Isnin, 2 Disember 2013

BUKAN PERTIKAIKAN KENAIKANNYA....CUMA BIAR MUNASABAH...RASUAH...PECAH AMANAH MEMANG HARAM....MENINGGALKAN SOLAT 5 WAKTU PUN TAK BOLEH TAPI BEKERJA...BAGAIMANA HUKUM GAJI ITU

SELAYANG: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, 63, meninggal dunia jam 8.17 malam ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Jenazah allahyarham dibawa balik ke rumah No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.
Dilahirkan pada  25 September 1950, di Kampung Pantai Besar,Batu Kurau, Perak,bapanya Shaari Musa turut terlibat menubuhkan Persatuan Ulama Malaya pada 23 Ogos 1951 bersama Ustaz Ahmad Fuad Hassan dan lain-lain.

Beliau menyertai PDRM pada April 1975.Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Diploma Sekolah Staf Komando Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Sesko ABRI) serta Diploma Sains Kepolisan.

Ketika menjawat Ketua Polis Dang Wangi, beliau gigih membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur walaupun mendapat bantahan kerana tindakan didakwa boleh menjejaskan aktiviti pelancongan.

Ketika itu banyak aktiviti maksiat di Sun Komplek, Wisma Bond dan beberapa tempat di daerah Dang Wangi.
Selepas menjadi Ketua Polis Selangor, beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Allahyarham menyertai PAS pada 20 Mei 2012 dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu majlis di Lumut, Perak.

Beliau bertanding mewakili PAS di kawasan Parlimen Larut pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu tetapi tewas kepada calon BN.

Mengulas kekalahannya dalam pilihan raya, beliau dilaporkan berkata: “Kita hanya kalah dalam pertandingan, namun tetap menang dalam setiap perjuangan yang kita lakukan sebelum ini.”

Pada 2005, Allahyarham menerima anugerah 'Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP)' daripada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail di Istana Negara.
KUALA LUMPUR: “Berbanding mulut dan perut disumbat rasuah dan wang pecah amanah, baiklah menerima gaji secara halal biarpun tinggi nilainya,” kata AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau berkaya, kiranya kenaikan gaji yang tinggi itu sepadan dengan tugasnya yang berat dan banyak, membantu masyarakat miskin dan berkongsi sebahagian pendapatannya dengan rakyat yang memerlukan, pula menghadapi kos sara hidup yang tinggi, maka ia berhak memilikinya.

Tambahnya, semoga dengan gaji yang telah cukup tinggi tidak lagi mendorong mereka culas menjalankan amanah secara tekun dan dedikasi serta mencari makan secara haram melalui rasuah dan pecah amanah.

“Namun kiranya masih memamah harta secara batil dan haram sedang gaji telah diberikan dengan kadar yang tinggi dan sangat mencukupi, maka ia adalah selaknat-laknat pemimpin,” tulisnya menerusi facebook.

Ahli Parlimen Temerloh itu menambah, gaji yang diberi adalah berbeza keadaannya dari satu segmen penerima dengan satu segmen penerima yang lain.

“Contoh gaji seorang guru adalah 100 peratus kembali kepada guru kecuali potongan wajib seperti KWSP atau cukai pendapatan dan sebagainya berbeza dengan gaji seorang wakil rakyat khususnya wakil rakyat pembangkang, sebahagian besar gajinya terpaksa diguna untuk menjalankan tugas rasmi sebagai wakil rakyat seperti kos pusat khidmat, bantuan fakir miskin, aktiviti ziarah, kenduri kendara, sakit mati dan sebagainya,” ujarnya.
MUKTAMAR PAS ke-59 telah seminggu berlalu. Senarai kepimpinan utama PAS Pusat, dewan-dewan telah diumumkan. Bagi PAS Pusat, Presidennya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diputuskan oleh muktamar sebagai menang tanpa bertanding. Sementara jawatan utama yang lain diputuskan melalui pertandingan.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, keputusan muktamar telah mengekal penyandang Haji Mohamad Sabu dan Naib Presiden turut mengekalkan Haji Salehuddin Ayub dan Haji Husam Musa di samping menyaksikan kembalinya Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ke jawatan Naib Presiden.
Sementara untuk pemilihan 18 anggota jawatankuasa kerja, muktamar turut memutuskan tokoh baru turut terpilih iaitu Ustaz Nasrudin Hassan dan Ustaz Nik Mohamad Abduh serta Dr. Ridhuan Mohd Nor. Mereka bertiga adalah bekas ketua dan timbalan ketua serta ketua penerangan Pemuda PAS Pusat.

TAHNIAH
Sementara sekalung tahniah untuk Dewan Ulama PAS Pusat kerana berjaya sebulat suara mengekalkan kesemua pimpinan tanpa bertanding. Di samping menyaksikan penglibatan ulama pelapis seperti Ustaz Mohd Asri Daud yang merupakan penerima anugerah tokoh ulama muda Negeri Kelantan.
Tidak ketinggalan, tahniah juga untuk Dewan Pemuda kerana mendapat pimpinan baru menerusi ketuanya Suhaizan Kaiat. Sementara Dewan Muslimat telah membuktikan kemantapan Siti Zailah Mohd Yusoff selaku ketua bersama-sama timbalan dan naib ketuanya telah dikekalkan mandate oleh perwakilan muktamarnya.
Tinggal lagi, akan berlaku perlantikan beberapa jawatan eksekutif untuk pasukan presiden dan ketua dewan-dewan membina saf yang padu menjalankan amanah parti. Ia sedang dirundingkan di kalangan penjawatan utama (yang terpilih di dalam muktamar) bagi memastikan siapa yang bakal menggalas tugas setiausaha dan penolong setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan ketua pengarah atau pengarah pilihan raya.
Menurut fasal 25 (4) perlembagaan PAS untuk PAS Pusat, Presiden berkuasa melantik mana-mana pimpinan PAS bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut, dan perlantikan itu hendaklah dipersetujui oleh mesyuarat. Demikian pula di peringkat dewan-dewan (fasal 45 (3) – Ulama, fasal 55 (3) – Pemuda, fasal 65 (3) – Muslimat) juga memperuntukkan kuasa untuk ketua melantik mana-mana pemimpin di dalam mesyuarat.

KUASA KHAS
Oleh kerana ini, presiden dan ketua-ketua dewan mempunyai kuasa khas, sementara ahli mesyuarat pula mempunyai kuasa terhormat untuk bersetuju di atas nama-nama yang dicadangkan oleh presiden atau ketua dewan. Berbekalkan semangat berjamaah, persetujuan perlantikan adalah amalan syura yang matang (tuntas) demi membuktikan misi ucapan dasar presiden dalam muktamar lalu diterima baik demi ‘rahmat untuk semua’ ahli PAS dan pelbagai lapisan masyarakat.
Sebagaimana diucapkan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam menyampaikan ucapan dasar muktamar lalu, Semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema ”RAHMAT UNTUK SEMUA”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat dan difahami bahawa dasar Islam ini dibawa oleh PAS. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Muktamar semata-mata.”
Justeru kandungannya merupakan disilplin jamaah dan suatu pengarahan jitu demi meletakkan perjuangan PAS di terima masyarakat. Hasrat ini bagi memastikan PAS berwadah Islam terus mara sebagai pembicara ummah dalam meraih rahmat Allah untuk segenap lapisan masyarakat. Di atas asas inilah, pembentukan saf kepimpinan PAS Pusat bagi menggalas tugasan sesi 2013 sehingga 2015 pastinya membutuh nilai-nilai berkepimpinan yang berupaya memenuhi citra perjuangan yang sebenar. Terutama dalam memperdanakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Sekaligus memenuhi ssikap Tuan Guru Priseden yang mahukan PAS berperanan besar bukan sekadar penumpang dalam arena politik tanah air mahu pun Pakatan Rakyat.

BERKONGSI KUASA
Komitmen politik (mencapai kuasa) dan pendekatan dakwah (memastikan rahmat) adalah serasi dengan misi meletakkan PAS mampu bersaingan dalam kuasa yang ada di Kelantan dan berkongsi kuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Di samping terus membina keyakinan bagi merapatkan jurang dengan pengundi Islam dan Melayu, terutama di Johor dan Pahang serta berupaya mengembalikan dominasi di Kedah serta beberapa negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
Demikian pula, peranan pengimbang gerakan politik dakwah PAS adalah Ulama, Pemuda, Muslimat dan Himpunan Penyokong sewajarnya memantapkan matlamat dan strategi masing-masing dengan pembinaan saf yang berpaksikan akhlak baik dan ilmu yang cukup. Semoga PAS terus kekal pembawa sinar Islam yang sentiasa merahmati ummah.
______________________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
TIADA pilihan raya kecil di Sabah atau mana-mana tempat di negara ini berlaku sekarang. PRK Sungai Limau pun sudah berlalu. Begitu juga pilihanraya umum, hampir pasti ia tidak akan berlaku dalam masa kurang dari tiga tahun dari sekarang. Maknanya lambat lagi PRU akan berlaku.

Tiba-tiba media melaporkan pemimpin 11 cabang KeADILan Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional. Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Akhmain Sabtu (Ketua Cabang KeADILan Kudat), Anthony Mandiau (Ketua Cabang Kota Marudu), Juhani Abd Halim (Ketua Cabang Silam), Mohd Jun (Ketua Cabang Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Ketua Cabang Kinabatangan), Lokman Ureh (Ketua Cabang Semporna), Timothy Lim (Ketua Cabang Sepanggar), Apandy Sipin (Ketua Cabang Pensiangan) dan Aris Remigius (Ketua Cabang Batu Sapi), Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu) dan Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud).

Mereka hadir mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut Pengerusi BN itu, akan berlaku gelombang kedua di mana lebih ramai anggota KeADILan keluar parti menyokong BN. Katanya, dengan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku bererti bahawa KeADILan di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya parti BN semakin kuat, semakin utuh dan semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah. Hebat juga perang saraf Najib.

Pengerusi KeADILan Sabah Datuk Seri Lajim Ukin pula mendakwa hanya lapan pemimpin KeADILan yang keluar daripada parti itu. Beliau berkata tiga daripada mereka adalah ketua cabang dari Kinabatangan, Kota Marudu dan Silam.
    
"Sementara selebihnya adalah terdiri daripada pemangku, naib ketua dan ahli-ahli biasa manakala Cabang Beluran masih belum mendapat kepastian," katanya pada sidang media.

Lapan atau 11 bukan persoalannya sekarang. Isunya ialah, apa yang sebenarnya berlaku sehingga berlaku tindakan nekad keluar parti beramai-ramai itu? Soalan tersebut tidak memerlukan jawapan sebenarnya. Mereka mengadakan sidang media bersama Najib. Apa sahaja alasan terhadap terhadap tindakan mereka tidak boleh dipakai kerana dalangnya BN dan Najib.

Sejurus selepas PRK Sungai Limau baru-baru ini, bekas Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah Dato’ Wan Salleh Wan Isa juga isytiharkan keluar parti. Wan Salleh bukan orang kecil tapi beritanya keluar parti sudah tidak jadi besar. Sebabnya, cerita keluar parti dalam KeADILan terlalu lumrah serta tiada lagi nilai berita.

Sejak ditubuhkan pasca era reformasi 1998 hingga kini, senarai keluar parti oleh para pemimpin dan ahli-ahli dalam KeADILan terlalu panjang. Boleh dicatat dalam World Records of Guinness Book sebagai parti politik yang paling ramai pemimpin keluar parti namun parti masih bertahan.

Di peringkat awal KeADILan menjejak kaki dalam politik, tindakan keluar parti oleh anggotanya dianggap sebagai pembersihan. Malahan selepas menang agak besar PRU12 pun, tindakan melompat parti oleh ramai wakil rakyatnya masih dianggap proses pembersihan parti. Sama ada terlalu banyak kotoran atau tersalah sabun, proses pembersihan berlaku dalam KeADILan sehingga tumbangnya sebuah negeri iaitu Perak. Kini selepas empat kali PRU tanggapan bahawa ianya adalah proses pembersihan parti sudah tidak boleh dipakai.

Dalam sejarah Malaysia, hanya dua parti yang didominasi oleh Melayu/Islam dapat bertahan lebih 50 tahun iaitu PAS dan Umno. Nasma, Berjasa, Hamim, Semangat 46, Kita – semuanya sama ada sudah berkubur atau boleh dianggap sudah berkubur. Antara sebab mereka berkubur ialah kerana mereka pembangkang. Ketidaksanggupan para pemimpin mahupun ahli-ahlinya untuk berkorban sedangkan ‘tiada hasil’ yang diperolehi dalam tempoh parti belum berkuasa adalah penyebabnya. Apatah lagi bila datang tawaran dari parti pemerintah Umno yang sering mengumpan dengan laba duniawi, maka seorang demi seorang pemimpin parti-parti tersebut tewas. Strategi yang digunakan BN terhadap parti-parti tersebut, itulah yang sedang digunakan untuk menghadapi KeADILan.
Umno masih bertahan kerana Malaysia dianugerahkan kemerdekaan melalui Umno. Lalu Umno memperalat dan menyalahgunakan sepenuhnya kuasa yang dimiliki untuk mempertahankan kuasa mereka. Talian hayat Umno ialah kuasa dan wang, tanpanya Umno sudah berkubur macam parti Melayu yang lain.
PAS juga tidak berkubur, malah masih gagah hingga kini. Rahsianya kerana PAS berjuang berlandaskan Islam. Setiap anggota PAS adalah pejuang Islam yang ikhlas berjuang kerana Allah semata-mata. Matlamat utama para pejuang PAS ialah akhirat, bukan dunia semata-mata. Kerana Allah jadi matlamat dan sehingga kini ia didokong oleh kepimpinan yang ikhlas kerana Allah maka perjuangan PAS tidak berkubur.
Ancaman terbesar bagi BN ialah Pakatan Rakyat yang di dalamnya terdapat PAS, KeADILan dan DAP. Di samping BN berusaha untuk memecahkan perpaduan dalam Pakatan sebagai strategi utama mengekalkan kuasa, BN akan berusaha melumpuhkan mana-mana parti komponen dalam Pakatan. BN sedang melakukan kerja keras untuk menghancurkan KeADILan sebab sedar ia adalah parti yang mereka rasa ‘boleh makan’, berbanding PAS dan DAP. BN telah melakukan dengan agak berjaya pasca PRU12 hingga menjelang PRU13. Apa yang berlaku terhadap KeADILan adalah antara sebab yang menyumbang kemerosotan orang Melayu terhadap Pakatan.
Satu lagi sebab utama mengapa KeADILan mesti dilumpuhkan ialah, parti itu semacam pengikat perpaduan antara PAS dan DAP, dua komponen Pakatan yang berbeza ideologi. Bagi BN, tanpa KeADILan atau lebih tepat lagi tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka PAS dan DAP mudah direnggangkan. Itu teori mereka.
Terdapat laporan bahawa grand design BN sekarang ialah cuba menghancurkan keADILan menjelang PRU14 melalui apa cara sekalipun. Sebab itulah tindakan melumpuhkan parti tersebut dibuat tanpa mengira musim lagi. Apabila seorang Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN sendiri bercakap mengenai gelombang kedua kehancuran KeADILan, maknanya visi tersebut merupakan perancangan besar mereka.
KeADILan dan rakan kerjasama PAS dan DAP kena memikirkan sesuatu dengan serius untuk mengekangnya, bagi mempastikan perjalanan ke Putrajaya PRU14 tidak terbantut lagi.
GEORGE TOWN:  Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menggunakan gelaran 'kucing kurap' kepada beberapa pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 16 Nov lepas.
               
Beliau membuat permohonan maaf itu pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang berlangsung di sini setelah digesa berbuat demikian oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh semasa menyampaikan ucapan pada konvensyen itu.
               
Sejurus selepas Karpal Singh selesai berucap, Ooi tiba-tiba berdiri dan berkata beliau dengan ikhlas membuat permohonan maaf kerana telah melukakan hati beberapa pihak.
               
"Saya akan ikut apa sahaja yang diminta Karpal Singh, 'the Lead Tiger said dan the Little Tiger will follow" (Bapak Harimau suruh, Anak Harimau ikut sajalah)," katanya.
               
Ooi kemudiannya bersalaman dengan Karpal Singh dan disambut dengan tepukan dan sorakan daripada 659 perwakilan yang hadir pada konvensyen bertemakan 'Terus Meneraju, Mendakap Masa Depan' itu.
               
Pada 24 Nov lepas, Ooi mengaku memberi label 'kucing kurap' kepada beberapa  pegawai MPPP pada 16 Nov atas alasan kerana mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai  kedudukan penjaja di Jelutong selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.
               
"You are insulting me by sending a lower officer itu 'kucing kurap' (anda menghina saya dengan menghantar pegawai pangkat rendah itu 'kucing kurap')... kita nak selesaikan masalah tetapi pegawai kanan itu serah kepada seorang yang lebih junior dan  mereka tidak boleh buat keputusan," kata Ooi.
               
Terdahulu, Karpal Singh dalam ucapannya telah menggesa Ooi membuat permohonan maaf kerana gelaran 'kucing kurap' merupakan satu penghinaan.
               

"Kucing kurap itu suatu penghinaan, apa maknanya...seorang insan yang tidak  berguna, saya rasa itu yang dimaksudkannya, mesti hormat dan tiada sesiapa pun yang boleh  dipandang rendah," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: