Lebih sebulan diperlukan bersih rumah akibat banjir
- Dec 22, 2013
- HARAKAHDAILY
Ini disebabkan lumpur tebal yang datang bersama air banjir sehingga ada yang melekat melebihi lima meter sama ada di dinding mahupun di bumbung kediaman dan bangunan.
Selain mengotorkan bangunan yang disaluti lumpur kering hingga setebal 15cm, bencana itu turut merosakkan dan menghanyutkan pelbagai barangan.
Tinjauan Bernama di beberapa buah kampung di sekitar Kemaman, daerah terjejas teruk akibat banjir 3 Dis lalu, mendapati penduduk masih membiarkan barangan mereka di luar rumah kerana belum dapat dibersihkan sepenuhnya.
Lebih memeritkan kerja mencuci rumah, sekolah serta barangan akibat bencana itu perlu dilakukan kerap kali disebabkan kesan lumpur yang tebal menyaluti sekolah serta kediaman penduduk.
Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor, Wan Kaziar Tun Ali, 48, berkata walaupun sekolah tersebut sudah tiga kali dicuci namun kesan banjir belum dapat dibersihkan sepenuhnya disebabkan lumpur yang sangat tebal.
"Mungkin sebelum buka sekolah nanti pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru serta pelajar perlu bergotong-royong sekali lagi untuk bersihkan kawasan sekolah ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Maimah Ngah, 67, penduduk Kampung Air Putih dekat sini berkata setakat ini dia hanya membersihkan rumahnya manakala barang-barang lain yang masih berselut dibiarkan di luar rumah.
Katanya banyak juga barangan dibuang seperti tilam dan pakaian kerana sudah tidak dapat digunakan lagi.
"Banjir meninggalkan kesan yang sangat teruk selain keadaan cuaca yang tidak menentu, kejap panas kejap hujan ... mak cik rasa kena ambil masa lebih sebulan untuk kemas balik barang-barang ini," katanya. - Bernama
Soi Lek undur, Liow dan Wee pimpin MCA
- Dec 22, 2013
- HARAKAHDAILY
Liow sebelum ini ialah timbalan presiden MCA, manakala Wee pula ketua Pemuda.
Dalam persaingan tiga penjuru, Liow memperoleh 1,186 undi mengatasi bekas naib presiden MCA Gan Ping Sieu (1,000 undi) dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat (160 undi).
Wee pula memperoleh 1,408 undi berbanding saingannya Datuk Donald Lim Siang Chai yang menerima 927 undi.
Keputusan rasmi pemilihan itu diumum oleh Speaker parti Datuk Yik Phooi Hong pada pukul 7.15 malam.
Sebanyak 2,352 perwakilan mengundi dalam proses yang berlangsung dari 12.15 tengah hari hingga 2 petang, bagi memilih barisan kepimpinan baharu parti di ibu pejabat MCA di Jalan Ampang, di sini.
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak mempertahankan jawatannya sebagai presiden.
Desas-desus parti menyatakan gandingan Donald Lim dan Gan sebagai pasukan pilihan Dr Chua, manakala Wee pula gandingan Liow dalam pasukan lain.
Bagi empat jawatan naib presiden pula, mereka yang menang ialah Datuk Lee Chee Leong (1,642 undi), Dr Hou Kok Chung (1,475 undi), anak Dr Chua iaitu Datuk Chua Tee Yong (1,343 undi) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (1,230 undi).
Jawatan itu turut ditandingi oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Chong Itt Chew, Lee Wei Kiat, Anggota Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng dan Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun Dr Leong Yong Kong.
Untuk 25 slot anggota jawatankuasa pusat (CC), antara yang berjaya mempertahankan jawatan ialah Datuk Toh Chin Yaw, Datuk Gan Tian Loo, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Koh Nai Kwong, Dr Por Choo Chor, Datuk Paul Kong Sing Chu, Yoo Wei How, dan Datuk Ti Lian Ker.
Turut memenangi pemilihan CC ialah Datuk Mah Hang Soon, Datuk Ei Kim Hock dan Datuk Tan Chin Meng yang sebelum ini anggota CC secara lantikan. - Bernama
Najib, Rosmah lawat Arab Saudi pula
- Dec 22, 2013
- HARAKAHDAILY
Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi 'Alauddin Mohd Nor berkata kunjungan ini menunjukkan hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua buah negara sejak lebih 50 tahun lalu.
Beliau bercakap dalam sidang media sempena lawatan kerja empat hari Perdana Menteri di Arab Saudi.
Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongan yang dijadual tiba lewat petang Sabtu (semalam) akan menunaikan solat Subuh di Masjid Nabawi dan menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W yang terletak di dalam masjid itu.
Esok, Najib dijadual melawat beberapa tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Bukit Uhud dan Masjid Qiblatain di sini sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah.
Najib dijangka menghadap Penjaga Dua Rumah Suci Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud pada Isnin (tempat dan waktu akan ditetapkan) dan pada Selasa beliau akan menunaikan tawaf Wida' sebelum berlepas pulang.
'Alauddin juga berkata kerajaan Arab Saudi juga mengagumi kepimpinan Perdana Menteri yang mengetengahkan dasar-dasar pragmatik dan sesuai dengan rakyat Islam dan bukan Islam di Malaysia yang turut sama membantu kerajaan menjayakan agenda pembangunan negara selain usaha Najib mempromosi konsep kesederhanaan di pentas antarabangsa.
Konsep itu membantu membina keamanan sejagat.
Katanya kepakaran rakyat Malaysia dalam bidang IT dan kejuruteraan dan projek-projek infrastruktur mega bernilai berbilion ringgit mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi kerana ia banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara itu.
Nilai pelaburan kedua-dua buah negara setakat 2012 berjumlah RM11.7 bilion dengan 40 peratus daripada keseluruhannya oleh Malaysia, katanya.
Antara sembilan pelabur utama Malaysia di Arab Saudi ialah MMC Corporation Bhd, Felda Global Ventures Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad dan Khazanah Holdings terlibat dalam beberapa projek.
Tanpa menyebut nilai eksport kedua-dua buah negara, beliau berkata negara itu mengeksport minyak dan bahan berkaitan manakala Malaysia mengeksport sejumlah kecil barangan seperti besi, elektronik dan makanan.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul Razak yang turut hadir pada sidang media itu berkata lawatan kerja Perdana Menteri amat dinanti-nantikan kerajaan Arab Saudi.
Lawatan ini juga menunjukkan hubungan erat Kuala Lumpur-Riyadh dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat kedua-dua buah negara terutama dalam sains, sosial dan IT, katanya.
Katanya antara kepakaran yang disumbangkan Malaysia ialah melalui kajian usahasama Universiti Teknologi Malaysia mengenai bekalan air bawah tanah yang membawa impak besar yang boleh dikongsi dua negara berkenaan.
Dalam bidang pelancongan, Mohd Khalid juga berkata Malaysia menyasarkan untuk menarik 110,000 pelancong negara ini yang gemar berbelanja besar dengan purata seorang pelancong membelanjakan RM8,000 seminggu, sempena Tahun Melawat Malaysia tahun depan.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kira-kira 80,000 pelancong negara ini berkunjung ke Malaysia. Lebih 102,000 pelancong Arab Saudi melawat Malaysia tahun lepas.
Katanya promosi program Malaysia Rumah Keduaku juga akan diperhebatkan di kalangan rakyat Arab Saudi dengan kelebihannya yang tersendiri iaitu sebuah negara yang indah, seimbang dan selamat, walaupun pesat membangun.
Ini juga mendorong ramai pelajar negara ini terutama wanita, untuk melanjutkan pengajian di Malaysia, katanya. - Bernama
Makmal kos sara hidup langkah terbalik Najib
- Dec 21, 2013
- SHAHBUDIN HUSIN
Menulis di laman sosial Facebooknya, Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat berkenaan kenaikan kos sara hidup dan sedang mencari formula sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Disebabkan itu, katanya, kerajaan bersetuju menubuhkan makmal tersebut yang diletakkan di bawah Pemandu.
Respons Najib ini adalah jelas untuk menunjukkan beliau tetap seorang pemimpin yang prihatin kepada kesejahteraan rakyat berikutan pelbagai kenaikan yang berlaku sejak selepas PRU13 lalu lebih memperlihatkan beliau seolah-olah bukan lagi Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat serta tidak mempedulikan rungutan yang kian meningkat.
Najib dilihat memilih cara mudah untuk menambah pendapatan negara iaitu dengan cuba mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat melalui kenaikan cukai dan menghapuskan subsidi serta dalam masa yang diminta berkorban dan berjimat-cermat.
Namun yang menjadi persoalan ialah kenapa baru sekarang beliau tergerak hati mahu menubuhkan makmal mengenai kos sara hidup itu. Apakah sebelum menaikkan harga barang, beliau tidak pernah memikirkan kos sara hidup rakyat? Makmal ini sepatutnya ditubuhkan sebelum sebarang kenaikan dilakukan dan bukannya selepas banyak kenaikan dilakukan.
Benarlah kata orang, kehidupan sebagai anak bangsawan menyebabkan beliau tidak dapat memahami derita rakyat miskin. Kehidupan serba mewah sejak lahir menyebabkannya tidak pernah merasai denyut nadi rakyat bawahan dan pemahamannya mengenai kemiskinan hanyalah sekadar memandang melalui jendela dari sebuah rumah banglo.
Dengan menubuhkan makmal hanya setelah melakukan pelbagai kenaikan dan meletakkan rakyat dalam kehidupan hampir "nyawa-nyawa ikan", menunjukkan Najib seorang yang tidak memandang ke hadapan, tiada perancangan konkrit dalam mengurus negara dan menjaga kebajikan rakyat. Semua urusan negara seolah-olah dilakukan berdasarkan pendekatan "ad-hoc" dan konsep "trial and error" saja.
Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan Najib sedang mengamalkan pendekatan terbalik dalam mengurus negara dan kerajaan iaitu dengan melakukan sesuatu terlebih dahulu, kemudian barulah membuat kajian sedangkan sepatutnya kajian dan fikiran mendalam dilakukan terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan mahu dibuat.
Sekiranya makmal ini ditubuhkan sebelum pelbagai kenaikan dilakukan, Najib pasti mendapat lebih maklumat mengenai kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada kehidupan rakyat dan tidak menjadikan dirinya pemungkir janji paling zalim di mata rakyat.
Selain itu, dengan meletakkan makmal ini di bawah Pemandu, persoalan yang timbul ialah apa sudah jadi dengan jentera kerajaan sedia ada? Apakah Najib tidak mempercayai lagi pelbagai jentera dan agensi kerajaan untuk melakukan kajian yang melibatkan kehidupan rakyat ini?
Untuk mendapat maklumat mengenai kos sara hidup ini, Najib juga boleh mendapatkannya melalui UMNO dan parti-parti komponen BN yang rangkaiannya lebih menyeluruh dan mempunyai cawangan di serata tempat. Pemimpin peringkat cawangan, bahagian, penghulu dan ketua kampung sebenarnya boleh mendapatkan maklumat dan kajian lebih tepat mengenai kos sara hidup ini kerana mereka lebih bergaul dengan pelbagai jenis kelompok rakyat.
Kenapa Pemandu juga yang dipilih oleh Najib sedangkan untuk mendapatkan maklumat mengenai kenaikan kos sara hidup bukanlah suatu kerja yang susah sangat?
Dengan menyerahkan kepada Pemandu untuk menjalankan makmal ini, persoalan yang timbul juga ialah berapa juta lagi kos yang mahu dikeluarkan oleh kerajaan mengenainya. Sudah tentu Pemandu tidak punya kakitangan dan dan upaya untuk melakukan kajian ini, sebaliknya akan menyerahkannya kepada perunding luar untuk melakukan kajian bagi pihaknya.
Jika sebelum ini Parlimen sudah diberitahu bahawa sepanjang lima tahun Najib menjadi Perdana Menteri, beliau sudah membelanjakan RM7.2 bilion untuk mengupah perunding atau konsultan luar bagi melakukan pelbagai tugas sehingga mereka ini layak digelar con-sultan atau con-setan, dengan adanya makmal mengenai kos sara hidup ini tentunya sekali lagi duit rakyat akan dirobek bagi tujan itu.
Mungkin puluhan juta terpaksa dibelanjakan bagi mengupah perunding luar ini sedngkan hasil kajiannya belum pasti membuahkan sesuatu yang menggembirakan kepada rakyat.
Persoalan lain yang timbul ialah berapa lamakah makmal ini diberikan masa untuk menjalan tugasnya. Jika contohnya enam bulan baru hasil kajian itu dapat diperolehi, apakah sepanjang tempoh enam bulan itu rakyat hanya dibiarkan saja menanggung beban derita kehidupan mereka?
Isu kenaikan kos sara hidup adalah isu kritikal ketika ini. Majoriti rakyat terbeban kehidupannya. Najib seharusnya mengambil langkah lebih pantas untuk menanganinya. Sekarang bukanlah lagi masa untuk beretorik dan melakukan kejian dengan menubuhkan makmal atau seumpamanya. Sekarang adalah masa untuk beliau bertindak segera.
Menubuhkan makmal kajian yang akan memakan masa beberapa bulan, hanyalah bertujuan melengahkan masa untuk bertindak dalam membantu rakyat. Ingatlah bahawa rakyat sudah lama terbeban kehidupannya dan kajian demi kajian tidak akan merubah apa-apa.
Mengaku mendengar keluh-kesah rakyat saja tidak lagi memadai. Mendengar mesti disusuli dengan tindakan yang segera dan pantas. Di ketika ini, Najib mesti berfikir seperti seorang doktor untuk mengubati penyakit dan bukannya seperti seorang peguam yang suka melengah-lengahkan masa. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi semua daerah
- Dec 21, 2013
- HARAKAHDAILY
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negri, Sallehen Mukhyi, berkata usaha itu akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 agar permintaan terhadap pendidikan agama dapat dipenuhi.
“Kita akan sentiasa meneliti tahap keupuasan hati dan kecemerlangan agar segala pencapaian yang ditetapkan terhadap kualiti pelajar dapat dicapai,” katanya dipetik Selangor Kini.
Katanya permintaan terhadap pendidikan agama khususnya Maahad Tahfiz semakin tinggi ekoran kesedaran semakin tinggi kepada kepentingan pendidikan agama.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Graduasi Qurra Pelajar MITST Negeri Selangor 2013 di Dewan Jubli Perak,di Shah Alam.
Sallehen berkata, para pelajar perlu berusaha mengekalkan hafalan Al-Quran sebaik mungkin serta menerapkan dalam kehidupan.
Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali.
Seramai 172 pelajar yang menghafal 30 juz Al-Quran menerima Sijil yang disampaikan Sallehen dari Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Jugra dan Maahad Tahfiz Sains Dan Teknologi Klang.
Megawalk 2.0 Kuala Lumpur Putrajaya 23-24 Feb 2014
- Dec 21, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) ingin mengumumkan Megawalk 2.0 akan dianjurkan pada 23 dan 24 Februari 2014 berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.
KTI dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, memandangkan memorandum yang dihantar oleh KTI ke Parlimen dan DBKL tidak disampaikan kepada Perdana Menteri, KTI memutus menganjurkan Mega Walk 2.0.
Pada 23 Februari 2014, KTI akan mengadakan Mega Perhimpunan 2.0 dan bermula jalan pada pagi ke Putrajaya.
KTI jangka perjalanan ini sepanjang 45 km dan akan sampai ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 24hb Februari 2014. Seterusnya, KTI akan menyerah Memorandum Tak Nak Insinerator 2.0 kepada YAB Perdana Menteri.
Sehubung dengan itu KTI ingin mengadakan ceramah-ceramah kesedaran terhadap 3R dan insinerator di kawasan Selayang, Batu, Kepong dan Segambut sepanjang bulan Disember 2013 hingga Februari 2014. Maka, KTI memanjangkan jemputan kepada wakil rakyat kawasan tersebut bekerja sama menjayakan ceramah tersebut.
Selain itu, KTI ingin memberikan maklumat terkini mengenai keburukan membina loji pembakar sampah (insinerator) berbanding dengan loji pelupusan sampah (landfill).
Daripada kajian kami, Insinerator Taman Beringin yang berkapasiti membakar 1,000 ton sampah sehari akan menghasilkan 250 ton baki habuk yang akhirnya perlu juga dihantar ke Loji Pelupusan Sampah Bukit Tagar.
Oleh itu, kos operasi insinerator terdiri daripada kos pembakaran dan kos penghantaran baki habuk ke Bukit Tagar.
Berbanding dengan pengurusan sampah sekarang yang melibat loji pelupusan sampah Bukit Tagar sahaha, insinerator akan menambahkan lagi kos pengurusan sampah.
Kiraan KTI ialah jumlah kos pengurusan melibat loji pelupusan sahaja ialah RM112.2 juta, penglibatan insinerator ialah RM137.6 juta. Pendek kata ialah kos pengurusan insinerator lebih mahal RM25.4 juta daripada pengurusan sekarang.
Di mana DBKL dapat cari pendapatan baru untuk menanggung perbelanjaan tambahan ini? Jawapan ialah daripada kenaikan cukai pintu dan tanah. Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan telah mengakui kenaikan dadak cukai pintu Kuala Lumpur adalah berkaitan dengan pengurusan sampah pada 26 November 2013.
Perkara |
Pengurusan Sekarang
|
KL Insinerator
|
||
Kos per ton (RM) | Jumlah kos setahun (RM) | Kos per ton (RM) | Jumlah kos setahun (RM) | |
Pengutipan sampah dari rumah ke Stesen Transfer Tmn Beringin (25-40km) | 45 | 41.06 juta | 45 | 41.06 |
Penyerahan dan pengangkutan sampah dari Tmn Beringin Ke Bukit Tagar | 29 | 26.66juta | 29 | 18.50juta |
Proses pembakaran di Insinerator | 128 | 46.70juta | ||
Pelupusan di Bukit Tagar | 49 | 44.71 juta | 49 | 31.30juta |
Jumlah | 112.20 juta | 137.6 juta | ||
Kos purata per ton (RM) |
123.11
|
250.80
|
Sementara itu, KTI difahamkan kapasiti maksimum Bukit Tagar boleh menampung 120 juta ton sampah. Sehingga hari ini, loji ini dipenuh dengan 1.4 juta ton sampah, masih ada 116 juta ton kapasiti kosong.
Mengikut kadar penghasilan warga-warga Kuala Lumpur sehari 2,500 ton, setahun adalah 912,500 ton. Ini bermakna loji pelupusan tersebut masih boleh beroperasi 120 tahun lagi untuk memenuhkan 116 juta ton kapasiti kosong itu. Maka tidak ada keperluan untuk membina insinerator yang mahal itu lagi.
KTI juga ingin memaklumkan pengoperasian insinerator memerlukan pakar-pakar dan pekerja-pekerja berpengalaman, dan kemalangan senang berlaku jikalau kekurangan unsur-unsur tersebut.
Sepertimana insinerator di Shanghai, China, telah meletup dan mengakibatkan kematian satu orang dan 5 orang cedera pada 5hb Disember 2013;
Insinerator di Tuas, Singapura, telah terbakar dan 3 orang mengalami cedera parah kerana kebakaran pada 8hb November 2013;
Insinerator di GuangZhou, China telah meletup dan lima orang cedera parah pada 7hb Januari 2010.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah menunjukkan dan membuktikan kerajaan tidak ada pakar-pakar secukupnya untuk mengoperasikan insinerator.
Tambahan lagi, KTI telah memerhatikan DBKL tidak dapat menyelesaikan masalah pengutipan sampah di Taman Sri Murni. KTI merekodkan kekerapan lori pengutip sampah datang dan mendapati kekerapan adalah tidak tetap dan rendah.
Yang paling mengejut ialah Syarikat Alam Flora membuangkan semua sampah-sarap merata-rata di tepi jalan MRR2, sebelah Transfer Stesen Sampah, Taman Beringin pada hari pagi ini. (Gambar bawah)
KTI difahamkan contraktor Transfer Stesen telah hilang diri dan stesen tidak berfungsi mengakibatkan pekerja-pekerja Alam Flora terpaksa membuangkan sampah di tepi jalan. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Ibu Kota Malaysia - Kuala Lumpur ditengelami oleh sampah.
Jikalau perkara-perkara yang senang seperti tersebut pun tidak dapat diselesaikan, macam mana boleh mengoperasi insinerator yang dikatakan sangat canggih itu? Bolehkah pihak berkuasa menjamin pelutupan dan pembakaran tidak akan berlaku?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan