Khamis, 4 Julai 2013

TAKDIR TELAH DITENTUKAN OLEH ALLAH SWT...CUMA ADA TAKDIR ITU ....KITA PILIH SENDIRI

Isu Idris-Mat Said kini muncul di Kuala Besut

Aslani M, 03 Jul 2013
BESUT: Biar pun BN bertapak kukuh di Dun Kuala Besut sejak pilihan raya umum 2004, namun Dun terbabit pernah dimenangi PAS pada empat pilihan raya umum sebelum itu.

PAS pernah menang pada pilihan raya umum 1959, 1969, 1974 dan 1999.

Situasi itu membuatkan Umno dan BN tidak mampu mendabik dada menjuarai dengan mudah pilihan raya kecil Kuala Besut tidak lama lagi.

Tambahan pula isu dalaman dan luaran terus membelit parti itu.

Penyisihan terhormat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said daripada jentera utama pilihan raya BN Kuala Besut bukan lagi sekadar cerita kedai kopi.

Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut membuatkan Umno Terengganu bergolak semula.

“Isu kuasa autonomi diberi Umno pusat kepada Idris di Kuala Besut dengan mengenepikan Ahmad Said dilihat boleh membantu PAS,” katanya pada sidang media di Markas Besar PAS Dun Kuala Besut di Kampung Baharu petang semalam.

Menurutnya, penyisihan Ahmad sudah tentu memanaskan isu lama yang sudah berkocak dalam Umno sejak 2008.

Selain itu isu tempatan dengan lambakan permohonan milik tanah rakyat yang tidak selesai juga tidak boleh dipandang ringan.

Kata Wan Azhar isu tanah bukan perkara kecil di Kuala Besut kerana banyak tidak selesai sehingga mengundang kemarahan rakyat.

Katanya, ditambah pula isu nasional dengan kepincangan pengurusan pilihan raya umum lalu masih diperkatakan rakyat secara meluas.

Wan Azhar juga berkata, undi kepada calon PAS pada pilihan raya umum lalu meningkat sebanyak 178 undi.

“Begitu jumlah undi diraih calon BN di Kota Putra, Hulu Besut dan Jertih juga didapati merosot berbanding 2008,” ujarnya.

Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.

Di peringkat pusat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera dan kempen BN bagi menghadapi PRK Kuala Besut.

Ibrahim Ali nak pandu teksi, jangan melawak

Aspan Alias, 03 Jul 2013
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali telah memecahkan kesunyian beliau dengan memberi khabar yang beliau mahu menjadi pemandu teksi bagi menyara kehidupan beliau. Saya terbaca berita ini melalui Free Malaysia Today (FMT) hari ini. Beliau berkata beliau akan memohon permit teksi dan memandu teksi bagi menyara kehidupan beliau. Beliau ingin hidup secara sederhana sahaja kata beliau.

Berita ini sangat menarik perhatian saya kerana Ibrahim ini sudah saya kenali dengan rapat sejak 42 tahun yang lalu, dan saya rasa tidak percaya kenyataan ini keluar dari mulut beliau. Tetapi mungkin juga beliau serius kerana manusia ini berubah mengikut umur dan kematangan masing-masing.

Kalau beliau serius untuk menjadi pemandu teksi saya juga serius untuk memberikan nasihat yang jujur terhadap sahabat saya selama 42 tahun ini. Setahu saya Ibrahim tidak begitu cekap memandu, takut-takut ramai pula penumpang teksi yang beliau pandu itu masuk hospital. Bagi saya jika dinilai dari cara pemanduan beliau, Ibrahim sepatutnya tidak dibenarkan menjadi pemandu teksi bagi menjamin keselamatan penumpang-penumpang teksi beliau.

Bagi saya Ibrahim hanya layak untuk menjadi tauke syarikat teksi dan tidak boleh jadi pemandu teksi pula. Kalau ada masa sehari dua ini saya akan berjumpa untuk menasihatkan beliau supaya membatalkan sahaja niat beliau untuk menjadi pemandu teksi, demi menjaga keselamatan penumpang dan pejalan kaki di jalanraya.

Lagi pun takut-takut penumpang-penumpang terpaksa mendengar Ibrahim berceramah pula sambil memandu. Takut beliau tidak memberikan tumpuan untuk memandu dengan selamat.

Kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) elok perhatikan jika ada Ibrahim memohon untuk lesen PSP yang diperlukan untuk membolehkan beliau memandu teksi. Kalau terjumpa permohonan beliau untuk lesen PSP itu, tolaklah permohonan beliau itu. Jangan bahayakan jalan raya dengan membenarkan Ibrahim Ali menjadi pemandu teksi.

Saya tahu Ibrahim tidak serius, itulah sebabnya saya menulis dengan santai sahaja. Kepada Ibrahim, janganlah buat lawak pula kerana beliau mampu melakukan kerja lain yang lebih sesuai untuk beliau.

Saya menulis ini hanya untuk mengusik Ibrahim sahaja. Jangan ambil hati. Saya bersahabat sejak 4 dekad dahulu dan saya tahu Ibrahim Ali tidak serius untuk memandu teksi, dan beliau sendiri tahu yang beliau bukanlah seorang pemandu yang cekap.

Beliau sendiri tahu yang beliau akan membuatkan ramai penumpangnya dalam ketakutan jika beliau yang memandu teksi itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Beri hak Kelantan nikmati macam negeri lain

Salmiyah Harun, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyeru kerajaan mengislamkan dasar Pembangunan Belia Negara agar tidak kontradik dengan agama Islam.

Beliau yang mengambil bahagian membahaskan ucapan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini berkata, pembinaan belia mestilah di dalam kerangka Islam kerana nilai utama belia muslim hendaklah dibina dengan cara Islam yang ditetapkan Allah SWT.

"Ini adalah kewajiban pemerintah bahawa pembinaan negara telah disebut oleh Allah di dalam al-Quran yang hendaklah bermula dengan asas iaitu hubungan mereka dengan Allah melalui solat," katanya.

Jelasnya, daripada soal pendidikan sehinggalah kepada sukan masyarakat berdepan dengan bahaya keruntuhan moral kerana masalah penagihan dadah yang telah membunuh belia pada hari ini.

"Kita bukannya membina pejuang berani mati tetapi negara kita memperlihatkan perompak yang berani mati. Inilah masalah yang berlaku apabila melibatkan isu dadah yang membahayakan negara," katanya.

Justeru katanya, PAS dan Pakatan Rakyat bersedia untuk memberi kerjasama dari sudut kepakaran dan ilmu demi mahu melihat pembangunan belia negara berjaya.

Sementara itu, beliau turut menyeru kepada Kerajaan Pusat agar memberi hak kepada negeri Kelantan agar negeri itu boleh menikmati apa yang dinikmati oleh negeri-negeri lain.

"Setiap kali saya ke Sabah dan Sarawak, saya tak kata dalam hati, mengapalah Kelantan jadi macam Sabah dan Sarawak. Tetapi saya kata, mengapalah Sabah dan Sarawak jadi macam Kelantan, dianak tirikan," katanya mengakhiri perbahasannya.

UPNM: Kenapa panglima tidak lagi jadi panglima?

Anis Nazri, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan perhatian serius terhadap jawatan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baru yang dikatakan diberi kepada bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Bercakap kepada media di parlimen, Mahfuz berkata persoalan berkaitan pelantikan itu perlu dijelaskan memandangkan beberapa persoalan perlu dijawab berhubung Zulkifli itu sendiri.

"Selain berasakan tidak wajar bagi Naib Canselor sedia ada dikeluarkan, persoalan berkaitan mengapa Zulkifli yang mempunyai rekod tidak cemerlang ketika menjadi naib canselor sebelum ini perlu dimaklumkan kepada rakyat," tegas beliau di lobi parlimen, semalam.

Tambah beliau, sebelum ini pihaknya difahamkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menandatangani satu surat untuk mengekalkan naib canselor yang ada sekarang, malah perkara sama dikatakan turut dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau turut memaklumkan sehingga hari ini belum ada satu kenyataan rasmi tentang kedudukan Zulkifli, sedangkan jawatan panglima yang dikosongkan telah diisikan oleh orang lain.

Selain Muhyiddin, Mahfuz turut meminta Kementerian Pertahanan untuk menjelaskan kepada awam kenapa panglima itu tidak lagi menjadi panglima dan dikatakan akan menjadi naib canselor, lebih-lebih lagi dengan rekod beliau yang gagal dalam usaha menaikkan ranking UPNM.

"Saya ingin penjelasan kementerian pertahanan, apakah beliau ini mempunyai masalah yang besar sehingga tidak lagi menjadi panglima, atau mempunyai kaitan dengan teguran Sultan Johor sebelum ini berkaitan pembelian pesawat tentera yang dipertikaikan," kata Mahfuz lagi.

Syria terus bergolak – siri II

Dr Mujahid Yusof Rawa, 03 Jul 2013
Pendahuluan

Setelah artikel saya yang pertama keluar dalam usaha untuk memahami konflik Syria, ramai yang meminta supaya artikel susulan ditulis bagi mencerakinkan lagi alasan bahawa isu di Syria bukan soal ‘sectarian violence’ antara Sunni vs Syiah tetapi ia lebih merupakan masalah kepincangan kepimpinan dan kepentingan geo-politik yang mengancam kepentingan kuasa besar.

images

Kezaliman Melepasi Mazhab Tidak ada mana-mana mazhab samada Sunni atau Syiah yang mewajarkan sebarang bentuk kezaliman. Pemeliharaan nyawa adalah merupakan titik persetujuan Sunni dan Syiah melainkan mana-mana Sunni dan Syiah tidak menghormati prinsip ini maka tindakannya tidak boleh dianggap sebagai amalan Sunni atau Syiah tetapi amalan individu yang merosakkan nama mana-mana mazhab. Basyar Al Assad hanya mewarisi kezaliman dari ayahnya Hafez Al Assad apabila suara bangkangan terus ditindas. Kebangkitan rakyat sudah sampai ke kemuncaknya di mana mereka melepasi garis takut dan Basyar bertindak balas dengan terus mengancam dan membunuh rakyatnya.
Logik yang mudah difahami dalam konflik hubungan pemimpin dan rakyat ialah keganasan hanya akan melahirkan keganasan seumpamanya. Basyar tidak melihat dalam kerangka demokrasi yang dituntut oleh rakyatnya tetapi Basyar memburukkan keadaan dengan menjadi lebih diktator dalam menghadapi situasi ini. Implikasi reaksi dalam konteks pergolakan politik adalah punca utama dan bukan kerana golongan Sunni memberontak terrhadap golongan Syiah.

NEW-SYRIA

Ironi Majoriti vs Minoriti

Jika kita mengandaikan asas konflik berdarah di Syria ialah kerana pertembungan minoriti vs majoriti, keadaan di Iraq pada zaman Saddam Husin menyaksikan golongan Sunni yang minoriti memerintah Iraq yang majoritinya ialah Syiah. Di Syria pula golongan Syiah yang minoriti dari Alawiyin menjadi pemimpin untuk golongan rakyat yang majoritinya ialah Sunni.
Apakah kebangkitan rakyat di Iraq tempoh hari dengan kehadiran tentera penjajah Amerika merupakan kebangkitan Syiah ke atas Sunni?
Ataukah di Syria kebangkitan Sunni ke atas Syiah?
Saya tidak berfikir demikian tetapi kedua-dua pemimpin sama ada Saddam atau Basyar berkongsi satu sebab mengapa rakyat memberontak iaitu penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Jadi isunya ialah penindasan dan penindasan boleh berlaku majoriti menindas minoriti mahupun minoriti menindas majoriti seperti kesnya di Iraq era Saddam dan Syria kini. Kepentingan Kuasa Besar
Ada dua kepentingan kuasa besar di Timur Tengah, pertama minyak dan kedua ialah kewujudan Israel mesti dipelihara. Syria berada pada kepentingan kedua Kuasa Besar. Amatlah kurang bijak untuk kita mengandaikan Amerika yang mewakili Kuasa Besar tidak mengambil kesempatan kebangkitan rakyat di Syria.
Pendekatan Amerika selama ini ialah untuk memastikan ‘regime change’ berlaku supaya kepentingan Israel dipelihara dan penentangan terhadap Israel dari pejuang Palestine dapat dikawal. Syria dalam perspektif Amerika adalah jiran Israel yang buat masa ini tidak banyak membantu dasar Amerika terhadap Israel.
Malah Syria menjadi tempat perlindungan kepada pejuang Hamas yang Sunni dan Hizbullah yang bermazhabkan Syiah. Perlindungan itu bukan kerana mazhab kerana Hamas bukan dari mazhab Syiah, ia lebih merupakan dasar Syria yang tidak mengiktirafi Israel malah menuntut Bukit Golan yang ditawan Israel. Amat jelas perlindungan Syria ke atas Hamas dan Hizbollah adalah tentang kepentingan keselamatan dan memelihara kedaulatan bukan melindungi mana-mana mazhab. Keganasan Kepuakan
Terma ‘Keganasan Kepuakan’ atau ‘Sectarian Violence‘ dipakai untuk menggambarkan konflik antara fahaman atau mazhab atau agama dari penduduk dalam negeri yang sama. Pertembungan Sunni dan Syiah bukanlah isu yang baru, ia bermula sejak peristiwa pembunuhan Saidina Ali dan berterusan pertembungan itu sepanjang sejarah umat Islam.
Masalahnya ialah ketika proses konflik ini berlaku muncul ajaran-ajaran sesat sehingga setiap mazhab mempunyai ajaran sesat masing-masing. Basyar adalah daripada Syiah Alawiyin yang bagi golongan Syiah sendiri menganggapnya sebagai sesat. Jadi ungkapan Syiah lawan Sunni itu sendiri perlu diberi fahaman yang jelas malah Basyar juga seorang yang mengamalkan dasar negara yang berfahaman Baath Nasiriyiah (Sosialis Arab).
Teori Sunni vs Syiah perlu dilihat dalam konteks pertembungan bersifat politik lebih daripada kepuakan. Kepuakan dijadikan alat sahaja untuk mengukuhkan kepentingan politik pihak tertentu sebagai sentimen untuk kepentingan mengekalkan kuasa atau merebut kuasa. Cetusan semangat mazhab dalam hal ini lebih mudah dibangkitan berbandingkan isu ekonomi mahupun politik.
Amat jelas di Syria isu mazhab hanyalah sentimen untuk mendapat simpati namun kesannya amatlah buruk kerana ia menjadi satu medan pertempuran yang lebih luas menjangkau luar bumi Timur Tengah. Usaha dialog demi keharmonian mazhab pasti akan terbantut kerana syak wasangka semakin meningkat dan sentimen prejudis menguasai keadaan. Apakah Penyelesaiannya?
Jelas dalam hal ini remedi mesti berpandukan kepada masalah sebenarnya yang berlaku di Syria. Pastinya Basyar perlu berundur kerana  kezalimannya untuk mempertahankan kuasa berada di kemuncak. Negara Islam mesti memberi tekanan dengan memutuskan hubungan dengan regim Basyar.
Penyelesaian politik melalui kesatuan semua pihak yang memberontak supaya bersetuju untuk menumpukan tekanan pada rekonsiliasi nasional mesti digerakkan oleh negara Islam dan masyarakat antarabangsa. Kesalahan jenayah perang dari kedua belah pihak hendaklah dihadapkan ke mahkamah antarabangsa manakala isu pelarian semestinya perlu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Dengan menumpukan kepada permasalahan sebenar kita boleh menghindari sentimen Sunni vs Syiah yang kini menguasai polemik isu di Syria.
Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
 

TG Nik Aziz wajar diberi penghargaan - Mujahid

Hazayani Zakaria, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mencadangkan kepada kerajaan agar memberi penghargaan kepada bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dr Mujahid sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat semalam berkata, Tuan Guru Nik Aziz wajar menerima penghargaan tersebut atas kejayaan beliau mentadbir negeri lebih 20 tahun tanpa rasuah.

"Beliau telah menyumbang kepada satu pengertian kepimpinan yang bermoral tinggi, yang merendah diri dalam kehidupan seharian dan kepentingan yang menunjukkan 'good governance'.

"Apalah good governance itu tanpa seorang pemimpin bebas rasuah dan dalam saat kita membicarakan tentang negara dan pemimpin yang rasuah tiba-tiba di celah-celah itu muncul seorang pemimpin yang memimpin negeri Kelantan mempunyai intergriti dan tidak ada rasuah," katanya ketika ditemui Harakahdaly semalam.

Dr Mujahid juga berkata, penghargaan tersebut boleh dirakamkan dala pelbagai bentuk contohnya mewujudkan Institut Pemikiran Nik Aziz dan sebagainya.

"Bagi saya ini satu rakaman sejarah, dalam pada kita menuntut good governance dan di hadapan kita ada contoh yang hidup yang menjadi kerajaan dan mendapat sokongan yang padu rakyat.

"Saya telah lontarkan di dewan sebagai satu hasrat untuk menjadikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai ikon tidak kiralah sebuah institut pemikiran atau apa sahaja yang merakam jasa Menteri Besar Kelantan ini," katanya.
 

Tiada ulasan: