Jumaat, 11 April 2014

MANUSIA TAK TAKUT NERAKA KERANA JAHIL AGAMA....TIDAK PERCAYA NERAKA DARI SEGI PERBUATAN....LISAN DAN HATI PERCAYA....PERBUATAN AMALAN2 AHLI NERAKA


Senarai kesebelasan utama terbaik Bosnia dan Herzegovina semasa siri kempen kelayakan Piala Dunia 2014
BOSNIA dan Herzegovina, negara yang boleh dikenali dengan latar belakang sejarah yang tersendiri. Negara yang juga dikenali dengan penduduk atau etnik beragama Islam, juga dikenali dengan tempat-tempat menarik seperti air terjun Kravice dan Tunel Spasa(Terowong Harapan).
Berdasarkan faktor perjalanan sejarah negara itu, mungkin kita dapat menilai ciri-ciri penduduk negara Bosnia dan Herzegovina.
Tahun 2014 adalah tahun pencapaian gemilang buat negara ini, kembali layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil seolah-olah memberi pulangan besar buat pasukan bola sepak negara ini.
Dilengkapi beberapa nama besar dunia dan semangat kerjasama pasukan yang tinggi, siri Kelayakan Piala Dunia 2014 ditempuhi dengan agak mudah.
Bermula dengan perlawanan pertama menentang Liechteinsten memberi petanda awal tentang kehebatan pasukan negara Islam ini setelah membenam Liechteinsten dengan keputusan 8-1.
Tiga gol dijaringkan penyerang Manchester City, Edin Dzeko dan Vedad Ibisevic manakala pasangan penyerang Edin Dzeko dan midfielder,  Zvjezdan Misimovic dengan dua gol.
Siri diteruskan dengan turun bertandang menentang Latvia berkesudahan kemenangan besar 4-1 hasil jaringan Edin Dzeko, Misimovic dan midfielder berpengaruh A.S Roma, Pjanic.
Siri kelayakan Piala Dunia 2014 yang dihadapi Bosnia dan Herzegovina adalah satu siri kempen yang cukup membanggakan dengan hanya mencicirkan mata pada pertemuan menentang Slovakia apabila tewas 0-1 dan Greece seri tanpa jaringan.
Dalam siri kelayakan Piala Dunia 2014, Bosnia dan Herzegovina hanya dicabar dua negara jiran mereka iaitu Slovakia dan Greece. Slovakia yang turut dilengkapi pemain taraf tinggi seperti Martin Skrtel, pertahanan tengah Liverpool juga Greece (yang digelar ‘unpredictable team’ setelah menjulang Piala Eropah 2004) jelas bukan saingan sebenar untuk Bosnia dan Herzegovina.
 Ketua pasukan Zvjezdan Misimovic nadi utama Bosnia dan Herzegovina.
Bosnia dan Herzegovina turut dilengkapi ramai pemain dunia seperti duo penyerang mereka; Edin Dzeko dan Vedad Ibisevic. Masing-masing bermain untuk Manchester City dan Stuttgart.
Edin Dzeko yang mencatatkan 10 gol dalam 10 perlawanan manakala Vedad Ibisevic menjaringkan 8 gol dalam 10 perlawanan, memberi impak positif tentang ulasan yang wajar diberikan kepada duo penyerang ini.
Bahagian tengah juga merupakan elemen penting dalam pasukan dengan Zvjezdan Misimovic menggalas tugas untuk menggerakkan jentera pasukan negara Islam ini.
Pemain Dinamo Kiev ini menjaringkan 5 gol dalam 9 penampilan juga berkemungkinan diturunkan bersama pemain AS Roma, Miralem Pjanic yang menyumbat 3 gol dalam 8 perlawanan.
Bagi ruang pertahanan pula, pemain Bayer Leverkusen, Emir Spahic menjadi sandaran. Pemain berjersi nombor 5 ini menarik perhatian pada siri kelayakan dengan membuat 10 penampilan di samping Senad Lulic pemain Lazio yang turut menyerlah pada 9 penampilannya di siri kelayakan.
Begovic perlu kental selaku penentu nasib dan pertahanan terakhir pasukan.
Asmir Begovic pastinya ditugaskan sebagai penjaga gawang atau penentu nasib terakhir pasukan sama ada baik atau sebaliknya. Penjaga gol berpengalaman ini menjadi kebanggaan di Stoke City dan tidak mustahil turut menjadi kebanggaan penduduk Bosnia dan Herzegovina di Piala Dunia 2014, Brazil.
Bosnia dan Herzegovina di letakkan sebagai pilihan kedua juara kumpulan selepas Argentina, disamping Iran dan Nigeria. Dua negara Islam diundi dalam kumpulan F ini.
Pastinya keinginan kita untuk melihat kedua-dua pasukan ini beraksi dan mencapai sasaran masing-masing. Membuka mata masyarakat dunia tentang kebolehan negara-negara Islam dalam arena sukan paling diminati ramai ini.
Perlawanan pertama Bosnia dan Herzegovina menentang pilihan pertama kejuaraan kumpulan dan antara pilihan kejuaraan siri Piala Dunia kali ini pada 15 Jun 2014 dan perlawanan kedua menentang Nigeria pada 21 Jun 2014.
Persefahaman dan kemahiran individu pemain-pemain pasukan Bosnia dan Herzegovina perlu diperkukuhkan. Biarpun tewas dalam perlawanan persahabatan menentang Mesir 0-2 tetapi bukan satu batu ukuran untuk menilai kemampuan pasukan ini.
Kekalahan memberi motivasi untuk memperbaiki kelemahan juga membantu terhadap persediaan taktikal dan fizikal menjelan Piala Dunia 2014 di Brazil.
Mengikut pada kumpulan F berdasarkan kedudukan atau ranking dunia, Bosnia dan Herzegovina di kedudukan ke-16, Argentina (3), Iran (49) dan Nigeria (33).
Jelas ramalan untuk Bosnia dan Herzegovina sebagai naib juara kumpulan mungkin ada benarnya, tetapi keputusan padang berbeza dengan keputusan di atas kertas.
Semoga pasukan negara Islam ini akan memberikan impak luar biasa dalam Piala Dunia 2014 biarpun dari keputusan mahupun corak permainan di samping moral dan semangat yang tinggi.
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan penganjuran satu lagi acara hiburan liar Topless Friday Beach Party yang dijadualkan berlangsung di The Pool, Jalan Ampang malam esok.

“Di samping iklan yang diedarkan cukup provokatif, program seperti ini tidak mencerminkan etika dan norma masyarakat timur yang santun dan berbudaya sopan,” ujar Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi kepada Harakahdaily.

Katanya, di kala masyarakat masih bersedih dan terkejut dengan kejadian kehilangan pesawat MH 370 serta kes kematian pengunjung konsert liar Future Music Festival Asia di Bukit Jalil yang masih di dalam siasatan, masih ada penganjur yang kurang keinsafan dan sanggup menganjurkan program-program liar dan biadap seperti itu.

Justeru, beliau bertanya apa faedahnya acara liar seperti itu selain dari menyebabkan lebih banyak masalah sosial dan insiden keselamatan akan berlaku.

Beliau berkata, seperti di dalam kes konsert liar di Bukit Jalil tempoh hari, penggunaan arak secara berlebihan dan penyalahgunaan dadah begitu meluas.

“Walaupun selepas desakan PAS dan NGO ianya telah dibatalkan apa jaminannya program seperti ini tidak berulang.

“Sampai bila kerajaan hanya akan mengambil tindakan selepas berlaku bantahan rakyat,” ujarnya lagi.

Sesungguhnya, jelas beliau kemungkaran seperti itu cuma akan mengundang murka Allah SWT dan akan menjadi penyebab kepada lebih banyak dugaan dan masalah menimpa negara dan masyarakat.

Menurutnya, Pemuda PAS akan menghantar memorandum sebagai teguran kepada pihak kerajaan atas kelekaan membiarkan penganjuran program hedonis seperti itu.

“Pada masa yang sama, kita menggesa pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, pihak polis dan Jabaran Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk tuntas menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas termasuklah tindakan menarik lesen operator sebagai ingatan kepada semua pihak untuk tidak menjalankan program-program seperti ini,” katanya.

KUALA LUMPUR: Selepas dikecam oleh ahli-ahli parlimen BN sendiri sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini tampil membuat permohonan maaf.

Beliau mengambil kesempatan berbuat demikian sebelum menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat hari ini.

Junaidi menjelaskan, kenyataan beliau agar resort di pulau terpencil ditutup, sebenarnya telah diputar belit oleh wartawan sebuah akhbar yang menghubungi beliau.

"Rangkap saya sedemikian ialah: If I can have my way, all the isolated resort in the red area zone ought to be closed. But we cannot. For reason it is a peak, tourisme infrastructure. And the resort operator, must contribute to the safety of their resort.

“Ini yang saya kata tetapi first part yang banyak dipakai, tengok dalam blog, tengok dalam NST online, tengok dalam tu. Tapi tak pa, nak baca surat khabar, sahaja, ia dicakap sedemikian rupa," kata beliau sambil menambah kenyataan itu dibuatnya hanya melalui telefon.

"Saya tak ada masalah, saya mintak maaf kepada orang Sabah atas interpretasi dalam surat khabar dan bukan dari saya sendiri.

"Saya terbuka dan tak ambil hati," kata beliau.

Isnin lalu, ketika Dewan Rakyat membahaskan usul penambaikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), beberapa ahli parlimen BN dari Sabah menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan Junaidi itu.

Antaranya Datuk Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) yang mendesak Junaidi memohon maaf, dan jika tidak beliau perlu meletak jawatan.

Usul tersebut dikemukakan Stephen Wong Tian Fatt (DAP-Sandakan) di bawah peraturan 18(1) berikutan insiden penculikan dua individu termasuk seorang seorang pelancong China di Singamata Adventures and Reef Resort, di pantai Semporna.
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS agar beramai-ramai melakukan solat hajat atas kes perbicaraan perintah ingkar mahkamah yang akan dijalankan pada 14 April ini setelah kes yang sepatutnya dibicarakan pada 30 Mac lalu ditangguhkan.

“Sila sebarkan makluman ini dan sama-samalah kita berdoa agar Tuan Guru Presiden akan diselamatkan oleh cubaan dari pihak-pihak yang ingin memalukan dan menjatuhkan imej Tuan Guru,” tulisnya menerusi facebook.

Beliau juga melahirkan rasa simpati yang teramat kepada seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana arahan penasihat parti mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didengari dan ditaati oleh ahli dan cabang PKR sendiri sehinggakan DSAI mula dianggap berbohong.

“Alhamdulillah tarbiyyah yang sering kita adakan walaupun dipandang sebagai langkah yang tidak perlu, membuktikan ahli-ahli PAS dididik supaya taat kepada pimpinan dalam perkara kebaikan seperti ini,” ujarnya yang juga Adun Bukit Payong, Marang.

Menurutnya, Tuan Guru dan PAS secara keseluruhannya tidak pernah merayu dan menagih simpati mana-mana pihak agar dihapuskan saman ini kerana sememangnya Tuan Guru Presiden tidak bersalah dalam hal ini.

“Ini kerana beliau tidak pernah membuat tuduhan kepada sesiapa secara khusus malah tidak pernah menyebut nama sesiapapun dalam ceramah beliau di Kampung Tebakang semasa kejadian,” tulisnya lagi.

Oleh itu, katanya saranan meminta maaf kepada individu-individu tertentu dalam isu ini, adalah jauh dari kewarasan berfikir seorang insan yang normal.

Baginya, kes ini sangat mudah untuk diselesaikan tetapi ada pihak-pihak yang berkepentingan cuba menangguk di air yang keruh.

Tambahnya, jika dilihat seseorang dari parti yang lain yang turut dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai orang yang dimaksudkan oleh Tuan Guru dalam ceramahnya itu, tidak pernah kedengaran untuk menyaman Tuan Guru kerana pastinyalah dia berfikiran waras disebabkan Tuan Guru tidak pernah menyebut namanya dan pastinya dia tidak terasa kalau dia bukan pelakunya.

“Oleh itu sekali lagi saya menyeru agar dilakukan solat hajat di masjid-masjid, surau-surau, markas-markas ataupun juga di rumah-rumah agar kejahatan niat orang yang berniat jahat dapat dipatahkan dengan kehendak Allah,” katanya lagi.
JAKARTA: Proses pengundian lebih singkat dan tempoh bertenang yang dilanjutkan sehingga kepada tiga hari mungkin diperkenalkan dalam sistem pilihan raya Malaysia pada masa akan datang.
  
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar)  berkata suruhanjaya berkenaan sedia mengkaji dan memperkenal peraturan baharu itu jika terbukti dapat menjadikan sistem pilihan raya di Malaysia lebih efektif.
  
"Kedua-dua perkara ini adalah peraturan yang boleh dipinda tanpa perlu meminda (perkara-perkara berkaitan pilihan raya) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa tempat pengundian di sini, sempena Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014 pada Rabu.
  
Mengenai proses pengundian lebih singkat, Abdul Aziz berkata tempoh yang mungkin diperkenal di Malaysia adalah dari 8 pagi hingga 3 petang berbanding 8 pagi hingga 5 petang seperti yang dipraktik sekarang.
  
"Berdasarkan pengalaman, selepas pukul 3 petang peratusan yang keluar mengundi menurun sehingga dua peratus sehingga tamat proses pengundian... pada saya tempoh yang ideal (proses pengundian) adalah tujuh jam.

"Peraturan ini (proses pengundian singkat) telah pun kita perkenalkan di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang mana jumlah pengundi tidak terlalu ramai," katanya.
  
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata daripada pemerhatiannya, tempoh bertenang selama tiga hari seperti yang diamalkan pada Pemilu Indonesia, sangat berkesan termasuk dapat mengelak penyokong parti politik terus berkempen selepas tamat tempohnya.
  
Beliau juga mendapati kaedah itu berjaya mendisiplinkan parti bertanding dan penyokong sehingga mewujudkan tempoh bertenang dalam erti kata sebenar.
  
Malah, beliau berkata pengundi juga 'lebih tenang' dalam memilih calon kerana diberikan tempoh yang mencukupi sebelum membuat pertimbangan mereka.
  
Abdul Aziz berkata pada masa ini di Malaysia, tempoh bertenang bermula dari 12 tengah malam hari terakhir kempen sehingga ke tempoh pengumuman calon yang menang.

"Di Malaysia, tiada yang mahu mengikut peraturan tempoh bertenang yang ditetapkan SPR. Walaupun dilarang, pada hari mengundi masih ada yang mengambil kesempatan meraih serta merayu undi," katanya.
  
Sementara itu, beliau berkata SPR yang mendapat penghormatan menjadi tetamu rakan setugasnya di Indonesia, Komisi Pemilihan Umum (KPU), memuji perjalanan pilihan raya umum di negara ini yang disifatkannya dilaksanakan dalam keadaan 'tertib dan hormat'.
  
Hubungan akrab SPR dan KPU telah berlangsung sejak lama, katanya sambil menambah bahawa SPR juga mengundang KPU menyaksikan proses pilihan raya umum ke-13 di Malaysia pada tahun lepas.
  
Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian di sekitar Jakarta Pusat dan Jakarta Selatan mendapati proses yang melibatkan kira-kira 400 pengundi di setiap pusat pengundian itu berjalan lancar tanpa insiden kekecohan.
  
Lebih 500,000 pusat mengundi di seluruh Indonesia yang dibuka sejak 7 pagi telah ditutup pada 1 tengah hari tadi.
  
Pada pemilihan umum ke-11 Indonesia ini, sebanyak 185.5 juta pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat bagi menduduki 560 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Indonesia.
  
Rakyat Indonesia juga secara serentak akan memilih lebih 18,000 anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Tingkat I dan Tingkat II (ahli majlis tempatan) di semua 33 provinsi atau wilayah. - Bernama
MUQADDIMAH

“Isk! Haram! Dalam Islam, mana ada cukai…”

Demikianlah mungkin gambaran kasar mengenai kefahaman umum umat Islam terhadap cukai. Benarkah demikian? Apakah status sebenar cukai di sisi Islam? Apakah dalam Islam memang tiada system cukai yang diaplikasikan? Apakah pada zaman dahulu, khususnya zaman Rasulullah SAW dan khulafak ar-Rasyidin memang tiada perlaksanaan sebarang system percukaian ini?

Hakikatnya, isu ini sering menjadi bahan perdebatan yang agak panas dalam kalangan masyarakat awam, justeru umumnya umat Islam memang menyatakan bahawa Islam memang tidak meraikan cukai untuk dikenakan ke atas orang-orang Islam. Pandangan ini bukanlah sebuah omongan kosong, justeru memang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW, misalnya sebuah hadis daripada Imam Ahmad di dalam musnadnya yang menyatakan: “Pengutip cukai berada di dalam neraka.”

Mafhum daripada hadis ini, menurut fuqaha jelas mengindikasi dan menunjukkan bahawa cukai itu adalah HARAM hukumnya di sisi Islam, kerana hanya dengan melakukan perkara yang haram sahajalah maka seseorang itu bisa terjebak ke dalam neraka. Maka, pastilah mengutip dan membayar cukai adalah haram di sisi Islam.

DEFINISI CUKAI

Cukai disebut dalam bahasa arab antaranya dharibah, yang pada asasnya bermakna ‘beban’ atau ‘yang ditimpakan.’ Allah SWT menyatakan kalimah ini pada ayat 61 surah al-Baqarah yang maksudnya: “Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.”

Dalam definisi yang dikehendaki oleh pemakaian sehari-hari: “Bayaran (bea, sumbangan) yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan (perbadanan, syarikat, barang-barang, dll) utk perbelanjaan negara dll.” (Kamus Dewan Edisi 4)

Mudahnya cukai bermaksud: ‘Sejumlah bayaran yang perlu diserahkan kepada pihak kerajaan atas perintah kerajaan untuk kegunaan negara.’

BAGAIMANA APLIKASI CUKAI ZAMAN RASULULLAH SAW DAN SAHABAT?

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW telah pun menerima sistem cukai ini, iaitu jizyah (cukai individu) dan kharaj (cukai tanah) yang berbentuk cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang mendapat perlindungan di dalam negara Islam (disebut kafir zimmi). Namun begitu, zaman dahulu segala cukai ini tidak dikenakan kepada orang-orang Islam, sebaliknya ia hanya dikenakan kepada golongan non-muslim, sama ada mereka termasuk golongan kafir zimmi mahu pun mereka yang tunduk kepada kekuasaan Islam.

Kenapa demikian? Hal ini kerana, bagi orang Islam sudah ada sistem zakat yang bersifat perintah tetap. Zakat dikenakan kepada orang-orang kaya berdasarkan harta-harta tertentu dengan jumlah atau kadar yang tertentu. Manakala bagi non muslim, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; namun mereka hakikatnya mendapat pelbagai kebaikan kerana berada di dalam naungan Islam. Maka, mereka diminta menunaikan cukai.

Cukai-cukai ini sebenarnya, menjadi sebahagian daripada mekanisme menambah pendapatan negara demi kebaikan seluruh rakyat. Zaman dahulu, semua sumber harta yang diperoleh oleh kerajaan akan dimasukkan ke dalam Baitul Mal dan kemudiannya akan diagih-agihkan kembali untuk kegunaan negara. Cukai ini hakikatnya seiring dengan zakat yang dikenakan ke atas umat Islam. Kadarnya juga tidak banyak bezanya dengan zakat (namun ia tidak tetap), yakni tidak sampai membebankan.

Di dalam kitab Al-Amwal oleh Abu Ubaid, beliau meriwayatkan daripada az-Zuhri yang mengatakan: “Rasulullah SAW menerima jizyah daripada orang Majusi Bahrain.” Az-Zuhri menambah lagi: “Siapa sahaja di antara mereka yang memeluk Islam, maka keislamannya diterima, dan keselamatan diri dan hartanya akan dilindungi melainkan tanah. Kerana tanah tersebut adalah tanah fai’ (rampasan) bagi kaum muslimin, kerana orang itu tidak menyerah diri sejak awal, sehinggalah dia terlindungi.” Maksudnya sehingga mereka di lindungi oleh kaum Muslimin.

BEBERAPA JENIS CUKAI DALAM KERAJAAN ISLAM

1. JIZYAH
- Bermakna cukai ke atas individu (atau cukai per orang) bagi setiap individu non-muslim yang mendiami negara Islam. Mulai diperkenalkan semasa nabi SAW masih ada. Penduduk Tabuh pernah membayar jizyah satu dinar seorang pada setiap tahun kepada Rasulullah SAW.

2. KHARAJ
- Bermakna cukai ke atas tanah yang dimiliki oleh Negara Islam dan diusahakan oleh non-muslim. Ia juga diperkenalkan semasa Nabi SAW masih ada. Kadarnya sekitar 5 peratus dan boleh berubah mengikut pertimbangan pemerintah.

3. USYUR
- Bermaka cukai ke atas kapal-kapal yang dimiliki oleh pedagang non-muslim yang datang berlabuh dan menjalankan perdagangan di Negara Islam. Ia mulai diperkenalkan pada zaman pemerintah Umar al-Khattab RA. Kadarnya pula 10 peratus bagi negara musuh yang berdagang dan 5 peratus bagi kafir zimmi.

4. DHARIBAH
- Bermakna sejenis cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada umat Islam yang kaya saat negara berada dalam keadaan gawat (darurat) dan pada ketika itu sumber di Baitul Mal juga sudah kering, hukumnya wajib bagi rakyat menunaikannya. Kadarnya pula ditetapkan oleh pihak kerajaan sesuai dengan keperluan.

ADAKAH ZAKAT JUGA SATU BENTUK CUKAI?

Zakat adalah rukun Islam. Ia adalah ketetapan yang mutlak (qatie). Cukai pula perkara baharu, ia mendatang sifatnya dan hanya bersifat ijtihadi. Zaman dahulu, umat Islam hanya diwajibkan menunaikan zakat, tidak diwajibkan membayar cukai. Manakala, orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; maka mereka dikenakan cukai.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (al-Baqarah: 277)

Oleh itu, interaksi umat Islam dan zakat adalah amat intim perkaitannya. Tidak sempurna keislaman seseorang tanpa menerima adanya zakat. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada kekufuran di sisi Allah SWT. Orang yang kufur atau murtad, wajib kembali kepada Islam, menerima kefarduan zakat dan tunduk patuh kepada hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah SWT.

Di samping itu, tindakan segelintir manusia yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga merupakan suatu kesalahan. Zaman silam, seperti mana pernah dikupas di dalam kitab tafsir, ada orang Islam yang telah menyamakan zakat sebagai cukai dan akibatnya mereka dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Maka, keimanan seseorang muslim itu tertakluk kepada keimanannya kepada zakat. Zakat mesti diyakini, difahami dan diamalkan. Tanpa zakat, seluruh keimanannya akan tertolak. Inilah ketinggian zakat di sisi umat Islam.

Atas nama menjaga ketinggian itu jugalah, Abu Bakar as-Siddiq pernah bertegas dalam hal ini saat mendepani sikap segelintir umat Islam yang enggan menyerahkan zakat kepadanya setelah kewafatan Rasulullah. Kata Abu Bakar: “Akan aku perangi orang-orang yang enggan menyerahkan zakatnya kepadaku, sebagaimana dahulunya mereka menyerahkan zakat kepada Rasulullah SAW.”

APAKAH HUKUM MENGAMBIL CUKAI DARIPADA ORANG ISLAM?

Asasnya dalam Islam, mengambil harta mestilah dengan izin, sesuai dengan sabda Nabi SAW di saat haji wada’: “Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Maka, fuqaha menyatakan tidak boleh mengambil harta umat Islam, melainkan di sana adanya satu keperluan yang mendesak sahaja. Itulah yang disebutkan sebagai dharibah di sisi Islam.

Fuqaha seperti al-Qurtubi, al-Ghazzali dan al-Suaitibi menyatakan, hanya dharibah yang boleh dikenakan kepada orang Islam, selain daripada itu tidak dibenarkan.

BAGAIMANA ZAKAT DAN CUKAI BERINTERAKSI PADA HARI INI?

Mutakhir ini, umat Islam di Malaysia dikenakan kedua-duanya, sama ada zakat mahupun cukai pendapatan; juga zakat perniagaan mahu pun cukai perniagaan. Maka, bijaksanalah dalam meraikan kedua-dua keperluan ini. Misalnya, manfaatkanlah rebat cukai pendapatan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan, dengan menunaikan zakat (sama ada zakat harta mahu pun zakat fitrah) dan selepas itu, cukai pendapatan dapat dikurangkan.

Manakala bagi para peniaga, potongan masih diberikan walaupun hanya sebatas 2.5 peratus atas pendapatan agregat syarikat yang dizakatkan, namun ia masih memberikan sedikit kelegaan. Mudah-mudahan, pihak kerajaan boleh memikirkan untuk meninggikan lagi jumlah rebat zakat perniagaan ke atas cukai perniagaan, kerana kondisinya agak membebankan umat Islam.

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): Individu muslim yang menunaikan bayaran yang wajib di sisi agama termasuklah zakat fitrah berhak mendapat rebat ke atas setiap pembayaran berkenaan ke atas cukai pendapatannya, dengan mengemukakan resit yang sah yang dikeluarkan oleh badan agama yang sah di sisi undang-undang pada tahun taksiran semasa.

Pelarasan PCB – SPG (Pekeliling Kerajaan 1 Jan 2001), kaedah-kaedah Cukai Pendapatan juga wajar dijadikan kesempatan yang bermanfaat untuk umat Islam menangani isu cukai.

KESIMPULAN

Rasionalnya, zakat tidak boleh dikenakan kepada golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai cukup syarat, iaitu mesti beragama Islam untuk menunaikan zakat. Namun, mereka tetap perlu memberikan sumbangan kepada negara melalui jizyah atau kharaj kepada pemerintah negara. Menurut Mohammad Assad di dalam bukunya ‘Islam at the Crossroads’, konsep zakat dan jizyah ini adalah sama, iaitu sebagai sumbangan kepada negara.

Perkembangan Negara Islam, khususnya pasca kewafatan Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq, amat memberangsangkan. Umar al-Khattab RA telah berjaya mengembangkan Islam sehingga ke luar perbatasan sempadan tanah Semenanjung Arab, dan menyaksikan banyak juga negara yang menerima ketuanan dan mengiktiraf Islam; tetapi mereka masih enggan memeluk Islam.

Maka, lahirlah beberapa jenis cukai lain dan pemerintah Islam meraikan perkembangan itu. Misalnya, cukai usyur telah diperkenalkan bagi mengutip cukai ke atas kapal-kapal milik pedagang bukan Islam yang menjalankan perniagaan di Negara Islam. Begitu juga dengan cukai kharaj yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam yang mengerjakan tanah atau pertanian, ia semakin meluas dilaksanakan.

Sekali imbas, pemerintah Islam yang bersifat adil itu mengenakan segala jenis cukai ini bukanlah dengan maksud untuk menekan golongan bukan Islam; sebaliknya untuk mengiktiraf sumbangan mereka dan pada masa yang sama, agar wujud keadilan di antara orang-orang Islam dan non-Muslim di dalam bernegara.

Cukai jizyah boleh dianggap seperti zakat pendapatan ke atas muslim, cukai usyur pula seperti zakat perniagaan dan cukai kharaj pula seakan-akan zakat pertanian. Mungkin dari aspek kadar yang dikenakan ada sedikit perbezaan; namun ia masih tidak membebankan.

Yang jelas, legasi dan kemampuan zakat ke atas umat Islam dan cukai kepada non-muslim dalam menjana negara dan umat sudah terbukti dalam lipatan sejarah Islam. Ia menjadi alat terpenting di dalam pembinaan sebuah negara, seperti mana kemakmuran Madinah dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman Turki Uthmaniyyah ribuan tahun lamanya.

*Artikel ini telah dibentangkan di Persidangan Zakat dan Cukai Kebangsaan, anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), pada 31 Disember 2013, Kuala Lumpur.

http://www.hamizul.com/

Tiada ulasan: