Isnin, 23 Disember 2013

JANGAN DENGAR AJE...TAPI TAK BUAT APA2

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menarik balik notis kenaikan kadar Lesen Perniagaan/Perindustrian 2014 dan berbincang terlebih dahulu dengan peniaga.

Jelas Khalid, MBSA perlu mencari jalan penyelesaian serta mendapatkan maklum balas dari peniaga untuk dilihat lebih adil bukannya bertindak drastik dan membebankan peniaga.

"Saya menerima aduan dari seorang peniaga yang tidak berpuas hati dengan kadar baru lesen perniagaan yang meningkat sebanyak 300 peratus.

"Ini amat membebankan peniaga apatah lagi notis yang diberikan terlalu singkat iaitu tarikh notis 9 Disember dan perlu diselesaikan pada 31 Disember, jika gagal denda sebanyak 10 peratus dari kadar lesen pula dikenakan.

"Saya gesa MBSA dan Datuk Bandar segera menarik balik notis tersebut dan mengadakan perbincang dengan para peniaga untuk mencari jalan penyelesaian bukan menindas peniaga," jelasnya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Khalid yang turut mempertikaikan keputusan MBSA mengenakan tiga jenis cukai pada satu permis yang baginya adalah tidak wajar.

Katanya pengadu yang sebelum ini hanya dikenakan bayaran sebanyar RM360 setahun bagi industri kraftangan, namum pada 2014 kadar tersebut telah berubah.

Pengadu tersebut melalui notis terbaru telah dikenakan bayaran lesen perniagaan industri kraftangan (menjual/perkhidmatan) sebanyak RM360, industri kraftangan (membuat/proses) sebanyak RM360, industri kraftangan (borong/simpan) pula sebanyak RM400 dan Patil sebanyak RM7, yang menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak RM1127.

"Kita mahu MBSA meneliti kembali cara pengiraan kadar tersebut.

"Bagi saya adalah tidak wajar tiga jenis cukai dikenakan pada satu permis yang sama, cara pengiraan perlu dibincangkan dan dijelaskan kenapa.

"Apa rasionalnya ia ditetapkan sedemikian, sudah pasti setiap industri mempunyai ruang menyimpan, proses serta menjualnya. Saya harap ini dapat diselesaikan segera untuk kebaikkan peniagaan dan penduduk Shah Alam," sambung beliau.

Khalid yang turut meminta agar, MBSA serta Datuk Bandar mengambil tindakan segera kerana keputusan tersebut bukan sahaja membebankan peniaga tetapi turut terkena kepada rakyat yang menjadi pembeli.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan agar pemilihan Datuk Bandar dibuat oleh rakyat agar calon yang dipilih lebih prihatin terhadap masalah dan kesusahan rakyat.

Katanya jika sebelum ini Datuk Bandar dipilih dari kalangan penjawat awam  adalah wajar ia dipilih terus dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahupun mana-mana individu yang dipilih rakyat bagi memastikan hak mereka diberi perhatian.

"Bila dipilih oleh rakyat maka Datuk Bandar akan melaksanakan tugas dengan lebih prihatin kerana kedudukannya akan ditentukan oleh rakyat untuk kekal atau disingkirkan," katanya.

 


APABILA mingguan berita berbahasa Inggeris, The Heat, mula dipasarkan hampir empat bulan lalu, saya terlepas daripada mengikuti keluaran sulungnya.

Sebaik mendapatkan edisi kedua di sebuah pasaraya besar di Ampang -- rupanya tidak banyak gerai akhbar menjualnya -- The Heat berjaya mencuri perhatian dan minat saya. Ada usaha berani untuk melaporkan isu-isu kritikal dan mendesak dalam masyarakat, secara seimbang, adil dan menarik.

Sejak itu, saya melanggan akhbar berharga RM3.60, yang antara lain mempunyai penampilan grafik memikat, dengan sorotan analisis menyeluruh dan agak luar biasa apabila semua bahannya daripada kumpulan wartawan sendiri. Maknanya, tiada laporan yang dipetik atau dilangan daripada agensi berita.

"Tidak mudah menyediakan analisis isu-isu besar saban minggu, dan saya bimbang The Heat hilang stamina untuk mempertahankan kualitinya," ujar seorang rakan, editor kanan di sebuah stesen penyiaran.

Kami berkongsi cerita tentang kesukaran mencari wartawan atau penulis yang baik, khususnya untuk menyediakan ulasan yang matang dan kredibel. "Ya, kita amat ketandusan wartawan yang brilliant, khususnya dalam bahasa Melayu, bagi memimpin idea dan pemikiran, juga mengetengah, menyelongkar dan membongkar isu-isu yang berkecamuk dalam negara," tambah saya.

Rakan saya itu menghadiahkan buku yang cukup banyak membantu, "Sembilan Elemen Jurnalisme: Apa yang Seharusnya Diketahui Wartawan dan Diharapkan Publik", terjemahan Indonesia karya Bill Kovach  dan Tom Rosenstiel.

Antara elemen penting yang ditekankan dalam buku itu ialah kewajiban pertama jurnalisme pada kebenaran; loyaltis pertama kepada masyarakat; jurnalisme harus menjadi pemantau kekuasaan; harus berupaya keras untuk membuat hal yang penting menarik dan relevan; harus menyiarkan berita komprehensif dan proporsional.

Apa pun, malang sekali, edisi kontroversi The Heat, bilangan ke-12, isu 23-29 November, dengan paparan muka depan "All eyes on big spending Najib", tidak sempat saya tetap, disebabkan keuzuran berulang alik ke hospital.

Dan naskhah yang sedia ditempah itu entah hilang ke mana .... Pastinya ramai meminati tajuk muka depannya, berkaitan perbelanjaan besar Perdana Menteri dan karenah isterinya, susulan perdebatan hangat di Parlimen, perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno dan komentar A Kadir Jasin.

Singgungan Kadir terhadap puja-puji terbuka Najib Razak kepada Rosmah Mansor, yang begitu berjasa besar kepada negara(!), sekali gus membawa mesej tersirat kegagalan beberapa menteri kanan, termasuk Muhyiddin Yassin, mengejutkan Pejabat Perdana Menteri.

"Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah menjadi Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata," cadang Kadir. Isu Rosmah menggunakan jet eksekutif kerajaan turut dibidasnya.

Berita dalam laman web Astro Awani yang bersumberkan tulisan Kadir itu telah diarah ditarik balik. Khabarnya titah itu dari Pejabat Perdana Menteri. Satu bentuk penindasan dan pencabulan melampau ke atas kebebasan akhbar. Ya, bagai lawak jenaka di zaman transformasi politik yang heboh dicanangkan Najib.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Zahid Hamidi, bertindak pantas mengeluarkan surat tunjuk dan Ketua Pengarang The Heat, David Lee Boon Siew dipanggil ke Putrajaya.

Berdasarkan pengalaman beberapa kali diundang ke KDN, seawal 1997 ketika mengendalikan majalah Tamadun, dan yang terakhir, ekoran promosi Harakah terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat 2012, saya dapat menjangkakan bagaimana pertemuan itu berlangsung.

Sememangnya KDN tidak akan memberikan alasan spesifik yang boleh menimbulkan polemik berpanjangan, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan laporan yang boleh "menikamnya" balik. KDN hanya akan menyenaraikan kesalahan teknikal...

Itulah juga yang saya alami apabila KDN mengharamkan penerbitan majalah Detik dan Wasilah pada tahun 2000, selain memberi amaran keras kepada akhbar mingguan Cabaran. Alasannya, kami tidak mengikut mock-up penerbitan semasa mengemukakan permohonan permit dahulu.

Walhal, yang "digeruni" ialah paparan wajah jelik dan hodoh elit penguasa Umno-BN, yang tamak kuasa, takbur, membazir, korup, merompak khazanah negara, menghanguskan wang pembayar cukai.

Inilah bahananya apabila Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) masih belum dimansuhkan sepenuhnya walaupun pada tahun lalu ada beberapa perubahan dibuat, termasuk menyentuh kuasa mutlak menteri dan semakin kehakiman.

Dalam kes The Heat, sekiranya ia dibawa ke mahkamah sekalipun, tentulah memakan masa yang panjang. Ini memberi impak besar terutama dalam aspek perniagaan.

Lebih penting, pemerintah telah menunjukkan siapa sebenarnya yang paling berkuasa dan risiko buruk jika cuba bertindak bebas, apatah lagi berhasrat untuk "mengusik"  takhta pemerintah. Dan akta tersebut dilaksanakan secara terpilih.

Perlu diingat, penerbitan yang pernah digantung, misalnya akhbar The Star dan Watan pada 1987, selepas dipulihkan seakan-akan hilang jati diri dan bagai beroperasi dalam gelap.


Tepat sekali rumusan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa penggantungan The Heat menunjukkan tahap tidak bertolak ansur terhadap perbezaan dan kritikan. "Ia bertentangan sama sekali dengan janji Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk membenarkan ruang demokratik lebih besar," katanya.

Bertentangan sama sekali dengan langkah dan semangat transformasi politik Najib ketika dengan bangganya mengumumkan pemansuhan ISA dan pindaan AMCP.


Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) mengutuk keputusan KDN. Presidennya,  Chin Sung Chew berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku kepada media yang hanya menjalankan tugas kepada negara.

"Media itu sendiri hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku kerajaan yang memerintah. Kita mesti memberi orang ramai akses kepada informasi sebegitu kerana mereka berhak, dan ia berkaitan kepentingan awam," tegas beliau.

Secara peribadi, saya lebih teruja untuk melihat reaksi rakan-rakan media, terutama yang bertugas dengan "media arus perdana" (termasuk dalam kumpulan The Heat) yang selama ini memandang sepi isu kebebasan akhbar. Begitu juga dengan respons masyarakat terhadap pencabulan keterlaluan yang menyempitkan lagi ruang awam kebebasan bersuara.
Semasa saya masih dalam mood bercuti hujung tahun, sambil bersantai meneroka idea baru  memantapkan Harakah menjelang 2014, banyak pula gangguan yang membingitkan.

Iklim politik tidak pernah reda walaupun PRU13 baru enam bulan berlalu dan negara masih terkejut dengan banjir besar luar biasa di Kuantan dan Kemaman.

Masakan saya boleh berlepas diri daripada serangan besar-besaran Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, bermula atas kapasitinya sebagai Naib Presiden Umno, yang cuba membunuh karektor Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, tidak lama selepas mendapat mandat baru dalam Muktamar PAS ke-59. Manakala Zahid kekal sebagai naib presiden paling popular dalam pemilihan sejurus sebelum itu.

Aksinya di hadapan perwakilan Umno dan jutaan penonton siaran langsung TV seolah-olah mengarahkan (atau mengajar) rakan sejawatnya dalam kabinet, Jamil Khir Baharom supaya menangkap Mat Sabu.

Satu tindakan angkuh (atau daripada satu segi seperti mahu mempermainkan Jamil). Seorang Perdana Menteri pun tidak wajar bertindak demikian kepada anggota kabinetnya.

Dua tiga teman wartawan bertanyakan saya, "benarkah Zahid ada masalah peribadi dengan Mat Sabu?" Mereka agak pelik mengapa menteri yang dilihat celupar dan berlagak samseng itu seperti sengaja mengapi-apikan perseteruan.

"Hairan ya, waktu Najib (Razak) mahu mewujudkan suasana lebih kondusif untuk perbincangan Umno-PAS, Zahid mengisytihar perang kepada orang no. 2 PAS," tambah seorang daripada wartawan tersebut.

Saya mengajukan soalan sama kepada Mat Sabu, walaupun saya sudah tahu jawapannya: "Tak ada masalah personal." Beliau tetap tenang tidak mahu melatah dengan perangkap. Dalam satu pertemuan dengan wartawan online, Mat Sabu sekadar berkata, isu-isu berkaitan Syiah hanya akan dijawabnya di mahkamah.

"Saya tak ada bergaduh personal, saya kalau jumpa mereka (pemimpin Umno) rapat semua termasuk yang paling kuat saya serang dahulu, Tan Sri Muhamad Muhd Taib (bekas Menteri Besar Selangor). Sekarang dia kawan baik. Macam Zahid Hamidi juga, tiada apa-apa personal dengan dia," katanya.

Seorang rakan karib, yang pernah rapat dengan Zahid, mempunyai persepsi lebih tajam: "Aku tak hairan kalau ada tokoh-tokoh Umno yang sedia gedebe berlagak samseng, tapi bagi orang macam Zahid, yang suka mempamerkan dirinya seperti watak beragama, selalu memetik satu dua ayat-ayat Quran, tetapi bertindak di sebaliknya, amat jelik sekali."

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar dalam msomelayu.blogspot.com, ketika mengulas tindakan undang-undang Mat Sabu terhadap Zahid, merakamkan: "Zahid Hamidi harus diajar sama ada di mahkamah atau pun dalam politik. Orang seperti  Zahid tidak boleh dibiarkan dan dimaafi lagi. Perbuatan, tingkah lakunya sudah cukup untuk mengenali siapa dia sosok ini dan banyak kenyataan dan aksinya mencederakan keharmonian orang Melayu."

Tuduhan dan label Syiah memang menjadi-jadi mutakhir ini. Bukan sahaja Mat Sabu, saya sendiri turut terpalit.

Puncanya kerana Harakah dilihat tidak bersedia untuk mengkafirkan Syiah dan beberapa kali turut merakamkan penghargaan tinggi kepada pemimpin Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini dan Setiausaha Agung Hizbullah Lubnan, Hasan Nasrallah.

Malah, apabila kami menyiarkan beberapa siri ulasan panjang dan menyeluruh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dengan hujah dan sanggahan konkrit, tetapi dianggap sebagai bersikap lunak kepada Syiah, Harakah juga dipersalahkan.

Saya tertarik dengan kebijaksanaan Tuan Guru menangani isu ini, bagaikan seorang negarawan ulung, melihatnya dalam konteks politik antarabangsa yang cukup matang, dan berupaya mendedahkan perancangan licik kuasa-kuasa Barat untuk memusnahkan negara-negara strategik Timur Tengah.

Ketika rakyat dihadapkan dengan pelbagai isu kenaikan kos hidup yang cukup menekan, terutama menjelang tahun baru, bermula peningkatan harga bahan bakar, rasionalisasi subsidi gula, kadar tarif elektrik dan tol, cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur serta harga barangan asas yang mencanak tinggi, perhatian umum cuba dialihkan kepada persoalan yang mudah membakar sentimen.

Pengalaman saya yang sering berurusan dengan hospital juga mendedahkan kenaikan kos rawatan perubahan begitu memeritkan. Tempoh menunggu yang panjang di hospital kerajaan, selain kekurangan pakar, membuatkan ramai yang terpaksa memilih hospital swasta, apatah lagi yang ditimpa penyakit kronik, seperti kanser. Klinik kerajaan juga tidak menyediakan semua ubatan yang diperlukan. Pesakit terpaksa membeli di luar dengan harga yang tinggi.

Apakah serangan berterusan kepada Mat Sabu bertujuan untuk memusnahkan potensi tokoh mobilisasi rakyat itu daripada memberi tumpuan menggembleng kekuatan akar umbi, yang semakin muak dan jelak dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji pilihan raya? Dipercayai beliau akan menerajui siri demonstrasi besar-besaran, termasuk melibatkan golongan pekerja, selain himpunan Bersih 4.0.

Dalam pada itu, saya baru menyedari hampir semua lebuh raya di sekitar Lembah Klang akan mengalami peningkatan kadar tol bermula 1 Januari depan. Dan untuk laluan ulang-alik saya dari Ampang ke pejabat di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, khabarnya cadangan kadar untuk Lebuhraya Bertingkat Ampang (Akleh) akan meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.50, iaitu kenaikan sekitar 67 peratus.

Lebih malang apabila menteri berkaitan, Abd Wahid Omar, meneruskan tradisi pemimpin gred B Umno-BN yang memberi kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan kadar yang dicadangkan. Sudah hilangkah sentuhan nurani anggota kabinet Najib Razak terhadap penderitaan rakyat?

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli baru-baru ini mendedahkan, tanpa kenaikan kadar tol sekalipun, pemegang konsesi tetap meraih keuntungan berganda.

"Tidak banyak perniagaan di negara ini yang mencapai peratus untung bersih sehinga 61 peratus seperti Plus Berhad. Kos untuk menyenggara lebuh raya hanyalah 6 peratus daripada jumlah kutipan tol," tegasnya.

Lebuhraya Kesas, tambah Rafizi, mencatatkan keuntungan berganda sehingga 121 peratus secara terkumpul di antara tahun kewangan 2008 hingga 2013. Pada masa sama, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya semakin meningkat.

Rupa-rupanya "bisnes tol" ini cukup menguntungkan! Kalau aliran trafik tidak seperti diunjurkan, pemegang konsesi akan diberikan pampasan, 'kan? Malah, dahulu dalam kes tol Jalan Kuching (kes klasik penswastaan lebuh raya yang cukup menguntungkan), tempoh konsesi dipanjangkan dengan alasan untuk melakukan penambahbaikan, seperti membanyakkan lorong, tetapi tidak dilaksanakan.

Terbukti elit Umno-BN memandang mudah dan meremehkan janji dan komitmen yang dilafazkan bagi membeli sokongan berterusan rakyat. Contoh paling nyata, dalam manifesto PRU13, BN menggariskan akujanji secara khusus untuk mengurangkan kadar tol dalam kawasan sekitar Lembah Klang secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Seperti juga kes penggantungan mingguan berita The Heat, yang bercanggah dengan janji-janji keterbukaan dan transformasi politik Najib. Semasa naik takhta menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapan sulungnya, Najib turut membebaskan penggantungan permit Harakah tetapi kini akhbar yang mengkritik perbelanjaan boros beliau dan isterinya menerima padah.

Balik kepada tuduhan rasmi KDN terhadap Mat Sabu, yang menyenaraikan 10 bukti "gred B", melalui sidang akhbar Ketua Setiausaha, Abdul Rahim Mohamad Radzi, 12 Disember.

Banyak pihak meminta Harakah menyiarkan kembali tulisan Mat Sabu bertajuk Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini, yang tersiar dalam sisipan Fikrah, 15 Julai 2008.

Pertama, harus dijelaskan, seperti lazimnya, pihak editor (yakni saya sendiri) yang memilih tajuk kolum Membedah Demokrasi itu, bukannya Mat Sabu.

Artikel separuh halaman itu cuba menggambarkan pemerintahan prorakyat, yang mengambil berat penderitaan dan kesusahan setiap warga, tanpa pilih kasih. Misalnya, semasa Mesir menghadapi krisis ekonomi dan catuan makanan, Nabi Yusuf a.s. memberikan layanan sama kepada keluarganya sendiri.

Keadilan dan kebijaksanaan Nabi Yusuf mengendalikan masalah ekonomi dengan tujuh tahun berjimat cermat membawa kemewahan untuk tujuh tahun berikutnya.

Mat Sabu juga mengemukakan contoh pemerintahan Mao Tse Tung, yang terpaksa membuat catuan makanan di seluruh pelosok China, selepas revolusi 1949. Pemimpin mengikat perut bersama rakyat yang ditimpa krisis makanan. China kemudiannya menapak untuk terus maju.

Contoh ketiga yang ditonjolkan Mat Sabu adalah kejayaan Khomeini berdepan kepungan Amerika Syarikat dan sekutunya, serta regim Arab, termasuk Saddam Hussein yang melancarkan serangan ke atas Iran pada 1980.

Kehidupan Ayatullah yang begitu sederhana, yang tinggal di sebuah rumah teres di utara Tehran, cukup dekat dengan rakyat yang terhimpit. Bagaimanapun, penduduk Iran reda dengan kesulitan yang menimpa disebabkan pemimpin mereka sedia susah bersama.

Tulisan itu turut menyentuh soal kenaikan 40 peratus harga minyak di Malaysia yang membawa kesusahan kepada rakyat. Meskipun Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri menyeru rakyat mengubah cara hidup ke arah kesederhanaan, tetapi ia tidak berkesan disebabkan gaya hidup beliau sendiri. Ditambah pula Laporan Audit Negara yang mendedahkan pembaziran dan penyelewengan di Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib.

"Rakyat tahu bagaimana isteri beliau berbelanja terutama bila berada di luar negara. Dari mana wang begitu banyak dibelanjakan. Bolehkan orang seperti Rosmah menyeru rakyat supaya bersederhana dan ikat perut?

"Jauh sekali seruan Najib dibandingkan dengan Imam Khomeini dan Mao Tze Tung. Amat tidak boleh dibanding langsung dengan catuan ekonomi dan bekalan dibuat oleh Nabi Yusuf semasa menghadapi krisis makanan dan krisis ekonomi," Mat Sabu menutup tulisannya, yang dijadikan bukti oleh KDN.

Bagi saya, Mat Sabu konsisten dalam tulisannya, yang begitu prihatin dengan nasib golongan bawahan dan kepentingan pemerintah yang berjiwa rakyat. Kalau lima tahun lalu beliau tersentuh dengan harga sepinggan nasi kosong RM1.50, baru-baru ini dia mengeluh harganya sudah meningkat sampai RM3.00.

Bukti "gred B" itu sebenarnya lebih menyerlahkan sosok Mat Sabu sebagai pemimpin yang merakyat dan berhasrat tinggi untuk menyediakan Malaysia yang lebih sejahtera, adil dan damai buat setiap warganya.

Dan beliau menghargai kebaikan dari mana saja, tidak kira bersumberkan Khomeini, Mao Tze Tung, apatah lagi teladan unggul para Nabi yang sewajibnya diikuti.
Rakyat marah kerana:

1. kerajaan dan pemimpin tidak dilihat berkongsi beban bersama rakyat.

2. beban sepenuhnya dilihat ditanggung rakyat sepenuhnya.

3. mengambil jalan mudah dengan menaikkan kadar tanpa memikirkan alternatif lain

4. menggunakan alasan untuk menguatkan ekonomi negara walhal yang merosakkan kewangan negara ialah keborosan, ketirisan, pembaziran, salahguna kuasa dan rasuah dan bukan sepenuhnya pada subsidi yang diberikan pada rakyat.

5. memberikan hujah-hujah menyokong kenaikan kadar yang tidak masuk akal dan menyinggung perasaan rakyat

6. tidak pernah melihat kerajaan mengambil inisiatif untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerajaan terlebih dahulu sebelum menasihatkan rakyat untuk menanggung beban.

Sepatutnya:

1. Kerajaan patut mengumumkan janji untuk mengurangkan bil elektrik Seri Perdana dan semua kementerian sebanyak 15 peratus (kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan gaji Menteri dipotong RM100) tatkala tarif elektrik diumumkan naik supaya dilihat kerajaan turut berjimat.

2. Kerajaan juga patut mengumumkan elaun-elaun minyak pada kabinet dimansuhkan tatkala ingin mengurangkan beban subsidi minyak supaya para pemimpin memahami kesusahan rakyat.

3. Bayaran tol tidak lagi boleh diclaim oleh para menteri kabinet selepas harga tol dinaikkan supaya turut sama menyelami beban rakyat.

4. Kerajaan patut membuat permohonan maaf terbuka kerana terpaksa meningkatkan kadar akibat sikap boros kerajaan dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

5. Kerajaan berjanji untuk tiga bajet akan datang tidak sesekali lagi untuk meminta bajet tambahan untuk menampung pembelanjaan

6. Para kabinet menteri tidak boleh mengambil bonus.

7. Mengarahkan konsesi tol yang saham majoritinya dimiliki kerajaan untuk membatalkan perjanjian tol yang berat sebelah dan membuat perjanjian baru berdasarkan kadar tol yang tetap sehingga tol ditutup apabila keuntungan yang disasarkan tercapai.

8. Mengarahkan TNB jangan menyakitkan hati rakyat dengan memberikan bonus lumayan kerana keuntungan mereka datang daripada duit rakyat.

Jika ini sanggup dilakukan kerajaan, kemarahan rakyat akan berkurang kerana rakyat akan merasakan ini sebahagian daripada tanggungjawab bersama untuk sama-sama bersusah dengan kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Sekarang yang dirasai rakyat ialah konsep "rakyat didahulukan" diaplikasikan sepenuhnya tapi pada cara yang salah - rakyat didahulukan menjadi mangsa untuk 'cover' kelemahan pentadbiran kerajaan.

Jika anda tidak dapat menjadi penulis yang memberi manfaat, jadilah pembaca yang memberi manfaat dengan berkongsi tulisan ini. Senyum
Suka saya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkaitan sikap kerajaan BN berhemah berbanding cara PR yang lebih mementingkan tindakan populis dalam polisi kerajaan mereka.

PM menegaskan 1.4 juta penjawat awam adalah tulang belakang dan teras pentadbiran mesti memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan supaya persepsi kepada kerajaan lebih meyakinkan.

Pada saya, penegasan ini tidak akan mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik apalagi memaksa persepsi rakyat untuk mengatakan kerajaan BN amat berhemah dan bagus.

Secara sedar ataupun tidak, penjawat awam juga merupakan rakyat yang hanya diberikan tugas untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Dasar ini ditentukan oleh PM.

Oleh itu, andainya PM ingin meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam dan mengubah persepsi rakyat ke arah yang lebih baik, maka PM wajib menggariskan dasar-dasar yang bagus untuk rakyat dan dilaksanakan oleh penjawat awam.

Akhirnya, penjawat awam juga merasa selesa dengan dasar-dasar tersebut. Barulah timbul rasa menghargai antara penjawat awam dan rakyat kepada kerajaan.

Lalu apakah dasar yang dilaksanakan oleh PM tidak bagus untuk rakyat? Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan amat sinis maksudnya.

Apa yang saya fahami sekarang, rakyat memang didahulukan untuk menanggung segala bebanan kerajaan sedangkan pencapaian kemajuan dan ekonomi negara diutamakan tanpa menuntut pengorbanan PM dan menteri-menteri.

Bila negara mengalami masalah kewangan, maka rakyatlah terdahulu perlu mengorbankan poket mereka. Rakyat wajib berjimat cermat. Rakyat dimomokkan dengan kewajipan berjimat cermat.

Sekiranya boros, umpama berkawan dengan syaitan. Sedang PM dan pak menteri terus mewah dengan harta negara bagaikan harta sendiri.

Atas nama rasionalisasi subsidi, harga minyak dinaikkan, harga barang-barang melambung, caj elektrik naik, harga tol juga ingin dinaikkan lagi dan entah apa lagi harga yang akan meningkat.

Yang pasti, penjawat awam, penjawat swasta dan rakyat marhaen sudah lama menahan penderitaan kesusahan ini. Padahalnya, masalah kewangan Negara akibat salah urus oleh PM sendiri.

Ada yang mencabar pak-pak menteri membelanjakan hanya RM2,00 dalam sebulan tanpa mengambil gaji dan berbagai elaun lain yang angkanya belasan ribu. Rasailah keperitan yang kami rasakan.

Cukupkah RM2,000 ini untuk membayar sewa flat, membeli keperluan isi rumah, membayar sewa beli kereta, petrol, tol, bil-bil, susu, pampers dan kos asuhan anak-anak? Bagaimana pula rakyat yang bergaji kurang RM2,000?

Apakah kami boleh menggores kad kredit bila gaji kami tak cukup atau kami boleh meluluskan peruntukan tambahan atau kami boleh mengisi borang claim seperti pak-pak menteri?

Hemat saya, lebih baik kerajaan yang populis dari kerajaan berhemah PM kerana yang populis itu lebih mementingkan kebajikan rakyat. Ia takkan popular kalau rakyat terbanyak benci dan rakyat hanya sayang bila kerajaan menjaga kebajikan mereka.

Sudah terbukti kerajaan populis PR tidak bankrap, malah lebih cemerlang dari kerajaan berhemah PM yang sebelumnya. Penjawat awam pula akan melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan lebih baik bila mereka merasakan dasar tersebut untuk kebaikan mereka jua. Kepada PM, dengarlah isi hati kami rakyat ini.

Penulis ialah Ketua Unit Media Baru, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Sekalipun sekalian rasa terancam dan perit atas kenaikan tinggi tarif eletrik mulai Januari 2014 ini, tetapi kata Ketua Pegawai Eksikutif Suruhanjaya TNB, Dato Ir Ahmad Fauzi Hasan, pulangannya belum cukup untuk menampung kos operasi TNB.
   
Ia masih terpaksa meminjam lagi bagi memenuhi keperluan suruhanjaya itu .
   
Ertinya jika kita mahu perkhidmatan elektrik negara berjalan lancar, maka pengguna terpaksa memikul sama beban yang ditanggung oleh TNB.
   
Dia telah memberikan penjelasan terperinci tentang beban yang dihadapi dan langkah yang diambil termasuk menstruktur semula perasana yang ada supaya ia berada di posisi yang terkini.
  
Dia ada alasan dan semuanya patut kesian atas beban dan amanah yang ditanggung oleh TNB.
  
Tetapi masalah kita ialah masalah dan beban penderitaan yang ditanggung oleh pengguna yang menjadikan mereka sebagai golongan yang tertindas. Adakah kerajaan dan masyarakat yang adil dapat membenarkan pengguna menderita bagi meneruskan kehidupan dan dapat menikmati hasil kemerdekaan.
    
Adalah benar pada zaman tidak membangun dulu rakyat tidak menghadapi banyak  beban hidup. Kerajaan penjajah dan selepas merdeka menampung apa yang ia terdaya untuk memberi kebajikan kepada penduduk supaya tidak terbeban. Kerajaan memungut cukai dan kerajaan berikan  apa yang  ia boleh beri supaya rakyat tidak tertindas dalam negaranya sendiri.
    
Apabila kita menuju negara maju maka kerajaan mengambil langkah kapitalisma yang drastik melepaskan segala tanggungjawab sosial kepada swasta. Tujuannya kerajaan tidak lagi dibebankan tanggungjawab sebuah masyarakat adil dan supaya rakyat dapat menimkati kemewahan hidup yang  lebih baik.
   
Maka perkhidmatan tenaga antara perkhidmatan sosial yang  diswastakan. Apabila diswastakan maka kerajaan tidak perlu memiikirkan soal kewangan bagi memodenkan perkhidmatannya. Penswastaan akan menjadikan pengguna lebih selesa dan jaminan kebajikan dan kehidupan yang lebih baik.
    
Sebelum diswastakan, maka segala keperluan perkhidmatan dan kekurangan ditampung oleh kerajaan. Jika kerajaan kurang peruntukan, maka kerajaan bekerja mengikut cara orang yang kurang kecukupan, tetapi pengguna sentiasa dapat layanan adil.
    
Tetapi apabila ia diswastakan, maka swasta bebas menggunakan segala-gala yang terbaik dan untuk mendapat semua yang terbaik itu pengguna tidak lagi dapat bermanja, terpaksa membayar semuanya.
    
Kerajaan sedia untung dan sedia rugi. Swasta hanya sedia untung dan tidak sedia rugi. Apabila ia tidak sedia rugi, maka ia mesti dapatkan sebanyak-banyak dari pengguna. Mungkin perkhidmatan dalam kerajaan gaji ketua pengarah tidak tinggi, tetapi apabila ia jadi swasta, semua yang di atas itu gajinya lebih tinggi dari sara Sultan.
    
Contoh yang selalu disebut. CEO Syabas dikatakan berpendaptan RM400,000 sebulan. Apabila  perbelanjaan tinggi, ia tidak sedia beri air murah seperti yang dikehendaki oleh kerajaan Selangor.
    
Yang disebut oleh pegawai suruhanja tenaga itu adalah contoh matlamat swasta tidak seindah yang Dr Mahathir sangka dan wawaskan.
    
Alhasilnya perkhidmatan pra swasta tidak menjadikan pengguna sebagai hamba dan rakyat dalam negara demokrasi boleh memilih kerajaan yang lebih baik, tetapi pengguna tidak boleh tukar persyarikatan yang memonopoli  sesuatu perkhidmatan.
    
Kita sedang menyaksikan sukar kerajaan Selangor hendak memberi air murah kepada rakyat. Penswastaan tidak boleh  dibatalkan kerana terikat dengan  undang-undang  dan perjanjian. Untuk mengambil alih perkhidmatan air, kerajaan terpaksa membeli syarikatnya dengan harga yang terlalu tinggi.
    
Kemelut yang dihadapi oleh negara dan pengguna atas krisis kenaikan tarif eletrik  ialah tanda kegagalan penswastaan yang nyata. Dr Mahathir yang memperkenalkan dasar  itu masih hidup dan dapat melihat pengguna terbelenggu dengan sistem penindasan.
KUALA LUMPUR: Kemalangan bas di Genting Highlands pada Ogos lepas mencatat sejarah sebagai kemalangan jalan raya paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun di negara ini.
Tragedi itu mengorbankan 37 orang apabila bas ulang-alik Genting Highlands ke Kuala Lumpur yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM 3.5 Jalan Genting Highlands, pada 21 Ogos.
Semasa kejadian kira-kira pukul 2.45 petang, bas tersebut sedang menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu kota.
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati beberapa faktor yang menyebabkan kemalangan itu, antaranya bas dipandu laju melebih 50 kilometer sejam ketika menuruni kawasan bukit, selain brek tidak cekap berfungsi.
Operasi membantu dan menyelamat yang dilaksanakan lebih 150 anggota bomba serta beberapa lagi agensi dilihat sebagai antara operasi paling cemerlang dan teratur kerana dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata dalam tempoh enam jam, petugas berjaya menyelamat dan membawa keluar 16 mangsa yang cedera.
Tragedi bot karam di Sungai Rejang Sarawak pada 28 Mei semasa musim perayaan Hari Gawai turut menyentuh perasaan rakyat negara ini apabila bot ekspres yang sarat dengan lebih 100 penumpang terbalik.
Tiga penumpang maut, manakala selebihnya terselamat setelah mereka berjaya berenang ke tebing sungai dan diselamatkan penduduk rumah panjang berhampiran tempat kejadian setelah bot yang mengalami masalah enjin, terlanggar sebatang balak yang hanyut dan karam semasa menyusuri Sungai Rajang, Sarawak dekat Jeram Giam.
Pada 6 Jun pula, empat maut apabila Perodua Kelisa yang dinaiki mereka, dihempap runtuhan sebahagian rangka susur masuk Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Runtuhan terbabit dianggarkan seberat 200 tan dan sepanjang 50 meter.
Menurut laporan awal, ketidakstabilan besi penyokong pada struktur pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dipercayai menjadi punca struktur itu runtuh.
Di Kudat, dua maut dan 16 lagi cedera apabila pesawat Twin Otter MASWings yang terhempas semasa mendarat telah terkeluar dari landasan lapangan terbang lalu merempuh sebuah rumah di kawasan itu pada 10 Okt.
Pesawat yang dinaiki 18 orang itu terhempas di Kampung Sinsan, mengakibatkan pembantu juruterbang dan seorang penumpang mati, enam penumpang cedera manakala 10 orang lagi diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Kudat.
Pada 23 Okt, ketenangan di Cameron Highlands terganggu apabila banjir lumpur dan tanah runtuh di Bertam Valley, Cameron Highland meragut nyawa tiga orang, seorang dilaporkan hilang manakala seorang cedera selain 80 buah rumah serta kira-kira 100 kenderaan musnah.
Kejadian itu berlaku selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku pengendali empangan hidroelektrik Sultan Abu Bakar di Ringlet, terpaksa melepaskan air bagi mengelakkan empangan itu pecah berikutan hujan lebat berterusan sejak 22 Okt.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu berkata pelepasan pertama air empangan dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada jam 1 pagi dan seterusnya pada 2.45 pagi, menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah secara mendadak dan menyebabkan banjir kilat.
Dalam pada itu, TNB menjelaskan pelepasan air menerusi alur limpah di empangan Sultan Abu Bakar dibuat mengikut prosedur operasi yang ditetapkan.
Pada 30 Okt, tiga jemaah yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji maut manakala tiga parah, apabila van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Lebuhraya Pantai Timur.
Pada awal Disember, tiga maut dan lebih 40,000 penduduk di Pahang dan Terengganu terpaksa menghuni pusat pemindahan akibat banjir berikutan hujan luar biasa sejak 30 tahun lepas.
Keadaan itu diakui Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, anak kelahiran Kemaman, yang menyifatkan fenomena banjir kali ini sebagai luar biasa berikutan sukatan air hujan melebihi had sukatan biasa.
Kejadian banjir itu turut menyebabkan kira-kira 1,072 buah pencawang elektrik di beberapa daerah negeri Pahang ditenggelami air menyebabkan TNB menghentikan bekalan elektrik membabitkan 62,907 pengguna.
TNB juga menghentikan operasi lebih 382 pencawang elektrik di Pahang dan Terengganu berikutan banjir yang melanda kedua-dua negeri itu, menyebabkan dianggarkan 19,356 pengguna mengalami gangguan bekalan elektrik.
Banjir itu bagaimanapun dalam satu sudut 'berjaya' menyatupadukan rakyat Malaysia apabila semua tanpa mengira bangsa, agama dah fahaman politik turut menyumbang tenaga, wang ringgit kepada mangsa banjir.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan khas berjumlah RM500 kepada mangsa banjir. - Bernama
TAWAU: Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (gambar)  hari ini meminta Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof agar meninjau keadaan jalan raya di Tawau dan Kalabakan.

Ini kerana katanya keadaan jalan di kedua-dua daerah itu amat daif dan memerlukan perhatian segera daripada kerajaan pusat.

Menurutnya jalan yang runtuh di Km 30 Jalan Apas-Balung sejak setahun lalu juga masih belum dibaik pulih.

Jangan tunggu dibangkitkan di Parlimen, baru hendak diambil tindakan, katanya kepada Bernama di sini.

Mengulas pembangunan di Kalabakan, Abdul Ghapur yang juga Ketua Umno Kalabakan berkata beberapa kawasan di daerah itu akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan.

Ini termasuk pembinaan kemudahan rehat dan rawat di persimpangan Luasong, Jalan Kalabakan-Keningau, katanya. - Bernama

 

 

 

Tiada ulasan: