Khamis, 19 Disember 2013

JANGAN TINDAS RAKYAT...MUNGKIN RAKYAT YANG DITINDAS AKAN MENDOAKAN SUPAYA ALLAH BALAS SETIMPAL KEZALIMAN SERTA JAHATNYA SEBAB MENINDAS

KUALA LUMPUR: PAS berpandangan kerajaan tidak perlu menaikkan kadar tol pada tahun hadapan sekiranya syarikat konsesi berjaya mencapai kadar pulangan pelaburan (IRR) yang lebih tinggi.

Lebih-lebih lagi, perjanjian konsesi itu dimeterai berpandukan andaian jumlah kereta yang melalui lebuhraya tersebut, yang menentukan angka peratus kadar pulangan pelaburan itu dipilih.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata beberapa lebuhraya sekitar Lembah Klang seperti Akleh dan NPE di tengah-tengah bandar yang mendapat 'traffic volume' yang tinggi.

"Maka Average Daily Traffic (ADT) adalah tinggi sekaligus meletakkan lebuhraya seperti Akleh dan NPE mampu mencapai IRR yang lebih tinggi dari yang diberikan dalam konsesi.

"Kalaulah mereka boleh mencapai, contohnya IRR 12 peratus lebih awal lagi, maka konsesi tidak perlu dilanjutkan dan kenaikan juga adalah tidak perlu," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Dr. Dzulkefly, terma konsesi sesetengah lebuhraya memang menetapkan seandainya projek IRR dapat dicapai lebih awal maka konsesi tidak disambung.

Justeru, katanya kerajaan perlu bersikap adil dan telus berhubung IRR yang diperolehi syarikat konsesi terbabit.

"Sebab itu juga mereka mesti diaudit dan mendedahkan prestasi syarikat dan angka-antara Ramalan vs Sebenar atau 'Forecat vs Actual'," tambahnya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau yang turut kecewa dengan kenyataan menteri yang memberi kata dua kepada rakyat, sama ada menggunakan laluan bertol ataupun tidak bagi yang tidak mahu membayar tol.

Dzulkefly berkata, kerajaan perlu menyediakan rangkaian jalan raya yang berkualiti bagi membolehkan rakyat membuat pilihan.
KUALA LUMPUR: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) akan menganjurkan satu protes berikutan kadar tol yang dikatakan akan meningkat pada tahun hadapan.

Penyelaras Protes, Dr. Mohd Hatta Ramli berkata perincian berkaitan protes itu akan dibincangkan bersama jawatankuasa Protes yang lain sebelum satu kata putus diambil berhubung perkara itu.

Tegas Dr. Hatta, tindakan ke arah tersebut perlu dilakukan memandangkan kerajaan hari ini tidak mengendahkan kemarahan dan kebimbangan rakyat yang memuncak kebelakangan ini ekoran kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Perbincangan itu, katanya akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Kita lihat langkah untuk mengadakan protes ini memang perlu dilakukan. Rakyat sudah semakin terbeban dengan pelbagai kenaikan sebelum ini.  Namun, kerajaan tidak ambil peduli segala kecaman rakyat.

"Malah, ada pula menteri yang mencadangkan supaya sesiapa yang tidak mahu membayar tol, perlu menggunakan jalan lain. Ini kenyataan tidak bertanggungjawab daripada seorang menteri. Jadi, rakyat akan turun membantah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut cadangan kenaikan kadar tol itu, Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, berkata jika kenaikan itu menjadi kenyataan ia hanya akan menambahkan lagi beban warga kota, lebih-lebih lagi dikatakan tol yang terbabit melibatkan sekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, lebuhraya di sekitar Lembah Klang itu bukan sekadar jalan hubungan biasa, sebaliknya merupakan jalan harian yang terpaksa dilalui untuk warga kota ke tempat kerja.

"Malah, ada di kalangan mereka yang terpaksa masuk dua hingga tol untuk menuju ke tempat kerja. Jadi beban kadar tol itu akan dihadapi mereka berkali-ganda dalam tempoh sehari perjalanan ulang-alik dari rumah ke tempat kerja," kata beliau.

Tambah beliau, jika rakyat selepas ini memilih untuk menaiki motorsikal, ia bukan sebenarnya kehendak mereka sebaliknya terpaksa berbuat demikian demi menjalani kehidupan lebih berjimat-cermat.

Pilihan itu, katanya hanya akan meningkatkan lagi risiko mereka di jalan raya yang sepatutnya menjadi perhatian dan penelitian para menteri sebelum membuat sebarang keputusan.

Difahamkan, tol-tol yang terbabit dengan kenaikan itu di sekitar Lembah Klang ialah Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dari RM1.30 ke RM2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) RM1.60 - RM2), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) (RM1.60 - RM2.10), Lebuhraya Bertingkat Ampang (Akleh) (RM1.50-Rm2.50), Lebuhraya SILK (RM1 - RM1.30), Lebuhraya MEX (RM2.50-3.50), Lebuhraya Lekas (RM1.90-RM2.30), Lebuhraya Sprint (RM1.50-RM2.50), Lebuhraya Pantai (RM1.50-RM2.50), Lebuhraya Damansara (RM1-1-RM1.50), Lebuhraya Kiara (RM2-RM3), Lebuhraya Guthrie (RM1.40-RM1.90) dan Lebuhraya Smart (RM2-RM3).
SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Pusat memandang serius tindakan kerajaan BN menaikkan harga barangan keperluan asas dan perkhidmatan yang melampau kerana ia amat tidak prihatin, menindas dan membebankan rakyat.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan langkah kerajaan BN merasionalisasikan subsidi  secara  mendadak dan berlaku secara bertindan memburukkan keadaan menekan majoriti rakyat yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau berkata, kenyataan Menteri yang menyebut kenaikan harga petrol dan tarif elektrik serta pengurangan subsidi tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat adalah satu kenyataan yang dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, rakyat terutama golongan muda perlu bersuara  secara vokal agar rintihan mereka didengari dan seterusnya menggesa pihak kerajaan agar mengambil langkah yang konkrit lagi drastik agar rakyat tidak terus-terusan tersepit dan terbeban.

"Orang ramai terutama ibu bapa dan anak-anak muda di samping harus bersabar dalam menghadapi kesempitan ekonomi," tegasnya.

Tambah beliau, tindakan menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dengan cara menekan dan menindas rakyat adalah tidak adil sama sekali.

"Apa gunanya status negara maju atau negara berpendapatan tinggi sekiranya kemajuan dan kekayaan itu tidak dapat dinikmati bahkan tidak langsung membantu memudahkan atau meningkatkan taraf hidup majoriti rakyat," tegasnya.

Ditambah dengan masalah ketirisan dan pembaziran wang rakyat sebagaimana yang dilapurkan dalam laporan Audit Negara setiap tahun masih berleluasa dan tidak diambil perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Sebaliknya kata beliau negeri-negeri dibawah Pakatan Rakyat seperti kerajaan Selangor telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang cemerlang dan setakat 27 November 2013, hasil negeri yang dikutip berjumlah RM1.89 bilion, iaitu 16 peratus melebihi anggaran hasil.

Beliau berkata, lanjutan itu kerajaan Selangor telah memberi insentif satu bulan bonus  untuk kakitangan awam sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini  berbanding Kerajaan Pusat yang hanya memberi RM500 sahaja.

Begitu juga katanya Kerajaan Pulau Pinang dan Kelantan yang  terkenal dengan dasar perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru rakyat  sedar bahawa peranan mereka dalam memilih kepimpinan amat penting bagi menjamin nasib rakyat terus terbela dengan pemimpin yang berintegriti, beriman dan amanah.

"Cukup sudah kita termakan dengan gula-gula dan terlena dengan senandung pihak kerajaan yang bermuka-muka  memberi pelbagai janji untuk membantu rakyat sebelum PRU13.

“Setelah PRU13 mereka bertindak tanpa belas kasihan serta hilang kewarasan demi menjaga kedudukan dan kepentingan politik mereka semata-mata," tegasnya.

Tambahnya, setiap hari rakyat disajikan dengan berita kenaikan barangan mahupun perkhidmatan ditambah kenaikan harga petrol yang menyebabkan rakyat terbeban dengan kesan domino ditambah kadar tarif elektrik dan tol akan naik bermula tahun 2014. 
KOTA BHARU: Isu syiah yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, hanya kerana dendam politik bagi ‘memerangkap’ pemimpin serta parti itu semata-mata.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerana ingin memburukkan imej parti Islam itu pada mata umum, pemimpin Umno sanggup membuat dakyah baru.

“Sekiranya pemimpin  Umno ingin memerangi Syiah, kenapa pengikut ajaran itu sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Kedah tidak ditangkap,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Umno sebenarnya tiada ‘modal baru’ untuk dihidupkan bagi menarik sokongan, sebaliknya ‘memerangkap’ orang nombor dua pimpinan PAS kononnya terlibat dengan fahaman Syiah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu Syiah yang masih belum berakhir melibatkan Mohamad Sabu di samping tindakan undang-undang yang bakal diambil olehnya.

Jelas Tuan Guru, tetapi orang yang mengaku Syiah sebagaimana di Kedah baru-baru ini tidak pula diambil tindakan.

Pada pertemuan itu juga Tuan Guru turut mengakui rakyat semakin berhadapan dengan tekanan harga keperluan harian yang makin mendesak.

“Kenaikan tol, tambang LRT, cukai itu dan ini semuanya akan memberi tekanan pada rakyat,” ujarnya.

Ujarnya lagi, MCA pun semakin jauh dengan Umno dan Melayu semakin celik bahawa hanya Islam yang boleh menyelamatkan manusia.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menyerahkan kepada panel peguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan Syiah.

Beliau berkata, barisan peguam akan memfailkan saman ke atas Zahid sahaja yang juga Naib Presiden Umno, kerana pencetus fitnah ke atas dirinya.

"Saya hari ini menyerahkan kepada panel peguam untuk mengambil tindahan ke atas Zahid berhubung ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Umno yang mengaitkan saya sebagai pemimpin Syiah.

"Peguam hanya akan bertindak ke atas Zahid sahaja kerana beliau merupakan pencetus fitnah tersebut, yang bagi saya didasari niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan integriti saya," jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi. (Gambar atas)

Beliau mengambil keputusan untuk tidak akan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan Syiah sehinggalah perkara tersebut dibawa ke mahkamah.

Mohamad juga meminta agar panel peguam meneliti ucapan Zahid pada perhimpunan tersebut yang mana wujud penyalahgunaan kuasa sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Beliau dalam ucapanya menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan ke atas saya.

"Saya yakin ini satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana semua tahu Jakim bukan terletak di bawah bidang kuasa KDN, maka atas dasar apakan KDN boleh dengan secara arbitrari memberi kuasa kepada Jakim untuk bertindak," katanya.

Beliau juga akan membuat satu laporan polis terhadap Zahid atas kenyataan  yang tidak bertanggungjawab dan berharap pihak polis dapat menjalankan tanggungjawab seadil yang mungkin.

Sementara itu, Peguam Mohamed Hanipa Maidin memberitahu pihaknya akan menghantar notis kepada Zahid seberapa segara untuk menarik balik dan memohon maaf dalam masa tiga hari.

Katanya, notis tersebut hanya ditujukan kepada Zahid dan tidak melibatkan KDN.

"Notis kita hanya tertumpu kepada Zahid saja bukan melibatkan KDN, sebab bagi kita Zahid merupakan pencetus kepada fitnah tersebut," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Beliau tidak mengulas tentang bukti yang dikemukakan oleh KDN dan berharap jika Zahid mahu membuktikannya perlu dibawa ke mahkamah.

"Zahid telah memfitnah dan kita harap beliau dapat buktikan apa yang beliau katakan Mat Sabu sebagai pemimpin Syiah, tunjukkan bukti, Syiah itu mengancam keselamatan negara, sila buktikan apa yang telah berlaku dan Mat Sabu sesat, kita juga mahu bukti.

"Kalau ada kenyataan mengatakan bukti gred A atau B, biar mahkamah yang menentukan bukannya mereka yang membuat kenyataan.

"Kita tidak akan menyaman KDN tetapi kita ingin bertemu Zahid di mahkamah," tegas beliau.

Beliau berkata, Zahid sebagai menteri tidak boleh menggunakan kuasa untuk mengarahkan pihak tertentu kerana setiap siasatan dilakukan melalui laporan yang dibuat bukannya secara arahan terbuka dan fitnah.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Peguam Nasar Khan Mirbas Khan dan Aminuddin Zulkifli.

(Dari kiri) Salahuddin, Mohamad, Mustafa dan Mahfuz pada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini. (Foto: Nasir Sudin)
KUALA LUMPUR: PAS melantik Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bagi sesi 2013-2015.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata, Muhamad dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bagi menyelaraskan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat negeri itu bersesuaian dengan  jawatannya sebagai timbalan presiden.

"Mohamad Sabu anak Pulau Pinang dan sangat biasa dengan orang Pulau Pinang.

"Termasuk dalam konteks hubungan dengan Pulau Pinang, oleh kerana beliau timbalan presiden, beliau dapat bantu selaraskan hubungan PAS dengan Pakatan di sana," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad memberitahu, berlaku perubahan bagi jawatan bendahari yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang pertama 1 Disember lalu.

Mesyuarat lepas memutuskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebagai bendahari.

Namun Ahmad memohon melepaskan jawatan tersebut dan digantikan dengan Asmuni Awi.

"Datuk Ahmad Yakob mohon melepaskan jawatan bendahari kerana kesibukannya sebagai Menteri Besar Kelantan dan Pesuruhjaya Kelantan dan digantikan dengan Asmuni Awi," katanya.

Turut dilantik hari ini ialah tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyudin Hassan, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Selain itu, PAS Pusat mewujudkan lajnah baru yang bertanggungjawab terhadap bencana alam atau kejadian yang berlaku secara tiba-tiba.

Naib Presiden, Salahuddin Ayub dilantik mengetuai lajnah ini.

"Pusat pengurusan kecemasan dan bencana diketuai Salahuddin Ayub dan dalam bentuk ad hoc apabila berlaku sesuatu bencana dan sudah jadi lajnah tetap PAS," katanya.

Sementara itu, kekosongan satu jawatankuasa ekoran pelantikan Asmuni sebagai bendahari diisi dengan Anuar Tahir sebagai pengerusi lajnah pekerja dan pengguna.

 
KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Seri Abdul Wahid Omar bahawa "pengguna boleh guna jalan biasa jika mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi" terus memperlihatkan tahap pemikiran sebenar menteri-menteri Barisan Nasional.

Abdul Wahid selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan itu semalam dipercayai sebagai menjawab rungutan dan keluhan rakyat berikutan pengumumannya sebelum ini bahawa kenaikan tol tahun hadapan tidak dapat dielakkan kerana terkandung dalam perjanjian dengan syarikat konsesi.

Alasan itu sekaligus mengundang kritikan rakyat terbanyak yang melihatnya satu cara mudah untuk kerajaan melepaskan beban, berdepan bantahan rakyat.

"Formula bernas Menteri Umno utk rakyat Malaysia. Jika rakyat tak setuju harga tol naik sila guna jalan biasa yg takda tol.

"Jika rakyat tak setuju harga gula naik tolong kurangkan gula dalam minuman banyakkan manis dalam senyuman. Jika tak setuju harga ayam naik, cuba biasakan makan daging pula jangan asyik nak makan ayam je.

"Mudah ja formula nak selesaikan masalah rakyat bagi menteri2 Umno," tulis Hafeez Sabri yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Perak di Facebook.

"Nak tggu menteri jawab 'tak setuju dgn kerajaan, jgn undi BN lagi...," kata seorang lagi pengguna Facebook Zamri Abdul Rahman.

Alasan sebegitu bukan pertama kali keluar dari mulut menteri BN, malah trend serupa sebelum ini sudah beberapa kali diucapkan mereka.

Pada Mei lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan sistem pilihan raya sedia ada boleh keluar dari Malaysia dan berpindak ke negara lain.

Kenyataan itu disokong pula Datuk Seri Noh Omar yang menambah individu yang tidak suka dengan sistem pilihan raya negara ini sewajarnya "duduk di dalam hutan".

Selepas itu pada julai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek berkata, orang ramai boleh 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging.

Alasan itu sebagai jawapan kepada bantahan rakyat ekoran kenaikan harga ayam yang melambung.

Kemudian pada Oktober pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata rakyat dinasihatkan jangan makan gula untuk hidup lebih lama.

Alasan itu pula diberikan sebagai menjawab kemarahan rakyat ekoran kenaikan harga gula sebanyak 34 sen daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 sebelum ini.

Dalam pada itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno yang baru dilantik, Dr Asyraf Wajdi Dasuki turut membidas kenyataan Abdul Wahid yang disifatkan sebagai 'kenyataan dangkal'.

"Pimpinan mesti hentikan mengeluarkan kenyataan dangkal yang hanya menambah kemarahan rakyat. Sebaliknya rungkailah formula terbaik bagi menangani bebanan yang bakal ditanggung rakyat akibat pelbagai kenaikan hampir serentak yg beri kesan pada kenaikan kos sara hidup.

"Di mana Makmal Kajian Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang pernah diumumkan PM satu ketika dahulu," soalnya sambil berharap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dapat membawa rintihan rakyat ke mesyuarat kabinet Rabu ini.

Khalid (kiri) bersama pemimpin Pakatan Rakyat menyertai bantahan kenaikan cukai pintu oleh DBKL.
KUALA LUMPUR: PAS akan memberi fokus untuk menggerakkan himpunan rakyat pada tahun hadapan bagi mendesak kerajaan menarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA serta membantah kenaikan cukai taksiran DBKL.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, selepas selesai urusan muktamar parti itu baru-baru ini, PAS kembali memberi tumpuan yang serius kepada isu-isu rakyat khususnya isu kenaikan cukai taksiran Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, PAS tidak akan berdiam diri dalam isu ini kerana kenaikan cukai taksiran ini akan memberi kesan lain kepada warga kota.

"Dalam kes kenaikan cukai taksiran ini, akan ada kesan kepada kos perniagaan, kos kehidupan dan barangan kerana akhirnya peniaga akan berusaha untuk dapat balik keuntungan dan akan menyebabkan mereka manikkan harga barangan.

"Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak, elektrik dan sebagainya, akan menyebabkan harga barangan seharian akan turut dinaikkan dan kesannya kepada pengguna.

"Memang kita akan gerakkan rakyat kerana selepas pilihan raya, PAS 'cool' sekejap kerana sibuk dengan muktamar dan selepas semua itu selesai kita akan tumpu menggerakkan rakyat untuk isu kenaikan kos hidup ini," kata beliau ketika ditemui di himpunan membantah kenaikan cukai taksiran DBKL di hadapan bangunan DBKL, dekat sini pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Saudara Kamaruzaman Mohamad ketika berucap meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor tidak bermain wayang apabila membicarakan isu kebajikan warga kota.

"Kenaikan cukai taksiran sekitar 300% adalah satu perkara yang amat melampau, ianya jelas menunjukkkan bahawa kerajaan Umno BN langsung tidak memperdulikan penderitaan warga kota"

"Warga kota sedih dengan tindakan DBKL ini,  mereka juga turut dibebani dengan kenaikan kos kehidupan di ibu kota, kenaikan harga minyak ditambah pula dengan desas-desus kenaikan tol dan tambang pengangkutan"

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Nazmi Nik Din juga turut berkongsi pandangan yang sama dengan menyifatkan tindakan menaikkan cukai taksiran ini sebagai wajar dalam situasi sekarang.

"Di mana slogan 'rakyat diutamakan'?  Adakah ini balasan kerajaan BN terhadap mandat yang telah diberikan kepada mereka ? Kerajaan Bn ibarat Habis madu sepah dibuang " tegas beliau yang juga ditemui selepas penyerahan borang dan surat bantahan kepada pihak DBKL.

Sementara itu, lebih 500 warga Kuala Lumpur berhimpun menyatakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran DBKL hari ini.

Himpunan itu turut disusuli dengan penyerahan 20,000 surat bantahan dari warga kota oleh Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dari Pakatan Rakyat.

Mereka melaungkan slogan 'Turun Datuk Bandar' dan 'Rakyat bantah kenaikan cukai pintu oleh DBKL' sambil membawa taksiran cukai yang dikeluarkan DBKL.

Hadir sama Ahli Jawatan PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khairuddin, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua (Batu), Teresa Kok (Seputeh), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) selain pimpinan PAS Kawasan Batu dan Bukit Bintang.

 

Tiada ulasan: