Rabu, 17 Julai 2013

JADILAH KAMU KAMU PENGAJAR...JIKA TIDAK JADILAH PELAJAR@BELAJAR...ATAU SUKA KEPADA ORANG YANG BELAJAR...JANGAN ENGKAU BENCI KEPADA KETIGA2NYA

Kenali Petai
Posted on Tuesday, July 16 @ 11:39:13 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Blog Anim Agro

Petai (Parkia speciosa) merupakan sejenis tumbuhan dibawah keluarga Fabaceae atau Keluarga Leguminoceae yang tumbuh dalam hutan dan kini boleh ditanam sebagai tanaman yang boeh mendapatkan hasil. Petai juga di panggil dengan nama pete' (Indonesia), sator (Thailand), sataw, stink bean, yongchaa, yongchaak atau zawngtah dipercayai berasal dari Asia Tenggara.

Di Malaysia dahulu hanya orang Melayu sahaja yang memakan petai tetapi kini pelbagai bangsa lain seperti Cina, India atau Orang Putih pun mulai memakannya kerana khasiat yang ada pada petai. Buah Petai yang berwarna hijau memberikan bau yang kuat dan menyelerakan ramai peminat buah petai. Artikel kali ini "Anim Agro Technology" akan membincangkan teknologi tanaman petai berdasarkan kepada pengalaman penulis sebagai pegawai pengembangan pertanian banyak menjumpai pokok petai sebagai tanaman selingan dan telah juga memakan petai semenjak beberapa puloh tahun dulu.

Kaian dan pemerhatian saya mendapati terdapat beberapa spesis petai yang sesuai untuk di ketahui iaitu Parkia speciosa, Parkia timoriana, Parkia sumatrana, Parkia intermedia, Parkia harbesonii, Parkia serffeseei dan Parkia leiophylla. Selain daripada Parkia speciosa , didapati spesis Parkia timoriana adalah spesis yang banyak di tanam di Malaysia, Indonesia danFilipina kerana pokoknya yang sesuai di tanam dan mudah untuk diuruskan, buah yang banyak dan kualiti buah yang baik. Spesis Parkia sumatrana pula banyak di tanam di Thailand dan Myanmar dimana subur tumbuh dikawasan lereng bukit. Parkia intermedia hanya terdapat di kepulauan Jawa dan merupakan jenis petai lokal khususnya di Pulau Jawa.


Di Malaysia saya dapati bahawa cara penanaman petai merupakan perkara yang kurang di beri perhatian dimana aktiviti memetik petai hutan masih aktif dijalankan terutama di Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan beberapa negeri lain. Hasilpetai dipasaran kebanyakannya adalah hasil petai masih dikutip dari hutan berhampiran.

Rekod mengenai keluasan penanaman petai di Malaysia yang saya rujuk dari buku statistik Jabatan Pertanian 2009 mendapati keluasan tanaman petai di Malaysia adalah 100.4 hektar dengan hasil sebanyak 388.82 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM 214,000. Antara negeri yang banyak tanaman petai seperti di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan Sarawak. Benih petai boleh didapati dari buah (pod) petai yang tua dan di semai dalam polibeg sebelum ditanam.

Jarak penanaman pokok petai sekitar 10 meter x 10 meter bergantung kepada keadaan tanah. Harga benih petai di Nurseri di Muar lingkungan RM 6.00 - RM 12.00 bergantung kepada saiz dan belum ada varieti khusus petai yang didaftarkan di negara kita.

Petai mengandungi zat asid amino dan karbohiderat kompleks yang juga akan menyebabkan kencing berbau busuk jika makan petai dengan kuantiti sedikit apa lagi kalau dengan kuantiti banyak.

Kajian dimakmal mendapati petai mengandungi 0.8183 % Lemak, 5.2% Protin, 2.06% Karbohiderat, 36,647 kalori, 4.18335 Vitamin C, 25.38% Air, 0.95% Abu, 22.30 Serat Kasar, 0.916 Gula, 1.35 ppm Kalsium, 842.45 ppm Kalium, 7.8 ppm Magnesium dan lain-lain asid lagi.

Ada juga orang yang suka makan daun petai muda sebagai ulam yang ianya juga mempunyai bau seperti buah petai juga. Saya paling suka makan petai dengan kulitnya sekali utuk mendapatkhan khasiat kulit petai yang mempunyai rasa pahit dan kelat. Kulit petai dipercayai mengandungi penawar daripada skit perut kerana makan terlalu banyak petai yang boleh menyebabkan kita tidak tanan buang air besar.

Pokok petai tumbuh menegak dengan batang kayu keras dan daun berwarna hijau seperti pokok petai belalang dengan ketinggian boleh mencapai sehingga 30 meter. Buah petai dalam bentuk papan yang ada biji petai (Beans) berwarna hijau muda.

Bunga petai berjambak berwarna putih dan terbentuk dihujong dahan. Akar petai mempunyai akar tunjang. Pokok petai biji jika tidak dikawal dengan cantasan akan terlalu tinggi dan sukar untuk mengutip hasil Kini anak benih petai cantuman lebih rendah dan cepat mengeluarkan hasil. Elakkan menanam petai dikawasan yang kelilingnya pokok tinggi kerana pokok petai kita akan kurus dan tinggi juga akibat kurag pancaran cahaya matahari.

Pengalaman penulis mendapati benih petai yang ditanam tanpa lindungan dan terdedah dikawasan lapang agak lambat membesar dan sering diserang perosak dan penyakit. Pokok petai sesuai ditanam dengan pokok pelindung seperti pisang dan buah-buahan lain diperingkat awal.

Pengalaman dan pemerhatian penulis juga mendapati , setiap 1 kilogram petai mempunyai sebanyak antara 13 - 15 papan petai dengan anggaran biji petai (beans) yang dikupas antara 2.5 - 3 kg sahaja. Petai biasanya dijual segar dengan harga borong di ladang atau secara runcit. Kajian yang saya buat mendapati di sekitar Bandar ,Muar, Johor dan Melaka harga runcit petai lingkungan RM 2.00 - RM 3.00 untuk 3 papan atau purata lingkungan RM 1.00 satu papan (Bergantung kepada saiz dan jenis serta musim).

Bagi petai yang agak panjang dan bermata besar, maka harga mampu mencecah RM 3.00 -RM 3.50 satu papan. Kebanyakan petai dimakan segar dengan mangupas kulitnya atau ada yang makan bersama-sama kulit petai. Terdapat industri mengekspot biji petai di Indonesia ke beberapa Negera seperti Arab Saudi, Malaysia, Singapura dengan harga RM 20.00 sekilogram bagi biji petai yang telah dikupas. Biji petai ini disimpan dalam jar atau bekas bersama air untuk pengekspotan.

Saiz buah petai panjangnya kira-kira 30-40 cm secara purata namun ada yang mencapai sehingga 52 cm panjang. Susunan mata biji petai berbeza-besa ada yang vertical dan ada yang horizontal berbanding dengan papan petai. Penulis merasa hairan ketika bertugas di Sarawak kerana menjumpai banyak biji petai yang vertical di Sarawak (Kebanyakkan petai di Semenanjung adalah Horizontal). Kajian mendapati berat biji petai lingkungan 60-80gm satu papan.

Petai ditanam menggunakan biji benih dari buah petai yang cukup masak dengan menyemai dalam polibeg. Benih dari buah yang masak di potong2 ikut mata dan dimasukkan dalam polibeg semaian beberapa minggu lepas itu biasanya akan bercambah. Petai ditanam dengan jarak 10 meter x 15 meter dan sesuai ditanam dengan tanaman lain seperti pisang atau buah-buahan lain. Lubang untuk penanaman disediakan dan bubuh baja asas organik dan TSP serta baja 15:15:15. Pastikan kawasan mempunyai sistem saliran yang baik.

Bergantung kepada pengurusan dan jenis petai ditanam, petai biasanya mulai berbunga dan mengeluarkan hasil sepelas 3 - 4 tahun ditanam. Pembajaan disyorkan dengan baja organik (Tahi ayam) dengan baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 2-3 kg sepokok setahun. Kebanyakan hasil petai di Malaysia pada masa ini boleh dikatakan "Petai Organik" kerana jarang digunakan racun kimia dan baja kimia.

Paling banyak petai berhasil pada tahun ke 7 hingga ke 12 dengan anggaran sebanyak antara 200 - 300 papan sepokok setahun. Temubual dengan pemungut hasi petai di Felda Nitar Mersing, Johor yang saya jalankan pada tahun 2000 (Masa itu saya adalah pegawai pertanian Daerah Mersing pun) mendapati penghasilan petai stabil sebanyak antara 1,000 - 1,100 papan sepokok setahun selepas pokok berumur 15-25 tahun. Pokok petai dalam hutan biasanya di'milikki' oleh pemburu petai yang regular dan kenal akan masa menuai dan mengutip hasil.

Pada zaman dahulu, pemungut petai akan memotong dahan pokok petai atau ada juga yang akan menebang pokok petai untuk mendapatkan hasilnya. Kini mereka sedar dan akan menjaga pokok petai tersebut dalam hutan dimana cara atau kaedah menuai hasil dengan cara memanjat pokok besama dengan tali atau pun mereka telah mula menggunakan galah panjang aluminium seperti pengait buah kelapa sawit.

Petai yang dikait dan diturunkan akan di ikat dengan tali dan diturunkan perlahan-lahan kerana buah petai akan rosak jika terhempas ketanah dengan ketinggian sedia ada. Keupayaan dan kemampuan pemanjat petai untuk mendapatkan hasil menyebabkan harga petai tidak pernah jatuh.

Saya pun ada sering mendengar kemalangan akibat ada orang jatuh akibat menuai hasil petai (Kes di Hutan Nitar, Mersing 2008). Ini kerana kedudukan buah petai yang terletak dihujung dahan dan sukar dipetik dengan tangan dan pemanjat akan jatuh bersama dahan yang patah tersebut.

Musuh utama buah petai ialah serangan Ulat Pengorek buah, Tupai, Monyet dan jelaga hitam. Proses pemdebungaan oleh binatang sperti kelawar dan sebagainya. Pada masa ini belum ada kajian ekonomi sebenar teknologi penanaman petai secara komersil dijalankan secara menyeluruh. Terdapat beberapa pokok petai yang ditanam bersama-sama buah-buahan lain seperti rambutan, durian, duku Johor dan pisang tetapi kadar pembungaan dan pengahsilan tidak menentu. Pokok yang ditanam kurus dan meninggi dan tidak rimbun seperti dihutan secara semulajadi.

Petai digunakan sebagai ulam dimakan terus atau di tumis manjadi 'Sambal Bilis Petai' yang sangat digemari di Malaysia. Sambal Bilis Petai disediakan dengan menggoreng bilis dahulu sebelum ditumis dengan cili boh sehingga masak dan akhir sekali dimasukkan dengan petai yang telah dikupas. Makan sambal bilis petai dengan tomyam merupakan satu menu kegemaran ramai sehingga kini.

Terdapat beberapa petua untuk mengurangkan bau selepas makan petai seperti mengunyah beras atau makan beberapa jenis limau atau mimum jus yang dapat mengurangkan bau. Pastikan anda tidak kencing di tandas awam kerana bau urin anda akan mengganggu orang lain.

Kalau anda ada mesyuarat resmi pun, anda kena elakkan daripada sendawa, kerana ianya akan menganggu ahli-ahli mesyuarat yang lain. Adalah agar anda disyorkan kencing terus diatas tanah dikawasan rumah di kampong untuk menambahkan kesuburan tanah!

POKOKNYA TINGGI.. ITU POKOK PETAI...
DIPANGGIL PAPAN....IA BERTANGKAI...
MAKAN SAMBAL... ITU SAMBAL PETAI....
SELEPAS MAKAN... KENCING BAU BANGKAI....

HENDAK MEMBELI ...PERGI KEPASAR.....
KINI MAHAL ... TIDAK BOLEH TAWAR...
BAIK MENANAM.... KENA BERSABAR...
TEKNOLOGINYA...PERLU DISELONGKAR.....

By,
M Anem
Senior Agronomist,Kg Pt Bengkok, Ledang,
Muar, Johor,
Malaysia
(Kemaskini pada 11 Oktber 2012 dan 4 Jun 2013)


Untuk pelbagai infotani yang menarik, sila layari: animhosnan.blogspot.com


  Tazkirah Ramadan ganggu keharmonian Jemaah?
Posted on Tuesday, July 16 @ 10:54:26 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Oleh: anaabdullah

"Apabila membaca berita Jabatan Mufti Selangor menyarankan supaya tazkirah Ramadan diadakan dalam dua waktu ditetapkan sama ada selepas solat Maghrib yang berakhir sebelum Isyak atau setelah solat Tarawih selesai ditunaikan.

Dapat penulis simpulkan tazkirah Ramadan sangat tidak sesuai diadakan selepas empat rakaat solat terawih sepertimana yang lazim diadakan oleh imam sesetengah surau dan masjid di negeri Selangor selepas negeri itu jatuh kepada Pakatan rakyat pada pru 12.

Bukan sahaja tidak sesuai, malah dinyatakan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid yang menyarankan bahawa tazkirah dibuat itu bagi menjaga keharmonian Jemaah.

Bermakna tazkirah tersebut boleh menganggu keharmonian Jemaah apabila dibuat selepas empat rakaat solat terawih.

Yang peliknya apabila dibuat selepas solat maghrib dan selepas terawih boleh dan tidak menganggu keharmonian Jemaah. Lojikkah demikian.

Bagus juga pandangan mufti Selangor itu, kerana untuk menjaga Jemaah setan yang benci dengan tazkirah yang bertujuan baik itu.

Setan memang benci dengan  nasihat agama yang wajib disampaikan kepada Jemaah yang datang solat terawih, kerana Jemaah terawih bukan orang yang sama dengan Jemaah solat maghrib dan isyak.

Penulis masih samar dengan saranan mufti Selangor terhadap tazkirah Ramadan. Apakah tazkirah boleh membuat Jemaah yang g hadir ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat tersebut tidak berada dalam suasana  kondusif.

Lebih lebih lagi umat Islam terbahagi kepada 73 puak. Hanya satu puak sahaja yang masuk syurga manakala 72 lagi itu semuanya masuk neraka."



Kewajipan Dakwah ke Jalan Allah

BAB 4: Kewajipan Dakwah ke Jalan Allah

Inilah yang benar-benar menakutkan hati orang Islam. Amaran Allah kepada orang yang terus berdiam diri, membisu dan tidak menghalang kemungkaran yang sedang berlaku.
Mereka yang membisu itu sentiasa resah gelisah, tidak mendapat ketenangan dan ketenteraman iman. Ketenangan ini hanya khusus untuk mereka yang berani menyatakan kebenaran dan menceritakan tentang syurga sahaja. Hanya untuk mereka yang bercerita tentang keunggulan dan keadilan Islam. Mereka juga mengingatkan manusia tentang azab neraka jahanam dan “qanun persamaan” balasan Allah S.W.T.
Dengan ini mereka telah mewarisi tugas Rasulullah S.A.W. yang diutus kepada manusia untuk menceritakan berita gembira dan ancaman dari Allah S.W.T. Dengan kata lain, mereka melakukan dakwah kepada Allah. Atau dengan istilah sebahagian fuqaha’, mereka ialah; Orang-orang yang melaksanakan tugas hisbah68 dengan meng’ihtisab’kan pahala dan Allah di dalam melakukan nasihat, menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.
Ibnu Taimiyah telah menerangkan definisi dakwah dengan katanya: “Dakwah kepada Allah ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah dan apa-apa yang telah dibawa oleh para RasulNya, membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka.”69
Dakwah dan Da’i dari Sudut Bahasa dan Kata Dasarnya
Perkataan dakwah merupakan satu istilah Islami. Ada hubungan yang erat antara erti asal perkataan ini dari sudut bahasa dengan penggunaannya dalam istilah Islami. Istilah ini tidak terdapat pada agama dan ajaran lain.
Pertamanya, kita lihat perkataan ini sebagai kata kerja iaitu د َعَوَ “da’awa” menurut timbangan kata kerja فَعَلَ “fa’ala”. Dalam kaedah bahasa Arab, apabila huruf illah الواو Wau, didahului dengan huruf berbaris di atas, maka huruf illah itu ditukar menjadi الألف Alif lalu perkataan tadi menjadi دَعَا “da’a” .
Perkataan ini dari segi bahasanya hanya mengandungi satu makna sahaja iaitu anda cenderungkan sesuatu kepadamu dengan menggunakan suara dan percakapan darimu. Sila rujuk Mu’jam Maqayis al-Lughah, Jilid 2, mukasurat 279.
Mencenderungkan di sini terbatas kepada dua medium sahaja iaitu suara dan kata-kata yang lahir dari pembicaranya. Ketika itu perkataan دَعَا “da’a” tidak mempunyai makna lain. Bila anda membaca firman Allah S.W.T.:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ

“Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari or­ang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh.” (Fussilat 41: 33)
Anda akan memahami bahawa Allah S.W.T. mengutamakan orang-orang yang menyeru kepadaNya kerana dialah yang paling baik ‘perkataan’nya berbanding orang yang tidak menyeru kepada Allah.
Semua perkataan yang terbit dari kata dasar ini tidak akan terkeluar pengertiannya dari maksud ini juga. Contohnya دُعَاءٌ “du’a” kerana ia berasal dari دُعَاوٌ “du’awun” dari دَعَوْتَ “da’awta”. Oleh kerana huruf الواو Wau datang selepas hurus الألف Alif maka huruf الواو Wau ditukar menjadi Hamzah. Kata terbitan itu ada kalanya muncul dalam bentuk lain. Al-Jauhari telah berkata: مُدْعَاةٌ وَ فُلانٍ دَعْوَةِ فِي كُنَّا Kunnna fi da’wati al-Fulan wa mud’ah” (yang bermaksud: “…kami diajak oleh seseorang…”), ianya sama erti dengan: اِلَى اَلدّعَوَةُ “al-Da’wah ila..” (yang bermaksud: “. . seruan kepada…”).” Pengarang Kamus al-Muhit berkata: perkataan دَعَا “da’a”, دُعَاءٌ“du’a” dan دَعَوَ “da’awa” bererti mencenderungkan dan menggalakkan kepada sesuatu.”
Dari penerangan di atas, kita dapat memahami terdapat hubungan yang erat antara pengertian kata kerja “da’a” dari sudut bahasa dengan pengertian istilah yang digunakan oleh al-Quran. Oleh itu, Firman Allah S.W.T. : “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu”, perkataan ‘serulah’ di sini bermaksud mencenderungkan dan menggalakkan.
Orang yang melaksanakan kerja dan memikul beban dakwah agar ia sampai kepada manusia disebut sebagai اَلدَّاعِىْ“al-da’ie” atau اَلدَّاعِيَةُ “al-dai’yah” . “Al-da’ie” ialah kata nama pembuat iaitu kata nama ‘da’a’. Manakala “al-da’iyah” juga merupakan satu bentuk kata nama pembuat yang ditambah dengan huruf ta’ di hujungnya untuk menunjukkan erti bersangatan atau gigih berdakwah. Kata Jamaknya dikatakan دُعَاةٌ “du’at” atau دَاعُونَ “da’un” manakala bagi da’i wanita yang ramai kita katakan mereka sebagai دَاعِيَاتٌ “da’iyat”.70
Dakwah adalah Tugas Para Rasul dan Pengikut mereka.
“Al-Rasul S.A.W telah menjalankan kerja dakwah ini. Baginda memerintahkan mereka dengan apa yang diperintahkan Allah, melarang mereka dari melakukan perkara yang dilarang Allah, menyuruh mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka dari segala kemungkaran.” 71
“Realitinya, tugas mengajak ke jalan Allah ini merupakan tugas setiap Rasul-rasul. Untuk itulah mereka diutuskan oleh Allah. Semua mereka mengajak manusia supaya beriman kepada Allah, berabdi hanya kepada Allah sahaja dan menurut sebagaimana yang diturunkan kepada mereka. Allah S.W.T. berfirman tentang Nuh a.s :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَاقَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ

“Sesungguhnya Kami telah utuskan Nuh a.s. kepada kaumnya, lalu dia berkata: Hai kaumku! Abdikan diri kepada Allah. Tiada bagimu Tuhan selain daripadaNya.” (Al-A’raf 7:59)
Demikianlah setiap rasul telah menyeru manusia kepada Allah, mengabdikan diri semata-mata kepada Allah dan membersihkan diri dari mengabdikan diri kepada yang lain selainNya. Firman Allah S.W.T. :

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنْ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Sesungguhnya Kami telah utus rasul kepada tiap-tiap bangsa: (dan mereka berkata) Hendaklah kamu sembah Allah dan jauhilah taghut” (An-Nahl 16:36)
Oleh itu, para Rasul adalah da’i yang menyeru manusia kepada Allah. Allah pilih mereka untuk membawa dakwahNya dan menyampaikan seruan tersebut kepada manusia.” 72
“Setiap perkara yang disukai oleh Allah dan rasulNya sama ada wajib atau sunat, zahir atau batin adalah merupakan antara isi dakwah kepada Allah yang perlu kita ajak kepadanya. Begitu juga setiap perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulNya sama ada batin atau zahir adalah merupakan isi dakwah kepada Allah dan perkara yang perlu kita larang daripadanya. Dakwah tidak akan sempurna kecuali dengan mengajak manusia agar melaksanakan perkara yang dicintai Allah dan meninggalkan perkara yang dimurkai Allah sama ada ianya perkataan atau perbuatan, lahir mahupun batin.” 73
Ayat-ayat Quran mengenai Dakwah, Amar makruf dan Nahy Mungkar.
Al-Quran banyak mengutarakan ayat-ayat yang mewajibkan kerja-kerja dakwah ke jalan Allah. Ada yang ditujukan secara langsung kepada Rasulullah S.A.W. dan secara tidak langsung kepada umat baginda. Manakala sebahagian lagi ditujukan secara direct kepada umat Islam.
Antara ayat-ayat yang ditujukan kepada Rasulullah S.A.W. ialah, firman Allah S.W.T. :

وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيمٍ

“Maka serulah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya engkau berada di atas petunjuk yang lurus.” (Al-Hajj 22: 67)
Allah S.W.T. berfirman lagi:

وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلَا تَكُونَنَّ مِنْ الْمُشْرِكِينَ

“Dan serulah kepada Tuhanmu dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang musyrik (mempersekutukan Allah).” (Al-Qasas 28: 87)
“Seluruh umat Islam termasuk di dalam perintah ayat-ayat ini. Ini kerana asasnya, perintah Allah kepada rasulNya adalah juga perintah Allah kepada umatnya kecuali ada pengecualian. Tetapi, di sini tiada sebarang pengecualian dari perintah Allah supaya mengerjakan tugas dakwah. Ini bermakna, Allah S.WT. memuliakan umat Islam dengan meletakkan mereka bersama para rasul-rasul dalam menjalankan tugas dakwah.” 74
Ayat-ayat yang memerintahkan secara direct umat Islam untuk menjalankan amar makruf nahi mungkar terdapat dengan banyaknya di dalam al-Quran. Ia tidak langsung memberi peluang mencari uzur bagi mereka untuk mendiamkan diri atau takut. Di antaranya ialah firman Allah S.WT. :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ

“Orang-orang yang beriman lelaki dan orang-orang yang beriman perempuan setengahnya menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka menyuruh dengan ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar.” (At-Taubah 9:71)
Kata Imam al-Qurtubi: “..Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai pembeza antara or­ang yang beriman dan orang munafik. Ciri utama orang beriman iaitu amar makruf nahi mungkar. Induknya ialah dakwah kepada Islam.75
Imam al-Ghazali ketika membicarakan ayat ini telah memberi komentar yang menarik. Beliau berkata: “Allah S.W.T. telah berfirman:

لَيْسُوا سَوَاءً مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ آيَاتِ اللَّهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ(113)يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَيُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَأُوْلَئِكَ مِنَ الصَّالِحِينَ

“Mereka itu tidak sama. Di antara ahli kitab, ada segolongan yang lurus, mereka membaca ayat-ayat Al­lah di waktu malam sedang mereka sujud. Mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian dan menyuruh dengan ma’ruf dan melarang mungkar, bersegera mengerjakan kebaikan dan mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.” (Aali Imran 3:113-114)
Allah S.W.T. tidak akan mengakui kebaikan mereka semata-mata kerana mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat sehinggalah ditambahkan ciri lain iaitu mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar.” 76
“Allah S.W.T. berfirman lagi:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ(78)كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“..dilaknak mereka yang kafir dari Bani Israel di atas lidah Daud dan ‘Isa anak Maryam. Demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas. Mereka tiada melarang sesuatu yang mungkar yang mereka perbuat sesama mereka. Sungguh amat jahat apa yang mereka perbuat.” (Al-Maidah 5:78—79)
Firman Allah S.WT.:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَر

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, (sifat kamu) kamu menyuruh dengan ma’ruf dan melarang dari yang mungkar.” (Aali Imran 3:110)
Ini menunjukkan kelebihan amar ma’ruf nahi mungkar, dan ciri itulah yang menjadikan mereka sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia.
Allah S.W.T. berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ أَنْجَيْنَا الَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنْ السُّوءِ وَأَخَذْنَا الَّذِينَ ظَلَمُوا بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang­-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang­-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasik.”(Al-A’raf 7: 165)
Ayat di atas menerangkan bahawa golongan itu terselamat kerana adanya usaha melarang dari melakukan kejahatan. Ayat itu juga menunjukkan bahawa tugas ini wajib dilaksanakan.
Allah S.W.T. berfirman lagi:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوْا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنْ الْمُنْكَرِ

“Mereka, jika Kami beri tempat (kekuasaan) di bumi, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat serta menyuruh dengan ma’ruf (kebaikan)dan melarang yang mungkar (kejahatan).” (Al-Hajj 22: 41)
Allah telah menggabungkan ciri amar makruf nahi mungkar dengan solat dan zakat dalam memperkatakan sifat-sifat solihin dan mukminin.
Allah S.W.T. berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolong berbuat dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah 5: 2)
Ayat ini mengandungi perintah yang tegas. Erti ta’awun ialah menggalakkan, mendorong dan mempermudahkan manusia untuk berbuat kebaikan dan menutup jalan-jalan kejahatan serta permusuhan menurut kemampuannya.
Allah S.W.T. telah berfirman:

لَوْلَا يَنْهَاهُمْ الرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ عَنْ قَوْلِهِمْ الْإِثْمَ وَأَكْلِهِمْ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

“Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari perkataan-perkataan yang dusta dan  memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang dilakukan oleh pendita-pendita itu (kerana tidak melarang).” (Al-Maidah 5: 63)
Firman Allah S.WT. :

فَلَوْلَا كَانَ مِنْ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُوْلُوا بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنْ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ

“Sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang ada kelebihan agama dan cerdik yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi.” (Hud 11:116)
Di dalam ayat ini, Allah menerangkan bahawa Dia telah membinasakan seluruh mereka  kecuali segelintir sahaja yang telah melarang kaum mereka kejahatan.
Firman Allah S.W.T.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوْ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah tegakkan keadilan, serta menjadi saksi bagi Allah, meskipun di atas dirimu sendiri atau ibu bapamu dan karib kerabatmu.” (An-Nisa’ 4: 135)
Ia menerangkan kewajipan amar ma’ruf terhadap ibu bapa dan kaum kerabat.
Firman Allah S.W.T.:

لَا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِنْ نَجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ


وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (An-Nisa’ 4: 114)
Firman Allah S.W.T. :

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Jika dua golongan di antara orang-orang mukmin berperang, hendaklah kamu perdamaikan antara keduanya.” (Al-Hujurat 49:9)
Usaha perdamaikan antara keduanya ini ialah dengan melarang dari menceroboh dan mengembalikan kepada taat kepada pemerintah Islam. Sekiranya mereka enggan, Allah memerintahkan agar memerangi mereka melalui firmanNya:

فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ

“Maka hendaklah kamu perangi (golongan) yang melampau itu, sehingga ia kembali kepada perintah Allah.” (Al-­Hujurat 49: 9)
Memerangi mereka adalah salah satu bentuk nahy mungkar.” 77
Oleh itu, muslim yang sayangkan imannya dan inginkan syurga yang tinggi akan bersungguh-sungguh memperkatakan al-haq. Mereka rela mengorbankan rehat mereka, waktu, harta, bahkan darah dan nyawa untuk bayaran pahala yang diidamkannya.
Tugas dakwah adalah wajib. Tidak seorang pun boleh menguzurkan diri kecuali orang awam yang ditindas, dungu, tidak pandai bertutur atau tidak tahu mengurus apa-apa.
“Sebagaimana Allah mewajibkan rasulNya untuk memberi peringatan dan menyeru kepada Allah, demikian juga Allah mewajibkan umat Islam, pengikut Rasulullah S.A.W agar menyeru manusia ke jalan Allah. Mereka adalah umat Rasulullah S.A.W. yang mesti menyampaikan dakwah Islam kepada manusia sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Dakwah juga meliputi menyuruh manusia apa yang disuruh Rasul, mencegah mereka dari perkara yang dilarang oleh Rasul, dan memberitahu mereka apa yang diberitahu oleh Rasul saw. Ini kerana, dakwah mengandungi aspek suruhan iaitu menyuruh kepada yang makruf dan menegah dari yang mungkar.” 78
“Tugasan ini diwajibkan ke atas sekumpulan umat Islam. Itulah yang dinamakan oleh ulama’ sebagai fardhu kifayah. Sekiranya ada satu golongan di kalangan umat Islam bangkit melaksanakan dakwah, gugurlah kewajipan memikul tugas tersebut dari umat yang selebihnya. Walaupun seluruh umat di perintahkan melaksanakan tugas ini, tetapi sekiranya ada satu golongan dari mereka menyempurnakannya, gugurlah tanggungjawab ini dari yang lain.” 79
“Oleh yang demikian, sekumpulan umat Islam adalah pengganti Rasulullah S.A.W. di dalam menyampaikan dakwah Islam. Oleh itu ijma’ mereka adalah menjadi hujah yang qat’I, kerana seluruh umat tidak mungkin bersepakat di atas perkara sesat. Apabila mereka berselisih di dalam satu urusan, mereka akan kembali kepada Allah dan Rasulullah.
Setiap orang Islam wajib melakukan amal dakwah menurut kemampuannya sekiranya tidak ada orang yang melakukan amal tersebut. Bahagian amal dakwah yang telah ada orang melaksanakan, gugurlah kewajipannya pada bahagian amal tersebut. Apa yang tidak termampu, dia tidak dituntut untuk melakukannya.
Sekiranya tiada sesiapa yang melakukan bahagian amal dakwah tertentu, wajiblah bagi individu yang mampu untuk menyempurnakan kekosongan tersebut. Oleh itu, individu tersebut wajib menyempurnakan tugas dakwah dari sudut yang tidak wajib kepada orang lain. Oleh itu tugas ini kadang-kadang terbahagi ke atas umat itu menurut perspektif yang berlainan. Kadang-kadang seseorang itu boleh jadi mengajak kepada iktiqad yang wajib, orang yang kedua pula menyeru kepada amalan lahir yang wajib dan orang yang ketiga menyeru kepada amalan batin yang wajib. Kepelbagaian jurusan dakwah kadang-kadang berlaku dari aspek kewajipan dan kadang-kadang dari aspek pelaksanaan.
Dari sini jelaslah bahawa dakwah ini adalah wajib ke atas setiap orang Islam, tetapi  dalam bentuk fardhu kifayah. Ia diwajibkan ke atas individu tertentu menurut kemampuannya jika tiada pihak lain yang menyempurnakannya. Ini semua berlaku pada tugas menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran, menyampaikan apa yang telah dibawa Rasulullah dan jihad pada jalan Allah dan mengajar tentang iman dan al-Quran.
Dari sini semua jelaslah bahawa dakwah itu sendiri bererti amar ma’ruf dan nahi mungkar. Da’i adalah penyeru, penuntut dan pengajak kepada apa yang diserunya. Itulah maksud amar kerana amar ialah meminta dilakukan apa yang di suruh. Oleh itu, menyeru kepada Allah ialah menyeru ke jalanNya. Mengikuti jalanNya adalah dengan membenarkan apa yang telah disampaikan dan taat pada segala yang diperintahkan.” 80
Makna Fardhu Kifayah – dan Menolak Sangkaan Mereka yang Berpeluk Tubuh dan Membisu
Apabila fuqaha’ menetapkan bahawa hukum berdakwah itu  fardhu kifayah, ramai orang menyangka bahawa mereka diizinkan berehat dari kerja amar ma’ruf dan nahi munkar. Mereka pun memilih untuk duduk bersama golongan yang membisu, kerana terperdaya bahawa apabila dakwah telah dilaksanakan oleh segolongan, maka gugurlah tugas itu dari mereka. Sebenarnya bukan begitu, berdasarkan nas-nas yang telah dinyatakan.
Perkataan ‘melaksanakan dakwah’ sebenarnya bererti terhasilnya perkara yang didakwah itu di alam realiti, dipraktikkan dan golongan mad’u (orang yang diseru) mengikut nasihat para da’i.
Sekiranya ada manusia yang masih lalai, mengikut nafsu dan tenggelam dalam maksiat, maka setiap orang Islam masih terpikul dengan tugas ini. Seluruh umat wajib menolong da’I, menyeru kepada kebaikan dan melarang manusia dari kemungkaran. Setiap muslim mesti memantapkan kekuatan dan menolong  mereka, meramaikan bilangan da’i sehingga mereka menjadi kuat, hebat dan mempunyai pengaruh yang cukup untuk mencegah golongan maksiat dan menentang syariat Islam.
Sekiranya golongan maksiat dan mungkar itu telah meninggalkan maksiat itu, masih perlu juga wujudnya satu golongan bagi meneruskan tugas ini. Ketika ini barulah sebahagian daripada umat diharuskan mendiamkan diri.
Tetapi selagi semua perkara tersebut belum dicapai, tiada siapapun boleh mendiamkan diri.
Siapa yang melihat keadaan orang Islam pada hari ini, mesti dia akan dapati segala usaha dakwah Islam masakini belum mencapai yang diharapkan untuk mencegah maksiat yang berlaku. Sebesar-besar maksiat masakini ialah berhukum kepada selain dari Allah, samada berdasarkan logik akal, hawa nafsu dan ideologi  yang diimpot.
Oleh itu tiada muslim pada hari ini yang boleh lari dari kewajipan dakwah, menolong para da’i, bekerjasama dengan mereka di dalam dakwah dan perjuangan membasmi kejahatan, menghapuskan maksiat dan pelakunya dan meletakkan semula kebaikan dan orang soleh di tempat asalnya.
“Seruan ke arah kebaikan -yang paling tingginya seruan kepada Allah- adalah wajib ke atas setiap orang Islam mengikut kemampuan masing-masing. Dakwah adalah sebahagian dari sifat-sifat orang beriman. Hadis Nabi S.A.W menyuruh setiap orang Islam, lelaki dan wanita agar menghapuskan kemungkaran dengan kadar kemampuan masing-masing. Sekiranya satu kemungkaran telah dihapuskan dengan usaha seorang atau beberapa orang, tidak dituntut lagi dari pihak lain dan mereka tidak berdosa.
Muslim yang sebenar akan segera menyuruh manusia kepada kebaikan dan melarang manusia dari kemungkaran tanpa menunggu-nunggu orang lain melaksanakannya terlebih dahulu. Kerana kemungkinan tidak ada orang lain yang melaksanakan tugas itu, berdosalah dia.
Seorang muslim itu menyeru ke jalan Allah kerana dia adalah seorang muslim, yakin kepada Allah dan Rasulnya sebagaimana firman Allah S.W.T. :

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia kepada Allah dengan yakin dan hujjah dari Allah. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah.” (Yusuf 12:108)
Seorang muslim mesti bangkit untuk berdakwah. Sebaliknya, jika ditakdirkan dia tidak mendakwahi seseorang tertentu atau tidak berdakwah pada waktu yang tertentu, dan ada seorang Islam lain melaksanakannya, maka orang yang berdakwah itu akan mendapat pahala dan orang yang tidak berdakwah tidak mendapat apa-apa.
Tetapi sekiranya seseorang Islam itu meninggalkan tugas dakwah secara berterusan dan dengan sengaja, maka dia tidak lagi termasuk dalam golongan pengikut Rasulullah S.A.W. sepertimana yang terkandung di dalam ayat di atas. Kerana sifat para pengikut Rasulullah S.A.W adalah mereka yang mengajak manusia kepada Allah.
Selain itu, menurut pengertian fardhu kifayah, sesuatu perintah adalah ditujukan kepada semua orang Islam supaya melaksanakan fardhu ini. Sesiapa yang mampu melaksanakan, dia wajib melaksanakannya secara langsung.
Oleh itu firman Allah S.W.T. :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

“Hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf (kebaikan) dan melarang dari yang mungkar; dan mereka itulah yang menang.” (Aali Imran 3:104)
bermaksud bahawa orang Islam semuanya mesti bangun mempersiapkan satu “ummah” iaitu jamaah yang bangkit berdakwah menyeru manusia kepada Allah. Seluruh umat Islam mesti menolong mereka dengan apa jua cara dan jalan untuk merealisasikan objektif jamaah itu iaitu menegakkan Deen Allah dan mengembangkan dakwah. Sekiranya orang Islam seluruhnya tidak berbuat demikian, berdosalah semua individu samada yang ada kelayakan berdakwah dan semua yang lain.
Meskipun kita katakan berdakwah kepada Allah itu wajib ke atas sebahagian orang Islam dan tidak wajib ke atas sebahagian yang lain kerana fardhu kifayah, tetapi syarat untuk terlepas dari tanggungjawab fardhu kifayah hanya terhasil apabila ada orang yang menyelesaikan tanggungjawab tersebut. Bila kifayah itu tidak selesai dan belum terlaksana, maka wajiblah setiap orang Islam melakukannya menurut kemampuan masing-masing.” 81
Dakwah adalah kerja Ulama’…. apa ertinya?
Orang yang tidak mengerti kadangkala juga keliru kerana adanya beberapa syubhat dan kekaburan yang menyebabkan mereka merasai tidak wajibnya tugas dakwah ini.
Syubhat-syubhat ini samalah seperti mana-mana bid’ah lain yang hanya bersandar kepada nas umum yang boleh ditakwilkan tafsirannya kepada banyak  erti-erti yang lebih khusus yang boleh diertikan dari nas itu. Tetapi penafsiran tersebut sebenarnya tidak boleh masuk dengan kaedah umum syarak bahkan bertentangan langsung. Pentafsiran mereka juga kadangkala dibatalkan oleh nas-nas lain yang memberikan makna lain terhadap nas yang pertama tadi. Ia juga mendedahkan makna yang lemah pada nas tersebut.
Biasanya, di dalam mana-mana bid’ah, nas-nas di dalam melariskan bid’ah mereka ialah nas-nas yang jelas, tetapi hawa nafsu telah menyelewengkan nas-­nas tersebut dari erti zahirnya. Hawa nafsu adalah jalan kejiwaan yang menjelma dalam pelbagai bentuk dan disebabkan oleh pelbagai motif. Dalam kes ini, kepercayaan atau dakwaan tidak wajib dakwah ke atas setiap orang Islam biasanya disebabkan oleh rasa takut, bacul, mahu relaks, mencari jalan mudah, takut hilang kesenangan dunia yang kadang-kadang boleh terlepas dari da’i disebabkan oleh kerja “amar makruf nahi mungkar” jika dilakukannya.
Di antara syubhat itu ialah salah faham terhadap apa yang dikatakan oleh ulama’ bahawa kerja dakwah itu hanya terbeban khusus pada orang yang berilmu sahaja memandangkan ilmu merupakan salah satu syarat yang disebutkan oleh fuqaha bagi mereka yang menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar. Seperti kata Imam ar-Radzi:
“Tugas ini adalah khusus buat ulama’. Ini kerana untuk menyeru kepada kebaikan seseorang itu mesti tahu tentang perkara-perkara kebaikan, perkara yang makruf dan perkara yang mungkar. Oleh itu, tugas ini khusus ditujukan kepada golongan ulama, bukan kepada golongan yang jahil. Ulama’ adalah sebahagian dari umat.” 82
Pendapat al-Radzi ini sama dengan pandangan al-Qurtubi dan al-Jassas.83 Dari sinilah lahir kesamaran tersebut.
Pada hakikatnya berlaku kekeliruan dalam memahami hal ini disebabkan perkataan “ulama” yang ditafsirkan oleh mereka yang keliru itu terhadap potongan ayat: “Hendaklah ada satu umat dari kamu”, yang disebut di dalam al-Quran dengan anggapan bahawa dakwah itu disyaratkan mempunyai ilmu.
“Memanglah dakwah kepada kebaikan, lebih-­lebih lagi dakwah kepada Allah, mesti disertai dengan ilmu. Walau bagaimanapun ilmu bukanlah suatu yang satu dan tidak boleh dipecahkan dan terbahagi. Bahkan ilmu itu secara tabiinya adalah terbahagi-bahagi dan terpecah. Siapa yang mengetahui satu masalah tetapi jahil terhadap satu masalah yang lain, maka dia dianggap ‘alim’ pada masalah pertama dan ‘jahil’ pada masalah kedua. Oleh itu wajiblah dia berdakwah dalam bidang yang dia ‘alim’ dan tidak wajib berdakwah dalam bidang yang dia ‘jahil’.
Para fuqaha’ bersependapat bahawa ‘siapa yang jahil terhadap sesuatu atau jahil hukumnya, dia tidak wajib berdakwah perkara tersebut. Ini kerana di antara syarat sahnya dakwah adalah mengetahui dengan baik akan apa-apa yang diserukan itu.
Atas dasar inilah maka setiap orang Islam mesti menyeru kepada Allah sekadar apa yang diketahuinya seperti yang akan kita jelaskan kemudian. Inilah yang dimaksudkan dalam kata-kata bahawa dakwah itu hanya ‘wajib keatas ulama’ dan tidak wajib kepada orang jahil’. Ertinya, wajib kepada siapa yang mengetahui sesuatu masalah dan mengetahui hukum masalah yang diserunya itu, sama ada dia orang biasa ataupun dia telah mempunyai ilmu agama yang banyak (ulama’).
Dari sini jelaslah salah orang yang berkata bahawa maksud perkataan “ulama’” ialah mereka yang mempunyai ilmu yang banyak sahaja. Kadang-kala mereka yang mempunyai ilmu ini digelar ‘orang agama’. Nama itu sebenarnya menepati untuk semua muslim, kerana setiap muslim itu adalah orang Islam. Oleh itu dakwah tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja dari orang muslim.” 84
Tidak Sempurna Hidayah Tanpa Amar Makruf Nahi Mungkar
Di antara syubhat juga ialah silap faham terhadap ayat :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا


فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu. Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Maidah 5:105)
Orang yang tidak faham terhadap maksud ayat ini enggan berdakwah, tidak mahu melakukan amar ma’ruf dan nahy mungkar dan ingin berbaik-baik dengan manusia dengan cara demikian.
“Imam Ibnu Qayyim menganggap keengganan menjalankan tugas mulia ini adalah sebesar-besar muslihat syaitan : “Syaitan mengajar mereka supaya meninggalkan dakwah, tidak menjalankan tugas amar makruf dan nahi mungkar dengan alasan menjaga hubungan sesama insan, berakhlak baik terhadap mereka dan kononnya melaksanakan firman Allah: “Jagalah diri kamu”85
Mengenai hal ini, kami akan petik satu artikel penting karya Imam Ibnu Taimiyah ketika menolak kesilap fahaman ini. Artikel beliau ini cukup baik dan komprehensif
Kata Ibnu Taimiyah:
“Firman Allah S.W.T.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ

“Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakanmu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk.” (Al-Maidah 5:105)
Ayat di atas bukan menyuruh meninggalkan kerja amar makruf, nahi mungkar. Ayat tersebut tidak mengandungi maksud larangan atau keizinan. Maksud ini selari dengan sebuah hadis yang masyhur yang diriwayatkan dari Abu BakarAs-Siddiq r.a. bahawa beliau telah berkhutbah di atas mimbar Rasulullah S.A.W. lalu berkata: “Wahai manusia sesungguhnya kamu telah membaca ayat ini tetapi kamu meletakkannya pada bukan tempatnya. Padahal sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat ­kemungkaran lalu mereka tidak merubahnya, hampirlah Allah meranapkan mereka semua dengan azabNya.”
Demikian juga di dalam hadis marfu’ dari Abu Tha’labah al-Khusyaniyy yang mentakwilkan hadis:
“Apabila kamu telah melihat syuhh ditaati, hawa nafsu dituruti dan setiap orang kagum dengan pendapatnya sendiri, hendaklah kamu menumpukan urusan dirimu sendiri.”
Hadis ini ditafsirkan oleh sebuah hadis dari Abu Said di dalam sahih Muslim:
“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya maka sekiranya dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya, dan yang demikian itu selemah-lemah iman.”
Sekiranya golongan manusia yang jahat menjadi kuat sehingga mereka tidak mahu mendengar perkara-perkara kebaikan, malah mereka menyiksa orang yang melarang kejahatan mereka kerana sifat syuhh, hawa nafsu dan kagum terhadap diri sendiri yang menguasai diri mereka; dalam keadaan ini gugurlah tanggungjawab dakwah menggunakan lidah. Berdakwah ketika itu hanya wajib dengan menggunakan hati sahaja.
Al-Syuhh adalah sifat terlalu inginkan sesuatu hingga membawa kepada kedekut dan zalim. Ia menghalang dan benci perkara yang baik. Mengikut hawa pula berlaku apabila pelakunya ingin dan menyukai sesuatu kejahatan. I’jab bi-rra’y pula berlaku dari sudut pemikiran dan ilmu.
Hadis ini jelas menyebut kerosakan tiga power pada manusia iaitu kerosakan ilmu, perasaan cinta dan perasaan benci. Di dalam hadis lain pula bermaksud:
“Ada tiga perkara yang membinasakan: Akur kepada al-syyuhh, mengikut hawa nafsu dan kagum seseorang pada diri sendiri.”
Ini bertentangan sekali dengan tiga perkara yang menyelamatkan kita dari kebinasaan, iaitu:
“Takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi dan terang; berjimat cermat semasa miskin mahupun kaya dan berkata benar ketika marah dan redha.”
Itulah doa baginda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis yang lain:
“Wahai Tuhanku, aku bermohon kepadaMu rasa takut kepadaMu di dalam rahsia dan terang, aku bermohon kepadamu perkataan yang benar di waktu marah dan redha dan aku bermohon kepadaMu bersikap sederhana di waktu fakir dan kaya.”
Sikap takut kepada Allah S.W.T. bertentangan dengan sikap mengikut hawa nafsu kerana rasa takut kepada Allah menghalang seseorang dari menurut keinginan nafsu sebagaimana firman Allah S.WT. :

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنْ الْهَوَى

“Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya.” (An­-Nazi’at 79: 40)
Sikap berjimat cermat dan bersederhana semasa miskin dan kaya pula bertentangan dengan sikap tunduk pada kebakhilan. Mengucapkan kata-kata yang benar di waktu marah dan redha pula bertentangan dengan sikap mengagumi diri sendiri.
Oleh itu, apa yang dikatakan oleh Abu Bakar Siddiq memang jelas di mana firman Allah S.WT. : “jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk”; ianya bermaksud “Beriltizamlah dengan diri dan hadapilah ia. Di antara keperluan kebajikan diri ialah mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi larangannya.”
Firman Allah S.WT. :

لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ

“Tiadalah memudaratkan mu orang yang sesat bila kamu telah mendapat petunjuk.” (Al-Ma’idah 5:105)
Petunjuk dan hidayah Allah hanya akan sempurna dengan mentaati Allah dan menunaikan kewajipan yang terdiri dari perintah dan laranganNya.
Tetapi ayat ini juga mengandungi beberapa pengajaran dan faedah yang besar iaitu:
1. Jangan takut kepada orang-orang kafir dan munafik kerana mereka tidak dapat memudaratk orang beriman yang mendapat hidayah Allah.
2. Jangan berdukacita dan gelisah terhadap orang-orang kafir dan munafik kerana maksiat dan kejahatan mereka tidak memudaratkan orang yang beriman apabila dia telah berada di atas hidayah Allah. Sedih terhadap sesuatu yang tidak membahayakan adalah perkara yang sia-sia. Firman Allah S.W.T. :

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ

“Dan bersabarlah (terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” (An-Nahl 16:127)
  1. Janganlah cenderung kepada mereka. Jangan tertarik kepada kekuasaan, kekayaan dan keseronokan yang ada pada mereka sebagaimana firman Allah S.W.T. :

لَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ

“Janganlah engkau layangkan pandangan engkau kepada apa yang telah Kami berikan kepada orang kafir dan janganlah engkau berdukacita terhadap mereka itu.” (Al-Hijr 15:88)
Allah melarang orang yang beriman merasa sedih terhadap orang kafir dan juga melarang mereka inginkan apa yang ada pada si kafir di dalam satu ayat. Di dalam ayat lain pula Allah melarang mereka dari merasa sedih dan takut kepada orang kafir. Manusia kadang kala menderita perasaan kerana terlalu teringinkan sesuatu atau gerun terhadap sesuatu.
4.      Apabila membenci, mencela, melarang, memulaukan atau menghukum pelaku maksiat, janganlah melampaui batas lebih dari yang dibenarkan. Bahkan katakan bagi sesiapa yang berbuat begitu, satu amaran: “Jagalah dirimu sendiri kerana orang yang sesat tidak akan memudaratkan kamu, bila kamu telah mendapat petunjuk.”
Firman Allah S.W.T. :

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

“Janganlah kebencianmu kepada satu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa.” (Al-Ma’idah 5: 8)
Firman Allah S.W.T. :

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

“Perangilah di jalan Allah orang­-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Baqarah 2:190)
Firman Allah S.W.T. :

فَإِنْ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ

“Jika mereka berhenti, maka tiada permusuhan melainkan kepada orang-orang yang melakukan kezaliman.” (Al-Baqaarah 2:193)
Ramai da’i yang menjalankan kerja amar makruf, nahi mungkar yang melampaui batas-batas Allah sama ada kerana jahil atau zalim. Itulah perkara yang wajib disedari semasa kita menghadapi orang-orang kafir, munafik, fasik dan ahli maksiat.
5.      Amar makruf nahi mungkar hendaklah dibuat mengikut cara yang diizinkan syarak, dari segi ilmu, lemah lembut, sabar, niat yang baik dan sederhana. Ini  termasuk dalam firman Allah yang bermaksud: “Jagalah diri kamu” dan firman Allah yang bermaksud “kamu apabila kamu mengikuti hidayah Allah,”
Itulah lima pengajaran dari ayat itu untuk orang yang bertugas menyeru manusia kepada Islam, amar makruf, nahi mungkar.
Terdapat juga pengertian yang lain dari pengajaran tersebut iaitu:
Berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan amal dan meninggalkan segala perkara yang tiada kena mengena dengannya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
“Di antara keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengannya,” terutamanya berlebihan dalam hal yang tidak perlu untuk dunianya, agamanya, dan orang lain. Apalagi kalau perkataannya itu kerana hasad dengki atau inginkan jawatan.
Begitu juga dari aspek amalan. Dia mungkin seorang penceroboh zalim atau si dungu yang merosakkan keadaan. Lalu digambarkan syaitan sebagai berbuat amar makruf, nahi mungkar dan jihad di jalan Allah. Jadilah ini pintu-pintu kezaliman dan permusuhan.
Penelitian terhadap ayat ini sangat bermanfaat kepada seseorang individu. Sekiranya anda amati perselisihan yang berlaku di kalangan umat ini sama ada di kalangan ulama’, ahli ibadah, pemerintah dan pemimpinnya, kamu akan dapati sebahagian besar perselisihan tersebut adalah berupa tindakan melampau yang dilakukan sama ada dengan takwil ataupun tanpa takwil. Contohnya, pelampauan golongan Jahmiyah terhadap ahli sunnah di dalam isu ‘sifat-sifat Allah’ dan al­-Quran, tribulasi yang dihadapi oleh Imam Ibnu Hanbal dan lainnya. Begitu juga golongan Syiah Rafidhah yang menzalimi ahli sunnah dalam banyak peristiwa; puak al-Nasibah yang bertindak melampau ke atas Ali r.a dan keluarganya; dan al-Musyabbihah melampaui ke atas al-Munazzahah. Begitu juga pelampauan sebahagian ahli sunnah sesama mereka atau terhadap sesetengah golongan bid’ah, lebih dari yang diperintahkan Allah. Itulah sikap keterlaluan yang disebut di dalam doa orang yang beriman di dalam al-Quran:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا

“Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan pekerjaan kami yang keterlaluan.” (Aali Imran 3: 147)
Terbalik dari itu pula, terdapat segolongan yang bersikap cuai pada kebenaran yang diperintahkan atau cuai melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Betullah apa yang dikatakan oleh seorang salaf: “Setiap perintah Allah pasti akan ditentang oleh syaitan dengan salah satu dari  dua cara, tidak kira mana satu yang dapat; melampau atau mencuaikan.” 86
Oleh itu, ada mereka yang membantu dalam dosa dan permusuhan, dan di sebaliknya ada pula orang yang tidak menolong pada kebaikan dan takwa. Ada orang yang menjalankan suruhan dan juga melakukan perkara yang dilarang disebaliknya ada orang yang meninggalkan perkara yang dilarang dan sebahagian perkara yang disuruh. Moga Allah S.W.T. menunjukkan kita jalan yang lurus. La haula wala quwwata illa billah.87

Demikianlah penjelasan Ibnu Taimiyah. Satu pendapat yang bernas dan mantap. Sebab itulah kami bawa di sini dengan panjang lebar. Di dalam muqaddimah buku ini, kami telah nyatakan tawadhu kami berdepan dengan para imam, ulama’, fuqaha’ dan da’i Islam qudama’. Kami utamakan nasihat mereka berbanding pandangan kontemperori atau apa yang mampu kami sendiri hasilkan.
Perlu disedari bahawa ulama’ dahulu yang mengharuskan berdiam diri  bila berhadapan dengan kekuatan dan penindasan golongan jahat, keharusan ini sebenarnya hanya untuk orang awam yang lemah. Sebaliknya, para da’i, pemimpin dan para ulama’ hendaklah mengambil jalan ‘azimah88. Mereka mesti menyatakan kebenaran sekali pun disiksa, ditentang atau akan dibunuh, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Taimiyah dan ulama’-ulama’ lain (yang akan kami sebutkan pada bab-bab akan datang). Begitulah sejarah yang berlaku kepada Imam Ahmad Ibnu Hanbal semasa fitnah ‘al-Quran itu makhluk‘. Perhatikanlah betul-betul kata-kata Ibnu Taimiyah: “Hidayah itu tidak sempurna melainkan dengan mentaati Allah.”
“Jika khalifah Abu Bakar r.a cepat-cepat memperbaiki kekeliruan sesetengah orang Islam terhadap maksud ayat al-Quran tersebut, maka kita pada hari ini lebih memerlukan pembetulan seperti itu. Ini kerana, usaha kerja untuk merubah kemungkaran telah menjadi lebih sukar. Sangat mudah mereka si lemah itu menggunakan takwil ayat ini untuk tujuan melepaskan mereka dari kesukaran jihad dan dakwah !
Demi Allah, agama ini tidak mungkin tegak tanpa penat dan jihad. Agama ini tidak dapat sesuai dengannya kecuali amal dan perjuangan. Agama ini memerlukan pejuang yang sanggup berkorban untuk menarik dan mengeluarkan manusia dari jahiliyyah kepada Islam, dari menyembah sesama makhluk kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan menegakkan uluhiyyah Allah sahaja di atas muka bumi ini. Mereka hendaklah berjuang untuk mengembalikan kekuasaan Allah yang telah dirampas dan menundukkan mereka hanya kepada agama Allah, menegakkan syariat Allah dalam kehidupan manusia dan menegakkan manusia di atas syariat Allah.
Mesti ada usaha gigih, kadangkala dengan cara lembut jika golongan sesat hanyalah individu-individu yang memerlukan tunjuk ajar dan penerangan. Tetapi kadangkala mesti menggunakan apa cara saja yang boleh dan dibenarkan oleh syarak jika menghadapi kuasa-kuasa yang menghalang manusia dari hidayah, kuasa yang menyingkirkan agama Allah dan menghalang syariat Allah dari ditegakkan. Ketika itu sahajalah – dan bukannya sebelumnya- gugurlah tugas ini dari mereka yang beriman.” 89
Oleh itu cara faham orang yang ingin mengelakkan diri dari tugas ini adalah tidak benar. Ayat di atas sebenarnya bermaksud:
Jagalah dirimu sendiri; sucikan dan bersihkanlah dia, jagalah jamaah kamu, beriltizamlah dengannya dan peliharalahnya. Bukan salah kamu jika ada yang sesat setelah kamu sendiri mengikuti hidayah Al­lah. Kamu adalah satu unit yang terpisah dari jahiliyyah yang sesat itu. Kamu adalah satu umat yang bersatu-padu dan tolong-menolong di antara kamu. Kamu adalah pemimpin dan penolong kepada sesama kamu. Tidak ada wala’ dan hubungan antara kamu dengan mereka (jahiliyyah).
Sesungguhnya ayat satu ini telah menjelaskan prinsip-prinsip asas bentuk umat Islam dalam bentuk hubungan mereka dengan umat-umat lain.
Umat Islam merupakan hizbullah atau golongan Allah. Semua umat yang bukan Islam adalah hizbu syaitan ‘golongan syaitan’. Oleh itu, tidak ada wala’ dan keterikatan di antara keduanya. Oleh kerana tiada persamaan akidah antara keduanya, maka tiada persamaan juga pada tujuan dan wasilah dan tidak ada persamaan dalam hak dan tanggungjawab.
Umat Islam mesti bantu membantu antara satu sama lain. Mereka mesti nasihat­ menasihati, saling berpesan dan mengikut petunjuk Allah yang telah menjadikan mereka sebagai satu umat yang tersendiri dan terpisah dari umat yang bukan Islam. Selepas itu, mereka tidak akan dipersalahkan atas kesesatan manusia di sekeliling mereka selagi mereka berada di dalam hidayah Allah.
Walau bagaimanapun, ini tidak bererti umat Islam boleh meninggalkan tugas menyeru manusia seluruhnya kepada hidayah. Hidayah Allah ialah agama, syariat dan sistemNya. Sekalipun sudah tertegak sistem Allah di atas muka bumi, masih ada baki tugasan untuk umat Islam iaitu menyeru manusia seluruhnya pula kepada Allah, menunjukkan mereka ke jalan yang benar, mengambil alih kepimpinan mereka untuk melaksanakan keadilan dan menghalang mereka dari dirosakkan balik oleh kesesatan dan kejahilan.
Memang umat ini bertanggungjawab sendiri di hadapan Allah. Orang yang sesat tidak akan terkesan pada mereka sekiranya mereka telah mengikut hidayah Allah. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna mereka tidak akan dihisab jika mengabaikan tugas amar makruf, nahi mungkar sesama mereka pertamanya dan seterusnya kepada seluruh manusia.
Makruf yang pertama ialah Islam iaitu menyerahkan diri kepada Allah dan melaksanakan undang­-undang berdasarkan syariat Islam. Mungkar yang utama pula ialah jahiliyah dan merampas kuasa syariat Allah. Undang-undang jahiliyyah adalah undang-undang taghut. Taghut merupakan setiap kekuasaan dan perundangan yang bukan kekuasaan dan undang-undang Allah. Umat Islam mestilah menjadi umat yang memimpin dirinya sendiri pertamanya dan kemudiannya menjadi pemimpin segenap manusia.
Penjelasan batas tugas umat Islam di dalam ayat-ayat al-Quran tadi tidaklah sepertimana yang disalahfahami oleh sesetengah orang -sama ada dahulu dan sekarang- bahawa orang perseoarangan Islam dan umat Islam tidak dibebani dengan kerja amar makruf nahi mungkar selagi mereka telah mengikuti hidayah Allah. Sebenarnya, setiap individu muslim dan umat Islam itu mesti memikul tugas mendirikan syariat Allah di segenap pelusuk muka bumi apabila mereka telah mendapat hidayah Allah. Mereka tidak boleh membiarkan manusia di sekelilingnya tenggelam di dalam kesesatan.
Ayat-ayat al-Quran ini tidak menggugurkan tanggungjawab untuk terus memerangi kejahatan, menentang kesesatan dan mengalahkan taghut dari bahu individu dan umat Islam. Taghut yang paling jahat ialah taghut yang merampas uluhiyyah dan kekuasaan Allah dan memperhambakan manusia kepada syariat selain dari Allah. Tidak ada gunanya individu atau umat itu dikatakan mendapat hidayah sedangkan kemungkaran itu masih berkuasa dan berleluasa.” 90

Nota Kaki
  1. Hisbah ialah satu istilah Perundangan Islam yang bermaksud menguatkuasa bagi hukum syariah. (Pnt)
  2. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, 15/157
  3. Petikan artikel oleh Ustaz Rasyid al-A’zami dalam Majalah ’al-Tarbiyah al-Islamiah’ Jilid 5, m.s. 471 dengan beberapa suntingan
  4. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 15, m.s. 161
  5. Usul al-D’wah, m.s. 268
  6. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 15, m.s. 164
  7. Usul al-Da’wah, m.s. 269
  8. Tafsir al-Qurtubi, Juzu’ 4, m.s. 47. (Dipetik dari Usul al-Da’wah)
  9. Ihya’ ‘Ulumuddin, Jilid 2, m.s. 307
  10. Ibid
  11. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 15, m.s. 165
  12. Ibid
  13. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 15, m.s. 166
  14. Usul al-Da’wah, m.s. 275
  15. Tafsir Ar-Razi, jilid 7, m.s. 177; Tafsir al-Qurtubi, Juzu’ 4, m.s. 165; Ahkam al-Quran li al-Jasas, Juzu’ 2, m.s. 29; Usul al-Da’wah, m.s. 274.
  16. Ibid
  17. Usul al-Da’wah, m.s. 274
  18. Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, Jilid 1, m.s. 130
  19. Melebih-lebihkan sesuatu perkara atau mengabaikannya. (Pnt)
  20. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 14, m.s. 479
  21. Lawan bagi rukhsah. (Pnt)
  22. Al-Zilal, Juzu’ 7, Cetakan 1961, m.s. 59
  23. Ibid, m.s. 59-60

Bermain Politik kotor! Mesti berpolitik cara Islam



Wan Yaakub Wan Abdullah (Maahad Qiraat Shoubra)
Strategi musuh Islam untuk melemahkan orang Islam ialah dengan mengatakan politik suku agama suku. Iaitu politik tiada kaitan dengan urusan agama. Hendak solat, kahwin, puasa ikut cara Islam akan tetapi riba, rasuah, pendidikan, pentadbiran, ketenteraan, undang-undang tak boleh ikut cara Islam kerana tak sesuai pada zaman moden sekarang. Strategi mereka ini telah berjaya menusuk masuk dalam benak fikiran orang-orang Islam. Kita dapati para pemerintah negara-negara Islam telah terpengaruh dengan agenda jahat musuh Islam ini dengan mereka memisahkan agama dari politik dan pemerintahan.

Imam Hassan al-Banna telah berkata :

“Aku berani menegaskan dengan terus terang bahawa seorang Islam tidak akan sempurna keislamannya melainkan ia adalah seorang yang mempunyai kesedaran politik, memandang berat terhadap urusan umat Islam, memberi perhatian kepada umat Islam dan ghairah dengannya. Aku berani berkata : Pemisahan dan batasan ini tidak diakui oleh Islam…”

Ahli politik Islam ialah : orang Islam yang komitmen dengan Islam yang menyelesaikan urusan umat dari sudut pandangan Islam dan hukum syarak.*

Politik(siasah) terbahagi kepada dua:

Pertama : Siasah syarak bermaksud memimpin keseluruhan manusia menurut kehendak pandangan syarak dan khilafah yang bertindak memelihara agama serta mengurus dunia dengan agama.*

Kedua : Siasah(politik) bukan syarak atau siasah ciptaan manusia adalah siasah yang memimpin manusia menurut kehendak pandangan manusia yang diterjemahkan kepada perlembagaan-perlembagaan ciptaan yang menggantikan syariat Islam dan bertentangan dengannya. Siasah ini yang menolak siasah syarak ialah siasah yang tidak beragama. Siasah yang tidak mempunyai agama adalah siasah jahiliyyah.*

Politik yang menolak syarak adalah politik kotor lagi jijik. Bagaimana politik ini boleh diterima oleh orang-orang Islam walaupun politik ini sangat jijik? Adalah dengan menggunakan WANG, WANITA, PANGKAT. Manusia apabila dijerat atau diperangkap dengan wang atau wanita atau pangkat maka mereka akan sanggup mengetepikan agamanya demi kepuasan nafsu yang sembentara. Ini adalah hakikat yang telah berlaku dikalangan orang-orang Islam terutamanya para pemimpin, yang mana mereka memberi rasuah kepada orang bawahanya, melantik atau memberi jawatan supaya meraka taat dan tidak menyalahi arahan pimpinan yang teratas. Cara ini juga dilakukan oleh pimpinan BN zaman-berzaman. Rasulullah s.a.w pun pernah ditawarkan oleh pemimpin musyrikin dengan wanita, harta dan pangkat akan tetapi Rasulullah s.a.w menolak dengan mentah-mentah pelawaan musyrikin.

Penulis mengajak kepada semua supaya kita berpolitik cara Islam. Berpolitik cara Islam adalah wajib. Kita mesti fikir dan mengambil-berat tentang urusan manusia khasnya umat Islam.
Rasulullah s.a.w telah bersabda :

من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

“Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil berat tetang urusan orang-orang Islam maka dia bukan dari golongan mereka{orang-orang Islam}” hadis riwayat al-Baihaqi”

Sumber : abuyusuff.blogspot.com

Enam Golongan Yang Sukar Menerima Dakwah

 …(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).” - Surah Al Baqarah: Ayat 255
Banyak buku-buku yang menerangkan tentang metod berdakwah, ciri-ciri pendakwah, mendekati orang yang ingin didakwahkan dan sebagainya. Akan tetapi, penulisan mengenai siapakah orang paling sukar menerima dakwah adalah sangat kurang.

Contohnya, apabila ditanya kepada beberapa orang Islam, apakah isi khutbah jumaat (selepas solat jumaat), mereka tidak ingat malah ada yang tertidur. Ditanya pula apakah isi ceramah, tazkirah dan seumpamanya pada beberapa orang selepas tamat sesi tersebut, jawapan mereka lebih kurang sama. Perkara ini berlaku pada kebanyakan orang, anda boleh bertanya kepada diri sendiri dan boleh juga bertanya pada orang lain untuk melakukan uji kaji kendiri jika mampu bagi memastikan kebenarannya.
Mengenai orang bukan Islam pula, apabila ditanya mengenai agama Islam, mereka lebih mempercayai media cetak, media elektronik, “media angin” (khabar angin), memerhatikan tingkah laku orang Islam yang buruk dan menganggap semua agama adalah sama. Malah tidak kurang juga yang mengatakan Islam menggalakkan keganasan dan mencabuli hak kemanusiaan serta melanggar Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. Contohnya seperti poligami, menutup aurat dan sebagainya.
“Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai.” - Surah An-Nahl: Ayat 108
(Ayat ini ditujukan kepada orang kafir.Sila lihat empat ayat sebelumnya).
Sebenarnya mengetahui sukarnya segelintir golongan menerima dakwah adalah sangat penting kerana segala isi pengajaran yang didapati dalam sesi pembelajaran atau dakwah itu perlu diaplikasikan dalam diri. Dakwah perlu difahami, dipastikan kebenarannya, menerima kebenaran itu dengan jujur, dan kemudian barulah diyakini serta beramal dengannya.
Satu contoh yang mudah, jika seseorang itu berdakwah dengan mengatakan sembahlah Allah yang Maha Besar, maka perlu kita fahami makna “Maha Besar” itu; iaitu tidak ada yang lebih besar melainkan Allah. Kebenarannya, lihatlah isi di langit dan di bumi. Mampukah manusia sekecil kita mencipta bulan, matahari, tanah, lautan dan lain-lain? Kemudian terimalah kebenaran itu dengan jujur dan seikhlas hati dan mengucapkan tiada Tuhan selain Allah yang Maha Besar.
Katakanlah: “Taat kepada Allah dan taatlah kepada Rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban Rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajiban kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban Rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.” - Surah An-Nuur: Ayat 54
Mereka yang Sukar Menerima Dakwah
Persoalannya, sejauh manakah dakwah para pendakwah benar-benar berkesan terhadap penerima dakwah? Sedikit kajian, pemerhatian dan penelitian dalam al-Quran, hadis dan sirah Nabi Muhammad SAW, didapati ada beberapa golongan yang sangat sukar menerima dakwah dan berdakwah kepadanya. Moga-moga kita terhindar daripada menjadi golongan seperti ini.
01.Mereka yang Menolak Kebenaran

“Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.” - Surah Al-Anfaal: Ayat 22
Maksudnya, manusia yang paling buruk di sisi Allah yang Maha Agung ialah yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)
Zaman ini, setelah mendengar seruan Nabi Muhammad SAW, mereka mengingkarinya dan mengatakan itu adalah amalan orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud). Mereka menolak hadis-hadis daripada Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan, malah mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekarang.
Orang-orang seperti ini sangat sukar menerima dakwah kerana mereka sendiri enggan mengakui akan kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah tergolong juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak beriktikad dalam hatinya.
Mereka tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai seorang Muslim, tetapi mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha Agung melalui Rasul-Nya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah cenderung kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada perkataan dan hukum yang lebih baik daripada Al-Quran, malah mencaci pula Rasulullah SAW dan para sahabatnya.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa taat kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT.” - Sahih Ibnu Majah: 0003
02.Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati daripada (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?” - Surah Al-Baqarah: Ayat 170
Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan: Tafsir Ibn Katsir)
Zaman ini,  manusia tidak terlepas daripada mengikut tradisi nenek moyang mereka walaupun hal itu bertentangan dengan syariat. Amalan-amalan khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga yang mampu menyembuhkan penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan kekuasaan Allah yang Maha Agung.
Selain itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila berdakwah kepadanya mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan syariat dan dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu hasil nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab itu penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam penafsiran dan sebagainya. Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun daripada pahala-pahala amal mereka sama sekali. Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun daripada dosa-dosa mereka sama sekali.” - Sahih Ibnu Majah: 0172
03.Menyangka Majoriti adalah Kebenaran

Apa yang dimaksudkan adalah melihat ramai orang yang melakukan sesuatu kemungkaran dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan dalam syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi di pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan syariat.
Walaupun contoh diatas pelakunya adalah wanita, tetapi di belakangnya terdapat kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula kerana mereka (lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para suami dan para bapa, sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.
Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita).” - Surah An-Nisaa’: Ayat 34
Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut.
Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).” - Surah Al-Ahzab: Ayat 67
Apa yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan ilmu. Di manakah pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran? Jawapannya adalah al-Quran dan hadis termasuk juga ijtihad dan kesepakatan seluruh ulama. Selain itu, terdapat juga ijtihad perseorangan ulama yang muktabar (kepelbagaian pendapat). Kebenaran itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika terdapat kesalahan dan kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui kebenarannya, hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetuli kembali kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang terus menerus dalam kesilapan.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran.” Ia (Abu Hurairah) bertanya, Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?” Beliau (Nabi SAW) menjawab, “Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” - Sahih Bukhari: 1746
04.Mereka yang Berilmu Pengetahuan

“Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.” - Surah Al-Mukmin: Ayat 83
Di antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah orang yang menyangka dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Sebarang pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan walaupun bertentangan dengan hadis Nabi SAW. Mereka akan berhujah dengan kitab itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah SAW sendiri.
Apa yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil yang langsung tidak layak seperti surat khabar, radio dan sebagainya bagi menentang atau beralasan menolak hadis Rasulullah SAW.
05.Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa

“Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami, ia berkata: “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.” Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.” - Surah Az-Zumar: Ayat 49
Umum kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul dan Nabi mempunyai banyak tentangan daripada orang yang mempunyai pangkat, harta dan kuasa (sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawa pengulangan sejarah ini adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah yang telah terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul mereka? Mereka menerima kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Mereka menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa nikmat itu pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata Qarun:
Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.” Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. - Surah Al-Qashash: Ayat 78
Kedua-dua ayat diatas menyatakan akan kesombongan golongan yang kelima ini. Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati perintah Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya, mereka sangat sombong; mereka berkata ada perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan.” Mereka bertanya, “Ya, Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?” Jawab Nabi saw, “Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintah ku, maka sesungguhnya orang itu enggan (masuk syurga).” - Sahih Bukhari: 1952
06.Sangka Buruk

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” - Surah Al-Hujuraat: Ayat 12
Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan daripada mereka. Mereka mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah dari mereka.
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. - Surah Al-Hujuraat: Ayat 11
Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal dalam al-Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang jahil.
“… Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” - Surah Az-Zumar: Ayat 9
Daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.” - Sahih Bukhari: 1915
Kesimpulan
Setelah kita mengenali enam golongan di atas, dapatlah kita memperbaiki diri agar lebih mudah menerima pendapat orang lain dan bertolak ansur sesama saudara se-Islam. Mungkin juga kita tergolong dalam salah satu golongan di atas, tetapi kita tidak menyedarinya selama ini.
Kepada para pendakwah, strategi yang betul diperlukan bagi menarik minat orang ingin didakwahkan agar dakwah itu benar-benar memberi pemahaman kepada penerimanya. Selain itu, isu-isu yang diutarakan juga perlulah lebih segar, iaitu isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan semasa supaya contoh-contoh yang diberikan nampak lebih jelas dan mudah untuk mereka memahaminya.
Hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayanglah kita memohon perlindungan agar terhindar daripada menjadi enam golongan di atas. Kesabaran dalam berdakwah amat diperlukan, janganlah sesekali berputus asa kerana putus asa hanyalah sikap orang kafir.
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” - Surah Al-Baqarah: Ayat 153
Daripada Mu’awiyah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta’ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia.” - Sahih Muslim: 1873
- Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan: