Selasa, 17 Disember 2013

SEBENARNYA KITA KEJAR WAKTU...DALAM WAKTU ADA UMUR SEMAKIN TUA....ADA SIHAT DAN KADANG2 SAKIT...ADA BAHGIA DAN KADANG2 AMAT SUSAH....AKHIRNYA BERJAYA APA YANG DIKEJAR IAITU MATI...SAMA MATI USIA MUDA ATAU TUA...MORALNYA BERADALAH KITA DALAM KEADAAN KETAATAN KEPADA ALLAH BUKAN MEMILIH INGKAR@KAFIR PADA ALLAH

KUALA LUMPUR: Jawapan di atas persoalan 'mengapa semua kenaikan berlaku secara bertindan' kerana BN bertahan dan terus berkuasa.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, sesungguhnya, kesusahan rakyat adalah kesenangan bagi pemimpin BN kerana bila rakyat susah, maka mudahlah digula-gulakan.

“Saya dengan ini menyeru kepada semua, khususnya anak muda dan golongan pekerja, bangunlah dari tidur yang lena, bangun dan lawan, kerana rakyat sedang ditindas dan negara sedang dijarah di atas nama bangsa,” ujar beliau dalam satu kenyataan, seperti di bawah.

Isnin. Sebilangan besar masyarakat dunia merasakan emosi pada pagi hari Isnin adalah sedikit kendur. Kekenduran pagi Isnin ini turut diberi nama jolokan 'monday blues'.

Namun bagi saya, Isnin kali ini lain benar rasanya. Jauh lebih bersemangat dari Isnin yang lain. Mungkin faktor kemenangan besar Liverpool terhadap pasukan Spurs mempengaruhi hormon adrenalin untuk lebih bersemangat-semangat 5-0.

Pagi ini juga saya terlihat muka depan akhbar Sinar Harian yang agak mencuri perhatian. Muka depan yang terpampang perkataan "Tolonglah Jangan Naik" di semua edisi Sinar Harian seluruh negara, dengan berlatarbelakangkan lebuhraya yang penuh sesak dan juga satu gambarajah berfakta mengenai 'rasionalisasi subsidi'.

Tajuk muka depan akhbar tersebut mencerminkan sesuatu yang lahir dari marhaen. Ia satu rayuan rakyat seolah-olah merayu supaya janganlah terus menambah beban. Apakah yang dirayu itu?

Jika rayuan itu memohon supaya kerajaan lebih berhati perut, saya percaya rayuan tersebut umpama mengejar fatamorgana.

Saya terus membelek akhbar sinar secara online untuk mencari sesuatu yang mungkin istimewa dalam edisi bertarikh hari ini. Akhirnya saya menemui satu tulisan menarik bertajuk "2014 tahun mencabar" oleh wartawan Sinar Harian. Saya bingkas menghubungi teman di Sinar untuk mengetahui siapakah penulis tersebut, namun gagal kerna teman saya belum masuk kerja untuk hari ini.

Tulisan tersebut menghuraikan kenaikan demi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, telah dan bakal berlaku. Antaranya ialah kenaikkan harga petrol pada September, kenaikan harga gula pada Oktober, kenaikkan tarif elektrik pada Januari depan, semakan harga gas, semakan harga tiket pengangkutan awam seperti LRT dan juga peningkatan kadar tol yang melibatkan 13 lebuhraya.

Tulisan yang konprehensif ini turut merumuskan betapa rakyat terpaksa berdepan satu cabaran hebat untuk tahun 2014. Tulisan tersebut menekankan bahawa kenaikan yang berlaku adalah berbentuk 'super combo' dan menjerut leher rakyat yang berpendapatan rendah serta golongan sederhana.

Asasnya, kadar peratus kenaikan gaji adalah sangat tidak selari dengan perkembangan mutakhir ini. Rakyat tersepit dengan unjuran 'negara maju' dan slogan 'rakyat didahulukan', apakah maknanya negara maju ketika rakyat menderita?

Daripada tulisan tersebut juga dapat dilihat satu persoalan yang paling utama - mengapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Persoalan tersebut hadir tanpa jawapan, hanya persoalan semata-mata. Inilah yang membangkit naluri saya untuk menulis hari ini, untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh penulis wartawan Sinar Harian.

Ada beberapa alasan picisan digunakan untuk mengolah persetujuan kenaikan-kenaikan ini, contohnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) umum akan kaji tambang LRT dan monorel, kaji yang bermaksud 'akan naik' dengan alasan tarif elektrik naik.

Menteri JPM, Datuk Seri Abd Wahid Omar juga mengumumkan bahawa telah tiba masanya kadar tol naik dengan alasan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Pelbagai alasan dan kebetulan dinyatakan. Namun saya tetap merumuskan bahawa kenaikan mendadak yang 'bertingkek-tingkek' ini adalah hadiah kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13. Inilah ibu segala punca, janganlah sesiapa nafikan.

Dengan umpan BR1M bernilai empat angka yang akhirnya 47% terpedaya, dengan modal negara aman ketika kes bunuh berleluasa, BN bertahan ditampuk kuasa dengan lima tahun tambahan nyawa.

Dulu ketika nyawa-nyawa ikan, semua kenaikkan ditangguhkan kerana takut kebangkitan rakyat. Malah banyak kes berprofile tinggi seperti PKFZ, NFC dan skandal Scorpene, juga keputusannya ditangguh hingga selepas pilihanraya.

Hanya selepas menang pilihanraya dan mendapat kuasa, barulah timbul keberanian untuk menaikkan segala-galanya. Pesalah rasuah dari pakej 'transformasi' juga dilepaskan oleh mahkamah.

Mari imbas kembali betapa jika BN tumbang, kenaikan ini tidak akan berlaku malah penurunan harga petrol dan pemansuhan tol secara berperingkat telah dirancang. Tidak salah saya ungkit perkara ini walau berlalu seribu tahun, kerana kemenangan BN itu berlaku secara penipuan. Mereka menipu untuk menikmati semua kenaikan di atas selain survival hidup dan mati.

Saya yakin majoriti besar rakyat di negara ini telah memilih perubahan dalam pilihanraya lalu. Namun bagaimana untuk kekang pengundian berganda-ganda jika dakwat yang dijanjikan kekal, tidak kekal. Hampir 1,500 laporan polis telah dibuat, tetapi kegemparan ini terus didiamkan.

Penipuan pilihanraya lalu janganlah sesekali dilupakan, harus terus lawan waima turun ke jalanan. Hak demokrasi kita untuk memilih kerajaan baru telah digelapkan. Nescaya selagi penipuan ini tidak dituntut untuk diadakan semula, selagi itu kita akan terus berada dalam kegelapan.

Inilah jawapan saya di atas persoalan 'mengapa semua kenaikan berlaku secara bertindan' - kerana BN bertahan dan terus berkuasa. Sesungguhnya, kesusahan rakyat adalah kesenangan bagi pemimpin BN kerana bila rakyat susah, maka mudahlah digula-gulakan.

Saya dengan ini menyeru kepada semua, khususnya anak muda dan golongan pekerja, bangunlah dari tidur yang lena, bangun dan lawan, kerana rakyat sedang ditindas dan negara sedang dijarah di atas nama bangsa.

Dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh!
KUALA LUMPUR: Alasan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berhubung kenaikan tol adalah dangkal terutamanya apabila sebahagian besar dari pemegang konsesi lebuhraya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan.

Demikian dinyatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang merujuk kenyataan Abdul Wahid yang dilaporkan mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku pada 2014 kerana ia sebahagian dari perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

“Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol,” ujarnya dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Saya merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang dilaporkan mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku pada 2014 kerana ia sebahagian dari perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

Alasan yang diberikan oleh beliau itu dangkal terutamanya apabila sebahagian besar dari pemegang konsesi lebuhraya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan.

Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol.

3 kumpulan terbesar pemegang konsesi lebuhraya adalah seperti berikut:

1. Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Elite, Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Butterworth Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

2. Prolintas yang mengendalikan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway, Lebuhraya Kemuning Shah Alam dan bakal membina Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang dan Lebuhraya Damansara–Shah Alam.

3.  Gamuda (melalui anak syarikat usahasamanya) yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya KESAS dan Lebuhraya SPRINT.

PLUS dikuasai sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi agensi-agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59% pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir tahun 2010) di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya.

Tambahan pula, sebahagian besar dari konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa pembinaan.

Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan-bantuan seperti subsidi kewangan untuk pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran kewangan kepada pemegang-pemegang konsesi untuk membina lebuhraya.

Contohnya, Lebuhraya Maju Expressway dibina hampir sepenuhnya menggunakan geran kewangan kerajaan berjumlah RM976.7 juta hingga membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan lebuhraya tersebut.

Sebab itu, saya menyanggah kenyataan Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang memberi gambaran salah bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian konsesi dimeterai dengan syarikat swasta.

Hakikatnya, sebahagian besar perjanjian konsesi melibatkan anak syarikat kerajaan. Bagi perjanjian konsesi yang lain, syarikat-syarikat swasta seperti Gamuda dan Maju Holdings telah mendapat pelbagai kemudahan kewangan dari kerajaan atau pun projek-projek besar kerajaan. Pemegang konsesi yang lain pula mendapat pembiayaan mudah kerajaan.

Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk duduk berbincang dengan pemegang-pemegang konsesi sama ada melalui pemilikan saham pemegang konsesi ini atau bantuan kewangan yang telah pun diberikan kepada syarikat pemegang konsesi.

Alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian yang dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan penggunaan daun ketum dan produknya kerana pengunaan tumbuhan itu membawa kerosakan kepada mereka yang menggunakannya.
     
Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pada 30 Okt lepas dan sudah disembah maklum kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
     
Jawatankuasa memandang serius masalah ketagihan ketum yang boleh mengancam masa depan ummah dan akhir-akhir ini didapati menular dalam kalangan generasi muda termasuk murid sekolah rendah, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
     
Sehubungan itu juga kata Juanda, jawatankuasa tersebut mengusulkan kepada kerajaan agar mewujudkan undang-undang dan hukuman lebih berat seperti tindakan penyalahgunaan dadah, bagi mengekang ketagihan ketum.
     
"Letakkan penyalahgunaan daun ketum dan produknya di bawah Akta Dadah Berbahaya berbanding sekarang di bawah Akta Racun 1952 yang hanya membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan/atau penjara selama empat tahun bagi mereka yang disabit memiliki, memproses atau menjual daun ketum," katanya.

Selain itu katanya, pihak polis juga menghadapi masalah untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap suspek kerana mereka yang ditahan atas kesalahan berkaitan daun ketum tidak boleh direman, sebaliknya dibebaskan sementara menunggu didakwa.
     
Diharapkan dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis ini akan memantapkan lagi tugas pihak berkuasa dalam mengawal penyalahgunaan daun ketum yang pada satu ketika dulu pernah dijadikan ubat tradisional, katanya.
     
Juanda juga menegaskan keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis itu dibuat selepas mendengar penjelasan pihak polis dan Jabatan Kesihatan negeri berhubung penggunaan daun ketum.
     
Ketagihan daun ketum ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu terbabit tetapi juga menyebabkan seseorang itu agresif dan cepat marah, kata Juanda lagi. - Bernama

Khalid (kiri) bersama pemimpin Pakatan Rakyat menyertai bantahan kenaikan cukai pintu oleh DBKL.
KUALA LUMPUR: PAS akan memberi fokus untuk menggerakkan himpunan rakyat pada tahun hadapan bagi mendesak kerajaan menarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA serta membantah kenaikan cukai taksiran DBKL.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, selepas selesai urusan muktamar parti itu baru-baru ini, PAS kembali memberi tumpuan yang serius kepada isu-isu rakyat khususnya isu kenaikan cukai taksiran Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, PAS tidak akan berdiam diri dalam isu ini kerana kenaikan cukai taksiran ini akan memberi kesan lain kepada warga kota.

"Dalam kes kenaikan cukai taksiran ini, akan ada kesan kepada kos perniagaan, kos kehidupan dan barangan kerana akhirnya peniaga akan berusaha untuk dapat balik keuntungan dan akan menyebabkan mereka manikkan harga barangan.

"Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak, elektrik dan sebagainya, akan menyebabkan harga barangan seharian akan turut dinaikkan dan kesannya kepada pengguna.

"Memang kita akan gerakkan rakyat kerana selepas pilihan raya, PAS 'cool' sekejap kerana sibuk dengan muktamar dan selepas semua itu selesai kita akan tumpu menggerakkan rakyat untuk isu kenaikan kos hidup ini," kata beliau ketika ditemui di himpunan membantah kenaikan cukai taksiran DBKL di hadapan bangunan DBKL, dekat sini pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Saudara Kamaruzaman Mohamad ketika berucap meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor tidak bermain wayang apabila membicarakan isu kebajikan warga kota.

"Kenaikan cukai taksiran sekitar 300% adalah satu perkara yang amat melampau, ianya jelas menunjukkkan bahawa kerajaan Umno BN langsung tidak memperdulikan penderitaan warga kota"

"Warga kota sedih dengan tindakan DBKL ini,  mereka juga turut dibebani dengan kenaikan kos kehidupan di ibu kota, kenaikan harga minyak ditambah pula dengan desas-desus kenaikan tol dan tambang pengangkutan"

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Nazmi Nik Din juga turut berkongsi pandangan yang sama dengan menyifatkan tindakan menaikkan cukai taksiran ini sebagai wajar dalam situasi sekarang.

"Di mana slogan 'rakyat diutamakan'?  Adakah ini balasan kerajaan BN terhadap mandat yang telah diberikan kepada mereka ? Kerajaan Bn ibarat Habis madu sepah dibuang " tegas beliau yang juga ditemui selepas penyerahan borang dan surat bantahan kepada pihak DBKL.

Sementara itu, lebih 500 warga Kuala Lumpur berhimpun menyatakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran DBKL hari ini.

Himpunan itu turut disusuli dengan penyerahan 20,000 surat bantahan dari warga kota oleh Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dari Pakatan Rakyat.

Mereka melaungkan slogan 'Turun Datuk Bandar' dan 'Rakyat bantah kenaikan cukai pintu oleh DBKL' sambil membawa taksiran cukai yang dikeluarkan DBKL.

Hadir sama Ahli Jawatan PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khairuddin, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua (Batu), Teresa Kok (Seputeh), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) selain pimpinan PAS Kawasan Batu dan Bukit Bintang.
SHAH ALAM: PAS Selangor akan melakukan kempen kesedaran rakyat besar-besaran bagi menyedarkan mereka supaya tidak terus ditipu oleh kerajaan Umno BN setiap kali selepas pilihan raya.

Ketua Penerangan PAS negeri, Zaidy Abdul Talib (gambar) menegaskan, rakyat berkuasa untuk menghentikan tindakan kejam kerajaan BN menaikkan pelbagai keperluan rakyat bermula tahun 2014.

Menurut beliau, walaupun ada tekanan daripada parti politik tetapi ia tidak akan menggugat kerajaan BN melainkan suara rakyat yang secara berterusan menekan BN.

"Dalam isu pelbagai kenaikan ini, pertama sekali rakyat perlu disedarkan. Ini kerana rakyat kita tidak seperti rakyat di luar negara. Walaupun harga petrol sebelum ini sudah dinaikkan namun sebilangan besar rakyat kita masih hidup selesa," katanya.

Beliau yang juga Adun Taman Templer berkata, kenaikan harga barang dan keperluan rakyat sudah sinonim dengan BN.

Menurut beliau, ketika kempen pilihan raya umum ke-13 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui kesilapan beliau dan meminta maaf dengan rakyat untuk tidak mengulangi kesilapan.

Bagaimanapun, PAS sudah menjangkakan pengakuan tersebut hanya `sandiwara' untuk memujuk rakyat supaya terus mengundi calon Umno dan BN serta mengekalkan kuasa memerintah negara.

"Kami sudah jangka jika BN menang pelbagai kenaikan akan dilakukan. Bermula dengan naik harga gula; elektrik dan terkini pengumuman kenaikan tol ekoran perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat terlibat," tegasnya.

Tambah beliau, bagi pimpinan BN rakyat memang mudah diperdaya dan perkara itu akan terus dilakukan selagi mereka berkuasa di negara ini.

Sehubungan itu, PAS Selangor tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang untuk keadilan rakyat menentang tindakan kejam menaikkan pelbagai keperluan rakyat dalam masa terdekat.

Beliau mendesak rakyat seluruh negara khususnya di Selangor mesti bangun membantah kenaikan pelbagai harga keperluan hidup dan jangan terus rela diperdaya oleh kerajaan BN.
KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hari ini sekali lagi mengingatkan pengguna di Selangor dan ibu negara agar menyimpan air secukupnya bagi menghadapi gangguan bekalan yang bermula esok sehingga 22 Dis ini.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata ini kerana syarikat itu hanya menyediakan lori tangki kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.

"Kami hanya mempunyai 66 buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia serta menyediakan 750 buah tangki statik untuk kawasan-kawasan yang masih belum mendapat pemulihan selepas 24 jam.

"Walau bagaimanapun, bilangan ini agak terhad. Oleh itu kami menasihatkan para pengguna yang terlibat dalam gangguan tersebut untuk menggunakan air secara berhemah dan menyimpan air secukupnya untuk digunakan dalam tempoh gangguan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kira-kira sejuta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur bakal menghadapi gangguan bekalan air berikutan hentitugas (separa) sementara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.

Menurut kenyataan awal yang dikeluarkan oleh Syabas, gangguan bekalan air itu akan bermula 8 pagi esok manakala tempoh pemulihan bekalan dijangka bermula 9 malam hari yang sama dan berterusan sehingga 8 pagi pada 22 Dis (Ahad).

Hentitugas itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama seperti papan suis dan paip keluli.

Gangguan bekalan air itu akan melibatkan 217,694 akaun pengguna termasuk di beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra. - Bernama
KUCHING: Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan negeri, Liwan Lagang dirompak dan kenderaannya dilarikan dua penjenayah dalam satu kejadian awal hari ini.
  
Menurut jurucakap polis, dalam kejadian 6.10 pagi itu, Liwan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Belaga turut mengalami kecederaan pada paha kanan akibat terkena pisau ketika bergelut dengan perompak terbabit.
  
"Kejadian berlaku ketika mangsa berhenti untuk membeli surat khabar di Kota Sentosa selepas menghantar anaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk balik ke Bintulu.

"Apabila beliau hendak keluar dari kenderaan pacuan empat rodanya, datang dua lelaki bersenjatakan pisau dengan seorang memakai topeng, mengarahkannya keluar dari kenderaan," kata jurucakap itu kepada Bernama di sini.

Menurutnya, berlaku pergelutan antara Liwan dan suspek yang menyaksikan Menteri Muda itu mengalami kecederaan selepas terkena pisau sebelum ditarik keluar oleh suspek.

"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan memandu kenderaan milik beliau," kata jurucakap itu lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Supt Pauzi Bujang mengesahkan kejadian dan polis sudah melancarkan gerakan mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan. - Bernama
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa kadar tarif air bagi negeri Selangor tidak akan dinaikkan biarpun harga tarif elektrik dinaikkan oleh kerajaan BN tahun hadapan.

Katanya, komitmen itu dibuat kerajaan negeri bagi mengambil kira keadaan ekonomi rakyat terbanyak yang sedang terbeban dengan pelbagai kenaikan yang diumumkan kerajaan BN.
Ianya termasuk kenaikan harga petrol, gula dan tol yang mengakibatkan kesan berantai ke atas harga barangan keperluan untuk rakyat.

“Walaupun Kerajaan Pusat mengambil langkah menaikkan caj elektrik tetapi Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga air.

"Langkah itu diambil untuk menolong rakyat yang mana kita merasakan rakyat memerlukan sokongan dalam masalah ini,” katanya dipetik Selangorkini.

 Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja ke Rumah Puteri Arafiah Seksyen 7, di sini.

Kerajaan Pusat sebelum ini mengumumkan kadar tarif elektrik akan dinaikkan bermula Januari tahun hadapan sebanyak 15 peratus.

Kenaikan itu menjadikan harga baru untuk sekilowatt 33.54 sen di Semenanjung Malaysia.

Manakala bagi Sabah dan Labuan, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kwj kepada 34.52 sen/kwj.

Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan program 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri itu untuk tempoh 10 tahun akan datang.
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta golongan fakir miskin bakal berdepan dengan pelbagai kenaikan selepas PRU13 bermula dengan kenaikan petroleum.

Koordinator Panatia Ekonomi Jingga13 Malaysia, Zainal Abidin Bin Abu Bakar berkata, kenaikan gula turut diikuti selepas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Kini, ujarnya seluruh pengguna Astro pula berdepan dengan kenaikan RM2 bagi Pakej Famili dan RM6 bagi Pakej Sukan yang telah berkuatkuasa 11 November 2013 turut menambahkan tekanan pada lebih 3 juta pengguna Astro yang terpaksa membayar kenaikan pakej tersebut sedangkan Astro umumkan perolehan RM2.3 Billion untuk 6 bulan pertama berakhir 31 Januari 2014 iaitu peningkatan 13 peratus.

Sedangkan, katanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia mempunyai kuasa terhadap mengawal dan menentukan harga pakej langanan yang ditawarkan Astro.

Beliau menambah, bermula Januari 2014 pula rakyat Malaysia pula akan berdepan dengan kenaikan elektrik sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Maximus Ongkili baru-baru ini sebanyak 15 peratus atau 4.99 sen setiap kilowatt, manakala di Sabah dan Labuan berjumlah 5 sen. Satu kenaikan yang sangat ketara.

“Wargakota Kuala Lumpur pula bakal berdepan dengan kenaikan tambang LRT dan monorel berkuatkuasa pada 2014 sudah pasti akan membebankan para pengguna pengangkutan awam tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, katanya kerana LRT dan monorel adalah merupakan pengangkutan golongan berpendapat rendah dan sederhana, mahasiswa, pelajar-pelajar dan warga miskin.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pula telah mengesahkan bahawa kadar tol akan dinaikkan pada tahun 2014 dengan alasan terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya.

“Jingga13 Malaysia yakin beberapa siri kenaikan lagi bakal dikenakan kepada rakyat ekoran siri kenaikan selepas PRU13 dan bakal dilaksanakan pada tahun 2014 turut mengundang kenaikan harga barang makanan dan keperluan hidup yang sudah pasti memberikan kesan kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, kerajaan Umno BN terus gagal memberikan kelegaan dan keselesaan kepada rakyat tetapi memberikan tekanan tanpa rasa belas kasihan dan perikemanusiaan ekoran kenaikan yang bakal dihadapi dan diterima oleh rakyat seluruhnya.

Menurut beliau, kenaikan harga barang makanan dan barang-barang keperluan terus meningkat manakala gaji dan pendapatan rakyat tidak naik malah berdepan dengan cukai yang terus membebankan mereka.

“Jingga 13 Malaysia mendesak Kerajaan Umno BN menghentikan segala siri kenaikan dengan mengambil kira kesengsaraan majoriti rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan serderhana serta golongan fakir miskin,” katanya.

KOTA KINABALU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Sabah bersama kumpulan anak muda Gegar telah mengadakan kutipan derma dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Kutipan itu telah diadakan di Gaya Street Kota Kinabalu bermula 9.00 pagi tadi dan berakhir pada tengah hari ini, semalam.

Presidennya, Mohd Fatihie Daimin berkata, umum mengetahui akan penderitaan yang dialami mangsa-mangsa banjir apabila kediaman dan kemudahan awam rosak teruk akibat banjir.

Katanya, ditambah lagi musim persekolahan yang bakal menjelang tidak lama lagi pastinya menambahkan lagi bebanan yang dialami mangsa apabila tidak mampu untuk membeli peralatan persekolahan untuk anak-anak nanti.

“Justeru, atas dasar keprihatinan ini, kami mahasiswa dan anak muda mengambil inisiatif ini bagi membantu mangsa banjir.

“Diharapkan dengan bantaun ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban para mangsa banjir,” katanya.

Selain itu, ujarnya mahasiswa menggesa agar pihak kerajaan dapat melipat gandakan lagi bantuan kepada rakyat yang dilanda bencana dan lebih bersedia menghadapi bencana seumpama ini pada masa akan datang, bak kata pepatah melayu, 'sediakan payung sebelum hujan'.

“Usahlah isu bantuan kebajikan ini menjadi modal politik kepada mana-mana parti politik sehingga melambatkan usaha-usaha penyampaian bantuan kepada para mangsa banjir,” katanya lagi.

Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada penyumbang bantuan itu atas sokongan yang diberikan.

“Mahasiswa dan anak muda mendoakan agar bencana ini berakhir dan rahmat Tuhan bersama-sama mangsa banjir,” ujarnya lagi.
menteri cap ayam ni agak2 dapat GRED BERAPA NI???

Tiada ulasan: