Jumaat, 4 April 2014

TUNGGU PENDAKWAAN ALLAH DIAKHIRAT....SORANG PUN TAK TERLEPAS

PADA jam 9.00 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa adalah dua ahli panel dalam Majlis Diskusi anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”.
Profesor Agoes dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai Moderator. Format diskusi menyamai program “HARD TALK” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh Moderator.
Sepanjang dua jam, Moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa Moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr. Mahathir berada di negara China dan saya adalah Pemangku Perdana Menteri.

2. Saya bertanggung jawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur Moderator dengan mengatakan sebagai seorang Profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (ia itu 19 November 1985) Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya Pemangku Perdana Menteri. Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan “My God” yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak Polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi;
(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah

Namun saya mengambil tanggung jawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak Polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku. Pada hari kejadian, saya bersama Pemangku Ketua Polis Negara (KPN) telah menemui Perdana Menteri di pejabat beliau dan Pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi Polis di Memali yang melibatkan kematian 4 anggota Polis dan 14 orang awam. Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr. Mahathir menangguhkan program lawatan ke Negara China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri Perdana Menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke Negara China, Dr. Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam Negeri.

Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke Negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap. Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. ISU UTAMA dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan Pemangku Perdana Menteri kerana Tun Dr. Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Tun Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di Mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Tun Dr. Mahathir masih Perdana Menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan Perdana Menteri. Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh Parti PAS. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan Menteri; tidak ada pihak baik daripada Kerajaan, begitu juga Parti UMNO yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.
Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya.
Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah ILAHI memakbulkan doa saya. Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya. Saya bersyukur ke hadrat ILAHI yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya. Saya serahkan segala-galanya kepada ALLAH yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada-Nya saya memohon petunjuk dan keadilan.
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dan beberapa NGO akan mengiringi Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zaidi Ahmad yang akan didakwa di Mahkamah Tentera Selasa ini.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, Zaidi tidak keseorangan dalam isu ini sebaliknya ramai mereka di luar sana akan bersama-sama hadir dalam perbicaraan itu untuk memberi sokongan kepada beliau.

"Kami Pakatan Rakyat dan NGO lain akan mengiringi Mejar Zaidi pada hari perbicaraan tersebut jam 9 pagi di Kem Sungai Besi. Kami akan beri sokongan kepada Zaidi atas ketidakadilan yang berlaku," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, hari ini.

Zaidi didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur ekoran mengeluarkan kenyataan berhubung dakwat kekal kepada media.

Malah Zaidi turut membuat laporan polis kerana dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu tidak kekal sebagaimana dijanjikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.

Bagaimanapun, tindakan yang dikenakan terhadap Zaidi ini bagi Mohamad Sabu ianya bercanggah dengan prinsip keadilan.

Sepatutnya kata beliau, SPR yang didakwa gagal menjalankan tugas dengan telus perlu diheret ke muka pengadilan.

"Tetapi, orang yang buat aduan pula yang kena dakwa di mahkamah," katanya yang tidak menolak Zaidi telah menjadi mangsa politik BN.

Kes Zaidi ditetapkan pada 8 hingga 10 April ini di hadapan enam ahli panel iaitu Kolonel Saadon Hasnan, Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Jika didapati bersalah, bapa kepada empat anak itu yang berkhidmat selama 25 tahun akan menghadapi hukuman penjara dan hilang pencen.

Turut bersama dalam sidang media itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua, AJK PAS Pusat Dzulkefly Ahmad, dan Anuar Tahir.

04 April 2014

MH370 : Ketenteraan US Gementar Apabila Didakwa Oleh Penduduk Maldives Mendarat Di Diego Garcia



MH370 : Ketenteraan US Gementar Apabila Didakwa Oleh Penduduk Maldives Mendarat Di Diego Garcia

 SPEKULASI berhubung MH370 sentiasa wujud sejak hari pertama pesawat MAS itu hilang 8 Mac lalu dan spekulasi atau teori ini akan tetap dibangkitkan di internet selagi pesawat ini tidak berjaya ditemui.

Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Walaupun sebelum ini satelit telah berjaya mencerap beberapa objek di selatan Lautan Hindi dan pesawat menjumpai serpihan di lokasi SAR namun ia disahkan bukan milik MH370.



Terdapat pelbagai spekulasi yang dibangkitkan termasuk yang mengatakan pesawat itu sudah mendarat secara rahsia di China dan ada juga yang mendakwa pesawat mendarat di Pakistan ataupun Hong Kong.

Namun, terdapat satu teori yang dilihat mendapat respons yang tinggi dari masyarakat dunia iaitu teori pesawat mendarat di Diego Garcia, sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi.

Diego Garcia terletak di selatan Kepulauan Maldives dan merupakan pangkalan tentera AS yang penting dalam kempen serangan AS terutama terhadap Iraq dan Afghanistan.

Dakwaan penduduk Maldives kukuh

Spekulasi yang mengaitkan Diego Garcia ini mula dibangkitkan secara serius apabila apabila penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah di selatan kepulauan tersebut.

Ada pihak mendakwa pesawat tersebut merupakan MH370 dan telah mendarat di Diego Garcia kerana kedudukan kedua-dua pulau yang berdekatan.

Jarak antara Diego Garcia dengan Addu City, yang terletak di selatan Kepulauan Maldives (Pulau Addu) adalah 740km.

Difahamkan, teori ini timbul berdasarkan kiraan secara kasar waktu MH370 membuat pusingan balik di sempadan Malaysia – Vietnam dan waktu ketika penduduk Maldives melihat pesawat tersebut.

MH370 berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan pesawat ini terputus hubungan pada 1.21 pagi.

Jika diambil kira penerbangan dari KLIA ke Maldives iaitu sekitar 4 jam, 24 minit dan waktu penduduk Maldives melihat pesawat iaitu 6.15 pagi, jumlah waktu penebangan ini adalah relevan.

Ini kerana, waktu penerbangan ini perlu ditambah 40 minit iaitu tempoh MH370 berpatah balik hingga kedudukan pesawat hilang dari radar.

Teori penduduk Maldives ini tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana penduduk di Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan, Perak dan Terengganu juga mendakwa mereka melihat pesawat terbang rendah pada hari malang buat MH370 itu.

Difahamkan, pesawat tersebut adalah MH370 berdasarkan radar tentera yang berjaya mengesan pesawat tersebut membuat pusingan balik menghala ke Selat Melaka.

Spekulasi Diego Garcia terus berada di tempat pertama

Selain itu, teori Diego Garcia ini juga dikaitkan menerusi mimpi seorang ustaz yang mendakwa MH370 mendarat di sebuah pangkalan tentera dan penumpang serta kru masih selamat.




Antara teori yang menarik berhubung Diego Garcia adalah spekulasi bahawa tentera AS telah mengawal MH370 sebaik sahaja pesawat itu hilang dari radar.

Spekulasi tersebut mengaitkan dakwaan tentang wujud peralatan ketenteraan yang menjadi rebutan kuasa besar dunia dalam pesawat tersebut.

Alat tersebut dikatakan berkemampuan untuk mengawal Drone tanpa pemandu yang pernah digunakan ketika AS berperang di Afghanistan.

Difahamkan, China berusaha untuk membawa pulang sistem ketenteraan ini menerusi laluan pesawat komersil yang dianggap lebih selamat.

Namun, AS berjaya memintas pesawat ini dan membawa MH370 keluar dari radar Malaysia menuju ke Lautan Hindi bagi mengelak di kesan radar mana-mana negara dan kemudiannya dibawa ke Diego Garcia untuk disimpan di sana.

Nasib penumpang tidak diketahui tetapi pesawat MH370 itu dikatakan diterbangkan semula untuk terhempas Lautan Hindi menggunakan sistem kawalan jarak jauh.

Apa yang paling menarik dalam spekulasi ini adalah landasan lapangan terbang Diego Garcia adalh antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam.

Selain Diego Garcia, antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan lebih 1,500 meter.

Namun, pihak penyiasat sehingga kini masih menafikan dakwaan MH370 mendarat di Diego Garcia dan pasukan penyiasat berpegang kepada maklumat bahawa MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Berakhir, bukannya terhempas di Lautan Hindi

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch (AAIB) di Britain.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam temubual bersama media tempatan memberitahu berhubung persoalan mengenai Diego Garcia, beliau sendiri akan bertanya kepada AS dalam Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean yang bermula kelmarin.

Spekulasi sentiasa wujud, selagi operasi SAR di selatan Laut Hindi tidak berjaya menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Sehingga kini operasi SAR yang diketuai Australia masih gagal menemui petunjuk yang jelas di mana pesawat ini berada dan mereka kini sedang berusaha untuk mengesan perakam kotak hitam milik MH370 sebelum kuasa baterinya habis.

Menteri Pertahanan Australia, David Johnston mengakui, usaha mencari kotak hitam itu hanya mempunyai peluang tipis berikutan serpihan pesawat perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi mengesan lokasi kemalangan pesawat tersebut.

“Kami mempunyai kira-kira seminggu sahaja untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370. Malah, ia juga bergantung kepada suhu, kedalaman dan tekanan laut, berapa lama kuasa baterinya boleh bertahan,” katanya.

Tumpuan siasatan kini masih tertumpu kepada empat elemen iaitu melibatkan rampasan, sabotaj, masalah peribadi kru dan penumpang.

Sehingga kini siasatan polis telah selesai dan polis mendapati semua penumpang pesawat MAS yang hilang “bersih” daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang masih dijalankan.

Menurut sumber yang enggan dikenali, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah jelas menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa dan mengapa pesawat itu dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.

Spekulasi-spekulasi yang timbul tidak wajar ditolak mentah-mentah kerana sehingga kini bukti atau petunjuk yang boleh dikaitkan dengan MH370 masih belum ada.

Apa sahaja yang dibangkitkan di internet masih boleh diterima, sekiranya teori tersebut mempunyai fakta atau hujah sokongan yang relevan.

Kini, kesemua persoalan berhubung ‘di mana MH370′ tertumpu kepada operasi SAR yang diketuai oleh Australia, sama ada jawapan ini terjawab dalam masa terdekat ataupun tidak, ia bergantung kepada ketentuan Tuhan, kita manusia hanya mampu merancang sahaja.
– SINAR HARIAN
ALOR SETAR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat berikutan kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu adakah disebabkan penglibatan kuasa-kuasa besar dunia yang sedang mencatur politik mereka.

Katanya, kerajaan tidak perlu menunggu penemuan kotak hitam untuk membuat sebarang pengumuman.

"Saya pasti kerajaan sudah tahu hal yang sebenar di sebalik kejadian tersebut dan siapa berada dalam insiden ini," jelasnya.

Kata beliau lagi, selepas peristiwa 911 satu pendedahan dilakukan dan mengesahkan penglibatan Amerika dalam kejadian tersebut.

"Kalau 911 Amerika terlibat dan adakah insiden MH370 ini juga akibat dari negara besar itu.

"Dalam pada itu, sehingga sekarang kita tidak tahu siapa sebenarnya pemilik bateri lithium dan syarikat mana yang menghantarnya ke Beijing.

"Apa tujuan ia dihantar ke sana sedangkan kita sendiri membeli barang dari sana?" soal beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan tentang misteri MH370 itu sama ada hilang ataupun dihilangkan.

"Apa sebenarnya berlaku, malah saya melihat penglibatan 26 negara itu seolah-olah mereka telah ditutup mulut oleh pihak tertentu.

"Pengalihan kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi adalah untuk melengah-lengahkan masa.

"Sekarang masa untuk menutup segala-galanya hampir sampai, tempoh hayat bateri kotak hitam hampir tamat dan ia pasti akan menjadi alasan," katanya.

Mahfuz juga meminta agar kerajaan perlu tampil memberi penjelasan secara telus tanpa ada sebarang perkara yang diselindungkan kerana ia melibatkan maruah negara.

Beliau tidak mahu Malaysia menjadi mangsa sedangkan percaturan sebenar adalah kuasa besar dunia.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat bukan sahaja menyokong badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan Himpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini bahkan akan turut serta dalam himpunan itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Pakatan Rakyat akan menggerakan seluruh ahli dan penyokongnya untuk menyatakan bantahan tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat dengan kenaikan kos hidup melalui GST.

Beliau turut menjangkakan ratusan ribu orang yang akan menyertai himpunan kemuncak ini setelah rakyat saban hari terus dibebani dengan kenaikan harga barang berterusan dengan GST yang akan diperkenalkan pada tahun depan.

"Himpunan ini akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke  Dataran Merdeka," katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mohammad turut memberi jaminan Himpunan Bantah GST yang diadakan pada cuti umum sempena Hari Pekerja itu akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan.

Naib Presiden PKR Tian Chua pula berkata, Himpunan 1 Mei ini amat penting sebagai amaran rakyat kepada kerajaan agar menguruskan kewangan negara dengan baik.

Katanya, GST akan terus dilaksanakan pada tahun depan, keadaan ini akan menambah bebanan rakyat dengan pelbagai kesan termasuklah inflasi akhirnya hutang individu dan keluarga akan meningkat.

"Melalui GST ini kerajaan akan membiarkan golongan bawahan berterusan didera. Himpunan 1 Mei ini sangat penting. Pakatan Rakyat akan turun mengingatkan tanggungjawab kerajaan untuk memberi keadilan pada rakyat," katanya.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat Anuar Tahir berkata Himpunan anjuran NGO itu akan menjadi platform rakyat untuk memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak dapat bersetuju dengan GST.

"1 Mei sangat sesuai untuk berhimpun di Kuala Lumpur. Insyallah himpunan paling aman," katanya yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama dalam himpunan itu.

Di Parlimen sekarang ini sedang membahaskan Rang Undang-undang GST, dan minggu depan rang undang-undang itu akan diluluskan untuk dilaksanakan pada tahun 2015 sebagaimana yang diwar-warkan kerajaan sebelum ini.

Tiada ulasan: