Selasa, 10 Disember 2013

BAGAIMANA KALAU MUZAKARAH TENTANG LARANGAN2(YANG HARAM) ALLAH SERTA SURUHAN2 ALLAH(WAJIB DAN FARDU)....YANG KITA ABAIKAN MENGANGGAP SOAL PERIBADI....KITA WAJIB JAGA AGAMA SERTA KEMBANGKAN AGAMA

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan kerajaan bahawa tidak semua pelaburan dari luar bermanfaat untuk negara.

“Kami ingin menegur pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar pihak tertentu dengan label pengkhianat yang dikatakan menakut-nakutkan pelabur Taiwan sehingga menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan asing bernilai RM40 bilion,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, secara simplistik menuduh bahawa menyuarakan pandangan kepada pelabur mengenai kesan yang akan diterima rakyat sebagai sabotaj kepada pelaburan kepada usaha kerajaan untuk dapat menjana pendapatan negara.

Kenyataan beliau seperti di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan kerajaan bahawa tidak semua pelaburan dari luar bermanfaat untuk negara.

Kami ingin menegur pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar pihak tertentu dengan label pengkhianat yang dikatakan menakut-nakutkan pelabur Taiwan sehingga menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan asing bernilai RM40 bilion.

Beliau secara simplistik menuduh bahawa menyuarakan pandangan kepada pelabur mengenai kesan yang akan diterima rakyat sebagai sabotaj kepada pelaburan kepada usaha kerajaan untuk dapat menjana pendapatan negara.

Perlu diingatkan ini bukan isu menyekat pelaburan kepada kerajaan pusat atau sabotaj tetapi ia adalah isu bantahan rakyat yang tidak mahu menerima kesan pengambilan tanah, implikasi kerosakan alam sekitar serta pemindahan penduduk yang akan menyusahkan rakyat.

Pelaburan ke Pengerang, Johor yang dikatakan akan membangun industri petroleum sepatutnya dirancang dengan menghormati inkuari awam mengenai kesan sosial dan alam sekitar.

Rakyat berhak menyuarakan bantahan dalam inkuari awam dan jika kerajaan tidak mahu mendengar bantahan itu, maka mereka berhak juga untuk memaklumkan kepada pelabur mengenai kesan yang penduduk akan terima jika projek itu dilaksanakan di tempat mereka.

Kami berpandangan Ahmad Zahid tidak menghormati proses inkuari rakyat bila isu alam sekitar dibangkitkan seperti yang berlaku dalam isu Lynas di Pahang.

Kami berpendirian bahawa isu gesaan beliau supaya Petronas perlu disokong tidak timbul sama ada ia sebuah syarikat dalam mahupun syarikat luar negara, semua projek yang boleh memberi kesan kepada penduduk perlu menghormati pandangan dan bantahan mereka.

Kehilangan  peluang pelaburan Taiwan tidak sepatutnya menjadi isu kerana jika pihak pelaburan tahu penduduk tempatan tidak senang dengan apa yang bakal berlaku akibat persekitaran mereka yang akan terjejas, maka seharusnya pelabur perlu hormat kepada bantahan rakyat.

Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia  yang dirancang di Johor itu tidak boleh dipaksa ke atas penduduk tempatan tanpa mendengar pandanganbalas awam dan bantahan penduduk tempatan.

Kami juga berpendirian bahawa pihak kerajaan tidak perlu terlalu ghairah dengan mendapatkan pelaburan dari luar kerana isu FDI (Foreign Direct Investment) sudah banyak dikritik oleh pelbagai pakar ekonomi dunia akibat berlaku ‘capital flight’ (pengeluaran modal keluar dari negara) yang telah menjatuhkan ekonomi negara pada krisis kewangan 1998.

Kerajaan harus berganjak dari pemikiran lama yang terlalu bergantung kepada FDI dan melihat usaha membangunkan pelaburan  dalam negara dalam sektor yang strategik akan lebih menjamin ekonomi negara.

Ekonomi yang hanya bergantung kepada pelabur luar tidak menjamin pendapatan kepada negara secara langsung. Malah dengan penganugerahan status perintis untuk mengecualikan cukai selama 10 tahun, pekerja asing yang lebih diutamakan oleh pelabur luar berbanding pekerja tempatan, pemindahan teknologi yang tidak semuanya berlaku seperti yang diharapkan serta pembelian barangan industri dari luar negara lebih dari barangan tempatan, maka kami ingin bertanya benarkah negara akan meraih pendapatan seperti yang didakwa oleh kerajaan.

Sedangkan apa yang negara akan tanggung ialah tanah berpindah kepada milik asing, penduduk tempatan terpaksa dipindahkan, kesan kerosakan alam sekitar yang terpaksa ditanggung oleh negara dan rakyat dan limpahan pekerja luar yang menimbulkan masalah sosio-ekonomi kepada masyarakat tempatan.
Kami berpandangan sudah sampai masanya kerajaan dan semua pihak dengan jujur meneliti musibah alam yang semakin besar dan semakin kerap di negara ini.

Kami berpendapat bahawa kebanyakan bencana alam berpunca daripada kerosakan yang dilakukan oleh manusia yang terdiri dari kerajaan, perancang, pelaksana, penguatkuasa dan gaya hidup rakyat .

Sekadar menyenaraikan musibah yang sering dianggap bencana alam yang ditentukan Tuhan.  yang telah berlaku dan terus berulang seperti tanah runtuh , jerebu,  banjir besar , bangunan runtuh, kemarau melampau , ribut taufan, tsunami, gempa bumi, kerosakan tanaman dan wabak penyakit.

Tidak sedikit harta bernilai jutaan ringgit dan nyawa yang hilang akibat bencana alam. Kos operasi menyelamat dan bantuan kecemasan serta perbelanjaan pasca bencana juga menelan ratusan juta ringgit lagi.

Namun semua ini, kami teliti, adalah berkait dengan kecuaian dan keangkuhan manusia melanggar peraturan alam yang dicipta Tuhan.

Kesemuanya punya sebab musabab. Sangat naif jika ada yang berhenti pada kalimah takdir Yang Maha Berkuasa, padahal sejumlah ayat Illahi menjelaskan bencana alam adalah akibat perbuatan tangan manusia yang bertindak diluar batasan.

Sesungguhnya semua pihak perlu akur betapa alam ini dengan sistem dan aturannya berfungsi dengan kesimbangan yang amat sensitif. Kesimbangan yang takkan mampu difahami seluruhnya oleh akal manusia yang kerdil.

Setiap unsur alam ini dicipta Tuhan dengan tujuan dan hikmahnya yang tersendiri. Itupun takkan dapat dimengerti sepenuhnya semua nama-namanya, apatah lagi tujuan ia dicipta .

Sama ada berupa unsur alam maha besar dan gagah seperti gunung yang tersergam indah dan kukuh atau laut yang terbentang luas atau organisme yang sangat halus seskala mikro yang tidak dapat terlihat oleh pancaindera kasar.

Yang pasti semua yang dicipta oleh Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Tahu, sama ada yang nampak secara zahir mahupun yang halus, punya sistemnya dan tujuannya yang  tersendiri dalam skima ciptaan yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segalanya.

Oleh hal yang demikian kita harus insaf bahawa sesungguhnya alam ini dengan segala keragamannya perlu diurus dengan teliti dan penuh hormat. Kita hanya faham secebis daripada keseluruhannya penciptaan Tuhan yang Maha hebat ini.

Tatkala sikap angkuh dan tamak menguasai manusia yang membentuk kerajaan atau konglomerat yang hanya mahu mengambil faedah semerta dan keuntungan lumayan dari alam yang sangat sensitif ini, pertembungan antara manusia  dengan alam akan berlaku.

Akibat keangkuhan dan ketamakan manusia yang hanya mementingkan keselesaan, alam diperkosa dengan nafsu serakah.

Kerana  menanggapi alam ini hanya untuk dieskploitasi semahunya, maka dengan sebab itu alam telah disalah urus. Akhirnya manusia akan menerima natijah buruk yang diperlihatkan oleh Pencipta alam ini  secara zahir kepada manusia yang jelas melampaui batas.

Inilah yang diisyaratkan pada ayat 41 Surah ar-Rum.

“Telah tampak kerosakan di darat dan dilaut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (kejalan yang benar).”

Kenyataannya ialah sesuatu bencana alam tidak boleh hanya dirumuskan kepada kata-kata "ujian Tuhan" semata-mata. Akan tetapi yang harus dilihat juga ialah sebab ujian itu diturunkan Tuhan. Yang jelas ia  adalah natijah daripada suatu perlanggaran manusia terhadap hukum alam yang ditetapkan Tuhan. Tuhan yang mencipta alam dengan segala kesimbangan, dirosakkan dengan rakus oleh tangan manusia yang digerakkan oleh hati dan akal yang angkuh dan tamak.

"..... Merasakan sebahgian dari (akibat) perbuatan mereka..." jelas adalah tempelakkan Tuhan yang mengisyaratkan agar manusia meneliti apakah yang telah dilakukan oleh mereka sehingga Allah mahu manusia merasa sendiri akibat keangkuhan dan salahurus sumber alam yang dianugerah oleh manusia.

Dengan inilah kami mengesa semua pihak melangkau lebih dari hanya bertindak menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Respon yang juga sangat perlu diambil ialah melihat apakah punca yang menyebabkan banjir berskala ini boleh berlaku.

Soalnya banjir besar di Jitra dan Kota Tinggi sepatutnya menjadi asas untuk pihak berkuasa mencari punca kenapa ia boleh berulang di Pahang dan Terengganu.

Sememangnya ujud fenomena alam yang boleh diterima sebagai faktor diluar kuasa manusia untuk mengawalnya. Namun tidak juga boleh diketepikan bahawa pola pembangunan yang dilaksanakan serta penyelenggaraan yang lemah terhadap segala prasarana yang dibina telah menyebabkan fenomena bencana alam itu berlipat kali ganda kesannya .

Apabila bumi telah ditutupi konkrit, bukit yang sepatutnnya boleh menyerap air hujan kerana diliputi tumbuhan telah ditarah dan dibotakkan, perancangan pembangunan yang memadatkan kawasan penduduk dan kawasan industri, kapasiti perparitan untuk saluran air tidak mampu menampung air yang berlebihan, pemendapan sungai berlaku dengan kadar yang tinggi akibat pembalakan dan  hakisan tanah bukit yang tersalur ke sungai, maka pasti, semuanya boleh menyumbang kepada banjir yang luar biasa.

Pelbagai langkah mitigasi banjir hanya boleh berkesan jika punca pemusnahan alam yang telah melemahkan daya tahan persekitaran untuk menyerap dan menampung sebahagian dari hujan yang berlebihan itu dapat ditangani lebih dahulu.

Projek pelebaran perparitan dan mendalamkan sungai serta mengukuhkan ban sungai tidak boleh bertahan lama untuk menampung hujan yang berlebihan.

Yang seharusnya dilihat ialah pembangunan bandar itu sendiri. Berapa banyak ruang yang telah dikonkrit , berapa banyak kawasan yang sudah dibangun dengan perumahan, pejabat dan kawasan industri serta berapa kawasan bukit dan hutan bakau yang telah dimusnahkan.

Semua perkara ini membawa kepada meningkatkannya potensi air sungai melimpah dikala musim hujan yang berlebihan.

Demikian juga harus diteliti pembalakkan yang berlaku dikawasan hulu yang menyebabkan hakisan dan pemendapan sungai berterusan berlaku sehingga langkah mendalamkan sungai tidak dapat diatasi dengan berkesan.

Kami  menetapkan bahawa jika kerajaan bersungguh untuk mengambil iktibar dari banjir besar yang melanda bandar seperti yang berlaku sekarang di Kuantan dan Kemaman, maka segala kerosakkan alam sekitar yang berkaitan hendaklah ditangani. Bermakna segala projek pembangunan yang berkaitan dengan penambahan bangunan, perumahan , perindustrian dikawasan bandar hendaklah disemak semula.
SHAH ALAM: Harakah dengan kerjasama Angkatan Edaran dan PAS Cawangan Seksyen 18 Barat dan Seksyen 4, Shah Alam  meneruskan misi menghantar bantuan barangan makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu.

Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, sumbangan makanan dan pakaian itu akan dihantar kepada mangsa banjir melalui Lajnah Kebajikan negeri Pahang dan Terengganu.

Katanya, Harakah akan berterusan mengawai perkembangan banjir yang melanda negeri Terengganu dan Pahang serta cuba memberi bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Shah Alam dan Angkatan Edaran yang turut bersama-sama dalam usaha membantu meringankan bebanan mangsa banjir," katanya ketika ditemui di ruang lobi kilang Angkatan Edaran, Shah Alam.

Dua buah lori muatan 5 tan telah berlepas jam 11 pagi tadi membawa barang-barang makanan diiringi tiga buah kereta dan empat pacuan empat roda.

Sementara itu, Pengurus Angkatan Edaran, Azlan Jan memaklumkan barangan yang dihantar beras; air mineral; biskut; gula; teh; lampin. pakaian terpakai hasil sumbangan jemaah surau Seksyen 4, Shah Alam.

Beliau yang juga Ketua PAS Cawangan Seksyen 18 Barat, Shah Alam berkata, sumbangan tersebut dilakukan atas kesungguhan dan keprihatinan ahli PAS cawangan melihat kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

Menurut beliau, wang tunai juga dibawa untuk diberi kepada mangsa-mangsa banjir yang mungkin tidak berpindah ke penempatan sementara serta tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

"Angkatan Edaran telah menghulurkan bantuan sejak mula mangsa ditimpa banjir dan kita akan melakukan bantuan kepada mangsa secara berterusan," katanya.

Muzakarah, isu bersama dan survival kerajaan PAS Kelantan

CETUSAN Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang semasa penggulungan Muktamar PAS ke-59 (pada 24 November) yang lalu berhubung muzakarah dengan Umno atas isu-isu Islam dan Melayu mendapat perhatian.
Kandungan maksud cetusan Presiden PAS itu bukanlah ke arah permuafakatan politik atau untuk membina jambatan PAS-Umno. Meskipun begitu, tajuk muzakarah tetap menghangatkan perbahasan dalam media sosial dan arus perdana. Malah turut menggemakan nada perbahasan Perhimpunan Umno ke-67 yang lalu.
Sebelum itu (sehari selepas cetusan Presiden PAS), pihak media ada melaporkan respons positif Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bersedia dan menyambut baik. Sikap pertama beliau adalah bersetuju menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob ke pejabatnya di Putrajaya pada Khamis (28 November) lalu.
Walaupun hakikatnya, permohonan berkunjung itu telah dibuat melalui surat rasmi kira-kira dua bulan sebelumnya. Apa yang pasti, kunjungan itu telah menjadi realiti dan hasilnya agak positif. Mungkin ada hubung kait dengan cetusan muzakarah pihak Presiden PAS.

Kunjungan untuk kemajuan
Kunjungan tersebut dijelaskan oleh Ustaz Ahmad adalah (berbincang hal-hal) berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada Negeri. Contohnya berkaitan infrastruktur dan juga hal-hal lain untuk kebajikan rakyat. Hal-hal ini kemudian dijelaskan oleh ahli exco kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Fadzli yang turut mengiringi Menteri Besar.
Menurutnya, pertemuan itu turut menyentuh hasrat dan cadangan atau rancangan berkaitan pelaksanaan  Islam, pembinaan lebuh raya, meningkatkan bekalan air bersih, royalti, pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk negeri Kelantan seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sebagainya. Kesemuanya adalah untuk kemajuan dan manfaat serta kebajikan rakyat Kelantan.
Apa yang utama maksud pertemuan itu sebagai memenuhi tanggungjawab betapa perlunya amalan Persekutuan diperkukuhkan menerusi hubungan antara kerajaan Negeri dengan kerajaan Pusat (baca hubungan G to G). Ini kerana hubungan dua kerajaan (Pusat dengan Negeri) tidak boleh tidak, perlu diurus oleh ketua kerajaan di peringkat Negeri dan Pusat.
Hal ini adalah suatu yang pasti bagi melaksanakan tuntutan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam maksud merealisasi jadual bersama atau Jadual Kesembilan.Terutamanya realiti Kelantan, ada hak kerajaan Negeri yang tidak dilayan selunaknya, malah dilihat bersifat diskriminasi.
Contohnya bantuan bekalan air bersih telah menjadi isu diskriminatif apabila bantuan RM600 juta hakikatnya dikenakan syarat pinjaman berkadar bunga 4 peratus dan bukan berstatus geran. Di samping pengurusan kontrak projek bekalan air pula diuruskan langsung oleh kerajaan Pusat, sementara kerajaan Negeri tiada hak memutuskan penender projek.
Maka kunjungan Menteri Besar Kelantan itu secara tersiratnya adalah susulan daripada persetujuan sebelum ini yang telah dirintis oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dengan kerajaan Pusat (ketika bertemu Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri). Justeru Ustaz Ahmad adalah untuk menarik perhatian Mohd Najib atas pinjaman bersifat berat di sisi kerajaan Negeri.

Isu bersama
Dalam konteks tersebut, kunjungan Ustaz Ahmad kepada Mohd Najib bukanlah bermaksud mencetus kerjasama kepartian. Sebaliknya ia suatu gerak kerja diplomasi dalam isu dan urusan melibatkan kepentingan bersama antara kerajaan Negeri dengan Pusat dalam mentadbir agenda pembangunan negeri.
Jika tujuan kunjungan itu atas kepentingan isu bersama (pembangunan negeri), mungkin ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada isi muzakarah yang dicetuskan Presiden PAS. Sementara banyak lagi isi muzakarah yang perlu diambil langkah secara lebih praktikal oleh kepimpinan tertinggi PAS dalam menterjemahkan isu muzakarah yang dimaksudkan (atas tapak Islam dan Melayu).
Isi muzakarah itu seharusnya diperincikan oleh kepimpinan tertinggi PAS dalam masa terdekat demi membimbing Ustaz Ahmad meneruskan kerjasama Negeri-Pusat di dalam banyak perkara lagi melibatkan kepentingan ‘G to G.’

Survival kerajaan
Di sebalik isu-isu kerjasama yang telah dinyatakan semasa kunjungan Menteri Besar Kelantan itu, ada lagi isu-isu tertangguh yang seharusnya dikongsi sama dengan kepimpinan PAS Pusat untuk dibangkitkan dalam muzakarah PAS-Umno. Ia dianggap penting bagi memastikan survival politik (baca sokongan rakyat) terhadap PAS kekal di hati warga negeri Kelantan.
Antara isu tertangguh ialah pembangunan tebing Sungai Golok untuk mengatasi limpahan air (menyebabkan banjir), pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, pendaratan hasil minyak dan gas di daratan Kelantan, peruntukan pembangunan rumah mampu milik dan kerjasama erat dengan bahagian Perumahan Negara, penyelesaian isu tuntutan royalti minyak dan gas.
Sementara isu yang paling penting adalah pendekatan bersama dalam pembiayaan peruntukan pembangunan sebagaimana termaktub bajetnya di dalam buku rancangan Malaysia. Mungkin sesuai dijadikan isu muzakarah juga ialah pemulihan kuasa Majlis Keselamatan Negeri Kelantan kepada Menteri Besar dan penutupan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan dengan mengembalikan kuasa pelaksanaan rancangan dan projek pembangunan kepada Pejabat Pembangunan Negeri di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Sehubungan itu, penyelesaian bersama (melalui muzakarah) isu-isu pentadbiran dan pembangunan negeri Kelantan tersebut seharusnya dijadikan sandaran penting bagi pimpinan PAS yang bakal memikul amanah menjayakan muzakarah PAS-Umno nanti.
Semoga cetusan Presiden PAS untuk bermuzakarah itu tidaklah difahami sebagai cetusan negatif yang boleh memudaratkan survival perjuangan PAS. Apa yang utama, perjuangan PAS dipastikan kekal relevan dalam memartabatkan umat Islam di negara ini.
_________________________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
KUALA LUMPUR:  Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di Pahang dan Kelantan menurun pagi ini berikutan keadaan cuaca yang semakin baik namun keadaan tidak berubah bagi mangsa banjir di Terengganu.

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan berkurangan kepada 33,952 orang berbanding 35,502 orang malam tadi.
                     
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sehingga 9 pagi ini, kesemua mangsa daripada 10,328 keluarga itu ditempatkan di 141 pusat pemindahan dari 118 penempatan di sembilan daerah yang terjejas banjir.
                     
Di Pekan pula, terdapat 3,180 mangsa di 34 pusat pemindahan, Temerloh (1,132 orang di 23 pusat pemindahan), Maran (920 di 17 pusat), Jerantut (570 di 11 pusat), Bera (217 di tujuh pusat), Raub (137 di tujuh pusat), Lipis (60 di lima pusat) dan Rompin (36 di dua pusat).
                     
Namun, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Km14 Jalan Temerloh-Bahau, Km18 Jalan Triang-Temerloh dan Jalan Jerantut-Kuala Lipis (Kampung Sepial), katanya kepada Bernama hari ini.

Di KOTA BAHARU, mangsa banjir di Pasir Mas dan Tumpat menurun kepada 99 orang berbanding 139 orang pada malam tadi.
                     
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata seramai 94 orang dipindahkan di tiga pusat pemindahan di Pasir Mas dan hanya lima orang pula berada di pusat pemindahan Pengkalan Kubor di Tumpat.
                     
Paras Sungai Golok di Rantau Panjang pada 8 pagi ini menyusut kepada paras amaran 8.68 meter (amaran 8 meter/bahaya 9 meter).
                     
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri itu kekal dengan 22,617 orang daripada 5,582 keluarga.
                     
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kemaman mempunyai mangsa banjir paling ramai iaitu 19,869 orang (4,901 keluarga), Dungun dengan 2,719 orang daripada 672 keluarga, Kuala Terengganu enam orang daripada satu keluarga dan Marang 28 orang daripada lapan keluarga.
                     
Keadaan banjir Hulu Terengganu dan Setiu juga sudah reda.
                     
Sehingga 9 pagi ini, sebanyak 48 pusat pemindahan iaitu tujuh di Dungun, 39 di Kemaman, satu di Kuala Terengganu dan satu di Marang masih beroperasi.
                     
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran negeri melaporkan paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu berada dalam keadaan biasa pagi ini. - Bernama
BANGKOK:  Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat kira-kira sejam sebelum penunjuk perasaan antikerajaan berarak ke Rumah Kerajaan.
                     
"Biar rakyat tentukan siapa yang patut mentadbir negara ini," katanya dalam pengumuman menerusi televisyen pagi ini yang memeranjatkan banyak pihak.
                     
Beliau menggesa semua parti politik supaya mengambil bahagian dalam pilihan raya yang akan diadakan kelak.
                     
Bagaimanapun, keputusan itu mungkin tidak begitu memuaskan hati pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Taughsuban, yang tidak mahu Yingluck mengetuai kerajaan sementara, sebaliknya mahu sebuah majlis rakyat untuk mentadbir negara dalam tempoh sementara itu.
                     
Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan telahpun berkumpul di Sembilan lokasi di ibu negara pagi ini, memburukkan lagi keadaan lalu-lintas di beberapa kawasan.
                     
Sebahagian besar penduduk di ibu negara memilih untuk menaiki bot sebagai kaedah pengangkutan ke tempat kerja atau untuk menyertai tunjuk perasaan itu.
                     
Mereka dijadual mara ke Rumah Kerajaan yang menempatkan pejabat Yingluck kira-kira 9.39 pagi dan dijangka tiba di lokasi tengah hari ini, dan di sepanjang jalan mereka mengibarkan bendera Thailand serta membunyikan wisel. - Bernama
SINGAPURA:  Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyifatkan rusuhan di Little India pada Ahad malam sebagai 'kejadian yang amat serius' dan berkata kerajaan akan menjejaki pelakunya serta mengambil tindakan tegas undang-undang terhadap mereka.
         
"Apa jua kejadian yang mungkin mencetuskan rusuhan itu, tiada sebab untuk mereka melakukan keganasan, kemusnahan dan perlakuan jenayah sedemikian rupa," katanya mengenai rusuhan itu dalam laman Facebooknya awal Isnin.
         
Beliau berkata beberapa pegawai polis cedera dan kenderaan rosak atau musnah.
         
"Keadaan kini terkawal dan siasatan sedang dijalankan," katanya sambil menggesa rakyat Singapura supaya bertenang.
         
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat, gambar atau video tentang kejadian itu supaya menyerahkannya kepada polis. - Bernama

Tiada ulasan: