Rabu, 17 Julai 2013

BURUNG HUD-HUD

Luahan pengalaman seorang suami

http://www.queachmad.com, 17 Jul 2013
KISAH NYATA Yang BENAR | Luahan Pengalaman Seorang Suami | Apabila menatap gambar-gambar ibu bersalin, menerawang fikiran aku teringatkan kembali detik-detik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertamaku ke dunia. Ketika diberitahu isteriku dimasukkan ke dalam hospital pada jam 1 pagi aku masih dibuai mimpi di rumah sewa berhampiran universiti.
Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari sebelumnya. Sebelum tidur, aku sempat berbalas-balas SMS dengan isteriku bertanyakan keadaannya ketika itu. Katanya, dia tidak makan sejak petang lagi. Aku menyuruh dia mengambil air susu sebelum tidur.
Isteriku dimasukkan ke wad kerana air ketuban telah pecah. Katanya bukaan hanya 2cm ketika itu. Dia memberitahuku supaya jangan risau kerana masih belum rasa sakit bersalin. Pada keesokan harinya barulah aku bertolak ke hospital untuk bertemu dengan isteri yang kucintai. Menatap wajahnya yang tidak bermaya, baru aku teringat yang isteriku masih tidak menyentuh makanan sejak dari petang semalam. Aku menyuruhnya makan sedikit, tetapi dia menolak kerana doktor telah menyuruh isteriku berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya yang lemah, aku menghulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya. Tabahnyaa dirimu..

Apabila jam menunjukkan pukul 10.00 pagi dengan bukaan seluas 4cm, dia ditolak masuk ke dalam labour room. Entah kenapa dengan bukaan seluas itu, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin. Aku pun confuse. Setahu aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10cm. Dan aku dimaklumkan oleh guard wanita India yang bertugas, isteri aku ditempatkan di bilik D. Dia memaklumkan bahawa kebiasaannya bilik itu akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah untuk bersalin. Aku mula gelisah. Tak tentu arah. Mungkin itu adalah mitos yang direka oleh achi India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana. Pujuk aku sendirian.
Berbekalkan Quran yang aku bawa bersama barang-barang isteri dan baby yang bakal dilahirkan, aku selak helaian 440. Ya.. Aku mencari surah Yaasin. Pesan nenekku, bacalah Yaasin. Semoga dengan berkat dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu isteriku bersalin secara normal. Kumulakan dari al-fatihah dan disusuli surah karamah itu. Satu persatu perkataan dan ayatnya ku alunkan perlahan sambil di dalam hati tak henti-henti berdoa agar diselamatkan isteri dan anakku.
Usai membaca Yaasin dan menunaikan solat Zohor, aku tunggu lagi. Achi India yang sedari tadi memerhatikan gerak langkahku menegurku ‘’Adik.. Mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang. Adik boleh jumpa isteri adik,’’pelawanya ramah. Mungkin dia sedar aku dah semakin gelisah dan asyik mengintai ke dalam labour room. Alhamdulillah. Kalau boleh jumpa tenang sikit hati aku sebab dari tadi hanya membalas sms je. Keadaan sebenar isteri aku tidak aku ketahui.
Dari jam 10 sampailah jam 4 petang isteriku ditahan. Bukaannya sekarang hanyalah 6cm. Setelah diinduce kali ke dua, bukaan rahimnya masih belum membenarkan bayi untuk keluar. Akibat terlalu lama menunggu, akhirnya doktor memutuskan isteriku perlu dibedah.. Ini kerana bayi di dalam kandungan isteriku semakin lemah. Aku yang cuba mengawal diri agar tidak panik, akhirnya tewas kepada diri sendiri. Air mata yang cuba ku sekat agar tidak mengalir seolah-olah tidak dapat dibendung. Seolah-olah mataku tidak ada penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan isteriku.. Setiap kali itulah air mataku kan bercucuran jatuh ke tangannya. Mana taknya.. dengan keadaan dirinya yang sudah tidak bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk bagaikan direndam ais, tubuhnya menggigil. Dengan segala macam wayar berselirat di perut dan tangannya.. Hatiku meruntun sayu. Para doktor meninggalkan aku dan isteri untuk meluangkan masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali terakhirnya aku boleh bercakap bersama isteriku. Ini kerana doktor telah membuat keputusan, isteri aku mesti dibedah bagi menyelamatkan bayi yang hampir lemas.
Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik bersalin itu..Mata kami bertentangan. Isteriku perasan mataku kembali berkaca. Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangatku.
‘’Abang.. Hensemnya Abang harini. Abang suka tak dengan baju yang sayang belikan untuk Abang tu?’’
Pada ketika itu juga, aku tidak dapat menjawab dengan perkataan tapi aku rangkul dirinya sambil menangis teresak-esak seperti tiada lagi esok untuk kami bersama. Aku tidak mampu bersuara walaupun mengeluarkan sepatah kata. Tapi, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Walaupun dia ‘berpuasa’ , dia masih gagah. Masih kuat untuk memulihkan semangatku yang semakin luntur..
‘’Abang.. Seandainya doktor memberi pilihan, siapakah yang Abang ingin selamatkan, sayang atau anak kita.. Abang tolong jawab ‘’ Selamatkan anak saya.. ‘’. Berilah anak kita peluang untuk merasai kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi..’’
Sekali lagi aku menangis semahunya. Aku tidak mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri aku. Aku mahukan kedua-duanya berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan pilihanku.
Tamatnya waktu bersama. Isteriku ditolak untuk dibawa ke bilik pembedahan. Aku menghantar Isteriku dengan lirik mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk. Solat 2 rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteriku juga untuk diriku lebih-lebih lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku menangis semahu-mahunya..
Sedari jam 4.30 petang aku menanti penuh sabar di luar bilik pembedahan. Aku dail, aku telefon nombor keluarga terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan yanga aku kenal. Aku pohon dan merayu dari mereka agar doa dikirim buat isteriku yang sedang bertarung nyawa melahirkan seorang khalifah penambah ummat Nabi tercinta. Mulutku tidak henti-henti menbacakan Hizbul Bahri. Zikir berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari Al-Allamah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.
1 jam berlalu. Mundar-mandirku tidak mengeluhku untuk aku duduk. Walaupun kakiku lenguh berdiri dari tadi, tapi perasaan ingin tahu akan keadaan isteriku melenyapkan semua keletihan itu. Akhirnya penantian aku berakhir.. Seorang nurse menolak troli tertutup.. incubator barangkali namanya.. dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak Cina. Oh! Rupa-rupanya, bukan isteri aku seorang kat dalam. Ibu cina pun ada.
‘’Suami kepada Zulaikha’’ ‘’Suami kepada Zulaikha’’ jerit nurse mencari ‘Yusuf’ Zulaikha.
Orang ramai yang turut sama mengintai bayi cina itu berpandangan antara satu sama lain termasuklah aku. Tiba-tiba aku teringat. Akulah suami Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pulak time-time macam tu. Aisehhh.. Biasalah beb. Cuak kot masa tu. Sampai nama bini pun lupa daaa..
‘’Ya.. Saya kak. Saya suami dia’’
‘’Encik.. Ini anak encik. Encik bolehlah pegang dan azankan dia. Tapi sebelum tu, Encik kena kata apa?’’
Nak kata apa pulak nurse ni. Alhamdulillah ke? Ke terima kasih nurse? Mana aku tahu. Dah la rasa tak percaya pun ada yang anak cina yang aku sangka tadi tu rupanya anak aku.. Boleh pulak dia suruh kata apa. Aduilaa.. Nurse pun.
Mungkin nurse tu perasan aku tengah blur, dia pun selak kain bedung anak aku bagi menyatakan jantinanya. Oh.. Nurse nak suruh aku buat pengakuan yang anak aku ni perempuan. Baru aku faham.
‘’Perempuan nurse’’ kataku tersenyum malu.
Aku dakap anak aku. Aku cium dahi dan kedu-dua pipinya lalu aku azan dan iqamatkan di kedua-dua belah telinganya. Allahurabbi. Comelnya anak aku. Mata hitam dia bulat besar. Taknak tutup pulak tu. Alhamdulillah.
‘’Nurse, macamana dengan isteri saya? Bagaimana keadaan dia?’’ tanyaku setelah sedar dari pukauan mata anak aku ini.
‘’Isteri encik selamat. Dia sedang dijahit. Kejap lagi dia keluar..’’
Tidak lama selepas itu, Isteri aku ditolak keluar. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu ya Allah. Biarpun Kau mentaqdirkan dia bersalin secara Caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih lagi memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya. Hanya pada Mu segala puji-pujian layak kami berikan.
Keluarnya isteri aku dari bilik pembedahan bukannya dengan tangisan. Malah, tiada setitis air pun yang aku perasan membasahi matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman dia hadiahkan kepadaku. Terharu. Sungguh terharu. Aku kucup dahinya dan mengucapkan ‘’Terima kasih Sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat Abang’’.
P/S : Wahai suami sekalian.. Hargailah isteri kita sebaiknya. Apabila ada tercalit perasaan tidak puas hati dan ingin marah kepadanya.. Ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada kita. Zuriat keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri tenangkanlah hati. Bila keadaan kembali reda, bersuaralah. Nasihatilah mereka dengan hikmah hasanah. Bukan dengan kekerasan yang bakal mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan nescaya kan patahlah ia. Akan tetapi andai dilentur dengan lemah lembut dan profesional, dia kan menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal selamanya.
sumber: media siber

Padah muat naik video rompakan – dihukum gantung

http://fuh.my, 17 Jul 2013
Padah Muat Naik Video Rompakan - Dua Remaja Dihukum Gantung Sampai Mati Depan Khalayak Ramai Di Tehran

Padah Muat Naik Video Rompakan – Dihukum Gantung Depan Khalayak Ramai | TEHERAN – Tindakan berani dua lelaki memuat naik rakaman video mereka menyerang seorang lelaki dengan sebilah parang dan merompak mangsa di sebatang jalan raya dekat sini, ke laman YouTube membawa padah apabila mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Hukuman berkenaan terpaksa dilaksanakan dengan pantas sejurus pegawai diarahkan melakukan siasatan disebabkan kemarahan orang awam yang menonton video itu.
tehran hukum gantung Padah Muat Naik Video Rompakan   Dihukum Gantung Depan Khalayak Ramai (Video)
“Video berkenaan disebarkan awal bulan lalu dan kemudian disiarkan pula oleh sebuah televisyen tempatan,” kata pegawai.
Kedua-duanya, masing-masing berumur 24 tahun dituduh ‘mencetuskan perang terhadap Tuhan’, juga sebagai tindakan serangan kejam secara berkumpulan.
Sementara itu, agensi berita ISNA melaporkan pelaksanaan hukuman terhadap dua lelaki itu disaksikan hampir 300 orang awam di tengah bandar. – AP
hukum gantung depan khalayak ramai Padah Muat Naik Video Rompakan   Dihukum Gantung Depan Khalayak Ramai (Video) Alireza Mafiha dan Mohammad Ali Sarvari dibiarkan gantung selama 17 minit.
Lihat video rompakan yang telah dimuat naik di YouTube di bawah

Padah Muat Naik Video Rompakan

Nauzubillah Min Zalik. Semoga kita dijauhkan dari perkara seperti ini

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Kejujuran Hud-Hud dan ketegasan Nabi Sulaiman

Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, 17 Jul 2013
Banyak kisah ditampilkan dalam al-Quran memiliki pengajaran yang relevan sepanjang zaman dengan kehidupan sosial kita. Al-Quran telah menampilkan sejumlah tokoh teladan dan tokoh pengajaran agar dijadikan renungan tentang akibatnya kepada masyarakat. Ada kisah pembela kebenaran yang terdiri dari Para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh, ada juga tokoh pelopor kezaliman seperti Firaun, Tsamud, 'Ad, dan Abrahah.

Selain dari tokoh daripada bangsa manusia, ada juga kisah yang menampilkan pelajaran daripada bangsa haiwan. Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Kisah ini dirakamkan di dalam surah an-Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia menjadi pengajaran kepada manusia, kisah mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah Sulaiman AS.

"Wahai Tuhanku! Ampuni kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya."
(Surah as-Sadd : ayat 35)

Pada satu ketika, Nabi Sulaiman AS mengumpulkan seluruh pengikutnya dan memeriksa mereka sama ada daripada kalangan manusia, jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman AS murka kepada Hud-Hud dan bertekad akan menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang diwajibkan oleh Baginda Sulaiman.

Hud-Hud menjelaskan kepada Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba' yang memiliki singgahsana yang besar, tetapi malangnya ratu tersebut tidak beriman dan tunduk kepada Allah Taala. Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Baginda mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat perkara itu dan membawa surat perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

Keistimewaan yang dimiliki oleh Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan dahagakan maklumat. Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya. Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi Sulaiman.

"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)."
(Surah an-Naml : ayat 21)

Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih menguasai diri Nabi Sulaiman, "...Kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas".

Yang pasti, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba' untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti mengabaikan perintah pemimpin dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di negeri Saba'. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi mentauhidkan umat manusia, bukannya misi berbentuk sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia daripada menjadi 'parasit' kekufuran.

Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan untuk bersikap tidak wala' kepada pimpinan, iaitu wabak 'hilang kawalan' dan 'emosional', atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis gerakan Islam untuk buat 'kepala sendiri' atau ingin berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, iaitu mahu meninjau 'kawasan' sahaja tanpa melakukan kerja lain. Hal ini kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi Sulaiman, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang merayau-rayau meninjau timbunan sampah.

Hud-Hud tetap meletakkan ketaatan kepada Nabi Sulaiman kerana ketaatan kepada pemimpin adalah perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah, bukan mengabaikannya. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah, kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak yang baik.

Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik, Baginda SAW pada awalnya dikenal melalui akhlak yang mulia sehingga digelar oleh sahabat dan musuh sebagai "Al Amin".

Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman dapat dilihat melalui katanya:

"Nabi Sulaiman berkata; Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta."
(Surah an-Naml : ayat 27)

Ketegasan ini menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera percaya dengan setiap alasan yang diberikan tanpa penelitian. Dalam lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan realitinya 'jauh panggang dari api'.

Hal ini kerana, informasi yang tepat dan boleh dipercayai sangat penting untuk meneruskan kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju tanpa 'tempang'. Itulah yang ditekankan oleh Nabi Sulaiman, Baginda tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa intipati kebenarannya:

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka."
(Surah an-Naml : ayat 28)

Imam Al Qurtubi di dalam tafsirnya mengatakan, "Ayat ini adalah dalil yang menunjukkan perlunya pengiriman surat-surat kepada orang-orang musyrik dan menyampaikan dakwah tauhid kepada mereka, dan mengajak mereka masuk Islam. Rasulullah SAW juga telah menulis surat kepada kerajaan Caesar Romawi dan Kisra Parsi dan kepada beberapa raja yang zalim" - Rujuk Tafsir Qurtubi 13/189

Dalam Surah An Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman juga mengajarkan bahawa seseorang pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin harus memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmumnya. Kata Umar Al Khattab R.A, "Selidiklah sahabatmu di waktu solat. Jikalau mereka tidak hadir kerana sakit, engkau jenguklah. Dan sekiranya dalam keadaan sihat-sihat sahaja maka patutlah untuk dicela."

Nabi Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud tetap direkodkan di dalam al-Quran kerana "kejujurannya”. Selain itu, sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut tanpa menunggu arahan khusus.

Jika kita telusuri dunia penciptaan yang berjaya mewujudkan peradaban di dunia, kita dapat melihat banyak karya penciptaan dan hasil penemuan awalnya dirintis oleh individu tidak ternama seperti Ibnu Firnas (W.887) yang mencipta bingkai pesawat yang hanya boleh dikendalikan oleh seorang manusia sahaja. Kemudian hasil uji kaji tersebut didukung oleh Wright brothers iaitu Oliver Wright dan Wilbur Wright pada tahun 1903 sehingga berjaya menghasilkan pesawat secanggih kita saksikan pada hari ini.

Demikan juga dalam medan dakwah, pada awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu, kemudian akhirnya nanti ia menjadi garapan organisasi sebagaimana kejayaan dakwah Nabi Muhammad SAW yang bermula dari era pembinaan umat di Madinah, tetapi impak mutakhirnya Baginda berjaya mencipta pelbagai versi tamadun kerajaan dan ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah Islam.

Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci "Misi & Visi". Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki visi dan misi-nya iaitu "MENTAUHIDKAN ALLAH", maka apatah lagi manusia yang diberikan kudrat menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi ini. Dengan visi dan misi inilah Salahuddin al-Ayyubi dapat menguasai kembali Baitul Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin Qutuz berjaya menewaskan tentera Tatar yang dianggap umat Islam waktu itu sebagai Ya'juj wa Ma'juj, dengan visi dan misi ini juga menyebabkan Khalid al-Walid tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai panglima perang oleh Khalifah.

Penutup

Marilah kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata mentauhidkan Allah Taala. Elakkan cara berfikir "ia bukan kerja saya", sebaliknya bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan 'lewatnya’, tetapi komitmennya, keikhlasannya, kejujurannya dan gerak kerjanya dipertaruhkan semata-mata demi usaha mentauhidkan Allah Taala. Kita belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk mentauhidkan Allah Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan kepartian untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-kecil perkara sekalipun seperti menulis di "wall facebook" dan sebagainya juga demi mentauhidkan Allah Taala.

Hal ini kerana, jika anda benar-benar jujur, kesalahan bukanlah ukuran seseorang itu melakukan kederhakaan, tetapi adalah kejayaan yang akan menjadi renungan pada hari 'esok'. Kejujuran adalah sifat para pendokong kemenangan. Hal ini dapat kita pelajari dari kekalahan umat Islam di perang Mu'tah, iaitu ketika ketiga-tiga orang panglima perang yang dilantik Rasulullah SAW gugur syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib, dan Abdullah bin Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih tempat ketua tentera, atas permintaan beberapa individu di dalamnya.

Khalid Al Walid melihat bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tentera Rom. Oleh itu, Khalid membuat keputusan membawa tentera pulang ke Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah, mereka telah disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata, "Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah lari daripada medan jihad di jalan Allah."

Lantas Rasulullah SAW membela Para Sahabatnya yang jujur, "Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang yang akan mengulangi peperangan, Insya Allah" - Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/292.

http://www.tarbawi.my

Biodata Penulis

Penjelasan tentang puasa dalam al-Quran (4)

Ustaz Abu Utsman Kharisman, 16 Jul 2013
Memenuhi Seruan Allah dan Beriman kepada-Nya adalah Sebab Mendapatkan Hidayah

“...Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
(Surah alBaqarah : ayat 186)

Sesiapa yang ingin mendapatkan petunjuk untuk kemaslahatan dunia dan akhiratnya, maka hendaknya memenuhi seruan Allah, taat pada perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Diiringi pula dengan iman kepada Allah.

Sebaik apapun perbuatan seseorang jika tidak dilandasi oleh iman, nescaya tidak akan bermanfaat bagi kehidupan akhiratnya. Jika seorang berbuat baik, banyak membantu, tidak mengganggu orang lain, namun tidak ada iman dalam dirinya (bukan seorang muslim), maka tidak akan ada pahala untuknya di akhirat. Ia hanya akan mendapatkan balasan kebaikan oleh Allah di dunia saja.

“Sesungguhnya seorang Kafir jika melakukan suatu perbuatan kebaikan akan dirasakan untuknya (nikmat) di dunia. Sedangkan orang mukmin (jika berbuat kebaikan) sesungguhnya Allah simpankan perbendaharaan (hasil) kebaikan-kebaikannya di akhirat dan Allah beri balasan dalam bentuk rezeki di dunia karena ketaatannya.”
(H.R Muslim dari Anas bin Malik)

Ada beberapa hal yang menjadi penghalang terkabulnya doa seseorang, di antaranya adalah:

1. Harta berasal dari yang haram.

“Sebagaimana kisah yang diceritakan Nabi SAW tentang ‘seorang laki-laki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Ia mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal makanannya dari barang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"
(HR. Muslim).
2. Tidak yakin dalam doanya (hatinya lalai).

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahwa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai lagi main-main.”
(H.R atTirmidzi, dishahihkan al-Hakim dan dihasankan al-Albany)

3. Tergesa-gesa.

“Doa salah seorang dari kalian akan dikabulkan selama tidak tergesa-gesa dengan mengatakan: Aku telah berdoa tapi tidak dikabulkan.” (H.R alBukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

4. Doanya mengandung dosa atau memutuskan silaturrahmi.

“Tidaklah seorang muslim berdoa dengan suatu doa yang tidak mengandung dosa atau memutuskan silaturrahmi kecuali Allah akan beri tiga kemungkinan…..”
(H.R atTirmidzi, Ahmad, disahihkan oleh al-Hakim dan dinyatakan bahwa sanad-sanadnya jayyid(baik) oleh al-Bushiry)

Berdoa Langsung Kepada Allah Tanpa Perantara

Ada sebuah kaedah yang disampaikan oleh sebahagian Ulama bahawa: setiap ayat dalam al-Qur’an yang terkait dengan pertanyaan-pertanyaan tentang syariat/ hukum, Allah selalu memerintahkan kepada Nabi-Nya: “Katakanlah...” namun khusus untuk pertanyaan tentang Allah, dan bagaimana berdoa kepada Allah, Nabi tidak diperintahkan dengan: katakanlah…

Sila semak beberapa contoh ayat berikut:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji...” (Surah al-Baqarah : ayat 189)

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan..." (Surah al-Baqarah : ayat 215)

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi...” (Surah al-Baqarah : ayat 217)

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: (Dermakanlah apa-apa) yang berlebihan dari keperluan (kamu)...” (Surah al-Baqarah : ayat 219)

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik...” (Surah al-Maidah : ayat 4)

Setiap ada pertanyaan dari kaum muslimin kepada Nabi tentang hukum atau tata cara dalam syariat Allah menjawab dengan firman-Nya: “katakanlah...” Hal itu menunjukkan bahwa seorang muslim tidak boleh menjalankan syariat Allah tanpa perantaraan bimbingan dan tuntunan daripada Rasulullah shollallaahu ‘alaihi wasallam. Mereka tidak mampu membuat inovasi sendiri dalam ibadah.

Namun, ketika pertanyaan daripada kaum muslimin tentang Allah dan bagaimana cara berdoa kepada Allah, Allah tidak menyatakan: “katakanlah...” Hal ini menunjukkan bahwa berdoa kepada Allah adalah langsung (tanpa perantara) kerana Allah Maha Dekat dengan hambaNya.

“Dan jika hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku akan kabulkan doa orang yang berdoa...” (Surah al-Baqarah : ayat 186)

Kaedah tersebut disampaikan Syaikh Abdurrozzaq dalam ceramah Syarh al-Adabil Mufrad dan Syarh Tsalatsatil Ushul, menukil penjelasan al-Imam as-Suyuthy dalam al-Itqan.

Ayat ke-187 Surat al-Baqoroh

“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.” (Surah al-Baqarah : ayat 187)

Pada ayat ini akan dijelaskan beberapa hal, yaitu:

1. Tahap-tahap pensyariatan puasa bagi umat Nabi Muhammad.
2. Boleh melakukan hal-hal yang membatalkan puasa di waktu malam.
3. Tidak mengapa seseorang masih dalam keadaan junub atau suci haid pada saat fajar dan kemudian mandi setelah itu
4. Isteri adalah pakaian suami dan suami adalah pakaian isteri
5. Allah Maha Mengetahui kelemahan manusia dan memaafkan mereka
6. Carilah dari pergaulan suami isteri itu sesuatu yang telah Allah tetapkan bagi kalian
7. Salah faham sebahagian Sahabat dalam membezakan ‘benang putih’ dan ‘benang hitam’
8. Larangan jimak dengan isteri ketika Iktikaf di masjid

Penjelasan:

Tahap-tahap Pensyariatan Puasa pada Umat Nabi Muhammad

Pensyariatan puasa pada umat Nabi Muhammad shollallahu alaihi wasallam melalui beberapa tahapan:

1. Puasa tiga hari tiap bulan dan puasa Asyura sebagai kewajiban. Pada saat itu belum diwajibkan puasa pada bulan Ramadhan.
2. Diwajibkan puasa Ramadhan bagi yang mampu dengan pilihan: boleh berpuasa atau tidak berpuasa tapi membayar fidyah.
3. Diwajibkan berpuasa Ramadhan bagi semua orang yang mampu. Tidak diberi pilihan lagi. Boleh makan dan minum sejak berbuka hingga tidur malam. Kalau sudah tidur malam atau sholat Isya’, maka tidak boleh lagi melakukan hal-hal yang dilarang di siang hari.
4. Diwajibkan berpuasa Ramadhan bagi semua orang yang mampu pada siang harinya. Sedangkan pada malam hari (dari terbenam matahari hingga menjelang terbit fajar) boleh melakukan hal-hal yang terlarang dilakukan di siang harinya.

(tahap-tahap ini didasarkan pada hadits Muadz bin Jabal yang diriwayatkan oleh Ahmad no 21107. Pada hadis Muadz tahap puasa adalah 3 tahap, namun yang ketiga dibagi lagi menjadi 2 tahap, sehingga pada paparan di atas disebutkan 4 tahap).

Pada saat diberlakunya tahap ke-3 di atas, terjadi beberapa peristiwa yang menunjukkan ketidakmampuan para Sahabat menerapkan puasa pada waktu itu. Pada waktu itu, bolehnya berbuka adalah hingga tidur malam atau solat Isyak. Kalau sudah tidur, atau tertidur pada malam hari, setelah bangunnya tidak boleh lagi makan dan minum serta berhubungan suami isteri, meski masih belum masuk fajar Subuh. Hingga turunlah ayat ke 187 dari surat al-Baqoroh yang dinyatakan tadi.

“Dari al-Bara’ radhiyallahu anhu beliau berkata: Dulu para Sahabat (Nabi) Muhammad shollallaahu alaihi wasallam jika berpuasa, kemudian datang waktu berbuka, kemudian tidur sebelum berbuka, tidak boleh makan pada malam itu mahupun pada siang (keesokan) harinya. Sesungguhnya Qoys bin Shirmah al-Anshary berpuasa kemudian datang waktu berbuka, ia mendatangi isterinya dan berkata: Apakah engkau memiliki makanan? Isterinya berkata: Tidak. Tapi aku akan mencarikan untukmu. Pada siang harinya Qoys bekerja (keras), hingga ia tertidur (menunggu datangnya isterinya). Kemudian isterinya datang. Ketika isterinya melihatnya (telah tertidur), isterinya berkata: kerugian bagimu. Keesokan harinya ketika tiba pertengahan siang, ia pengsan. Maka diceritakanlah hal itu kepada Nabi shollallahu alaihi wasallam. Kemudian turunlah ayat: “...dihalalkan bagi kalian berhubungan (badan) dengan isteri kalian pada malam (bulan) puasa..., maka bergembiralah para Sahabat dengan kegembiraan yang sangat. Dan turun pula ayat, “... makan dan minumlah hingga nampak jelas benang putih dari benang hitam..” (H.R al-Bukhari)

Setelah turunnya ayat ke-187 ini, maka dihalalkan pada waktu malam bagi kaum muslimin melakukan segala hal yang membatalkan puasa pada waktu siang seperti makan, minum, dan berhubungan suami isteri.

Ayat tersebut menjelaskan bolehnya seseorang melakukan “rofats” pada malam hari bulan puasa terhadap istrinya.
“...dihalalkan bagi kalian pada malam (bulan) puasa berbuat “rofats” kepada isteri-isteri kalian...” (Surah al-Baqarah : ayat 187)

Az-Zujaj mendefinisikan “rofats” sebagai: segala sesuatu yang diinginkan oleh seorang laki-laki terhadap perempuan (Umdatul Qoori Syarh Shahih al-Bukhari 16/314)

http://www.salafy.or.id

Zakat Fitrah dan Ramadhan

Raja Nurul Ain Binti Raja Yacob,
Maksud Zakat Fitrah
Zakat dari sudut bahasa ialah tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Ada pun dari sudut syari‘at, maka Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dibayar pada penghujung bulan Ramadhan. Demikian penerangan ringkas daripada kamus-kamus bahasa Arab dan kitab-kitab fiqh. Zakat fitrah juga dikenali dengan nama-nama lain, iaitu sedekah fitrah, zakat Ramadhan, zakat puasa, sedekah puasa dan sedekah Ramadhan.

Dalil Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍعَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّوالذَّكَرِ وَالأُنْثَىوَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah di dalam Ramadhan ke atas umat Islam secupak tamar atau secupak gandum sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanakkanak atau dewasa. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hukum Zakat Fitrah
Jumhur ilmuan berpendapat bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib. Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap muslim tidak kirasama ada lelaki, perempuan, kanak-kanak, dewasa, merdeka ataupun hamba.
Siapa yang wajib membayar zakat fitrah:

1. Menurut Mazhab Jadid (baru) Imam Syafie dan pendapat Imam Ahmad berdasarkan riwayat dari Imam Malik: “Wajib ke atas setiap muslim yang dilahirkan sebelum terbenam matahari hari terakhir Ramadhan.” Pendapat ini yang dipakai dalam Mazhab Syafie.”

2. Manakala Mazhab Qadim (lama) Imam Syafie dan pendapat Imam Abu Hanifah pula berdasarkan riwayat dari Imam Malik: “Wajib ke atas muslim yang dilahirkan sebelum terbit fajar Hari Raya Pertama.”

3. Kewajipan zakat fitrah hanya ke atas orang Islam sebagaimana hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar yang telah dikemukakan sebelum ini: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dari kalangan umat Islam.”

4. Zakat fitrah diwajibkan ke atas orang yang mampu, iaitu memiliki kecukupan yang melebihi keperluannya dan orang-orang di bawah tanggungannya untuk sehari semalam. Batas ini ditetapkan oleh para ahli fiqh mengingatkan tujuan zakat fitrah adalah untuk memenuhi keperluan orang miskin selama satu hari, iaitu pada 1 Syawal sempena Aidil Fitri. Kecukupan yang melebihi keperluannya adalah sesuatu yang sedia ada di sisinya. Oleh itu tidak perlu menjual harta, barang kemas dan sebagainya untuk mencapai taraf kecukupan.

5. Orang-orang yang nafkah hidupnya berada di bawah tanggungan orang lain, maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah. Zakat fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkah hidupnya, berdalilkan  hadis berikut:

أَنَّ النَبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ عَلَى الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِوَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى مِمَّنْ تَمُونُونَ.

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil dan orang dewasa, lelaki dan wanita, daripada orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya.”

Waktu membayar zakat fitrah
Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari awal Ramadhan.
Sunat hukumnya membayar selepas fajar Hari Raya Pertama hingga waktu solat Hari Raya. Makruh membayarnya selepas solat Hari Raya dan ia tidak dikira sebagai zakat sebaliknya sedekah. Dan hukumnya haram membayar zakat fitrah selepas berakhirnya Hari Raya Pertama. Sabda Rasulullah SAW.:-

“من أداها قبل الصلاة فهي ذكاة مقبولة ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات."

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum solat maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang membayarnya selepas solat maka ia adalah sedekah daripada sedekah-sedekah (yang dibuat pada waktu-waktu biasa).” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

Kadarnya
Secupak daripada makanan rasmi sesebuah negara. Sesetengah ulama seperti Imam Abu Hanifah berpendapat, harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai secupak makanan tersebut sekiranya ia lebih bermanfaat kepada fakir miskin seperti dengan nilai ringgit dan sebagainya.

Raja Nurul Ain Binti Raja Yacob masih merupakan pelajar tahun akhir sebuah IPTA

Perlukah Jepun Kepada Wa al-’Asr?

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 15 Jul 2013
“Kalau kita mahu ajak orang Jepun kepada Islam, apa yang Islam hendak tawarkan kepada orang Jepun?” soalan yang sering saya ajukan di dalam ceramah.

Pada memahami erti menjadi seorang Muslim.

“Terimalah Islam agar kamu lebih menepati masa? Sebab di dalam Islam ada Wa al’Asr! Begitukah?” soalan saya berbentuk provokasi.

Mengajak satu kaum yang bermasalah kepada Islam, untuk menyelesaikan masalahnya dengan Islam sebagai penyelesaian, mungkin jelas hujung pangkalnya.

Namun, bagaimana hendak mengajak satu kaum yang begitu kemas tatacara hidupnya? Sebuah negara yang begitu maju, bersih, dan menepati masa seperti Jepun, apa lagi sebab untuk mereka merasa perlu kepada Islam?

Lebih membingungkan, kalau persoalan ini dibaca begini, “jika tanpa Islam pun Jepun boleh maju, mengapa perlu kepada Islam?!”

Sudah tentu, ketepatan masa yang sering dikaitkan dengan pencapaian ketamadunan Jepun akan mengambil sistem keretapinya sebagai contoh. Ketepatan masanya bukan lagi jam dan minit, malah dalam senggang hanya beberapa saat! Purata kelewatan bagi keretapi laju Tokaido Shinkansen hanyalah 0.3 minit. Jika keretapi terlewat sehingga lima minit, pengumuman memohon maaf akan dibuat dan syarikat keretapi akan mengeluarkan ”delay certificate” kerana pengguna tidak boleh membayangkan keretapi boleh selewat itu! Itulah ketepatan masa sistem pengangkutan sebuah negara bernama Jepun.

Perlu lagikah mereka kepada Wa al-’Asr?

Tragedi keretapi Amagasaki 2005

Seorang anak muda bernama Ryūjirō Takami ada ceritanya.

Pemandu keretapi berusia 23 tahun itu dihantui oleh ”Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang!”

Program ini diangkat menjadi satu bentuk latihan profesional untuk mendisiplinkan pemandu keretapi dan pekerja-pekerja lain agar serius dalam menepati masa. Namun Tamrin Siang itu mengundang risiko yang amat besar. Ia dilihat sebagai salah satu punca utama yang membawa kepada tragedi berdarah keretapi Amagasaki pada pagi 25 April 2005. Sebuah keretapi yang dipandu melebihi had laju telah terbabas, merempuh sebuah apartment dan mengakibatkan kematian 107 orang termasuk pemandu manakala 562 lagi cedera.

Ryūjirō Takami pagi ini bertugas memandu keretapi syarikat JR Fukuchiyama dari Takarazuka ke Dōshisha-mae. Sejurus selepas waktu kemuncak, keretapi yang dipandu oleh Ryūjirō Takami sudah mengalami kelewatan beberapa minit.

Beliau tidak sanggup menghadapi tekanan dan rasa malu yang bakal dihadapinya di dalam Tamrin Siang, apabila pemandu yang mencetuskan kelewatan akan dipaksa memotong rumput di siang hari, mencuci mangkuk tandas dan terus menerus dimarah dengan maki hamun sebagai satu program yang dianggap sebagai latihan profesional untuk mendisiplinkan pekerja pada masa itu. Tertekan dengan keadaan itu, penyiasat percaya ia mewujudkan tekanan yang begitu tinggi hingga Ryūjirō Takami teragak-agak untuk menggunakan brek kecemasan walaupun masih mempunyai masa beberapa saat untuk berbuat demikian.

Akibatnya, keretapi yang dipandu dengan kelajuan  116 km sejam (had laju yang ditetapkan hanya 70km sejam) tergelincir di landasan semasa melalui sebuah selekoh lalu merempuh apartment kediaman berhampiran.

Tragedi menyayat hati pagi ini mendesak pelbagai rombakan dibuat membabitkan jadual keretapi JR West yang terlalu padat, serta ”Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang dirombak semula dalam modus operandi latihan syarikat. Biar pun menepati masa itu mulia dan diangkat sebagai petanda kemajuan sebuah tamadun, bezanya ketepatan masa di dalam budaya Jepun, dengan menepati masa yang dianjurkan oleh Islam adalah pada memposisikannya sebagai proses atau output.

Di dalam budaya Jepun, menepati masa itu menjadi objektif yang hendak dicapai. Apabila ia dicapai, objektif terhasil dan jika gagal dicapai, ia merupakan sebuah kemunduran. Motif menepati masa berlegar pada soal memenuhi keperluan manusia, hingga manusia tenggelam punca pada menentukan mereka mereka perlu menepati masa pada harga yang begitu mahal, membunuh manusia sendiri?

Mesej demi masa


“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian yang sebenar-benarnya. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Serta berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Surah al-'Asr : ayat 1-3]

Allah bersumpah dengan masa.

Tandanya masa itu amat penting.

Apa sahaja yang Allah sumpah di dalam ayat-ayat al-Quran, ia memberitahu kita akan kepentingannya.

Masa yang tidak dijaga menjadikan manusia hidup dalam kerugian. Masakan tidak, masa itu adalah umur. Sesaat yang berlalu, adalah lebih jauh daripada 100 hari yang belum tiba. Betapa pentingnya manusia yang menghargai kehidupan, sensitif dengan masa.

Namun memuliakan masa itu ada rangkanya.

Kita memuliakan masa kerana memuliakan masa itu adalah ibadah kita kepada Allah. Tanda keimanan kita kepada-Nya. Ibadah-ibadah kita sangat banyak yang disandarkan kepada masa. Lima waktu solat, permulaan puasa dan berbuka, Ramadan dan Shawal, hawl untuk zakat, musim haji, dan amalan-amalan sunat yang disandarkan kepada masa-masa yang tertentu, adalah modus operandi Islam agar sensitiviti terhadap masa adalah dengan dorongan iman.

Akauntabiliti kita kepada Allah.

“Jangan kamu mencela masa, kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa!” [HR Muslim]

Ertinya, masa itu Allah secara eksklusif mengendalikannya. Tanpa campur tangan makhluk. Panjangnya siang dan malam, cepat atau lewatnya perjalanan masa, semuanya dalam kekuasaan Allah dan kita sebagai manusia dipertanggungjawabkan dalam keadaan beriman dan beramal soleh, untuk mengatur hidup dalam ruang lingkup masa yang ada.

Manusia yang berjaya, dibekalkan 24 jam dalam sehari.

Manusia yang gagal, juga dibekalkan 24 jam sehari.

Mereka yang berjaya, memanfaatkan masa. Mereka yang gagal, mensia-siakan masa.

Islam memberikan ketepatan masa suatu motif yang lebih tinggi daripada sekadar memenuhi keperluan manusia. Menepati masa adalah untuk merealisasikan sifat kita sebagai hamba kepada Tuhan, bukan hamba sesama manusia.

Dan untuk mencapainya, siang dalam malam kita ditamrinkan dengan berpesan-pesan dengan apa yang benar, dan berpesan-pesan dengan penuh kesabaran.

Jepun yang sudah begitu menepati masa, memerlukan Islam untuk menyuntik sebuah MOTIF.

Kerana kebaikan tanpa MOTIF yang benar, adalah sebuah kekosongan makna yang menghilangkan erti sebuah perbuatan.

Menepati masa untuk menunaikan KEPERLUAN, kepada menepati masa untuk menunaikan TUJUAN.

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mereka memperhambakan diri beribadah kepada-Ku.” [Surah al-Dzariyat : ayat 56]

Ryūjirō Takami tidak sempat menerima mesej ini. Masanya tamat dalam sebuah hambatan masa.

Moga menjadi iktibar buat kita semua yang sudah Muslim, namun masih panjang perjalanannnya untuk menepati masa.

http://saifulislam.com/

Tiada ulasan: