20 pelantar minyak dalam perairan Kelantan - Maritim
Harakahdaily, | 25 Jul 2013 |
KUALA LUMPUR: Ketua Penguat Kuasa Maritim Kelantan, Kepten Maritim Wan Burhanuddin Wan Jusoh mendedahkan terdapat 20 Pelantar Petroleum di Perairan Negeri Kelantan.
Dalam pada itu beliau juga mengesahkan bahawa Pelantar Minyak Bunga Raya yang berada kira-kira 107 batu nautika dari Tok Bali juga adalah antara Pelantar Petroleum yang berada dalam perairan negeri itu.
Pendedahan tidak sengaja itu dibuat beliau kepada media kelmarin ketika mengulas kawalan di perairan Kelantan dan sepanjang Sungai Golok pada hari raya nanti.
Beliau berkata, cuti 145 anggotanya pada seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya dibekukan bagi membolehkan operasi di perairan Kelantan seluas 20,000 kilometer persegi berjalan seperti biasa.
Menurutnya, nelayan asing bertindak berani menghampiri kawasan larangan iaitu 50 meter dari pelantar minyak tanpa memikirkan risiko bahaya di sebalik penggunaan bahan api untuk memasak di atas bot-bot mereka.
Beliau berkata, hampir 20 pelantar minyak di perairan Kelantan menjadi tumpuan nelayan asing.
Katanya, menerusi Ops Perkasa Timur baru-baru ini, dua bot nelayan Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan ditahan KM Jujur berhampiran Pelantar Minyak Bunga Raya, pada jam 4.36 pagi kira-kira 107 batu nautika dari Tok Bali.
Bayar royalti kami
Mengulas pendedahan terbaru itu, Setiausaha Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti - R), Hisyamudin Ghazali berkata, ianya telah mengesahkan bahawa kelantan mempunyai pelantak minyak dan berhak untuk mendapat bayaran royalti.
"Hal ini mengesah bahawa perairan Kelantan adalah seluas 20,000 km persegi dan hujah yg mengatakan perairan Kelantan hanya 3 batu Nautika seperti mana yang dimanipulasikan oleh pemimpin Umno BN dan Kerajaan Malaysia adalah hujah dangkal.
"Ini adalah satu pengkhianatan yang jelas kepada rakyat Kelantan yang mahukan royalti 5 peratus daripada pengeluaran petroleum Kelantan, yang tunggakan kini berjumlah RM12 bilion. Sila bayar royalti kami," tegasnya.
Kuala Besut: Hanya Ahmad Said yang wajar bergembira
Shahbudin Husin, | 25 Jul 2013 |
Seperti yang dijangka, pilihan raya kecil DUN Kuala Besut adalah kawasan yang sukar bagi PAS. Walaupun PAS turun bertanding dengan semangat yang tinggi ingin membawa perubahan dan mencipta sejarah Terengganu seri, Kuala Besut nampaknya bukanlah medan yang sesuai bagi tujuan itu.
Meski PAS kali terakhir pernah memenangi DUN Kuala Besut pada 1999 tetapi sejak 2004, kawasan itu merupakan kubu ampuh bagi Umno dan BN. Sejak kepimpinan Idris Jusoh di Besut di mana beliau juga pernah menjadi Menteri Besar daripada 2004 hingga 2008, kawasan itu sudah beralih menjadi kubu yang selamat bagi Umno dan BN.
Tambahan pula dalam pilihan raya kecil kali ini, BN juga melambakkan projek pembangunan bernilai hampir RM500 juta yang meliputi 15 projek untuk kepentingan nelayan dan pelancongan di kawasan itu. Dengan tempoh kempen hanya 11 hari tetapi 15 projek dicurahkan, bermakna dalam sehari penduduk di situ diberi lebih daripada satu projek pembangunan.
Ini merupakan suatu hakikat bahawa kerajaan sebenarnya amat pemurah dalam mencurahkan projek jika kedudukannya hampir tergugat.
Dalam keadaan itu, tidak menghairankan jika BN terus menang di Kuala Besut. Bagaimanapun, kemenangan ini sebenarnya tidak boleh terlalu dibanggakan jika dikira dengan nilai wang yang dicurahkan berbanding dengan undi yang diperoleh. Meskipun mengekalkan kedudukan 17-15 di DUN Terengganu, kemenangan di Kuala Besut hanyalah dengan majoriti 2592 undi berbanding 2434 pada pilihanraya umum 5 Mei lalu.
Ini bermakna dengan hampir RM500 juta dicurahkan, 15 projek pembangunan dilambakkan dan hampir semua menteri dan pemimpin Umno serta kerajaan berkampung atau berulang-alik ke Kuala Besut, peningkatan undi yang diperolehi hanyalah 158 sahaja. Terlalu mahal kos yang perlu dibayar untuk kemenangan ini dan hampir tidak berbaloi dengan nilai kemenangan yang diperoleh.
Kalaupun kemenangan ini mahu juga dibanggakan dan membuatkan hati gembira, barangkali yang layak berbuat demikian hanyalah Menteri Besar, Ahmad Said saja. Dengan kemenangan ini dan mengekalkan status quo 17-15, Ahmad Said sekurang-kurangnya akan kekal lagi sebagai Menteri Besar sehingga 2018.
Jika BN kalah dan kedudukan menjadi 16-16, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tentunya akan tergugat. Tetapi sekarang beliau tentunya boleh tersenyum panjang sehingga tarikh pilihan raya umum akan datang. Kerusi Menteri Besarnya pasti selamat dan tidak tergugat lagi, kecuali kalau ada lagi ADUN BN yang meninggal dunia selepas ini.
Bagi Muhyiddin dan Idris Jusoh yang menjadi Pengarah dan Timbalan Pengarah pilihanraya pula, kemenangan ini tidak mengubah apa-apa kedudukan mereka. Mungkin sekadar menerima pujian dan kata-kata ucapan tahniah saja.
Kedudukan Najib juga tidak berubah. Kemenangan di Kuala Besut ini juga tidak mungkin menjadikan kerusi Presiden Umno dan Perdana Menteri yang didudukinya bertambah kukuh atau kebal. Isu pilihan raya kecil jelas berbeza dengan isu dalam pemilihan Umno. Sekiranya ditakdirkan ada pertandingan bagi jawatan Presiden Umno hujung tahun ini, kemenangan di Kuala Besut ini sama-sekali tidak menjadikan graf politiknya menaik, bertambah baik atau menjadikan beliau takut ditandingi.
Sokongan pengundi Melayu luar bandar terhadap Umno yang dicapai dalam kemenangan di Kuala Besut ini tidaklah terlalu menghairankan. Kemenangan 133 kerusi dalam pilihanraya umum lalu pun disumbangkan oleh pengundi Melayu di kampung-kampung, luar bandar dan pedalaman. Sokongan mereka kepada Umno dan BN adalah kerana keyakinan mereka Umno masih memperjuangkan kepentingan Melayu di samping adanya pemimpin seperti Muhyiddin yang masih kuat jiwa Melayunya.
Dalam erti kata yang lain, pengundi Melayu rata-ratanya menolak sikap liberal, terbuka dan jiwa 1Malaysia yang cuba diterapkan oleh Najib. Hanya kerana masih adanya Muhyiddin dan lain-lain pemimpin yang meletakkan "Melayu dahulu" yang masih ada dalam Umno yang masih menambat hati mereka ini terhadap Umno.
Meskipun Muhyiddin menyifatkan kemenangan di Kuala Besut adalah hadiah hari jadi kepada Najib yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-60, hakikatnya hadiah ini tidaklah begitu berharga kepada Najib. Berbanding Ahmad Said yang dihadiahkan dengan kekal sebagai Menteri Besar melalui Kuala Besut dan Muhyiddin yang lebih diberi pujian atas kedudukannya sebagai Pengarah Pilihan Raya, Kuala Besut sebenarnya hanya memberi makna yang kecil bagi Najib.
Bahkan yang lebih dibimbangi Najib kiranya aura kemenangan Kuala Besut ini lebih menyerlahkan kehebatan Muhyiddin berbanding dirinya menjelang Perhimpunan Umno hujung tahun ini.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/
5,696 pengundi berjiwa besar di Kuala Besut
Abd Shukur Harun, | 25 Jul 2013 |
Pada pendapat saya, mereka yang mengundi PAS seramai 5,696 itu adalah pengundi yang sangat luar biasa, mempunyai daya pemikiran politik yang menjangkau jauh walaupun berada di kawasan nelayan miskin. Mereka berfikiran matang dan mempunyai harga diri, tidak mudah dibeli, tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji yang ditaburkan sepanjang kempen.
Boleh ditafsirkan bahawa dalam situasi yang sedemikian rupa, masih ada sejumlah 5,696 pengundi yang berjiwa besar dan pengundi inilah menjadi kekuatan asas kepada PAS sendiri untuk merancang masa depannya di kawasan ini.
Pilihan raya kecil Kuala Besut memang sangat luar biasa walaupun hanya 17,679 pengundi – 98 peratus Melayu – kerana pilihan raya kecil tersebut telah mencapai rekod tertinggi peruntukan, pelbagai habuan, janji projek dan pelbagai lagi daripada Barisan Nasional.
Jumlah semuanya RM337 dan sekiranya jumlah itu dibahagikan di kalangan 17,679 pengundi berdaftar, ini bermakna undi di Kuala Besut bernilai RM19,000 setiap satu. Demikian menurut badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.
Bagaimanapun, menurut Ahli Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Dr Dzulkefly Ahmad pula, jumlah peruntukan yang digunakan oleh Umno BN sehingga hari terakhir kempen tersebut mencecah RM476.19 juta. Jumlah ini sekaligus meletakkan nilai PRK Kuala Besut antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya.
Dalam hubungan ini Bersih 2.0 membidas berleluasanya kejadian pancing undi dengan dana awam yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada kempen pilihan raya kecil itu.
Kuala Besut adalah sebuah kawasan nelayan miskin yang bersempadan dengan Negeri Kelantan. Selama kempen itu, Umno/BN menaburkan pelbagai janji projek, khususnya perumahan untuk nelayan miskin, serta pelbagai habuan lain yang tidak terpermenai banyaknya dan tentunya pengundi di situ ‘sangat beruntung’ justeru hari raya akan menjelang dua minggu lagi.
Seperti saya katakan dulu bahawa sepanjang sejarah pilihan raya di Malayasia, kawasan miskin, lebih-lebih lagi yang jauh di pedalaman, maka Umno/BN begitu mudah mencapai kemenangan setiap pilihan raya. Bahkan ada persepsi umum bahawa kawasan miskin menjadi ‘simpanan tetap’ kepada Umno/BN.
Ertinya, Umno/BN tidak bimbang kedudukannya jika pilihan raya di adakan di kawasan miskin, bukan kerana ia benar-benar pembela golongan tersebut, tetapi ‘pengundi menerima habuan dan membalas budi’. Beri saja mereka habuan, mereka mudah mengundi Umno/BN. Kaedah ini yang dilakukan oleh mereka sejak ‘zaman berzaman’, dijangka akan berterusan, justeru cara ini mudah dilakukan dan kesannya lumayan.
Pengundi Kuala Besut dan kawasan pedalaman miskin yang lain tidak memerlukan isu besar dan canggih seperti kegawatan ekonomi, kronisme, nepotisme, pembaziran, pelanggaran hak asasi manusia, demokrasi, kebebasan bersuara dan lain-lain.
Pengundi di kawasan miskin hanya memikirkan sekitar kehidupan harian mereka. Maka golongan seperti inilah menjadi ‘lubuk’ yang sangat mudah Umno/BN mengekalkan pengaruhnya yakni mereka membawa habuan yang banyak dari kota dan menaburkan janji pelbagai projek.
Sebab itu, hampir setiap hari sepanjang kempen pilihan raya kecil di Kuala Besut ini janji demi janji diumumkan, di samping pelbagai habuan lain. Saya melihat pelbagai gambar jamuan demi jamuan di malam hari di kawasan itu dan di siang hari pelbagai bantuan lain dihulurkan.
Inilah suasana ketika kempen pilihan raya di Dun tersebut. Beberapa pengundi yang ditemui berkata: “PAS bagus, tapi dia tidak boleh beri wang.” Ini menggambarkan hampir keseluruhan suasana di situ.
Menurut kajian Ilham Centre, kedudukan sosioekonomi pengundi di Dun tersebut yang berada di bawah garis kemiskinan menyebabkan kebergantungan kepada manipulasi bantuan pihak BN.
Sebab itu saya mengatakan dari awal bahawa PAS menghadapi pilihan raya kecil Kuala Besut ini dalam situasi up-hill battle, sepeprti mendaki bukit. Bagaimanapun jentera PAS/Pakatan rakyat sewajarnya dipuji kerana telah bertungkus-lumus siang dan malam, tidak kira walaupun pada bulan Ramadhan.
Dalam pilihan raya kecil Kuala Besut itu tercipta sejarah hitam yang akan diingat lama, apabila pihak pengurusan kem tentera Gong Kedak, di Besut, seperti yang dilaporkan, menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menunaikan solat Maghrib di masjid TUDM. Itulah antara wajah buruk pilihan raya kecil Dun tersebut.
Sementara itu, sewajarnya kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah PRK PAS Kuala Besut, Dato’ Husam Musa, Yang Dipertua PAS Besut Wan Azhar Wan Ahmad, Pengurus Kempen PRK Kuala Besut Hanapiah Mat dan pimpinan semua peringkat yang bekerja keras semasa kempen tersebut.
Yang sangat penting difikirkan di sini ialah supaya PAS/Pakatan Rakyat menumpukan perhatian mendidik pengundi, memberikan kefahaman dan kesedaran politik bukan saja kepada pengundi di Dun Kuala Besut tetapi juga di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman.
PAS/Pakatan Rakyat mempunyai harapan masa depan. Pakatan telah menawan pengundi bandar dalam PRU yang lalu. Oleh itu, perhatian serius perlu diberi kepada pengundi luar bandar, di samping mengekalkan sokongan pengundi bandar.
Samseng upahan tembak penyokong Morsi, 2 terkorban
Harakahdaily, | 25 Jul 2013 |
Ikhwanonline melaporkan, tembakan tersebut dibuat samseng upahan polis Mesir dari tingkat paling atas sebuah bangunan bersebelahan Masjid Khulafa' Ar-Rasyidin. dan
Sehari sebelum itu, samseng upahan ini juga telah menyerang lokasi himpunan menyokong Morsi di dataran Nahdhah, depan Universiti Kaherah yang membunuh tiga orang penyokong Morsi.
Samseng upahan ini dengan kerjasama pasukan polis, mengepung dataran dengan kenderaan perisai dan membakar beberapa buah kereta milik peserta himpunan dan merosakkan beberapa buah kereta yang lain.
Dalam waktu yang sama, di lokasi lain iaitu di Madinah Nasr, perarakan penyokong Morsi yang melalui Balai Polis Qism Awwal turut dikasari.
Seorang saksi kejadian yang baru pulang dari tempat kerja berkata, beliau melihat polis melepaskan tembakan ke arah himpunan.
Beberapa orang anggota polis turut dilihat mengheret peserta himpunan di atas tanah dan mereka turut diterajang dan disepak di bahagian kepala.
Selain itu, beberapa orang pemilik kereta yang dibakar dan dirosakkan dalam kejadian di dataran Nahdhah ditangkap ketika mahu membuat laporan polis di Giza.
Difahamkan belum sempat membuat laporan, mereka ditangkap dan ditempatkan di lokap balai.
Pihak polis telah mengupah kumpulan samseng untuk membelasah dan memukul mereka dalam lokap.
Che Long tekad terus bantu rakyat miskin
Salmiyah Harun, | 25 Jul 2013 |
Katanya, jika beliau berjaya memenangi kerusi ini barulah ia dilihat luar biasa.
Malah tambahnya, kekalahan beliau itu bukanlah satu perkara yang pelik kerana rakyat di Kuala Besut mendapat banyak duit melalui projek-projek yang ditawarkan oleh Umno BN dengan nilaian hampir setengah bilion.
"Selaku calon PAS dan bendahari PAS saya hendak tengok projek mega ini dilaksanakan sebagaimana dijanjikan.oleh BN," katanya dalam sidang media lewat malam tadi di Markaz Besar PRK Kuala Besut di Kampung Baharu.
Ketika ditanya aoa perancangannya selepas ini, Che Long memberitahu beliau akan terus bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan menggunakan pengalaman ini sebaik mungkin bersama-sama parti dan rakyat.
Menjawab pertanyaan wartawan tentang faktor kekalahannya, Che Long dengan pantas menjawab "Che Long lawan kerajaan Malaysia".
Bagi Che Long tugas di dalam parti adalah amanah yang perlu dilaksanakan bukanlah untuk menjadi calon semata-mata.
"Tugas kita kerana Islam, tidak berebut untuk menjadi calon. Mungkin empat tahun lagi ada calon yang lebih baik dari.Che Long," katanya menjawab sama ada beliau akan dipilih menjadi calon untuk pilihan raya umum ke-14 nanti.
Che Long turut mengucapkan jutaan terima kasih buat petugas-petugas PAS dan jentera parti dari luar dan dalam yang turun berkempen dalam PRK semalam.
Sementara itu, Che Long turut berjanji akan membantu membina rumah beberapa orang penduduk di Teluk Bayu selepas ini.
"Insyallah saya akan tunaikan janji ini. Rumah mereka sangat daif seperti rumah padi. Saya akan bantu sekuat mungkin," katanya.
Che Long kelihatan tenang sepanjang sidang media yang berlangsung, kemudian beliau sempat bersalam dan mengucapkan tetima kasih kepada para petugas media yang membuat liputan sepanjang 12 hari berkempen di sini.
Pasukan khas pantau janji BN di Kuala Besut
Hazayani Zakaria, | 25 Jul 2013 |
Menurut Yang Di-Pertua (YDP) Pas Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad pelaksanan janji pembangunan yang dibuat Umno di peringkat negeri akan dipantau oleh 15 wakil rakyat PAS dan termasuk PKR di sidang Dun manakala tawaran oleh Kerajaan Persekutuan akan dipantau oleh Ahli Parlimen.
"Pengisytiaharan projek mega yang berjumlah setengah bilion menggambarkan bagaimana tawaran yang dibuat secara drastik oleh Umno BN untuk pengundi di kawasan Kuala Besut ini telah berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat sehingga mereka tidak dapat menterjemahkan kemahuan sebenar mereka kerana ikatan projek yang ditawarkan.
"Trend pengundian hari ini tidak menggambarkan kelongsong yang mewakili inspirasi dan kemahuan rakyat tetapi jelas terpapar wajah yang penuh kepura-puraan hasil daripada ubat bius dan suntikan wang dan projek yang ditaburkan secara meluas dalam tempoh 12 hari kempen," kata beliau pada sidang media di Markas Besar PAS di Kampung Baharu malam tadi selepas keputusan pengundian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Keputusan PRK Kuala Besut malam tadi menyaksikan calon PAS Che Long dikalahkan oleh calon BN Tengku Zaihan dengan majoriti 2592 undi.
Che Long mendapat 5696 undi manakala Tengku Zaihan mendapat 8288 undi.
Bagaimapun katanya, kemenangan BN dengan peningkatan majoriti hanya sebanyak 158 undi tidak berbaloi dengan tawaran besar yang dibuat parti itu.
"Sepatutnya BN dapat majoriti yang jauh lebih besar tapi apa yang mereka dapat menggambarkan kemerosotan dan Datuk Idris Jusuh gagal mensasarkan jumlah target 4000 majoriti yang disebut," katanya.
PAS juga katanya akan berbincang dengan pihak peguam sama ada wujud salah laku dalam PRK Kuala Besut berhubung tawaran besar yang dibuat Umno BN.
"Saya difahamkan ada pengakuan daripada penerima bantuan mereka terpaksa bersumpah untuk mengundi BN.
"Kita akan maklumkan perkara ini kepada peguam kita apakah wujud kes untuk kita kemukakan sebagai salah laku dalam pilihan raya kali ini," katanya.
Tambah beliau juga, tarikh pembuangan undi yang jatuh pada hari bekerja menyukarkan pengundi luar pulang mengundi dan hal ini memberikan kelebihan kepada BN.
"Kejayaan pihak BN mengekalkan kerusi dalam PRK kali ini antaranya kerana wujudnya konspirasi yang begitu rapat antara SPR dalam menetapkan kemenangan awal kepada BN sewaktu menentukan hari mengundi.
"Pada kita tarikh hari mengundi yang jatuh pada hari Rabu adalah keputusan luar biasa yang dibuat oleh pihak SPR pada kali ini di mana dia telah menyekat dan menghalang hak yang sepatutnya diberikan kepada setiap pengundi untuk menyakan sikap dan pendirian masing-masing dalam pilihan raya.
"Saya mendapat angka yang tidak rasmi daripada pengundi luar yang sepatutnya balik mengundi, dianggarkan sekitar 40 hingga 45 peratus sahaja yang dapat balik ke Kuala Besut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan