Isnin, 9 Disember 2013

MULIANYA SESEORANG ITU ADALAH ATAS TAQWANYA....ATAS RAPATNYA HUBUNGANYA DENGAN ALLAH....BUKAN SEBAB KETURUNAN....KEKAYAAN SERTA PANGKATNYA...KAUMNYA...BANGSANYA ATAU SEBAGAINYA....JANGAN KITA NI PERASAN....JANGAN KITA DERHAKA DAN TAK MENTAATI ALLAH DENGAN KITA BANYAK MELAKUKAN PELBAGAI MAKSIAT

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini menyifatkan tuduhan kononnya Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu terlibat dengan ajaran Syiah sebagai serangan peribadi yang keterlaluan.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, beliau berkata justeru itu PAS menyokong usaha Mohamad untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat tuduhan itu.
Menurutnya, sehingga kini PAS tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung tuduhan yang dikaitkan ke atas Mohamad itu.
"Saya sebagai Setiausaha Agung PAS tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung pembabitan Mohamad Sabu seperti yang disebut itu.

"Maka bagi saya, wajarlah Mohamad Sabu mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid," kata Mustafa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di PWTC semalam yang menuduh Mohamad mengamalkan ajaran Syiah.

Dalam ucapan itu juga, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bertindak mengumumkan memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan pemimpin kedua tertinggi PAS itu.

Dalam pada itu, Mohamad dalam reaksinya semalam berkata, beliau akan berbincang dengan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid ekoran tuduhan terhadapnya itu.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata, jadi kena bincang dengan peguam dulu,” kata Mohamad.

Beliau dalam pada itu dengan keras menafikan tuduhan Zahid tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan berniat jahat.

"Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," tegas Mohamad.
KUALA LUMPUR: Masa depan Melayu dan Malaysia akan terus menggelap di bawah Umno jika tidak melaksanakan rekonsiliasi nasional agar usaha melibatkan secara inklusif semua pihak dapat membina masa depan yang cerah.

Justeru, bagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Umno hanya selesa berada dalam kepompong atau tempurung dan tidak mahu berfikir tentang cara-cara untuk memajukan negara secara keseluruhan melainkan memusatkan kuasa dan kekayaan melalui berbagai usul-usul dan penjenamaan semula dasar ekonomi hanya untuk kepentingan ahli Umno terpilih sahaja.

Kenyataan beliau sebagaimana di bawah.

Perhimpunan Agung UMNO sudah berlangsung tetapi malangnya masih belum kelihatan kesungguhan daripada para pemimpin UMNO untuk membangkitkan isu-isu semasa yang ketara yang akan menggelapkan masa depan Melayu.

Pertama; Orang lain berhutang boros, rakyat kena bayar.

Isu peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat kebanyakan tidak langsung diambil endah, malahan, Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih mengekalkan retorik lamanya dengan pendekatan, “rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara.”

Baru-baru ini, agensi penarafan antarabangsa Moody’s telah menaikkan taraf kredit Malaysia kepada A3, dilaporkan atas dasar penyatuan dan pembaharuan fiskal yang berkemungkinan semakin baik, disebabkan langkah-langkah penstrukturan semula subsidi yang telah diambil oleh kerajaan.

Persoalan yang gagal diketengahkan di Perhimpunan Agung UMNO adalah, bagaimana pengadaran kredit Malaysia diturunkan terlebih dahulu?

Mengapalah tidak seorang pun pemimpin atau delegasi yang membangkitkan kesan dari ketirisan, korupsi dan pemborosan salah urus ekonomi ini?

Akibat keborosan dan ketirisan pemerintah, rakyat terpaksa menanggung melalui ‘cukai pemiutang’’ seperti GST, kenaikan harga petrol, gula, tarif letrik dan cukai pintu DBKL yang berganda pada tahun depan - untuk menaikkan taraf kredit negara untuk membolehkan lebih banyak hutang negara diserahkan kepada mereka yang terpilih dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Melayu (elit UMNO).

Rakyat sudah pun jelas dan tahu seperti yang diumumkan mantan Presiden UMNO Tun Dr.Mahathir bahawa Najib dan konco-konconya adalah perasuah besar kerana rasuah sekarang dibawah Najib dikatakan berganda lagi dasyat berbanding zaman beliau memerintah.

Apakah membasmikan barah rasuah tidak penting bagi UMNO?

Kedua; Orang menjerit gagah, negara tergadai membisu.

Jeritan-jeritan 1Melayu jelas menunjukkan sikap paranoia yang sengaja melepas pandang isu keselamatan serta pembelaan kedaulatan negara yang seharusnya diutamakan.

Perakuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih, pencerobohan wilayah Malaysia oleh para pengganas Sulu, isu pemberian kad pengenalan biru dan pembunuhan warga Taiwan di Sabah langsung tidak mendapat perhatian.

Saya masih lagi tidak melihat mana-mana pemimpin atau perwakilan yang menuntut agar isu TPPA yang bakal merobah arena ekonomi tempatan melalui ‘penjajahan ekonomi’, termasuk ekonomi Melayu Bumiputra sendiri didebatkan secara khusus.

Apakah keselamatan dan kedaulatan negara tergadai tidak penting bagi UMNO?

Ketiga; Orang belajar tinggi, rakyat dididik rendah

Isu kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang dilaporkan dalam kajian PISA tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Apakah perasaan ibubapa apabila mendapat tahu bahawa anak-anak dari Singapura, Korea Selatan dan Vietnam dari darjah 5 dan 6 berpendidikan sataraf dengan para pelajar Tingkatan 3 dari negara kita.

Kegagalan dalam meningkatkan mutu dan pencapaian pendidikan agar kekal bersaing secara global akan terus menggelapkan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi kadar gaji yang malar dan budaya berhutang semata-mata untuk menyara kos hidup yang semakin meninggi.

Masa depan anak-anak Melayu nampaknya perlu terus dibantu ibubapa dengan menumpang rumah, meminjam belanja dan berkongsi kereta.

Apakah pendidikan berkualiti untuk berpendapatan tinggi tidak penting bagi UMNO?

Kesimpulannya, UMNO hanya selesa berada dalam kepompong atau tempurung dan tidak mahu berfikir tentang cara-cara untuk memajukan negara secara keseluruhan melainkan memusatkan kuasa dan kekayaan melalui berbagai usul-usul dan penjenamaan semula dasar ekonomi hanya untuk kepentingan ahli UMNO terpilih sahaja.

Jelas, masa depan Melayu dan Malaysia akan terus menggelap di bawah UMNO jika tidak melaksanakan rekonsiliasi nasional agar usaha melibatkan secara inklusif semua pihak dapat membina masa depan yang cerah.

Zahid Hamidi telah berbuat sesuatu yang luar biasa dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan rakan sejawatannya dalam kabinet, Jamil Khir Baharom untuk menahan orang nombor dua dalam Pas, Mohamad Sabu kerana dipercayai mengamalkan fahaman Syiah.

Walaupun tidak menyebut secara langsung tetapi apabila beliau menyebut pemimpin nombor dua Pas, ia sangat jelas ditujukan kepada Mat Sabu yang menjadi Timbalan Presiden parti itu.

Tindakan Zahid memberi arahan untuk menangkap seseorang di pentas umum dan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung UMNO terlihat luar biasa, bukan saja kerana tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini tetapi juga menyalahi etika sebagai seorang yang ada kuasa.

Jika benar, beliau mempunyai bukti bahawa Mat Sabu mengamalkan fahaman Syiah, beliau tidak perlu menjerit secara terbuka untuk menangkapnya tetapi terus saja menahannya berdasarkan peraturan undang-undang sedia ada. Lagi pula, tidak perlu memberi arahan secara terbuka kepada Jamil Khir kerana sebagai sesama anggota kabinet, mereka berjumpa dan bermesyuarat setiap minggu dalam mesyuarat mingguan kabinet.

Cara Zahid memberi arahan kepada Jamil Khir juga seolah-olah beliau sedang mengajar menteri yang bertangggungjawab kepada hal-ehwal agama itu untuk bertindak dan bekerja. Dengan memberi arahan juga seperti beliau merasakan dirinya sudah berjawatan lebih tinggi daripada menteri dan tidak sabar-sabar untuk meningkatkan lagi taraf dirinya sebagai pemimpin.

Tetapi jika tidak mempunyai bukti dan asas yang kukuh, beliau tidak seharusnya membuat tuduhan secara terbuka kerana tindakan itu memperlihatkan dirinya tidak jauh bezanya dengan pencacai UMNO yang bersepah-sepah di setiap majlis keramaian UMNO. Zahid seharusnya tahu membezanya dirinya adalah Naib Presiden UMNO yang sudah dua kali mendapat undi tertinggi dan kini berjawatan Menteri Dalam Negeri.

Apatah lagi, jika selepas memberi arahan dan kebenaran kepada Jamil Khir untuk menahan Mat Sabu, tetapi tangkapan tidak juga dilakukan. Ia bukan saja memalukan dirinya, bahkan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang retorik dan cakap tak serupa bikin. Sudah tentu rakyat akan melihat tindakannya bercakap tentang penahanan Mat Sabu itu sekadar untuk meraih populariti di kalangan perwakilan UMNO dan mahu menunjuk-tunjuk ketegasannya di depan khalayak.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, ketegasan yang dituntut oleh rakyat ialah dalam tindakan, bukannya percakapan.

Sehingga ini, tiada siapa tahu apa bukti yang Zahid ada mengenai dakwaannya terhadap Mat Sabu. Sementara Jamil Khir sendiri dalam respons awalnya menyatakan pembuktian kukuh adalah diperlukan untuk menahan seseorang yang disyaki berfahaman Syiah kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang dan bukannya berdasarkan fahaman parti semata-mata, Mat Sabu pula menafikan beliau berfahaman Syiah.

Saya adalah orang Islam yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, jelas Timbalan Presiden Pas itu.

Dalam masa yang sama, selain tindakan Zahid membuat dakwaan melulu dan terbuka kepada Mat Sabu yang bakal mendedahkannya kepada tindakan undang-undang, serangannya kepada Pas dengan menjadikan orang nombor duanya sebagai sasaran juga, adalah percubaan paling jelas menghalang muzakarah UMNO dengan Pas yang sedang diperkatakan sekarang.

Di sebalik semua pemimpin UMNO bersikap terbuka kepada muzakarah itu dan melihat kepentingan ummah sebagai keutamaan dan Pas sendiri melalui Presidennya, Haji Hadi Awang turut bersedia ke arah itu, Zahid yang dilihat sebagai antara pemimpin yang berimej Islam dalam UMNO, dengan jelas bersikap sebaliknya dan menolak muzakarah itu.

Tindakannya membuat dakwaan tanpa bukti terhadap Mat Sabu sehingga Jamil Khir sendiri masih keberatan untuk menuruti arahan menahan pemimpin Pas itu, seperti telah menghancurkan impian muzakarah yang diimpikan selama ini.

Walaupun berjaya mendapat undi tertinggi dalam dua pemilihan UMNO dan sedang mengintai kedudukan lebih tinggi untuk dirinya, Zahid ternyata telah membuat kesilapan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Beliau bukan saja merosakkan reputasi dirinya sebagai pemimpin dan menteri yang tahu mengendalikan kuasa tetapi juga menjadi penghalang kepada agenda perpaduan dalam UMNO.

Apakah ini pemimpin yang diharapkan untuk masa depan UMNO dan negara?

Alahai Zahid Hamidi... - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
KEMAMAN:  Seorang warga emas nekad untuk berlindung di dalam van milik suaminya di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok dekat sini.
                   
Munah Eng Abdullah, 64, sanggup menjadikan van tersebut sebagai tempatnya berteduh dan bermalam memandangkan beliau tidak boleh terlalu lama duduk atau tidur di atas simen.
                   
Beliau yang mengalami masalah sakit tulang belakang sejak 10 tahun lalu berkata ini adalah tahun kedua beliau tidur di dalam van ketika rumahnya di tenggelami banjir.
                   
"Mak cik juga sering sakit di bahagian sendi, jadi apabila terlalu lama berada di atas simen, kaki akan mula berasa kejang sebab itu kami memilih untuk tinggal di dalam van," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan itu.
                   
Menurutnya mereka membuat keputusan untuk berpindah lebih awal ke pusat itu kerana mahu mencari tempat yang sesuai untuk meletak kenderaan mereka.

Hari ini sudah enam malam beliau dan suaminya berkampung di sekolah terbabit.
                   
Munah berkata suaminya mula mengemas barangan mereka sebaik menyedari air semakin naik.
                   
Beliau berkata pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak telah meringankan beban mereka memandangkan tidak mempunyai bekalan yang mencukupi.
                   
"Mak cik bersyukur bantuan air bersih mula dihantar kepada kami termasuk peralatan lain seperti tikar, selimut dan sebagainya," katanya.
                   
Seorang lagi mangsa, Wan Nordin Wan Hassan, 40, berkata bantuan boleh dikatakan agak lewat tiba ke pusat penempatan itu kerana paras air terlalu tinggi selain masalah komunikasi yang dihadapi.
                   
"Saya faham jalan terputus menyebabkan bantuan agak sukar dibawa sebelum pihak penyelamat lain tiba dengan kelengkapan yang lebih baik," katanya. - Bernama
DUNGUN:  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan mewujudkan pondok khas bomba di kawasan berisiko dilanda banjir bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku sekitar 11 Dis.
                   
Pengarah JBPM Terengganu Md Salleh Sarbini berkata lima anggota akan ditugaskan di setiap pondok terbabit dan turut dilengkapi dengan kenderaan menyelamat seperti bot dan lori sebagai persediaan operasi menyelamat.
                   
"Kita telah melalui gelombang pertama dan menerusi itu kita membuat analisa yang mana air banjir naik cepat di kawasan tertentu sehingga sukar untuk kita menyelamat dengan segera terutama apabila air naik pada waktu malam.
                   
"Jadi bagi persiapan gelombang kedua ini, kita tempatkan pondok bomba di kawasan berisiko misalnya di Dungun dan Kemaman. Ia melibatkan lebih 15 pondok bagi memudahkan aktiviti menyelamat di waktu kecemasan," katanya.
                   
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Rendah Kampung Delong di sini hari ini.

Sementara itu Md Salleh turut memaklumkan pihaknya turut menyediakan 500 jaket keselamatan kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini.
                   
Katanya ia bertujuan menjamin keselamatan mangsa ketika operasi memindahkan mereka menggunakan bot.
                   
"Adalah keutamaan kita bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini ekoran kebanyakan paras air yang tinggi ketika menyelamat mangsa, kita bekalkan mereka dengan jaket keselamatan.
                   
"Selain mangsa banjir, kita juga bekalkan jaket keselamatan itu kepada penduduk kampung yang membantu kita untuk memindahkan mangsa," katanya. - Bernama
KUANTAN:  Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang berkurangan kepada 40,399 berbanding 40,819 orang pagi tadi.
                   
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 4 petang ini kesemua mangsa daripada 11,872 keluarga itu ditempatkan di 149 pusat pemindahan dari 162 penempatan di sembilan daerah yang terjejas banjir.
                   
"Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 34,090 orang di 42 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
                   
Di Pekan, masih terdapat 3,385 mangsa di 31 pusat pemindahan, Temerloh (1,007 orang di 22 pusat pemindahan), Maran (921 di 19 pusat), Jerantut (505 di 11 pusat), Raub (213 di 10 pusat), Bera (193 di tujuh pusat), Lipis (49 di empat pusat) dan Rompin (36 di tiga pusat).
                   
Sementara itu, hanya satu laluan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas air naik kira-kira satu meter di Km16 Jalan Temerloh-Bera. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula peranan menteri-menteri Kabinet selain melantik Datin Seri Rosmah Mansor sebagai menteri.
Katanya, melalui pelantikan itu, tiada pihak yang boleh membantah campur tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan.
“Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan dilantik menjadi menteri. Malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata.
“Walaupun pilihan raya umum telah berlalu, Najib dan penyokong Rosmah masih boleh melakukannya dengan melantik beliau sebagai senator dan seterusnya menteri. Jawatan yang sesuai bagi beliau ialah Menteri Tugas-Tugas Khas,” katanya dalam tulisan di blognya bertajuk “PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa”.
Najib semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 semalam menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara.
Katanya bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara tanpa visa.
Kadir berkata, berdasarkan sumbangan Rosmah tersebut adalah lebih baik Najib menimbang semula kedudukan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Begitu juga kedudukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim kerana Rosmah juga terlibat di sana sini dalam tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri berkenaan.
“Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri yang berprestasi rendah sekaligus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian,” katanya.
Kadir turut menolak hujah perwakilan Wilayah Persekutuan semasa perhimpunan Umno tempoh hari yang mendakwa semua lelaki tidak sayangkan isteri kecuali Najib.
Katanya, media melaporkan Affandi berkata isteri Perdana Menteri seharusnya dibenarkan menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi ketenangan kepada suaminya.
“Saya sangat berkecil hati dengan tuduhan ini. Saya bantah sekeras-kerasnya tuduhan itu. Tidak mengapalah kalau Affandi hendak pertahankan Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU 2013.
“Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki lain tidak sayang isteri, saya rasa itu satu penghinaan yang sangat dahsyat. Bayangkan tekanan emosi Najib jika sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya. Beliau sayangkan isterinya,” katanya.
Affandi dalam ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno berkata, jika Rosmah berada dalam jet eksekutif, Najib tidak perlu bimbang keselamatannya dan menambah orang bodoh pun tahu penerbangan dengan jet eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial tetapi ia perlu dilihat daripada aspek keselamatan.
“Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang akan Perdana Menteri tanggung sekiranya sesuatu buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang dengan pesawat komersial?” kata Affandi.
Rosmah dikritik hebat oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bulan lalu kerana menggunakan jet eksekutif milik kerajaan untuk lawatan peribadinya ke Timur Tengah. – The Malaysian Insider
ALOR SETAR: Ibu kepada tiga beradik yang dipercayai dibunuh bulan lalu meminta orang ramai agar menghentikan membuat spekulasi tentang kematian anak-anaknya seperti yang disebarkan melalui laman sosial.

Siti Aisyah Arifin, 40, berkata orang ramai tidak tahu tentang apa sebenarnya yang berlaku dan tidak wajar membuat pelbagai andaian.

"Biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka sehingga selesai," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Datuk Kumbar di sini Ahad.

Beliau menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob yang turut menyampaikan sumbangan.

Siti Aisyah berharap pihak polis dapat menangkap penjenayah terbabit dengan segera dan dikenakan hukuman setimpal.

Menceritakan kembali tentang kematian anak-anaknya, beliau berkata mereka tidak menunjukkan sebarang perangai pelik sebelum kejadian.

"Cuma malam sebelum mereka nak keluar rumah, yang sulung (Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14,) minta kebenaran ayahnya untuk keluar. Sebelum ini kalau nak keluar, dia tak minta kebenaran pun.

"Dia juga tidak bawa telefon bimbitnya. Dia memang tidak boleh berenggang dengan telefon. Yang kecil sekali (Puteri Nurul Akma, 3,) asyik merengek mahu ikut kakak-kakaknya (termasuk seorang lagi Nur Izzati Husna, 12)," katanya.

Beliau berkata beliau akan mengikut ibu mertuanya pulang ke Besut, Terengganu dalam waktu terdekat bagi menenangkan fikirannya.

Suraya pula meminta anggota masyarakat agar prihatin dengan keadaan orang lain dan persekitaran mereka bagi mengelak tidak berlaku perkara tidak diingini.

Dalam kejadian itu, mayat Noor Syafikah Nadia ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong pada 30 Nov manakala mayat Nur Izzati Husna dan Puteri Nurul Akma, ditemui di terusan Mada di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Disember.

Sebelum itu mereka dikatakan keluar rumah pada 29 Nov dengan menunggang motosikal kira-kira 7.30 malam. - Bernama

Tiada ulasan: