Isu Ketua Menteri Melaka, Lions Club dan Imam dari Palestin
Posted on Thursday, July 25 @ 19:13:54 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Oleh: amkns
"Apakah
ada kaitan Ketua Menteri Melaka terima pingat Lions Clubs International
dengan kenyataan beliau yang tidak senang dengan kehadiran imam dari
Mesir dan Palestin untuk memimpin solat Tarawih sepanjang Ramadan di
Malaysia? Sedangkan ulama-ulama seperti Doktor Yusof Al-Qaradhawi,
Doktor Ahmad Salibi, Sheikh Ali Jadul Haq, Fathi Yakan dan lain-lain
lagi yang kesemuanya secara terbuka telah mengaitkan pertubuhan Lions
Club antarabangsa dengan pertubuhan Zionis
KM Melaka terima pingat Lions Clubs International
25 Julai 2013
MELAKA -
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron hari ini menerima pingat
'Pemimpin Global dalam Khidmat Kemanusiaan' daripada Lions Clubs
International atas sumbangannya membangunkan golongan belia di seluruh
dunia. Presiden Lions Clubs International Barry J Palmer berkata Idris
sebagai Presiden Perhimpunan Belia Sedunia adalah contoh pemimpin bagi
belia di seluruh dunia.
Hukum Pembinaan Pusat Down Sindrom Oleh Lions Club Di Tanah Wakaf Atau Baitul Mal Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan
24 Feb, 2011
4.
Kerjasama yang ingin dibuat dengan Lions Club Malaysia dikuatiri akan
membuka ruang kepada fitnah dan tohmahan daripada masyarakat Islam
kerana setelah dibuat kajian tentang isu Lions Club Antarabangsa
didapati terdapat banyak penulis daripada ulama-ulama timur tengah
seperti Doktor Yusof Al-Qaradhawi, Doktor Ahmad Salibi, Sheikh Ali Jadul
Haq, Fathi Yakan dan lain-lain lagi yang kesemuanya secara terbuka
telah mengaitkan pertubuhan Lions Club antarabangsa dengan pertubuhan
Zionis. Bahkan persidangan Majma’ ai-Fiqhi kali pertama yang bertarikh
10 Ramadhan 1398H bertempat di Makkah A-Mukarramah telah membuat
ketetapan bahawa pertubuhan Fremanson, Lions dan Rotary adalah
pertubuhan yang bercanggah dengan prinsip Agama Islam.
6. Sebagai
jalan alternatif kepada Majlis Agama Islam Kelantan bagi melaksanakan
program ini, disyorkan agar Majlis Agama Islam Kelantan sendiri
mengepalai projek pembinaan pusat Down Sindrom di Negeri Kelantan dan
peruntukkan untuk melaksanakan projek ini boleh diambil daripada wang
zakat.
Kaji isu jemput imam Tarawih
25
Julai 2013 : Tindakan mengundang imam dari negara bergolak seperti Mesir
dan Palestin untuk memimpin solat Tarawih sepanjang Ramadan di negara
ini perlu dikaji semula, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Idris
Haron. Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)
meminta Othman meneliti setiap permohonan mengundang imam daripada
negara terbabit pada masa akan datang."
Kes kematian tahanan polis, dah jadi kes polis dengan polis pula
Posted on Thursday, July 25 @ 18:34:27 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Oleh: amkns
"Kes
yang pada awalnya melibatkan kematian tahanan polis kini bertambah
rumit apabila sekarang ianya melibatkan dakwaan polis yang menganiaya
polis pula. Apa sudah jadi dengan PDRM? Macam ni bertambah bimbang
rakyat akan keselamatan mereka serta keyakinan mereka terhadap polis
untuk mencegah jenayah.
Kes Dhamendran: Inspektor dakwa jadi mangsa akibat ‘lindungi pihak tertentu’
25 Julai 2013
Suspek
keempat kematian dalam tahanan N Dhamendran, Inspektor S Hare Krishnan,
mendakwa tidak bersalah tetapi diheret ke dalam kes itu bagi
'melindungi pihak-pihak tertentu.'
Ia didedahkan dalam satu
laporan polis Hare Krishnan pada 1 Jun, sembilan hari selepas kematian
Dhamendran pada 21 Mei 21, dua minggu sebelum inspektor polis itu
menyembunyikan diri.
Mengikut Malaysiakini, laporan itu menyebut
Hare Krishnan tidak berada di lokap di Dang Wangi pada hari Darmendran
meninggal dunia.
Inspektor itu berkata, ada arahan untuk
memasukkan namanya dalam diari lokap, sesuatu yang didakwanya dilakukan
tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
Dia mendakwa semua catatan
dirinya dalam diari lokap tidak benar dan dilakukan untuk mengaitkannya
bagi melindungi pihak tertentu.
Mengikut Hare Krishnan, dia tidak
pernah 'menyentuh atau memukul' Dharmendran pada hari itu, dan mendakwa
dia tahu siapa yang 'memukulnya dan siapa yang berada di sana dan siapa
yang tahu tentang hal itu.'
themalaysianinsider.com"
R6-Cinta Allah. Kelas apa cinta kita? bicara mendalam
Posted on Thursday, July 25 @ 18:24:19 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Oleh: hishamahmad
"Cinta Allah adalah cinta yang melebihi segala cinta yang lain. Cinta yang melebihi segala kecintaan kepada makhluk.
Cinta
kepada Allah melebihi cinta kepada manusia yang paling dicintai, sama
ada ibubapa sendiri ataupun kekasih hati, biarpun bersamanya, telah
dilafaz ikrar dan janji untuk sehidup semati.
Persoalannya,
bagaimana yang dikatakan cinta kepada Allah? Mudah dikata tetapi
bagaimana untuk benar-benar dirasa. Cinta kepada Allah mesti
mengandungi elemen paling utama (the most essential element) iaitu
ketaatan dan kepatuhan kepada Allah secara tidak berbelah bagi.
Tanpanya, kecintaan itu adalah satu tipudaya.
Lalu bagaimana
kalau ketaatan dan kepatuhan itu dilakukan bukan kerana cinta, kerana
terpaksa atau kerana ada ganjaran yang diingininya. Ketaatan yang
terpaksa kerana takutkan neraka-Nya atau kerana menghajatkan Syurga
sebagai ganjarannya. Adakah ini dapat dianggap sebagai ‘cinta’ atau
cinta yang bermotif dan tidak suci.
Tidakkah ketaatan kepada
Allah itu patut dilaksanakan hanya kerana kasih, suka dan cinta
semata-mata? Tidak bermotif dan tidak disandarkan kepada perkara lain.
Sebagaimana dikatakan diucapkan oleh Rabiatul Adawiyah, seorang ahli
ibadah yang hebat;
“Ya, Allah kalaulah cinta ku ini kerana
inginkan syurga-Mu, maka kau jauhkan aku darinya. Kiranya cintaku ini
kerana takutkan neraka-Mu kau campakkanlah aku ke dalamnya.”
Benarkah
ada manusia biasa yang mempunyai tahap cinta begitu luarbiasa dan
sanggup berkata begini atau ia sekadar di ada-adakan melalui catatan
seseorang lain yang dikaitkan dengannya, yang juga dilakukan atas nama
cinta?
Sewajarnya kita mencintai Allah kerana kita mencintai
Allah. Itu sahaja. Kita mencintai Allah kerana Allah yang mencipta kita.
Benar! tapi ia alasan paling minima. Bukan sekadar ini sebab kita
perlu mencintai-Nya. Bermakna, sekalipun kita tidak diciptakan-Nya,
Allah sentiasa kekal, layak dan mesti dicintai. Kita mencintai Allah
kerana Allah memang layak untuk dicintai. Kita mencintai Allah kerana
kita memerlukan rasa cinta itu. Kita mencintai Allah kerana kita
memerlukan dan berhajat kepada Allah bukan kerana Allah memerlukan
cinta kita. Allah tidak berhajat kepada kita, kita yang berhajat
kepada-Nya.
Ketahuilah!, kita mencintai Allah kerana kita memerlukan untuk mencintai-Nya.
Membingungkan?
Begini. Kita mencintai Allah kerana Allah menjadikan kita. Allah telah
berfirman di dalam al-Quran yang mulia pada surah al-Zariyat, 51: 56:-
Bermaksud “dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku”.
Perkara
asas ialah bahawa kita diciptakan Allah adalah untuk menyembah dan
beribadah kepada-Nya. Tentulah penyembahan dan ibadah itu dilakukan
bukan kerana benci tetapi kerana cinta. Tanpa cinta, tentulah ia
didasarkan kepada kepura-puraan, nifaq atau munafiq menjadikan ibadah
itu tertolak dan tiada nilai di sisi-Nya.
Perkara kedua ialah
kita juga perlu mencintai Allah kerana Allah memberikan pelbagai nikmat
kepada kita dalam pelbagai bentuk yang kita tidak akan mampu menghitung
apa lagi untuk membalasnya. Allah telah berfirman di dalam al-Quran
yang mulia pada surah Ibrahim, 14: 34:- Bermaksud; “dan ia telah
memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati.
dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan
bilangannya..”.
Mengatasi perkara pertama dan kedua itu, kita
mencintai Allah kerana memerlukan untuk mencintai-Nya. Kita perlu
mempunyai rasa cinta itu. Kita memerlukan perlakuan dan perasaan
mencintai Allah itu bagi kebaikan, manafaat dan kepentingan diri kita
sendiri. Macam pelik, bukan?
Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah al-Fathir, 35:15:-
Bermaksud;
“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat (memerlukan)
kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah, Dia lah sahaja Yang
Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.
Maksud ayat ini memberikan kita
satu sebab atau salah satu sebab mengapa kita perlu mencintai-Nya,
iaitu ia bukan bagi kebaikan, kepentingan-Nya tetapi bagi kebaikan dan
kepentingan diri kita sendiri sebagai manusia atau hambanya. Manusia
yang berhajat kepada Allah. Manusia memerlukan Allah, tidak sebaliknya.
Sebagai
contoh, apabila kita meluahkan rasa cinta kita, memuji dan dan
mengagungkan-Nya, dengan lafaz seperti; “Ya Allah aku mencintai-Mu
sepenuh jiwa ragaku, Segala puji bagi-Mu, Kaulah Tuhan yang maha Agung
Maha”, ketahuilah bahawa luahan cinta dan lafaz pujian dan pengagungan
kita itu tidak menjadikan Allah lebih berkuasa atau lebih agung, kerana
ucapan dan lafaz kita itu. Mengapa?
Sesungguh Allah telah sedia
dan senantiasa maha agung, maha besar tidak kira sama ada kita
mengucapkan kata-kata yang membesarkan dan memuji Allah. Allah s.w.t
tetap kekal sebagai tuhan yang maha agung maha besar dan dengan
kehebatan nama-nama dan sifat-sifat Nya.
Sebenarnya, Allah
memerintahkan kita untuk beribadah kepada-Nya, memuji-Nya sekaligus
bermaksud mencintai-Nya ialah bagi kebaikan diri kita sendiri. Allah
maha mengetahui tentang diri manusia sebagai makhluk ciptaan-Nya
termasuklah perihal psikologi manusia. Perbuatan dan tindakan kita
beribadah, memuji dan mencintai-Nya adalah memenuhi tuntutan fitrah dan
sifat lumrah kejadian manusia. Kita memerlukan Allah sebagai tempat
mengadu, tempat bergantung harap, tempat kita memohon dengan seribu
macam jenis permohonan, tempat untuk kembali dengan kepasrahan. Tanpa
rasa bertuhan kepada Allah, maksud hidup ini tidak beerti, kehidupan
dunia tidak akan difahami.
Memadailah satu contoh di sini.
Kezaliman terhadap begitu ramai manusia yang tidak berdosa termasuk
kekejaman terhadap batang tubuh dan emosi kanak-kanak kecil seperti yang
berlaku di Syria. Di mana keadilannya?
Mereka yang
mengalaminya, menderita atas kezaliman itu memerlukan untuk menyembah
dan mencintai Allah untuk menyakini keadilannya, bahawa jika mereka
bertahan atas ujian ini, bagi mereka ganjaran yang besar di alam
akhirat. Bagi kita yang menyaksikan tahap tertinggi kekejaman dan
kebencian manusia kepada kanak-kanak ‘innocent’ ini tanpa kita mampu
berbuat apa-apa, maka kita juga memerlukan untuk kembali kepada Allah
untuk mengadu kepada-Nya, untuk meluahkan kekecewaan, kesedihan dan
pengharapan kita atau apa sahaja yang dirasa dan ditanggung di dalam
jiwa.
Kita memerlukan untuk beribadah, mencintai dan berdoa
kepada-Nya betapa kita menyakini keadilan-Nya atas apa yang berlaku itu.
Betapa kekadang atau kerapkali kita keliru dan bingung atas apa yang
berlaku pada diri kita, orang-orang yang kita sayang atau di mana-mana
bahagian di serata dunia. “Mengapa begini? Mengapa harus jadi begini?
Mengapa manusia yang zalim masih bermaharajalela? Mengapa kanak-kanak
kecil ini dizalimi begitu sekali? Di mana pertolongan-Mu, Ya Allah?
Dikau kata pertolongan-Mu begitu hampir, tetapi kenapa ianya masih belum
tiba?” “ Ya, Allah, apa yang aku fikirkan, seperti aku tidak meyakini
keadilan dan pertolongan-Mu, Hanyasanya akulah yang keliru, yang tidak
faham. Ya Allah, ampunkanlah aku atas apa yang aku fikirkan,
lindungilah aku dari keburukan fikiranku..”
Ini keperluan fitrah
kita sebagai manusia. Keperluan untuk mencintai Allah. Jika tidak,
orang-orang yang baik akan kecewa dan menjadi sakit jiwa atau boleh
menjadi gila. Sesungguh dari-Nya kita datang, kepada-Nya, kita kembali.
Sekalipun
cinta Allah adalah fitrah, cinta Allah adalah keperluan, sebahagian
manusia memilih untuk meningkari fitrah dan menidakkan keperluan itu.
Mereka memilih untuk tidak mentaati dan mencintai-Nya. Jika manusia
mendakwa dia mencintai allah tetapi tidak beribadah kepada–Nya , bahkan
tidak mentaati dan mengingkari perintah-Nya, ia adalah cinta yang pelik
atau sebenarnya cinta munafiq.
Sungguhlah manusia bersifat
mudah lupa, tidak berterimakasih, tidak mengenang budi dan tidak
bersyukur. Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran yang mulia,
melalui surah al-Adiyat, 100:6: Bermaksud; “ Sesungguhnya manusia
sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya”.
Manusia perlu
sedar bahawa keengganan, kemalasan dan kedegilan untuk mencintai Allah
dan mentaati-Nya secara penuh dan menyeluruh tidak sedikitpun
menjejaskan atau mengurangkan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
sebaliknya sekadar merugikan diri manusia sendiri.
Mengapa
manusia sering begitu bersungguh dalam mendengar kata dan nasihat
manusia lain apabila percaya ia memberi manfaat dan kebaikan kepada
mereka tetapi terlalu daif dan lemah pemikiran untuk membandingkan
dengan kata dan nasihat daripada pemberi manfaat, kebaikan dan nikmat
yang tidak terkira besar dan luasnya.
Perhatikan manusia yang
menghadapi sakit kritikal atau serius, mereka begitu bersungguh
mendengar nasihat para doktor pakar dan berusaha mematuhi arahan
doktor. Sekiranya ia mematuhi arahan doktor bagi rawatan dirinya, ia
memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri. Seandainya pesakit itu
tidak mematuhi arahan doktor, ia mungkin membuatkan doktor marah tetapi
ia tidak menjejaskan doktor itu, sekadar mungkin memberi kesan buruk
kepada si pesakit tadi. Dia sendiri yang rugi. Seperti satu kisah benar
dalam Majalah Ridest Digest (dalam blog).
Kecintaan dan
ketaatan penuh kepada Allah s.w.t. adalah tidak lain bagi kebaikan
manusia sendiri bahkan kebaikan itu mengatasi semua kebaikan yang lain
kerana ia merupakan kebaikan bagi dunia dan akhirat manusia.
Sesungguhnya
rahmat Allah melampaui keluasannya di atas pembuktian cinta kita
kepada-Nya yang tidak seberapa. Sekalipun kekadang kita terculas dalam
melaksanakan ketaatan atau terlanjur dalam melakukan keingkaran, seperti
melakukan maksiat dan dosa, kita sentiasa diberikan peluang untuk
bertaubat dan Allah s.w.t. sentiasa sahaja boleh mengampunkan kesalahan
dan dosa kita. Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran yang
mulia:- Bermaksud; “khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (Wahai Muhammad),
Bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka
Yang bertaubat dan beramal soleh)”. (Surah al-Hijir 15: 49)
Bermaksud;
“Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang Yang melakukan
kejahatan Dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu
serta memperbaiki amalannya, Sesungguhnya Tuhanmu sesudah (Mereka
bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah
al-Nahl 16: 119)
Bermaksud; “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai
hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri
(dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari
rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa;
Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Azzumur 39: 53)
Bermaksud; “dan Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih”. (Surah Al-Burj 85: 14)
Namun
ingat, jangan sekali-sekali menduakan Allah dalam cinta dan ketaatan.
Perbuatan menduakan Allah dalam cinta dan ketaatan memusnahkan cinta
itu sendiri secara penuh dan total. Perbuatan menduakan, menyekutukan
dan mensyirikkan Allah adalah kezaliman kepada diri yang sangat besar
dan tidak diampunkan Allah. Allah s.w.t. telah berfirman di dalam
al-Quran yang mulia, melalui surah an -Nisa, 4: 48:
Bermaksud;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik
mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa
Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan
SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang
lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar”.
Bukan Cinta Kelas Rabiatul Adawiyah
Cinta
kepada Allah bukan cinta yang memerlukan kita meminta dicampakkan ke
neraka-Nya sekiranya cinta kita dibayangi dengan keindahan syurga-Nya,
digeruni dengan kedahsyatan api neraka-Nya.
Biarkan Rabiah dengan
kecintaannya. Biarkanlah segolongan manusia hari ini yang berusaha
mencapai darjat cinta setinggi itu. Kita tahu kita tidak mampu menggapai
bulan yang tinggi dengan kekuatan lompatan kita.
Cinta kita
cinta manusia biasa. Manusia yang sentiasa berhajat kepada Tuhan yang
memberikan segala hajat. Kita mencintai Allah kerana itu kita tunduk
patuh, beribadah, menyembah dan memuji-Nya. Kita juga berusaha mematuhi
segala arahan dan menjauhi segala larangan-Nya. Semuanya itu dilakukan
atas nama cinta. Kerana cinta kita melakukan semua itu.
Kita
akui cinta kita cinta manusia yang kecil dan daif di sisi Tuhannya.
Cinta kita cinta yang selalu dibayangi di pengaruhi dengan keinginan
meluap kepada syurga-Nya dan ketakutan kepada kedahsyatan neraka-Nya.
Salahkah?
Kita tidak mampu berdusta, sedang Tuhan mengetahui
apa yang dsembunyikan dihati kita. Kita tidak terdaya untuk tidak
memikirkan kenikmatan syurga dan kengerian neraka. Kekadang kita terasa
adakah cinta kita kepada-Nya kerana ingin memasuki Syurga-Nya dan
kerana takutkan Neraka-Nya? Lekehnya cinta kita ini. Masih mahukan
lebih setelah dilimpahi dengan nikmat tidak terhitung. Namun salah
cinta sebegini?
Tidak, tidak mungkin salah. Allah menjanjikan
balasan syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Janji ini
disebut berulang-kali di pelbagai tempat di dalam al quran. Begitulah
sebaliknya bagi orang yang ingkar, baginya balasan api neraka. Jelas,
cinta sebegini masih diiktiraf.
Bermaksud “dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya
mereka beroleh syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan
syurga itu, mereka berkata: "Inilah Yang telah diberikan kepada Kami
dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu Yang sama rupanya (tetapi
berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka Dalam syurga itu
pasangan-pasangan, isteri-isteri Yang sentiasa bersih suci, sedang
mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya” (2:25)
Bermaksud; “dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya” (2:82)
Bermaksud;
“dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan
mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. mereka beroleh dalam syurga
itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami
masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.” (4:57)
Bermaksud;
“dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan
mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah Yang
benar. dan siapakah Yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”.
(4:122)
Perjuangkan cinta kita kepada-Nya, Buktikan. Tingkat
martabat cinta kita kepada-Nya. Mungkin diantara kita, ada yang
akhirnya benar-benar terdaya mencapai tahap tertinggi dalam
kecintaannya setinggi cinta Rabiahtul Adawiyah kepada Tuhannya.
(tulisan
ini diringkas dari artikel penuh untuk paparan Tranungkite, tentang
kisah benar dalam majalah Reader Digest, catatan peribadi Dr. Micheal
J. Collins, seorang Doktor Pakar Bedah (Orthopaedic) dan artikel
lengkap, boleh rujuk blog. Sekiranya ada kesilapan fakta, ada komen
membantu, please ... maklumkan.)
hisham-ahmad.blogspot.com"
Saman Pil Kuda : Pemuda PAS Gombak Pertahankan Presiden
Posted on Thursday, July 25 @ 17:40:26 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Oleh: PemudaGombak
"Sekali lagi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diserang oleh rakan PR tanpa pembelaan oleh pimpinan dan ahli.
Saya
menunggu-nunggu respon daripada pimpinan PAS Pusat serta seluruh ahli
berhubung tindakan saman yang cuba di buat oleh rakan PR terhadap Tuan
Guru Presiden PAS yg diumum untuk dilakukan menjelang PRK Kuala Besut
baru-baru ni sepertimana yang di lapor oleh media.
Tidak kira
sama ada dia menarik balik atau tidak, ternyata pengumuman saman di
saat-saat getir PRK memberi modal kepada Umno BN dan menjejaskan
hubungan sesama PR.
Saya ternanti-nanti dan menunggu respon
daripada pimpinan PAS yang banyak pengalaman berlatarbelakangkan
perundangan dan peguam beserta lajnah dan jabatan yg berkaitan
undang-undang di dalam PAS, namun setakat ini belum ada.
Saya
juga menunggu kenyataan pimpinan PAS yg selalunya lantang dalam
mempertahankan PR dan menentang sebarang usaha yang menjejaskan PR untuk
mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan pengumuman saman tersebut
kerana ia jelas menjejaskan PR dan menguntungkan Umno BN.
Jika
dilihat pada isu yang dibangkitkan ternyata Tuan Guru Presiden tidak
menyebutkan nama mana-mana individu. Sebaliknya mengulangi prinsip yang
perlu dipelihara agar ahli-ahli Pas bekerja dalam suasana yang baik juga
bagi memenangkan calon yang tidak bermasalah. Cuba selami hati
ahli-ahli Pas yang bertungkus lumus berkerja tanpa mengharapkan apa-apa
ganjaran akan tetapi diletakkan individu yang bermasalah. Di sinilah
saya melihat Tuan Guru Presiden terpaksa mengambil tindakan tidak
popular untuk bertegas agar keharmonian dalam melaksanakan tugas ini
dapat di capai.
Saya amat yakin pimpinanan tertinggi PAS banyak
kali mengulangi prinsip dan akhlak yang ada dalam PAS yang perlu di rai
oleh rakan PR. Begitulah sebaliknya.
Saya yakin pimpinan dan ahli
amat memahami prinsip yang ada dalam PAS yang memungkinkan sesuatu
keputusan itu di buat. Kita ada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas
Pusat yang senantiasa memantau perjalanan parti. Paling kurang Pas ada
dua tapisan yang perlu di buat berbanding dengan organisasi lain yang
hanya ada Ajk Pusatnya dan silap-silap keputusan sesuatu perkara hanya
diputus oleh peribadi tertentu.
Justeru, saya mewakili Dewan
Pemuda PAS Gombak menyeru agar pimpinan dan ahli agar sama-sama kita
memahami bagaimana kewajipan kita memelihara prinsip parti disamping
keutuhan jalinan perjuangan suci ini yang dipimpin oleh para ulama.
Begitu
juga saya ulangi seperti kenyataan saya sebelum ini bahawa Pemuda Pas
mengisytiharkan akan mempertahankan Presiden kami dalam apa sahaja
bentuk cubaan yang menggugat selagimana ianya tidak bercanggah dengan
prinsip dan syariat.
Ustaz Syarhan Humaizi Halim,
Ketua Pemuda PAS Gombak.
Bertarikh : 25 Julai 2013
-------------------------------------------------
Website : www.pemudagombak.com/v1
Facebook : https://www.facebook.com/PemudaGombak
Twitter : https://twitter.com/PemudaGombak
YouTube : http://www.youtube.com/user/dppgtv"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan