Khamis, 5 Disember 2013

AIR NI ALLAH BAGI....KITA URUSKAN AJE AIR INI....ADA YANG KAYA RAYA DISEBABKAN URUS AIR....DAN YANG MATI KERANA AIR....INGATLAH KUASA ALLAH TIADA MANUSIA BOLEH MENANDINGNYA...DAH LAH ALLAH HIDUPKAN LEPAS TU KERAS KEPALA....ADA YANG BERLAGAK SAKAN...MEREKA LUPA HARI KEMATIAN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menggesa kesemua wakil rakyat Umno dari kawasan yang terlibat dengan banjir agar tidak hadir atau meniggalkan terus Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Katanya, pada ketika ini rakyat di beberapa kawasan khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor sedang berdepan kesusahan menghadapi banjir, dan sewajarnya wakil-wakil rakyat di kawasan terlibat banjir untuk mengutamakan rakyat di kawasan mereka berbanding PAU ini.

Menurut Nasrudin, tindakan itu perlu sebagai mengambil penegasan kepada kenyataan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat semalam.

Ketika usul tergempar banjir dikemukakan Fuziah Saleh (PKR-Kuantan) semalam, Bung yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, dalam nada tegas menggesa Fuziah pulang ke kawasan dan tidak perlu hadir ke parlimen untuk memberi tumpuan kepada mangsa banjir.

"Teringat semalam MP Umno (Bung) kecoh di Parlimen dan menyuruh MP Kuantan (Fuziah) balik meninggalkan parlimen yang sedang bersidang, apabila MP Kuantan menempelak kelembapan dan kegagapan kerajaan membantu mangsa banjir di Kuantan.

"Sekarang Umno sedang bersidang di KL termasuk Umno Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor. Saya cadang Persidangan Umno ditangguhkan atau semua khasnya MP Umno dari Pahang, Terengganu dan Johor tidak perlu menghadiri persidangan tersebut," katanya dalam satu tulisan di Facebook.

Sementara itu, Nasrudin turut memaklumkan beliau kini dalam perjalanan pulang ke kawasannya di Temerloh bagi menziarahi dan mengagihkan sumbangan buat mangsa yang terlibat dengan banjir.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim tidak ketinggalan member respons penolakan Ustaz Kazim Elias sebagai ahli MT Umno.

Dipetik daripada blog Shahbudin Husin, Rais Yatim menulis di Twitternya yang berbunyi, "Ustaz Kazim tolak jadi ahli MT UMNO, yang rekomen beliau tu kenalah jawab. Kenapa tak buat kaji selidik dulu. Terus-terus jadi MT salah di sisi peraturan."

Menurut blogger itu, kecaman daripada dalam Umno terhadap pelantikan Kazim juga semakin kuat kedengaran berikutan beliau bukanlah ahli Umno.

Ia dilihat bertentangan dengan semangat perlembagaannya yang mensyaratkan kelayakan bertanding sebagai ahli MT ialah sekurang-kurangnya pernah menjadi AJK Umno bahagian selama sepenggal.

Baca di sini
KUANTAN:  Banjir di Pahang meragut satu nyawa, Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas petang semalam di Sungai Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.
             
Dua beranak, Jamali Jani, 45, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya Megat Mohd Nazli Jamli, 17, hilang apabila terjatuh ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap di sini kira-kira 7.30 malam tadi.
             
Kejadian berlaku dalam keadaan banjir semakin buruk di Pahang dan negeri-negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir semakin meningkat.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir bertambah pagi tadi dengan jumlah yang dipindahkan ialah seramai 986 orang berbanding 538 orang malam tadi.
             
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah adalah antara jajahan terbaharu yang dilanda banjir.
             
Di Kuala Krai, seramai 646 orang daripada 149 buah keluarga ditempatkan di enam buah pusat pemindahan, manakala di Machang, seramai 71 orang dari 19 keluarga dipindahkan ke empat buah pusat pemindahan.
             
Di Pasir Mas, hanya 24 orang dari sebuah keluarga dipindahkan berikutan air Sungai Golok di Rantau Panjang yang dilaporkan melimpah.
             
Manakala di Pasir Puteh, seramai 109 orang dari 29 keluarga dipindahkan di tiga tempat pemindahan sementara di Tanah Merah, seramai 136 orang dari 38 keluarga berpindah ke tujuh pusat pemindahan.

Ketika ini bacaan paras air di Sungai Lebir, Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang telah melepasi paras bahaya manakala paras air di sungai-sungai lain dilapor terus meningkat.
             
Sehingga pukul 10 pagi, bacaan di Tualang, Sungai Lebir ialah pada paras 36.19 meter (bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai 25.35 meter (bahaya 25 meter) dan Jambatan Guillemard 17.15 meter (bahaya 16 meter).
             
Sungai Golok di Rantau Panjang pula kini mencatat bacaan 10.21 meter melepasi tahap bahaya sembilan meter dan dijangkakan jika paras air terus meningkat, lebih ramai mangsa di Pasir Mas akan berpindah.
             
Keadaan cuaca pagi ini terus mendung dengan sesekali hujan lebat di kawasan pedalaman.

Di MELAKA, Seramai 25 mangsa dari Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin dipindahkan ke pusat pemindahan.
             
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka, Mejar Jafri  Mohamed berkata kesemua mangsa daripada lima keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu sejak petang semalam setelah air Sungai Kesang melimpah ke kawasan rumah mereka.
             
"Walaupun hujan di negeri ini tidak lebat dan cuaca hari ini cerah, tetapi air sungai melimpah kesan aliran air sungai di beberapa kawasan di Johor yang mengalami hujan lebat," katanya.
               
Paras air Sungai Kesang kini pada tahap berjaga-jaga iaitu 3.12 meter.

Di JOHOR, cuaca cerah dilapor di daerah yang teruk dilanda banjir iaitu Mersing pada sebelah pagi, namun belum terdapat tanda banjir telah reda.
             
Jabatan Meteorologi melaporkan kawasan pantai Johor Timur masih terdedah kepada kenaikan paras air laut dan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.
             
Ia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua berikutan angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dan ombak setinggi 4.5 meter di kawasan perairan Pahang dan Johor Timur.
             
Sementara itu portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan setakat 11 pagi, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 8,793 orang berbanding 8,705 malam tadi.
             
Mereka ditempatkan di 62 buah pusat pemindahan di daerah yang terkesan oleh banjir tersebut.
             
Mersing masih mencatat jumlah mangsa teramai yang dipindahkan iaitu 5,716 orang,  diikuti Segamat (1,052); Kluang (1005); Pontian (409); Muar (217); Kota Tinggi (212); Batu Pahat (175); dan Ledang (tujuh).  - Bernama
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan hak 11 juta pekerja di Malaysia disuarakan terus di parlimen, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid menawarkan diri bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Menurut Abdullah Sani, MTUC sebagai lidah kaum pekerja akan lebih efektif seandainya mempunyai wakil di Parlimen.

Katanya, melalui wakil di Parlimen ini isu-isu semasa kaum pekerja dapat disampaikn dengan terus, cepat, tepat dan berkesan.

"Hubungan terus pada bila-bila masa antara wakil MTUC di Parlimen dengan pihak Kementerian Sumber Manusia terutama di kalangan menteri sangat diperlukan kerana isu pekerja terlalu mendesak dan berlaku pada bila-bila masa," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau yakin dengan pengalaman selama 30 tahun dengan kaum pekerja serta kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, isu pekerja boleh diselesaikan.

Jelasnya, setelah berbincang dengan rakan-rakan serta pimpinan kesatuan yang lain bahawa suara MTUC perlu dibangkitkan di Parlimen pada bila-bila masa asalkan kaum pekerja terbela.

"Saya menyeru kepada semua perwakilan MTUC agar memberi sokongan kepada saya agar suara kita terus didengar di Parlimen," katanya yang merupakan calon Timbalan Presiden MTUC pada Persidangan Tiga Tahunan yang akan berlangsung pada 21 Disember ini.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mencadangkan kerajaan agar menambahkan jumlah hari bersidang memandangkan banyak persoalan negara dan undang-undang yang perlu dibahaskan dan diluluskan.

Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar berkata hampir setiap hari sidang dewan dilanjutkan masa hingga lewat malam kerana tempoh bersidang yang singkat.

Katanya, kerajaan boleh mengambil contoh Parlimen Westminster di London yang bersidang selama 145 hari dalam setahun yang bermula pada waktu petang.

"Kita bersidang dari jam 10 pagi hingga malam, menjejaskan prestasi.

"Kalau kita sebagai ahlli dewan boleh mengambil tradisi di Westminster dengan menggunakan istilah speaker, BBC malah berbahagi pun kita tiru. Maka hari bersidang pun boleh ditiru,"katanya dalam sesi soal jawab di sidang hari ini.

Menjawab pertanyaan itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan persidangan parlimen yang diperuntukan sudah mencukupi untuk memberi peluang ahli dewan membangkitkan perkara yang berkaitan.

Bagaimanapun Shahidan terbuka berhubung pertambahan hari bersidang dan menyerah kepada Jawatankuasa Dewan dan ahli dewan untuk berbincang dengan Yang DiPertua Dewan.

"Dalam pertambahan hari ini, kita kena lihat sama ada YB-YB kita masih kuat dan bertenaga. Kita tahu kerja kita lebih berat daripada Adun. Tapi kita akan ambil perhatian perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membangkitkan tindakan kementerian yang gagal menyediakan jawapan kepada soalan bertulis ahli parlimen walaupun soalan itu dikemukakan awal berbanding jawab lisan.

"Sepatutnya jawapan boleh dapat awal, setiap kementerian boleh sedia jawapan terus sebab jawapan itu untuk dijadikan rujukan perbahasan.

"Kena berunding dengan kementerian supaya memastikan jawapan bertulis mesti ada atas meja ahli parlimen,"katanya dalam soalan tambahan sekaligus menyokong masa sidang ditambah.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin turut meminta tempoh sidang ditambah bagi meningkatkan kualiti perbahasan dikalangan ahli parlimen.

Namun, bagi shahidan ahli Parlimen BN  memiliki kualiti perbahasan yang tinggi.

Hari ini merupakan sidang Dewan Rakyat yang terakhir untuk tahun ini dan dijangka akan bersidang semula pada Mac tahun 2014.
KUALA KRAI: Biar pun cuaca nampak agak cerah, namun bilangan mangsa banjir di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Manek Urai Lama meningkat kepada 160 orang.

Manakala lebih 50 mangsa lagi di Kampung Mesek masih menumpang di madrasah dan rumah jiran yang lebih tinggi. Jalan perhubungan ke kampung tersebut terputus sejak empat hari lalu kecuali menggunakan landasan kereta api.

Begitu juga penduduk di Kampung Sungai Chong di Sungai Sok juga terputus hubungan sejak tiga hari lepas apabila jalan ke kampung tersebut ditenggelami air.

Nasib serupa juga dialami penduduk di Kampung Pemberian, Dun Dabong yang juga terputus hubungan apabila jambatan merentangi Sungai Lebir ke Kampung Manjor ditenggelami air.

Bagaimanapun penduduk Kampung Pemberian masih boleh melalui jalan berbukit di Slow Mengkuang untuk keluar ke Manek Urai dan Sungai Syam.

Penyelia Dun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin melawat penduduk di kampung tersebut dan Kampung Kuala Temiang bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, semalam.

Di SRK Manek Urai lama petang semalam Pemuda PAS Negeri turun padang mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan tersebut.

Rombongan tersebut diketuai ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari. Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda, Nor Azariza Mohd Alawi, anggota jawatankuasa, Mohd Syazwan Yusnan dan Ketua Pemuda PAS Kuala Krai, Nazman Yusoff.

Turut hadir Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, penghulu dan petugas MTD. Bantuan diberi berupa barangan keperluan harian. 

Selain Dun Manek Urai, beberapa kampung di Dun Guchil dan Dun Mengkebang juga dilanda banjir.

Di Dun Guchil beberapa pusat pemindahan banjir dibuka termasuk Sekolah Yuk Chai, SK Banggol Guchil dan pejabat Perkhidmatan Haiwan.

Guchil 4 paling ramai mangsa dipindahkan. Selain itu mangsa banjir di Kampung Hamzah dipindahkan ke Sekolah Menengah Teknik.

Sehingga petang malam tadi lebih 500 mangsa banjir termasuk 124 keluarga di Mengkebang dan Manek Urai dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Manakala di Kota Bharu, laluan ke Pantai Cahaya Bulan masih boleh dilalui semua jenis kenderaan biar pun hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Sehingga jam 12 tengahari ini beberapa batang sungai mencatat aras air melebihi paras bahaya di stesen sukatan banjir iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial.

Paras air Sungai Kelantan di Kota Bharu dijangka meningkat apabila apabila banjir di kawasan hulu dan Kuala Krai surut.

Tiada ulasan: