Pakatan Rakyat memberikan kata dua kepada Datuk Seri Najib Razak agar menghentikan siri kenaikan kos sara hidup, atau berhadapan risiko kehilangan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa terdekat jika terus berbuat demikian.

Amaran keras itu dilontar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang percaya kedudukan Najib sekarang semakin goyah, berdasarkan dapatan tinjauan badan pengkaji Merdeka Center, baru-baru ini.

"Dalam banyak-banyak yang naik, ada satu yang turun - populariti Najib yang semakin turun.


"Kalau dia berani naikkan apa-apa lagi, dalam masa tiga atau empat bulan ini dia akan terpaksa turun daripada jadi perdana menteri.


"Kalau berani dia naikkan harga barang, kita akan turunkan Najib Razak daripada kerusi perdana menteri," kata anggota Parlimen Pandan itu di ibu negara lewat malam semalam.



Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen 'Faham GST, Tolak GST' yang disempurnakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Tinjauan Merdeka Center mendapati populariti Datuk Seri Najib Razak di kalangan pengundi menjunam 10 mata kepada 52 peratus dalam bulan Disember dan merekod tahap paling rendah sejak dilantik sebagai perdana menteri pada September 2009.


Tinjauan itu dibuat selepas pengurangan subsidi bahan bakar pada September 2013, pembentangan belanjawan negara 2014 sewaktu kerajaan mengumumkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenyataan tambahan berkenaan kenaikan tarif elektrik yang bermula pada Januari 2014.

Terkini, pemilik hartanah di Kuala Lumpur bakal berhadapan kenaikan kadar cukai taksiran bermula bulan Januari 2014.

Sidang khas bincang aset negara

Sementara itu, Anwar dalam ceramahnya berkata beliau akan menggesa Najib mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan kemungkinan aset negara dijual untuk memperbaiki kadar defisit negara seperti dilaporkan Bank Dunia.


Menurut Anwar, perkara itu dipersetujui pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menerusi mesyuarat yang berlangsung sebelum pelancaran kempen malam tadi.


"Jadi hari Isnin surat akan sampai kepada Datuk Seri Najib, kena ada sidang khas parlimen (untuk bincangkan) kenapa jual aset negara," kata Anwar.


Terdahulu, beliau melancarkan kempen 'Faham GST, Tolak GST' di kawasan padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.


Walaupun hujan turun renyai-renyai sehingga menyebabkan padang basah dan lecak seperti sawah padi, majlis itu tetap berjaya menarik kehadiran kira-kira 500 orang yang setia menunggu sehingga acara selesai.



Majlis yang bermula pada jam 9.30 itu hanya selesai kira-kira sepuluh minit sebelum jam 12 tengah malam.


Turut hadir adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penasihat anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.