Karpal ahli politik hebat – TG Nik Aziz
- Apr 17, 2014
- RIZAL TAHIR
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mendiang seorang ahli politik yang hebat memperjuangkan keadilan untuk rakyat.
Katanya, Karpal seorang pemimpin yang dihormati orang ramai kerana kepakarannya dalam bidang perundangan.
“Mendiang memahami perundangan negara dan perlembagaan sebab itulah beliau bermati-matian mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.
“Sebaliknya Umno yang mengaku Islam pula menghantar surat kepada saya melarang melaksanakan hudud di Kelantan selepas diluluskan pada 1993.
“Surat amaran itu meminta jangan laksana hudud di Kelantan dan kalau buat juga akan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.
Karpal terbabit dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara Selatan laluan utara dekat Kampar awal pagi tadi.
Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantu peribadinya, Michael Cornelius Selvam Vellu, manakala anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut melahirkan rasa sedih di atas kemalangan tragis menimpa pemimpin kanan DAP itu.
“Saya berharap anggota keluarganya bersabar. Mati sesuatu yang wajib bagi setiap manusia. Yang menghidupkan juga Allah,” ujarnya.
Sementara itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob turut merakam ucapan takziah di atas kepada keluarga mendiang.
Katanya, kematian tokoh tersebut suatu kehilangan besar kepada negara kerana kepakaran dalam bidang perundangan.
Catuan air dijangka hingga hujung April - Exco
- Apr 17, 2014
- HARAKAHDAILY
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata perkembangan setakat ini memberi gambaran kaedah terbabit perlu dijalankan bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi, lapor Selangor Kini.
Katanya, hujan yang mula turun sejak beberapa hari lalu memberi reaksi positif terhadap perubahan dengan jangkaan mencapai sasaran 55 peratus bacaan paras air di empangan mampu dicatat dalam masa terdekat.
“Dimaklumkan, di empangan Sungai Selangor iaitu empangan yang menjadi sumber 60 peratus di kawasan keperluan air di Selangor sudah mula hujan semalam.
“Semalam, bacaan pada paras 37.79 meter. Saya harap hari ini (semalam) lebih kerana kita juga membuat pembenihan awan. Kita masih lagi di paras berhati-hati seperti dimaklumkan Menteri Besar iaitu bila capai 55 peratus akan hentikan catuan air,” katanya kepada Selangor Kini, di Shah Alam semalam.
Yunus berkata, keadaan catuan itu dijangka sehingga penghujung April ini jika hujan berterusan seperti sedia kala dan menegaskan masalah bekalan air tidak hanya berlaku di Selangor, tetapi turut dihadapi beberapa negeri lain.
Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Keempat, berkuatkuasa 4 April lalu.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memaklumkan pelan itu dilaksanakan serentak dengan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga yang dilanjutkan, sehingga 30 April ini.
Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi yang ditutup akibat pencemaran ammonia, beroperasi semula selepas paras kandungan bahan itu berkurangan ke tahap yang dibenarkan Kementerian Kesihatan.
Yunus berkata, kerajaan negeri mengharapkan kerjasama orang ramai supaya menggunakan air secara berhemah mengikut keperluan harian.
“Kita sarankan supaya mereka berjimat cermat dalam penggunaan air supaua tempat penting seperti masjid, sekolah dan beberapa tempat yang perlukan air diharap tidak terputus bekalan,” katanya.
MH370: Sampel tumpahan minyak dibawa ke Perth untuk analisis
- Apr 17, 2014
- NIK NURFAQIH NIK WIL
Pusat Penyelaran Agensi Bersama (JACC) yang mengawasi operasi pencarian pesawat MAS penerbangan MH370 yang memasuki hari ke-41 pada Khamis, berkata butiran dan hasil analisis akan diumumkan apabila terdapat maklumat.
Pada Isnin, Ketua penyelaras JACC Marsyal Udara (B) Angus Houston memberitahu sidang media bahawa tumpahan minyak telah dikesan kira-kira 5,500 meter di sekitar 'ping' telah dikesan alat pengesan pinger yang ditunda Shield Ocean.
Tumpahan minyak seberat dua liter itu dikutip sebagai sampel.
Dalam satu kenyataan, JACC berkata kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21, sehingga pagi Khamis telah mencari kira-kira 90 kilometer persegi dan data daripada misi terbarunya sedang dianalisis.
"Semalaman, AUV Bluefin-21 menyiapkan misi penuh dalam kawasan pencarian dan ia sedang merancang untuk misi seterusnya," menurut kenyataan itu.
Data yang dikumpul dari dua misi sebelum ini tidak menemui sebarang Maklumat.
Bluefin-21 dilengkapi sistem pengesan sonar menggunakan bunyi akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut, dihantar untuk membantu mengesan sebarang serpihan pesawat berkenaan.
Ia diturunkan dari kapal Ocean Shield dalam misi sulungnya ke kawasan 40 kilometer persegi bagi meneruskan misi pencarian MH370 di dasar laut, memandangkan tiada isyarat sah dikesan oleh alat pengesan pinger yang ditunda sejak 8 April lepas.
Menurut kenyataan itu, operasi pencarian pada Khamis membabitkan 10 pesawat tentera, dua pesawat komersial dan 11 kapal.
Menurut JACC Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah merancang pencarian visual meliputi kawasan seluas kira-kira 40,349 kilometer persegi merentasi 2,170 kilometer persegi ke barat laut Perth.
"Ramalan cuaca hari ini, hujan sekejap-kejap dengan tiupan angin timur selatan," katanya.
Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.
Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai 'koridor selatan' dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
Karpal Singh: Perginya tokoh politik yang berprinsip
- Apr 17, 2014
- TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.
Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.
Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis.
Dalam kehangatan dunia politik pada hari ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.
Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali.
Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Bertarikh: 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M
PKR rakam takziah kepada keluarga Karpal
- Apr 17, 2014
- HARAKAHDAILY
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucap takziah kepada keluarga mendiang.
“Takziah kepada waris dan keluarga mendiang Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Seorang yang kita kenali sebagai pejuang keadilan yang meletakkan dirinya sepenuhnya membela rakyat. Moga keluarga tabah dan sabar dengan dugaan. Malaysia kehilangan seorang lagi pejuang rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kerana Karpal menjadi inspirasi buat beliau dalam memperjuangkan keadilan.
Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa pula menyifatkan kehilangan mendiang sebagai tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.
Dalam pada itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam kenyataan medianya merakamkan takziah buat keluarga Karpal Singh.
"PKR turut memanjangkan ucapan takziah kepada rakan-rakan seperjuangan dalam DAP yang kehilangan seorang pemimpin hebat, disayangi kawan dan disegani lawan.
"Semoga jasa Karpal sebagai pejuang hak asasi, peguam yang sentiasa mempertahankan Perlembagaan, dan pemimpin yang berprinsip dan berintegriti sentiasa menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus melakukan perubahan demi Malaysia yang lebih baik dan lebih adil untuk semua," ujar Fahmi mewakili PKR.
Hormati jenazah, tunjukkan akhlak Islam
- Apr 17, 2014
- DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Maksudnya: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Inilah ketinggian akhlak dan budi yang menjadikan Islam itu dihormati. Kegagalan untuk menampilkan akhlak yang baik inilah yang menimbulkan prasangka manusia terhadap Islam dan sekaligus mereka membenci penganutnya.
Seseorang non-muslim yang menolak sesuatu berkaitan Islam hendaklah diselidiki apakah dia membenci Islam ataupun dia membenci versi atau tafsiran Islam yang dibawa oleh pihak tertentu.
Persis seperti seorang muslim yang menolak cakap seseorang tokoh agama, apakah dia menolak Islam ataupun menolak pendekatan yang dibawa oleh tokoh berkenaan.
Jika seseorang memusuhi agama Islam itu sendiri maka dia memanglah musuh Islam.
Itupun memerlukan ‘iqamah al-Hujjah’ yang bererti penjelasan mengenai Islam yang kukuh dan penuh hujah yang jitu telah dibentangkan kepadanya.
Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukanlah semestinya dia membenci Islam.
Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun atas nama akhlak Islam yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya. Semoga Allah memberikan gantian dan keadaan yang lebih baik untuk mereka.
Islam ini kebaikannya untuk semua.
SMS hasutan kaitkan Pemuda PAS hina jenazah Karpal palsu
- Apr 17, 2014
- AHMAD TAJDID
SMS biadap dan menyalahi akhlak Islam itu mendakwa kononnya Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat akan melakukan upacara terkutuk terhadap jenazah mendiang Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Menurut Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaei Ismail (gambar), SMS itu satu fitnah apatah lagi Suhaizan tidak berada dalam negara kerana menunaikan umrah.
"Saya mendapat maklum penyebaran SMS hasutan atas nama Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS yang akan melakukan upacara terkutuk terhadap mendiang Karpal Singh.
"Ianya satu fitnah dan satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.
"Buat masa sekarang Ketua Pemuda PAS sedang menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Madinah. Harap maklum," kenyataan ringkas Nasaei dipetik.
PAS rakam takziah buat keluarga Karpal
- Apr 17, 2014
- HARAKAHDAILY
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mendiang adalah seorang yang sangat cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam apa jua urusan yang diperjuangkan.
"Saya bagi mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin meyampaikan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mendiang.
"Mendiang adalah seorang bapa, kawan, ahli politik veteran dan seorang peguam yang tidak berhenti dari memperjuangkan keadilan dan prinsip rule of law itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau turut berharap ahli keluarga mendiang dan kepimpinan DAP dapat terus bersabar dengan ujian yang berat seperti ini.
Karpal, 74, yang juga Pemimpin veteran DAP maut dalam satu kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi.
Pembantunya, Michael Cornelius turut terkorban manakala anaknya Ram Karpal dilaporkan cedera parah.
Menurut laporan, kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat di kilometer 301.6 arah Utara.
Ekoran itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
Karpal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.
Karpal baru sahaja meletakkan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP akibat mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan yang menghalang beliau memegang jawatan setelah disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mac lalu.
Beliau meninggalkan seorang balu dan lima orang anak termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz rakam takziah kepada Karpal Singh dan sindir Tun Mahathir
Posted on Thursday, April 17 @ 12:02:28 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
Tuan Guru Nik Abdul Aziz merakam rasa sedih dan mengucap takziah apabila ditunjukkan gambar kemalangan yang melibat bekas Pengerusi DAP, YB Karpal Singh.
Pada kesempatan ini TGNA sempat juga menyindir Tun Mahathir kerana membantah undang-undang hudud semasa dibentang di Kelantan dulu. TGNA mengharapkan orang Islam yang mengahalang hudud berkenaan bertaubat sebelum terlambat.
Petikan ucapan beliau dipetik daripada facebooknya adalah seperti berikut:-
Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli ParlimenJelutong(sebetulnya P051 Bukit Gelugor YB menang dengan majoriti 41,778 undi) yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.
Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.
Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis.
Dalam kehangatan dunia politik pada hari ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.
Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali.
Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Bertarikh : 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan