Rabu, 16 April 2014

WAHAI AHLI PARLIMEN BERAGAMA ISLAM SOKONGLAH HUDUD....JIKA TIDAK SIA2 AJE MENGAKU ISLAM

Semasa rayuan kes Lina Joy, peguam Lina Joy memberitahu mahkamah bahawa wujudnya satu aliran atau mazhab baru dalam menafsir perlembagaan negara ini iaitu mazhab Dr Aziz Bari. Walauapa pun niat peguam Lina Joy hakikatnya kata kata beliau tersebut adalah satu pengiktirafan kepada hasil usaha Dr Aziz Bari.

Bagi saya kejayaan besar Dr Aziz adalah ia membawa kita melihat Perlembagaan dari dimensi yang baru. Jika dulu ramai dari kita yang mungkin membuat tanggapan bahawa Perlembagaan negara ini adalah sekular dan penghalang besar kepada perlaksanaan Islam, Dr Aziz pula melihat sebaliknya.

Bagaimanakah Perlembagaan dikatakan sekular jika Islam, dan bukan agama agama lain, satu satunya agama yang dinyatakan secara khusus dalam Perlembagaan. Artikel 3 mengisytiharkan Islam sebagai agama Persekutuan. Jadual Kesembilan Perlembagaan menyatakan tentang kuasa Kerajaan Negeri untuk mengkanunkan undang undang Islam. Artikel 11 (4) pula melarang penyebaran agama atau doktrin bukan Islam kepada umat Islam. Ini antara lain contoh contoh yang menunjukkan Islam mempunyai kedudukan unik dan dominan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Atas dasar itu perlukah perlembagaan dipinda jika Kelantan ingin melaksanakan hudud? Ya, benar ada dua pendapat. Satu pendapat kata perlu pinda Perlembagaan dan pendapat yang lain kata tidak perlu. Saya bermazhab dengan pandangan kedua.
Mereka yang menyatakan hudud melanggar Perlembagaan dan perlu dipinda Perlembagaan jika hudud ingin dilaksanakan berpegang kepada beberapa hujah. Antaranya hujah kes Che Omar bin Che Soh v Pendakwa Raya (1988) 2 MLJ 55 di mana Mahkamah Agung menyatakan bahawa tafsiran Islam dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan hanya bersifat seremonial (ceremony) semata mata berdasarkan niat penggubal Perlembagaan dan bukannya Islam sebagai al-deen.

Justeru itu hudud yang termasuk dalam sistem jenayah Islam, menurut hujah ini, melangkaui makna Islam yang diniatkan oleh penggubal Perlembagaan yang hanya bersifat ritual dan serimonial. Justeru itu jika hudud dilaksanakan ia akan melanggar Artikel 4 (1) Perlembagaan yang mana Perlembagaan adalah undang undang tertinggi negara ini dan mana mana undang undang yang bercanggah dengan mana mana peruntukkan Perlembagaan adalah dikira tidak sah dan terbatal.

Bagi saya hujah yang menggunakan keputusan Mahkamah Agung itu yang memberikan tafsiran sempit makna Islam dalam Perlembagaan adalah hujah yang rapuh dan boleh disangkal .

Pertamanya mengenai prinsip tafsiran Perlembagan itu sendiri. Perlembagaan bukan undang-undang biasa seperti Akta Parlimen atau Enakmen Negeri. Perlembagaan adalah sui juris iaitu ia adalah sebuah dokumen yang berdiri sendiri. Telah diputuskan oleh banyak keputusan mahkamah di negara ini prinsip berikut iaitu apa apa keputusan berkaitan tafsiran Perlembagaan oleh mana mana mahkamah hatta mahkamah yang paling tinggi dalam negara ini, tafsiran itu tidak akan mengikat mana mana mahkamah lain di negara ini.

Ini bermakna jika sekalipun Mahkamah Agung pernah menafsirkan bahawa Islam dalam Artikel 3 Perlembagaan bukan bermaksud al-deen, keputusan itu tidak akan mengikat mana mana mahkamah di negara ini selepas keputusan itu dibuat.  Ertinya jika ada Mahkamah selepas ini yang tidak mahu mengikut tafsiran Mahkamah Agung tersebut, ianya tidak salah kerana prinsip stare decisis (keputusan Mahkamah mengikat) tidak terpakai dalam menafsir Perlembagaan.

Keduanya tafsiran Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh berkaitan makna Islam dalam Artikel 3 adalah tafsiran yang salah. Dalam artikel 160 Perlembagaan yang menyentuh tentang tafsiran, tidak ada tafsiran mengenai perkataan Islam. Begitu juga tidak ada tafsiran mengenai perkataan Islam dalam Akta Tafsiran 1948. Dengan ketiadaan tafsiran makna Islam, maka adalah pelik Mahkamah Agung tiba tiba menafsirkan perkataan Islam dengan sewenang wenang dan arbitrari sebagai bermaksud adat istiadat atau seremonial semata mata dan bukan sebagai al-deen.

Saya ingin katakan memandangkan Islam tidak ditafsirkan dalam Perlembagaan atau Akta Tafsiran maka untuk menafsirkan Islam mestilah Mahkamah melihat dari khazanah Islam iaitu kitab kitab muktabar yang ditulis oleh para ulama mengenai makna sebenar Islam. Tafsiran Islam yang diberikan oleh Mahkamah Agung adalah tafsiran yang tidak betul kepada perkataan Islam itu sendiri maka bagaimanakah tafsiran yang salah itu boleh dan wajar dipertahankan?

Jika mahkamah menafsirkan makna Islam dalam Perlembagaan dengan tafsiran yang betul maka bukan sahaja kita tidak perlu meminda Perlembagaan bagi dilaksanakan di Kelantan malahan Akta Bidang Kuasa Mahkamah Syariah 1965 (juga digelar Akta 356) yang menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah setakat boleh menjatuhkan hukuman 356 iaitu 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 sebatan adalah juga tidak sah kerana menyalahi makna Islam dalam Perlembagaan. Jika Islam dalam Perlembagaan ditafsir sebagai al-deen maka al-deen merangkumi juga sistem jenayah Islam iaitu hudud, qisas dan taazir yang mempunyai asasnya dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Justeru itu bagi saya kesilapan dalam memberikan tafsiran Islam dalam perlembagaan adalah penghalang kepada perlaksanaan hudud bukan Perlembagaan itu sendiri. Jika tafsiran Islam dalam Perlembagaan diberikan tafsiran yang betul dan tepat maka Perlembagaan tidak perlu dipinda bagi perlaksanaan hudud.

Akta 356 sebenarnya diwujudkan kerana wujudnya kesilapan dalam menafsirkan makna Islam dalam Perlembagaan. Jika Islam diberi tafsiran yang betul maka bukan hudud yang bercanggah dengan Akta 356 atau Perlembagaan sebaliknya Akta 356 itu yang melanggar Perlembagaan.

Keempat jika kita lihat Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu di perenggan 1 senarai negeri dinyatakan secara jelas antara lain bahawa termasuk dalam senarai negeri itu adalah hukum syara' ( Islamic law ) dan kemudiannya diperincikan antara lain undang undang kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian, hadhanah, wasiat, harta pusaka dan lain lain.

Mereka yang berpegang dengan tafsiran sempit menyatakan meskipun disebut dalam senarai itu adalah hukum syara' perincian selepas perkataan hukum syara' itu menunjukkan bahawa hukum syara' itu hanya merangkumi undang undang kekeluargaan dan harta benda sahaja dan tidak termasuk undang undang jenayah iaitu hudud atau qisas. Tafsiran seperti ini dalam undang undang ini dipanggil ejusdem generis (menghadkan atau mengkhususkan benda yang umum).

Saya katakan perkataan hukum syara' dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan adalah kalimah yang umum tetapi jelas dan perkataan itu tidak  boleh dihadkan maka prinsip esjudem generis tidak terpakai. Ini kerana jika dilihat kepada Artikel 74 (4) Perlembagaan jelas dinyatakan  bahawa keluasan ungkapan am di dalam Jadual Kesembilan tidak boleh dihadkan oleh mana mana ungkapan khusus. Oleh itu jika digunakan ungkapan hukum syara' yang bersifat umum dalam Jadual Kesembilan ia tidak boleh dihadkan kepada undang undang kekeluargaan semata-mata.

Oleh itu undang undang Islam atau hukum syara' dalam Jadual Kesembilan adalah merangkumi hudud dan jika hudud dilaksanakan di Kelantan ia adalah termasuk di dalam senarai negeri yang negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa untuk gubal dan laksanakan dan ia mematuhi Perlembagaan.


KUALA TERENGGANU: Peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, dekat sini boleh disifatkan sebagai satu skandal, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Menurut beliau, peruntukan yang besar bagi kerja-kerja membaik pulih adalah tidak wajar kerana ia boleh membina satu stadium baru.
Beliau kesal kerana stadium asal yang berharga lebih RM300 juta itu hanya sempat diguna kurang dua tahun sebelum bumbungnya runtuh.
“Bertahun-tahun kita menanggung malu, rakyat menanggung beban, peminat-peminat sukan bolasepak terpaksa bersesak-sesak menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu akibat stadium baru terpaksa diperbaiki,” katanya ketika membahas Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di Persidangan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-13, baru-baru ini.
Menurutnya, jika wang RM100 juta itu diberi kepada Pakatan Rakyat, satu stadium baru dapat dibina.
Dr Syed Azman menambah, walaupun isu stadium runtuh itu telah acap kali disebut di persidangan Dun namun pihak yang sepatutnya bertanggungjawab belum didedahkan kepada umum.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam ucapan penggulungan menjelaskan kerajaan negeri telah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi stadium runtuh itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.
Namun apabila Adun-Adun Pakatan Rakyat memohon nama pihak terbabit didedahkan, Menteri Besar enggan menjawab secara terperinci.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menyaksikan peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun (gambar) beberapa kali tersasul memanggil Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman sebagai "Ahmad Maslan".

Datuk Ahmad Maslan merupakan Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri Kewangan.

Maslan pernah mengakui wujudnya transaksi penjualan minyak sawit oleh anak syarikat plaintif, Felda Iffco Oil Products Sdn Bhd dengan salah satu rangkaian syarikat antarabangsa Bunge iaitu Bunge Agribusiness Singapore Pte Ltd.

Perbicaraan bagi kes saman fitnah Felda terhadap Mazlan yang masuk kali keenam sejak 18 Disember 2013 itu dikemukakan pihak Felda ekoran pembongkaran Anak wujudnya urusniaga antara agensi itu dengan Israel.

Sementara itu, Mazlan sebagai defendan pertama sempat memberitahu Hakim Lee Hen Chong bahawa Hafarizam dilihat mempunyai kepentingan dengan Felda apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Pendedahan Mazlan itu dibuat ketika perbicaraan bersambung di sebelah petang ekoran asakan Hafarizam yang cuba mengaitkan pendedahan Mazlan itu dengan motif kepentingan politik peribadi.

Pernyataan saksi pihak defendan menyebut syarikat Bunge mempunyai kaitan dengan negara haram Israel.

Antara asas yang mendorong kepada kepercayaan yang lurus (honest belief) tersebut ialah perlunya syarikat plaintif, Felda Iffco Oil Products Sdn Bhd terlebih dahulu mendapatkan Sijil Kosher untuk membolehkan barangan dijual kepada Bunge Agribusiness Singapore Pte Ltd.

"Defendan Pertama telah dibekalkan dengan salah satu Sijil Kosher yang ditandatangani oleh Rabbi Mordechai Abergel iaitu seorang pendeta (Rabbi) Yahudi yang mengetuai masyarakat Yahudi di Singapura sejak tahun 1994.

"Fakta bahawa penjualan minyak sawit tersebut perlu mendapat Sijil Kosher terlebih dahulu membawa satu anggapan yang munasabah hubungan Bunge dengan Israel kerana seperti mana menjadi pengetahuan umum bahawa penduduk majoriti negara haram Israel adalah penganut Yahudi," dipetik daripada pernyataan saksi defendan.

Turut disebut dalam writ saman terbabit Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Pengarang Harakah, Taufek Yahya.

Defendan seterusnya wartawan Mohd Arif Atan; syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. serta Setiausaha Agung KeADILan, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin mewakili kesemua defendan terbabit manakala Hafarizam mengetuai pihak plaintif.
Saya ada membaca berita Bernama yang melaporkan bahawa Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff, Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia menyatakan bahawa negara kita dianggarkan mempunyai kira-kira 5,000 bilion meter padu simpanan air bawah tanah yang belum diusik.

Profesor ini bercakap berdasarkan kajian yang pernah dilakukan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) pada 1982.
  
Menurutnya lagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga pernah membuat kajian pada 2011 yang mendapati bahawa tujuh peratus atau 64 bilion meter padu air daripada hujan tahunan yang turun akan tersimpan di bawah tanah.

Beliau turut menyarankan supaya sumber air bawah tanah ini digunakan terutamanya waktu krisis air yang sedang melanda beberapa negeri di Semenanjung.

Saya amat bersetuju dengan saranan profesor berkenaan sejak dulu lagi walaupun saya tidak tahu tentang kajian UTM dan JPS. Secara logiknya, Malaysia hujan sepanjang tahun – walaupun ada musim kemarau. Secara logiknya tentulah air bawahnya ada.

Pada tahun lepas saya berkunjung ke rumah sepupu isteri yang tinggal di kawasan semi-bandar – rumah di bina atas lot dan hampir setiap mempunyai kawasan halaman.

Ketika berbual-bual, kami ada menyentuh isu bil air, air percuma dan beberapa isu yang berkaitan politik semasa. Menyentuh tentang bil air, sepupu isteri menyatakan bahawa mereka memang tidak pernah membayar bil air sejak beberapa tahun dahulu.

Kenyataan itu menarik perhatian saya dan bertanya adakah bil bulanan air kurang daripada 20 meter padu. Beliau berkata bahawa mereka tidak menggunakan air yang dibekalkan oleh Syabas tetapi menggunakan sumber air bawah tanah.

Menarik, kata saya. Menurutnya, keputusan untuk menggunakan sumber air bawah tanah itu dibuat kerana kos jangka panjang yang lebih murah. Tambahan pula air bawah tanah itu terbukti lebih bersih dan jernih daripada yang dibekalkan oleh Syabas.

Cuma yang perlu ialah kos permulaan untuk dibayar kepada kontraktor yang menggerudi dan menyiap paip dari sumber. Selepas itu gunalah air semahu-mahunya, tidak risau lagi tentang bil – namun tidaklah pula beliau mengambil kesempatan untuk membazir.

Berdasarkan kes ini, ketika penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor menghadapi krisis air, maka tindakan sepupu isteri saya ini mungkin boleh dijadikan penyelesaian sementara, khususnya bagi sesetengah penduduk di pinggir bandar dan kampung.

Kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif melalui pejabat Adun, membina paip dari sumber bawah tanah untuk kegunaan persendirian. Saya tidak tahu sudut perundangan, tetapi sepatutnya jika untuk kegunaan individu tidak ada masalah. Setiap rumah boleh juga mengambil inisiatif mewujudkan sendiri sumber air bawah tanah dengan sedikit kos – sekali seumur hidup.

Melalui cara ini, saya berpandangan, sebahagian penduduk di Selangor tidak perlu lagi kepada paip Syabas dan tidak perlu risau akan berlakunya catuan air. Juga tidak perlu risau tentang pencemaran air – hal ini kerana air bawah tanah ditapis secara semulajadi dan jauh lebih baik daripada air mineral yang dijual di kedai-kedai.

Bagimana pula dengan rumah teres, rumah pangsa yang tiada kawasan tanah yang boleh dikorek untuk mendapatkan air bawah tanah? Ya, jika sebahagian kawasan pinggir bandar dan kampung tidak lagi bergantung kepada paip Syabas – sepatutnya air tersebut boleh dialihkan sepenuhnya ke kawasan bandar.

Jika berlaku juga kemarau dan krisis air seperti sekarang, saya mencadangkan juga supaya Syabas bersiap-sedia dengan pelan kecemasan yakni pembinaan tangki yang menyedut air bawah tanah – kenalah kreatif sikit.

Yang saya bimbang, jika krisis air ini dijadikan modal politik untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat – tetapi saya percaya hal ini tidak sampai ke tahap itu! Apatah lagi majoriti pengundi Selangor telah matang dan tidak mudah melatah.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan PKR 2014 (JPP) mengambil pendekatan terbuka terhadap mana-mana calon berkempen selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan perlembagaan parti.

Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata pihaknya membuka ruang seluasnya untuk calon berkempen dengan cara yang sihat asalkan tidak ada unsur pembelian atau dilihat sebagai unsur rasuah dengan memberikan wang.

"Peraturan kempen juga melarang calon bercakap negatif berkenaan calon lain. Jangan mengkritik secara negatif, kalau promosi tidak apa.

"Jika menjatuhkan air muka teman yang bertanding, kami akan siasat perkara itu,” katanya di sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dua calon Timbalan Presiden, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Mohamed Azmin Ali muncul  di dalam media arus perdana mengundang reaksi pelbagai pihak yang berkenaan termasuk anggota parti.

Justeru, Johari akan memanggil dua calon ini selepas menerima  laporan berkenaan, namun masih belum mengambil keputusan untuk memasukkan perkara terbabit di dalam agenda perbincangan sehingga tarikh tutup proses bantahan pencalonan.

"Saya ada terima laporan berkenaan, cuma JPP masih belum memasukkan perkara ini di dalam agenda mesyuarat kami.

"Tunggu sehingga 21 April ini, baru kita akan putuskan berkenaan perkara terbabit tetapi buat masa ini masih belum ada sebarang agenda,” katanya.

Johari berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada anggota parti berkenaan cara berkempen bagi calon di peringkat cabang yang menjelaskan bahwa perkara berkenaan bukan terfokus khusus pada jawatan di peringkat pusat sahaja.

Seramai 4,380 petugas cabang dari kesemua 218 cabang PKR seluruh negara telah bersedia menghadapi pemilihan secara terus yang kedua dalam sejarah parti itu.

Pengundian parti akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan dan dilakukan secara berperingkat mengikut negeri.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan parti sepenuhnya yang kedua selepas 2010.

Pada 14 April, JPP telah mengesahkan mereka yang layak bertanding di peringkat tertinggi. Untuk jawatan presiden dua calon yang akan bertanding, manakala empat calon bagi jawatan timbalan, dan 14 calon untuk jawatan naib presiden serta 74 calon untuk jawatan majlis tertinggi.

Pengundi akan menulis nombor calon di atas kertas undi. Calon-calon bukan sahaja perkenalkan diri bahkan mengiklankan nombor mereka.
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan penjelasan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung persoalan hudud semalam sudah memadai setakat ini.

Beliau berkata, dengan penjelasan Presiden PAS itu, beliau dan juga pimpinan PAS yang lain tidak perlu lagi melangkaui untuk mengulas lanjut perkara itu.

"Cukup dengan kenyataan Presiden PAS itu dan saya mendukung penuh kenyataan itu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Beliau menjelaskan demikian ketika diasak wartawan media arus perdana agar mengulas isu itu dalam konteks pendirian parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Terdahulu, pada sidang media itu beliau membangkitkan isu penutupan Universiti Antarabangsa Albukhary dan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bercakap kepada Harakahdaily selepas itu, Mahfuz bagaimanapun berkata, pihak PAS sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan berhubung isu itu kepada semua pihak.

"Yang penting Umno itu sendiri perlu mengotakan janji untuk menyokong sebarang langkah yang kita ambil dalam isu ini," kata beliau.

Semalam, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditanya pemberita berkata, terpulang kepada mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap usaha pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ini kerana katanya, tidak ada sebarang perjanjian untuk menghalang PAS daripada mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persedirian berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen.

"Isu hudud di Kelantan ini mendahului Pakatan Rakyat. Ianya sejak tahun 90-an. Awal lagi sebelum ada Pakatan Rakyat.

"Dengan sebab itu tidak ada masalah untuk kita kemukakan (RUU Persendirian).

"Adapun pendirian parti lain, terpulang kepada mereka. Kita konsisten dalam isu ini," kata beliau yang ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.

Beliau juga menjelaskan bahawa PAS menyokong penuh tindakan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang mahu mengemukakan RUU Persedirian itu selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Ketetapan 2011

Ketika isu ini hangat diperkatakan pada 2011 lalu, Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian bersama dalam isu ini melalui satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 29 September di Pejabat Agung PAS.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa memutar belitkan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu kehilangan pesawat MH370.

Menurut Anwar, kenyataan sebenar beliau sebagaimana dilaporkan akhbar China Sourthen Weekly menjelaskan beliau akan mengambil masa satu saat untuk membuat keputusan apakah tindakan yang perlu diambil demi keselamatan rakyat bukannya menyelesaikan.

Bagaimanapun Najib di dalam Bernama semalam melaporkan Anwar dikatakan mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu dalam sesaat.

"Bernama membuat terjemahan yang salah dalam laporan akhbar China Sourthen Weekly.

"Seperti biasalah senjata fitnah Umno ialah menyerang dan tidak rujuk kepada kenyataan sebenar," tegas Anwar dalam sidang media di Ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Bernama memetik kenyataan Anwar dalam media China Southern Weekly pada 5 April yang dikatakan mampu berbuat demikian jika menjadi perdana menteri

Tegas Anwar dalam isu ini Najib dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein wajar menjawab soal pokok mengapa radar Markoni yang dipasang tidak dapat mengenal pasti pesawat pada jam satu pagi kemudian berpatah balik.

"Macam mana lima negeri tidak dapat kesan? Ini satu kesalahan dan kecuaian yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Mengapa radar ratusan juta di Gong Kedak gagal?

"Radar itu akan dapat mengesan, dan keluar isyarat lampu merah berulang kali dalam tempoh tiga minit akan sampai ke ruang TUDM berdekatan. Kemudian jet ini akan tengok keadaan dan iring pesawat untuk mendarat di mana-mana lapangan terbang," kata Ketua Pembangkang itu.

Malangnya kata beliau, pemimpin Umno sibuk mencari kekayaan sehingga lupa keselamatan negara terancam.

"Apa kata pesawat itu, ambil keputusan untuk serang?Jawab TUDM ini pesawat komersial. Dia lupa peristiwa 11 September pesawat komersial yang terlibat," katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini kerajaan belum mendapat maklumat kargo yang sedang dipertikaikan kerana muatan empat tan manggis kononnya dari Muar.

"Adakah masyarakat dunia terima kenyataan ada empat tan manggis diluar musim?Tidak tahulah ada gudang besar yang simpan manggis," bidas Anwar
Dalam sidang media yang dihadiri bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, mereka mengumumkan mengambil pendirian menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Ia termasuk menghormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Mereka juga bersetuju memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang wujud sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan itu menjadi asas dalam membincangkan isu hudud ini dan ianya terus terpakai sehingga sekarang.

 

Tiada ulasan: