Bahan komoditi jadi tumpuan pendakwa
- Apr 14, 2014
- HARAKAHDAILY
Peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun ketika menyoal balas Mazlan mahukan pengesahan bahawa komoditi yang diperniagakan Felda Iffco dan Bunge berdasarkan invois adalah RBD Palm Olein dan bukannya minyak sawit mentah (MSM).
Mazlan menegaskan bahawa berdasarkan maklumat yang diterima, MSM dibawa ke pelabuhan Pasir Gudang untuk ditapis sebelum dieksport. Penjelasan beliau bagaimanapun dihalang Hafarizam yang mahukan beliau menjawab 'ya' atau 'tidak'.
Hafarizam turut mempersoalkan dakwaan bahawa destinasi komoditi yang dijual kepada Bunge adalah pelabuhan Ashdod, Israel sedangkan maklumat yang tertulis pada dokumen urusniaga adalah pelabuhan Adabiya, Mesir.
Malah menurut Hafarizam, tiada satu pun invois Felda Iffco yang dijadikan bahan bukti mahkamah menunjukkan destinasi komoditi adalah ke pelabuhan Israel.
Walaupun diasak peguam plaintif, Mazlan tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tiada minyak sawit mentah yang dijual kepada Israel melalui Bunge oleh Felda Iffco.
Malah beliau tidak bersetuju dengan cadangan Hafarizam bahawa Felda Iffco tiada kena mengena dengan Felda berdasarkan bukti invois.
Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menafikan cadangan peguam plaintif bahawa beliau gagal mengemukakan bukti dokumen penjualan MSM kepada Bunge sebagai bahan bukti mahkamah.
Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Lee Hen Chong.
Selain Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, turut dinamakan dalam writ saman Felda ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, wartawan Mohd Arif Atan, syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Defendan diwakili Mohamed Hanipa Maidin, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin manakala kumpulan peguam plaintif diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Pemimpin Muslim amanah, adil terbaik untuk semua
- Apr 14, 2014
- HAJI ADAM AHID
Ketua Menteri ialah satu jawatan ketua badan eksekutif bagi sebuah kerajaan. Ketua Menteri Sarawak dilantik oleh Yang Dipertua Negeri, atau dipilih dan mendapat kepercayaan daripada anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Datuk Stephen Kalong Ningkan (1920-1997) merupakan Ketua Menteri Sarawak yang pertama (22 Julai 1963- September 1966) selepas pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963. Beliau menang besar dalam Pilihan raya 1962 dan membolehkannya dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak pertama. Pada tahun 1963, jajahan-jajahan Britain di Asia Tenggara iaitu Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung untuk membentuk Malaysia.
Selepas itu disandang oleh Dato' Penghulu Tawi Sli (lahir 12 Jun 1912, meninggal dunia 1987) adalah Ketua Menteri kedua Sarawak dari suku kaum Dayak dan selepas itu disandang oleh Ketua Menteri Sarawak dari kaum bumiputera Muslim sejak tahun 1970 sehingga kini. Tiada isu perkauman dan isu keagamaan berlaku di Sarawak kerana masyarakat Sarawak lebih bersikap toleransi antara satu sama lain.
PAS Sarawak secara umumnya berpendapat bahawa sesiapa sahaja boleh dilantik sebagai Ketua Menteri asalkan ianya boleh diterima oleh semua golongan masyarakat tidak mengira bangsa dan warna kulit yang penting ianya berwibawa, jujur, amanah, tidak mementingkan diri sendiri dan adil kepada semua seperti mana yang disarankan dalam ajaran Islam.
Pada dasarnya PAS Sarawak lebih mengutamakan pilihan seorang Muslim tidak kira dari bangsa mana pun untuk menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak malah didalam perlembagaan Sarawak tidak menyatakan bangsa serta agama untuk layak memegang jawatan Ketua Menteri.
PAS Sarawak sebagai sebuah parti Islam yang menjunjung tinggi Al-Quran dan Al-Sunnah dan ajarannya yakin bahawa Islam lebih mementingkan ciri-ciri seorang pemimpin yang bertaqwa kerana ia bukan sahaja boleh mentadbir adil dan saksama malah amanah dalam menguruskan pembendaharaan negara serta menolak unsur-unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menindas rakyat.
Islam juga mengajar umatnya supaya memilih dan melantik seorang pemimpin yang adil untuk semua dan ini adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah, ini kerana pemimpin adalah merupakan khalifah Allah yang memimpin diatas muka bumi Allah ini.
Islam yang diperjuangkan dan diamalkan oleh PAS ialah Islam yang lengkap merangkumi semua perkara sama ada yang berkaitan dengan ibadah, politik, ekonomi, pendidikan, sosial, akhlak dan sebagainya. Ia bersumberkan Al-quran dan hadis. Risalah yang dibawa oleh PAS bukannya rekaan para pemimpin tetapi berdasarkan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sejarah sudah membuktikan bahawa pemimpin Muslim yang bertaqwa adalah berlaku adil untuk semua. Sebagai contoh kerajaan umat Muslim di Sepanyol telah berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi.
Di bawah pemerintahan Islam di Sepanyol itu, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan aman dan gemilang. Bahkan ‘The Golden Age of Jewish History’ adalah semasa pemerintahan Islam di Sepanyol.Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun (Moses Maimonides) menganggap bahawa pemerintahan Islam di Spain adalah ‘the golden age of freedom and tolerance’ untuk penganut Yahudi.
Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini adalah hakikat sejarah. Justeru itu, ramai penduduk Sepanyol menganut Islam secara suka rela tanpa sebarang paksaan kerana memaksa seseorang menganut Islam adalah salah dan menyanggahi asas arahan al-Quran.
PAS Sarawak yakin dengan sifat dan akhlak pemimpin seorang Muslim yang menjawat jawatan Ketua Menteri dapat menyatukan seluruh rakyat Sarawak yang berbilang bangsa, kaum dan agama agar hidup dalam suasana harmoni, saling hormat-menghormati antara satu sama lain serta dapat menikmati kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.
Pemimpin Muslim yang amanah, jujur dan adil untuk semua adalah lebih baik dari Muslim yang hanya ada pada nama tapi tidak melaksanakan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan hariannya.
Kepada yang bukan Muslim tidak perlu khuatir dan bimbang akan kepimpinan seorang Muslim yang amanah dan adil untuk menerajui negara ini, contoh terdekat seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menerajui Kelantan lebih dari 23 tahun tiada melakukan rasuah, tidak mengambil kesempatan mengumpul harta untuk kepentingan diri dan keluarga tapi lebih penting menjaga kebajikan rakyat.
Ciri-ciri kepimpinan macam inilah yang perlu ada pada seorang Ketua Menteri di Sarawak tanpa mengira bangsa dan fahaman ideologi. Seorang Ketua Menteri seharusnya bersikap adil untuk semua bukannya hanya mementingkan diri sendiri dan berpuak-puak saja, sikap rasis dan hanya pentingkan diri sendiri menyebabkan rakyat bosan dan benci dengan sikap seorang Ketua Menteri semacam itu.
Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Sarawak, kita mahu Ketua Menteri terus diterajui oleh seorang Muslim yang berwibawa, amanah, jujur dan adil untuk semua tanpa mengira keturunan dan warna kulit. Ajaran Islam lebih bersifat universal tanpa mengira bangsa dan islam melarang umatnya menindas penganut agama lain.
Sememangnya Islam sesuai untuk semua bangsa, ini bukan bermakna Islam memaksa penganut agama lain memeluk Islam. Hak Kebebasan beragama tetap terpelihara dan Islam menjamin penganutnya dan yang bukan Muslim supaya sentiasa hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni selalu. Jadi tiada alasan untuk mereka yang anti Islam untuk menakutkan penganut agama lain supaya takut dan benci dengan islam.
Slogan PAS Untuk Semua dan Rahmat Untuk Semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik memang sesuai dengan keadaan Sarawak yang mempunyai berbilang bangsa dan kepercayaan agama.
Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak.
Motif dedah urusniaga anak syarikat Felda-Israel dipersoal
- Apr 14, 2014
- HARAKAHDAILY
Mazlan, 48, ketika memberikan keterangan menafikan dakwaan peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun bahawa segala dakwaan urusniaga Felda dengan Israel yang dibuat Mazlan hanya semata-mata untuk meraih publisiti dan sokongan politik.
Hafarizam turut bertanyakan jawatan yang disandang Mazlan dalam PAS, undi yang diperolehinya bagi jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat semasa muktamar pemilihan dan kawasan yang ditandingi beliau pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.
Menyanggah dakwaan Hafarizam, Mazlan berkata isu berkaitan Felda telah diperjuangkan beliau sejak tahun 1990 (sebelum beliau menjawat jawatan penting dalam PAS).
Terdahulu daripada itu, Hakim Lee Hen Chong mengetepikan bantahan peguam defendan yang mempersoalkan relevansi beberapa dokumen pembelaan selepas mendengar penjelasan peguam defendan, William Leong dan Nasar Khan Mirbas Khan.
Mazlan ketika menjawab soalan peguam defendan berkata, pihak pengurusan Felda enggan menerima memorandum yang ingin disampaikan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dalam himpunan membantah urusniaga Felda dengan Israel pada 23 November 2012.
Perhimpunan yang dihadiri lebih 2000 orang itu, ujarnya diadakan bagi memohon penjelasan Felda berhubung dakwaan urusniaga anak syarikat Kumpulan Felda, Felda Iffco Oil Products Sdn Bhd dengan Bunge Agribusiness Singapore Ptd Ltd yang mempunyai kepentingan Israel.
Selain Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, turut dinamakan dalam writ saman Felda ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, wartawan Mohd Arif Atan, syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Defendan diwakili Mohamed Hanipa Maidin, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin manakala kumpulan peguam plaintif diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Perbicaraan bersambung di sebelah petang.
Baling, Tun Musa kena dua kali jawab
- Apr 14, 2014
- SUBKY LATIF
Seminggu sebelum perhimpunan itu berlangsung nama Tun Musa tiba-tiba timbul bersabit dengan peristiwa di Baling juga iaitu mengenai isu berdarah di Mamali yang menyebabkan 14 syahid termasuk Ibrahim Libya dan empat polis terkorban.
Beliau ditanya dalam Wacana di Kota Bharu di mana Perdana Menteri Mahathir pada hari kejadian itu? Jawabnya, dia belum berangkat ke Beijing lagi. Sekalipun Musa sebagai menteri yang meluluskan tindakan di Memali itu menasihatkan Mahathir lebih membatalkan kunjungan ke China bagi menangani isu Memali itu tetapi dia hendak ke China juga.
Berikut dengan jawapannya di Kota Bharu itu Tun Musa telah membuat kenyataan menerima tanggungjawab dan akauntabiliti peristiwa itu dan mengira peristiwa Memali itu menjadi titik hitam politiknya.
Dia sudah jawab tentang kebertanggungjawaban awalnya atas isu Memali itu.
Ketika ekoran jawapannya itu belum reda, himpunan tentang kejatuhan harga getah berlangsung di Baling sebagai yang dirancang. Jika demo 40 tahun dulu dikatakan penoreh di Baling, Sik dan kawasan sekitar ada yang makan ubi gadung, maka sekilo getah sekitar RM2 lebih sekarang mereka hendak makan apa?
Makan getah sajalah!
Maka Musa Hitam yang ada peranan meredakan demo Baling pertama atau Baling 1.0 dulu mungkin perlu menjawab sekali lagi kerana dia ada jawapan tentang hal itu ketika itu. Dengan demo Baling 2.0 itu, Musa mungkin perlu membuat dua jawapan tentang Baling dalam masa dua minggu.
Musa mungkin tidak mahu diingat sebagai orang politik lagi, tetapi dengan isu Baling dia ada peranan penting, jawapan daripadanya boleh membantu rakyat mendapat pencerahan atas isu politik yang penting pada zamannya dulu.
Jawapan yang kedua ini sedang ditunggu. Tun Musa masa itu adalah Menteri Perusdahaan Utama. Industeri getah termasuk dalam bidang tanggungjawabnya. Kejatuhan harga getah sudah berlajutan puluhan tahun sebelum dia jadi menteri itu. Dan pada masanya pula dikatakan ada penoreh mati makan ubi gadung.
Tiada orang politik kerajaan mampu mengendurkan kemarahan rakyat. Polis menasihatkan keselamatannya tidak terjamin jika dia turun menghadapi tunjuk perasaan orang kampung itu. Dia degil, sedia menemui mereka tanpa kawalan polis.
Di tengah kutuk dan maki hamun itu Musa menjawab semua yang dibantah keadanya dan syukur dia tidak diapa-apakan. Kemarahan rakyat itu dapat diredakan dengan rayuannya untuk melihat perkara yang dibangkitkan.
Dia keluar dengan program untuk mewujudkan stok penimbal getah. Jika skim itu berjaya nasib pekebun getah dapat dibela dan harga yang menasabah, mereka dijamin makan nasi. Tidak perlu lagi berulamkan ubi gadung.
Tidak diketahui apa jadi selepas itu? Adakah penoreh dapat hidup tanpa ubi gadung dan apa jadi pada stok penimbal itu. Tetapi perkembangan polilltik di Baling terus mendapat perhatian. Bukan sekadar orang miskin menghalang polis mengambil Ibrahim Lilbya, wakil rakyat Baling acap bertukar antara BN dan PAS.
Sekarang getah jatuh lagi. Di tengah semua harga barang naik, harga yang turun getah saja.
Tun Musa yang sudah bersara politik itu boleh memberi jawapan, mana tahu kalau ia dapat menyenangkan hati orang Baling dan penoreh di seluruh negara.
Apa tarikan istimewa Pemilu Indonesia?
- Apr 14, 2014
- AHMAD LUTFI OTHMAN
Selepas reformasi 1998, yang menyaksikan Suharto ditumbangkan dengan kuasa rakyat, republik itu melalui fasa-fasa perubahan - khususnya berkait kebebasan bersuara - yang mengkagumkan.
Sebagai wartawan, tentu sekali minat saya lebih tertumpu kepada faktor akses media buat calon-calon dan parti yang bertanding. Ketika tuntutan Bersih di Malaysia langsung tidak dipedulikan, pengundi Indonesia sudah lebih 15 tahun menikmati "kebebasan akhbar yang lumayan".
Di bawah Orde Baru, akhbar di sana ditindas, wartawan-penulis yang berani diburu, majalah independen digantung, malah penguasa Indonesia yang sukar menerima pandangan berbeda, melalui pegawai kedutaannya di Kuala Lumpur pernah menegur liputan Harakah yang tidak disenangi mereka!
Tentulah kemunculan media bebas dan adil itu tidak datang dengan sendiri. Ia diperjuangkan sejak lama - juga memakan korban - dan bukannya ehsan pemerintah yang melonggarkan kawalan. Semasa Jakarta merayakan kemenangan reformasi pada 1998, Kuala Lumpur bermuram durja apabila regim Dr Mahathir Mohamad terus kekal berkuasa pada 1999.
Berdepan beberapa kali pilihan raya selepas Suharto ditumbangkan, media Indonesia menyajikan liputan yang relatif berimbang dan adil. Menurut pemerhati politik, "dibandingkan dengan Amerika pun, media massa di negara kita mampu menjaga jarak dengan para calon Pemilu," merujuk integriti media yang bukan saja tidak memihak tetapi "sukar dibeli".
Dan saya turut tertarik dengan ungkapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Mac 2014: "Jika anda suatu saat menjadi presiden yang sedang memerintah dan kemudian ikut pilpres lagi, maka jangan kecil hati dan jangan marah jika dunia pers tidak berpihak kepada anda."
Dalam pertemuan dengan wartawan di Surabaya, 5 April, Susilo memberi jaminan: "Media juga sudah tentu akan mengawal perjalanan Pemilu agar bebas."
Tidak perlu dinukilkan semula situasi yang cukup kontradik di negara kita. Hampas! Tuntutan parti pembangkang untuk mendekati media, bagai anjing menyalak bukit. Bukan hanya berita "dipadamkan" tetapi lebih jelik apabila kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat kerap diputarbelit.
Najib Razak bukan hanya disorot paling eksklusif atas kapasiti Perdana Menteri, malah aktiviti dan ucapannya sebagai Presiden Umno pun disiarkan secara langsung oleh TV kerajaan dan swasta. Benar kata seorang bekas Ketua Hakim Negara, kedudukan istimewa PM Malaysia turut dicemburui Presiden Amerika Syarikat!
Media Malaysia dikawal melalui undang-undang yang menekan, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta dasar pemilikan yang ketat. Selain organ parti yang terbatas pengedarannya - Harakah, Suara Keadilan dan Roket - kelulusan permohonan permit akhbar hampir mustahil diberikan kepada pengusaha yang bebas daripada pengaruh elit penguasa.
Selepas dua minggu meneliti Pemilu Indonesia, Dr Agus Yusof, pada 10 April lalu merumuskan beberapa penambahbaikan proses pilihan raya di negara kita berdasarkan pengalaman Indonesia:
1.Media kita perlu lebih terbuka supaya tidak lagi menyajikan pandangan sebelah pihak.
2.Media kita tidaklah perlu terlalu mempropagandakan sesuatu isu sehingga menceroboh intelek rakyat.
3.Media kita hendaklah mengajak pemimpin utama berbahas di TV supaya rakyat berpeluang menilai keupayaan dan kewibawaan mereka.
4.Ketua parti yang bertanding hendaklah dimunculkan di TV untuk menyampaikan visi dan misi perjuangan serta mempertahankannya dengan mengambil soalan daripada moderator atau penonton.
Sehari sebelum itu, juga dalam akaun Facebook, Dr Agus mencatatkan: "Ulasan dan analisis panelis Pemilu 2014 di pelbagai saluran TV di Indonesia seimbang sekali. Tidak ada bodek-membodek, caci maki dan keji mengeji.
"Analisis mereka tertumpu kepada pembentukan dasar kerajaan yang menjadi harapan rakyat selepas daripada pemilihan ini. Perbahasan adalah tentang idea bernegara. Rakyat diberikan ruang untuk berfikir. Hebatnya tanggungjawab media di sini. Terujanya."
Dalam pada itu, tulisan Affendy Hasni, Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut berpengalaman menyaksikan kempen Pemilu 2014, elok diteliti:
"Saya begitu terkejut dengan menonton iklan kempen oleh setiap parti yang bertanding di kaca TV tanpa henti. Tidak kisahlah parti pemerintah ataupun parti pembangkang, semuanya diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto masing-masing.
"Setiap parti politik yang berkempen di TV menggunakan pelbagai idea yang kreatif dalam memikat pengundi. Ini adalah keadaan yang saya tidak lihat dalam pilihan raya lepas di Malaysia.
"Saya adalah pengundi pertama kali dalam PRU13. Rata-rata pengundi muda seperti saya terpaksa beralih ke medium selain TV arus perdana bagi mendapatkan maklumat mengenai parti-parti lain yang bertanding. Kami terpaksa ke beralih ke Facebook, Twitter ataupun laman web rasmi pembangkang."
Jika tahun lalu, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui telah menganjurkan Konvensyen Akses Media dalam PRU13, kali ini ada cadangan sekitar tarikh 3 Mei, pengalaman media Indonesia dalam Pemilu 2014 boleh dikongsi lebih ramai audien.
"Usaha menuntut kebebasan media, sekurang-kurangnya hak untuk terbit akhbar, juga sampai memiliki stesen TV... jangan patah di tengah jalan. Lawan sampai berhasil. Jadikan Indonesia sebagai rujukan," seorang rakan lama, editor kanan berpengalaman lebih 30 tahun, sentiasa berpesan.
Apa pun, menjelang pilihan raya presiden Indonesia, saya bertekad mengikutinya dari dekat. Bukan tarikan Jokowi atau siapa jua tokoh yang bakal bertanding, tetapi liputan media negara jiran itu - bebas dan seimbang - sebenarnya yang menggamit.
Parti Islam Indonesia didesak bergabung
- Apr 14, 2014
- ABD SHUKUR HARUN
Parti Islam itu ialah Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Bulan Bintang (PBB).
Pengamat politik dari UIN, Syarif Hidayatullah, Pangi Syarwi Chaniago menyatakan, parti politik Islam (Parpol Islam) seharusnya jangan kehilangan kepercayaan pada diri sendiri. Gabungan Parpol Islam, katanya, jangan malu-malu menentukan calon presiden mereka.
Pangi menjelaskan, gabungan Parpol Islam Indonesia boleh membina kekuatan sendiri yang berpotensi untuk menang dalam Pemilu Presiden itu.
"Kalau PKB, PAN, PPP, PKS, PBB bersatu membuat koalisi Parpol Islam dengan keupayaan sendiri untuk memajukan calon presiden sendiri, mereka bukan tidak mungkin boleh menang nanti," kata Pangi kepada Republika On Line kelmarin.
Menurutnya, Pemilu Presiden kali ini boleh dijadikan momentum bagi Parpol Islam. Mereka, katanya, perlu bersatu dan berjiwa besar untuk memastikan parti Islam kembali muncul sebagai kekuatan dominan yang tidak boleh diremehkan di Indonesia.
Tiga hal yang menyebabkan Parpol Islam masih ragu-ragu dan malu-malu untuk bergabung bagi mengemukakan calom presdiden sendiri. Pertama, parti politik Islam tidak percaya diri sendiri kerana tidak mempunyai tokoh yang boleh diketengahkan kepada masyarakat dan juga menghadapi kekangan kewangan. Kedua, Parpol Islam takut kehilangan kerusi di kabinet jika calon yang didukungnya ternyata kalah. Ketiga, alasan konon untuk bersikap realistik. Akhirnya mereka memilih untuk bergabung dengan Parpol tiga besar pemenang Pemilu, kata Pangi.
Menurutnya, jika dalam pemilihan perolehan suara gabungan Parpol Islam mencapai peratus yang mencukupi, sebaiknya mereka mengajukan calon presiden dari parti Islam sendiri maka sudah saatnya menjadi parti politik penentu dan pemenang pada Pemilu Presiden kali ini.
“Kalau tidak sekarang bila lagi, kalau bukan parti politik Islam siapa lagi,” katanya lagi.
Pilihan Raya Legislatif 2014 minggu lalu mendapati parti Islam seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS) hanya mendapat (6-7%), Parti Amanat Nasional (PAN) (7-7.5%), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) (8.5-9%), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) (6-7%), dan Parti Bulan Bintang (PBB) (1-1.5%). Selepas mendapat keputusan buruk, kelima-lima parti Islam ini bertemu di Jakarta bagi membincangkan pembentukan gabungan.
"Kalau semua parti Islam bersatu, jumlah sokongan sudah sampai 31%. Ini melayakkan kita mengajukan calon presiden," kata anggota Majlis Syura PKS, Refrizal, di Jakarta seperti dilaporkan oleh akhbar Kompas.
Penganalisis berpendapat bahawa parti Islam Indonesia tidak boleh menjadi majoriti di negeri yang 85% Muslim ini atas beberapa sebab:
Pertama, kesadaran politik umat Islam Indonesia relatif rendah di mana mereka memilih bukan didasarkan pilihannya pada calon yang akan menjayakan visi Islam, tetapi memilih banyak kerana kerabat dan kenalan rapat atau populariti calon.
Kedua, kualiti parti Islam sendiri. Ini sama ada disebabkan keterlibatan sebahagian pemimpin parti dalam rasuah, mengejar jawatan dalam kerajaan, program parti yang tidak menyentuh rakyat dan tidak jelas warna Islam parti itu sendiri.
Bagaimanapun semua parti Islam itu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. PPP mempunyai kekuatan jaringan lama dan pengalaman politik dalam mengemukakan undang-undang yang bervisi Islam.
PBB mempunyai tokoh yang tinggi intelektualisme Islam mereka dan keberanian dalam menyuarakan Islam, mendakwa penjadi pewaris Masyumi, gabungan parti Islam pimpinan Almarhum Muhd Natsir dulu.
Sementara itu, PKS mempunyai jaringan kader yang kuat dan program yang merakyat. Kelemahan PPP dan PBB dalam pengkaderan sebenarnya boleh ditutup atau mengambil pelajaran dari PKS.
Sedangkan kelemahan PKS ialah kurang berani menampilkan diri visi Islamnya sebagaimana PPP dan PBB. Juga PKS berebut untuk menjadi menteri serta jawatan lain seperti pengalaman masa lalu.
Para pemerhati melihat, umat Islam di Indonesia yang sedang bangkit memerlukan tokoh yang ahli di bidang masing-masing, sekaligus yang Islami. Kalau sekadar profesional semata-mata, kata mereka, maka tidak ada beza dengan parti sekular. Atau jika yang hanya ditekankan program ekonomi semata-mata, maka parti Islam menjadi pak turut bagi parti sekular.
Parti Islam, kata pemerhati prihatin lagi, sewajarnya berani menampilkan watak Islamnya dan juga profesionalisme mereka, supaya masyarakat melihat beginilah wajah politik Islam yang sebenarnya. Tetapi apabila parti Islam terbawa-bawa dengan arus parti sekular yang hanya menekankan profesionalisme dan program ekonomi semata-mata, maka parti Islam pasti tidak akan mampu menyaingi parti sekular. Inilah dilema yang dihadapi oleh parti Islam Indonesia.
Maknanya seorang ahli politik Muslim di samping ahli di bidangnya, juga perlu berakhlak Islam, rajin solat, bersedekah dan meninggalkan dosa-dosa besar, demikian menurut pemerhati. Ini, katanya, berbeza dengan ahli politik sekular yang membebaskan kadernya dalam berbuat apa saja yang melanggar batas agama.
Menurutnya lagi, bagi ahli politik sekular yang penting mereka itu ahli di bidangnya dan mempunyai nama harum di tengah masyarakat, meski dalam kehidupan pribadi mereka bergelumang mungkar. Dengan kata lain, mereka menghalalkan adanya ‘politik gincu’di mana Islam hanya hiasan, katanya.
Kini peta gabungan dalam Pemilu Presiden akan dipimpin tiga parti yang dijangka berada dalam kumpulan ‘tiga besar’ iaitu PDI-Pejuangan, Golkar dan Gerindra. Tiga parti sekular ini berusaha keras mendekati rakyat dengan pelbagai cara.
Dengan Indonesia kini sudah sangat terbuka demokrasinya, namun masih lagi berdepan dengan kemiskinan pengundinya. Segala kebarangkalian boleh berlaku kepada pengundi seumpama ini, kerana asas undi mereka tidak hanya maklumat dan ilmu, tetapi juga makanan dan survival untuk hidup. Inilah dilema yang dihadapi oleh parti Islam Indonesia berdepan dengan situasi seumpama ini.
Di sinilah nampaknya peranan parti Islam - PKB, PAN, PPP, PKS, PBB – untuk mebaiki persepsi pengundi Indonesia terhadap mereka. Makanya, rejuvenasi parti Islam ini sangat diperlukan. Bukan lagi hanya retorik untuk melaksanakan syariat Islam, tetapi dilihat peduli rakyat, menjauhi rasuah dan penyelewengan serta juga pemimpin mereka menjauhkan diri dari berebut hendak menjadi menteri atau pelbagai jawatan penting pemerintah.
Pengundi Indonesia mahu melihat dengan nyata parti Islam ini membela mereka, mengangkat kehidupan mereka lebih baik, bukan sekedar retorik atau teori melulu.
Selain dari itu, parti politik Islam Indonesia perlu membina tokoh hebat dan mempunyai aura seperti Almarhum Muhd Natsir, pemimpin politik Islam Masyumi dulu iaitu kehebatan pimpinannya dikenang hingga kini bukan saja di Indonesia bahkan seluruh dunia Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan