Selasa, 10 Disember 2013

BILA TIADA KAWAN...BILA TIADA KUASA....BILA TERLANTAR SAKIT....BILA DIAMBANG MAUT...KITA TIDAK DIPENDULI LAGI....NI JIKA ADA KESEMPATAN KITA SEMUA AKAN MERASA....KECUALI MATI MENGEJUT

PUTRAJAYA:  Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difail Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Machang pada pilihan raya umum ke-13 didengar semula.
          
Panel lima hakim diketuai Tun Arifin Zakaria membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail bagi mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya pada 16 Julai lepas.
          
Dalam penghakimannya, Arifin berkata hakim pilihan raya tidak sepatutnya membatalkan pertisyen itu atas alasan pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
          
Arifin, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah berkata Mahkamah Pilihan Raya perlu mendengar kes itu berdasarkan merit.
          
Beliau kemudian menetapkan 17 Dis sebagai pengurusan kes bagi petisyen itu.
          
Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen Wan Zawawi selepas membenarkan bantahan awal peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili responden.

Wan Zawawi menamakan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.
          
Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi pada pilihan raya umum ke-13.
          
Pada prosiding hari ini, panel sama menolak lima rayuan berkaitan petisyen pilihan raya selepas mendengar hujah pihak berkaitan.
          
Tiga daripada petisyen itu difail oleh PAS bagi kerusi Dewan Undangan Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di Perak manakala dua oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan Undangan Negeri Jelawat di Kelantan.
          
Sementara itu, satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif turut menolak petisyen pilihan raya PAS bagi kerusi Dewan Undangan Selama.
          
Md Raus, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, membuat keputusan itu selepas peguam pempetisyen Mohd Akmal Kamaruddin tidak hadir ke mahkamah.
          
Rayuan itu ditolak dengan kos RM20,000.
          
Mahkamah itu turut menetapkan 23 Dis ini untuk memutuskan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau. - Bernama

10 Disember, 2013

Panas!! Ali Rustam Keluar Umno?

"Bohonglah kalau saya tidak ada rasa kecewa dengan apa yang berlaku sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2013 ini. Tapi saya pasrah kerana bila terjadi begini, barulah saya sedar siapa lawan, siapa kawan,".

Itulah kata Datuk Seri Wira Ali Rustam, bekas ketua Menteri Melaka yang masih mampu tersenyum walaupun dalam diam dipinggirkan oleh semua Umno Bahagian di Melaka. "Memang pedih sangat hati saya apabila lima Bahagian di Melaka tidak menyokong saya sebagai calon Naub Presiden UMNO yang lalu.

Tapi siapa saya yang hendak menegur kelima-lima bahagian tersebut? "Kalau saya masih lagi Ketua Menteri Melaka, saya pasti semua Bahagian di negeri kelahiran saya ini akan menyokong penuh hasrat saya. 

Oleh kerana saya sudah bukan sesiapa lagi dan tidak ada kuasa memerintah, mungkin itulah sebabnya mereka tidak mahu menyokong saya,”katanya. 

Apapun kata Ali, sewaktu memegang tampuk kuasa, memang semua ahli UMNO mendampinginya tidak kira masa. "Yang sudah tu sudahlah. Saya tak mahu berdendam. 

Biarlah orang buat kita dan tak perlu kita nak benci sesiapa. Cuma saya kini sedar yang mana kawan dan yang mana lawan. 

"Tak sangkalah juga ramai di kalangan kawan-kawan saya rupa-rupanya ada kepentingan diri dan tidak ikhlas dalam menjalin persahabatan,” ujarnya. 

Tambah Ali, walaupun tidak memegang apa-apa jawatan pentig dalam negeri, dia tetap berpuas hati kerana berjaya membangunkan Melaka sebagai antara negeri termaju dan tercantik di Malaysia. 

"Biarlah kalau orang negeri sendiri lupa pada saya asalkan orang luar tahu bahawa perubahan Melaka hari ini adalah antara hasil kerja saya selama menjadi Ketua Menteri selama 15 tahun," katanya. ~malaysiagazette

MELAKA: Kira-kira 30 ekor lembu bernilai RM75,000 dilarikan dalam satu rompakan bersenjata di sebuah ladang lembu milik seorang penduduk tempatan berhampiran Taman Bukit Rambai di sini, awal hari ini.
          
Dalam kejadian pada 2 pagi itu, lima pekerja ladang warga Nepal yang sedang nyenyak tidur di rumah pekerja didatangi beberapa lelaki bersenjatakan pistol dan parang.
          
Seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Budiman, 40, berkata dia diacukan parang malah lehernya turut terluka dalam kejadian itu.
          
"Pintu rumah kami ditendang dan beberapa lelaki bersenjata pistol dan parang masuk ke dalam rumah dan mengarah kami supaya tidak melawan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
          
Katanya dia dan empat lagi rakannya kemudian diikat sebelum penjenayah melarikan telefon bimbit dan wang tunai kesemua berjumlah RM8,000 milik mereka selain lembu ternakan terbabit.
          
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati terdapat kira-kira 15 penjenayah terbabit dalam rompakan berkenaan.
          
Penjenayah melarikan lembu tersebut menggunakan lori dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata berbahaya, katanya.  - Bernama

SINGAPURA:  Dua puluh empat orang didakwa di mahkamah hari ini kerana pembabitan mereka dalam rusuhan di Little India di Race Course Road pada malam hari Ahad.
          
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar berkata: "MFA (Kementerian Luar) bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Tinggi India bagi memudahkan bantuan konsular dan sokongan untuk warga mereka, termasuk perwakilan peguam.
          
Dalam pada itu, polis dalam posting Facebooknya berkata: "Setakat Selasa 3:20 pagi, siasatan lanjut menunjukkan bahawa dua lagi lelaki, seorang warga India dan seorang PR (pemastautin tetap) Singapura, tidak terlibat dalam rusuhan di Little India pada 8 Dis, 2013.
          
Ini menjadikan jumlah orang yang didakwa kerana insiden itu kepada 24. Kesemua mereka adalah warga India.
          
Empat orang yang tidak terbabit dalam insiden itu telahpun dibebaskan dari tahanan Polis.

Rusuhan meletus pada Ahad malam berikutan kemalangan maut melibatkan seorang warga India berusia 33-tahun di Little India, sebuah kawasan terkenal sebagai tempat pekerja asing dari benua kecil India berkumpul pada hujung minggu.
          
Insiden itu adalah yang pertama dalam sejarah Singapura sejak rusuhan kaum 1969 yang berlarutan selama tujuh hari mengakibatkan empat terbunuh dan 80 cedera.
          
Dalam insiden Ahad, sepuluh pegawai polis cedera termasuk lima anggota polis bantuan yang merupakan warga Malaysia dengan status pemastautin tetap di Singapura mengalami kecederaan kecil ketika membantu polis Singapura menangani rusuhan itu.
          
Lima kenderaan polis, sebuah ambulans dan beberapa buah kereta persendirian turut musnah.  - Bernama

Mohamad menyantuni kanak-kanak sambil disaksikan Hanafiah ketika melawat mangsa banjir di Taman Fikri, Chukai.
KEMAMAN: Tindakan pantas, cekap dan tidak pernah mengenal erti penat lelah anggota sukarelawan daripada Jabatan Amal Malaysia mendapat pujian PAS.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memuji kecekapan anggota-anggota sukarelawan PAS seperti Unit Amal yang bertindak pantas menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Kemaman.

Malah, katanya kerja-kerja sukarelawan ini perlu diteruskan termasuk kepada orang Umno dan masyarakat bukan Islam.

“Unit Amal ini, dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, saya puji dia dan saya sebut sukarelawan terbaik dalam dunia Islam.

“Kerja-kerja sukarelawan ini perlu kita teruskan termasuk kepada orang-orang Umno dan orang bukan Islam, dan kita harap mereka menerima baik khidmat dari Unit Amal kita,” ujarnya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi penduduk di Taman Fikri Chukai yang telah kembali ke rumah masing-masing, gotong-royong membersihkan rumah dilakukan oleh anggota Unit Amal Hulu Terengganu.

Menurutnya, anggota sukarelawan PAS tersebut bekerja dengan penuh keikhlasan serta mengharapan ganjaran daripada Allah SWT.

Katanya, kesan banjir besar yang berlaku di Kemaman ini cukup dahsyat dan dianggap paling besar dalam sejarah negeri ini.

“Saya sempat melihat dan meninjau keadaan penduduk dan rumah-rumah yang terlibat dengan banjir di Taman Fikri ini. Saya diceritakan oleh mereka dan saya sangat sedih mendengar rintihan mereka.

“Sekali lagi, terima kasih kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS termasuk semua pihak dari NGO dan orang ramai yang menyumbang.

“Kita akan cuba untuk mencari dana lagi untuk bantu penduduk yang kena banjir ini. Kerugian ini cukup besar dan mereka hilang harta benda kerana banjir,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada PAS Kawasan Kemaman bagi pengurusan mangsa banjir tersebut.

Turut mengiringi beliau Adun Chukai, Hanafiah Mat, Bendahari PAS Terengganu, M.Sukrimun Shamsuddin, Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmod.
KUALA LUMPUR:  Kes saman fitnah RM30 juta yang difailkan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo selesai selepas Dr Mohamad Khir mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini.
          
Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid merekodkan penyelesaian itu selepas Dr Mohamad Khir, yang diwakili peguam M.Athimulan, membacakan permohonan maaf itu.
          
Dr Mohamad Khir ketika membacakan permohonan maaf itu berkata:"Saya, Mohamad Khir, defendan pertama dalam kes saman ini, tanpa pengakuan liabiti, memohon maaf kepada Teresa kerana menyiarkan penerbitan dalam blog saya www.drkhir.com pada 9 Julai 2008 seperti yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan. Saya kesal menyiarkan artikel itu dan bersetuju untuk membayar kos".
          
Terdahulu, peguam S.N. Nair, yang mewakili Kok memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu bersetuju untuk tidak meneruskan samannya terhadap Dr Mohamad Khir.
          
Mahkamah juga membenarkan saman itu tidak diteruskan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman baharu.

Pada 23 Dis 2008, Kok memfailkan saman terhadap Dr Mohamad Khir dan Utusan Melayu (M) Berhad berhubung isu laungan azan di Masjid Kinrara di sini, yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 Sept 2008.
          
Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa pada 26 Jun 2008, Dr Mohamad Khir telah memetik sebuah blog dan membuat tuduhan salah terhadapnya manakala Utusan Melayu telah menerbitkan kata-kata Dr Mohamad Khir berhubung perkara itu dalam akhbarnya yang bertajuk "Ada usaha larang azan di masjid Selangor".
          
Kok mendakwa tuduhan kedua-dua defendan adalah tidak berasas, berniat jahat dan membawa maksud bahawa plaintif bersifat perkauman, seorang ahli politik yang anti-Islam dan tidak bertoleransi.
          
Bagaimanapun, kes saman terhadap Utusan Melayu selesai apabila Kok menarik balik saman itu pada 27 Nov lepas. - Bernama
APA HUKUM MENFITAH ORANG LAIN SAMPAI 5 TAHUN

BARU NAK MINTAK MAAF??

TAK MAMPU NAK BAYAR SAMAN 30 JUTA BARU NAK MENGALAH..

MCM MANA AMAL IBADAH MEREKA INI???

AGAK AGAK TUHAN TERIMA KA??

Khir Toyo mohon maaf fitnah Teresa Kok


teresa kok spr burn
KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo hari ini memohon maaf kepada Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berhubung penyiaran artikel fitnah di blognya lima tahun lalu.
Artikel bertajuk ‘Ada usaha larang azan di masjid Selangor’ itu mendakwa Teresa meminta pembesar suara diperlahankan ketika azan di masjid sekitar Puchong dan Damansara.
Teresa Kok, melalui laman Facebooknya berkata, Mohamad Khir memohon maaf kepadanya serta bersetuju membayar kos guamannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Beliau membaca surat perakuan seperti berikut: ‘Saya, Mohamad Khir Toyo, defendan pertama, tanpa memasukkan liabiliti memohon maaf kepada YB Teresa Kok Suh Sim kerana menyebabkan penerbitan di blog saya, www.drkhir.com pada 9 Julai 2008, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tuntutan.
“‘Saya menyesal menerbitkannya dan setuju untuk membayar kos,” katanya lagi.
Mohamad Khir turut bersetuju membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan, sebagai kos guaman kepada Teresa, yang juga ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara.
Isu azan itu turut dibangkitkan akhbar Utusan Malaysia melalui artikel ‘Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya’ yang disiarkan 10 September 2008.
Teresa Kok memfailkan saman ke atas Mohamad Khir dan Utusan Malaysia, bernilai RM30 juta bagi setiap pihak pada Disember berikutnya.
Katanya lagi, beliau menerima permohonan maaf Mohamad Khir dan bersetuju menarik balik samannya.
“Apa yang saya inginkan adalah permohonan maafnya. Saya percaya beliau tidak sangka ia akan sebabkan saya ditahan ISA selama 7 hari selepas itu,” katanya yang turut berterima kasih kepada peguamnya, Sankara Nair dan pihak yang membantunya.
Teresa Kok ditahan pada 12 September 2008 mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri berhubung isu itu.-Roketkini.com

PUTRAJAYA:  Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah Anggota Parlimen Shah Alam Abdul Khalid Samad terhadap Datuk Hamidah Osman (gambar) berhubung penyiaran gambar beliau memakai jubah paderi dalam laman blog Ketua Penerangan Wanita Umno itu.
          
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Abdul Khalid.
          
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Hamidah membayar RM50,000 sebagai kos kepada Abdul Khalid.
          
Mohamad Ariff juga memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.
          
Dalam penghakimannya, beliau berkata perkataan dan gambar dalam artikel itu terbukti satu fitnah.
          
Panel itu turut dianggotai Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Abdul Khalid memfailkan saman terhadap Hamidah pada 2011 berhubung penyiaran artikel dan gambar 'superimpose' beliau di laman blog defendan pada Jan 2010.
          
Penyataan tuntutan Abdul Khalid mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.
          
Beliau menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlah, relif dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
          
Hamidah, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, dalam pembelaannya berkata Abdul Khalid, sebagai seorang jurutera, tidak layak mengulas isu berkaitan penggunaan kalimah Allah.
          
Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Abdul Khalid.
          
Beliau diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin manakala Hamidah oleh Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham. - Bernama
BELUM PUN 36 jam berlalu selepas membuat tuduhan melulu di atas pentas perhimpunan agung Umno, Sabtu lalu, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U dengan mendakwa tidak pernah menyebut nama Mohamad Sabu ketika menggesa agar ‘orang nombor dua’ PAS itu dikenakan tindakan kerana mengamalkan fahaman Syiah.

“Saya tidak pernah sebut (nama) Mat Sabu, saya sebut 'nombor dua',” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media berhubung tindakan yang akan dikenakan ke atas Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS.

Ketika diasak wartawan bahawa ‘orang nombor dua’ PAS itu ialah Mohamad Sabu, Ahmad Zahid yang baharu diwawancara sebuah stesen TV Indonesia ketika menziarahi kampung halamannya di Jawa, Indonesia bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut dan hanya ketawa.

Beliau juga berkata, pegawainya akan mengadakan satu lagi sidang media untuk mendedahkan bukti kononnya ‘orang nombor dua’ itu berfahaman Syiah.

Tambahnya, tindakan penahanan itu boleh dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri, kata Zahid cuba mengalihkan beban tuduhannya itu kepada agensi lain.
Ketika ditanya pemberita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata, agensi di bawah kementeriannya akan berbincang dengan KDN sebelum menyiasat pemimpin PAS yang didakwa terlibat dengan ajaran Syiah.

Menurut Jamil Khir, pihaknya perlu mendapatkan dan meneliti bukti sebelum memulakan penyiasatan dan mengambil tindakan undang-undang Syariah.

“Kita jumpa KDN dulu, dapatkan semua maklumat. Nak buat tuduhan perlu bukti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtimak Amil Zakat Kebangsaan 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Selasa lalu.
Dolak dalih Zahid ini berpunca daripada kenyataan Mohamad yang ingin membawa menteri BN itu ke mahkamah kerana menuduh beliau secara terbuka di pentas Umno sebagai penganut mazhab Syiah. Mohamad menafikan dakwaan rambang Zahid itu dan menegaskan bahawa beliau berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walau apa pun dolak dalih Zahid, sebilangan penyokong fanatik Umno berkeyakinan teguh bahawa dakwaan beliau terhadap Mohamad disandarkan bukti kukuh.
Malah ada di kalangan mereka mahukan polis dan Jakim segera menyiasat dakwaan Zahid berhubung pembabitan pemimpin tertinggi PAS dalam gerakan Syiah.
Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang terkenal dengan senaman punggung dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,  berhubung perkara tersebut.
Presiden PVTM yang juga pelopor senaman punggung, Mohd. Ali Baharom berharap pihak-pihak berkuasa mengambil tanggungjawab untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan tersebut.
"Perkara ini serius dan perlu siasatan segera kerana kami bimbang ajaran sesat ini akan terus berleluasa memesongkan akidah umat Islam di negara ini sekali gus mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat.
"Kami percaya Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri membuat dakwaan tersebut berasaskan risikan serta maklumat yang diperoleh pihaknya, jadi adalah penting siasatan terperinci dilakukan demi kesucian agama Islam di negara ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.
Mohd. Ali juga berharap Zahid berani mengambil tindakan dan bertanggungjawab atas dakwaan yang dilakukan.
Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah dilaporkan Utusan Online mempercayai bulat-bulat dakwaan Zahid.
Menurutnya, dakwaan Zahid tidak akan timbul sekiranya tanpa bukti dan beliau percaya Menteri Dalam Negeri mempunyai asas sebelum membuat sebarang dakwaan.
Begitulah yakinnya pemimpin NGO pro-Umno terhadap Zahid seperti mana keyakinan mereka bahawa kononnya hanya Umno sahaja yang mampu membela nasib Melayu.
Menjawab dakwaan Zahid, Mohamad tidak gentar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri itu yang mahu mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dalam fahaman Syiah.

Mohamad mengakui sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan PAS baru-baru ini.

“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya dipetik The Malaysian Insider.
Nampaknya Zahid tidak punyai pilihan selain membuktikan tuduhannya itu. Beban bukti dakwaan kini terpikul di bahu Zahid dan para pegawai KDN nampaknya terpaksa bekerja lebih masa untuk mengumpulkan bukti bagi menyelamatkan ‘air muka’ Zahid.
Di saat Mohamad dan masyarakat umum ternanti-nanti bahan bukti yang ingin dipersembahkan Zahid, suka diingatkan agar Zahid tidak secara mudah menganggap Mohamad sebagai bermazhab Syiah semata-mata bersandarkan ucapan Mohamad dalam ceramah-ceramah umum beliau sebelum ini.
Mohamad memang dikenali umum sebagai pengkagum revolusi Islam Iran – revolusi rakyat yang berjaya menumbangkan regim Shah Iran dokongan Amerika Syarikat. Bagaimanapun kekaguman Mohamad terhadap Iran tidak boleh dijadikan hujah untuk mengaitkan beliau dengan Syiah seperti mana kita tidak boleh menuduh Dr Mahathir Mohamad sebagai penganut Shinto semata-mata kerana kekaguman beliau dengan nilai-nilai masyarakat Jepun.
Apa juga kurangnya dengan Umno yang kini punyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China (PKC)? Wakil PKC dan wakil parti-parti komunis Vietnam dan Cuba pernah menghadiri perhimpunan agung Umno. Paling akhir delegasi PKC mengunjungi Perdana Menteri yang juga Presiden Umno di bangunan Parlimen November lalu.
Malah hubungan erat Umno-PKC itu diwar-warkan dalam Umno Online dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor begitu berbangga dengan kerjasama erat dua parti itu  dalam aspek perkaderan anggota.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pula diketahui umum mempunyai hubungan baik dengan isteri kerabat Diraja Arab Saudi dan beberapa negara Arab.

Ketika memberikan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 lalu, Najib memberikan dua contoh hubungan akrab Rosmah dengan isteri bekas diktator Mesir Hosni Mubarak, Suzanne Mubarak dan kerabat Diraja Saudi yang sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Rosmah juga dibenarkan kabinet menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk berkunjung ke sebuah negara Timur Tengah dan bertemu isteri pemimpin negara tersebut yang juga berfahaman Wahabiah.

Kesimpulannya jika hubungan dan kekaguman Mohamad dengan Iran boleh dijadikan alasan mendakwa beliau sebagai Syiah, apa halangan untuk kita mendakwa Umno itu komunis dan Rosmah itu Wahabi?
KUANTAN:  Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menyarankan agar pendekatan dalam membuat persiapan menghadapi banjir dikaji semula.
          
Ini kerana titah baginda, amalan yang diguna pakai sejak dahulu sudah tidak berkesan pada masa sekarang.
          
"...ini pandangan ikhlas saya. Kita memandang masalah bencana ini satu perkara yang tidak besar, kita hanya menunggu apabila terjadi barulah kita bertindak.
          
"Kita seharusnya buat satu corak tindakan lebih proaktif yang boleh menjadi amalan kita pada masa hadapan," titahnya kepada Bernama ketika melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Cherok Paloh di sini.
          
Titah baginda segala kekurangan yang dikesan sekarang perlu diperkemas dengan mengambil kira segala aspek luar jangka.

Seperti pusat pemindahan, perlu disiapkan secepat mungkin seperti mana siap siaga yang dilakukan oleh tentera, titah baginda.
          
Tengku Abdullah turut mencadangkan supaya diadakan latihan menghadapi bencana setiap tiga, enam atau sembilan bulan bagi melatih mangsa tentang apa yang perlu dilakukan ketika berlaku bencana.
          
Titah Tengku Abdullah, baginda dimaklumkan mengenai gelombang kedua banjir di negeri itu sejurus tiba dari India. - Bernama
KUALA LUMPUR:  Bekas Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tipu ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.
          
Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula Mohamad Salleh mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah.
          
Mahkamah menetapkan 20 Feb tahun depan untuk mendengar keterangan beliau.
          
Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan pihaknya akan menyoal balas saksi ke-42 itu berhubung peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang namanya disebut dalam kelima-lima pertuduhan terhadap Shamsubahrin.
          
Pada 26 Nov lepas, Rozilah meminda lima pertuduhan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan nama Dr Mahathir apabila memutuskan Shamsubahrin perlu membela diri terhadap pertuduhan menipu itu selepas pendakwaan berjaya  membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Shamsubahrin didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh serta menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang 20 Nov 2011 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
          
Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.
          
Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat serta diberi kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang sedang disiasat berkaitan NFCorp.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan Petaling Jaya antara 25 Nov dan 5 Dis 2011.
          
Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
          
Dia juga diperintah membela diri terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan keghairahan Umno membangkitkan isu ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) pada waktu sekarang adalah semata-mata ingin mengelirukan masyarakat Malaysia tentang pengertian ASWJ dalam konteks yang sebenar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berita-berita yang dilaporkan sejak kebelakangan ini khususnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggambarkan seolah-olah hanya Umno sahaja yang mempejuangkan akidah ASWJ di negara ini sedangkan realiti sebenarnya adalah berbeza.

"Saya ingin bertanya kepada Zahid, adakah beliau faham apa yang dimaksudkan dengan ahli sunnah wal jamaah yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah?" soal beliau lagi.

Jelasnya, akidah ahli sunnah wal jamaah ialah akidah yang memandu sesiapa sahaja yang percaya kepadanya untuk memperjuangkan ajaran agama Allah s.w.t , termasuklah memperjuangkan hukum hakam-Nya yang wajib dilaksanakan dalam negara ini.

"Mereka yang memperjuangkan ASWJ hendaklah wajib menentang segala apa bentuk tindakan yang bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang berlaku di dalam negara ini," tegas beliau ketika dihubungi.

KOTA BHARU: “Saya tidak mampu menahan sebak ketika menemui mangsa-mangsa banjir di Dungun, Kemaman, Paka dan Chukai.

“Sebagai seorang wanita, terus terang saya katakan saya tidak mampu melihat kesengsaraan yang ditanggung mangsa banjir,” ujar Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Ketika dihubungi beliau memberitahu, mangsa banjir bukan sahaja terpaksa tidur di tempat penginapan sementara, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian besar kerana kerosakan harta benda.

Katanya, mangsa banjir yang ditemui menyifatkan banjir tersebut sebagai tsunami kecil yang terpaksa mereka hadapi.

“Walau pun ada di antara mereka telah pulang ke rumah mereka, namun masih tidak dapat bermalam di rumah sendiri kerana dipenuhi lumpur.

“Pakaian, perabot serta segala isi rumah bersalut lumpur yang tebal. Barangan yang rosak kalau dibuang mungkin boleh muat satu lori,” katanya.

Anggota Parlimen Rantau Panjang itu juga memberitahu, penduduk di situ mendakwa mereka tidak pernah mengalami banjir seburuk itu sepanjang tinggal di kawasan berkenaan.

Beliau juga bersyukur kerana banyak pihak tampil menderma keperluan harian seperti makanan, minuman, peralatan tidur dan ubat-ubatan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Keperluan dapur untuk memasak paling mendesak sekali bagi menggantikan dapur yang rosak akibat ditenggelami air bah,” tambahnya.

Sepanjang misi bantuannya ke Terengganu, Siti Zailah turut tidur bersama mangsa banjir di penempatan banjir di Dungun dan Kemaman.

Hari ini beliau dalam perjalanan ke Pekan untuk meneruskan misi yang sama.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam di seluruh negara mendoakan keselamatan mangsa banjir agar selamat dan sentiasa tabah.

“Sesungguhnya ujian Allah itu tidak sia-sia, Allah akan gantikan dengan ganjaran yang lebih besar,” ujarnya dalam nada berbaul sebak.

Petang tadi beliau menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dari rumah ke rumah sekitar Kemaman dan Chukai.

Tiada ulasan: