Khamis, 17 April 2014

POKET RAKYAT BOCOR JUGA....BAGAIMANA RAKYAT YANG TERGULUNG RAKYAT TERMISKIN LAGI PAPA KEDANA

KUALA LUMPUR: PAS hairan mengapa tiada satu kenyataan keras dibuat terhadap pentadbiran Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) ekoran perlanggaran jelas terhadap Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata "seperti ada sesuatu yang tidak kena" dalam sistem pendidikan negara.

"Kementerian harus tampil dengan satu kenyataan lebih keras, tak cukup hanya sekadar 'akan bincang'.

"Saya tak tahu kalau kementerian sudah 'dibeli' oleh AiU, atau menteri dan timbalan menteri juga 'dibeli' oleh AiU," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penutupan AiU dan notis penutupan yang didakwa tidak mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Menurut peruntukan akta itu, notis penutupan sepatutnya dibuat dalam tempoh setahun sebelum ditutup.

Semalam enam daripada siswa dari kampus yang diurus Yayasan Albukhary, milik hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary itu, memfaikan saman di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Alor Setar atas isu sama.

Mereka menamakan AiU sebagai defendan pertama manakala Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mereka mendakwa hanya diberitahu secara lisan pada Februari lalu bahawa universiti itu akan ditutup dan perlu dikosongkan selewat-lewatnya Jun ini.

AiU selama ini dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan susah dari seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, pihak kerajaan tidak boleh memilih bulu dalam bertindak biarpun Syed Mokhtar adalah individu yang memonopoli banyak sektor strategik negara.

"Perlu ambil tindakan tegas terhadap AiU tanpa mengira ia milik Syed Mokhtar.

"Kerajaan tak boleh pilih bulu," jelas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Yayasan Albukhary diasaskan pada 1996 atas prinsip taqwa dan ihsan.

Yayasan itu mula mendapat perhatian apabila membantu orang Islam dan komuniti terpinggir akibat kemiskinan, perang dan bencana alam termasuk mempromosi kebudayaan Islam dan biasiswa bagi orang Islam dan bukan Islam.
Rang Undang Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (RUU GST) 2014 diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan undi menyokong 218 undi dan undi menentang 81 undi. RUU GST ditentang oleh ahli ahli Parlimen Pakatan dengan hujah hujah yang bernas namun apabila diundi melalui proses belah bahagi ,BN, dengan hujah yang dangkal masih menang dengan jumlah 218 undi.

Bagi pihak PAS, empat ahli Parlimen diberi peluang berhujah dimulai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, saya sendiri, Ahli Parlimen Marang iaitu Presiden PAS dan Pokok Sena iaitu Dato Mahfuz Omar.

Prinsip dalam percukaian adalah tiada percukaian tanpa perwakilan. Dengan BN hanya perolehi 47 peratus undi popular maka mereka hakikatnya bukan mewakili suara popular rakyat tentang GST. Maka bagaimanakah GST dikira suatu percukaian yang sah dan memenuhi prinsip yang saya katakan itu.

GST adalah cukai regresif . Cukai pendapatan sama ada individu atau korporat pula bersifat progresif. Cukai progresif secara mudahnya bermaksud semakin tinggi pendapatan individu atau korporat semakin tinggi cukai yang mereka kena bayar. Ini suatu yang munasabah kerana Ibnu Khaldun menyatakan di dalam kitabnya yang masyhur "al muqaddimah", Kerajaan perlu memikirkan bagaimana pendapatan rakyat harus ditinggikan bagi mendapat cukai yang tinggi dari rakyat untuk mengisi perbendaharaan negara.

GST pusing ke belakang atau regresif kerana cukai dikenakan kepada penduduk atau rakyat yang tidak berpendapatan atau yang berpendapatan rendah. Logiknya rakyat yang susah dan miskin sewajarnya ditolong oleh Kerajaan kerana mereka tiada pendapatan atau berpendapatan rendah tapi ini tidak berlaku dalam rejim percukaian GST.

Dengan adanya GST keadaan menjadi terbalik iaitu rakyat yang susah pula disuruh menolong Kerajaan dengan meminta semua rakyat tanpa kira miskin dan kaya membayar cukai. Memandangkan GST adalah cukai penggunaan yang dikenakan di semua peringkat pengeluaran barang yang mana Kerajaan perolehi hasil cukai di semua rantaian penawaran barangan ( supply chain ) , pengguna adalah pihak yang paling teruk kerana kena membayar cukai atas penggunaan barang dan tidak mendapat apa apa rebate.

Sebagai contoh kita ambil kes kopi. Bagi rantaian penawaran kopi Kerajaan akan dapat hasil cukai dari penanam kopi, pengilang kopi , pedagang kopi , peniaga runcit kopi dan akhirnya pengguna atau pembeli kopi. Meskipun penanam , pengilang, pedagang dan peniaga runcit kopi dikenakan cukai GST namun mereka berhak mendapat semula bayaran cukai tersebut melalui rebate. Pengguna kopi sahaja yang kena bayar GST dan tidak mendapat faedah rebate. Yang lebih teruk lagi jika BRIM diberi setahun sekali GST pula dibayar semua rakyat setiap hari. GST dibayar 24 jam selama 365 hari setahun.

Pakar ekonomi menyatakan segmen masyarakat yang paling teruk menerima kesan dari GST adalah golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan kaya tidak menerima kesan dan jika ada sekalipun ia hanya menanggung kesan yang minima. Malahan dalam keadaan tertentu golongan kaya mendapat manfaat dari GST.

Dalam penggulungan, Timbalan Menteri Ahmad Maslan menyatakan tidak seperti Singapura yang tidak mengenakan pengecualian ke atas barang barang tertentu dari dikenakan GST , Malaysia, katanya, memberikan pengecualian GST ke atas barang barang keperluan. Saya bangun dan bertanyakan soalan berikut kepada beliau " adakah Timbalan Menteri sedar bahawa Kerajaan Singapura menyatakan bahawa jika GST dikecualikan ke atas barangan tertentu pihak yang mendapat manfaat dari pengecualian itu adalah golongan kaya kerana mereka hakikatnya menggunakan lebih banyak dan kerap barangan yang dikecualikan GST tersebut." Menteri tak boleh jawab soalan saya itu.

Apa yang dikatakan oleh Kerajaan Singapura itu ada meritnya. Meskipun barangan asas seperti beras, tepung, gula atau barangan keperluan lain dikecualikan GST , pengecualian itu terpakai kepada semua termasuk golongan kaya. Jadi mereka yang untung. Jika kita beli kek di kedai kek ( dibuat dengan tepung dan gula ) sebagai contoh rakyat miskin yang nak beli kek kini dikenakan cukai dibandingkan sebelum GST dikenakan. Jika anak atau isteri Menteri beli kek mereka tidak ada masalah bayar harga kek yang dikenakan GST tapi bagaimana anak orang susah ?

Kerajaan berbangga 160 negara yang amalkan GST tanpa mengira negara yany kuat ekonominya seperti USA juga tidak setuju dengan GST. Ya ,banyak negara negara maju melaksanakan GST namun berapakah jumlah pendapatan per kapita mereka. Kita ambil contoh Singapura. Pada tahun 2012 menurut Fox Magazine pendapatan per kapita rakyat Singapura sebanyak 56 ribu US dollar ( USD ) . Bagaimana dengan Malaysia? Dalam ucapan belanjawan 2014, menurut Perdana Menteri pendapatan per kapita negara kita adalah sekitar 9,500 USD sahaja. Malahan pada tahun 2020 Malaysia hanya mensasarkan pendapatan per kapita 15,000 USD. Oleh itu, bagaimana kita nak tiru Singapura?

Singapura kenakan GST kerana cukai pendapatan individu dan korporat  di sana secara relatifnya masih rendah. Jadi kekurangan hasil cukai pendapatan ditampung melalui GST. Kadar cukai pendapatan di Malaysia sama ada individu atau korporat lebih tinggi dari Singapura. Itupun Singapura mulakan GST dengan kadar 3 peratus sedangkan kita terus mulakan dengan 6 peratus. Tetapi apa yang penting dengan jurang pendapatan rakyat miskin dan kaya di Singapura lebih rendah berbanding Malaysia dan pendapatan per kapita mereka jauh lebih tinggi dari kita sudah tentu kuasa membeli dan membayar cukai rakyat di sana lebih kuat dari kita.

Begitu juga negara negara maju yang lain seperti Australia dan Kanada. GST tidak begitu membebankan rakyat di sana kerana pendapatan per kapita mereka yang tinggi. Dan bagi negara negara maju yang melaksanakan GST, rakyat juga mendapat manfaat dan faedah yang banyak hasil kutipan cukai tinggi di mana jaringan keselamatan ( safety net ) bagi menjaga kebajikan rakyat jauh lebih baik. Maknanya berbaloi membayar cukai di sana meskipun tinggi.

Yang lebih penting lagi di negara negara maju tersebut kadar kebocoran dan ketirisan ekonomi di sana jauh lebih rendah kerana amalan pemerintahan yang baik ( good governance ) dan hampir bebas rasuah . Di negara kita, kebocoran bilion ringgit akibat rasuah, ketirisan, pembaziran, kronisme dan rent seeking adalah fenomena wajib di dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Jika poket seluar kita bocor adakah patut kita minta orang lain bagi duit untuk diletakkan di poket yang bocor itu? Umno bocorkan kantong wang negara tapi parti tak tahu malu ini masih minta rakyat hulurkan duit untuk dimasukkan dalam kantong yang bocor itu. Jawapan kita jahit kocek yang bocor kemudian baru minta duit daripada rakyat.

TERBARU...Respon Ustaz Don Daniyal terhadap kritikan Wardina Safiyyah


Respon Ustaz Don Daniyal terhadap kritikan Wardina Safiyyah - Semalam, 
Wardina atau nama sebenarnya Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, telah menegur 
Ustaz Don Daniyal secara terbuka menerusi akaun facebook miliknya kerana
merasakan sebahagian ceramah yang dibuat pendakwah berkenaan tidak 
berpandukan kitab Sunnah dan Hadis.

Sebagai respon kepada teguran itu, Ustaz Don Daniyal hari ini tampil untuk
menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh model tudung terkemuka, 
Wardina Fadlullah Wilmot terhadap dirinya.

Menurut pendakwah berusia 29 tahun itu, adalah tidak adil untuk menghentam 
dirinya hanya dengan berpandukan sebuah video yang telah diedit daripada 
ceramah-ceramahnya terdahulu tanpa meneliti isi kandungannya secara 
terperinci.Tambah beliau, Wardina sendiri pernah membuat kenyataan supaya 
pengguna-pengguna laman sosial tidak memuatnaik perkara-perkara yang
dilarang tetapi mengapa beliau sendiri yang melakukannya.

"Apakah niat sebenar Wardina memuatnaik video yang telah diedit itu kemudian
menghentam saya, adakah bertujuan baik atau sebaliknya, kebiasaannya video 
sekerat-sekerat ini hanyalah untuk tujuan propaganda."Untuk itu, Ustaz Don me-
nyarankan Wardina hadir sendiri ke ceramahnya agar mendapat pencerahan lebih
dalam tentang perkara yang dirasakannya musykil, dan bukannya sekadar 
berpandukan video sekerat-sekerat yang telah diedit.

"Siapa yang buat video sekerat-sekerat ni, apa tujuannya selain daripada untuk
 tujuan propaganda, jika mereka ikhlas kenapa perlu edit video tersebut.

Saya juga tidak kata saya betul semua, saya manusia biasa tetapi ada orang
yang memilih untuk menghentam jika orang itu tidak dalam ahlinya. Mungkin 
saya selalu kerap keluar di TV Alhijrah menyebabkan ada orang yang tak senang
duduk."

Dalam pada itu, Ustaz Don turut melahirkan perasaan hairan mengapa wardina
memilihgolongan pendakwah untuk dihentam sedangkan orang-orang kafir yang 
menghina Agama Islam di luar sana Wardina hanya mendiamkan diri.

"Saya tak kenal pun dengan orang yang buat video itu, tak kan saya tak buat
 rujukan dalam setiap ceramah saya. Sebagai seorang penceramah sudah 
 semestinya saya membuat rujukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang
 ceramah.

Saya tak pernah cari pasal dengan sesiapa pun, antara bahan rujukan saya 
tentang Bani Tamim adalah saya membuat rujukan dengan Ustaz Badlishah. 
Pendapat dan teori memang ada dikalangan ulama mengikut hadis-hadis.

Saya teringat satu kisah Juraij yang telah difitnah oleh seorang pelacur yang 
sangat cantik berkata: Jika kalian menghendaki, aku akan memberinya fitnah."

Menurut sumber, punca utama Wardina mengkritik Ustaz Don ialah kerana
terdapat staf dalam saluran Al-Hijrah yang sakit hati selepas tidak mendapat
surat jemputanke United Kingdom seperti yang diperolehi oleh Ustaz Don. 
Kemudian, staf itu dikatakan bertindak mengedit satu video untuk dimuatnaik
di akaun facebook miliknya.bh.net Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Dengarlah, adakah kamu mendengar bahawa akan terjadi selepasku kemunculan ramai pemerintah? Sesiapa yang menyertai, membenarkan penipuan dan membantu kezaliman mereka bukanlah daripadaku (umatku) dan aku tidak berkait dengan mereka (tidak mendapat syafaat) serta tidak dapat menikmati telagaku (di syurga). Dan sesiapa yang tidak menyertai, tidak membantu kezaliman serta tidak membenarkan kerja-kerja zalim mereka, mereka itu termasuk daripada kalanganku dan aku juga sebahagian daripada mereka."
(Riwayat al-Nasa'i)

Perdagangan antarabangsa adalah satu realiti. Tiada negara di dunia yang boleh menafikan realiti tersebut. Negara-negara di dunia memerlukan antara satu sama lain bagi mengembangkan ekonomi mereka. Justeru, datangnya idea pengembangan ekonomi melalui perjanjian perdagangan melibatkan negara negara tentu seperti AFTA (Asean Free Trade Agreement) , NAFTA (North America Free Trade Agreement) atau TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement).

Artikel ini berkaitan dengan TPPA. Secara umumnya idea TPPA adalah baik kerana ia memberi peluang kepada negara negara yang terlibat dengan TPPA untuk melebarluas pasaran ekonomi  atau perdagangan negara mereka. Kita tahu banyak negara mungkin tidak dapat menembusi pasaran negara luar kerana wujudnya sekatan sekatan perdagangan seperti tarif import yang amat tinggi atau kouta atau lain-lain sekatan. TPPA bertujuan meliberalisasi perdagangan antarabangsa.

Malaysia terlibat dalam TPPA bersama sama 11 negara yang lain seperti USA, New Zealand, Peru, Singapura dan beberapa negara yang lain. TPPA kini masih dalam peringkat rundingan bagi menyelesaikan terma-terma yang dipersetujui yang melibatkan 29 bab merangkumi pelbagai sektor dan tidak terhad kepada sektor perdagangan sahaja.

Meskipun idea TPPA adalah baik namun aspek negatifnya mengatasi aspek positifnya sekaligus bantahan kepada TPPA disuarakan di dalam dan di luar Parlimen. Bantahan itu ada asas yang amat kuat. Pertamanya proses perundingan TPPA berjalan secara rahsia. Terma-terma yang hendak dibincang dan dipersetujui juga dirahsiakan.

Kami sebagai ahli Parlimen juga tidak diberi keistimewaan untuk diberi salinan draf perjanjian dan butir-butir rundingan. Di Parlimen, Menteri hanya memaklumkan bahawa hak dan kepentingan rakyat negara ini akan dilindungi namun apabila kita bertanya macam mana ia akan dilindungi dalam keadaan kita sebagai ahli Parlimen tidak dimaklumkan terma terma rundingan, Menteri tidak dapat menjawab.

Masalah pertama TPPA adalah, negara-negara yang terlibat tidak mempunyai kekuatan ekonomi yang seimbang. Ketidakseimbangan ini sudah pasti akan menjejaskan kuasa atau kekuatan rundingan kita (bargaining power). Sebagai contoh, di belakang negara Amerika adalah gergasi gergasi ekonomi seperti Wall Mart yang mempunyai kuasa melobi yang amat dominan. Dalam ketidaaan padang yang sama rata maka kita percaya negara kecil seperti Malaysia amat sukar untuk melindungi kepentingan rakyat hatta kedaulatan negara jika kita setuju tandatangan TPPA.

Saya kata kedaulatan negara akan terdedah kepada ancaman jika TPPA ditandatangani. Kita tahu di Malaysia kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai beberapa klausa bagi menjamin kedaulatan negara. Kita mempunyai Artikel 3 mengenai Islam, Artikel 152 mengenai bahasa melayu atau Artikel 153 mengenai kepentingan Melayu dan bumiputra yang mana artikel artikel ini dan beberapa artikel yang lain diwujudkan sejak awal bagi melindungi kedaulatan negara kita.

Bagaimanakah TPPA boleh mengancam kedaulatan negara? Jawapannya kesan pada terma dalam TPPA itu sendiri. Di dalam TPPA seperti NAFTA wujudnya satu klausa yang dipanggil "expropriation clause". Kesan klausa ini adalah ia membenarkan mana-mana syarikat atau pelabur asing negara-negara TPPA untuk menyaman mana-mana negara TPPA jika wujud polisi yang boleh mengancam kepentingan perniagaan syarikat tersebut. Ini telah pun berlaku sebelum ini dalam kes NAFTA.

Sebuah syarikat gergasi Amerika iaitu Ethyl Corporation pernah menyaman negara Kanada kerana Kanada melarang MMT (methyleyclapentadienyl mangenese tricarboynl) yang mengandungi "leaded gasoline" yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Sebagai pengeluar MMT Syarikat Ethyl telah menyaman Kerajaan Kanada menuntut gantirugi 251 juta dollar Amerika. Saman ini dibuat berdasarkan klausa di NAFTA. Malahan 5 bulan sebelum polisi Kerajaan Kanada itu diperkenalkan, Ethyl telah memfailkan notis niat mereka untuk menyaman bagi menghalang isu MMT itu dibincang di dalam Parlimen Kanada kerana ia dikatakan boleh menjatuhkan reputasi syarikat Ethyl tersebut.

Lihatlah bagaimana kesan perjanjian seperti TPPA. Lihatlah bagaimana sebuah syarikat boleh menyaman sebuah negara meskipun negara memperkenalkan polisi yang baik bagi melindungi kesihatan rakyat. Kerajaan Uruguay juga pernah disaman oleh syarikat rokok gergasi Philip Morris apabila Kerajaan Uruguay meminta Philip Morris meletakkan gambar kesan kanser kepada perokok di kotak rokok. Bagi Philip Morris permintaan Kerajaan Uruguay itu adalah melanggar klausa "expropriation clause" yang wujud di dalam NAFTA.

Sayugia juga dicatatkan di sini di dalam TPPA wujudnya apa yang dipanggil klausa ISDS ("investor to state dispute settlement") yang mewajarkan wujudnya Tribunal khas yang akan mendengar dan memutuskan aduan berkaitan apa-apa perbalahan berkaitan terma terma TPPA. Dengan wujudnya ISDS ini maka Mahkamah di negara ini tidak akan dilibatkan dengan apa-apa aduan dan perbalahan dalam TPPA. Jadi bagaimanakah tribunal antarabangsa ini boleh diharapkan dapat melindungi kepentingan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Yang lebih membimbangkan, TPPA boleh mengakibatkan setengah barangan atau perkhidmatan akan meningkat secara mendadak. Sebagai contoh kos perubatan. Kita tahu di negara ini, kos ubat secara relatif masih murah kerana ubat kita termasuk dalam generic medicine.

Bagaimanapun jika ubat ubatan mula dikawal melalui skim patent maka harga ubat-ubatan akan meningkat secara mendadak. Persatuan Pengguna Pulau Pinang meramalkan kenaikan harga ubat yang dipatent akan naik 1,044 peratus dari harga yang kita kecapi sekarang!
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Sepang.
PAS dijangka akan membentangkan usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di Kelantan.

Ia telahpun diluluskan oleh Sidang Dun Kelantan dan langkah membawa usul ke Parlimen adalah langkah susulan bagi memastikan pelaksaannya kelak benar-benar terjamin tanpa halangan oleh mana-mana pihak.

Dijangkakan usul ini akan mendapat tentangan dari pelbagai pihak dan PAS telah pun bersedia menghadapinya.

Usul ini akan menjadi suatu sejarah di negara ini bahawa setelah berpuluh tahun merdeka, syariat Islam bakal terlaksana di Kelantan. Atau juga sebaliknya menjadi sejarah moden bahawa sebuah negara umat Islam yang majoritinya beragama Islam menolak Syariat Islam di negaranya sendiri.

Sejauh mana kekuatan PAS untuk disokong oleh majoriti Ahli Parlimen juga akan dilihat dalam usul yang akan dibentangkan nanti.

Paling penting, umat Islam di negara ini akan menjadi saksi bahawa PAS pernah berusaha membentangkan undang-Undang Syariat Islam di Parlimen untuk diaplikasikan manakala dunia Islam pula akan menjadi pemerhati benarkah Malaysia adalah sebuah negara Islam tulen atau sebaliknya.

Yang perlu difahami oleh semua pihak bahawa dalam sebuah negara demokrasi di negara ini, suara majoriti rakyat menjadi pemutus dalam sesuatu perkara yang akan dilaksanakan.

Dalam hal ini, kerajaan negeri Kelantan telah dipilih oleh majoriti rakyat. Keputusan melaksanakan undang-undang Syariat Islam adalah keputusan bersama yang dibuat oleh pemimpin kerajaan negeri tersebut. Tidak perlu mana-mana pihak melenting dengan keputusan ini atas dasar sentimen semata-mata.

Jika benar kita menghormati demokrasi dan mengangkatnya tinggi, maka, wajar semua pihak menghormati keputusan kerajaan Kelantan tersebut.

Pastinya kerajaan Kelantan tidak menggadaikan masa depan rakyat apabila membuat keputusan mahu melaksanakan Syariat Islam, bahkan ia membela nasib rakyat di negeri itu.

Seharusnya semua pihak memberikan peluang kepada kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang syariat Islam.

Jika ianya baik untuk kerajaan negeri itu dan rakyatnya, teruskanlah dan mungkin menjadi model pula kepada kerajaan negeri yang lain.

Jika ianya buruk dan membawa implikasi yang buruk, maka rakyat berhak menentukan keputusannya dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.




Tiada ulasan: