Selasa, 30 Julai 2013

BILA KITA TIDAK MENGUATKUASA UNDANG2 ALLAH SWT....MANUSIA JADI SERONOK SERTA TAK TAKUT....TAK LAKSANA HUKUM ALLAH AKIBATNYA TANGGUNGLAH SENDIRI DIDUNIA DAN DIAKHIRAT NANTI

Kami sekeluarga bertambah bimbang - ayah Sanjeevan

Harakahdaily, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: “Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada Sanjeevan,” kata Ramakrishnan Perianan, bapa Pengerusi MyWatch, Sri Sanjeevan (gambar).

Katanya, kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan mengenai anaknya itu membuatkan beliau sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang.

“Saya dengan ini meminta supaya pihak media yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan anak saya Sanjeevan untuk terus menghubungi saya atau kakak beliau, Cik Maygala Ramakrishnan dan tidak menerusi mana-mana pihak lain,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam, sebagaimana di bawah.

Dalam tempoh beberapa jam yang lalu saya mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan anak saya Sri Sanjeevan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan.

Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada Sanjeevan dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang.

Saya dengan ini meminta supaya pihak media yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan anak saya Sanjeevan untuk terus menghubungi saya atau kakak beliau, Cik Maygala Ramakrishnan dan tidak menerusi mana-mana pihak lain.

Saya juga meminta supaya pihak-pihak dan individu-individu yang tidak berkenaan untuk berhenti dari mengeluarkan apa jua kenyataan-kenyataan kepada media tentang keadaan Sanjeevan tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu.

Pada masa ini, anak saya sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban petang tadi. Keadaan beliau, seperti yang dimaklumkan oleh pihak Hospital Serdang kepada kami sebentar tadi adalah walaupun kritikal, tetapi lebih stabil.

Saya juga ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan doktor-doktor, pakar-pakar dan kakitangan perubatan di Hospital Jempol, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Serdang yang telah dan sedang bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan anak saya Sanjeevan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia yang mengambil langkah berjaga-jaga dan memberi kawalan keselamatan penuh terhadap Sanjeevan sementara dia dirawat di hospital sekarang ini.

Saya dan keluarga turut menghargai ucapan simpati dan kata-kata sokongan dari keseluruhan rakyat Malaysia serta doa mereka untuk Sanjeevan.

Sekian, terima kasih.

Pantau jualan arak di kawasan majoriti Islam

Syed Abdullah Syed Osman ,
Bandar Baru UDA, Ampangan adalah sebuah bandar kecil dipinggir kawasan Majlis Perbandaran Seremban dan penduduknya adalah rata-ratanya orang Melayu. Kawasan ini boleh dikatakan ialah kawasan rizab Melayu.

Yang hendak saya sampaikan ialah bagaimana sebuah pasaraya di kawasan Melayu ini ada menjual arak sedangkan kebanyakan orang yang datang membeli-belah adalah orang yang beragama Islam dan  mereka yang bertugas di kaunter bayaran serta pekerjanya yang lain adalah orang Islam.

Diharap pihak yang berwajib berhubungkait dengan agama mengambil perhatian dan jika boleh memberikan syarat tertentu supaya penjualan arak dipremis jualan minuman keras di pasar raya berkenaan ditiadakan. Memandangkan ia tidak sesuai dijual ditempat dimana majoriti penduduknya terdiri orang Islam.

Tidak dinafikan pasaraya ini dibenarkan menjual arak kerana setiap pusat membeli-belah yang besar dibolehkan kerana mempunyai lesen perniagaan untuk menjual makanan ataupun minuman yang tidak halal tetapi apabila pasar raya tersebut terletak dikawasan penduduk majoritinya 95 peratus orang yang beragama Islam adalah rasa agak janggal dan sangat tidak sesuai.

Walaupun nampak saperti perkara remeh temeh dan kecil sahaja tetapi impaknya besar dari segi sudut agama kerana apabila disesuatu kawasannya itu ada perkara haram atau maksiat berlaku tetapi dipandang enteng oleh masyarakat Islam sekeliling, maka keberkatan kawasan itu akan hilang dengan sendirinya.

Lima Belas Maksiat yang Akan Menurunkan Bala

Ertinya:

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: " Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

  1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
  3. Zakat dijadikan hutang.
  4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
  5. Anak derhaka terhadap ibunya,
  6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
  7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
  8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
  9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
  11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
  12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
  13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
  14. Muzik banyak dimainkan.
  15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".
(H.R Termizi)
Keterangan
Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.


Apabila pemimpin prihatin keperluan rakyat

Mohammad Faizal Che Yusof, 30 Jul 2013
Ketika masyarakat terus mendepani isu-isu semasa yang pelbagai seperti kematian dalam tahanan, peningkatan kadar jenayah, kenaikan harga dan terputus bekalan diesel, pencabulan demokrasi yang berterusan di Mesir dengan sokongan terbuka barat, dan bermacam kisah keperitan rakyat bawahan, saya memilih untuk terus bersuara bagi golongan dhaif yang kini disebut Orang Kurang Upaya - OKU.

Apatah lagi seminggu mutakhir ini saya terlibat langsung dengan dua acara yang membabitkan OKU yang saya fikir perlu diketahui umum khususnya OKU dan ahli keluarga. Bermula dengan majlis berbuka puasa OKU bersama kerajaan negeri Kelantan dan jerayawara (road show) Majlis Kebangsaan OKU di seluruh Negara, dengan coretan ini, saya mengharapkan doa sekalian muslimin moga kejayaan mengiringi setiap usaha membangunkan 4.2 juta OKU yang dianggarkan di Malaysia.

Jika Ramadhan 1433 lalu telah menyaksikan Sekretariat Prihatin OKU di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Parti Islam Semalaysia dizahirkan, dengan izin Allah, Ramadhan 1434 terus mencorakkan warna-warni tersendiri dalam usaha-usaha membawa perubahan kepada pembangunan OKU di Malaysia.

Pada 25 Julai bersamaan 16 Ramadhan lalu, suatu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 500 OKU Berjaya dilangsungkan di Kota Baru. Program yang bermula dengan solat asar berjemaah telah dirasmikan oleh  Menteri Besar Negeri Kelantan, Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob.

Meskipun program anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat dengan kerjasama JKM dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan tersebut adalah program tahunan sejak beberapa tahun terdahulu, komitmen yang ditunjukkan oleh pimpinan negeri yang hadir dan berusaha memahami keperluan semasa OKU suatu langkah berterusan yang cukup baik. Bagi warga OKU, ia tambah bermakna bilamana program tersebut yang sejak awalnya turut dihadiri oleh Mantan Menteri Besar Negeri Kelantan, Yang Berhormat Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz B. Hj Nik Mat. (Gambar kanan)

Dua langkah terkini yang diambil kerajaan dalam membangunkan OKU di Kelantan telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, YB Hajah Mumtaz Md Nawi. Selain mengadakan skim takaful khusus kepada OKU terlantar, penubuhan unit penyelaras pembangunan OKU negeri telah dimulakan dengan seorang pegawai sambilan dilantik bagi menyelaras perancangan dan perlaksanaan program pembangunan OKU di Kelantan. Selanjutnya dalam ucapan perasmian, YAB Menteri Besar menegaskan kerajaan negeri akan sedaya mampu memantau keperluan semasa bagi membangunkan OKU sesuai dengan kehendak Islam.

Perlu disedari, jika dulu kita membicarakan apakah lagi bentuk bantuan yang perlu diberikan, pembicaraan kini turut tertumpu kepada usaha-usaha yang perlu bagi membina potensi insaniah yang ada pada setiap individu OKU yang pelbagai katagori. Tentunya ia suatu yang bukan mudah bagi kerajaan yang diterajui pembangkang seperti Kelantan.

Di sinilah betapa perlunya setiap hak kerajaan Kelantan yang ditetapkan oleh perundangan dan moral mesti dihormati oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan keupayaan Kelantan berada pada tahap yang optimum. Peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pembayaran royalti petroleum terus kepada kerajaan Kelantan misalnya mesti dipenuhi tanpa dibayangi sikap diskriminasi kerana perbezaan politik.

Sebagaimana diluahkan oleh kebanyakan OKU dalam program jerayawara Majlis Kebangsaan OKU yang berlangsung di seluruh Negara mulai 29-30 Julai, isu dan permasalahan yang dihadapi oleh OKU masih berlegar kepada perkara-perkara asas. Dalam suasana Negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 56 Ogos akan datang, warga OKU benar-benar mengharapkan suatu yang lebih baik apatah lagi selepas pewartaan Akta OKU 2008 pada Julai 2008 lalu.

Pada masa kini, biarpun banyak usaha dilakukan, didapati ia tidak banyak membantu meningkatkan potensi OKU disebabkan lompong-lompong di sana sini bila ia berada pada tahap perlaksanaan.

Justeru, langkah permulaan kerajaan Kelantan melibatkan OKU dalam merencana dan melaksanakan program pembangunan OKU wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain. Tanpa pembabitan sendiri OKU dalam pembuatan dasar-dasar utama, ia hanya akan mengulangi kesilapan sebagaimana pepatah menyebut “rumah siap, pahat masih berbunyi”. - 21 Ramadhan 1434H.

Ingkar

Idanradzi, 30 Jul 2013
Ingkar

Dirantai oleh bara dendam sengketa
menyeringai ego ke medan bencana
bergalaskan janji melata memujuk rasa
berpagarkan penyokong membawa rebah
terbenamlah tunggak iman di maya gundah.

Di lembah serba mewah berhias laba
bertintakan emas sejarah agong dicipta
nasib rakyat marhaen berulang nestapa
dikerah tenaga secara sadis lagi sengsara
menyambung hayat sekadar secukup sara.

Agihan yang tak seimbang membawa padah
habis diselongkar khazanah alam terpunggah
sampaikan dirampas empunya hak mutlak
terhakislah sifat keprihatinan menjadi onak
tak lagi hiraukan diri berlaku kejam dan tamak.

(Tanpa ada yang menyedarkan pun mahu
disedarkan; waima terusan berlaku ingkar)

IDANRADZI
Kota Bharu Perak.

Siasat menyeluruh cubaan bunuh Sanjeevan

Harakahdaily, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak siasatan menyeluruh dibuat mengenai satu percubaan bunuh pengerusi NGO anti jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini berikutan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa percubaan bunuh terhadap R Sri Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dalam sindiket jenayah.

“DPPM menganggap kenyataan Tan Sri Musa Hassan itu sebagai sesuatu yang serius,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, jika benar dakwaan tersebut, ia bermakna ada beberapa pihak yang ‘merasa panas’ dengan pendedahan R Sri Sanjeevan sehingga tergamak mengambil pembunuh upahan menembak beliau.

“Soalnya, siapakah yang berusaha membunuh beliau dan sipakah pula dalang yang mengarahkan beliau dibunuh?” soal beliau.

Katanya, pendedahan Sanjeevan dan jenayah yang berlaku ke atasnya pastinya menggemparkan negara.

“Cubaan bunuh ke atas beliau menunjukkan bahawa ada beberapa kes besar yang boleh memeranjatkan melibatkan individu atau pihak tertentu cuba untuk dilenyapkan.

“Mungkin beliau memiliki rahsia besar yang perlu disingkapkan bagi pengetahuan umum,” katanya lagi.

Beliau menambah, individu berprofil tinggi seperti R Sri Sanjeevan sepatutnya dilindungi daripada sebarang cubaan jenayah terhadapnya.

Katanya, Sanjeevan menghadapi risiko dibunuh ekoran keberaniannya mendedahkan bahawa pegawai polis sendiri terlibat dengan jenayah.

“Keberanian beliau wajar dicontohi dan seharusnya banyak pihak lain sanggup ke tengah dalam menegakkan kebenaran tanpa mempedulikan risiko yang bakal diambil,” ujarnya.

Akhirnya, ujar beliau DPPM mengharapkan penjenayah terbabit segera ditangkap untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, kejadian ke atas R Sri Sanjeevan menunjukkan jenayah membunuh menggunakan senjata api adalah sesuatu yang serius dan Malaysia sudah tidak boleh dianggap selamat bagi warganya.

Krisis bekalan diesel, apa jawapan kementerian

Harakahdaily, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menganggap kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut memainkan peranan di dalam krisis kekurangan bekalan diesel.

“Sepatutnya krisis sebegini tidak akan berlaku sekiranya pihak kementerian mengambil sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan rakyat terutamanya apabila tiba musim-musim perayaan,” kata Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan ada usaha terancang pihak kementerian dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan sekiranya harga diesel dinaikkan akibat daripada krisis ini.

Beliau berkata, pihaknya berasa amat kecewa kerana pihak kerajaan Barisan Nasional seolah-olah tidak pernah mengambil iktibar daripada beberapa kejadian krisis kekurangan barangan keperluan rakyat apabila hampir tiba musim-musim perayaan.

Menurutnya, isu kekurangan tepung, minyak masak, gula, bawang merah dan terkini isu ayam dan minyak diesel adalah antara isu-isu yang diciptakan untuk dinaikkan harga sempena musim-musim perayaan.

“Dan apakah jawapan pihak kementerian terhadap setiap permasalahan ini?” tanya beliau.

Katanya, skrip kementerian adalah sebagaimana biasa iaitu bekalan masih cukup, pengguna tidak perlu panik, kenaikan harga masih rendah daripada negara-negara lain.

Beliau menambah, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk melakukan pemantauan terhadap krisis ini dan dalam masa sama turut berharap semoga pihak yang berwajib akan mengambil langkah yang lebih proaktif bagi menangani krisis diesel ini dengan kadar segera.

Fahami psikologi penjenayah untuk cegah jenayah

Harakahdaily, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Memahami psikologi penjenayah secara umum adalah langkah pertama untuk rakyat membantu diri sendiri mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada menjadi mangsa jenayah.

“Untuk penjenayah bertindak, ia memerlukan sasaran,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya harus diingat penjenayah ini buta warna dan buta bangsa dan suka kepada sasaran yang tidak mengambil perhatian dan kelihatan lemah.

“Setiap kita, termasuk orang terdekat kita ada potensi menjadi sasaran buat penjenayah. Dalam hal ini, keputusan berada di tangan penjenayah, bukan di tangan kita,” ujarnya.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Memandangkan jenayah yang semakin menjadi-jadi, rayuan dan kritikan berulang tidak dapat mendapat respons kerajaan dan pihak polis untuk melakukan sesuatu yang drastik untuk mengurangkan jenayah yang semakin berleluasa, ganas dan mengerikan, PAS hari ini menyarankan agar rakyat mengambil pendekatan proaktif sendiri untuk melindungi diri dan mencegah jenayah bersama.

Memahami psikologi penjenayah

Memahami psikologi penjenayah secara umum adalah langkah pertama untuk rakyat membantu diri sendiri untuk mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada menjadi mangsa jenayah.

Untuk penjenayah bertindak, ia memerlukan sasaran. Harus diingat penjenayah ini buta warna dan buta bangsa dan suka pada sasaran yang tidak mengambil perhatian dan kelihatan lemah. Setiap kita, termasuk orang terdekat kita ada potensi menjadi sasaran buat penjenayah. Dalam hal ini, keputusan berada di tangan penjenayah, bukan di tangan kita.

Setelah mengenal pasti sasaran, penjenayah memerlukan peluang untuk bertindak. Peluang untuk bertindak bukan di dalam kawalan penjenayah, sebaliknya ia di dalam kawalan penuh sasaran, itu kita.

Atas sebab itu, rakyat perlu mula peka mulai sekarang dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah proaktif untuk mengecilkan pintu peluang untuk penjenayah bertindak.

Antara perkara yang boleh dilakukan umpamanya ialah mengurangkan keadaan berjalan seorang diri, meletakkan kereta di tempat terasing yang kurang orang lalu-lalang, kurangkan menggunakan peralatan elektronik ketika berjalan, kurangkan memegang dompet dan beg tangan, jangan berjumpa seorang diri dengan seorang yang asing yang baru dikenali dan sebagainya.

Untuk melawan kekerapan kes pecah masuk rumah pula, disarankan rakyat mengambil langkah proaktif untuk wujudkan perumahan berpagar dan menghidupkan semula rukun tetangga untuk membuat pemantauan sendiri. Bagi golongan yang mempunyai kelonggaran kewangan, diharap adalah melabur sistem penggera yang efektif untuk menghilangkan minat penjenayah untuk bertindak.

Tingkatkan sekuriti diri sendiri

Mengecilkan peluang untuk penjenayah bertindak adalah langkah proaktif yang rakyat boleh membantu dalam mencegah jenayah. Harus diingat, apabila jenayah berlaku yang menanggung derita ialah mangsa sendiri bukanlah mereka yang dipersalahkan terutamanya kegagalan pihak berkuasa dan kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan kadar jenayah.

Meningkatkan sekuriti diri sendiri adalah seperti membeli mangga baru untuk rumah. Ia menyusahkan kerana anda perlu membawa kunci lebihan yang berat bersama selalu selain terpaksa buka dan tutup mangga setiap kali ingin masuk dan keluar rumah; tapi ketidakselesaan itu diperlukan demi mengecilkan peluang penjenayah untuk bertindak.

Tetapi memandangkan kerajaan dan polis masih suka menyakinkan diri untuk mempercayai persepsi jenayah yang dikatakan semakin menurun tatkala rakyat yang menjadi mangsa jenayah makin meningkat, adalah lebih elok untuk rakyat mengambil langkah proaktif melindungi diri sendiri dan ahli keluarga terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa bangun dari mimpi untuk melakukan sesuatu drastik untuk bersama-sama rakyat membendung jenayah.

Tiada ulasan: