Jumaat, 19 Julai 2013

TAAT PADA ALLAH SWT WAJIB...BUKAN TAAT SAMBIL LEWA....ADAKAH KITA TIDAK KEMBALI PADA ALLAH SWT

DAP akui Che Long ada kelebihan peribadi

Khairul Azlam Mohamad, 19 Jul 2013
BESUT: DAP Terengganu berkeyakinan tidak mustahil calon PAS yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut bakal membuat kejutan pada hari mengundi, 24 Julai nanti.

Pengerusinya, Ng Chai Hing (gambar) berkata populariti calon PAS, Endot@Azlan Yusof yang mesra dengan panggilan Che Long di kalangan masyarakat setempat diakui benar.

Menurutnya, tinjauan kempen DAP di Kuala Besut ini mendapati rakyat terutama pengundi tempat rata-rata mengenali Che Long yang bertanding pilihan raya ini.

“Saya lihat calon kita (Pakatan Rakyat) yang diwakili oleh PAS ini boleh buat kejutan menang pada hari mengundi. Sebab, beliau dikenali ramai oleh penduduk setempat walau pun di kalangan orang Umno.

“Calon PAS ini tidak ada masalah dengan rakyat, suka tolong orang, baik dan mesra dengan rakyat. Ramai orang kenali dia, itu kelebihan peribadi Che Long.

“Saya dan rakan-rakan DAP telah buat kempen di Kuala Besut ini dan sambutan cukup baik kerana calon kita tidak ada masalah dengan orang ramai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau memulakan kempen di Kuala Besut bagi mencari serta mengenal pasti pengundi Tionghua yang terlibat dengan pilihan raya kali ini.

Justeru, kata Chai Hing, jentera kempen PAS dan Pakatan Rakyat perlu bekerja lebih kuat bagi mempastikan Che Long menang meski pun dengan kelebihan satu undi.

Tambahnya lagi, rakyat di Kuala Besut ini perlu mengambil peluang besar ini untuk membuat perubahan bagi menjadikan kuasa politik Terengganu seimbang.

Nasrudin rai, berbuka dengan petugas Pemuda PAS

Rosli Yasmin, 19 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan meraikan sekretariat dan petugas sepenuh masa pemuda yang selama ini bertungkus-lumus menjayakan segala aktiviti-aktiviti dewan itu.

Beliau meluangkan masa berbuka puasa selepas balik dari sidang parlimen yang berakhir petang semalam.

Ahli Parlimen Temerloh itu menyatakan rasa bangga dan berterima kasih dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi ditunjukkan oleh sekretariat pemuda selama ini.

"Tanpa mereka Dewan Pemuda PAS tidak akan berjaya sampai ke hari ini.

"Pekerja-pekerja di belakang tabir inilah yang berjaya menggerakkan agenda-agenda pemuda," ujar beliau.

Nasrudin juga menyampaikan ucapan takziah kepada pegawai penerangan DPPM, Suhaimi Abd Aziz dan isterinya, Puan Syutina di atas pemergian bonda tersayang baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada semua petugas selain berbuka bersama-sama sebelum balik ke Temerloh.

Turut bersama-sama pada majlis tersebut timbalannya, Nik Mohamad Abduh, setiausaha Khairul Faizi, Khairul Fahmi dan Syed Kader.

RM65 juta untuk bawa balik 2,105 pakar

Anis Nazri, 19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Kos setiap pakar yang dibawa ke negara ini melalui program Talent Corp berjumlah RM30,000 seorang, dengan sejumlah peruntukan sebanyak RM65 juta bagi tiga tahun ini.

Biarpun dengan peruntukan sebanyak itu, hasilnya hanya sejumlah 2,105 orang pakar sahaja yang dibawa masuk ke negara ini, tegas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, kepada media semalam.

Bercakap pada satu sidang media di lobi parlimen, Chin Tong berpandangan kerajaan perlu mewujudkan satu suasana di mana pakar-pakar berebut untuk balik ke Malaysia.

"Namun, keadaan negara kita sekarang, pekerja asing tanpa kemahiran berebut-rebut datang ke negara kita, manakala pakar kita keluar bekerja di luar," kata beliau.

Sehubungan itu, jelas Chin Tong, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan sama ada pendekatan Talent Corp ini masih bertepatan atau sebaliknya.

Perkara tersebut turut disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang menegaskan perkara ini bukan sahaja urusan kerajaan untuk memanggil balik pakar kita ke negara ini, sebaliknya berlaku 'brain drain', di mana pakar dalam negara ini mahu keluar ke negara lain.

"Fenomena 'brain drain' ini apabila pakar dalam negara mahu keluar ke negara lain, mungkin kerana mendapat peluang yang lebih baik.  Masalah negara kita hari ini, bukan sahaja mengalami kesulitan untuk membawa balik pakar ke negara kita, untuk menyekat 'brain drain' ini pun kita tidak mampu," kata beliau kepada media.

Justeru, Takiyuddin mengharapkan kerajaan berusaha mewujudkan suasana pekerjaan yang kondusif, khususnya di bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan agar pakar di bidang itu tidak keluar, di samping membawa masuk pakar dari luar ke negara ini.

Terdahulu, Chin Tong meminta Perdana Menteri menyatakan statistik terperinci peserta program Talent Corp bagi tahun 2011, 2012 dan 2013 ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp) telah menerima geran pelancaran sejumlah RM30 juta pada 2011, manakala penyaluran peruntukan sebanyak RM20 juta bagi 2012, dan RM15 juta bagi 2013.

Peruntukan tersebut bagi menampung kos operasi termasuk perbelanjaan emolumen, kos permulaan penubuhan serta kos pejabat.

Talent Corp yang beroperasi bermula Januari 2011 ditubuhkan untuk mengenalpasti, menyelaras dan melaksanakan inisiatif bagi memenuhi keperluan untuk membangun dan menarik modal insan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh negara.

Talent Corp juga berperanan menjalin kerjasama erat dan berkesan dengan pakar global, syarikat terkemuka serta agensi kerajaan yang berkaitan dalam menggerakkan agenda modal insan bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi selaras dengan Program Transformasi Ekonomi dan mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.

500 naskhah Harakah dirampas di Temerloh

Khairil Abdul Rahim, 19 Jul 2013

Kakitangan KDN sedang mengambil akhbar Harakah dan memasukkan ke dalam kotak.

TEMERLOH: Dianggarkan 500 naskhah akhbar Harakah keluaran terbaru dirampas daripada kedai-kedai sekitar bandar ini dalam operasi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Pengedar Harakah Kawasan Temerloh, Arizaliza Othman berkata, akhbar tersebut baru sahaja dihantarnya ke kedai-kedai terlibat awal pagi semalam.

Beliau yang juga pengedar akhbar Suara Keadilan, berkata akhbar milik PKR itu juga turut dirampas.

“Pada sebelah pagi tadi (semalam) seperti biasa saya mengagihkan Harakah ke kedai-kedai yang menjual akhbar dan majalah, sehinggalah kira-kira pukul 11 pagi saya dihubungi pekedai mengatakan KDN dan polis datang merampas.

“Sudah pasti saya begitu terkejut kerana ini pertama kali berlaku sejak menjadi pengedar kawasan apa lagi selepas pilihan raya umum ini dan bertukar menteri,” katanya.

Beliau turut terkilan dengan tindakan tersebut kerana dalam bulan Ramadhan ini majalah-majalah lucah dan tahyul dibenarkan tetapi akhbar milik parti yang sah dirampas.

Sementara itu seorang pemilik kedai yang menjadi mangsa rampasan di Taman Temerloh Jaya dekat sini, William Ho terkejut kerana tindakan kakitangan KDN yang datang dengan dua buah kereta dan sebuah kereta polis.

“Mereka berhenti di hadapan kedai saya lalu menerpa dan merampas kira-kira 50 Harakah dan 30 Suara Keadilan yang terpamer bersama akhbar lain tanpa bertanya sesuatu.

“Ketika itu hanya ada seorang pekerja saya sementara saya berada di luar dan hanya kembali 10 minit kemudian setelah dihubungi pekerja, tetapi akhbar-akhbar itu sudahpun dirampas dan disimpan dalam kotaknya.

“Mereka paksa saya tandatangan sekeping borang dan berkata saya tidak termasuk dalam senarai nama pengedar-pengedar Harakah dan Suara Keadilan pula langsung tidak ada permit dan sebab itulah mereka rampas,” ujarnya.

William berkata, beliau memberitahu pegawai berkenaan bahawa beliau telah 8 tahun menjual Harakah, justeru kenapa sekarang baru mahu mempersoalkannya status pengedar.

Katanya, malangnya rayuan itu tidak dipedulikan.

Minggu lalu, KDN dalam operasinya telah merampas Harakah dan Suara Keadilan di sekitar bandar Kuantan.

Al-kisah lobak merah, telur dan biji kopi

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 18 Jul 2013
Jamil datang ke rumah ustaz Ibrahim menceritakan bagaimana hidupnya diuji dengan penuh kesusahan. Jamil berkata beliau tidak mampu menghadapinya lagi dan ingin berputus asa. Jamil memberitahu ustaz Ibrahim beliau teramat letih untuk meneruskan perjuangan dan berlawan… setelah satu masalah selesai, satu masalah baru pula timbul.

Ustaz Ibrahim hanya mendengar dan tidak berkata apa-apa. Beliau menyuruh Jamil mengikutnya ke dapur.

Jamil pun mengikut tanya bertanya. Ustaz Ibrahim mengisi air di dalam tiga periuk kecil dan mendidih ketiga-tiganya serentak.

Semasa air mendidih, Ustaz Ibrahim memasukkan lobak merah ke periuk pertama, telur ke periuk kedua dan biji kopi ke periuk ketiga.

Jamil bertanya, “Apa yang ustaz buat? Nak masak apa tu?”

Ustaz Ibrahim tidak berkata apa-apa dan membiarkan air mendidih selama 20 minit. Setelah 20 minit, Ustaz Ibrahim mengeluarkan lobak merah, telur dan biji kopi ke dalam sebuah mangkuk.

“Jamil, apa yang enta nampak?”

“Lobak merah, telur dan kopi,” jawab Jamil.

Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil untuk menyentuh lobak merah tersebut. Jamil terasa lembut. Kemudian Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil untuk memecahkan telur tersebut. Selepas mengupas kulitnya, Jamil dapat satu telur masak penuh. Kemudian, Ustaz Jamil menyuruh Jamil mencuba air kopi di periuk ketiga. Jamil berasa rasanya penuh aroma kopi.

“Ustaz, apa maksud semua ini?” Jamil bertanya.

“Setiap benda ini (lobak merah, telur dan biji kopi) telah melalui kesusahan yang sama, iaitu air mendidih. Tapi setiap satunya memberikan reaksi berlainan.

Lobak merah masuk dalam keadaan keras, kuat dan kasar. Akan tetapi setelah melalui ujian air mendidih ia keluar lembik dan lemah.

Telur masuk dalam keadaan rapuh dan mudah pecah. Dalam cecair yang hanya dilindungi satu kulit yang nipis… akan tetapi setelah melalui ujian air didih, ia bertukar menjadi keras.

Bagi bijih kopi pula… ini lebih menarik. Semasa mereka dalam air mendidih, mereka menukar seluruh air mendidih kepada air kopi yang wangi aroma seperti yang diminum Jamil tadi,” terang Ustaz Ibrahim sambil tersenyum.

Mata Jamil seolah-olah terpukau dengan penjelasan Ustaz Ibrahim.

“Jadi, Jamil adalah yang mana satu? Bila kesusahan melanda, bagaimana Jamil menghadapinya? Lobak merah, telur ataupun biji kopi?” tanya Ustaz Ibrahim kepada Jamil yang tersentak dengan persoalan itu.

Semasa ujian Allah datang mengetuk pintu anda, bagaimana anda harus menghadapinya?

Adakah anda seperti lobak merah yang nampak kuat, tapi dengan kesusahan, anda bertukar menjadi lembik dan hilang segala kekuatan anda?

Ataupun anda seperti telur dengan hati yang bagaikan cecair yang mudah dipengaruhi haba dan setelah melalui musibah, luaran anda nampak tidak berubah, akan tetapi hati anda menjadi keras dan tidak gembira dan tidak beransur.

Ataupun anda ialah biji kopi, makin didih, anda mengubah keadaan situasi anda sehingga keadaan itu mengeluarkan bau aroma yang menakjubkan.

Jadi siapakah anda?

Ingat, Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuannya. Apabila menghadapi kesusahan, ingatlah Allah sedang menguji anda, dan anda seharusnya bertindak seperti biji kopi, bertambah baik dan mengubah keadaan sekeliling anda kepada perkara positif.

Masa paling sukar adalah masa terbaik untuk meningkatkan diri ke tahap yang lain.

Senyum.

Andai keputusan PRK Kuala Besut begini

.,
Salam Ramadhan Kareem,

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL
DEWAN UNDANGAN NEGERI
http://resultpru13.spr.gov.my/images/Logospr.GIF
NEGERI : TERENGGANU

BAHAGIAN PILIHAN RAYA : N.01 - KUALA BESUT
http://resultpru13.spr.gov.my/images/BN.gif
NAMA PENUH
PARTI
BILANGAN UNDI
KEPUTUSAN
1. Tengku Zaihan Bin Che Ku Abd Rahman (Tengku Zaihan) http://resultpru13.spr.gov.my/images/BN.gif BN
7,197

2. Endot @ Azlan Bin Yusof (Che Long) http://resultpru13.spr.gov.my/images/PAS.gif PAS
7,450
MENANG

JUMLAH PEMILIH BERDAFTAR :
17,683


JUMLAH KERTAS UNDI DITOLAK :
107


JUMLAH KERTAS UNDI DALAM PETI UNDI :
14,754


JUMLAH KERTAS UNDI DIKELUARKAN :
14,777


JUMLAH KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN :
23


PERATUS PENGUNDIAN :
83.44%


MAJORITI :
253

Kedudukan terikini di Dun Terengganu:
BN: 16 kerusi
PAS: 15 kerusi
PKR: 1 kerusi
Ini andaian yang mungkin akan berlaku pada sekitar jam 9 malam pada 24 Julai 2013 (Rabu) nanti. Jadi siapakah yang akan memerintah kerajaan negeri Terengganu?

Secara jelas, apa yang ana boleh jawab adalah BN akan terus memerintah negeri Terengganu kerana dari segi penafsiran undang-undang pilihanraya dan demokrasi di Malaysia, parti yang mempunyai jumlah kerusi yg dimenangi adalah melebihi parti lain adalah layak untuk membentuk sesebuah kerajaan.

Atas kertas atau dari segi undang-undang penubuhan, BN bertanding atas lambang dacing yg didaftarkan dengan SPR (bukan umno. mca, mic atau komponen parti yg lain). Hatta jika calon mereka bertanding letak lambang keris atau matahari sekalipun, pencalonan mereka tak sah.

Begitu juga kita rujuk pada kes PAS, PKR dan DAP yang buat masa ini yang sedang berusaha untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah satu parti gabungan dengan menggunakan satu lambang di atas kertas undi dan mendaftar sebagai sebuah parti yang sah dengan SPR.

Dari segi hujah mudah ini secara jelas yang BN masih mempunyai kerusi majoriti di DUN Terengganu. Jadi apa yg akan berlaku selepas PRK Kuala Besut, 24 Julai 2013 sudah boleh di jangka melainkan kita menunggu keputusan perbicaraan dan kehakiman kes petisyen PRU 13 yang telah difailkan oleh PAS Terengganu di dua buah DUN yang diragui kesahihan keputusan pengundian yang lalu.

Bukan bermaksud ana tidak bergembira dengan kemenangan Che Long dan PAS di Kuala Besut. Jika benar qada' dan qadar nya yang Che Long bakal bergelar YB dan memasuki Dun kelak, In sha ALLAH, tidak bertangguh ana akan segera sujud syukur atas kemenangan ini kerana satu lagi suara yang membawa ISLAM sebenarnya akan bergema di dewan undangan negeri Terengganu.

Begitu banyak ulasan yang boleh kita baca berkenaan dgn situasi yang bakal dihadapi di Terengganu jika berlaku kedudukan 16 : 16 sama ada di harakahdaily, malaysiakini, webpage, blog-blog, komen2 peribadi, wall-wall facebook dan lain-lain yang bagi ana situasi ini tidak akan wujud sama sekali berdasarkan huraian mudah di atas.

Bagi ana dengan satu kerusi PKR di Terengganu tidak bermakna secara automatik kedudukan akan jadi 16:16. Kerana di atas kertas PAS dan PKR bukan satu entiti yg berdaftar sebagai sebuah gabungan. Walaupun kita tahu kedua-dua parti ini adalah dalam gabungan Pakatan Rakyat secara alami / nyata.

Di sini pakar perundangan dan perlembagaan boleh juga menghuraikan secara lanjut dari segi kedudukan kerusi nanti, kerana sudah tentu kerusi YB Azan Ismail di DUN Bandar akan menyokong 15 kerusi PAS yang lain dan dengan ini secara lahirnya kedudukan kerusi DUN Terengganu akan seri. Situasi ini kita boleh lihat dalam kes di DUN Perak ketika krisis berlaku dalam tahun 2009 yang mana walaupun kedudukan kerusi DUN secara jelas seri antara BN dan DAP/PKR/PAS, tapi apabila YB-YB yang keluar parti itu menyatakan sokongan pada BN walaupun jadi YB Bebas, maka mahkamah menetapkan yang BN layak memerintah negeri.

Dengan ini ada yang mengandaikan perlu diserahkan pada kebijaksanaan Sultan Terengganu untuk membuat keputusan. Yang ni ana nampak lebih berat kepada meneruskan apa yang sedia ada atau 'incumbent', iatu Md Said dan barisan exconya. Walaupun ada kisah mengatakan yang Sultan Mizan amat menyukai dan menghormati Tuan Guru Presiden kita, dan harapan ana perkara ini amat-amat benar berlaku.

Dan tak kurang juga andaian lain, pihak SPR perlu membuat keputusan bijak dan segera iaitu mungkin dengan cara membubarkan DUN Terenggani dengan menjalankan semula pilihan raya peringkat negeri yg agak membebankan semua pihak. Yang ni mungkin cara atau kaedah terkahir yang difikirkan paling sesuai jika berlaku ketidakstabilan di Terengganu.

Sekali lagi, bukan ana tak bersyukur dan tak mahu PAS serta PR memerintah Terengganu, tapi biar kita letakkan sikit kebimbangan dan harapan yang tidak terlalu tinggi untuk memerintah negeri penyu bertelur ni kerana jika terlalu yakin nanti akan menyebabkan terlalu ramai yang kecewa sedangkan kita perlu berpijak di bumi yang nyata dan berdepan dengan realiti berkenaan kedudukan sebenar jumlah kerusi dalam Dun Terengganu.

Doa ana kepada pengundi-pengundi di Kuala Besut agar mereka akan memangkah BULAN kelak dan mereka ini merupakan pencetus pada kematangan berpolitik di Malaysia dan pengalaman baru pada pengamalan sistem demokrasi di Malaysia.

Buah fikiran daripada,
Amiruddin Abdul Halim,
Al-Jubail, Arab Saudi

Antara orang agama dan orang beragama

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 18 Jul 2013
“Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah” itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.

Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sekolah Cator Avenue.

Saya termenung.

Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.

Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.

Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.

Simpang Kehidupan


Panjang likunya.

Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.

1993 saya tiba di Jordan.

“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?” tanya bapa saudara saya.

Terkejut dengan pilihan yang saya buat.

Saya hanya mampu tersenyum, kelat. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.

Kejutan


Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.

Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk ini. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.

Dalam komuniti pelajar agama, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.

Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.

Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.

Bacaan al-Qurannya…

Kepimpinannya di dalam solat…

Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…

Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.

Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.

Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.

Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.

Minat dan Kecenderungan


Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?

Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.

Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.

Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.

Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.

Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.

Daripada Jabir bin ‘Abdillah, sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia.” [al-Jami' al-Saghir oleh al-Suyuti no. 4044]

Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.

Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.

Kilang Manusia Tercemar


Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh dalam kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.

Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!

Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?

Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?

Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.

Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadis pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?

Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.

Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?

Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.

Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?

Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik. Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.

Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.

Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:

* Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
* Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
* Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
* Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
* Menjadi pengetua sekolah.
* Menjadi guru pada masa yang sama.
* Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
* Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
* Menjadi webmaster halaman web masjid.
* Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah yang pelbagai oleh komuniti

Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.

Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.

Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.

Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.

Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.

Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.

Kemampuan


Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.

Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.

Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.

“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.

Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.

Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.

Antara Beragama dan Menjadi Orang Agama


Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.

Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.

Alternatif
Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.

Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!

Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.

http://saifulislam.com/

Tiada ulasan: