Ahad, 22 Disember 2013

KIRAMAN KATIBIN/AQIB DAN ATID SENTIASA MENGINTIP SEMUA MANUSIA....ITU TAK MAHU TAHU KE



10 Malaikat Dan Tugasannya

by Cahaya Purnama
10malaikat-600-x-400
RUKUN IMAN yang kedua ialah percaya kepada malaikat. Setiap Muslim yang mengucap dua kalimah syahadah wajib mempercayai adanya malaikat yang juga makhluk Allah SWT yang diciptakan daripada cahaya.
Zat malaikat adalah halus, tidak nampak oleh mata kasar manusia biasa tetapi mampu dilihat oleh manusia yang luar biasa seperti Nabi dan Rasul.
Rupa malaikat yang sebenar hanya Allah SWT yang tahu. Namun, berdasarkan hadis, malaikat mampu menjelma dalam pelbagai rupa manusia dan makhluk lain.
Ia berakal, boleh berkata-kata dan mampu bergerak ke satu jarak yang jauh dalam masa singkat. Kewujudan malaikat semata-mata untuk taat dan menjalankan titah perintah Allah SWT.
Malaikat tidak makan dan tidak minum, tidak mengantuk dan tidak tidur, tidak juga ia berasa penat dan letih.
Malaikat sangat banyak bilangannya dan Allah SWT saja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu Tauhid, umat Islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka.
JIBRAIL: Tugasnya membawa wahyu daripada Allah SWT kepada Rasul dan Nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, banjir, ribut dan lain-lain lagi.
MIKAIL : Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan dan mengeluarkan hasil galian bumi.
ISRAFIL : Tugasnya untuk meniup sangkakala ketika sampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur. Sekali lagi ia meniup sangkakala itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.
IZRAIL : Tugasnya mengambil nyawa iaitu mematikan apabila sampai ajal dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat atau lewat walau sesaat.
MUNKAR : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
NAKIR : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
RAQIB: Tugasnya menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan.
ATID : Tugasnya menulis dosa orang yang membuat mungkar dan kejahatan.
RIDHWAN : Penjaga syurga.
MALIK : Penjaga neraka. Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 66: “Malaikat itu tidak menderhaka kepada Allah mengenai apa yang Dia perintah kepada mereka dan mereka membuat apa jua perintah oleh-Nya.”


Kelemahan Malaikat Raqib dan Atid

Kisah malaikat  Raqib dan Atid atau juga dikenali Kiraman Katibin, menjadi lemah dan keliru ketika menjalankan tugas mereka mencatat amalan seorang manusia. Sehinggakan mereka mengadu kepada Allah yang maha besar lagi maha mengetahui. Pekara ini berlaku setelah seorang manusia membaca satu bacaan. Berikut adalah kisahnya
Kelemahan Malaikat Raqib dan Atid
Daripada Abdullah bin 'Umar radhyillahu 'anhuma, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam bercerita:
Seorang hamba Allah subhanahu Wa Ta'ala membaca satu bacaan maka terasa lemah dua malaikat dan tidak tahu bagaimana hendak mencatit ganjarannya, lalu malaikat terus mengadu kepada Allah subhanahu wa ta'ala, katanya:
'Ya Allah! Seorang hamba Engkau telah membaca satu bacaan yang kami tidak tahu bagaimana kami hendak mencatitkan ganjarannya.'
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala: 'Apa yang dibacanya?'
Maka menjawab malaikat: 'Ia membaca bacaan ayat.'
Firman Allah: 
'Tulislah sebagaimana yang dibaca oleh hamba-Ku itu hingga ia menemui Aku dan Aku akan beri ganjaran dengan bacaannya itu.'
Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah

Berikut ialah ayat yang dibaca oleh hamba Allah tersebut, berupa sebuah zikir
"Wahai Tuhan, untukMu pujian yang setanding dengan kebesaran serta kemuliaan wajahMu dan keagungan kekuasaanMu." 3x
Dipetik dari Al-Mathurat

Sumber: Pseudosupra

Malaikat Kiraman Katibin Mencatat Amal Manusia

April 6, 2013 at 2:18am
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Percaya pada para malaikat adalah salah satu daripada Rukun Iman. Malaikat di ciptakan oleh Allah SWT daripada cahaya sedangkan penciptaan jin di ciptakan daripada api.

Kiraman Katibin (Arab: كراماً كاتبين) adalah dua malaikat yang terletak di bahu kanan dan kiri setiap makhluk-Nya. Menurut syariat Islam, jika ada seseorang yang melakukan amal (perbuatan) yang lebih banyak, maka ia akan dikirim berdasarkan perbuatan semasa hidupnya di dunia, samaada ke syurga atau neraka. Para malaikat ini termasuk dalam golongan Hafazhah (Para Penjaga).


Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menceritakan mengenai malaikat Kiraman Katibin. Kedua-dua malaikat ini disebutkan dalam al-Quran pada surah Qaaf, Al Infithaar, Ar-Ra’du dan Az-Zukhruf.

Gerak-gerik manusia dan perkataannya dicatat oleh para malaikat :


1. Firman Allah SWT maksudnya :"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya", "(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri". "Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir". (Surah al-Qaaf (50) ayat 16 - 18.) 


2. Firman Allah SWT maksudnya : "Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). (Surah al-Infithaar ayat 10 - 11)


3. Firman Allah SWT maksudnya : "Apakah mereka mengira bahwa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan (malaikat-malaikat) Kami selalu mencatat di sisi mereka. (Surah az-Zukhruf ayat 80)

4. Firman Allah SWT masudnya : "Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahasiakan ucapannya, dan siapa yang berterus terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. (Surah ar-Ra’du ayat 10-11)

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila manusia dan jin dihimpunkan di Padang Mahsyar maka setiap manusia dan jin akan diberikan Kitab Amal masing-masing. Kitab ini adalah semua catatan yang dilakukan oleh dua malaikat pencatat amal iaitu malaikat Kiraman Katibin semasa mereka hidup di dunia.

Kedua malaikat ini terkenal juga sebagai "Pencatat Yang Mulia", mereka menjadi saksi dan telah menuliskan kitab amal manusia dan jin, kitab amal akan berterbangan dari 'Arsy kearah leher tiap-tiap makhluk pada "Hari Penghakiman" di Mahsyar. Sesuai dengan beberapa surah di dalam al-Quran, iaitu:

1. Firman Allah SWT maksudnya : “ Dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan dia seorang malaikat penggiring dan seorang malaikat penyaksi. (Surah Qaaf ayat 21)

2. Firman Allah SWT maksudnya : “ Inilah Kitab (catatan) Kami, yang menuturkan kepadamu dengan benar; kerana sesungguhnya Kami telah menyuruh mencatat segala perbuatan yang pernah kamu kerjakan. (Surah al-Jaatsiah ayat 29)

3. Firman Allah SWT maksudnya : “ Dan tiap-tiap manusia itu, telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetap nya kalung) pada lehernya, dan Kami keluarkan baginya di hari kiamat satu kitab yang dijumpainya dengan terbuka. Bacalah kitabmu: cukuplah dirimu sen­diri pada hari ini sebagai penghisab terhadapmu. (Surah al-Israak ayat 13-14)


Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud: "Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan."
Malaikat yang menjadi pendamping manusia sentiasa mengajak kepada kebaikan. Jin pendamping manusia yang disebut sebagai  Qarin adalah jenis jin yang sentiasa membisikkan kejahatan kepada manusia jika Qarin ini kafir. Tetapi jika Qarin ini Islam dan bertakwa maka Qarin ini akan membisikkan kebaikan dan sentiasa mengajak kepada beramal soleh. Seperti Qarin Rasulullah SAW yang telah masuk Islam dan sentaiasa mengajak kepada kebaikan.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat lima malaikat bersama manusia iaitu :

1. Dua malaikat menjaga pada malam hari.

2. Dua malaikat menjaga pada siang hari dan

3. Satu malaikat yang tidak pernah berpisah dengannya.

Hal tersebut dijelaskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “ Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang bergantian (menjaganya), dimuka dan dibelakangnya."
(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Yang dimaksud malaikat yang bergantian iaitu malaikat malam dan siang yang melindunginya dari syaitan dari golongan jin dan manusia. Kedua malaikat menulis amal kebaikan dan keburukan di antara kedua bahunya, lidahnya sebagai pena, mulutnya sebagai tempat tinta dan ludahnya sebagai tinta, keduanya menulis amal manusia sampai datang hari kematiannya.

Sahabat yang dihormati,

Semasa seseorang sedang nazak maka di utuskan 4 malaikat akan memberi salam :

1- Malaikat pemberi rezeki akan memberi salam dan berkata : ” Akulah yang ditugaskan memberi rezekimu, samada di timur atau di barat bumi ini. Maka sudah sampai saat aku tidak dapat memberi rezeki lagi kepadamu walau sesuap rezeki “.

2- Malaikat yang mengurus makan dan minum memberi salam dan berkata : Akulah yang menguruskan makan dan minummu dan sebagainya samada semasa kamu berada di timur atau barat di atas muka bumi ini. Pada masa ini aku tidak dapat memberi kamu minum walau seteguk air “.

3- Malaikat yang memberi nafas memberi salam dan berkata : ” Akulah yang mengurus segala pernafasanmu semasa kamu berada di timur atau di barat di atas muka bumi ini, kini aku tidak lagi dibenarkan memberi kepadamu walau satu nafas daripada nafas-nafasmu apabila ajalmu telah sampai “.

4- Malaikat ajal memberi salam dan berkata : ” Akulah yang mengurus ajalmu dan sentiasa bersamamu semasa kamu berada di timur atau di barat di atas muka bumi ini, kini aku akan mengambil ajalmu".

Apabila 4 Malaikat telah selesai bertemu dengan insan yang nazak, maka Kiraman Katibin akan membentang segala amalan yang telah diusahakan semasa hayat di dunia. Samada usaha bersungguh-sungguh ke arah melakukan kebaikan atau usaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kemungkaran, semua Kiraman Katibin akan timbang dengan sebaik-baik timbangan agar serasi dengan sifat Allah SWT Yang Maha Adil. (Nota : Rumusan daripada kitab  Himpunan Kisah-Kisah Malaikat. m/s : 155-156.)


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuraqabah kepada Allah SWT dan yakinlah sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan memerhatikan setiap amal perbuatan yang kita lakukan. Dia telah mengutus dua malaikat sentiasa mencatat amal perbuatan kita samaada baik atau buruk. Maka perlulah kita merasa malu kepada Allah SWT  dan malu kepada dua malaikat yang ada di kanan dan kiri  jika kita sanggaup melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT. Oleh itu bertaubatlah dan teruskan beramal soleh dan amal ibadah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT supaya Kitab Amal kita bermarkah CEMERLANG dan mendapat Gred Satu untuk layak masuk syurga dan terlepas daripada di masukkan ke dalam neraka.
♥|LIKE|SHARE|COMMENT|♥ Cermin Mata Digital - IEU

TEKA TEKI mengenai masa depan graduan ijazah sarjana muda pendidikan IPTA dan IPTS masih lagi menjadi tanda tanya.
Walaupun mendapat tempat ketiga paling tinggi bagi kategori paling setuju dalam semua kategori isu yang diketengahkan dalam laman web bajet 2014, namun masalah ini belum lagi mendapat perhatian daripada pihak pemerintah khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyelesaikan isu penempatan graduan ISMP ini.
Ada dalam kalangan daripada kami yang tamat pada Januari 2013 dan Jun 2013  kini masih belum lagi diberi penempatan dan terus dibiarkan menganggur ibarat digantung tidak bertali.
Keresahan graduan semakin bertambah apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025  menyatakan bahawa hanya 30 peratus graduan pendidikan terbaik sahaja yang akan diambil untuk menjadi guru.
Menjadi tanda tanya kemanakah halatuju graduan yang selebihnya itu? Inilah yang menjadi punca keresahan ramai graduan apabila sehingga kini tiada panggilan temuduga diadakan untuk graduan ISMP.
Lebih menyinggung perasaan kami apabila terdapat graduan DPLI-KPLI yang tamat pada Jun 2013 dipanggil terlebih dahulu untuk sesi ditemuduga berbanding kami yang menunggu setahun tanpa ada panggilan temuduga dijalankan.
Untuk pengetahuan semua, graduan ISMP telah menghabiskan masa selama 4 tahun untuk pengajian yang berorientasikan pendidikan di sekolah menengah dan rendah. Kebanyakan daripada kami yang memasuki bidang ini adalah berasaskan unjuran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Jadi apabila kerajaan melaksanakan dasar pendidikan yang baharu graduan ISMP seolah-olah menjadi mangsa keadaan terhadap perubahan dasar yang dilakukan.
Kami tidak mempertikaikan dasar baharu itu dilaksanakan sekiranya kerajaan tidak membelakangkan hak graduan ISMP ini.
Namun apabila dasar baharu diperkenalkan dan terus dilaksanakan tanpa melihat kesannya kepada graduan ISMP ianya menyebabkan graduan ISMP menjadi mangsa keadaan.
Dengan bebanan yang terpaksa ditanggung ekoran dengan pelbagai kenaikan yang berlaku adakah adil kepada kami yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan untuk bekerja di kedai serbaneka mahupun pasar malam bagi menolong keluarga dan menampung kehidupan kami sendiri.
Malah, rata-rata dalam kalangan kami perlu untuk melunaskan hutang PTPTN sebanyak RM 26-30 ribu dan belum lagi dikira dengan tambahan kadar faedah yang tertunggak sekiranya kami tidak memulakan pembayaran secepat mungkin.
Kami berharap pihak pemerintah dapat menyelesaikan masalah ini segera yang mungkin bagi memastikan kami mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Untuk makluman, graduan ISMP sukar untuk mendapatkan pekerjaan di sektor lain selain daripada sektor pendidikan kerana kami terpaksa bersaing dengan graduan pasaran terbuka.
Permasalahan mengenai penempatan graduan ISMP ini telah pun dibahaskan di Dewan Rakyat namun sehingga kini masih lagi tiada apa-apa tindakan susulan bagi memastikan graduan ISMP diberi penempatan.
Sehubungan itu, kami berharap pihak KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran(SPP) dapat menyegerakan urusan temuduga dan penempatan graduan ISMP kerana kami sememangnya ingin berbakti pada anak bangsa dan seterusnya kepada negara yang tercinta.
Mohon untuk pihak pemerintah mendengar keluhan rakyat bawahan dan tidak hanya menabur janji menyelesaikan segala hal berkaitan dengan rakyat tatkala musim pilihanraya .
Jasa baik dan kerjasama serta sifat toleransi daripada pihak kerajaan amat kami hargai.

Pengerusi
Jawatankuasa 3rd Batch
Gabungan Graduan ISMP Malaysia (GGIM)
 Kerja-kerja memasak berlanjutan selama 12 hari, berakhir pada 15 Dis, namun kerja-kerja membersihkan rumah mangsa berlarutan sehingga ke hari ini, atas permintaan, jika ada. Hampir 10 ribu bungkusan barangan dan beras telah diedarkan termasuk juga di Kampung Semangat, Ubai, Kg Belukar, Kg Pahang dan Cherok Paloh yang berada didalam DUN Inderapura. Ada sebahagiannya saya sendiri yang menghantarnya, ada juga rakan-rakan Unit Amal. Terkadang tu rasa malu juga dengan sebahagian sikap masyarakat Melayu dalam kawasan saya, sesetengah tu umpama orang Somalia yang sepertinya kebuluran sangat, bila masuk je lori, menderu datang mengejar lori dan berebut-rebut barangan, ish .. takde akhlak sungguh lah. Saya minta semua bersabar dan saya akan hantar kerumah masing, tapi tak nak berganjak juga, tetap juga bergayut ditepi lori, tak kira lelaki atau perempuan, serupa je.

Seorang rakan daripada Kuala Lumpur, dia dan rakan-rakan bawa dapur gas dan barangan dapur, dia berhasrat untuk cuba bagi sendiri dan meminta izin dari saya, saya benarkan. Lori langsung tak dapat bergerak, diserbu, semua nak ambil dapur, sepertinya semua rumah rosak dapur, seorang terkadang ambil dua tiga biji, sampai kepada peringkat mereka memanjat lori, setelah habis separuh lori, rakan saya terpaksa menutup pagar lori dan cabut lari, sebab kelihatannya barangan hanya berkisar pada orang yang sama. Sangat memalukan, dia datang ke rumah saya dan menurunkan sebahagian yang lain "maaf deh, itu lah sebahagian rakyat ana".. dia ketawa dan ligat menggelengkan kepala "fuhh, teruk betul, macam artis ana kena serbu, bukan nak autograf, tapi nak dapur gas", katanya sambil ketawa. Namun keadaan ini tidak berlaku di Sungai Isap, orang Sungai Isap kelihatannya agak lebih tabah dan lebih berdisplin. Tak hairanlah, kerana Masjid dan Surau di Kawasan ini agak makmur dengan majlis ilmu menjadikan mereka sabar dengan dugaan dan memiliki kemuliaan diri. Kemiskinan jiwa ini hanya boleh diubati jika mereka kembali kepada Islam, ini adalah diantara tanggungjawab saya, InsyaAllah saya mencuba sedaya upaya.

Kerja-kerja pembersihan bermula dari 6 Dis, saya pun turut serta membantu rakan-rakan Unit Amal, rumah pertama yang saya bantu bersihkan ialah rumah Allahyarham Tuan Haji Jamin di Sg Isap Damai, beliau meninggal pada 5 dis, ketika banjir masih besar dan ketika saya sedang gawat untuk menghantar nasi ke Masjid Sg Isap Damai. Saya tak sempat pergi menziarahi jenazahnya yang di kebumikan di Bukit Ubi, namun terasa juga kehilangannya, sebab dia adalah orang yang sering juga menyumbang untuk Ma'had Tahfiz Darul Fikri dan sosok tubuhnya sentiasa kelihatan ketika saya berkuliah di Masjid Sg Isap Damai dan Surau RRM Permatang Badak. Saya memilih rumah beliau sebagai rumah pertama yang saya bantu untuk mengambil kesempatan mengucapkan takziah pada Isterinya Kak Pah dan juga anak-anaknya.

Pelbagai peristiwa berlaku ketika kerja pembersihan rumah mangsa, ada sebuah rumah tu, tak lah besar sangat, masih sebahagiannya belum dibaik pulih, saya terjumpa sebuah bekas berisi barangan kemas, disebabkan berselut, saya hampir membuangnya, tapi terlintas hati nak bukak dulu, rupanya barangan kemas, semuanya emas, berat juga tu, saya jangkakan mungkis ratusan ribu kot, rupanya tuan rumah dah melilau mencari, "Alhamdulillah Ustaz, nasib baik jumpa, akak dah puas mencari" .. nampak kelegaan dan kegembiraan di wajahnya. Almari tempat dia menyimpan barangan kemasnya pecah, bekas itu agak hanyut dan tenggelam dalam selut di penjuru rumah bersama timbunan barangan lain. Masa air naik, dia tak ambil tahu pun pasal barang tu, nak selamatkan diri je, sempat juga saya selitkan tazkirah kepadanya "begitulah kak, walau banyak manapun pun harta kita, berapa mahal pun emas kita, dia tak dapat jadi penolong kita, yang tolong kita adalah Allah swt, masa akak ditimpa banjir, emas akak semuanya tenggelam, lansung tak dapat tolong akak, begitulah kalau kita mati nanti, emas ni tak boleh buat apa-apa kecuali amal dan aqidah kita je yang jadi harta untuk bebaskan diri dari neraka" .. dia angguk "betul Ustaz".

Ada juga yang malu-malu, bila saya sendiri yang bersihkan rumah mereka, "Ustaz gi lah rumah orang lain", ngapa nya?.. tanya saya.."malulah Ustaz, ada ke wakil rakyat dok cuci rumah saya" .. kata dia, saya kata "sekarang tak jadi wakil rakyat dah, saya sekarang adalah Unit Amal", saya nak cuci juga rumah ni" ..dia pun diam. Sebenarnya kalaulah orang memahami betapa antara sebab yang mendatang ketenangan jiwa ialah apabila kita dapat membantu manusia yang sedang kesusahan, nescaya manusia ni tak kan duduk diam apabila melihat saudaranya yang ditimpa kesusahan. "Barang siapa yang membantu orang yang kesusahan, nescaya Allah swt akan melapangkan kehidupannya". Saya dah biasa dengan kerja kasar begini, lagi pun inilah antara kerja Unit Amal, saya kan Unit Amal, dah hampir 25 tahun saya jadi Unit Amal, dari belum kawin sampai sekarang dah 11 anak tetap juga jadi Unit Amal, pastu apa nak hairan ..Unit Amal cuci rumah..biasalah tu..

6 Dis, saya semakin mendapat kekuatan, kerana dua buah surau lain yang turut sama memasak untuk diagihkan kepada mangsa, malahan dua buah bot rakan kami dari Kempadang telah berjaya dibawa ke Sungai Isap, ini memudahkan kami untuk menghantar makanan dan keperluan lain ke Sungai Isap Damai dan juga kawasan-kawasan lain walaupun bukan dalam kawasan saya seperti pedalaman Kampung Badak dan Kg Chendering. Terkadang orang memohon bantuan bukan kerana kawasan tetapi kerana mengenali saya, saya pun ambil sikap tak kisah, selagi ada saya bagi, saya pun tak suka dan tak minat nak simpan hak orang, barang-barang yang banyak ni bukan saya punya, semuanya untuk mangsa banjir. Orang UMNO yang dok kat Kampung saya ni pun datang jugak, bukan UMNO biasa tapi UMNO gred A, dari jauh dah berbau, saya kenal sangat mereka ni, sebab mereka ni sekampung. Keadaan saya pulak semakin sibuk, pimpinan dari seluruh negara datang ke rumah termasuk Dato Sri Presiden dan beliau sempat turut serta berjalan kaki menghantar sumbangan dari rumah ke rumah di Sungai Isap Taman Murni bersama Ust Dato Tuan Ibrahim, Ust Yusof Embong, Ust Suhaimi Saad dan beberapa pimpinan yang lain, rasa bangga gak bila TGHH dok pikul plastik ada gambar saya.

Tak tidur malam dibuatnya, hampir sepanjang masa talipon berbunyi dan tetamu datang samada untuk bertugas ataupun menghantar bantuan dari jauh dan dekat, samada organisasi parti, ngo atau orang perseorangan. Semua PAS Negeri-negeri menghantar bantuan samaada tenaga ataupun sumbangan, juga dari DAP Pahang, DAP Yong Peng dan DAP Teratai, persatuan-persatuan Cina juga datang menghulurkan sumbangan, persatuan pemandu-pemandu bas sekolah dan macam-macam lagi ngo yang datang, entah apa nama pun saya dah tak ingat, yang pasti UMNO tak de. Dengan bantuan surau-surau juga pihak kami boleh menyediakan lebih 2500 bungkus nasi sehari untuk diedarkan. Alhamdulillah juga berkat selama ni berkuliah di Masjid-Masjid dan Surau-Surau, banyaklah Masjid Surau dari seluruh negara menghantar sumbangan begitu juga rakan-rakan termasuk juga rakan FB, bebanan menjadi sangat ringan dek pertolongan orang ramai, hingga ketikanya ruang rumah saya tidak boleh dilalui lansung kerana dipenuhi barangan.

Aduan kekurangan makanan masih berlaku, di SEMSAS ada mangsa yang menghubungi bahawa mereka tidak dibekalkan makanan, saya dimaklumkan lebih 300 orang mangsa dari Sg Isap yang ditempatkan disitu, yang ramainya daripada Seri Damai dan pengurusan disitu diketuai oleh geng UMNO Seri Damai, disebabkan orang Sg Isap bukan orang kawasan tersebut, maka keutamaan diberikan kepada orang Seri Damai, kebiasaannya orang Sg Isap tak dapat apa-apa, Alhamdulillah mereka menghubungi saya dan setiap hari pihak saya menghantar bekalan kesana. Kini saya dah agak bebas bergerak untuk menghantar bekalan, bot dah ada, kenderaan darat pun dah boleh bergerak walaupun trafik masih perlahan, bekalan boleh dihantar mengikut permintaan, tenaga pun dah ramai, anggota Unit Amal pun dah mula bertugas, Ust Saharudin pun dah boleh bertugas untuk membantu saya, banyaklah pusat penempatan yang dapat kami hantarkan bantuan seperti Sg Isap, Chung Ching, SEMSAS, Medan Warisan, SK Tanah Putih, SK Belukar, SK Permatang Badak, Chendering dan juga kawasan-kawasan rumah kampung yang masih terperangkap tiada bekalan makanan.

Kerja-kerja menghantar sumbangan dari rumah-kerumah juga bermula, sebanyak hampir 10 ribu bungkusan telah diedarkan dalam masa 8 hari, namun ada juga yang mengadu tak dapat, saya pun tak boleh berbuat apa-apa sebab mungkin mereka tiada dirumah dan yang menghantar itu bukannya saya, tetapi Unit Amal dari luar, pastinya mereka tidak mahir dengan perumahan disini hingga ada yang tertinggal ataupun tempat yang sama berulang kali. Ada juga insan jenis tamak, dah dapat pun kata tak dapat, ada juga UMNO gred A yang sombong dan tidak mahu menerima sumbangan dari PAS dan ada pulak cerita dari seorang anggota Unit Amal yang saya tugaskan untuk menghantar sarapan pagi, setiap bungkusan ada air mineral, roti saiz besar dan sardin, bila bagi bungkusan dia buka "hari-hari roti, takde makanan lain ke, dah tiga hari asyik roti je, tak nak lah" , sabar je lah, itu hanya kes terpencil, hampir keseluruhannya menerima dengan senyuman dan ucapan terima kasih, berhadapan dengan manusia yang ramai begitulah, kita tak mungkin akan dapat menyempurnakan kehendak orang ramai. Isteri dan anak-anak kita yang hanya beberapa orang itu pun kekadang kita gagal nak puaskan hati mereka, inikan pula ribuan manusia.

Pada 5 Dis, air telah mula menurun, tetapi terlalu perlahan, sms masih bertalu tentang keadaan mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Penempatan, makanan tak cukuplah, susu bayi tak adalah dan macam-macamlah aduannya yang hanya menambahkan rasa kasihan, namun air masih dalam, bot Unit Amal masih bertugas untuk memindahkan mangsa banjir di Kawasan baru yang dinaiki air, rakan-rakan dari sebelah Kempadang masih gagal untuk menyeberangi banjir yang menutupi jalan untuk sampai ke Sungai Isap bagi membawa bot yang lain. Bungkusan nasi ditambah lagi, kerja-kerja memasak semakin bertambah dan memenatkan, melebihi kenduri kawin, cumanya, Alhamdulillah petugas semakin ramai, ahli-ahli PAS cawangan Seri Damai turut datang membantu terutama muslimat.

Sebelah petang saya menerima panggilan daripada Ust Husni, beliau terperangkap dan berada di tingkat atas rumahnya, antara jelas dan tidak jelas beliau memaklumkan bahawa ada seramai lebih 300 orang mangsa yang berada di Masjid Sungai Damai, dari semalam belum makan. ya Allah, sedihnya rasa, saya dan rakan-rakan segera memasak lagi untuk mereka, setelah siap dibungkus, saya menghubungi rakan Unit Amal untuk menggunakan bot, tapi malangnya mereka berada di Teluk Mahang untuk memindahkan mangsa dan sememangnya bot awam tidak dibenarkan untuk beroperasi oleh pihak bomba pada waktu malam, sementelah lagi, baru sahaja ada dua orang anak beranak yang mati lemas disitu. kami sampai di Permatang Badak seusai solat maghrib, memohon jasa baik bomba, namun sepertinya keberatan, macam-macam alasan, alasannya baik tapi mengecewakan, mujurlah ada seorang lelaki yang baru saya kenali pada malam itu, dia 'lelaki bermulut laser', setelah saya ceritakan padanya, lalu dia segera bertemu dengan pihak bomba, entah apa yang dileterkannya, pihak bomba bersetuju untuk membawa saya kesana, dia tak kenal saya, begitu juga pihak bomba dan saya pun tak pernah kenal mereka.

Kami memunggah nasi kedalam bot bomba, bersama saya juga seorang lelaki yang membawa banyak bekalan makanan, beliau dari K.L ... Beliau membawa makanan untuk Ibu Bapa dan keluarganya yang berada di Penempatan Sg Isap setelah dimaklumkan mangsa menghadapi masaalah dengan bekalan makanan, beliau dah sampai disitu sejak jam 2.00 petang lagi, beberapa kali beliau minta tolong dengan pihak bomba dan pertahanan awam untuk diizinkan bealiau menaiki bot bomba untuk menghantar makanan, tapi hampa. Kami dibawa dengan bot bomba yang besar, tetapi hanya lima orang sahaja yang dibenarkan untuk naik, saya turut naik bersama seorang rakan dan lelaki tersebut, bersama dua orang pihak bomba, bot melalui Permatang Badak, saya bertanya kepada pihak bomba "kenapa melalui jalan ini, jauh, kenapa tak melalui laluan biasa, lebih jelas dan mudah", dia diam dan meneruskan perjalanan. Saya pun diam kerana menganggap bahawa dia dah tahu jalan tu, sebab dia dah dua hari bertugas". Bot besi yang begitu besar bergerak perlahan, sesekali tersangkut pokok-pokok menjalar, hingga ada ketikanya kami terpaksa turun untuk menolak bot.

Agak mengecewakan apabila bot yang dah hampir sampai ke jambatan permatang badak tidak dapat meneruskan perjalanan, saya dimaklumkan kipasnya pecah, terkena jalan, tidak dapat dibayangkan betapa kecewanya saya, terbayang-bayang wajah yang saya kenali, sedang menunggu makanan daripada kami di Masjid Sg Isap Damai. Kami terpaksa bantu pihak bomba menolak bot untuk kembali semula ke Simpang Permatang Badak, tempat mula kami bergerak, hampir satu kilometer kami terpaksa menolak bot besi yang begitu besar, nak patah pinggang rasanya bila ada ketikanya terpaksa mengawal bot agar tidak hanyut bila bertembung dengan arus deras. Sabar dan terus sabar dan terus tolak, akhirnya sampai juga semula ke Jalan Besar, saya diminta agar memohon pertolongan dengan pihak bomba yang lain di Simpang Sungai Isap pula, terpaksa pulak punggah semula makanan dan barang-barang kedalam lori untuk dibawa ke Simpang Sungai Isap.

Pihak bomba bersetuju untuk menghantar dengan bot yang lebih kecil, ketika baru nak memulakan perjalanan, datang pulak sorang Ketua Pemuda Bahagian UMNO, saya lihat dia buat pengarahan pada pihak bomba, bomba pulak sepertinya bekerja untuk dia, saya bagitahu padanya supaya diberikan keutamaan pada saya untuk menghantar makanan ke Sungai Isap Damai, saya ceritakan padanya tentang keadaan mangsa disana yang dah tak makan nasi selama dua hari.."Ok lah YB , YB pergi hantar dahulu", saya pun tak pasti apa akan berlaku jika saya tiada disitu, namun saya dah tak berdaya, cuma arahkan anak buah saya Ust Afif untuk mewakili saya, saya dimaklumkan oleh anak buah saya, bahawa nak sampai ke Masjid Sg Isap Damai pun pihak bomba singgah di tempat lain beberapa kali, hinggakan makan masa hampir sejam setengah untuk sampai ke Masjid Sg Isap Damai, dah lah tolak bot dan punggah semula barang tadi dah makan masa hampir dua jam, sangat menyakitkan hati. Bot bomba, tentera, pertahanan awam, polis berlambak-lambak dalam negeri Pahang, semuanya dibeli dengan cukai rakyat kenapa tak digunakan untuk membantu rakyat di Sg Isap, hinggakan sebiji bot bomba terpaksa buat berpuluh-puluh kerja?.

Begitu juga dengan bekalan makanan, mengapa masih tak mencukupi, apakah pihak tentera, polis atau mana-mana agensi yang memiliki kemudahan untuk memasak, tak boleh nak masak dan dihantarkan ke situ?, kenapa masih mengharapkan pihak JKKK untuk memasak di pusat penempatan dalam keadaan kelengkapan yang agak minima, dah la tu rumah JKKK pun tenggelam air juga, pastinya dia pun kelam kabut juga, pastu pulak sesetengah tu dok pelihara syaitan, hinggakan dalam keadaan begitu pun masih nak berdendam dengan orang PR hinggakan berlakunya sikap dikriminasi. Lebih kurang jam 12 malam, saya terima SMS "terima kasih ustaz, nasi dah sampai, inilah nasi yang pertama kami makan sejak semalam", ngalir jugak air mata lelaki saya, bukannya apa, dok fikirkan kasihan kat anak-anak kecil, cuba kalau kena kat anak-anak kita sendiri, apa perasaan?, kalaulah sekiranya kelambatan dan kelemahan pengurusan banjir ini adalah berpunca dari sikap balas dendam kerajaan kepada PR, apa yang saya boleh katakan "memang mereka ni sepertinya takde hati perut lansung" .......

Pada pagi 4 Dis, saya pulang dari batu 3 dengan mengharung air ke Kampung Seri Damai, sebak dada melihat Masjid Al Fatah yang sebahagian besarnya ditenggelami air, lebih sebab disepanjang berjalan kaki melihat ribuan manusia berada dijalanan, ada yang menangis, ada yang kelihatan tenang, ada yang kelihatan tension, pelbagai wajah kelihatan. Saya sempat bertanya dengan beberapa orang "kenapa tidak berada di penempatan" ada yang menjawap "dari semalam tak dapat makan-makan lagi, sebab tu mereka keluar juga, moga-moga dapat cari kedai untuk membeli makanan", tapi malangnya semua kedai tutup, kelihatan semuanya mundar mandir, ada juga yang memang dihantar ke situ kerana pusat penempatan penuh, menunggu arahan dari pihak bomba, kasihan sungguh ...akhirnya saya sampai juga kerumah dengan menumpang sebuah motorsikal di Permatang Badak, tiada apa difikirkan kecuali saya mesti segera membantu.

Saya tidak memikirkan untuk melawat pusat penempatan, kalau saya pergi dengan tangan kosong hanya akan menambahkan kesedihan sahaja, apatah lagi banyak sms yang diterima, mereka mengadu kelaparan, tidur atas simen, anak-anak tiada pampers dan macam-macam. Bagi saya, saya mesti cuba selesaikan apa yang penting dahulu, mereka lapar, anak-anak kecil kelihatan menangis mungkin kelaparan, tak berguna kalau saya hanya sibuk berkeliaran di Pusat Penempatan untuk tunjuk muka, tetapi hanya sekadar jual muka semata-mata tapi tak dapat menolong, lebih baik saya berbuat sesuatu yang dapat ringankan beban mereka. Dua orang pembantu yang mengikuti saya kata "nanti apa kata orang, kalau ustaz tak pergi pusat penempatan" .. saya kata "takpe, kita buat yang penting dulu dan buat sesuatu kerana Allah swt, bukan manusia, yang penting ikhlaskan diri, nanti Allah swt sendiri akan bagitahu kepada mereka". Kalau sekadar nak tunjuk muka, baik saya berdiri je kat tepi jalan, simpang masuk ke Sg Isap tu, tapi apa kerja pun tak jadi, dah la rakan-rakan jadi mangsa banjir, takkan saya yang mampu bergerak dan mengatur kerja, nak tercegat je, konon tunjuk muka .. rasanya kalau sekadar nak tunjuk muka je kat tepi jalan, sama je taraf saya dengan tiang letrik kat tepi jalan Sungai Isap tu, tercegat je, tapi takde faedah lansung.

Tanpa bertangguh sesampainya di rumah saya segera ke Pasar Ikan Jaya Gading, Alhamdulillah jalan kerumah saya telah boleh dilalui, agak menghairankan sebenarnya, sebab kebiasaannya air banjir di Kampung saya agak sukar untuk surut, tetapi kali ini, ianya surut dalam masa sehari, ini memudahkan saya untuk berulang alik kepasar. Saya kerahkan seluruh keluarga saya untuk turut membantu, juga Ustaz-ustaz kat Darul Fikri, kami memasak sebanyak yang boleh, selesai memasak kami hantarkan kepada penghuni jalan di Sungai Isap, sedihnya bila lihat mereka berebut-rebut, kemudian masak lagi, hantar lagi, masak lagi, hantar lagi, masak lagi tak henti-henti hingga malam, hantar sebanyak mungkin makanan yang boleh. Lauk tak kira dah, asalkan boleh alas perut. Bantuan masih belum datang, gunakan segala duit yang ada untuk beli barangan basah, panggilan talipon dari seluruh negara hampir menyebabkan saya tak boleh berbuat apa-apa, kerja nak jawap talipon je, tangan kanan pegang senduk, tangan kiri pegang talipon, tak jawap tak boleh, kerana itulah cara untuk saya dapatkan bantuan luar.

Saya mencuri ruang masa untuk menghubungi sahabat-sahabat seluruh negara untuk mendapatkan bantuan, disamping saya update perkembangan semasa dalam FB, Alhamdulillah bermula dari petang 5 Dis, bantuan mula datang dan mencurah-curah setiap hari, rombongan yang pertama datang menghantar bantuan ialah daripada Temerloh. Ma'had Tahfiz Darul Fikri menjadi sangat sibuk selepas itu dengan kehadiran ratusan petugas dan kenderaan keluar masuk untuk menghantar bantuan makanan dan sebagainya. Sms masih lagi bertalu dengan aduan dari pusat penempatan terutama di Sungai Isap, Tanah Putih dan SK Chun Ching, semua peti undi di tempat ini telah dimenangi oleh PAS pada PRU yang lalu. Terlalu banyak aduan atas sikap diskriminasi ketua kampung dan JKK yang mengetuai pusat penempatan, saya akan dedahkan pengakuan mangsa nanti. Begitu juga dengan jentera kerajaan yang terlalu maksima untuk membantu mangsa dalam banjir yang begini besar, apakah ini adalah balas dendam terhadap kawasan-kawasan yang dikuasai oleh PR ?...

Pada pagi 3 Dis, saya dah rakan-rakan Unit Amal Kuantan termasuk Ayah Ngah (Imam Masjid Al Fatah) memulakan kerja-kerja memasak, jentera PAS Tanjung Lumpur kebanyakkannya sudah tidak dapat bersama kerana rumah mereka telah dinaiki air terutama yang tinggal di Sungai Isap dan Tanah Putih, ada sebahagian dari mereka telah berpindah ke Pusat penempatan mangsa banjir, tak mungkin mereka dapat membantu saya, jalan untama ke Rumah saya pun dah dinaiki air ke paras pinggang, namun saya keluar juga mengharung air ke Masjid Al Fatah untuk bersama dengan Unit Amal memasak untuk mangsa banjir. Sewaktu kami mula memasak air diperkarangan Masjid Al Fatah hanya separas buku lali, air begitu cepat naik, hinggakan api dapur gas yang digunakan untuk memasak terpadam beberapa kali akibat dinaiki air, bila padam kami alas dengan batu, terpadam lagi, alas lagi, entah berapa kali terpadam dan kami alas lagi dengan batu sehinggalah siap membungkus lebih kurang pukul 3.30 petang, ketika itu air didalam Masjid Al Fatah telah pun hampir mencecah paras pinggang. Hari tu kali pertama saya solat zohor dalam air bersama Ust Yusof Embong (Tim Pesuruhjaya PAS Pahang)

Saya dan rakan-rakan menghantarnya ke penempatan Sekolah Sg Isap Taman Murni dengan menaiki bot, saya terus ke kantin sekolah, bertemu dengan Dato Tengku Zul (calon BN yang menentang saya waktu PRU 13 baru ni), kami berbual seketika, bertanya khabar dan perkembangan semasa berkaitan banjir, mungkin beliau adalah ketua operasi penempatan mangsa banjir, saya balik dan berjanji untuk membantu menghantar bantuan makanan ke Pusat tersebut. Selesai menghantar makanan, kelihatan air semakin naik dengan mendadak, hari semakin malam, kebetulannya pulak malam tersebut air pasang besar, saya minta Ust Saharudin menghantar saya balik, bimbang juga kat Isteri dan anak-anak yang masih kecil, namun jalan kerumah saya telah dipenuhi air hingga keparas dada dengan arus yang sangat deras, pihak bomba tidak membenarkan sesiapapun melalui jalan tersebut, memang begitulah keadaan di Kampung saya hampir setiap tahun. Talian talipon pulak agak terganggu, bila tanya isteri keadaan dirumah, entahlah dengar tak dengar, bunyi macam ok jer, saya pun berpatah balik, lupakan soal mereka.

Malam tu saya tinggal di Pondok Pemuda Al Kalthumiah, bt 3, panggilan talipon hampir tak henti-henti dari rakan-rakan jamaah, terutama dari Sungai Isap, ada yang terperangkap, ada yang minta tolong ambil mereka dan macam-macam lagi, untuk berjalan kaki ke Sungai Isap dah tak boleh, bot yang digunakan oleh Unit Amal terpaksa pergi membantu mangsa, bukannya sekejap, apatah lagi di tengah malam yang gelap diiringi pula oleh hujan lebat, jalan dah terputus, rakan-rakan dari Kempadang dan sebelah Tanjung Lumpur tidak dapat membantu kerana terputus hubungan, Tanjung Lumpur pula dinaiki air pasang, Sg Soi dan Kempadang pun dinaiki air juga, buntu juga saya dibuatnya untuk mendapatkan tenaga membantu saya. Semua jalan untuk ke Kuantan terputus, sedihnya bila baca sms rakan yang mengharapkan pertolongan, tiada apa yang boleh saya lakukan dalam keadaan begini kecuali perbanyakkan berdoa. Tamparan hebat bagi saya bila semua jentera PAS dan Unit Amal tidak dapat membantu saya kerana kesemua rumah mereka telah dinaiki air termasuk rumah Ust Saharudin (Pengarah Jab Amal Negeri), beliau juga berpindah, bawa lari isteri dan anak-anaknya, saya terputus hubungan dengannya selama dua hari disebabkan tiada line talipon, saya pun tak tahu beliau dimana, entahkan hidup atau mati.

Malam tu tak lena tidur, namun dek keletihan terlelap juga seketika di Pondok Pemuda, tapi tak boleh lama, baru nak terlelap, air naik membasah tubuh, lari pula ke tempat lain, pun serupa juga, akhirnya dah tak de tempat boleh tidur, tunggu je la sampai pagi sambil memikirkan apakah tindakan yang akan dibuat esok , saya menghubungi pihak bomba dan polis untuk bertanya tentang perkembangan semasa, namun takde jawapan lansung, kecewa juga saya dibuatnya. Saya mengharapkan dalam keadaan begini sepatutnya pihak keselamatan 'all out' untuk membantu rakyat, dengan segala kemudahan yang mereka ada hasil dari cukai rakyat, mereka boleh gunakan segala jenis kenderaan darat, air dan udara untuk membantu rakyat, bukannya selalu pun, apalah salahnya gunakan helikopter untuk selamatkan mangsa yang terperangkap dan mengapa dalam keadaan banjir yang begini besar, bot yang digunakan untuk membantu mangsa hanya boleh dibilang dengan jari sahaja, dah habis ke bot dalam negeri Pahang ni, saya sempat bertanya kepada anggota bomba dan pertahanan awam, kenapa hanya sebanyak ini sahaja bot yang digunakan?, jawapannya 'tiada arahan menyeluruh' , jika benar tiada arahan menyeluruh ertinya kerajaan tidak all out untuk membantu mangsa, kerajaan apakah ini ........

Musim tengkujuh dah mula berlabuh, memang saya agak risau juga, takut-takut banjir besar akan berlaku, rupanya apa yang saya bimbangkan benar-benar terjadi. Saya dan Unit Amal Kuantan sememangnya dah menubuhkan jawatankuasa untuk persiapan menghadapi kemungkinan banjir, memang setiap tahun pun kami begitu semenjak tahun 2001 lagi, selepas banjir besar di Sungai Isap. Masa tu memang kelam kabut dibuatnya, kami tiada persediaan, sebab tak pernah berlaku dan lansung tak terduga ianya akan berlaku di Sungai Isap, saya memegang jawatan sebagai ketua Dewan Pemuda PAS Kaw Paya Besar, masa tu Sungai Isap berada di dalam DUN Penur yang dimenangi oleh PAS, banjir naik dengan mendadak, rumah saya di Kampung Seri Damai juga dinaiki air separas pinggang, namun bila dengar keadaan yang buruk di Sungai Isap, saya segera turun untuk membantu.

Air mula naik sebelah pagi, saya sampai di Taman Guru hampir waktu asar, orang dah ramai kat Masjid Al Hidayah Batu 5, semua mereka belum makan sejak pagi, saya dan beberapa orang rakan dok bincang macamana nak masak, maklum tiada persediaan, nak pergi beli makanan bukannya senang, dalam keadaan jalan dah dipenuhi air, kereta pulak jem dan banyak yang tersangkut tengah jalan, agak sukar nak pergi, nak jalan kaki, jauh la pulak, nak menghala ke Kuantan dah tak boleh, dalam keadaan begitu saya ternampak sebuah ambulan, saya menahannya dan minta tolong dengan pemandu ambulan supaya bawa saya ke pasaraya di Taman Tas untuk membeli bahan makanan, agak lucu juga, saya beli mee hon, dapur, gas, kuali dan bahan-bahan memasak dengan menaiki ambulan, masa balik dari pasaraya, pemandu memasang siren kecemasan agar kami cepat sampai, kami memasak di Markas Taman Guru, walaupun air dah naik tapi kami tetap juga goreng mee hon "mee bodo" je, kasihan kat orang, terutama kanak-kanak yang dah lapar.

Keadaan yang hampir sama juga berlaku pada banjir 2013 baru-baru ni, apa yang berlaku diluar jangkaan, saya tak menduga banjir kali ini begitu besar dan cepat, dah la tu, meliputi pulak seluruh Kuantan, hingga melibatkan hampir semua rumah anggota Unit Amal dan jentera PAS Kuantan. Pada 2 Dis baru ni, saya sepatutnya berkuliah di Jerantut, saya bertolak ke Jerantut lebih kurang jam 5.30 petang, ketika itu hujan lebat, hati sentiasa berdebar-debar takut berlaku banjir, ketika saya sampai di Gambang, melihat hujan begitu lebat dan tidak henti-henti saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Saya pulang kerumah untuk solat maghrib dan menukar pakaian, terus ke Sg Isap dan memang betul, apa yang saya resah kan betul-betul terjadi, air dah mula melimpah masuk kedalam rumah terutama di Sg Isap Damai, malam tersebut saya dan rakan-rakan sempat untuk membantu 2 keluarga di Sg Isap Damai untuk berpindah.

Setelah itu saya ke Tanah Putih untuk meninjau keadaan disana, Alhamdulillah sahabat-sahabat pemuda dan Unit Amal bertindak pantas untuk mengawasi jalanraya agar kenderaan melalui jalan alternatif kerana jalan di Tanah Putih sebelum jambatan Sungai Kuantan telah dipenuhi air dan tidak selamat untuk dilalui, saya turut sama membantu sehingga tengah malam, saya , Ust Sahrudin (pengarah Jab Amal Negeri Pahang) dan anggota Unit Amal Kuantan berkumpul pula di Masjid Al Fatah untuk perbincangan persiapan seterusnya sehingga lah kami segera ke Kg Kurnia kerana telah dimaklumkan air naik dengan mendadak disana, kami sempat membantu memindahkan sebuah keluarga ke PASTI Al Fatah .. hampir pagi barulah kami pulang kerumah masing-masing. Pada esoknya 3 Dis seawal pagi kami telah berkumpul di Masjid Al Fatah untuk memulakan kerja-kerja memasak setelah dimaklumkan telah ramai mangsa yang berpindah ke penempatan mangsa banjir, tiada lain yang difikirkan kecuali kebimbangan apa yang berlaku pada tahun 2001 itu berulang, takut mangsa kelaparan, kalau masa tu mungkin saya tidak dipersalahkan, cuma mungkin rasa bersalah kalau tak membantu, tetapi 2013 saya bukan lagi ketua pemuda tapi saya adalah YDP PAS Kuantan yang juga sebagai ADUN, saya mesti berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat dan pengundi saya.

Masa yang berbaki beberapa jam untuk menunggu pagi 3 Dis lansung tidak melelapkan mata, kalau dulu, waktu muda-muda, masa sedang segak, banjir adalah kegembiraan bagi saya, maklum takde tanggung jawap, apa yang saya fikirkan ialah mengatur strategi untuk menahan pukat, memasang 'taut', meredah hutan memburu ikan baung dan tapah kat dalam hutan belakang rumah saya. Bila musim banjir memang lumayan, seronok dapat ikan sungai, besar-besar pulak tu, orang kena banjir, itu dia punya pasal, saya tak fikir pun pasal orang, maklum 'tengah tolol'. Bila ingat-ingat 'bodohnya aku', serupa je macam memerang yang dok cari ikan sampai lupa kesusahan orang lain, sedangkan kalau saya susah bukan ikan-ikan tu yang menolong saya, malahan manusialah yang akan menolong saya, doa dan solatkan jenazah saya bila saya mati, cari ikan tak salah, tapi kalau sampai tak tolong orang dalam kesusahan rasanya susah sikit nak menjawap di hadapan Allah swt bila mati nanti, apatah lagi kalau dah jadi wakil rakyat, terpaksalah lupakan semua kesukaan saya, sebab PAS Tanjung Lumpur menang bukan dengan sebab undi dari ikan tapi rakyat.
Ustaz Rosli ialah Adun Tanjung Lumpur, Kuantan.
HEBOH tentang tingkah laku intelijen Barat merisik rahsia-rahsia negara lain terutama Negara yang bermusuh atau negara-negara besar dan berpengaruh yang punya kepentingan dengan Negara lain sudah lama berlaku, dan ini sering berulang dan diulangi lagi.

Terbaru bagaimana Wikileaks membocorkan rahsia risikan melalui taligram Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan menggunakan kod 07 Jakarta A2924_a bersifat rahsia membabitkan Herawati Eddie Wibowo atau lebih dikenal Ani Yudhoyono.
Isteri kepada Presiden Republik Indonesia Jeneral (B) Dr Susilo Bambang Yudhoyono dikenal banyak mempengaruhi suaminya dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Negara dan Ketua Eksekutif Pemerintahan Indonesia.
Ternyata risikan yang dilakukan oleh Australia dengan bekerjasama Amerika Syarikat ini bukan sahaja setakat kepentingan politik, pertahanan serta kebijakan politik dalam dan luar Indonesia, tetapi berkait rapat dengan kepentingan ekonomi terutama pelaburan Australia di Indonesia.

Disinilah kita dapat memahami kenapa pihak Australia mengintip isteri Presiden kerana ada pertanda betapa besarnya pengaruh wanita pertama Indonesia ini terhadap sepak terajang suaminya.
Memang dalam sejarahnya bermula dari Presiden Sukarno yang memang tidak banyak dipengaruhi oleh isteri-isterinya, tetapi bermula dari pemerintahan Presiden Suharto pengaruh isterinya Siti Suhartinah atau lebih dikenal Ibu Tien Suharto ini sudah mulai ketara dan nampak, dan ini diikuti oleh anak-anaknya.
Hanya di zaman Presiden Prof Dr Ir Burhanuddin Jusuf Habibie isterinya Almarhum Dr Hasri Ainun Besari tidak ikut campur dalam aktiviti suaminya sebagai presiden dan ketua pemerintahan, bila Presiden beralih kepada Abdurrahman Wahid alias Gus Dur, isteri dan anak-anaknya banyak mempengaruhi, ditambah lagi dengan pengaruh kawan-kawannya yang sekular dan liberal.
Selepas Gus Dur, Megawati Sukarnoputri pula menjawat presiden. Ternyata Megawati sangat dipengaruhi oleh suaminya Almarhum Taufik Kiemas, begitulah kini yang terjadi dengan Presiden SBY yang oleh rakyat tanpa segan silu menyebut Presiden takut dengan isteri dan mak mertua.
Inilah yang terjadi dengan penyingkiran Drs M Jusuf Kalla atau JK sebagai timbalan Presiden pada tahun 2009, yang mendampingi SBY selama sepenggal dari tahun 2004 sampai 2009 ini ada peranan Ani agar JK tidak lagi menjadi pendamping suaminya, kerana JK dianggap politisi cerdas, cepat bertindak, terutama yang berkaitan masalah rakyat banyak kreatif dan dinilai agak Islami.
Disinilah persoalannya sejauh mana kebenaran, namun dalam hal ini untung Indonesia cepat bertindak terhadap Australia, dan ini diharap bukan hanya sekedar hangat-hangat tahi ayam, lepas itu lupa pula dan lalai lagi.

Memang Perdana Menteri Australia yang baru ini Tony Abbott (dari 18 September 2013 dari Parti Liberal) menggantikan Kevin Rudd dari Parti Liberal, banyak kebijakannya membawa masaalah kepada pertumbuhan ekonomi Australia termasuk merudumnya nilai mata wang dolar Australia terhadap dolar Amerika serta pound sterling Britain.

Dan pengintipan ini adalah salah satu ikhtiar menyelamatkan kepentingan Australia di Negara luar termasuk di Indonesia.
Kisah risikan pihak asing terhadap Indonesia sudah sering terjadi dan terus berulang. Tidakkah Indonesia dijajah oleh Belanda selama 350 tahun dan Jepun selama 3 setengah tahun, maka pihak Barat terutamanya secara langsung atau tidak langsung sudah mempunyai mata rantainya di Negara yang pernah dijajahnya.
Ini bermula dari tahun 1945 setelah Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 itu Britain sebagai pemegang kuasa Komando Asean mewakili Belanda, memasukkan intelijennya ke Jakarta.
Pada tahun itu Brigadier Jeneral Mallaby dari Britain terbunuh pada akhir Oktober 1945 di Surabaya. Ini berikutan tercetusnya pertempuran antara rakyat Indonesia dengan tentera sekutu yang diketuai Britain pada 10 November 1945 di Surabaya. Pejuang Indonesia yang hebat, Sutomo atau Bung Tomo mengangkat senjata dan bambu runcing dengan meneriakkan takbir Allahu Akbar ribuan kali, makanya kota Surabaya dikenal sebagai Kota Pahlawan.
Antara tahun 1945-1946,  tentera Australia menyertai tentera sekutu di Jawa, Madura, Bali dan Lombok begitu juga tahun1957-1958, bagaimana Allan Pope, tentera Amerika Syarikat mencoba membantu pemberontakan Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) Sumatera dan Sulawesi melawan pemerintahan Sukarno yang mesra dengan komunis. Namun bantuan ini tidak menjadi apabila kapalterbang Allan Pope ditembak jatuh. Pemberontakan ini adalah ijtihad politik yang paling cerdas dan masuk akal untuk membendung Indonesia supaya tidak menjadi negara komunis.
Begitu juga tahun 1965 bocornya Dokumen Gillchrist tentang adanya isu Dewan Jeneral yang akan menggulingkan pemerintahan Sukarno. Dokumen ini sampai ke tangan Dr Subandrio, timbalan Sukarno, seorang tokoh komunis. Surat ini berasal dari rumah rehat William (Bill) Palmer, seorang agen distribusi filem asing dikawasan Puncak Bogor Jawa Barat.
Banyak lagi sebetulnya campur tangan asing terhadap Indonesia, termasuk dalam kes Timor Timur apabila Australia juga punya kepentingan. Namun setelah Timor Leste bergabung dengan Indonesia tahun 1975, dan kemudian tahun 2000 Timor Timur merdeka dan berdiri sendiri melalui referendum, Australia pun berlepas tangan atau tidak peduli dengan nasib rakyat Timor Timur.
Akan kah kita masih terlalu percaya dengan Negara-negara Barat? Bekerjasama boleh dalam berbagai hal tetapi kita tetap waspada.
Menjaga maruah dan harga diri serta kemerdekaan kita, akankah Presiden SBY menyebut dengan bangga bahawa America is my second country!
KOTA BAHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan mengadakan Program Berbasikal sebagai tarikan dan produk pelancongan terbaharu untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia tahun depan.
Yang Dipertua Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK Ismail Shauki Ibrahim berkata program berbasikal dapat membantu memperkenalkan tempat-tempat pelancongan terkenal di negeri itu.
Selain dapat membantu mempromosikan produk pelancongan di negeri ini, aktiviti ini juga dapat menyihatkan tubuh badan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berbasikal 2013 di sini, semalam.
Menyentuh program hari ini, beliau berkata mereka akan berkunjung ke beberapa tempat menarik seperti Pulau Kundur dan Pantai Mek Mas yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan, serta bergotong-royong memulih kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan.          
Program itu disertai 40 anggota Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK serta Photo Cycling. Kayuhan bermula dari pekarangan PKINK dan berakhir di Pantai Mek Mas, Pantai Cahaya Bulan di sini. - Bernama

Malaikat Kiraman Katibin Mencatat Amal Manusia

April 6, 2013 at 2:18am
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Percaya pada para malaikat adalah salah satu daripada Rukun Iman. Malaikat di ciptakan oleh Allah SWT daripada cahaya sedangkan penciptaan jin di ciptakan daripada api.

Kiraman Katibin (Arab: كراماً كاتبين) adalah dua malaikat yang terletak di bahu kanan dan kiri setiap makhluk-Nya. Menurut syariat Islam, jika ada seseorang yang melakukan amal (perbuatan) yang lebih banyak, maka ia akan dikirim berdasarkan perbuatan semasa hidupnya di dunia, samaada ke syurga atau neraka. Para malaikat ini termasuk dalam golongan Hafazhah (Para Penjaga).

Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menceritakan mengenai malaikat Kiraman Katibin. Kedua-dua malaikat ini disebutkan dalam al-Quran pada surah Qaaf, Al Infithaar, Ar-Ra’du dan Az-Zukhruf.

Gerak-gerik manusia dan perkataannya dicatat oleh para malaikat :

1. Firman Allah SWT maksudnya :"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya", "(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri". "Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir". (Surah al-Qaaf (50) ayat 16 - 18.)

2. Firman Allah SWT maksudnya : "Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). (Surah al-Infithaar ayat 10 - 11)

3. Firman Allah SWT maksudnya : "Apakah mereka mengira bahwa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan (malaikat-malaikat) Kami selalu mencatat di sisi mereka. (Surah az-Zukhruf ayat 80)

4. Firman Allah SWT masudnya : "Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahasiakan ucapannya, dan siapa yang berterus terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. (Surah ar-Ra’du ayat 10-11)

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila manusia dan jin dihimpunkan di Padang Mahsyar maka setiap manusia dan jin akan diberikan Kitab Amal masing-masing. Kitab ini adalah semua catatan yang dilakukan oleh dua malaikat pencatat amal iaitu malaikat Kiraman Katibin semasa mereka hidup di dunia.

Kedua malaikat ini terkenal juga sebagai "Pencatat Yang Mulia", mereka menjadi saksi dan telah menuliskan kitab amal manusia dan jin, kitab amal akan berterbangan dari 'Arsy kearah leher tiap-tiap makhluk pada "Hari Penghakiman" di Mahsyar. Sesuai dengan beberapa surah di dalam al-Quran, iaitu:

1. Firman Allah SWT maksudnya : “ Dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan dia seorang malaikat penggiring dan seorang malaikat penyaksi. (Surah Qaaf ayat 21)

2. Firman Allah SWT maksudnya : “ Inilah Kitab (catatan) Kami, yang menuturkan kepadamu dengan benar; kerana sesungguhnya Kami telah menyuruh mencatat segala perbuatan yang pernah kamu kerjakan. (Surah al-Jaatsiah ayat 29)

3. Firman Allah SWT maksudnya : “ Dan tiap-tiap manusia itu, telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetap nya kalung) pada lehernya, dan Kami keluarkan baginya di hari kiamat satu kitab yang dijumpainya dengan terbuka. Bacalah kitabmu: cukuplah dirimu sen­diri pada hari ini sebagai penghisab terhadapmu. (Surah al-Israak ayat 13-14)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud: "Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan."
Malaikat yang menjadi pendamping manusia sentiasa mengajak kepada kebaikan. Jin pendamping manusia yang disebut sebagai  Qarin adalah jenis jin yang sentiasa membisikkan kejahatan kepada manusia jika Qarin ini kafir. Tetapi jika Qarin ini Islam dan bertakwa maka Qarin ini akan membisikkan kebaikan dan sentiasa mengajak kepada beramal soleh. Seperti Qarin Rasulullah SAW yang telah masuk Islam dan sentaiasa mengajak kepada kebaikan.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat lima malaikat bersama manusia iaitu :

1. Dua malaikat menjaga pada malam hari.

2. Dua malaikat menjaga pada siang hari dan

3. Satu malaikat yang tidak pernah berpisah dengannya.

Hal tersebut dijelaskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “ Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang bergantian (menjaganya), dimuka dan dibelakangnya."
(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Yang dimaksud malaikat yang bergantian iaitu malaikat malam dan siang yang melindunginya dari syaitan dari golongan jin dan manusia. Kedua malaikat menulis amal kebaikan dan keburukan di antara kedua bahunya, lidahnya sebagai pena, mulutnya sebagai tempat tinta dan ludahnya sebagai tinta, keduanya menulis amal manusia sampai datang hari kematiannya.

Sahabat yang dihormati,
Semasa seseorang sedang nazak maka di utuskan 4 malaikat akan memberi salam :

1- Malaikat pemberi rezeki akan memberi salam dan berkata : ” Akulah yang ditugaskan memberi rezekimu, samada di timur atau di barat bumi ini. Maka sudah sampai saat aku tidak dapat memberi rezeki lagi kepadamu walau sesuap rezeki “.

2- Malaikat yang mengurus makan dan minum memberi salam dan berkata : Akulah yang menguruskan makan dan minummu dan sebagainya samada semasa kamu berada di timur atau barat di atas muka bumi ini. Pada masa ini aku tidak dapat memberi kamu minum walau seteguk air “.

3- Malaikat yang memberi nafas memberi salam dan berkata : ” Akulah yang mengurus segala pernafasanmu semasa kamu berada di timur atau di barat di atas muka bumi ini, kini aku tidak lagi dibenarkan memberi kepadamu walau satu nafas daripada nafas-nafasmu apabila ajalmu telah sampai “.

4- Malaikat ajal memberi salam dan berkata : ” Akulah yang mengurus ajalmu dan sentiasa bersamamu semasa kamu berada di timur atau di barat di atas muka bumi ini, kini aku akan mengambil ajalmu".

Apabila 4 Malaikat telah selesai bertemu dengan insan yang nazak, maka Kiraman Katibin akan membentang segala amalan yang telah diusahakan semasa hayat di dunia. Samada usaha bersungguh-sungguh ke arah melakukan kebaikan atau usaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kemungkaran, semua Kiraman Katibin akan timbang dengan sebaik-baik timbangan agar serasi dengan sifat Allah SWT Yang Maha Adil. (Nota : Rumusan daripada kitab  Himpunan Kisah-Kisah Malaikat. m/s : 155-156.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuraqabah kepada Allah SWT dan yakinlah sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan memerhatikan setiap amal perbuatan yang kita lakukan. Dia telah mengutus dua malaikat sentiasa mencatat amal perbuatan kita samaada baik atau buruk. Maka perlulah kita merasa malu kepada Allah SWT  dan malu kepada dua malaikat yang ada di kanan dan kiri  jika kita sanggaup melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT. Oleh itu bertaubatlah dan teruskan beramal soleh dan amal ibadah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT supaya Kitab Amal kita bermarkah CEMERLANG dan mendapat Gred Satu untuk layak masuk syurga dan terlepas daripada di masukkan ke dalam neraka.
 

Tiada ulasan: