Isnin, 9 Disember 2013

NAIKLAH SEGALA APA YANG HENDAK DINAIKKAN...TAPI TENAGA KITA SERTA KUASA AKAN TURUN SEBAB FAKTOR UMUR....YANG PASTI TUBUH AKAN TURUN KEDALAM BUMI SEBAB DAH TAK BERFUNGSI DIATAS BUMI SEBAB DAH MATI....ORANG YANG SENTIASA INGATKAN MATI ADALAH ORANG YANG BIJAKSANA

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan hampir pulih apabila jumlah mangsa yang dipindahkan sehingga 8 malam tadi semakin berkurangan iaitu seramai 139 orang berbanding 512 orang, pada sebelah petang semalam.
         
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, kesemua mangsa terdiri daripada penduduk di dua jajahan iaitu di Pasir Mas dan Tumpat yang ditempatkan di empat pusat pemindahan.
         
Di jajahan Pasir Mas iaitu di Rantau Panjang sehingga kini seramai 134 mangsa melibatkan 65 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan iaitu di Rantau Panjang dan Kubang Gadong.
         
Di jajahan Tumpat seramai lima orang mangsa masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan Pangkalan Kubor yang melibatkan sebuah keluarga.
         
Paras Sungai Golok di Rantau Panjang juga semakin surut tetapi masih berada di paras 9.11 meter, melepasi paras bahaya 9 meter.

Keadaan cuaca pada malam ini adalah baik.
         
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan Azmi Osman berkata penduduk negeri itu yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya lebih bersedia untuk menghadapi banjir gelombang kedua yang dikhuatiri lebih serius.
         
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banjir di negeri ini biasanya berlaku tiga kali antara Dis hingga Januari tahun hadapan.
         
Walaupun cuaca semakin baik di negeri ini, namun penduduk harus peka dan berwaspada serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah seperti Rantau Panjang, Tumpat dan lain-lain," katanya.
         
Katanya, pihaknya juga akan sentiasa merujuk Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan maklumat berkaitan cuaca dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti keadaan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini.
         
"Setakat ini, tidak ada sebarang kerugian ataupun kerosakan serius yang berlaku akibat daripada banjir baru-baru ini," katanya. - Bernama
JOHOR BAHARU:  Keadaan banjir di negeri Johor kini semakin pulih berikutan keadaan cuaca yang baik hampir di semua tempat, semalam.
                     
Sehingga pukul 9 malam tadi, hanya terdapat 635 mangsa daripada 157 keluarga masih berada di sembilan pusat pemindahan berbanding 1,024 mangsa daripada 274 keluarga, petang semalam.
                     
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata, Segamat mempunyai jumlah mangsa tertinggi iaitu 489 orang dan ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.
                     
Di Pontian seramai 83 mangsa masih berada di sebuah pusat pemindahan dan di Batu Pahat terdapat seramai 63 mangsa ditempatkan di sebuah pusat pemindahan. - Bernama
Dua kolumnis Harakah, Subky Abdul Latif dan Zulkifli Yahya memberi teguran terbuka kepada perjalanan Muktamar PAS Ke-59, dua minggu lalu, melalui lidah rasmi ini.

Pak Subky memberikan tumpuan terhadap majlis perasmian, yang wajar diringkaskan memandangkan aturcara padat menjelang solat Jumaat, menyebabkan terkejar-kejar mencari masjid terdekat. Beliau juga tidak selesa dengan gurauan dan jenaka Pengerusi Tetap.

Hadirin tidak dapat bersapa mesra dan bertanya khabar, sedangkan acara penting itu wajar memberi ruang agak kondusif untuk saling merapatkan ukhuwwah, terutama bagi tetamu jemputan tentunya tidak akan mengikuti sidang perbahasan seterusnya.

Penulis Nota Utara pula memperincikan kesilapan proses pemilihan, antaranya, berkaitan nama-nama atas kertas undi dan slip mengundi yang dilekatkan dengan stapler, khususnya 62 keping untuk pertandingan AJK PAS Pusat (yang disifatkan kertas undi terpelik di dunia).

"PAS banyak mengkritik SPR. Sepatutnya SPR diajar cara menguruskan pemilihan dengan adil dan terus serta dilihat adil dan telus. Tercedera pula nampaknya kali ini," rumus Zulkifli.

Kritikan Zul agak keras - mungkin Pak Subky lebih berhemah tetapi masih menyengat  dan berbisa - tapi saya tidak bercadang untuk mengeditnya. Motif dan hasrat tulus mereka biar jelas difahami.

Saya percaya pimpinan PAS memandang serius komentar kedua-dua penulis itu, bagi memastikan bukan saja kesilapan sama tidak berulang, malah berusaha melakukan penambahbaikan bagi memajukan lagi parti.

(Harakah juga tidak sunyi daripada kesilapan! Tajuk berita Adun Sungai Limau mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat, dalam Harakah 2-5 Disember, "Ustaz Abd Samat angkah sumpah Adun" memang tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya "Ustaz Mohd Azam", bukan bapanya; tetapi itulah yang terjadi, tidak boleh diperbetulkan lagi, sekadar memohon maaf dan ralat).

Bukan bertujuan "rumah siap pahat berbunyi", tetapi saya kira beberapa pandangan berbeda ada manfaatnya jika diteliti.

Seorang pembaca, yang memperkenalkan diri sebagai Azlan, mempersoalkan, mengapa proses pengundian tidak boleh dijalankan serentak, dengan penjadualan yang lebih kemas dan sistematik, bersama dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PAS pada sebelah petang Jumaat.

"Masa terlalu suntuk, sedangkan tempoh lebih lama perlu diberikan kepada wakil negeri atau dewan-dewan untuk berucap. Seeloknya seorang 30 minit. Muktamar adalah peluang terbuka untuk suara akar umbi didengar," tegasnya dalam emel yang agak panjang.

Azlan kecewa apabila tiada tetamu kehormat gerakan Islam antarabangsa, "sedangkan," katanya,  "PAS mempunyai hubungan erat dengan pelbagai pertubuhan di seluruh dunia, khususnya Ikhwanul Muslimin dan jemaah Islam di Turki."

"Saya cadang perbahasan ucapan dasar bermula petang Jumaat sampai senja Sabtu," kata seorang rakan dari Jitra yang turut ke Stadium Malawati. "Dan perbahasan usul bermula pagi Ahad hingga tengaharinya. Ucapan penggulungan biarlah bermula petang Ahad, dan tak perlu semua pimpinan nak berucap. Ramai sangat pimpinan mahu beri respons."

"Eloknya macam jadual aturcara Perhimpunan Agung Umno aja," usik saya. "Yang baik, dari mana pun, apa salahnya, 'kan? Kunci kata di sini, bagi ruang lebih panjang untuk perwakilan, bukannya pimpinan," cepat dia memintas.

Sahabat saya itu turut bertanya, mengapa tahun ini terasa macam tidak berseri program ceramah perdana besar-besaran. "Selalunya, semasa muktamar sebelum ini, pidato umum  menjadi tarikan utama, termasuk apabila ada tetamu luar negara yang turut berceramah," tambahnya. "Mungkin orang PAS dah tak teruja lagi dengan ceramah, kot?" usiknya.

Apa pun, sekalung tahniah dan penghargaan buat semua petugas muktamar.

II.

Majoriti rakyat yang sedia mengikat perut ekoran kenaikan kos barangan keperluan dan perkhidmatan  terpaksa menanggung beban berterusan.

Sejurus pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen dan peningkatan harga petrol, yang menyebabkan kesan berganda-berantai, kini taraf elektrik pula melonjak sehingga 17 peratus.

Ya, satu lonjakan dua digit, yang terlalu besar dan memeranjatkan.

Ketika orang ramai masih risau dan bimbang dengan cadangan perlaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), yang akan melebarluaskan lagi kelompok pembayar cukai, beban baru pula sedia menunggu pada awal tahun baru, 2014.

Saya juga terganggu dengan ucapan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming: "Saya telah buat suatu kajian untuk membandingkan barang-barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dan GST. Senarai penuh barang yang dikecualikan daripada cukai jualan boleh didapati dalam Jadual 1 “Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai No.2) 2012” ataupun Sales Tax (Rates of Tax No.2) (2012) dalam Warta Kerajaan Persekutuan ataupun Federal Government Gazette.

"Saya bukan pakar cukai tetapi mengikut Jadual 1, antara contoh barangan yang dikecualikan daripada Sales Tax adalah susu berkrim, teh, kopi, jem, buah-buahan di dalam tin, air mineral, teh dan kopi, barangan dapur, beg sekolah, majalah, surat khabar, telefon bimbit, dan lain-lain.

"Kebanyakan barangan ini bukan barangan luxury. Tetapi barangan tersebut yang sebelum ini tidak dikenakan Sales Tax akan dikenakan GST 6% sekiranya tidak dikecualikan daripada GST. Ada juga barangan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5% seperti  simen dan buah-buahan dan kadar cukai ini akan dinaikkan kepada 6% selepas GST."

Seperti juga gula dan petrol, kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan kadar inflasi meningkat kerana ia mempunyai kesan berantai yang hebat apabila pengeluar dan peniaga memindahkan beban yang ditanggung kepada pengguna.

Menurut angka rasmi, kadar inflasi di Malaysia sekitar 2 hingga 3 peratus, tetapi bagi
Ong Kian Ming, bagi kawasan bandar ia mungkin pada paras 10 peratus. Mengulas kesan semakan tarif elektrik itu, Gabenor Bank Negara, Akhtar Aziz berkata, penilaian awal menjangkakan ia mungkin menyebabkan inflasi mencecah 3.0%, daripada kadar semasa 2.8%.

Impak kesan domino ini akhirnya adalah kepada pengguna, terutama rakyat yang berpendapatan rendah. Dianggarkan lebih 55 peratus penduduk negara ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 yang dijangka tidak dapat menyerap kenaikan tersebut.
 
Begitu juga dengan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), mereka tiada perlindungan daripada kesan kenaikan tarif ini.

"Tenaga elektrik merupakan komponen penting kepada kos struktur operasi kami, iaitu sekitar 6 hingga 16 peratus daripada keseluruhan kos pembuatan," kata Presiden Kebangsaan Persatuan IKS Malaysia, Teh Kee Sin.

"Purata kenaikan 16.85% bagi pengguna komersial akan mengurangkan pendapatan perniagaan sebanyak 2% hingga 4% menjadikan kami untung hanya 1%," kata Teh sambil memaklumkan margin keuntungan mereka sebelum ini  di antara 3 hingga 8  peratus.

"Sekiranya kami tidak memindahkan kos kenaikan ini kepada pelanggan, ia berkemungkinan akan gulung tikar," ujarnya.

Presiden Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia, Nelson Kwok berkata: "Kenaikan sekitar 5% mungkin masih boleh ditangani, tetapi kenaikan 16% ini terlalu tinggi dan saya tidak tahu bagaimana cara untuk menyerapnya, kemungkinan besar harga runcit akan dinaikkan."

Selalunya, tanpa amaran awal daripada industri pun harga barangan dan perkhidmatan boleh melonjak secara tiba-tiba, apatah lagi apabila mereka sendiri sudah membuat unjuran yang membimbangkan itu.

Pensyarah sains politik, Dr Mohamad Agus Yusof menekankan, kesan kenaikan tarif elektrik dan harga barang  tidak kepada golongan bawahan sahaja, tetapi juga kepada kelas menengah yang gajinya antara RM5-10 ribu sebulan. "Bayangkan kos kehidupan dengan ansuran rumah, minyak kereta, ansuran kereta, duit persekolahan anak, bayaran pembantu rumah dan bil yang meningkat, golongan kelas pertengahan juga tidak mampu menanggung beban kenaikan harga barang," luahnya dalam FB.

Dalam "kekalutan" ini, saya kira polemik peningkatan gaji dan elaun Menteri Besar, Exco, Speaker,  Timbalan Speaker dan Adun Selangor boleh mengundang rasa tidak senang rakyat. Kenaikan gaji yang dilaporkan (dan diperbesarkan) sehingga 373% itu memang ada justifikasinya tetapi dengan peningkatan mendadak dan dibuat ketika ini, ia memberi mesej yang salah.

Pada hemat saya, ramai dapat bersetuju agar gaji dan elaun itu dinaikkan, bagi memberi kemudahan untuk menyumbang khidmat terbaik kepada rakyat, tetapi kadarnya dilihat tinggi, sepertimana kenaikan tarif elektrik juga.

"Elaun wakil rakyat kita adalah antara yang terendah di rantau ini, tapi semua tahu, pimpinan BN selama ini mempunyai saluran lain yang jauh lebih lumayan. Gaji mereka cuma lekat di celah gigi saja," hujah seorang penganalisis politik.

"Masa yang sama, saya perhatikan ada wakil rakyat Pakatan terpaksa mengikat perut, malah menjual aset demi berkhidmat, sekali gus menggajikan pembantu mereka. Maaf kalau saya sebut seorang daripadanya adalah Allahyarham Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, sehingga akhir hayatnya, di atas katil hospital masih memikirkan dana untuk membantu masyarakat Titiwangsa. Lebih buruk, di Wilayah, tiada kerusi Dun," tambahnya.

"Benar, soalnya apakah gaji menteri yang tinggi, misalnya seperti di Singapura, boleh memastikan kadar rasuah rendah seperti berlaku di republik itu?" soal saya. "Apakah integriti mempunyai kaitan langsung dengan kadar elaun wakil rakyat atau menteri dan mereka tidak terlibat lagi dengan proksi perniagaan."

"Yalah, bagaimana mereka dapat bekerja dengan cemerlang jika keperluan hidup tak dapat dipenuhi, apatah lagi harapan masyarakat terhadap wakil rakyat tidak ubah seperti pegawai jabatan kebajikan. Anak sakit, nak buat kenduri, masuk sekolah, hatta bayar bil elektrik pun dicarinya wakil rakyat," jawabnya.

Sementara itu, ingatan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, lima tahun lalu, masih relevan untuk renungan bersama, bukannya merujuk isu kenaikan gaji ahli politik tetapi kemewahan dan gaya hidup membazir pembesar negara:

"Kita sepatutnya meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat di istana-istana raja dan sultan, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar keraian untuk orang-orang besar begitu mewah? Makanan yang dihidangkan, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak  harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

"Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

"Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat."

Korupsi, salahguna kuasa, dan pembaziran melampau dana awam ini mesti dihentikan. Sesungguhnya rakyat mempunyai kuasa dan pengaruh luar biasa untuk memastikan Malaysia diurustadbir secara lebih baik, cekap, telus dan beramanah.

Kerajaan PM Najib-BN semacam orang 'kemaruk' persis ‘baru lepas berpantang’. Sejak pembentangan Budget 2014, Najib tidak lagi peduli akan kesan tindakan polisi-polisi kewangan yang membebankan kepada rakyat khasnya rakyat yang berpendapatan rendah.

Yang pentingnya beliau kini adalah untuk mengatasi bebanan hutang yang hampir sangat mencecah had statutori yang tidak diizinkan undang-undang yang digubal sendiri oleh BN satu ketiaka dahulu. Najib baru mengakui bahawa negara akan bankrap kalau langkah drastik dan konkrit tidak diambil segera. Najib semacam orang baru sedar dari koma atau mimpi negeri yang panjang. Kerana terlalu bermewah dan boros dahulu kini tindakan beliau dalam kegusaran dan perhitungan beliau serba tak kena nampaknya.

Kalau Maybank Investment Bank (IB) pada Oktober lalu mengumumkan inflasi paling tinggi dalam tempoh 20 bulan kerana kenaikan 20 sen RON 95 dan diesel pada September 2013 lalu, maka rakyat mesti bersiap dengan kenaikan inflasi yang paling parah pada tahun depan ini akibat pelbagai kenaikan yang dilakukan kerajaan Najib mutakhir ini.

Semasa mengumumkan tentang pengenalan GST dalam Belanjawan 2014,  Najib telah pun telah isytiharkan penarikan balik subsidi gula sebanyk 34 sen sekilo. Pelbagai alasan diberikan untuk kesihatan rakyat. Harga gula melonjak dari RM2.50 sekilogram ke RM2.84 sekilogram.

Kenapa harga runcit adalah lebih mahal dari harga pasaran gula mentah dunia adalah kerana isu monopoli. Gula diimpot oleh dua syarikat yang diberikan AP yakni Felda Global Venture dan Tradewind.

Tetapi lebih pelik lagi, kedua-dua telah membeli gula secara kontrak jangka panjang yang dibuat oleh kerajaan sendiri bagi pihak mereka dari pembekal gula mentah dunia. Meskipun harga gula dunia turun, kontrak jangka panjang yang kerajaan meterai adalah pada harga lama yang lebih tinggi.

Sepatutnya kerajaan mesti letakkan risiko turun-naik harga pasaran komoditi ini (hedging) ini kepada pembekal gula yang mengimpot. Maka jelasnya kroni terus membuat keuntungan ratusan juta RM sementara rakyat tanggunglah impak kenaikan harga gula sebab kononnya kerajaan tak sanggup lagi menampung subsidi.

Hakikatnya yang disubsidi adalah 2 syarikat kroni yang terus untung hampir RM1 bilion mengikut dakwaan sesetengah pihak. Inilah yang dikatakan ‘Celaka’ yang menimpa rakyat!

Bayangkan kalau Pakatan Rakyat perintah Putrajaya, kami tidak hanya beri AP kepada dua syarikat. Kami akan buka AP kepada semua pihak yang mampu mengimpot gula lantas mengizinkan persaingan tanpa diganggu atau diherot ‘kuasa pasaran’ atau ‘distortion of market forces’ dengan monopoli.

Semacam tidak puas menganiaya rakyat dengan kenaikan harga bahan bakar yakni petrol dan diesel serta gula, semalam Menteri Tenaga, Teknolog Hijau dan Air, Maximus Ongkili mengumumkan bahawa tariff elektrik di Semenanjung dinaikkan dari 33.54 sen/kWj ke 38.53 sen/kWh bersamaan kenaikan 4.99 sen/kWj atau 14.89% (15%).

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj. Kedua-dua kenaikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2014, umum Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili (kanan) petang ini.

Bagi membuktikan bahawa kerajaan prihatin kepada rakyat berpendapatan Maximus berkata kerajaan akan terus memberi subsidi kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Labuan bagi penggunaan bawah 300 kWj sebulan.

Kerajaan katanya akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna-pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20.00 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2014.

Di sini kerajaan Najib-BN tampak samada tak cerdik atau tak peka atau mungkin kedua-duanya sekali. Kesan kenaikan tariff adalah seperti juga ketika kesan gula atau bahan bakar seperti petrol dan diesel dinaikkan. Ingat! Bukan beban bukan hanya pada harga bahan tersebut yang menghempit rakyat.

Kecelakaan yang menimpa rakyat adalah kesan rantaian atau ‘knock-on chain effects’ yang dicetuskan oleh kenaikan bahan-bahan asas seperti bahan bakar petrol dan diesel, gula dan tarif utiliti asas seperti elektrik ini! Jelasnya kenaikan ini mencetuskan pelbagai barang makanan dan minuman juga perkhidmatan yang melibatkan tenaga dan elektrik yang bakal mengalami kenaikan harga.

Betullah kerajaan boleh membantu rakyat dengan pelbagai kaedah termasuk pembayaran rebat bagi melindungi golongan berpendapatan rendah. Tapi jangan sampai untung secupak, rugi segantang!

Yang rakyat mahu ingatkan Najib-BN ialah inflasi atau kos kenaikan barangan dan perkhidmatan akibat kenaikan tariff elektrik ini pasti yang akan membebankan semua rakyat. Tentunya yang berpendapatan rendah akan merasakan impak yang paling teruk. Mereka tidak mampu mendapat kenaikan pendapatan berbanding golongan eksekutif yang boleh mendapat kenaikan gaji secara mendadak.

Terkini diramalkan pelbagai pihak, termasuk Badan Penyelidik Bank Pelaburan (IB) seperti RHB dan Maybank, bahawa inflasi dengan ukuran Indek Harga Pengguna (CPI) bakal melonjak ke tahap 3.5% hingga 4% tahun depan. Tidak dapat dinafikan bahawa inflasi sebenar yang ditanggung rakyat adalah jauh lebih tinggi.

Bagi menangani unjuran buruk inflasi tahun depan, beberapa badan penyelidikan bank pelaburan (IB) telah membuat ramalan bahawa Bank Negara (BNM) akan menaikkan kadar pinjaman semalaman (OPR) dengan 25 hingga 50 basis point, dari 3.0% kin ke paras 3.25% ke 3.50%.

Bayangkan kesan kepada peminjam di segi kenaikan kos pinjaman dan bayari an ansuran bulanan mereka. Statistiktentang pinjaman tak-berbayar atau Non-Performing Loan (NPL) nampaknya sengaja disembunyikan BNM. Apakah kesemua ini akan meningkat kadar kebankrapan atau kemuflisan rakyat?

Sangat tidak bertanggungjawab untuk Najib menjadikan inflasi lebih teruk lagi dengan penarikan subdisi dan serentak memeras serta mencekik rakyat dengan cukai seumpama GST nanti. Rakyat seumpama dah jatuh ditimpa tangga!

Badan Utiliti gergasi seperti TNB adalah ditubuhkan bagi memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Betul ia juga sebuah syarikat komersial. Namun rakyat mengingatkan Najib-BN bahawa akhir bulan Oktober lalu, TNB baru sahaja mengisytiharkan ‘keuntungan bersih’ (Nett Profit) untuk tahun kewangannya berakhir Ogos 2013 sebanyak RM4.61bilion berbanding RM4.41bilion tahun sebelumnya.

Maka syarikat-syarikat milik kerajaan seperti TNB wajar dan wajib mengimbangi khidmat kepada rakyat sebagai ‘pemilik’ atau ‘stakeholders’ sebenar negara ini dengan perhitungan keuntungan atau ‘bottomlinenya.

Sekali lagi, dalam pelbagai penerusan dasar monopoli dan amalan runding-langsung dalam projek berskala besar atau 'big-tickets items'', termasuk subsidi kepada syarikat Penjana Tenaga lebih Bebas (IPP) yang menelan berbillion RM setahun, Najib-BN lebih bersedia dan rela melindungi kroni-kroni mereka dari melindungi rakyat teramai.

Sangat malang!


*Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.
Tiga bulan dulu semuanya tertumpu kepada pemilihan pimpinan Umno. Sistem baru pemilihannya menjadikan parti itu terbuka kepada setiap ahli menawarkan diri untuk bertanding apa jawatan juga.

Dato Najib menawarkan kesediaan untuk ditandingi oleh sesiapa saja. Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tengku Razaleigh pun boleh. Ramai ahli Majlis Tertinggi menawar tidak bertanding. Reaksi Muhyiddin ialah dia sedia juga sedia ditandingi oleh sesiapa akan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden, bukan mencabar Presiden.
    
Ia berakhir dengan calon yang berpotensi  mencabar Presiden, Tengku Razaleigh tidak bertanding apa-apa jawatan kecuali ketua di kawasannya Gua Musang. Dan Mukhriz Mahathir yang bertanding Naib Presiden bagi menyelamatkan masa depan Umno tak menang.
    
Kemudian giliran PAS pula. Jawatan sasaran ialah Timbalan Presiden yang dipegang Mohamad Sabu dan tiga jawatan Naib Presiden. Tumpuan ialah jika Tuan Ibrahim jadi calon Timbalan Presiden, ia ancaman buat Mat Sabu. Tetapi Tuan Ibrahim menyertai pertandingan Naib Presiden.
    
Apabila dia menyertai  pertandingan itu, perhatian ialah siapa antara tiga penyandang,  Salahuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar akan kalah. Tuan Ibrahim pasti dapat satu dari kerusi itu. Maka yang gugur Mahfuz dan Mat Sabu  kekal.
    
Sekarang giliran pemilihan MCA pula. Dr Chua Sai Lek dikatakan akan berundur. Dia cuba meminggirkan Timbalannya, Tiong Lai tetapi tidak berjaya. Maka Tiong Lai pula mengumumkan akan jadi  calon Presiden kiranya Soi Lek betul-betul berundur. Atau dia mencabar Soi Lek kiranya Soi tidak berundur.
    
Pemergian Soi Lek itu hampir pasti.
    
Maka kini Ong Tee Kiat, bekas Presiden yang digullingkan oleh Soi Lek menawar  diri untuk kembali memimpin MCA.
    
Kesediaannya itu menjadikan pemilihan pimpinan MCA tambah menarik. Adakah Tee Kiat akan berlawan dengan orang kanannya dulu yakni Tong Lai atau ada orang ketiga muncul untuk menentang Tee Kiat?
    
Atau Soi Lek tak jadi berundur, mempertahankan jawatannya dari  diambil semula oleh Tee Kiat.
   
Mungkin dulu jawatan dalam MCA itu menjadi rebutan oleh semua kerana ia menjanjikan kedudukan yang baik dan kekuasaan. Tetapi dengan kekalahan teruk MCA dalam PRU 13 menjadikan politiknya penat.
    
Soi Lek senang hati dapat menyingkirkan Tee Kiat. Tetapi dia dan MCA tidak lagi dapat banyak faedah dalam politik dengan kedudukan yang baik dalam parti. Pertama, parti itu telah membuat keputusan tidak menerima jawatan dalam kerajaan kiranya prestasi pilihan raya buruk. Memang prestasinya buruk.
   
Kedua, tidak nampak dalam masa lima tahun ini DAP dapat ditumpaskan. DAP dipercayai akan bertambah selesa.
    
Tidak banyak yang MCA dapat raih dari kedudukan DAP yanag bertambah kuat. Melainkan penat  saja. Apa lagilah kalau berketuakan Soi  Lek kerana vetren MCA memang lama tidak yakin dengan pimpinan Soi Lek.
    
Masa Soi Lek telah habis. Mungkin dia bakal mengikut jejak Samy Vellu, selepas MIC kalah dia jadi duta khas ke India, dan Ong Ka Ting pula jadi duta khas ke Negeri  China.
    
Kiranya dia akan dijadikan duta khas, ke mana dia hendak dihantar? Ada dia tempat yang sesuai  iaitu di Taiwan atau  Singapura.
    
Akan tetapi Tiong Lai atau Tee Kiat yang jadi Presiden baru MCA, adakah dia dapat pulihkan kembali MCA yang amat tenat itu. Atau  dia mewarisi kepenatan pimpinannya yang lalu?
    
Kalau PAS juga penat dalam politik, tetapi ia dijanjikan pahala. Itu yang menyebabkan  ia  kekal
dalam politik.  Tetapi MCA tidak percaya tentang  dosa dan pahala dalam politik.

Tiada ulasan: