Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.913 bilion pada 2012 iaitu peningkatan sebanyak RM22.494 bilion (12.1 peratus) berbanding RM185.419 bilion pada 2011.

Hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2011, demikian menurut kenyataan oleh Ketua Audit Negara mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012 siri 3 yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan tersebut ialah mengenai Penyata Kewangan Dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 Serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri Siri 3.

Mengikut laporan itu, peningkatan hasil sebahagian besarnya disumbangkan oleh cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan individu, faedah dan perolehan daripada pelaburan, lesen, bayaran pendaftaran dan permit, duti setem dan cukai perkhidmatan.

Kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh, bayaran dividen lebih tinggi oleh Khazanah Nasional Berhad serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyumbang kepada peningkatan hasil.

LHDNM telah berjaya mengutip hasil berjumlah RM124.892 bilion pada tahun 2012 berbanding RM109.608 bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak RM15.284 bilion (13.9 peratus).

Manakala JKDM pula telah berjaya mengutip sejumlah RM32.319 bilion pada tahun 2012 berbanding RM30.379 bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak RM1.940 bilion (6.4 peratus).

- Bernama
Exco: 'Pakar' akan siasat tapak di Lembah Bujang

Kerajaan negeri memberi jaminan untuk bertindak ke atas dakwaan pemusnahan artefak sejarah Lembah Bujang selepas mendapatkan khidmat pakar untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Exco hal ehwal kesenian, kebudayaan dan warisan Kedah Aminuddin Omar memberitahu Malaysiakini bahawa mereka akan membawa pakar dari Universiti Sains Malaysia untuk menyiasat tapak arkeologi berharga itu.

Aminuddin berkata kerajaan negeri mengetahui mengenai dakwaan tersebut tetapi memerlukan pakar untuk menyiasat tapak berkenaan sebelum mengambil apa-apa tindakan.

"ADUN Tanjong Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain dan kakitangan akademik USM akan bertemu untuk mengenalpasti kawasan sebenar yang terlibat dan titik tumpuannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Aminuddin berkata Lembah Bujang meliputi kawasan tanah yang besar yang tidak boleh diwartakan sepenuhnya sebagai tapak warisan.

Beliau mengulas dakwaan pemusnahan tapak kuil Hindu di Lembah Bujang, yang dikenali sebagai Candi Sungai Batu.

Kumpulan sejarawan sebelum ini merayu kepada kerajaan negeri untuk mengiktiraf kepentingan sejarah tapak berkenaan sebagai bukti tamadun awal di kawasan yang kini dikenali sebagai Merbok, Kedah.
Polis buru suspek kes bunuh tiga beradik perempuan

Polis Kedah sedang memburu seorang remaja lelaki dipercayai teman Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, yang dipercayai dibunuh bersama dua adiknya dalam satu kejadian Jumaat lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata remaja itu dipercayai berada di Arau, Perlis diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung pembunuhan itu.

"Polis mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi yang membantu siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya yakin remaja belasan tahun ini dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kereta Spanco Proton Preve kepada Ketua-Ketua Polis Daerah negeri ini di Ibu pejabat Kontinjen Kedah di Alor Setar, hari ini.

Mayat dua adik Nor Syafikah, Puteri Nurul Akma, 3; dan Nur Izzati Husna, 12; ditemui pukul 3.45 petang semalam dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat Nor Syafikah ditemui di sawah Kampung Alor Senibong, Langgar pada petang Sabtu.

Tiga beradik itu berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar.

Tiga beradik itu keluar dari rumah mereka dengan motosikal dikendali oleh Nor Syafikah Nadia pukul 7.30 malam hari Jumaat lepas dan tidak balik selepas itu.

Ahmad berkata polis yakin tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.

Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan.

Sementara itu bedah siasat mayat Puteri Nurul Akma, dan Nur Izzati Husna dibuat pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, katanya.

Mengenai kereta polis, Ahmad berkata ia adalah bagi menggantikan kereta-kereta lama diserahkan oleh Ibu pejabat Polis Bukit Aman dalam dua peringkat berjumlah 115 buah.

Bagi peringkat pertama Polis Kedah menerima 80 buah dan daerah 'panas' diberi keutamaan iaitu Kuala Muda sebanyak 12 buah; Kota Setar (11); Kubang Pasu (9); Kulim (8) dan Langkawi (5) dan bakinya untuk daerah-daerah lain, katanya.

- Bernama