oleh pihak luar.

Sebelum itu, Nik Abduh dalam soalan asalnya meminta kerajaan menyatakan laporan aktiviti pengintipan beberapa buah negara terhadap Malaysia.

Menjawab soalan tersebut, Shahidan berkata Malaysia menolak sebarang bentuk pengintipan oleh mana-mana pihak yang menjejaskan kedaulatan negara dan hubungan dua hala.

Bahkan, kata beliau pendedahan Edward berkaitan terdapat aktiviti pengintipan itu, kerajaan melalui Kementerian Luar membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan jika dakwaan tersebut benar.

Pihak Amerika juga, katanya sedang membuat kajian dan siasatan berhubung pendedahan tersebut dan akan memaklumkan kepada Malaysia hasil dari siasatan tersebut.
KUALA LUMPUR: PAS Sabah memandang serius peristiwa penculikan yang berlaku di Pulau Singamata Semporna pada 2 April lalu.

Penculik yang melibatkan kumpulan bersenjata api dari luar negara itu telah melarikan seorang pelancong wanita berasal dari China manakala seorang lagi berasal dari Filipina yang juga merupakan pekerja resort peranginan berkenaan.

Ironisnya, Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Mohamad Husain penculikan itu berlaku hanya selang beberapa bulan daripada peristiwa sebelum ini yang terjadi pada 15 November 2013 apabila seorang lelaki warganegara Taiwan ditembak mati dan isterinya pula telah diculik.

Menurutnya, masih segar dalam ingatan kes yang menggemparkan negara pada tahun lalu lebih 200 orang bersenjata api mendarat di Tanduo, Lahad Datu.

Sejak peristiwa itu, ujarnya beberapa kali penceroboh cuba menyusup masuk ke perairan Sabah.

“Mala petaka apakah yang menimpa negeri Sabah khususnya rakyat negeri ini?” soal beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, nyawa terdedah kepada ancaman bahaya dan menggugat keselamatan.

“Di manakah tanggungjawab pihak kerajaan terutama Kerajaan Persekutuan yang diamanahkan menjaga ketenteraman awam dan negara dari serangan musuh dan penceroboh?” soalnya lagi.

Seterusnya beliau bertanya mengapa dengan tertubuhnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang melibatkan 10 daerah di Timur Sabah, musuh masih lolos?

Justeru, ujar beliau kerajaan sewajarnya mengkaji semula penubuhan Esscom.

“PAS Sabah sangat bersimpati atas kesengsaraan petani dan nelayan yang bergantung hidup di kawasan laut,” ujarnya.

Begitu juga, katanya para pengusaha resort dan perhotelan serta industri pelancongan turut juga mendapat kesannya.

Justeru,kata beliau PAS Sabah menegaskan supaya kerajaan menambahbaik kawalan perairan negeri itu agar semua rakyat dapat hidup aman dan selamat.
Nama Cikgu Mohd Nor Izzat Mohd Johari tiba-tiba menjadi sebutan ramai. Walaupun kerjayanya hanya seorang guru, namun namanya turut dikenal oleh pak menteri, orang politik dan bukan politik. Kerja hakikinya ialah seorang guru dan kini masih lagi seorang guru.

Sejak tahun lepas namanya tiba-tiba muncul tatkala ibu bapa dan orang politik sibuk bercakap pasal Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sebelumnya, hanya orang politik dari parti Pakatan Rakyat yang mengkritik sistem ini secara terbuka.

Pakatan Rakyat bercakap bagi menyampaikan suara hati para ibu bapa dan warga pendidik yang tidak puas hati akan pelaksanaan PBS itu. Sistem ini dilaksanakan dalam suasana warga pendidik, prasarana dan ibu bapa belum bersedia – maka jadilah caca marba. Ibarat peribahasa, “rumah siap, pahat berbunyi.”

Ketika itulah muncul sosok Cikgu Izzat, Pengerusi Penaja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM). Beliau menyatakan apa yang sepatutnya dinyatakan. Beliau bukan menentang kerajaan dan Umno-BN, tetapi menegur kelemahan sistem yang dikenakan terhadap warga pendidik.

Beliau yang mewakili suara hati para guru mahu pemerintah tidak melaksanakan sesuatu dasar itu tanpa menilai dahulu kemampuan yang ada – kemampuan sumber manusia dan prasarana. Tidak ada kepentingan politik baginya. Bahkan sepengetahuan saya ada Cikgu Izzat ada kaitan dengan mana-mana parti.

Hasil perjuangan beliau, PBS ditangguhkan oleh menterinya – walaupun tidak pasti sejauhmana penangguhan itu. Namun hasilnya ada.

Tetapi setiap perjuangan mesti ada pengorbanan. Mana ada perjuangan yang dibentang permaidani merah. Cikgu Izzat menerima bahana atas perjuangannya. Beliau menjadi hero dalam kalangan guru yang lain.

Beliau ditukarkan ke sekolah lain tanpa alasan yang munasabah. Cikgu Izzat bukanlah guru pertama yang ditukarkan serta-merta. Sebelum ini pun sudah ramai cikgu yang kena tukar kerana aktif menyokong dan terbabit dalam gerak kerja parti pembangkang. Yang kena tukar kerana masalah disiplin pun ramai juga.

Saya percaya, dalam tempoh terdekat ini tiada pembelaan yang sewajarnya diperoleh beliau. Setakat ini hanya Badan Bukan Kerajaan dan parti politik daripada Pakatan Rakyat yang berusaha membantunya.

Dalam sistem demokrasi di Malaysia hari ini, sesiapa sahaja yang mengkritik dasar kerajaan akan dikenakan tindakan oleh parti yang memerintah. Hal itu kita sedia maklum. Malaysia belum lagi mencapai tahap demokrasi yang dapat membezakan antara parti yang memerintah dan kerajaan. Parti yang memerintah ialah pengubal dasar sementara kakitangan kerajaan adalah pelaksana dasar.

Mengkritik dasar tidak semestinya tidak suka dengan parti. Boleh jadi Cikgu Izzat ahli dan penyokong Umno. Tetapi tidak semestinya beliau bersetuju dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN.

Namun, pertukaran Cikgu Izzat amat istimewa bagi saya. Sebabnya suara beliau adalah untuk mempertahankan kerjaya perguruan yang cuba dirojakkan oleh Umno-BN. Wajarlah beliau tidak mewakili mana-mana parti, sebab kerjaya perguruan wajar dipisahkan daripada politik kepartian ketika mengajar.

Saya percaya, tindakan Cikgu Izzat ialah demi masa depan generasi Malaysia. Beliau tentunya tidak mahu anak muridnya menjadi tikus ujian. Beliau berkorban diri dan kerjaya serta peluang kenaikan pangkat demi masa depan anak muridnya.

Adalah perkara biasa seorang guru berkorban demi anak muridnya. Yang luar biasa ialah anak murid yang telah berjaya sanggup mengkhianati gurunya apabila sudah beroleh kuasa.

MELAKA: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Baru berjaya menyediakan sebuah van kebajikan untuk digunakan bagi program-program kebajikan rakyat di dalam Dun itu.

Van tersebut dibeli hasil sumbangan para dermawan yang mahu melihat program-program kebajikan berjalan dengan baik di Dun Bukit Baru.

Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim berkata dengan adanya van kebajikan tersebut kakitangan pusat khidmat bebas bergerak untuk meninjau dan memantau permasalahan rakyat yang berlaku di sekitar Dun Bukit Baru.

“Kita akan menggunakan van ini untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain bagi menyelami masalah dan isu rakyat yang berlaku di Dun Bukit Baru.

“Selain itu kita juga akan menggunakan van ini untuk membantu rakyat  yang susah untuk pergi ke tempat-tempat seperti hospital, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya,” ujar beliau yang turut menghargai para penyumbang.

Dr Khalid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas pada majlis pelancaran van kebajikan tersebut di Bukit Katil semalam.

Beliau berkata rakyat boleh mendapatkan khidmat van tersebut dengan menghubungi pejabatnya di talian 06-267 2239.

Pihaknya akan memberikan perkhidmatan bagi membantu pergerakan rakyat khususnya mereka yang tidak bernasib baik.

Sementara itu Pengerusi Sekretariat Pusat Khidmat Adun Bukit Baru, Yusof Wahab berkata selain khidmat van itu, pihaknya sedang menjalankan perkhidmatan tuisyen pelajar, khidmat nasihat kesihatan percuma, khidmat bantuan permohonan kepada jabatan-jabatan kerajaan, menangani isu-isu masyarakat, sagu hati fakir miskin, sagu hati untuk rakyat yang ditimpa musibah dan lain-lain.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian 06-267 2239, e-mel: pusataduann17@gmail.com atau facebook http://www.facebook.com/Dr Khalid Kassim N17.
PERTH: Misi menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi pada Selasa diperhebat dengan 28 aset dikerah susulan petunjuk baharu yang dikesan semalam.
  
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan di sini berkata aset membabitkan 11 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 14 kapal.
  
Menurut kenyataan itu Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengarahkan pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 77,580 kilometer persegi di kedudukan 2,268 km barat daya Perth.
  
"Cuaca sepanjang hari ini dijangka baik. Pencarian bawah permukaan air diteruskan hari ini dengan ADV Ocean Shield melakukan operasi di utara kawasan pencarian sementara Haixun 01 dan HMS Echo di bahagian selatan," kata JACC.
  
Semalam, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu.
  
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan.
  
Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.
  
Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
  
Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. - Bernama

Tiada ulasan: