Rabu, 25 Disember 2013

INI KIASAN SAJA....UNTUK LALU LEBUHRAYA KENA TOL...DAN MUNGKIN TERUS NAIK...SAPE2 BOLEH MASUK JANJI BAYAR TOL...TIDAK SYURGA ALLAH SWT....TOL SYURGA IALAH RAHMAT DARI ALLAH SELEPAS TAKWA....KUNCI SYURGA IALAH KALIMAH 'LA'ILAHA'ILLALLAH' 'لا إله إلا الله'

KUALA LUMPUR: Majistret menolak permohonan polis untuk menahan reman selama tujuh hari terhadap Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Azan Safar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Peguam Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan pihaknya telah berhujah bagi membantah permohonan pihak polis itu kerana alasan yang tidak munasabah.

"Sebentar tadi kita telah berhujah di hadapan majistret apabila pihak polis memohon untuk menahan reman Azan selama tujuh hari.

"Hujah yang kita berikan adalah penahanan tersebut tidak munasabah dan kita meminta agar pihak polis membebaskan tahanan tersebut.

"Majistret telah menerima alasan yang kita berikan dan membenarkan pihak polis melengkapkan proses mengambil keterangan sebelum Azan dibebaskan," katanya.

sebelum itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) telah bertindak bagi membantu Azan.

Azan telah ditahan oleh pihak polis kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika sedang makan bersama kawan-kawannya di sebuah restoran di Kampung Baru.

Beliau ditahan di bawah seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan seksyen 124C Kanun Keseksaan.
KUCHING: Polis hari ini menyangkal khabar angin pusat pemeriksaan di Tebedu, Serian sempadan Malaysia-Indonesia, kira-kira 95 km dari sini, ditutup kerana kononnya berlaku kekacauan di Pontianak, ibu kota wilayah Kalimantan Barat Indonesia.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohd Jamali Uni berkata pusat pemeriksaan itu dibuka seperti biasa dan beroperasi selama 12 jam sehari dari pukul 6 pagi.

Beliau memberitahu Bernama bahawa perkhidmatan bas awam antara Kuching dan Pontianak juga kembali beroperasi seperti biasa selepas perkhidmatannya terjejas minggu lepas kerana dakwaan berlaku peras ugut dalam perjalanan (di wilayah Indonesia).

"Walaupun wujud dakwaan sedemikian, kami tidak menerima sebarang laporan lagi (daripada pengusaha bas) dan sungguhpun keadaan nampak kembali normal, kami akan terus membuat pemantauan," katanya.

Sementara itu, sumber dari Imigresen di sini bersetuju dengan Mohd Jamali dan berkata tiada arahan dikeluarkan untuk menutup pusat pemeriksaan itu buat sementara atas sebab keselamatan.

Pusat pemeriksaan Tebedu ialah satu daripada beberapa laluan yang menghubungkan Sarawak dan Kalimantan Indonesia. Perkhidmatan bas di laluan itu dikendalikan oleh empat syarikat bas ekspres Sarawak dan dua dari Indonesia.

Terdapat dakwaan daripada pengusaha bas bahawa bas yang memasuki Pontianak dari Sarawak dihalang oleh sekumpulan orang yang menuntut wang, untuk membolehkan mereka meneruskan perjalanan, dan berikutan itu beberapa pengusaha bas di Sawarak enggan menjalankan perkhidmatan di laluan itu. - Bernama


 
 
Di negara komunis china. PERASUAH di tembak mati depan publik kerana rasuah boleh menjahanam negara. Begitulah kuta nampak hudud diamalkan oleh org bukan Islam. Di Malaysia. Jika perasuah di tembak mati macam ni. Rasanya semua kerusi menteri HILANG gitu jer.. dalam parliament tu kosong.. yang ada kerusi pembangkang..

KOTA BHARU: Sultan Brunei baru-baru ini menerima mengadap Menteri Besar Kelantan bagi merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan kerajaan Brunei melaksanakan Kanun Perintah Jenayah Syariah 2013.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pada hari pertama kunjungan itu Sultan Brunei memberi peluang rombongan dari Kelantan mengadap baginda.

“Ini satu penghormatan besar yang diberi kepada kerajaan Kelantan. Malah Tuanku bertitah kepada beberapa jabatan supaya memberi penjelasan kepada rombongan dari Kelantan.

“Kita berkesempatan mengunjungi Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Peguam Negara, Mahkamah Syariah dan Pejabat Mufti Brunei.

“Di Kementerian Hal Ehwal Agama diadakan perbincangan dari hati ke hati. Manakala di Jabatan Peguam Negara pula kita bersempatan mendengar taklimat bagaimana pelaksanan panel code seiring dengan Kanun Jenayah Syariah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Rombongan dari Kelantan seramai 10 orang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, anggota Exco, Mufti, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhamad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Kunjungan selama empat hari itu bermula pada 16 Disember lalu. Penginapan dan segala keperluan di Brunei dibiayai kerajaan Brunei.

Ahmad berkata, hasil perbincangan tersebut memperlihatkan kehebatan negara Brunei di bawah pemerintahan Sultan sekarang, menggunakan kuasa yang ada pada baginda.

“Pelaksanaannya tidak perlu melalui parlimen seperti di Malaysia. Ini kerana setiap titah sultan akan menjadi sebahagian undang-undang,” ujarnya.

Pelaksanaan kanun tersebut dibuat melalui tiga peringkat, fasa pertama bermula selepas enam bulan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 diwartakan.

Fasa kedua selepas 12 bulan daripada tarikh Perintah Kanun Peritah Jenayah Mahkamah Syariah diwartakan.

Dan fasa ketiga, selepas 24 bulan tarikh Perintah Kanun Perintah Jenayah Mahkamah Syariah diwartakan.

“Maklumat itu cukup penting bagi kita di Kelantan. Ini memberi ransangan kepada kerajaan Kelantan lebih bersedia untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada 1993,” katanya.

Menurutnya juga rakyat Brunei pelbagai kaum dan agama menerima perundangan itu tanpa ada sebarang bantahan.

“Cuma ada kedutaan asing datang untuk mendapatkan pencerahan,” katanya.

(Ikuti tembual ekslusif dalam Harakah cetak akan datang)

 

“Ambil lebuh raya ini. Bayar tak apa. Lebih cepat sampai. Jimat minyak,” itulah kata-kata seorang rakyat jelata 10 tahun yang lalu ketika mengambil keputusan sama ada ingin menggunakan jalan yang biasa atau lebuh raya bertol.

Dulu, menggunakan lebuh raya bertol adalah satu pilihan kemewahan. Bayaran tol dikembalikan dalam bentuk servis “menjimatkan masa dan minyak.” Rakyat membayar tol untuk keselesaan jalan yang lebih luas, menjimatkan masa dan juga minyak.

Tapi kini, situasi sudah berlainan. Jumlah kereta di jalan meningkat dari hari ke hari. Jalan raya semakin sesak. Lebuh raya bertol telah bertukar menjadi sebahagian daripada jalan keperluan biasa untuk rakyat bekerja daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, terutamanya di kota.

Menggunakan lebuh raya bertol pada hari ini, bukanlah lagi satu pilihan seperti dulu, tapi ia adalah satu keperluan. Tapi mutu servis yang dikembalikan daripada harga tol yang dibayar semakin kurang.

Lebuh raya bertol, ya ia masih lebih luas daripada jalan biasa, tapi ia juga sesak seperti jalan biasa. Masa dan minyak yang sepatutnya dapat dijimatkan, tidak lagi dapat dijimatkan kerana kesesakan. Maka nilai tambahan pada rakyat yang sanggup membayar tol semakin kurang.

Berdasarkan ini, mengapakah rakyat masih perlu membayar kadar tol yang semakin tinggi sedangkan nilai tambahan menggunakan lebuh raya bertol semakin berkurangan?

Lebih-lebih lagi apabila lebuh raya bertol kini bukan satu lagi pilihan kemewahan, tapi satu keperluan untuk kebanyakan rakyat di kota?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat ada dua pilihan, sama ada membayar tol yang lebih tinggi atau membayar cukai yang lebih tinggi.

Apa kaitan kadar tol dengan cukai rakyat? Bukannya dua-dua dibayar oleh duit rakyat? Bezanya jika rakyat membayar kadar tol yang tinggi, mereka membayar kepada syarikat konsesi tapi jika rakyat membayar cukai yang tinggi, mereka membayar pada kerajaan.

Persoalannya, mengapa perlu menaikkan kadar tol? Dari segi jumlah kenderaan yang meningkat dari hari ke hari, keuntungan syarikat konsesi tol sudahpun berlipat kali ganda.

Apakah ada syarikat konsesi tol yang mengalami kerugian, atau keuntungan menurun untuk tiga tahun kebelakangan ini?

Sebelum menaikkan tol, bolehkah kerajaan dapat membuktikan mana-mana penyata kewangan syarikat konsesi tol yang rugi dan mencapai keuntungan menurun untuk tiga tahun berturut-turut?

Jika ada syarikat konsesi tol yang rugi, kerajaan tidak perlu berdolak-dalih untuk menukar pengurusan atau mengambilalih syarikat konsesi tersebut, kerana masakan perniagaan yang pasti untung ini boleh diuruskan sehingga mencapai kerugian?

Jika tiada syarikat konsesi tol yang mengalami kerugian mahupun keuntungan menurun, MENGAPA perlu menaikkan kadar tol?

Perdana Menteri juga harus ingat bahawa perniagaan tol ialah satu perniagaan menawarkan khidmat servis, seperti juga servis telekomunikasi telefon.

Dalam perniagaan khidmat servis, jarang ada perniagaan yang menaikkan harga servis tatkala jumlah pelanggan bertambah setiap hari tanpa perlu melakukan apa-apa (kerana rakyat terpaksa menggunakan lebuh raya bertol masa kini).

Bagi perniagaan sebegini, sepatutnya harga servis semakin menurun apabila jumlah pelanggan semakin bertambah, lebih-lebih lagi syarikat konsesi tol yang diswastakan kerana infrastruktur jalan adalah satu tanggungjawab sosial.

Seperti juga syarikat telekomunikasi, telefon bimbit berdata internet kini sudah menjadi satu keperluan dan bukan lagi satu kemewahan, dan oleh itu kadar servis untuk menggunakan infrastruktur telekomunikasi bertambah murah, namun keuntungan syarikat telekomunikasi tetap berlipat ganda kerana jumlah pelanggan semakin meningkat.

Boleh untung, tapi haruslah berpatutan.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, sememangnya tiada alasan untuk menaikkan kadar tol, terutamanya daripada sudut rakyat.

Jadi mengapa Perdana Menteri menyuruh rakyat memilih antara menaikkan kadar tol dan membayar cukai yang lebih?

Jawapannya tidak lain tidak bukan pada perjanjian yang ditandatangani kerajaan dengan syarikat konsesi tol.

Dalam kemelut mengawal kemarahan rakyat, Perdana Menteri dan barisan kabinetnya langsung tidak berani menyentuh mengenai perjanjian konsesi tol yang masih di bawah OSA.

Hal ini kerana apa yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi tol akan lebih membangkitkan kemarahan rakyat daripada kadar kenaikan tol yang dicadangkan.

Apakah Perdana Menteri akan berani menjelaskan kaitan sebenar kenaikan kadar tol dengan cukai rakyat, dengan pampasan yang harus dibayar kerajaan pada syarikat konsesi tol akibat perjanjian konsesi tol yang tidak berani didedahkan atas nama “subsidi” untuk rakyat?

Mengapa perlu naikkan kadar tol pada syarikat konsesi yang tidak AKAN mengalami masalah perniagaan seperti kerugian besar daripada perniagaan mengutip tol daripada jumlah pelanggan yang semakin bertambah?

Dan mengapa kerajaan sanggup menandatangani satu perjanjian untuk membenarkan kadar tol dinaikkan secara berkala oleh syarikat konsesi yang tidak AKAN mengalami masalah kerugian daripada perniagaan mengutip tol daripada jumlah pelanggan yang semakin bertambah?

Pada kerajaan Selangor yang mengarahkan pemegang sahamnya di syarikat konsesi lebuhraya untuk menghalang kenaikan harga tol: -- Jika betul dapat menghalang kenaikan harga tol, mengapa tidak cuba terus untuk mengubah perjanjian konsesi tol dengan kerajaan supaya tol boleh dimansuhkan dengan secepat mungkin setelah mencapai tahap keuntungan tertentu?

Cuma lontaran untuk difikirkan.
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyisatkan segera peruntukan baja subsidi sebanyak RM4 juta yang didakwa seorang pemimpin Umno diberi kepada kerajaan negeri, namun tidak diterima sehingga sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, dakwaan dibuat pemimpin terbabit begitu serius, kerana sehingga kini peruntukan yang didakwa itu tidak pernah sampai kepada kerajaan negeri.

“Sebagai wakil rakyat dan pemimpin Umno di peringkat bahagian tentunya dakwaan dibuat berasaskan fakta. Ini kerana sejak 1990 sehingga sekarang kerajaan negeri tidak pernah menerima peruntukan bagi mengeluarkan baja subsidi padi.

“Sebaliknya kerajaan negeri menggunakan peruntukan sendiri sebanyak RM2 juta setahun bagi mengeluarkan baja subsidi padi kepada petani yang dinafikan mendapat baja subsidi cap dacing dikeluarkan kerajaan pusat.

“Jadi kita hendak tanya ke mana wang peruntukan sebanyak RM4 juta setahun disalurkan, sekiranya benar seperti didakwa pemimpin Umno terbabit, ini suatu yang serius,” katanya di sini.

Baru-baru ini Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman dilaporkan mendakwa kerajaan pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta setahun kepada kerajaan negeri bagi membekalkan baja subsidi kepada petani.

Oleh itu beliau mendesak SPRM menyiasat segera penyelewengan tersebut.

Che Abdullah juga berkata, sepatutnya kerajaan negeri tidak mengeluarkan sendiri baja subsidi padi memandangkan baja tersebut tersebut sudah dikeluarkan kerajaan pusat.

Bagaimanapun malangnya kata beliau baja subsidi cap dacing tidak diagih sebagaimana sepatutnya apabila petani tidak menyokong Umno dihalang mendapatkannya.

Pada awal 1990-an petani dipaksa mengisi borang Umno bagi membolehkan mereka mendapat baja subsidi cap dacing.

Ekoran masalah itu, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan sendiri baja subsidi pagi bagi membolehkan petani yang dinafikan hak dapat mengusahakan sawah.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara perlu menyiasat segera kerana sehingga sekarang kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada pusat bagi menyediakan baja subsidi padi.

“Cuba bayangkan dalam tempoh 23 tahun sudah tentu jumlahnya lebih RM90 juta. Ini suatu jumlah yang cukup besar dan perlu disiasat segera penyelewengan wang rakyat,” ujarnya.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Azan Safar akan akan disiasat polis di bawah seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 10.00 pagi ini.

Akta tersebut dibaca bersama seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Azan ditahan reman kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika sedang makan bersama kawan-kawannya di sebuah restoran di Kampung Baru.

Sehubungan itu, sekumpulan anak muda akan bersolidariti untuk Azan di hadapan IPD Dang Wangi bermula jam 9.00 pagi ini.

"Mohon terus bersolidariti berikan sokongan. Perjuangan tida kakan berhenti di sini," katanya melalui mesej pesanan ringkas lewat tengah malam tadi.

Azan sebelum ini melancarkan Turun di hadapan Kompleks Membeli-belah Sogo sewaktu pelancaran Turun.

Turun merancang untuk mengadakan himpunan sewaktu sambutan ambang tahun baru 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebagai protes kenakan harga barang dan perkhidmatan.

Rahsia kalimah Tauhid dan keseimbangan


Islamic wallpaper
Assalaamu'alaikum. Dalam kalimah Tauhid iaitu La Ilaha Ilallah mempunyai dua bahagian iaitu Nafi dan Itsbat.
Nafi / An-Nafyu (penafian) - La Ilaha , tiada Tuhan yang selayaknya disembah, iaitu menafikan tuhan yang lain.
Itsbat (menetapkan) - Illa-Allah , melainkan Allah. Iaitu menetapkan hanya Allah lah satu-satunya Tuhan.
Kaitan kalimah Allah, Muhammad, dan Tauhid di bawah tiada disebut dalam nas-nas AlQuran atau AlHadits. Dan ianya tidak semestinya betul, cuma kaitannya ada dengan sains dan matematik.

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi atau daripada diri mereka ataupun daripada apa yang mereka tidak mengetahuinya.”  [Surah Ya Sin, 36 : Ayat 36)

Ayat tentang BERPASANGAN atau KESEIMBANGAN dalam Surah Yasin di atas pun sudah menunjukkan keseimbangan pada surahnya yang ke 36 dan menyebutnya pada ayat yang 36.
Ada keseimbangan (balance) pada perkataan Allah dan Muhammad dalam Bahasa Arab. Begitu juga dengan kalimah Tauhid yang penuh.  Sila lihat di bawah;

الله  
= 4 huruf, iaitu Alif lam lam ha'
محمد
= 4 huruf , mim haa' mim dal
لا إله إلا الله
= 12 huruf
محمد رسول الله
= 12 huruf

4 + 4 = 8
12 + 12 = 24

Dalam sehari ada 24 jam. 24/8 = 3. Islam terbahagi kepada 3 cabang besar iaitu Aqidah (Tauhid / Usuluddin), Fiqh (Syariah) dan Akhlak (Ehsan / Tasawwuf). 3 ilmu tersebut ialah Ilmu Fardhu 'Ain yang wajib ke atas setiap Muslim mempelajarinya.

Dalam setahun ada 12 bulan kesemuanya, dan 4 bulan Haram iaitu Dzulqa'idah, Dzulhijjah, Muharram dan Rajab.

"Satu tahun itu ada 12 bulan. Di antaranya ada 4 bulan haram, iaitu 3 bulan berturut-turut, Dzulqa'idah, Dzulhijjah, dan Muharram serta Rajab yang berada di antara bulan jumada dan sya'ban." [Hadits Riwayat Bukhari no 2958]

Nabi Muhammad S.a.w lahir pada 12 Rabi'ul Awwal dan wafat juga pada 12 Rabi'ul awwal.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam karyanya dengan sanad daripada Jabir dan Ibnu Abbas, sesungguhnya baginda S.a.w telah dilahirkan pada tahun gajah hari Isnin, 12 Rabiulawal, padanya (12 Rabiulawal), aku diangkat ke langit (mi'raj), dan padanya berlaku hijrah, dan padanya juga wafat. (Ibn Kathir, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, cet:1, 2005, hlm: 35)

Nabi Musa a.s pernah memukul batu dengan tongkatnya hingga terpancarlah 12 mata air.  “Dan (ingatlah) tatkala Musa mintakan air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah batu itu dengan tingkat kamu’. Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air yang sesungguhnya setiap golongan itu mengetahui tempat minumnya”. [Surah Baqarah, ayat 60]
Imam As-Syafi’e rahimahullah, dan juga sebahagian besar para ‘ulama mengatakan bahawa perkataan Allah itu tiada kata asalnya, dan tiada sebarang perkataan lain yang terbit dari perkataan Allah. Nama itu merupakan namanya yang agung, sebagaimana Dia memperkenalkan diriNya kepada Adam.
Walaubagaimana pun ada juga pendapat yang mengatakan kalimah  محمد  itu ada 5 huruf, kerana ada satu huruf "mim" rahsia yang ditasydidkan. Cuma kita ambil sekarang ini kalimah   محمد  yang nampak jelas dan biasa digunakan sahaja.
Kedua-dua nama Allah dan nama Adam bermula dengan huruf Alif (ا).  Dan nama lain bagi Muhammad juga bermula dengan huruf Alif iaitu "Ahmad".
Sabda Rasulullah S.a.w yang bermaksud, "Sebaik-baik zikir adalah La Ilaha Illa-Allah, dan sebaik-baik doa ialah Alhamdulillah." (Hadits Riwayat Bukhari)
Sedikit berkenaan lafaz "alhamdulillah", Imam Fakhrul Razi di dalam kitab tafsirnya berkata bahawa perkataan Alhamdulillah ada 8 huruf dan pintu-pintu syurga juga ada 8, maka barangsiapa yang mengucapkan perkataan Alhamdulillah dengan keikhlasan dan kebersihan hatinya maka dia layak memasuki kelapan-lapan pintu syurga di akhirat nanti.
Beliau juga berkata bahawa kalimah pertama yang diucapkan oleh Nabi Adam a.s ialah Alhamdulillah apabila roh sampai ke pusatnya.

الْحَمْدُللّهِ
= 8 huruf

Maka, perkataan Alhamdulillah berkait dengan Nama Allah dan Muhammad. Iaitu 4 huruf + 4 huruf = 8 huruf.
Alhamdulillah (الْحَمْدُللّهِ)  bermaksud - "Segala puji bagi Allah"
Muhammad (محمد)  bermaksud - "Yang terpuji"
Alhamdu dan Muhammad kedua-duanya berasal dari perkataan "hamida" (حَمِدَ) yang bermaksud "memuji".

Arsy terdiri dari 4 tiang yang dijunjung oleh 4 malaikat. Dan pada Hari Kiamat nanti ia akan dijunjung oleh 8 malaikat.

"Dan pada hari itu (Hari Kiamat) lapan malaikat menjunjung (memikul) ‘Arsy Tuhan-mu di atas (kepala) mereka." [Surah Al-Haaqqoh : 17]

Sila baca juga Betapa BESARnya alam ciptaan Allah S.w.t
Tambahan:
Rasulullah S.a.w diangkat menjadi Rasul pada usia 40 tahun.

Sumber hukum (perundangan) dalam Islam ada 4, iaitu AlQuran, AlHadits, Ijma' Ulama dan Qias.

Nombor 4 juga ada kaitan dengan Khulafa' Ar-Rasyidin iaitu 4 khalifah utama selepas wafatnya Nabi Muhammad S.a.w.
Anggota WAJIB Wudhu' juga ada 4 iaitu muka, sebahagian kepala, kedua tangan hingga siku, dan kedua kaki hingga buku lali.

Roh melalui 4 alam iaitu Alam Roh, Alam Dunia, Alam Barzakh dan Alam Akhirat.
AlQuran diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.a.w di zaman masyarakat jahiliyyah yang mengagungkan sastera dan bahasa-bahasa indah. Dan sekarang adalah zaman sains dan teknologi, tetapi AlQuran tetap bersinar dengan rahsia-rahsia menariknya yang menunjukkan ia adalah mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.a.w dari Yang Maha Mencipta lagi Maha Bijaksana, subhanAllah, alhamdulillah, Allahu akbar!.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur’an itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” Surah Fushshilat : Ayat 53 
Wallahu a'lam ..
p/s: Tidak ketinggalan, puak Illuminati dan sekutu-sekutunya juga dari dulu lagi suka dengan pernomboran dan meletakkan kod-kod rahsia dalam binaan dan ciptaan mereka, mungkin kerana mahu mencabar AlQuran dan kitab-kitab wahyu dari Allah .......
Jika anda ada mahu tambah apa-apa yang berkaitan, dipersilakan dengan segala hormatnya, sama-sama kita berkongsi, terima kasih :)



Kalimah Tauhid Kunci Syurga?

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua pengunjung yang setia di sini.





Kalimah tauhid iaitu kalimah ‘Laa Ilaaha Illallah’ kadang-kadang disebut juga dengan istilah Kalimah Ikhlas ataupun Kalimah suci. Pembahasan tentang rukun dan syarat kalimah mulia ini dapatlah dikategorikan ke dalam perbahasan yang sangat mustahak dan wajib dimaklumi oleh setiap muslim. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mengetahui rukun syarat kalimah tauhid adalah lebih utama daripada mengetahui rukun-rukun Islam yang lain.

Secara amnya Rukun Kalimah Tauhid terbahagi kepada dua :


Nafi.
Iaitu menafikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah. Kalimah tersebut adalah “Laa Ilaaha”.

Ithbat.
Iaitu menetapkan bahawa hanya Allah yang berhak disembah. Dan kalimahnya pula adalah “Illallah”.


Kalimah tauhid ini datangnya dalam bentuk nafi dan ithbat kerana bentuk demikian adalah lebih murni natijahnya jika dibandingkan dengan hanya ithbat. Kalaulah kalimah tauhid datangnya hanya dalam bentuk ithbat, seperti :

“Tuhan adalah Allah”

Maka kalimah tersebut hanya menetapkan bahawa Tuhannya adalah Allah tetapi kalimah tersebut tidak menolak kemungkinan bahawa ia juga mempunyai Tuhan selain daripada Allah Ta’ala.

Sebagai renungan, perhatikan pula kata-kata ini : “Saya Makan Nasi”.

Dalam ayat ringkas tersebut ia hanya mengithbatkan (menetapkan) bahawa ia makan nasi tetapi kalimah tersebut tidak menolak kemungkinan ia juga makan makanan yang lain bersama nasi seperti lauk-pauk, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Dan ini berbeza jika ia mengatakan : Saya Tidak Makan Apapun Kecuali Nasi”.

Ayat ini pula memberi gambaran bahawa ia memang makan nasi dan saat yang sama ayat tersebut juga menafikan kemungkinan bahawa ia makan sesuatu selain daripada nasi.

Demikianlah perbezaannya jika kita menggunakan Nafi dan Ithbat untuk kalimah tauhid. Kalimah tersebut bukan hanya berperanan menetapkan bahawa hanya Allah sebagai Tuhan, tetapi pada masa yang sama juga menolak segala jenis tuhan-tuhan yang lain. Saya akan cuba huraikan dan kongsikan pula berkenaan dengan ‘Syarat Kalimah Tauhid’ sebagai perbincangan kita seterusnya. Diharapkan agar pembaca di luar sana dapat memahaminya dan berfikiran ikhlas serta terbuka setiap apa yang saya kongsi dan huraikan ini sebagai wadah ilmu yang bermanfaat untuk diri saya dan anda yang berada di luar sana. Insya’Allah.



Syarat Kalimah Tauhid.
Terdapat ramai di kalangan kita yang keliru dalam memahami tentang Hadith Nabi SAW yang bermaksud :

“Barang siapa yang berkata : Laa Ilaaha Illallah, dia akan masuk syurga”


Benarkah sedemikian?


Ramai berpendapat bahawa dengan hanya mengucapkan kalimah tauhid maka mereka terjamin akan masuk syurga. Padahal sebenarnya ia tidaklah sedemikian. Saya ulangi sekali lagi ia tidaklah sedemikian. Sesungguhnya bagi mereka yang mempunyai sangkaan sedemikian telah terpedaya dan tidak memahami kehendak kalimah tersebut.

Makna kalimah tauhid yang sebenarnya ialah membebaskan diri daripada segala bentuk penyembahan dan berikrar menunpukan segala jenis ibadah hanya kepada Allah Yang Maha Esa serta melaksanakannya sesuai dengan apa yang disukai dan diredhai oleh-Nya.

Oleh sebab itu sesiapa yang tidak mematuhi ketentuan di atas, seperti orang yang beribadah kepada Allah tetapi masih juga memohon kepada wali-wali atau orang-orang salih dalam doa atau nazarnya malahan ada yang sanggup meminta pertolongan dari Iblis dan Syaitan Laknatullah, maka perbuatannya itu akan merosakkan kalimah tauhid yang diucapkannya dan kalimah tersebut tidak akan dapat membantunya di akhirat kelak.



Bagi meraka yang selain beribadah kepada Allah tetapi masih beribadah kepada selain-Nya seperti yang telah saya nyatakan seperti di atas, kerana jahil atau tidak faham akan makna kalimah tersebut ataupun kerana dusta di dalam imannya (Nifaq). Maka hendaklah bertaubat dan kembali kepada ajaran Tauhid yang sebenar-benarnya.

Manakala sejarah telah membuktikan akan hakikat tersebut, seperti apa yang berlaku pada Abi Thalib yang enggan mengucapkan kalimah tauhid hingga akhir hayatnya kerana beliau memahami akan makna kalimah itu. Ini kerana apabila beliau mengucapkannya bermakna beliau mesti meninggalkan semua berhala dan hanya menyembah Allah Yang Maha Esa. Dan inilah juga yang berkemungkinan memberatkan beliau untuk melafaz dan memperakui kalimah tersebut. Ada sesetengah Ulama’ berpendapat pula berbeza-beza pandangan mengenai kematian beliau (Abi Thalib) tetapi hujahnya tidak kurang hebat juga. Untuk mengetahui akan pekara ini mari kita sama-sama lihat Firman Allah SWT dalam Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Dari Said bin Musayyab r.a dari bapanya, katanya : “ketika Abi Thalib hampir meninggal dunia, Rasulullah SAW datang mengunjunginya. Didapati beliau di sana telah berada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Mughirah. Sabda Rasulullah SAW : “Wahai Pakcik! Ucapkan Laa Illaha Illallah iaitu sebuah kalimah yang aku akan menjadi saksi bagi pakcik nanti di hadapan Allah.” Kerana itu itu Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berkata : “Hai Abu Thalib! Bencikah anda kepada agama ‘Abdul Muthalib?” Rasulullah terus sahaja mengajar dan mengulang-ulang ucapannya itu, tetapi akhirnya Abi Thalib mengatakan kepada mereka bahawa dia tetap memeluk agama ‘Abdul Muthalib’ dan enggan mengucapkan ‘Laa Illaha Illallah’. Sabda Rasulullah SAW : Demi Allah! Akan kumohon ampun bagi pakcik selama aku tidak dilarang melakukannya.” Lalu Allah Azza Wa Jalla menurunkan ayat :
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah at-Taubah : Ayat 113)
Kemudian Allah Azza Wa Jalla menurunkan pula ayat yang sama berlakunya dengan peristiwa Abi Thalib. Firman Allah kepada Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah Al-Qasas : Ayat 56).” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 22).


Maka perlu diketahui bahawa di Makkah pada ketika itu tidak ada orang munafik kerana musyrikin berada di pihak yang kuat. Mereka tidak merasa perlu untuk berpura-pura kepada orang Islam. Hal ini berbeza dengan keadaan di Madinah. Setelah umat Islam menjadi kuat dan golongan lain hanya merupakan puak minoriti maka timbullah golongan yang berpura-pura mengakui Islam tetapi jiwa mereka menentang malahan menunggu masa yang baik untuk memusnahkan Islam. Maka secara tidak langsung ketika itu seperti Abdullah Bin Ubay Bin Salul (Ketua orang-orang munafik di Madinah) dan lain-lain telah merancang sesuatu untuk menjatuhkan Nabi SAW dan seterusnya menghancurkan Islam secara gerakkan sulit dari dalam Madinah.

Saya juga tertarik dengan sebuah Hadith yang menguatkan lagi hujah tersebut yang bermaksud :
“Dari Abu Hurairah r.a katanya : “Setelah Rasulullah SAW wafat dan Abu Bakar r.a telah diangkat menjadi khalifah (penganti), sebahagian bangsa Arab kafir kembali (murtad). Umar bin Khathab r.a berkata kepada Abu Bakar r.a : “Kenapa anda hendak perangi orang-orang itu, padahal Rasulullah SAW telah bersabda : Aku perintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah’. Kerana itu siapa yang telah mengucap Laa Ilaaha Illallah’ harus dilindungi harta dan jiwanya, kecuali apabila dia melanggar hukum dan perhitungannya terserah pada Allah...” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 18).


Oleh yang demikian saya cuba huraikan serba sedikit mengenai syarat-syarat yang diperlukan agar kalimah tauhid yang kita semua ucapkan itu berperanan sebagai apa yang dikatakan “Kunci Pembuka Syurga”.


Ilmu.
Apa ayng dimaksudkan dengan ilmu di sini adalah ilmu tentang rukun-rukun kalimah tauhid iaitu ilmu berkaitan tentang Nafi dan Ithbat. Kerangka ilmu sangat diperlukan untuk kesempurnaan segala sesuatu lebih-lebih lagi berkenaan dengan aqidah.




Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Surah Muhammad : Ayat 19).

Dan lagi Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).” (Surah Az-Zukhruf : Ayat 86).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Dari Usman r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa mati dalam keadaan dia yakin (berilmu) bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, maka dia masuk syurga.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 24).

Dari nas-nas seperti yang telah saya nyatakan di atas, nyata bahawa ilmu tentang kalimah tauhid tersebut baik Nafi atau Ithbatnya adalah menjadi syarat agar kalimah itu berguna bagi orang yang mengucapkannya.

Ingatlah kita semua!

Lawan Ilmu adalah jahil. Oleh sebab itu berdasarkan hadith di atas jelaslah bahawa barang siapa yang jahil terhadap kehendak kalimah tauhid yang diucapkannya maka kalimah tersebut tidak akan memberi manfaat kepadanya di akhirat kelak. Atau dengan perkataan lain kalimah tersebut tidak menjamin baginya untuk memasuki syurga Allah Ta’ala.


Yakin.
Jika kita semua mengkaji serta melihat, faktor ilmu masih belum mencukup kalau tidak diikuti oleh yakin kerana unsur yakin sangat penting di dalam aqidah. Lawan yakin ialah syak (ragu). Maksudnya hati kita mestilah penuh yakin dan tidak bercampur dengan syak sedikitpun terhadap kandungan kalimah tauhid tersebut.




Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat : Ayat 15).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Dari Sufyan bin Abdullah Ats Tsaqafi r.a katanya dia berkata kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku suatu perkataan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain.” Jawab Nabi SAW : “Ucapkanlah : ‘Aku Iman (yakin) dengan Allah’. Kemudian teguhkan pendirianmu itu!” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 31).


Ikhlas.
Lawan ikhlas adalah syirik. Agar kalimah tauhid berguna bagi yang mengucapkannya, maka kita tidak boleh sama sekali terlibat atau melibatkan diri serta ahli terdekat dengan gejala yang mendekatkan dengan fenomena syirik. Kandungan utama kalimah tauhid adalah mentauhidkan Allah Ta’ala dalam ibadah. Sedangkan syirik pula mempersekutukan Allah dengan yang lain.




Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.” (Surah Al-Baiyina : Ayat 5).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Dari Anas Bin Malik r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Akan dikeluarkan dari neraka, orang yang mengucapkan “laa ilaaha illallah”, sedangkan dalam hatinya terdapat iman seberat biji gandum. Kemudian orang yang mengucapkan “laa ilaaha illallah” dan di dalam hatinya terdapat iman seberat beras. Kemudian yang mengucapkan “laa ilaaha illallah” dan di dalam hatinya terdapat iman seberat debu” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 154).

Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW mengenai dosa syirik adalah yang bermaksud :
“Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah r.a dari bapanya katanya : Kami berada di sisi Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : “Perhatikanlah! Ku beritahukan kepada kamu sekelian tentang dosa-dosa besar yang paling besar : (Rasulullah mengucapkannya tiga kali) (1) Mempersekutukan (syirik) Allah. (2) Derhaka kepada ibubapa. (3) Sumpah palsu. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 68).


Siddiq.
Lawan siddiq (benar) adalah kizb (dusta). Seseorang akan digolongkan ke dalam golongan pendusta jika gerak geri dan perbuatannya berbeza dengan apa yang diucapkannya sebelum mahupun selepas percakapan dan perbuatan tersebut.




Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut : Ayat 3).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi SAW bersabda : “Tanda-tanda munafik ada tiga : (1) Apabila berkata, dia DUSTA. (2) Apabila berjanji. Dia mungkir. (3) Apabila dipercayai,dia khianat.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari r.h : Hadith No.27).

Nas-nas di atas jelas menyatakan bahawa faktor benar (siddiq) adalah merupakan salah satu syarat wajib dipenuhi oleh seseorang jika ia menginginkan agar kalimah tauhid yang diucapkannya itu akan memberi faedah kepadanya di akhirat kelak.


Mahabbah.
Mahabbah atau cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW adalah kemuncak cinta. Inilah yang dikatakan cinta yang hakiki. Dua nama yang tersebut di dalam dua kalimah syahadat yang kita ucapkan ialah Allah dan Muhammad dan hendaklah mendapat tempat istimewa di dalam kehidupan kita. Cinta kita kepada Allah dan Rasul mesti melebihi daripada cinta kita kepada yang lain.




Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Dari Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Belum sempurna iman seseorang kamu, sebelum ia mencintaiku, melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.”. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 35).

Dan sebagaimana yang telah kita ketahui terdapat empat bukti cinta yang tulen yang wajib kita mengetahuinya sebelum kita melafazkan dan melakukannya dengan perbuatan.


Pertama : Menyebut selalu nama orang yang dicintai.
Kedua : Mengingatinya selalu.
Ketiga : Melakukan apa yang disukainya
Keempat : Menjauhi segala yang dibencinya.



Maka sudah sampai manakah cinta kita terhadap Allah Ta’ala dan Rasul-Nya?

Dapatkah kita buktikan dalam kehidupan kita sehari-harian?


Nas-nas seperti yang telah saya kongsikan di atas mengambarkan bahawa cinta adalah salah satu faktor penting untuk kesempurnaan kalimah tauhid kita. Para sahabat telah membuktikan cinta mereka kepada Allah SWT dan Nabi SAW serta ajaran-Nya. Mereka sanggup mengorbankan segala-galanya termasuk mengadaikan nyawa mereka jika diperlukan demi menegakkan agama Allah Ta’ala di muka bumi ini.


Inqyaad.
Lawan kepada Inqyaad (mematuhi) kalimah tauhid ialah meninggalkannya (Tark). Setiap muslim hendaklah merasa terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya sama ada dapat diketahui hikmah perintah atau larangan tersebut ataupun tidak dapat diketahui. Mereka mesti menerima sepenuhnya dengan tidak menolak sedikit pun kehendak-kehendak kandungan kalimah tersebut.




Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Luqman : Ayat 22).

Nas-nas seperti yang telah tertera di atas menyatakan dengan tegas bahawa bukti kekuatan iman seseorang ialah jika ia dapat mematuhi sepenuhnya kehendak Allah dan sentiasa menyesuaikan kehendak nafsunya dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Dan yang terakhir sekali sebagai rujukan dan panduan untuk kita bersama sebagai perkongsian yang bermanfaat di sini adalah “Menerima Konsepnya”.


Menerima Konsepnya.
Lawan daripada menerima konsep kalimah tauhid ialah menolaknya. Kita tidak boleh menolak sedikitpun kehendak dan kandungan kalimah tersebut. Orang-orang munafikin sejak zaman dahulu seperti Abdullah bin Ubay juga menyebut kalimah tauhid tetapi mereka menolak kandungannya. Begitu juga dengan Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, mereka mengetahui akan pekara tersebut tetapi mereka sebenarnya tidak beriman dan bertakwa kepada kalimah ikhlas tersebut. Malahan merekalah juga yang mengaturkan agar penderma-penderma dari kalangan mereka yang kafir agar memberi dan mendermakan hasil dari sedekah dan pemberian yang halal bagi membanggunkan kaabah pada masa itu.Merkea telah mengenakan undang-undang agar duit yang berpunca dari pendapatan yang bersih sahaja boleh dibenarkan untuk menampung kos menaik taraf kaabah pada masa itu. Walaupun pada asasnya mereka semua itu adalah penentang yang kuat terhadap usaha-usaha Nabi SAW dalam jalan syiar dakwah Baginda SAW.




Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: “Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.” (Surah Sad : Ayat 4).

Dan Firman Allah SWT lagi yang bermaksud :
“Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;” (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah” – mereka bersikap takbur mengingkarinya. Serta mereka berkata: ” Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?” (Surah As-Saffat : Ayat 35 & 36).

Demikianlah rukun dan syarat yang perlu ditunaikan agar kalimah tauhid yang kita ucapkan dapat memberi faedah di akhirat nanti. Perbincangan kita hanyalah berkisarkan konsep aqidah dan jalannya sebagai rujukan kita bersama, tetapi bagi mematuhinya, kita perlulah berjihad bagi memastikan kalimah tauhid tersebut terpasak seutuh-utuhnya di dalam diri kita. Maka tidak hairanlah mengapa orang dewasa kini lebih gemar melafazkannya berlaki-kali tetapi masih berada di dalam belenggu kemaksiatan yang tegar tanpa segan-silu pula sanggup menggelarkan diri sebagai seorang Muslim yang mematuhi segala suruhan dan ajaran-Nya secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, untuk mencapai kemuncak kegemilangan mengecapi manisnya di dunia dan manisnya pula di akhirat nanti adalah dengan redhanya Allah ketika di dunia dan redhanya Allah juga ketika kita dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Itulah kemenangan yang mutlak yang perlu kita cari dan gapai semahunya.


Tetapi persoalannya, Bukankah kalimah suci Laa Ilaaha Illallaah itu kunci syurga?









Benar malahan saya juga tidak menafikannya. Tetapi perlu diingati juga bahawa TIDAK ADA SATU PUN KUNCI KECUALI ADA GIGI-GIGINYA! MAKA SEKIRANYA KITA MEMBAWA KUNCI YANG SEMPURNA GIGI-GIGINYA, PASTI AKAN TERBUKALAH PINTU-PINTU SYURGA TERSEBUT!


WaAllahua’lam.

Tiada ulasan: