Jumaat, 11 April 2014

KERJA2 PUN KENA BERKUALITI

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju dengan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berhubung isu banduan mandi berbogel di penjara satu perkara memalukan negara.

Berjanji untuk mengambil perhatian dengan aduan tersebut, Junaidi berkata beliau akan menghubungi pihak penjara, khususnya Penjara Pengkalan Chepa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut beliau, aduan yang mengatakan banduan diarahkan untuk mandi bogel bersama lebih 100 banduan lain itu akan disiasat, selain menyatakan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya ambil perhatian berkenaan aduan tersebut dan akan menghubungi rakan saya iaitu pihak penjara untuk penjelasan lanjut. Saya juga setuju perkara tersebut merupakan satu perkara yang memalukan negara," kata beliau ketika menjawab soalan Marzuk, di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Marzuk dalam soalan tambahannya memaklumkan kepada dewan bahawa beliau mendapat aduan daripada seorang banduan yang ditempatkan di blok kuarantin diarahkan berbogel di hadapan lebih 100 banduan lain di Penjara Pengkalan Chepa.

Selain menyatakan peranan penjara sebagai satu pusat untuk memulihkan banduan, Marzuk dalam masa sama mempersoalkan kemudahan solat kepada banduan, selain keperluan Suhakam untuk mengadakan lawatan ke penjara tanpa notis.

Menjawab soalan tersebut, Junaidi berkata kementerian sudah mengambil kira keperluan tersebut, bagaimanapun menetapkan keperluan memberi notis terse ut.

Katanya, notis itu diperlukan bagi memastikan pegawai atasan berada di pusat penjara ketika lawatan dari Suhakam bagi membolehkan dan memudahkan maklumat disalurkan kepada pihak berkenaan.

"Kalau tiada notis, kita bimbang waktu ada lawatan daripada Suhakam, pegawai tiada untuk memberikan maklumat yang sepatutnya," kata beliau.
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kerajaan BN sebagai "kerajaan pembohong"  kerana enggan menarik balik pembohongan berkaitan Peristiwa Memali.

"Kalau dalam tragedi berdarah seperti Peristiwa Memali pun kerajaan BN begitu tegar membohongi rakyat, tidak ada jaminan sama sekali ia tidak berbohong dalam perkara lain.

"Orang Putih kata "once a liar always a liar" - sekali jadi pembohong sampai bila-bila pun pembohong," katanya yang sebelum itu cuba membangkitkan usul supaya Kertas Putih Memali ditarik balik berdasarkan bukti-bukti terbaru.

"Dewan Rakyat telah dibohongi oleh Kertas Putih Memali," katanya ketika membangkitkan perkara itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berusaha untuk membangkitkan usul yang telahpun ditolak sebelum ini oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul itu dibuat berikutan kenyataan Tun Musa Hitam sebelum ini yang menyatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya berada dalam negara dan bukan berada di luar negara.

Selama ini kerajaan mendakwa bahawa Dr Mahathir sedang dalam lawatan ke China ketika berlakunya peristiwa serangan pihak berkuasa ke atas penduduk kampung di Memali sehingga mengakibatkan 18 orang terbunuh termasuk empat anggota polis.

"Jadi bagi saya bahawa adalah wajar untuk Parlimen membincangkan malah perlu menarik balik Kertas Putih Memali yang menunjukkan bahawa pada waktu itu berlaku pembohongan," kata Mahfuz.

Beliau menekankan bahawa Musa yang pada waktu itu adalah Menteri Dalam Negeri dan juga Timbalan Perdana Menteri mengakui pada waktu kejadian 19 November 1985, Dr Mahathir masih berada dalam negeri dan bukan berada di China sebagaimana dihebahkan kepada umum.

"Kedua, kata Tun Musa Hitam, beliau bukanlah pemangku Perdana Menteri pada waktu berlakunya peristiwa Memali seperti dilaporkan.

"Selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Tun Musa mengambil tanggung jawab sepenuhnya dan bersedia untuk mendedahkan fakta sebenar peristiwa Memali," kata beliau.

Mahfuz berkata, sepatutnya kerajaan membawa satu usul untuk menarik balik Kertas Putih itu dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Beliau mengingatkan tentang kesediaan Musa untuk memberikan keterangan sebenar berkaitan peristiwa Memali.

Sehubungan itu, Mahfuz mempertikaikan alasan Yang Dipertua Dewan menolak usul tersebut atas alasan kenyataan Musa itu dibuat di dalam forum.

"Sedangkan kenyataan beliau itu  konsisten. Dalam forum kemudian dibuat lagi penegasan beberapa hari selepas itu dalam kenyataan media yang bertulis," tegas Mahfuz.

Bagaimanapun, usaha Mahfuz membangkitkan perkara itu ditolak  Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

"Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat 18(8) di mana usul yang ditolak tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh lagi dibaca dalam Majlis Mesyuarat," katanya.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali diperintahkan keluar dewan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Azmin diperintah keluar dewan setelah berulang kali meminta penjelasan Pandikar mengapa usul mencela tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak disegerakan untuk dibahas.

Azmin, ketika memohon penjelasan berhubung keputusan speaker berkaitan usul tersebut, berkata biarpun mengakui usul berkaitan urusan kerajaan perlu disegerakan, usul beliau sewajarnya diberikan keutamaan selepas setiap usul kerajaan selesai dibahaskan.

"Jika dilihat pada Aturan Urusan Mesyuarat, usul berkaitan kerajaan berakhir pada nombor enam. Mengapa usul saya yang disokong 63 anggota parlimen lain tidak diletakkan di nombor tujuh agar ia boleh disegerakan?

“Mengapa usul dari Putatan yang bersendirian boleh diletakkan pada nombor itu?" soal beliau berulang-kali sehingga menimbulkan ketegangan ke atas speaker dan ahli dewan yang lain.

Sementara itu, Pandikar menyarankan Azmin agar berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim untuk membolehkan usul yang dibawanya dapat disegerakan dan dibahaskan.

Bagaimanapun, Azmin meminta penjelasan Pandikar sama ada Shahidan mempunyai kuasa untuk membolehkan usul tersebut dibahaskan dengan segera, namun Pandikar kemudiannya mengeluarkan arahan untuk Azmin keluar dewan.

Ketika itu, Azmin sekali lagi memohon penjelasan tentang keputusan Pandikar mengarahkannya keluar sebelum mendapat penjelasan, namun Pandikar berulangkali meminta bentara menjalankan tugas untuk mengiringi Azmin keluar.

Bercakap kepada media selepas itu, Azmin berkata beliau kecewa dengan keputusan speaker yang mengarahkannya keluar dewan tanpa sebarang penjelasan.

"Saya minta penjelasan beliau, mengapa usul sepenting itu, yang juga menepati peraturan mesyuarat, malah Perlembagaan Malaysia ditolak sewenang-wenangnya," kata beliau.

Tambah beliau, usul yang dibawa beliau dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada parlimen membincangkan kelakuan hakim dengan syarat memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat daripada ahli parlimen.

Beliau berkata kedudukan Perlembagaan Persekutuan mengatasi Peraturan Mesyuarat, dan perkara ini difahami oleh mana-mana pihak, khususnya para peguam.

"Peraturan mesyuarat tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan, tetapi speaker kemudiannya sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengarahkan saya keluar," kata Azmin.

Sementara itu, ketika dewan masih tegang dengan keputusan tersebut, Hanipa pula diperintah keluar dewan ketika mahu membangkitkan peraturan mesyuarat 22(1) berhubung isu KLIA2.

Biarpun beliau bangun dan menyebut "Peraturan Mesyuarat 22 (1)", Pandikar bagaimanapun tanpa mendengar peraturan yang dibawa Hanipa terus mengarahkan Hanipa keluar dewan.

Bercakap pada sidang media, selepas itu, Hanipa berkata beliau menjadi mangsa keadaan dengan apa yang berlaku di dalam dewan sebelum itu.

"Saya menjadi mangsa keadaan. Selepas ahli parlimen Gombak diarahkan keluar, saya faham isu itu telah selesai. Namun, saya bangun untuk kemukakan peraturan mesyuarat yang lain. Tetapi, tanpa mendengar apa yang ingin saya katakan, speaker terus mengarahkan saya keluar," kata beliau kepada media.

Tambah beliau, adalah menjadi amalan apabila setiap wakil rakyat bangun , speaker perlu mendengar apa yang ingin dibawa ahli dewan itu.

"Tapi, belum sempat saya bercakap, saya sudah kena halau. Bagi saya, ini satu tindakan yang tidak adil. Speaker selalu cakap pasal semua ahli kena mengikut peraturan mesyuarat, tapi sekarang speaker tidak ikut peraturan mesyuarat," kata beliau.

Ekoran keputusan tersebut, semua ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan sebagai protes terhadap keputusan tersebut.
Pada sesi sebelah petang, Pandikar bertindak memanggil semula Azmin dan Hanipa untuk masuk ke sidang dewan.

Keputusan tersebut dibuat Pandikar mengikut Peraturan Mesyuarat 90, selepas mula mempengerusikan mesyuarat pada jam 2.30 petang tadi.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan keputusan kerajaan tidak memanfaatkan sepenuhnya kediaman rasmi adalah disebabkan kualiti rumah tersebut.

Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim ketika ditemui memberitahu kediaman tersebut dibina sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) walaupun berusia kurang daripada sepuluh tahun, namun kualitinya amat teruk.

Beliau yang merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan kerajaan negeri tidak mendapat nilai terhadap perbelanjaan (value for money) kerana rumah kediaman yang disediakan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kita tidak boleh mengatakan pembaziran, apa yang pasti kita tidak manfaat sepenuhnya kediaman tersebut.

"Ini disebabkan oleh kualiti rumah yang amat teruk sewaktu ia dibina oleh BN, kita mewarisi kualiti yang menyakitkan hati," katanya.

Beliau memberitahu, disebabkan keadaan tersebut pada 2008 barisan exco telah memutuskan untuk tidak mendiami kediaman rasmi itu.

Namun pada 2013, barisan exco yang baru telah memutuskan agar kesemua kediaman rasmi itu diserahkan kepada exco-exco bagi kegunaan mereka untuk aktiviti ataupun pertemuan.

"Setelah kita menerima kunci dan membuat pemeriksaan terhadap kediaman tersebut mendapati terlalu banyak kerosakan.

"Ia tidak sepadan dengan usia kediaman itu, memang menyakitkan hati. Ada tiga exco telah mendiami kediaman itu tetapi seorang dari mereka terpaksa keluar disebabkan siling rumah yang hendak runtuh.

"Bukan kita tidak mahu menggunakan sepenuhnya kediaman itu tetapi kalau kualiti teruk bagaimana untuk kita diami," sambung beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang itu turut memberitahu walaupun ada langkah untuk menyewa atau menjualkan kediaman itu, namun ia tidak mendapat sambutan.

Jelas beliau, mesyuarat exco yang lepas telah membuat keputusan agar kediaman tersebut disemak semula dan pembaiki kerosakan dilakukan supaya ia boleh digunakan sepenuhnya.

"Menteri Besar telah mengeluarkan kenyataan agar tindakan segera diambil bagi memastikan segala masalah tersebut diselesaikan segera," katanya.
KUALA LUMPUR: Lot kedai di Melaka Sentral yang sepatutnya diusahakan oleh warga bumiputera sebaliknya diberi keutamaan kepada peniaga dalam kalangan warga asing.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) milik penuh Kerajaan Negeri Melaka mendapati, 13 daripada 31 lot kedai atau 41.9% adalah terdiri daripada warga asing melibatkan empat buah syarikat.

Semakan Audit selanjutnya mendapati permohonan sewa lot telah dibuat atas nama syarikat di mana pegangan saham juga dimiliki oleh warga tempatan yang majoritinya adalah pasangan kepada warga asing berkenaan.

Pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka bertarikh 20 November 2013, menunjukkan empat daripada enam pemegang saham dalam empat syarikat berkenaan  adalah pemegang pas lawatan sosial dan pemegang pas penggajian yang telah tamat tempoh serta berdaftar dengan syarikat lain dalam sektor pembinaan.

Antara visi MSSB adalah menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk Negeri Melaka melalui penyediaan Kompleks perniagaan. Kerajaan Negeri juga telah menetapkan kuota bilangan peniaga di Kompleks adalah 60% untuk bumiputera dan 40% untuk bukan bumiputera.

Lawatan Audit mendapati 31 daripada 247 atau 12.6% lot menjalankan perniagaan menjual tudung dan pakaian Muslimah.

Pihak Audit juga mendapati, pemilihan penyewa lot kedai tidak melalui proses temu duga sebagaimana berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP).

"Semakan Audit mendapati 2 lot kedai iaitu KM5 dan KM7 telah ditawarkan kepada penyewa baru tanpa melalui proses temu duga sebaliknya telah dipilih berdasarkan cadangan daripada penyewa terdahulu. Ini menyebabkan peniaga lain tidak mempunyai peluang untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Audit berpendapat, peluang perniagaan di dalam terminal kompleks kepada penduduk Negeri Melaka adalah baik tetapi MSSB perlu lebih berhati-hati dan serius supaya lot-lot perniagaan tidak jatuh ke tangan warga asing atau di sublet agar objektif penubuhan MSSB dalam meningkatkan taraf ekonomi golongan bumiputera tercapai.

Syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Melaka dengan modal yang dibenarkan berjumlah RM10 juta. Manakala modal berbayar sejumlah RM1 juta.

MSSB dimiliki oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka (70%) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (30%).

Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) yang dahulunya dikenali sebagai Kumpulan Melaka Development Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 9 Februari 2004.
KUALA LUMPUR: Ahmad Marzuk Shaary menyangkal penjelasan Pegawai Pelajaran Bachok, Amran Mustapha yang menegaskan tiada pertukaran guru dibuat seperti didedahkan Ahli Parlimen Bachok itu sebelum ini.

Beliau berkata, hakikat pertukaran guru yang ditukar atas sebab 'dendam politik' sememangnya berlaku dan beliau mempunyai bukti.
Bukti itu termasuk juga rakaman yang jelas tentang tekanan dan ugutan yang dibuat oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok terhadap guru-guru.

"Untuk pengetahuan, kami mempunyai bukti, bahawa sehingga hari ini sudah ada 10 orang guru yang telah ditukarkan daripada senarai berkenaan," kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.

Marzuk sebelum ini mendedahkan PPD Bachok di bawah Kementerian Pelajaran telah menukar 10 guru di kawasan berkenaan atas sebab dendam politik.
Jumlah itu termasuk dalam senarai lebih 80 lagi guru yang didakwa akan ditukar pada 16 April ini.

Antara yang tersenarai adalah isteri kepada Naib Presiden PAS, Pusat Datuk Husam Musa iaitu Datin Rohana Abd Rahman.

Menurut Marzuk, antara 40 alasan politik pertukaran yang diberikan adalah kerana suami calon PAS, keluarga PAS tegar dan membekal makanan ke pos PAS.

Amran dalam jawapannya kepada Malaysiakini semalam turut mengesahkan memang terdapat senarai guru-guru yang hendak dipindahkan dari daerah Bachok tetapi “ia tidak rasmi”.

Katanya, ia senarai lama yang dikumpulkan oleh pegawai pelajaran daerah lama yang tidak lagi bertugas di Bachok.

"Saya ingin ucapkan terima kasih di atas jasanya dalam membenarkan kesahihan senarai pertukaran guru itu. Ianya sahih dan benar.

"Saya juga bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa tiada pertukaran yang akan berlaku lagi berkaitan senarai tersebut.

"Ini bermakna pertukaran berasaskan politik tidak lagi relevan terhadap guru-guru lain di Bachok," kata Marzuk lagi.
KUALA LUMPUR: Status Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) masih kekal sebagai ahli parlimen biarpun disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Memandangkan kedua-duanya telah memfailkan rayuan mereka ke mahkamah lebih tinggi, maka sabitan belum dimuktamadkan lagi.

"Oleh demikian status kedua-dua mereka kekal sebagai wakil rakyat," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sambil merujuk kepada Fasal 5, Perkara 48 Perlembagaan.

Penjelasan Pandikar itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan Karpal pada 31 Mac lalu, berhubung status beliau dan Anwar sebagai wakil rakyat.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Dengan kata lain, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Pada 11 Mac lalu, Karpal telah disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan didenda RM4,000 di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 Hasutan berkait krisis perlembagaan negeri Perak.

Anwar pula disabit kesalahan dalam kes Fitnah ll dan didenda penjara lima tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun mereka telah mengemukaan rayuan untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Tiada ulasan: