GST: Dewan kecoh bila tahu ada delegasi MP Australia
- Apr 07, 2014
- NAZRI ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila dimaklumkan oleh Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa perbahasan petang ini turut dihadiri delegasi dari ahli parlimen Australia.
Kehadiran mereka diumumkan Ronald selepas meminta laluan dari Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang sedang membahaskan Rang Undang-Undang GST.
Mengambil peluang itu, Azmin ketika menyambung perbahasannya kemudian meminta izin berucap dalam bahasa Inggeris sambil mengadap kepada delegasi Australia itu.
"Saya salah seorang wakil dari Pakatan Rakyat sedang berbahas tentang GST yang dikemukakan oleh kerajaan Umno BN yang hanya mendapat 46 peratus undi popular dalam PRU13 lalu.
"Dan sekarang saya mahu kongsi dengan anda apa berlaku di Malaysia, kami desak Umno berhenti laksanakan GST ini," katanya dalam bahasa Inggeris.
Timbalan Speaker kemudiannya menegur Azmin supaya tidak meneruskan bercakap dalam bahasa Inggeris.
Azmin kemudian sekali lagi mengadap delegasi Australia itu dan berkata "speaker tak benar saya bercakap bahasa Inggeris dan saya akan bercakap bahasa Melayu".
Tindakan Azmin itu mengundang bantahan dari wakil rakyat BN sehinggakan dewan menjadi kecoh sambil diperhatikan oleh delegasi Australia itu.
Antara anggota parlimen BN yang bangun membantah termasuk Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd. Jarjis (Rompin), Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (Tampin) dan Datuk Seri Noh Omar (Tanjung Karang).
Setiap kali Azmin cuba bercakap bahasa lnggeris, beberapa ahli parlimen BN segera bangun mengganggu ucapan beliau.
Beliau juga sempat memperkenalkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai kroni Umno BN yang diberi projek 4G, kepada delegasi itu sebelum diserang semula oleh ahli parlimen BN.
Tidak berapa lama kemudian, wakil delegasi Australia itu dilihat keluar dari dewan.
Azmin kemudian berbahas dalam suasana dewan yang gamat sehingga timbalan speaker memaklumkan masanya sudah tamat.
MTDC rugi RM57.3 juta sejak 2010 hingga 2012
- Apr 07, 2014
- SALMIYAH HARUN
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, modal yang dibenarkan kepada MTDC adalah berjumlah RM200 juta dan modal berbayar berjumlah RM116 juta.
Jelas Ketua Audit Negara, pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya prestasi kewangan MTDC adalah kurang memuaskan.
Katanya, MTDC mencatat kerugian bersih bagi ketiga-tiga tahun tersebut berjumlah RM8.23 juta , RM17.34 juta dan RM31.73 juta.
Di antara faktor utama kerugian bersih adalah disebabkan oleh peruntukan rosot nilai pelaburan berjumlah RM7.67 juta, RM24.78 juta dan RM34.22 juta bagi ketiga-tiga tahun tersebut.
MTDC telah mencatat keuntungan kasar bagi tahun 2010, 2011 dan 2012 berjumlah RM2.12 juta, RM8.24 juta dan RM4.11 juta masing-masing.
Beberapa kelemahan telah dikenalpasti antaranya, sebahagian Key Performance Indicator (KPI) tidak tercapai, prestasi kelulusan dan pembayaran geran tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, aktiviti promosi yang kurang berkesan dan tertumpu kepada kawasan bandar disebabkan tiada perancangan yang terperinci.
Selain itu, kelemahan dari segi penerimaan wang geran tidak direkodkan dalam penyata kewangan tahunan menyebabkan kedudukan kewangan tidak menggambarkan keadaan sebenar syarikat dan pengurusan faedah simpanan tetap tanpa perancangan dan pemantauan yang berkesan.
Pihak Audit mengesyorkan supaya MTDC dan pihak terlibat mempertimbangkan perkara antaranya, Lembaga Pengarah perlu memantau dengan lebih rapi terhadap tahap pencapaian KPI syarikat serta tahap pencapaian pengeluaran geran supaya strategi perniagaan yang sesuai dapat di tetapkan untuk meningkatkan tahap pencapaian KPI dan pengeluaran geran selaras dengan objektif geran.
Pengurusan MTDC juga katanya, hendaklah membuat perancangan yang lebih teliti dengan mengambil kira elemen-elemen penting perancangan sebelum sesuatu kertas kerja disediakan serta menjalankan kajian prestasi projek terdahulu.
Objektif MTDC adalah untuk menggalakkan penggunaan teknologi oleh syarikat tempatan melalui aktiviti pengkomersilan oleh ciptaan tempatan atau pemerolehan teknologi asing.
MTDC diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 10 Mac 1992 berperanan untuk menjalankan aktiviti pengurusan geran, inkubator, penasihat, dan nurturing services.
Sejak RMK7, MTDC telah menjadi pemain utama dalam aktiviti pengkomersilan, menguruskan dana Kerajaan yang diterima dan mempromosikan syarikat-syarikat berasaskan teknologi.
Hina agama: Kassim Ahmad dibicara 6 dan 7 Mei
- Apr 07, 2014
- HARAKAHDAILY
Hakim Syarie Azzeman Omar menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut pada hari ini.
Beliau juga membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris supaya jumlah jaminan yang ditetapkan sebelum ini oleh Hakim Syarie Ummamuddin Yunus sebanyak RM6,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan terhadap Kassim dikekalkan.
Pada 27 Mac lepas, Kassim, 81, mengaku tidak bersalah di hadapan Ummamuddin terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Hari ini selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi, Kassim turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dalam 'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang' di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8 di sini pada 15 dan 16 Feb lepas.
Kassim antaranya dituduh menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina selain mengingkari pihak berkuasa agama, perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis Agama Islam atau Mufti.
Kassim dituduh mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 9 akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Di luar mahkamah, ketika ditemui media, Ibrahim berkata pendakwaan akan memanggil lebih 10 orang saksi termasuk peserta seminar.
Ditanya sama ada pendakwaan akan memanggil bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merasmikan seminar itu sebagai saksi, beliau berkata pihaknya belum memutuskan untuk berbuat demikian.
Lagipun, katanya, setakat ini pihaknya belum merekodkan kenyataan daripada Dr Mahathir. - Bernama
Bersih 2.0 seru hadiri perbicaraan Mejar Zaidi
- Apr 07, 2014
- HARAKAHDAILY
Dalam satu kenyataan media bersama yang ditandatangani Bersih 2.0 dan NGO terbabit, mereka menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia untuk menggugurkan kesemua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang digunakan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.
"Persoalannya, kenapa tindakan diambil terhadap Mejar Zaidi bilamana beliau bercakap demi kepentingan awam?" kenyataan itu dipetik.
Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal sewaktu PRU13.
Tiga daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi beliau adalah membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan "berbau politik".
Jika didapati bersalah, Mejar Zaidi berkemungkinan akan kehilangan hak pencen dan faedah-faedah lain.
"Ini merupakan ketidakadilan yang tidak boleh diterima bila kita bercakap soal demokrasi. Mejar Zaidi sebenarnya seorang wira. Jika kesemua rakyat Malaysia seperti Mejar Zaidi, yakni berani menyuarakan yang hak, benar dan adil, pastinya sistem pentadbiran negara kurang kepincangannya," jelas Bersih 2.0.
Menurut Bersih 2.0, Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan umum, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap badan itu yang secara jelas berpihak dan gagal dalam mengendalikan penggunaan dakwat kekal.
"Sebaliknya seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah," ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, Bersih 2.0 mengajak orang awam untuk hadir memberikan sokongan kepada Mejar Zaidi di Mahkamah Tentera Pengkalan TUDM Sungai Besi, esok.
Antara NGO yang turut menyokong tuntutan Bersih 2.0 adalah Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Association of Women Lawyers (AWL), Centre for Independent Journalism (CIJ), Coalition Of Kelantan NGOs, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Himpunan Hijau, KL & Selangor Chinese Assembly Hall – Youth Section (KLSCAH Youth) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Tiada undang-undang dibincang terperinci seperti hudud
- Apr 07, 2014
- ASLANI M
Malah sebelum rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 1993 telah diadakan seminar dan bengkel termasuk di Kuala Lumpur.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhamad Fadzli Hassan berkata, tidak ada satu undang-undang yang diluluskan dibincang sebegitu terperinci dalam seminar dan bengkel.
Katanya, rakyat di segenap pelusuk negeri dan negara diberi penjelasan sebelum Enakmen Hudud dibawa ke persidangan Dun Kelantan.
“Di Kuala Lumpur sahaja beberapa kali siri penjelasan dan seminar kepada masyarakat Islam dan bukan Islam diadakan.
“Dan setelah tidak dapat dilaksanakan, kerajaan negeri mengadakan pula sambutan Hari Hudud setiap tahun bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat,” katanya di sini.
Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penelitian harus dibuat dalam semua aspek termasuk persediaan prasarana bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam dibuat secara berkesan.
Menurutnya kerajaan Kelantan harus meneliti dengan mendalam sebelum melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) di negeri ini.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi berkata, selain itu program ceramah yang diadakan sejak tempoh itu diselit dengan penjelasan mengenai hudud.
“Saya sendiri seawal tahun 1990-an dijemput kerajaan Kelantan untuk memberikan penjelasan hudud kepada pelbagai pihak.
“Kerajaan negeri juga pernah mengadakan perbincangan dengan barisan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat terutamanya DAP bagi tujuan menjelaskan hudud,” ujarnya.
Oleh itu katanya tidak berbangkit kerajaan negeri baru hendak menjelaskan isu hudud setelah 23 tahun diluluskan di persidangan Dun.
Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, kerajaan pusat sepatutnya sudah lama mengalu-alukan usaha Kelantan untuk melaksanakan.
Katanya, kenyataan Datuk Seri Jamil Khir di Parlimen baru-baru ini tidak sepatutnya dijadikan mainan politik Umno semata-mata.
Beliau juga berharap kerajaan Persekutuan meminda Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan melaksanakan perundangan hudud.
PAS Sabah kecam kibar bendera Israel
- Apr 07, 2014
- HARAKAHDAILY
“Perkara ini sangat mengguris perasaan umat Islam Sabah khususnya dan rakyat Sabah secara umum.
“Negara haram Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, bagaimana mungkin kita boleh benarkan bendera negara mereka berkibar megah di sini,” kata Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling.
Menurutnya, Israel merupakan penjenayah antarabangsa yang telah membunuh dan memerangi negara umat Islam di seluruh dunia.
Justeru, ujar beliau pihak kerajaan sewajarnya mengambil tindakan dan pendirian tegas mengenai perkara itu.
Beliau berkata, Menteri Luar yang berasal dari Sabah, Datuk Seri Anifah Aman harus bertindak dengan segera.
Menurutnya, Malaysia yang mendakwa sebagai sebuah Negara Islam tidak seharusnya membiarkan negara musuh Islam senang-senang masuk dan membiarkan mereka mengadakan atau mengikuti sebarang acara di negeri ini.
“PAS Sabah sekali lagi mengecam tindakan mengibar bendera Israel dan memberi tempoh 24 jam untuk menurunkan bendera tersebut,” tegasnya.
Al-Quran bukan ditilawah sahaja tanpa dihayati isinya
- Apr 07, 2014
- ASLANI M
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kejayaan dasar tersebut jelas menggambarkan ajaran al Quran mampu direalisasikan bagi melahirkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Inilah matlamat kita sebenarnya dan bukan hanya menjadikan al-Quran untuk ditilawah setiap tahun sahaja tanpa dihayati isi kandungnya,” kata beliau ketika merasmikan Tilawah al Quran peringkat negeri kali ke-57 di Balai Islam malam tadi.
Tilawah kali ini menggunakan tema “Al Quran Asas Perpaduan Ummah” diadakan sehingga 10 April ini. Seramai 20 peserta termasuk qariah akan memperdengarkan bacaan mulai malam ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Mufti, Datuk Shukri Mohamad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nik Kazin Nik Yusof.
Menteri Besar berkata, al Quran mengandungi pelbagai aspek sebagai panduan dalam kehidupan manusia.
Menteri Besar berkata, di Kelantan kerajaan negeri bergerak dalam ruang bidang kuasa yang ada dalam pelaksanaan perundangan syariah.
“Al-Quran menjadi pencetus kepada perkembangan ilmu dan sumber aspirasi bagi membina ketamadunan ummah. Islam pernah menguasai dua pertiga daripada dunia,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri turut menghargai guru-guru pondok dengan menyediakan insentif khas sebanyak RM250,000 sebagai menghargai jasa dan keringat mereka dalam bidang dakwah.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berharap qari dan qariah Kelantan dapat mengembalikan kegemilangan dalam bidang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan