Jurutera Lynas ditemui mati lemas
- Dec 13, 2013
- HARAKAHDAILY
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata Mohamad Fadzli Mohamad Rafdzi, 33, dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam itu pada kira-kira 9 pagi.
"Seorang rakan mangsa, Sharizal Samsudin, 40, membuat laporan polis di Balai Polis Gebeng sejurus kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata polis dan anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa di kolam itu pada 2.40 petang dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah namun polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya. - Bernama
Malaysia tidak mampu hasil pekerja berkemahiran tinggi
- Dec 13, 2013
- LIM KIT SIANG
Lee Chee Sung, penasihat kepada Institute of Labour Market Information and Analysis (ILMIA) – sebuah lembaga di bawah Kementerian Sumber Tenaga Manusia – menyebut dalam majlis perasmian portal ILMIA di Kuala Lumpur kelmarin bahawa walaupun 400,000 peluang kerja telah dibentuk tahun lalu, Malaysia masih belum menjadi sbuah negara berpendapatan tinggi kerana ia kekurangan pekerja berkemahiran tinggi.
Dalam majlis yang sama, Menteri Sumber Tenaga Manusia Datuk Richard Riot Jaem mengakui bahawa pada masa ini, sekitar 28 peratus dari 12.7 juta tenaga buruh dalam negara terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi dan kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan peratusan tersebut kepada 50 peratus menjelang tahun 2020.
Bagaimanapun, kedua-dua penanda aras pendidikan antarabangsa yang penting – Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 dan PISA 2012 – menunjukkan bahawa pencapaian Malaysia dalam membangunkan sumber tenaga manusia negara adalah lemah, sedangkan modal insan adalah pemacu asas bagi pertumbuhan ekonomi.
Seperti disebut dalam laporan Malaysia Economic Monitor Bank Dunia, sistem pendidikan membina kemahiran kognitif dan melengkapkan pekerja dengan pengetahuan yang dapat meningkatkan daya pengeluaran mereka dan memungkinkan inovasi untuk terjadi. Pengetahuan, dari peringkat asas seperti kemahiran membaca sehingga kejuruteraan maju, yang disalurkan menerusi sekolah adalah amat penting untuk kemajuan ekonomi dan sosial kita.
Pendidikan Malaysia bermasalah bukan dari segi kuantiti atau akses kepada pendidikan, sebaliknya mutu atau akses kepada pendidikan bermutu. Bank Dunia menyifatkan usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi sebagai “satu unsur penting dalam transformasi Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif”.
Atas sebab inilah semua rakyat Malaysia perlu memandang berat krisis sistem pendidikan Malaysia dalam keadaan prestasi Malaysia menurut penilaian antarabangsa adalah di bawah tahap yang wajar bagi sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita serta perbelanjaan untuk pendidikan seperti Malaysia, selain kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara-negara berpendapatan tinggi yang kita anggap sebagai pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan.
Malaysia berdepan dengan dua masalah berkembar dalam usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi, iaitu untuk memastikan:
1. Bahawa pelajar Malaysia berusia 15 tahun yang pencapaian mereka di bawah tahap purata antarabangsa serta ketinggalan empat atau lima tahun di belakang rakan-rakan mereka yang sebaya dari negara-negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Taiwan mampu membuat lonjakan berganda dalam PISA 2021 dari tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga terbaik; dan
2. Peningkatan besar dari segi peratusan pelajar berprestasi tinggi dalam subjek matematik, sains dan bacaan.
Untuk subjek matematik dalam PISA 2012, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik, iaitu pada Tahap 5 atau 6 (55.4%), diikuti oleh Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%). Sekitar 15 hingga 25 peratus pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macau, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland mencatatkan prestasi terbaik dalam matematik.
Sebagai perbandingan, hanya 1.3% pelajar Malaysia tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik, sedangkan lebih dari separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas yang memadai dalam bidang tersebut (di bawah Tahap 2).
Pelajar Malaysia dalam kumpulan 5% terbaik sekali pun menunjukkan pencapaian yang hanya setara dengan pelajar biasa dari Korea dan Jepun.
Suatu perkara yang perlu diperhatikan, pencapaian Malaysia berada di bawah Vietnam, sebuah negara berpendapatan rendah yang baru pertama kali menyertai PISA pada tahun 2012. Sebanyak 13.3% pelajar Vietnam digolongkan sebagai pelajar berpencapaian tinggi dan hanya 14.2% yang keupayaan asas dalam subjek Matematik mereka berada di bawah tahap asas.
Perbandingan mata PISA 2012 antara Vietnam dan Malaysia perlu diperhatikan secara lebih dekat oleh para pemimpin politik, perancang pendidikan dan ibu-bapa Malaysia:
Matematik Sains Bacaan
Vietnam 511 528 508
Malaysia 421 420 398
Apakah Malaysia mempunyai kesungguhan politik untuk mengubah sistem pendidikannya menjadi sistem pendidikan berprestasi tinggi demi mengejar kecemerlangan dan bukan hanya terbiar menjadi satu sistem ala kadar untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif menjelang tahun 2020?
Pasca banjir, bantu anak mangsa ke sekolah pula
- Dec 13, 2013
- KHAIRIL ABDUL RAHIM
TEMERLOH: Setelah sembilan hari menjadi pusat pengumpulan dan pengagihan barang-barang bantuan bagi mangsa banjir seluruh Pahang, akhirnya tengah hari ini Pusat Operasi Bantuan Banjir Prihatin Rakyat PAS Pahang di Darul Hikmah, Kerdau ditutup.
Bagaimanapun bantuan barangan, kewangan dan tenaga pembantu pasca banjir masih lagi diperlukan dijangka sehingga minggu depan dengan dihantar terus ke kawasan-kawasan terlibat.
Menurut Pengarah Operasi Hassanuddin Salim, ini berikutan keadaan banjir di negeri Pahang hampir pulih kecuali di beberapa kawasan seperti di Maran, Bera dan Pekan di mana masih ada pusat-pusat pemindahan yang dibuka selain daripada kampung-kampung terpencil yang masih terputus hubungan.
“Dalam tempoh bilik operasi Prihatin Rakyat ini dibuka dianggarkan beratus-ratus tan barangan keperluan seperti beras, gula, susu, minyak masak, pakaian dan sebagainya hasil sumbangan dermawan dari seluruh negara ditempatkan di sini.
“Kemudian lori-lori dari sembilan daerah di Pahang yang terlibat banjir datang memunggah segala barangan tersebut untuk diagih-agihkan pula kepada mangsa.
“Darul Hikmah ini juga menjadi penempatan anggota-anggota Unit Amal terutama dari Selangor dan Perak yang bertungkus-lumus membantu sejak dari banjir hinggalah membersihkan rumah mangsa.
“Hari ini bilik operasi ini ditutup. Saya bagi pihak Prihatin Rakyat dan PAS Pahang merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang di atas bantuan dihulurkan yang tidak putus-putus dan bertali arus tersebut,” katanya.
Hassanuddin yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang berkata, biarpun semua yang terlibat kepenatan dalam tempoh tersebut, namun segala usaha dan jerih payah dilaksanakan dalam keadaan ceria dan penuh ukhuwah serta kasih sayang tanpa mengira warna kulit, latar belakang dan fahaman politik.
Tambahnya, pusat maklumat operasi banjir selepas ini akan diteruskan di bangunan Badan Perhubungan PAS Pahang manakala bantuan kemanusiaan akan disalurkan terus ke kawasan-kawasan terlibat.
“Pada ketika ini Prihatin Rakyat sedang memikirkan persediaan untuk membantu anak-anak yang akan melangkah ke alam persekolahan pula tidak berapa lama lagi.
“Kita faham golongan yang paling sengsara ditimpa musibah banjir baru-baru ini ialah keluarga yang tidak berpendapatan tetap dan penoreh getah. Dahlah hujan lebih seminggu, rumah pula dinaiki air dan terpaksa berpindah, peralatan rumah sudah pasti akan rosak sebahagiannya, akan menghadapi pula persekolahan anak-anak di awal tahun.
“Dengan sebab itulah Prihatin Rakyat sekali lagi menawarkan kepada dermawan yang ingin membantu, menyumbangkan wang tunai bagi pihak kami dapat membeli peralatan sekolah supaya dapat diagih-agihkan kepada mangsa banjir,” katanya.
Hassanuddin Salim berkata bagi sesiapa yang sudi menghulur sumbangan bolehlah memasukkan wang ke akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic).
Pahang minggu lalu ditimpa malapetaka banjir dengan anggaran lebih 40,000 mangsa terlibat. Daerah Kuantan paling teruk terjejas sehingga pada satu ketika diisytiharkan lumpuh.
Antara Syiah dengan fahaman Yahudi dalam Apco Worldwide
- Dec 13, 2013
- ABDUL AZIZ MUSTAFA
Persoalan itu dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika menolak dakwaan dan kesimpulan semberono Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi untuk menuduh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terlibat dengan fahaman Syiah.
"Bagi mewajarkan fitnah bosnya, (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi), Abdul Rahim membuat kesimpulan dan menuduh berasaskan dakwaan blog dan dakwaan-dakwaan pembenci PAS yang tidak mengemukakan sebarang bukti kononnya Mat Sabu terlibat dengan fahaman Syiah.
"Abdul Rahim mempunyai hak dan kebebasan untuk mengampu bosnya, tetapi beliau tidak sepatutnya menjatuhkan maruah kementerian yang beliau terajui dengan membuat dakwaan yang tidak berasas dan berdasarkan cakap dengar semata-mata," kata beliau.
Mahfuz mempersoalkan, adakah cara yang digunakan oleh Abdul Rahim itu merupakan cara Kementerian Dalam Negeri bekerja selama ini untuk menjaga keselamatan negara?
"Adakah Kementerian Dalam Negeri menjaga keselamatan dalam negeri selama ini berdasarkan dakwaan blog, dakwaan sampah sarap dan cakap dengar semata-mata?
"Saya memohon Abdul Rahim tidak meletakkan rakyat dalam ketakutan dan kebimbangan tentang keselamatan mereka dengan cara bekerja yang beliau tunjukkan dengan begitu jelas dalam kenyataan itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau meminta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri itu berhenti menakut-nakutkan rakyat tentang keselamatan mereka dengan cara berkerja dan cara membuat kesimpulan yang sangat tidak munasabah yang beliau tunjukkan dengan begitu ketara melalui kenyataan beliau itu.
Mahfuz berkata, mencontohi, merasa kagum, meniru pendekatan yang baik dan memuji tindakan baik mana-mana pihak adalah perbuatan yang universal.
"Merasa kagum dan meniru pendekatan Khomeini dalam soal pendekatan sosial tidak bermakna terlibat dengan fahaman Syiah.
"Kalau kagum dengan Khomeini dituduh terlibat dengan fahaman Syiah, adakah Najib terlibat dengan fahaman Yahudi dan Zionis kerana meminta petunjuk Yahudi Zionis dalam Apco Worldwide?
"Adakah (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) juga terlibat dengan fahaman Yahudi dan Zionis kerana beliau pernah mengambil khidmat firma pengiklanan Zionis, Saatchi & Saatchi?" beliau mempersoalkan.
Mahfuz seterusnya berkata, kalau diterima kesimpulan semberono Abdul Rahim itu, ramailah orang-orang Melayu Islam yang terlibat dengan Kristian, Hindu, Buddha dan pelbagai fahaman lain.
"Tentu sangat ramai orang-orang Melayu Islam di dalam Umno yang kagum dengan Datuk Seri Samy Vellu terutama Dr Mahathir yang tidak jemu-jemu melantik beliau sebagai menteri kanan dalam kebinetnya.
"Adakah mereka terlibat dengan fahaman Hindu kerana kagum dengan bekas Presiden MIC itu?" beliau seterusnya mempersoalkan.
Selepas Abdul Quader Molla, ada lagi akan dibunuh - Abim
- Dec 13, 2013
- HARAKAHDAILY
Beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e Islami Bangladesh. Beliau yang berumur 65 tahun sewaktu hukuman dilaksanakan telah disahkan meninggal dunia setelah menjalani hukuman gantung tersebut di Penjara Dhaka pada 11 Disember 2013, jam 10:01 malam waktu tempatan.
Abdul Quader merupakan mangsa pertama Tribunal Perang Antarabangsa yang ditubuhkan oleh kerajaan Bangladesh pada Mac 2010 bagi membicarakan tragedi pembunuhan sewaktu perang kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan pada tahun 1971.
'Tribunal Antarabangsa’ tersebut telah mendapat kecaman yang keras daripada pemimpin dunia, institusi kehakiman dan perundangan antarabangsa serta badan hak asasi manusia kerana secara jelas telah melanggar syarat dan prosedur pelaksanaan tribunal jenayah yang adil dan saksama.
Pada 5 Februari 2013, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh tribunal tersebut atas tuduhan membunuh 344 orang awam, merancang dan bersekongkol dengan keganasan dan jenayah rogol.
Disebabkan protes dan bantahan dalaman dan masyarakat antarabangsa, rayuan terhadap keputusan tersebut telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan Bangladesh – di mana keputusan tribunal telah ditingkatkan dari hukuman penjara seumur hidup ke hukuman mati di tali gantung, suatu perkara yang sangat jarang berlaku dalam sejarah rayuan mahkamah.
Sesungguhnya amat nyata bahawa peristiwa hitam dalam sejarah Bangladesh ini merupakan satu rencana politik yang menjijikkan oleh parti pemerintah Awami League Bangladesh pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina sepertimana yang digambarkan oleh laporan Odhikar (2013) melalui Human Rights Report 2012 m.s 5-6) ;
“To rule by terror, the government resorted to some techniques…the repression of the opposition political parties, workers and social organisations…the use and abuse of Judiciary to punish opponents and the dissenters who criticise the government. The appointment of Judges on political consederation…abducting and killing people, particularly political leaders, mainly through ‘enforced disappearance’…The present regime promised to observed zero tolerance to extrajudicial killings”
“Abim dengan ini mendesak kerajaan Bangladesh di bawah rejim Sheikh Hasina agar segera membubarkan dan memansuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa yang pincang tersebut serta merta,” ujar Naib Presiden Abim, Mohamad Raimi Abdul Rahim dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tribunal tersebut sehingga hari ini telah dan akan menjatuhkan hukuman mati dan penjara seumur hidup kepada pimpinan utama parti pembangkang termasuklah pimpinan kanan Jamaat-e Islami seperti Matiur Rahman Nizami, Delwar Hossein Sayeedi Ali Ahsan Mohammad Mojahid, dan Muhammad Kamaruzzaman.
Katanya, dua pimpinan utama parti Bangladesh National Party (BNP) pimpinan mantan Perdana Menteri Khalida Zia juga dibicarakan di bawah tribunal tersebut.
Menurutnya, dengan terlaksananya hukuman ke atas Abdul Quader Mulla itu, Abim yakin bahawa kerajaan Bangladesh akan terus menggunakan pembunuhan melalui sistem kehakiman, atau apa yang diistilahkan oleh Toby Cadman, peguambela British yang mewakili tahanan-tahanan politik tersebut sebagai ‘judicial murder’ .
Justeru, tegasnya Abim mendesak agar parti-parti politik, NGO dan badan hak asasi dalam di Malaysia agar mengambil serius isu ini dengan mengutarakan bantahan dan memorandum keprihatinan terhadap kerajaan Bangladesh.
“Bagi tujuan tersebut, Abim memohon agar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Datuk Anifah Aman agar mengambil tindakan yang segera dan tegas dengan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia untuk memberikan penjelasan terhadap pencabulan yang amat nyata ke atas hak asasi manusia ini,” ujarnya.
Beliau menambah, sudah tiba masanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan OIC yang berpengaruh menyatakan bantahan yang amat jelas dan menilai semula hubungan diplomatik dan perdagangannya dengan Bangladesh.
Semalam, katanya Perdana Menteri Turki telah mengulangi keprihatinan Presiden Abdullah Gul sebelumnya dengan menggesa agar kerajaan Bangladesh menangguhkan keputusan gantung tersebut.
Beliau berkata, bantahan yang keras terhadap Bangladesh sebelum ini telah disuarakan oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, House of Lords Britain dan banyak lagi pemimpin berpengaruh dunia.
Tambahnya, Abim juga bersama-sama di dalam Malaysian Task Force for Bangladesh, sebuah gabungan NGO-NGO yang prihatin mengenai isu ini juga akan terus memantau situasi ini dan mengharapkan lebih banyak penyertaan daripada NGO-NGO dan rakyat Malaysia.
“Abim berharap bantahan keras daripada rakyat dan kerajaan Malaysia boleh meredakan situasi Bangladesh yang boleh berlarutan sehingga menjadi perang saudara,” ujarnya.
Pendedahan KDN: Zahid Hamidi disabotaj?
- Dec 13, 2013
- DR RIDUAN MOHD NOR
Sejak dari tengahari semalam saya menanti pengumuman KDN dengan penuh debaran, dan memikirkan apakah pendedahan ini bakal mematikan karier politik Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS serta memerangkap PAS seluruhnya atau sebaliknya. Terfikir juga apakah pendedahan ini bakal mengubah landskap politik negara, dengan PAS menjadi sasaran pula selepas ini.
Umum mengetahui Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah agensi kerajaan paling digeruni. Mereka memiliki segala maklumat yang mendalam, tepat dan menyeluruh. Mereka memiliki rangkaian komunikasi, pasukan perisikan, mesin propaganda, pemikir profesional dan lain-lain lagi yang mampu mengatur dan merencana sesuatu isu besar negara.
Apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bersuara dan lantang menuduh Haji Mohamad Sabu, seakan ada kegusaran pada hati pada semua, terutama pemimpin PAS. Maklumat apakah yang dimiliki beliau sehingga boleh menuduh tanpa ragu dan tanpa bimbang jika Timbalan Presiden PAS pula yang akan menyaman balas balik beliau.
Dengan pendedahan KDN semalam, ramai beranggapan bahawa KDN tidak matang dan masak dalam mencari bukti penglibatan Mohd Sabu dengan Syiah. Sekadar kemukakan bukti yang tidak sahih, cakap dengar atau sekadar pandangan beberapa saksi yang mendengar dan melihat tokoh itu berfahaman Syiah, ia tidak boleh dijadikan hujah. Mengkagumi tokoh Syiah tidak semestinya ia berfahaman Syiah, manakala mendengar dari mulut orang lain bahawa Mohd Sabu berselawat ala Syiah juga bukan asas untuk menuduh beliau Syiah. Pergi ulang alik ke Iran atas sesuatu urusan bukanlah tiket untuk melabelkan seseorang itu Syiah.
Yang menghairankan, apakah ini bukti yang dikatakan bukti jelas Mohamad Sabu sebagai Syiah? Ramai yang keliru apakah itu suatu taktik untuk sengaja memalukan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi supaya beliau disaman dan kalah dimahkamah. Mungkinkah juga KDN diperalat untuk tampil kemukakan bukti walau bagaimana sekalipun atas dasar ‘terlepas cakap’ Naib Presiden UMNO itu di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu?
Jika inilah buktinya, maka sukar bagi rakyat untuk mempercayainya. Ketiadaan bukti sahih yang jelas adalah suatu perkara memalukan serta kekalahan besar buat KDN dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid. Jika beginilah tahap KDN bertindak, maka tahap keselamatan negara berada dalam keadaan yang mencemaskan. Disarankan agar pegawai-pegawai KDN membuat ‘homework’ yang panjang serta pasukan risikan yang terperinci sebelum memerangkap seseorang dengan tuduhan yang berat seperti yang diucapkan oleh Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
* Penulis adalah Ahli jawatankuasa PAS Pusat
Kenaikan melampau cukai taksiran menekan warga kota
- Dec 13, 2013
- HARAKAHDAILY
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa diadakan dialog dan sesi perbincangan dua hala antara pihak kementerian mahupun DBKL dengan seluruh persatuan peniaga-peniaga dan persatuan penduduk di ibu kota bagi memahami masalah yang dialami oleh warga kota sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang menjerut pendapatan rakyat.
“Kecekapan mengurus dan mentadbir kewangan DBKL perlulah ditingkatkan dan lebih efisien bagi memastikan setiap warga kota merasai dan memperoleh hak mereka sebagai rakyat dengan mengelakkan segala ketirisan, kebocoran dan penyelewengan dalam urus tadbir sumber kewangan yang kita maklum milik rakyat yang membayar cukai,” ujar Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khairudin dalam memorandum bantahan, sebagaimana di bawah.
Pengenalan
Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan kenaikan cukai taksiran yang dipungut melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ia diumumkan akan berkuatkuasa pada tahun 2014 dengan kenaikan sebanyak 100% hingga 250% setelah 21 tahun cukai tersebut tidak dinaikkan mahupun dikaji semula mengapa ia tidak dinaikkan.
Rentetan daripada pengumuman tersebut, banyak reaksi negatif dapat dilihat samada di media perdana mahupun media alternatif. Ini menunjukkan pengumuman tersebut dalam keadaan tergesa-gesa tanpa sebarang kajian mendalam bagi impak kenaikan cukai taksiran tersebut.
Kewangan semasa dan keuntungan DBKL
Antara fakta perbandingan yang kita perlu akui bahawa, Bajet Selangor ditujukan untuk menangani penduduk yang jumlahnya 3.2 kali lebih besar daripada penduduk Kuala Lumpur, dan perkhidmatannya menjangkaui daerah yang 33 kali lebih luas daripada ibu kota.
DBKL dijangka memperoleh pendapatan RM1.69 bilion iaitu lebih kurang sama dengan Selangor, RM1.63 bilion. Kenaikan pendapatan RM511juta daripada tahun 2010. Namun, DBKL ingin membelanjakan RM2.19 bilion sebagai perbelanjaan keseluruhan, 34% lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan hanya RM1.63 bilion. Ia membelanjakan RM1.406 bilion untuk perbelanjaan operasi, 41% lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM996.68 juta. Emolumen dan perbelanjaan lebih masa mencecah RM442.1 juta bagi DBKL, 19% lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM370.5 juta.
Mengenai asas perkapita, DBKL membelanjakan RM907 bagi perbelanjaan operasi bagi setiap penduduk, empat kali lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM201. Bagi perbelanjaan operasi untuk setiap kediaman, DBKL membelanjakan RM3,348, hampir lima kali lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM738.
Melihat kepada perbelanjaan operasi mengikut keluasan, Selangor membelanjakan RM122,986 bagi satu kilometer persegi berbanding DBKL RM5.79 juta. Dari sudut perbelanjaan pembangunan, Selangor membelanjakan RM633 juta berbanding DBKL RM782.6 juta. Selangor mempunyai bajet yang berimbang, malah dana dalam kantungnya meningkat daripada RM400 juta dalam 2008 kepada RM2.7 bilion.
Adalah jelas berdasarkan statistik di atas, DBKL kurang cekap berbanding Selangor. Daripada meminta lebih banyak wang, DBKL sepatutnya mencari jalan untuk meningkatkan kecekapannya, mengurangkan kos dan pembaziran. Dan ia juga perlu bersikap telus dan bertanggungjawab dalam menunjukkan bagaimanakah wang warga kota dibelanjakan.
Contoh kes projek sakit yang cukup menyedihkan pembayar cukai ialah sebagaimana dibentangkan oleh Laporan Audit Negara berkenaan projek Taman Dusun Bandar di Jalan Bellamy. Projek itu sepatutnya sudah siap sepenuhnya pada tahun 2007 bagi merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2007.
Namun, pelaburan lebih RM17juta itu gagal memberikan hasil terbaik kepada industri pelancongan Kuala Lumpur apabila projek 'sakit' itu tidak membuahkan hasil apabila pokok-pokok buah yang ditanam tidak menjadi dan tidak banyak buah-buahan dan tumbuhan herba hidup subur di taman tersebut.
Projek 'sakit' ini telah didedahkan oleh mantan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan yang lepas menyatakan projek ini telah diberikan kepada sebuah firma dengan kontral runding terus yang sememangnya menyalahi amalan pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan melalui kontrak tender terbuka. Lebih malang lagi, firma yang memperoleh kontrak ini pula tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan projek berkaitan pertanian.
Inilah amalan pengurusan tidak cekap dan sambil lewa yang diamalkan oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL. Hasil cukai sepatutnya diurus dengan lebih cermat, berdisiplin dan berhemah bagi menguntungkan warga kota. Namun, perkara sebaliknya berlaku.
Maka, adakah masih perlu atau wajar dibebankan warga kota dengan kenaikan cukai jika DBKL masih cuai mengurus sumber kewangan yang diperoleh?
Pandangan pemimpin Umno Wilayah Persekutuan
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pelarasan tersebut perlu dibuat dalam kadar yang kecil agar warga kota tidak terasa dengan kenaikan itu.
Beliau mengandaikan jika kadar 10 peratus amat memadai kerana jika mengambil contoh seorang pemilik rumah membayar RM200 pada tahun lalu, tahun ini mungkin mereka hanya perlu bayar antara RM220 atau RM230.
Sekiranya jumlah itu dibahagikan dengan 12 bulan, ia hanya kira-kira RM2 sebulan, tetapi jika tahun lepas bayar RM200 dan tahun hadapan RM600, kenaikan itu memang sangat dirasai oleh warga kota.
Manakala, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula berkata, DBKL tidak wajar menaikkan kadar cukai secara mendadak selepas kadar itu kekal selama 21 tahun.
DBKL juga perlu bertanggungjawab untuk mengatur cara dan tempoh kenaikan cukai kerana tidak semua warga kota terdiri daripada golongan senang.
Berlainan pula bagi Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Beliau berpendapat langkah pemberian rebat boleh disifatkan sebagai penghargaan kepada warga emas yang telah bersara dan warga kota berpendapatan rendah yang memiliki hartanah di ibu kota. Malah, pemilik rumah kos rendah yang tidak menyewakan kediaman mereka kepada orang lain juga perlu menerima rebat tersebut.
Nyatalah mereka pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan tidak setuju dengan kenaikan ini dan mengharap adanya alternatif bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana untuk diberi bantuan seperti rebat bagi mengelak mereka tertekan dengan situasi ekonomi semasa.
Kesan kenaikan cukai taksiran
Sebagaimana kita maklum, kenaikan ini bersifat menyeluruh iaitu dikenakan kepada setiap kediaman dan premis perniagaan. Hal ini menyebabkan beberapa kesan berangkai yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat Wilayah Persekutuan.
1. Inflasi. Jangkaan ini mendapat perhatian ramai ahli ekonomi di Negara kita. Ia bukan hanya berkaitan kenaikan cukai taksiran semata-mata, ia juga berkaitan pemotongan subsidi gula, minyak dan kenaikan tariff letrik. Kenaikan tol juga dijangkakan berlaku juga pada tahun 2014 dan kita sedia maklum tol paling banyak adalah di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang. Maka, inflasi yang berlaku ini akan memberi tekanan ekonomi kepada warga kota yang rata-rata pendapatan bertambah 3-8% sahaja setahun berbanding inflasi yang dijangka antara 12-15%. Bayangkan kenaikan gaji yang tidak setara dengan peningkatan harga barang dan sebagainya, bagaimana pula pihak kementerian begitu tega melihat rakyat membayar cukai taksiran yang dinaikkan secara mendadak?
2. Kos sara hidup yang meningkat. Apabila inflasi meningkat pastinya kos sara hidup sesebuah keluarga akan meningkat. Ini berlaku apabila pemotongan subsidi gula dan pengurangan subsidi beberapa keperluan asas seperti petrol, gas, tepung dan sebagainya menyebabkan pendapatan rakyat mengecil. Ini menyulitkan warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk meneruskan survival kehidupan.
3. Ini sekali gus memberi tekanan psikologi kepada masyarakat ibu kota. Maka tidak pelik dan tidak hairan jika jenayah berleluasa dan masalah sosial semakin menjadi-jadi dikalangan remaja. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah rentetan masalah tekanan jiwa yang dialami apabila dihimpit kesusahan dan kemiskinan. Maka pihak kementerian wajar ambil serius kesan berangkai ini kepada pembinaan tamadun Malaysia.
Tuntutan dan cadangan
Justeru, DPPWP ingin membuat beberapa tuntutan dan cadangan kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk isu ini.
Tuntutan-tuntutan kami mewakili warga kota:
1. Kenaikan cukai taksiran ini dibatalkan pelaksanaannya dengan pihak kementerian membuat kajian menyeluruh terhadap impak kenaikan terutama kepada miskin bandar yang majoritinya berbangsa Melayu.
2. Adakan dialog dan sesi perbincangan dua hala antara pihak kementerian mahupun DBKL dengan seluruh persatuan peniaga-peniaga dan persatuan penduduk di ibu kota bagi memahami masalah yang dialami oleh warga kota sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang menjerut pendapatan rakyat.
3. Kecekapan mengurus dan mentadbir kewangan DBKL perlulah ditingkatkan dan lebih efisien bagi memastikan setiap warga kota merasai dan memperoleh hak mereka sebagai rakyat dengan mengelakkan segala ketirisan, kebocoran dan penyelewengan dalam urus tadbir sumber kewangan yang kita maklum milik rakyat yang membayar cukai.
Selain itu, DPPWP mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bagi menangani isu ini:
1. Jangan ada sebarang kenaikan cukai taksiran kerana DBKL memperolehi lebihan keuntungan setiap tahun walaupun kenaikan yang minimum.
2. Jika DBKL terdesak untuk menaikkan cukai ini, kenaikan hendaklah minimum iaitu lebih rendah daripada 6% yang dicadangkan bersesuaian dengan kos sara hidup meningkat ekoran kenaikan harga barang dan pemotongan subsidi.
3. DPPWP mencadangkan jangka masa bantahan hendaklah dipanjangkan lebih lama bagi membolehkan orang awam memahami hak mereka sebagai pembayar cukai.
4. Meningkatkan mutu perkhidmatan dan infrastruktur awam di ibu kota supaya warga kota dapat menikmati kemudahan tersebut dengan lebih selesa bersesuaian dengan cukai yang dibayar setiap tahun.
5. Menaikkan cukai taksiran kepada golongan berpendapatan tinggi atau individu/syarikat yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi sahaja supaya kekayaan mereka dapat digunakan untuk meningkatkan infrastruktur awam.
Penutup
DPPWP berharap memorandum ini diterima dengan baik dengan mempertimbangkan segala cadangan dan tuntutan rasional yang dikemukakan. Ini penting bagi menjaga kebajikan dan kepentingan warga kota yang mempunyai pelbagai latar belakang pendapatan khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Suspek kes bunuh pegawai Jaip didakwa Isnin ini
- Dec 13, 2013
- HARAKAHDAILY
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani mengesahkan perkara itu dan berkata mereka akan menghadapi pertuduhan membunuh Mohd Raffli, 49, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Isnin ini (dakwaan) akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuantan, tunggu di mahkamah, mereka akan didakwa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada anggota polis yang terbabit banjir di sini Jumaat.
Dalam laporan sebelum ini, polis mengesahkan suspek yang menembak mati Ketua Penguat Kuasa JAIP itu adalah antara 15 anggota kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' yang ditahan dalam beberapa siri tangkapan di seluruh negara baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata siasatan terperinci ke atas semua tahanan terbabit mendapati seorang daripada yang ditahan itu dipercayai suspek yang menembak mangsa, selain pistol yang dirampas juga berpadanan dengan jenis senjata yang digunakan dalam insiden berkenaan.
Mohd Raffli ditembak mati oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya dan kes berkenaan dipercayai ada kaitan dengan kumpulan ajaran sesat itu. - Bernama
Annuar Musa letak semua jawatan bola sepak
- Dec 13, 2013
- HARAKAHDAILY
Annuar berkata beliau turut akan melepaskan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula dari tempoh penggantungan beliau sejak 4 April 2012 selain menarik diri daripada mengganggotai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara bagi memastikan FAM mempunyai wakil dalam jawatankuasa berkenaan.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Ketereh berharap tindakan tersebut dapat menjernihkan semula hubungan dingin antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dengan FAM berikutan perlantikan beliau dalam jawatankuasa itu yang mendapat bantahan daripada FAM.
"Bagaimanapun saya akan terus membantu bola sepak negara amnya dan bola sepak Kelantan khususnya atas sifat saya sebagai wakil rakyat dan juga seorang peminat sukan ini," kata Annuar menerusi kenyataan, Jumaat.
Sebelum ini, FAM memutuskan bahawa pelantikan Annuar sebagai anggota jawatankuasa program itu sebagai tidak sah kerana beliau masih dalam tempoh penggantungan sehingga 4 Okt 2014.
Annuar digantung pada April tahun lepas selama dua tahun setengah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsur negatif terhadap skuad bola sepak kebangsaan, sekali gus melanggar Artikel 88 Statut FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut dilapor telah menetapkan bahawa individu yang digantung tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti berkaitan bola sepak. - Bernama
Pulau Jerejak ditukar Mazu Island, fitnah – Guan Eng
- Dec 13, 2013
- HARAKAHDAILY
Katanya, sehingga sekarang pihak pembangkang masih tidak dapat menunjukkan bukti bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazhu (satu dewa Buddha) dan juga untuk membina Tokong Mazhu di sana.
“Saya kesal perkara sensitif yang tidak benar dan palsu ini telah dimuatkan secara meluas dalam blog pro Umno untuk mencemarkan lagi imej Kerajaan Negeri dan saya sebagai Ketua Menteri di kalangan orang Melayu dan Islam,” ujarnya semasa mengulung perbahasan Belanjawan 2014 pada persidangan Dun, hari ini.
Tegsnya, dakwaan itu adalah sangat merbahaya kerana bersifat rasis dengan cubaan untuk menimbulkan isu agama dan perkauman.
Katanya, sebagai seorang peguam, Adun Teluk Air Tawar perlu tahu bahawa sebarang penukaran nama pulau mestilah melalui proses perundangan dan diwartakan.
Sebenarnya, jelas beliau bukan sahaja tidak ada sebarang penwartaan, malah tidak ada sebarang kelulusan oleh kerajaan negeri untuk penukaran nama tokong Mazhu seperti yang didakwa.
Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang berkenaan berhubung perkara itu pada masa yang sesuai.
Roboh gerai
Tambahnya, satu lagi dakwaan rasis berhubung mengapa hanya mengeluarkan kompaun saman dan tidak mengambil sebarang tindakan perobohan ke atas gerai tidak berlesen Cina di Pantai Bersih, Butterworth seakan-akan tindakan penguatkuasaan perobohan hanya ke atas gerai Melayu tidak berlesen sahaja.
“Dakwaan ini adalah tidak bertanggungjawab kerana laporan awal daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menunjukkan bahawa ada 1 penjaja Cina dan 6 penjaja Melayu yang tidak berlesen di sekitar Pantai Bersih,” katanya.
Sebenarnya, jelas beliau MPSP tidak mengambil tindakan perobohan bukan sahaja ke atas satu gerai tidak berlesen Cina tetapi gagal juga bertindak ke atas 6 gerai tidak berlesen Melayu.
Lim berkata, sekiranya ditanya mengapa tidak ada tindakan diambil ke atas ketujuh-tujuh gerai haram di Pantai Bersih ini, ia adalah soalan munasabah.
Tetapi, katanya ia bersifat rasis apabila cuba mensasarkan hanya sebuah gerai tidak berlesen Cina dan bukan 6 lagi penjaja berlesan Melayu.
“Oleh kerana tanah Pantai Bersih adalah milikan kerajaan negeri maka kerajaan negeri bercadang menggunakan pendekatan yang lembut sebelum bertindak keras menjalankan penguatkuasaan untuk mengeluarkan mereka,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan