- Apr 07, 2014
- ANIS NAZRI
Menurut Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin, tindakan HEP itu menyekat kebebasan akademik mahasiswa yang sewajarnya diraikan bagi melahirkan mahasiswa yang berwibawa.
Beliau berpendapat, mahasiswa perlu diberi lebih ruang untuk meneroka isu semasa di luar kampus dan kekangan dalam aspek ini menjadi salah satu sebab mengapa 'ranking' UM semakin jatuh.
"HEP masih menggunakan benda yang sama sejak 20 tahun lalu ketika saya bergelar mahasiswa, dan sebab itulah ranking UM semakin jatuh dengan kekangan sebegini," kata beliau pada satu sidang media, di bangunan parlimen lama, hari ini.
Berjanji untuk membangkitkan perkara tersebut ke Dewan Rakyat, Tze Tzin turut berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kementerian berhubung perkara tersebut.
Perkara itu diakui dan disokong Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang menggesa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan segera.
Dakwanya, sejak akta itu diperkenalkan sekitar 70-an, pengiktirafan UM sebagai salah sebuah universiti yang terbaik mula merudum.
"Mahasiswa bukan sekadar belajar melalui buku dan bukan pak turut semata-mata. Bagaimana negara mahu melahirkan pemimpin pada masa hadapan jika tidak diberi ruang untuk menerokai isu-isu di luar kampus?" soal beliau.
Sementara itu, wakil Persatuan Progresif UM bertindak menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Presidennya, Richtyne Yusuf, berkata pihaknya turut berhasrat untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil rakyat BN iaitu Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.
Bagaimanapun, tiada sebarang respons yang diperoleh wakil mahasiswa dari Kamalanathan.
Sementara itu, Richtyne menggesa HEP untuk memberi ruang untuk mahasiswa menganjurkan sebarang program, selain tidak mengamalkan 'double standard' terhadap mahasiswa.
"Alasan HEP agar kami memanggil seorang lagi ahli panel daripada kalangan BN tidak boleh diterima. Pemilihan ahli panel yang dibuat kami bukan berdasarkan politik kepartian," kata beliau.
Beliau turut mengecam HEP apabila mendakwa HEP tidak berlaku adil apabila tiada sebarang tindakan diambil HEP ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijemput sebagai ahli panel pada satu seminar di universiti itu, bulan lalu.
Persatuan Undang-undang UM dengan kerjasama Persatuan Progresif UM menganjurkan seminar 'Public Interest Litigation' yang membariskan Datuk S. Ambiga sebagai penceramah, selain seminar 'Talk on Anwar Ibrahim Sodomy II Trial' oleh Lawyers For Liberty (LFL).
Bagaimanapun, kedua-dua program berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir.
Selain Tze Tzin dan Zairil, turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Meng.
2 lagi isyarat denyut dikesan semasa pencarian MH370
- Apr 07, 2014
- MOHD RAZMAN ABDULLAH
Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata isyarat pertama yang dikesan oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield merekodkan selama dua jam dan 20 minit dan isyarat kedua, 13 minit.
"Dipercayai isyarat itu datang dari dua sumber - perakam data pesawat dan perakam suara kokpit - dan ia adalah petunjuk yang memberi harapan baharu," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengesahkan isyarat itu memandangkan Ocean Shield masih lagi menyiasat lokasi sebenar sumber isyarat itu, menggunakan alat pengesan isyarat yang ditunda, kata Houston.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Susulan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Houston berkata kejayaan mengesan isyarat pinger itu hasil analisis data yang disediakan pakar penerbangan di Kuala Lumpur, yang membantu mengecilkan kawasan pencarian.
Beliau berkata berdasarkan data yang diberi, lokasi pencarian tertumpu di kawasan trajektori penerbangan yang mana dipercayai ia berakhir di lautan itu.
Houston berkata pengiraan trajektori penerbangan itu berdasarkan isyarat 'handshake' antara pesawat dan satelit Inmarsat.
Beliau berkata kapal China, Haixun 01, yang mengesan isyarat denyut pertama pada Jumaat dan Sabtu, ditugaskan di selatan kawasan trajektori, manakala 300 batu nautika dari situ, Ocean Shield ditugaskan di utara kawasan trajektori.
"Ia adalah kali pertama kita menggunakan kaedah sedemikian untuk mencari pesawat yang hilang ini. Pada dasarnya kita akan mencari pesawat berdasarkan lokasi serpihan pesawat," katanya dan menambah tiada pengesahan lagi sama ada isyarat itu mempunyai kaitan dengan MH370.
Beliau berkata Blue Fin 21, kenderaan dalam air berautonomi (AUV) Amerika Syarikat, akan dihantar untuk mengesan pesawat itu dan melakukan pemetaan di dasar laut.
Beliau berkata adalah diharapkan bateri kotak hitam itu dapat bertahan lebih panjang memandangkan jangka hayat bateri itu hanya dapat bertahan 30 hari dan ia telah pun berakhir tetapi bateri itu mungkin dapat bertahan dalam tempoh 10 hari lagi.
Pencarian penuh teliti itu memasuki hari ke-31 hari ini membabitkan sembilan pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 14 kapal menyertai misi mencari pesawat yang hilang itu. - Bernama
Cabaran negara Islam di kejohanan Piala Dunia
- Apr 07, 2014
- SAIFUL ISLAM
Kemeriahan, keseronokan, kesungguhan bersatu dengan minat melakar kejutan demi kejutan untuk permainan yang menggunakan bola berbentuk sfera dan dimainkan sebelas orang sepasukan.
Piala Dunia 2014, Brazil dinantikan seluruh dunia.
Itulah warna kemeriahan bola sepak pada tahun ini, perebutan
kejuaraan di liga BBVA (Sepanyol) yang dahulu hanya di rebut dua seteru
utama iaitu Barcelona dan Real Madrid dikenali sebagai El-Classico kini
semakin sukar dengan adanya pasukan bermatlamat tinggi standing usaha
mereka, Atletico Madrid.Atletico Madrid adalah musuh setempat Real Madrid kini turut bersaing demi kejuaraan liga.
Begitu juga berlaku di Liga Perdana Barclays (England) apabila bekas juara musim lepas Manchaster United mengalami musim yang sukar bersama jurulatih baharu David Moyes.
Nasib berbeza di alami oleh kelab Merseyside, Liverpool yang mencabar kejuaraan setelah bertahun mengalami kemerosotan biarpun mempunyai latar belakang yang gemilang, dek kerana itulah kebangkitannya menjadi satu fenemona luar biasa.
Nasib Manchaster United seakan di kongsi AC Milan, kelab berstatus kelab pencabar kejuaraan di Serie A (Itali) mengalami kejatuhan prestasi kerana isu dalaman.
Pastinya para peminat bola sepak seluruh dunia merasai kebenaran tentang kata-kata: “Bola itu bulat, pelbagai kemungkinan boleh berlaku”.
Brazuca nama rasmi bola Piala Dunia 2014
Begitulah analisis ringkas antara liga utama dunia sekarang, tetapi kali ini semuanya berbeza.
Tumpuan peminat atau penduduk seluruh dunia turut dicuri dengan adanya Piala Dunia 2014 di Brazil.
Piala dunia secara amnya merupakan pertandingan yang paling diminati untuk ditontoni di seluruh dunia berdasarkan penonton, penaja, atau setiap yang terlibat secara langsung atau tidak.
Segalanya jauh lebih banyak dari tumpuan dan perhatian yang di terima oleh pertandingan world class yang lain seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik sendiri.
Mungkin kerana minat penduduk dunia terhadap permainan bola sepak ini lebih mendalam berbanding sukan olahraga.
Piala Dunia Fifa 2014, membuka sejarah kerana kali kedua diadakan di benua Amerika Selatan selepas Argentina menjadi tuan rumah pertama pada tahun 1978. Biarpun pelbagai isu atau bantahan yang di terima negara Brazil sama ada dari dalam mahupun luar negara tetapi pertandingan ini masih perlu dijalankan.
Faktor meragukan Brazil yang dianggap sebagai "negara di luar kemampuan" kerana kemiskinan rakyat dan masalah keselamatan, mungkin akan menggugat kelancaran penganjuran pertandingan berprestij ini. Tetapi pertandingan profilik ini masih perlu diteruskan.
Brazil sebagai calon tunggal pembida tuan rumah Piala Dunia 2014
Bercirikan kaedah pemilihan pasukan berdasarkan siri kelayakan Piala
Dunia 2014 yang diadakan di setiap benua, kelompok pasukan terbaik
dipilih untuk beradu kekuatan mental dan fizikal dan diserikan dengan
taktikal, kerjasama, juga kemahiran individu untuk dipersembahkan kepada
peminat di seluruh dunia.Di pentas piala dunia inilah pemain dari setiap negara cuba menonjolkan diri berasaskan bakat dan kemahiran individu untuk menarik perhatian peninjau bakat kelab-kelab besar di liga-liga utama dunia. Antara nama yang menyerlah ialah Mesut Ozil (Jerman) dan Javier Hernandez (Mexico).
Kali ini penyertaan ditumpukan tentang negara-negara majoriti muslim yang layak ke Piala Dunia 2014 seperti Bosnia, Algeria, Iran dan sebagainya.
Persoalan tentang prestasi yang bakal mereka pamerkan, pastinya menjadi tanda tanya. Persoalan utama turut bermain adakah pemain berpengalaman menguasai tumpuan dunia atau pemain muda berjaya mencurinya.
Peningkatan bilangan negara yang memasuki Piala Dunia berbeza pada setiap kali kejuaraan antarabangsa ini diadakan.
Mungkin terdapat juga kekecewaan apabila negara-negara majoriti Islam yang lain seperti Mesir, Arab Saudi dan Oman yang gagal ke kelompok terbaik bagi kelayakan Piala Dunia 2014 walaupun ketiga-tiga negara ini mempunyai sebilangan pemain bertaraf dunia. Antaranya Mohd Sallah (Mesir) bermain untuk Chelsea dan Ali Al-Habsi (Oman) untuk Wigan Athelics. Nasib tidak menyebelahi mereka atau benarlah falsafah dalam bolasepak, kemahiran pasukan lebih penting dari individu?
Namun perkara ini bukan suatu masalah malah menjadi motivasi bagi setiap negara Islam lebih bersaing dan meningkatkan kualiti permainan mereka.
Edin Dzeko (kanan) dan Asmir Begovic (kiri) seteru di liga Perdana Barclays tetapi berganding kudrat di Brazil.
Tumpuan pastinya lebih tertumpu kepada pasukan-pasukan dari kelompok negara majoriti Islam untuk melihat bakat-bakat baharu yang akan menyinar di pentas bolasepak termasyhur di dunia.
Negara seperti Bosnia pastinya mengharapkan sentuhan berbisa dari penyerang utama mereka Edin Dzeko yang memegang status pemain hadapan terpenting Manchester City di Liga Perdana Barclays; juga benteng terakhir pasukan Asmir Begovic, selaku penjaga gawang paling kental di Liga Perdana Barclays bersama Stoke City.
Kita harapkan kemunculan muka-muka baharu atau pemain muda (youth player) dari setiap negara dapat ditonjolkan dan memberi saingan pada pemain-pemain berpengalaman kerana inilah pentas sewajarnya bakat mereka di ketengahkan seperti yang dilakukan Javier Hernandez dan Mesul Ozil pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Kematangan pemain bagi menghadapi pertandingan bertaraf dunia seperti ini amat penting dibebankan lagi dengan kepadatan jadual, pastinya pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Kita menunggu kemunculan bakat-bakat baharu yang mampu menyinar bagi membuka mata peninjau bakat kelab-kelab ternama dunia bagi merancakkan lagi persaingan di liga-liga utama dunia.
Tidak kira sama ada dari kelompok negara barat mahupun timur, setiap pemain mempunyai peluang yang seimbang berdasarkan tumpuan yang diberikan.
Yang membezakan mereka hanyalah usaha dan kegigihan. Moga penantian untuk melihat Piala Dunia 2014 ini berlangsung dengan penuh dramatik dan menghiburkan peminat bolasepak seluruh dunia.
Peringkat kumpulan atau pusingan pertama Piala Dunia 2014
GST: Nasihat salah dari 'Qarun' luar negara
- Apr 07, 2014
- ANIS NAZRI
Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya bimbang jika ia merupakan nasihat dari luar negara seperti Bank Dunia (IMF), penyangak-penyangak kewangan luar negara, termasuk penyangak kewangan dalam negara yang mahu menekan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang GST, di Dewan Rakyat, hari ini.
"Soalnya adakah hasil dari cukai seperti Petronas dan lain-lain diurus dengan betul? Adakah cukai dari mereka yang layak selama ini diurus dengan baik? Perkara ini perlu dilihat untuk mengimbangi hasil sedia ada?" soal beliau.
Sebelum itu, beliau turut memaklumkan kepada dewan bahawa mengikut petunjuk yang betul, kerajaan boleh memanfaatkan hasil tanpa mengenakan cukai atau mengurangkan cukai.
Tambah beliau, cukai menurut pandangan Islam boleh digunakan jika dalam keadaan darurat.
"Adakah negara kita sekarang dalam keadaan darurat sehingga memerlukan GST? Saya bimbang ia adalah nasihat daripada Qarun," tegas beliau yang menerima gangguan daripada wakil rakyat BN.
Presiden PAS itu mengingatkan bahwa sering kali kerajaan membuat perbelanjaan tambahan, yang bukan disebabkan tidak mencukupi.
Sebaliknya, perbekalan tambahan biasanya dibentangkan ekoran keborosan, pembaziran dan kebocoran dalam urusan menguruskan hasil negara.
Ketika ini, beberapa ahli parlimen BN bersorak dan bangun memohon penjelasan, bagaimanapun tidak diendahkan Ustaz Hadi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya beberapa kali bangkit memohon penjelasan sehingga ditegur timbalan speaker dewan, Datul Ismail Mohamed Said agar menghormati pihak yang sedang berucap.
Selain Shabudin, turut mengganggu perbahasan beliau ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali, dan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh.
Bagaimanapun, Ustaz Hadi kemudiannya memberikan laluan kepada Shabudin untuk memohon penjelasan serta bukti jelas yang menunjukkan kerajaan berbelanja boros dan membazir.
"Yang Berhormat kena baca laporan audit negara tiap-tiap tahun. Yang Berhormat kena ingat yang kami bukan Melayu mudah lupa.
"Tiada sebarang tindakan yang diambil dari hasil laporan tersebut. Yang kena pegawai-pegawai bawahan, ikan bilis. Yang atas-atas, menteri dilepaskan. Di mana integriti?" tegas beliau lagi menjawab pertanyaan Shabudin.
Tegas beliau lagi, jika tiada sebarang rasuah, pembaziran, tidak perlu pelaksanaan GST di negara ini.
Beliau turut mengingatkan kerajaan sejauh mana kerajaan merawat penyakit membazir, boros dan kebocoran terhadap projek-projek yang hanya sekadar untuk menunjukkan lagak dan hiburan semata-mata.
Justeru, beliau menyeru kerajaan sama ada mengkaji semula atau memansuhkan sahaja rang undang-undang ini.
Tingkatkan pendapatan rakyat, bukan laksana GST
- Apr 07, 2014
- ANIS NAZRI
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika membahaskan Rang Undang-undang GST, di Dewan Rakyat, petang ini berkata kerajaan juga seharusnya mengelakkan pembaziran dalam meningkatkan pendapatan negara.
Sebagai contoh, katanya pembaziran yang dimaksudkan berkaitan lantikan sebuah syarikat oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani bagi projek titik permulaan bagi herba bernilai tinggi.
"Projek tersebut diberikan kepada Edaran Arif Medic Sdn. Bhd. pada 29 Nov 2013, dengan nilai RM25,470,000 bagi tujuan kajian pra-klinikal dan klinikal dengan siling bernilai RM37,550,000.
"Tapi syarikat berkenaan telah diperintah untuk penggulungan syarikatnya pada 24 Julai 2013 oleh mahkamah di Shah Alam. Ini yang menyebabkan berlaku ketirisan apabila projek diberi kepada syarikat bermasalah," tegas beliau.
Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS turut menyentuh soal pemberian tender yang menawarkan harga paling tinggi, sedangkan terdapat 10 kontraktor yang dipanggil menawarkan harga yang lebih rendah bagi pembinaan fasa ke-2 bangunan Parlimen.
"Kenapa diserahkan kepada syarikat TRC yang merupakan syarikat yang menawarkan harga paling tinggi dalam pembinaan bangunan ini. Ini dewan parlimen yang kita bincang untuk meluluskan peruntukan perbelanjaan.
"Hari ini kita hendak luluskan pula GST yang menekan rakyat, tetapi kita tidak berbelanja dengan betul," tegas beliau lagi.
Justeru, Mahfuz menggesa kerajaan agar menyemak semula atau tidak meluluskan rang undang-undang GST yang banyak menimbulkan kontroversi.
Dewan Rakyat hari ini akan memutuskan sama ada rang undang-undang itu diluluskan atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan