Khamis, 25 Julai 2013

PENENTUNYA ADALAH ALLAH SWT....

Tahniah kepada BN dan juga PAS di Kuala Besut

BN menang dalam pilihanraya kecil Kuala Besut dengan majoriti yang lebih sedikit dari majoriti yang diperolehi BN dalam PRU yang lalu. Tengku Zaihan memperolehi 8288 undi dan calon PAS Che Long mendapat 5696 undi. Ia memberi makna BN memenangani kerusi Kuala Best dengan majoriti 2592 undi kali ini berbanding dengan 2434 dalam pilihanraya umum lepas.
Kalau dikaji dari keputusan itu kita sekali gus menerima hakikat yang BN memenangi PRK Kuala Besut betul-betul kerana kedudukan BN sebagi pihak ‘incumbent’ di peringkat negeri dan paersekutuan. Kita ucapkan tahniah kepada kedua-dua orang calon kerana telah memperolehi jumlah undi yang besar. Demokrasi telah terlaksana dan keputusan telah pun kita ketahui.
Seperkara yang nyata BN memenangi PRK ini, tidak boleh mendabik dada kerana dalam pada keseluruhan jentera BN ke Besut sejak hampir sebulan lalu. Ditambah pula dengan kuasa ‘incumbency’ yang diperguna habis-habisan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, tambahan undi untuk BN hanya sebanyak 171 undi sahaja. Kos dalam bentuk pengumuman projek pembangunan Kuala Besut juga begitu besar, ia itu hampir RM3/4 billion.
Pilihanraya kecil ini merupakan pilihanraya kecil yang sangat mahal bagi menentukan kemenangannya untuk mengelak kecelakaan yang mungkin dihadapi oleh BN jika kalah dalam PRK ini.  Begitulah tingginya kos penyelenggraaan UMNO sekarang ini. Ia ibarat kos penyelenggaraan perubatan seorang tua yang menghadapi penyakit terminal yang serius. Apa yang dicapai oleh BN di Kuala Besut ibarat kata perpatah, ‘mahal rantai dari beruk’.
Kepada PAS, marilah kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana berjaya mempertahankan jumlah undi yang hanya kekurangan sebanyak 171 undi majoritinya walaupun berhadapan dengan kuasa ‘incumbency’ UMNO yang begitu kuat. PAS mempunyai ‘formidable force’ di Besut. Jika PAS diyakini selepas ini sebagai sebuah parti yang berkemampuan untuk menunjukan imej dan persepsi sebagai sebuah parti yang mampu mengurus kejayaannya parti ini akan menjadi pilihan rakyat tidak berapa lama lagi.
Kita juga berharap rakyat Besut, khususnya di Kuala Besut akan menikmati nikmat hari raya hasil dari duit raya yang agak ramai yang mendapatnya dalam PRK ini. Tidak tahu pula duit raya yang mereka dapati dalam PRK kali ini akan mereka dapati semasa hari raya tahun hadapan. Diharapkan agar duit raya yang didapati dalam PRK itu akan dapat menampong perbelanjaan hidup sampai ke penghujung hayat mereka.
Pengundi Kuala Besut telah membuat keputusan dan dari saat ini kita terimalah keadaan ini sehingga menghadapi pilihanraya yang akan datang tanpa apa-apa masalah lagi.
Blog ini juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengundi-pengundi diKuala Besut dan belanjakanlah duit-duit raya yang telah diterima semasa pilihanraya yang baru selesai itu. Hari raya hanya tinggal 14 hari sahaja dari hari ini.

Pengundi dilihat beratur ambil duit di rumah ketua kpg

Pengundi telah dilihat beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar rumah sekurang-kurangnya dua ketua kampung di Kuala Besut hari ini, kononnya untuk elaun perjalanan mereka.

Mereka dilihat di kediaman ketua kampung Lay Out dalam daerah mengundi Tok Saboh dan kediaman ketua kampung di kampung yang berdekatan.

NONEMalaysiakini tidak menyiarkan nama kampung tersebut sementara menunggu untuk mendapatkan respons daripada seseorang daripada pihak berkuasa.

Menurut beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini berhampiran pusat mengundi di SK Kampung Nangka dan di luar rumah ketua kampung itu - kebanyakan mereka  enggan dinamakan - wang itu untuk pengundi yang pulang dari luar untuk mengundi.

Jumlahnya ialah antara RM50 bagi mereka yang pulang dari Kota Baru, sehingga RM200 bagi mereka yang pulang dari Kuala Lumpur.

NONEBagaimanapun, apabila diminta untuk mengesahkannya, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung Lay Out, 'Rajees' menjawab, "Saya jutawan di sini. Saya boleh memberikan wang kepada sesiapa sahaja yang saya suka."

Ketika ditanya mengapa pengagihan wang itu dibuat serentak dengan hari pengundian pilihan raya kecil Kuala Besut, beliau mendakwa wang itu untuk duit raya.

Beliau menambah bahawa borang-borang yang dikemukakan oleh pengundi bagi menuntut elaun itu adalah bagi tujuan pengauditan.

NONEBeliau enggan memberitahu nama penuhnya atau membenarkan
gambar diambil di rumah, di mana kira-kira 50 orang beratur untuk menuntut wang mereka, dengan bendera BN dan menghias pintu pagar.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang ditemui berhampiran rumah Rajees, yang ingin dikenali hanya sebagai 'Rizal', berkata wang itu adalah untuk elaun perjalanan dan perkara yang sama berlaku semasa pilihan raya umum lepas.

Keadaan yang sama juga dilihat di kediaman ketua kampung lain pada sekitar tengah hari, di mana Malaysiakini ternampak seorang kerani menyerahkan RM200 kepada pengundi manakala yang lain beratur menunggu giliran mereka.

NONEBagaimanapun, seorang penduduk kampung kemudiannya meminta
wartawan Malaysiakini supaya beredar dari situ.

Malaysiakini tidak dapat memperolehi jawapan konkrit dari penerima wang tersebut sama ada penyokong parti politik tertentu sahaja yang menerima wang tersebut.

Menurut seorang daripada mereka - seorang pemuda dari Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Hilmi -  dia dihubungi melalui telefon sebelum hari mengundi dan di masukkan ke dalam senarai nama. Dia juga ditemui berhampiran rumah Rajee.
Gempar penutup mesin deposit terbuka
4:45PM Jul 24 2013
Pihak polis terpaksa menjalankan siasatan selama tiga jam ekoran mesin deposit wang sebuah bank di Jalan Datok
Keramat di sini didapati terbuka pada bahagian atasnya dengan satu anak kunci masih tergantung di mesin itu.
  
Polis yang meronda di kawasan bank berkenaan pada mulanya menyangka mesin itu telah dirompak.
  
Namun Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata kejadian pukul 10.30 malam itu adalah berpunca dari kecuaian pihak petugas keselamatan yang gagal mengunci semula peti itu.
  
"Kita telah meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang dipasang di bank berkenaan dan mendapati petugas keselamatan telah tergesa-gesa meninggalkan mesin itu selepas membuat sesuatu padanya sehingga terlupa menutup dan mengunci mesin itu," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
  
Beliau berkata tiada sebarang pengawal keselamatan yang bertugas di ruang mesin juruwang automatik (ATM) bank itu ketika polis tiba di tempat kejadian.

- Bernama
Isu kantin: MIC mahu guru besar digantung tugas
2:54PM Jul 24 2013
Bendahari MIC Jaspal Singh berkata guru besar SK Seri Pristana perlu dikenakan tindakan penggantungan tugas ekoran kes murid bukan Islam yang didakwa dipaksa makan di bilik persalinan sekolah tersebut.
NONEJaspal (kanan) dalam satu kenyataan berkata, beliau sedang menunggu keputusan siasatan kementerian pendidikan berhubung kes tersebut.

Isu utama dalam kes ini ialah pengabaian dan sikap ketaksuban agama dan tidak menghormati kepercayaan agama lain.

"Di satu segi kita berceramah mengenai perpaduan dan hormati-menghormati, di satu sisi lagi seorang individu yang bertanggungjawab, seorang guru besar, menganiaya kanak-kanak yang sepatutnya dibela dan dilindungi.

"Tentulah, ini satu perbuatan menganiaya kanak-kanak. Saya tidak akan makan tengahari jika diperintah makan di bilik air awam, tetapi seorang kanak-kanak tiada pilihan selain mengikut arahan pihak berkuasa," kata Jaspal.
Detektif mengaku tak lapor bertulis kehadiran 'Datu Piah'
5:12PM Jul 24 2013
Anggota polis, Detektif Koperal Hassan Ali Basari yang dituduh menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu, awal tahun ini hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa dia mengetahui kehadiran Datu Piah, seorang daripada adik-beradik Jamalul Kiram III, di Lahad Datu pada 13 Februari lepas.
  
Hassan Ali berkata pada hari itu kira-kira jam 4 petang, dia dihubungi sumbernya bernama 'Saluan Bin Bawa' bahawa Datu Piah tengah minum di restoran India dekat bangunan Ambank, pekan Lahad Datu.
  
"Saya terus pergi ke sana dan berjumpa dengan seorang tua yang mungkin Datu Piah. Saya bertanya apa tujuan datang ke Kampung Tanduo. Dia menyatakan bahawa tujuan mereka adalah untuk menuntut hak Kesultanan Sulu, meminta kerajaan Malaysia kaji balik bayaran RM5,000, ingin membuat Kampung Tanduo sebagai perkampungan mereka dan akan mempertahankan kalau diserang," katanya ketika membela diri atas tuduhan itu di hadapan Hakim P Ravinthran.
  
Hassan Ali berkata demikian ketika memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi pada 17 Julai lepas memerintahkannya membela diri apabila pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan menghasilkan kes prima facie terhadap tertuduh.   
  
Beliau yang berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Hassan Ali juga berkata beliau dimaklumkan orang itu (Datu Piah) bahawa mereka ada membuat tuntutan ke atas Sabah secara bertulis kepada pihak berkuasa Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
  
"Dia juga memberitahu saya bahawa kerajaan Malaysia sudah lama mengetahui tuntutan mereka sebelum kedatangan mereka ke Kampung Tanduo," katanya.
  
Katanya, dia memaklumkan perjumpaan itu kepada anggota polis yang bertugas di Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu tetapi "saya tidak membuat laporan bertulis kerana pada masa itu saya masih bercuti dan keesokan harinya (14 Februari) saya berangkat ke Kota Kinabalu bagi mengatur pertunangan anak lelaki saya."
  
Dalam keterangannya, Hassan Ali berkata beliau bukan pengganas dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti pengganas oleh pengikut Kesultanan Sulu, sebaliknya menjalankan tugas sebagai anggota polis Cawangan Khas seperti yang diarahkan untuk membuat risikan berhubung aktiviti pengikut Datu Ismail Kiram.
  
"Saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti perbuatan keganasan oleh pengikut Kesultanan Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu.
  
"Saya sangat hairan kenapa saya sebagai seorang anggota polis yang berpangkat paling rendah dipersalahkan walaupun saya telah melaporkan semua maklumat yang saya peroleh dari sumber saya berhubung dengan Kesultanan Sulu kepada Ketua Cawangan Khas Daerah sedangkan bukan saya seorang sahaja yang membuat risikan maklumat Kesultanan Sulu," katanya.
  
Dia  menjelaskan bahawa semua anggota Cawangan Lahad Datu mempunyai maklumat berhubung Kesultanan Sulu dan ancamannya ke atas Sabah.
  
"Sekiranya, Ketua Cawangan Khas Sabah mengatakan bahawa beliau tidak mendapat maklumat berhubung Kesultanan Sulu daripada Ketua Cawangan Khas Daerah, ini bermakna semua anggota cawangan khas Lahad Datu tidak melaporkan maklumat itu.
  
"Intipati-intipati pertuduhan ke atas saya adalah tidak benar dan bertujuan untuk menyalahkan saya sedangkan IPK Sabah di Kepayan telah mengetahui maklumat pencerobohan pengikut Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo lebih awal dari saya sebelum pencerobohan berlaku pada 12 Februari 2013," katanya.
  
Menurutnya, semua maklumat berhubung Kesultanan Sulu yang diperoleh daripada sumber di luar dan dalam bandar Lahad Datu dilaporkan kepada pegawai bertugas melalui Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu.
  
Katanya, selama bertugas sebagai Detektif Cawangan Khas sejak 1975, dia tidak pernah menerima arahan dari Ketua Cawangan Khas Sabah atau Ketua Cawangan Khas Daerah Lahad Datu supaya semua maklumat yang diperoleh hendaklah dilaporkan secara bertulis.
  
Hassan Ali berkata sebelum arahan diberikan kepadanya untuk membuat risikan dan mendapatkan maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan sudah mengetahui maklumat berhubung tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
  
Bagaimanapun, dia mengakui banyak membuat panggilan ke Filipina atas arahan pegawai atasannya bagi mendapatkan maklumat dari sumber beliau yang dikenali sebagai 'Istino Bin Jair'.
  
Katanya pada 21 Februari lepas, dia menghubungi Istino melalui telefon dan dimaklumkan bahawa 'perancangan Datu Ismail Kiram untuk menuntut Sabah memang ada dan orang-orang Suluk dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi mahu membantu Datu Ismail Kiram.
  
Menurutnya, pada 28 Februari lepas, dia dimaklumkan Istino bahawa Datu Ismail Kiram berjumpa bekas pengikut MNLF di San Rocky, Zamboanga.
      
"Saya ada memberitahu kepada penyelia saya berkenaan maklumat dari dua panggilan telefon itu dan dia telah menghantar ke Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan.
  
"Saya juga ada membuat panggilan telefon kepada sumber saya 'Abdul Rajan' yang bertugas di Integrated National Polis (INP) di Basilan, Filipina, dan dia memaklumkan saya bahawa ada tiga kumpulan iaitu dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi yang mana kumpulan dari Basilan tidak membantu Datu Ismail Kiram," katanya.
  
Mengenai perbualan pintasan komunikasi yang diterjemahkan saksi kedua yang dilindungi di antara beliau dengan 'Lelaki Sabah', Hassan Ali berkata ia adalah tidak benar dan ditokok tambah.
  
"Semasa di Mahkamah rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' tidak dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' sepatutnya dikemukakan di Mahkamah bagi memastikan perbualan sebenar dan suara saya.
  
"Saya mengatakan bahawa penterjemahan pintasan komunikasi itu adalah palsu dan digunakan untuk memerangkap saya sebagai kambing hitam dalam kes ini. Saya juga tidak ada kaitan dengan Hassan yang dimaksudkan dalam penterjemahan pintasan komunikasi di antara Datu Amir Baha dan Raja," katanya.
  
Dalam keterangan akhirnya, Hassan Ali berkata semua bukti yang dikemukakan oleh pihak Cawangan Khas adalah tidak betul, berat sebelah dan hanyalah propaganda untuk mengenakan dan menyebabkannya menjadi kambing hitam mereka

dalam peristiwa pencerobohan pengikut Kesultan Sulu di Kampung Tanduo.
  
Tertuduh yang diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki, Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu antara Januari dan 3 Mac lalu. Sepanjang perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan.
  
Perbicaraan bersambung semula 2 Ogos ini.
  

- Bernama
Najib: Kestabilan negara bergantung pada kekuatan Umno
5:25AM Jul 25 2013
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno perlu terus diperkukuhkan kerana perjuangan bagi memperkasa parti itu tidak akan pernah selesai.
  
Perdana menteri berkata masih banyak cabaran yang perlu dilalui Umno sebagai parti sandaran dan harapan kepada orang Melayu.
  
"Cabaran besar menanti kita. Perjuangan kita tiada kesudahan. Kita perlu perkukuhkan Umno sebab Umno parti sandaran, harapan kepada orang Melayu. Kestabilan negara kita bergantung pada kekuatan Umno," katanya.
  
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri dan isteri bersama sahabat, ketua bahagian, Puteri, Pemuda dan Wanita Umno di Seri Perdana  malam tadi.
  
Beliau juga berharap pemilihan Umno yang bakal berlangsung kelak akan berjalan lancar.
  
Di majlis yang sama Perdana Menteri turut menyambut ulang tahun ke-60 beliau dengan memotong pulut kuning bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota keluarga.
  
Perdana Menteri turut menerima pelbagai jenis kek yang disumbangkan pelbagai pihak.
  
"Terima kasih kepada semua yang hadir khususnya kepada rangkaian sahabat zaman saya jadi ketua pemuda Umno. Kini sama-sama sudah berumur dan bertemu sekurang-kurangnya setahun sekali sebagai satu perjumpaan sempena sambutan ulang tahun saya semalam.
  
"Umur saya tidak dirahsiakan dan sudah diketahui umum. Apa yang lebih bermakna persahabatan kita tidak pernah luntur dan masih kekal sehingga hari ini," kata beliau.
  
Di majlis itu kira-kira 2,000 tetamu hadir termasuk kumpulan anak yatim yang menerima sumbangan daripada Perdana Menteri.
  
Beliau kemudiannya menunaikan solat tarawih bersama para tetamu.

- Bernama
PAS: Pengundi pilih pembangunan dicanang BN
5:57AM Jul 25 2013
Calon PAS Endot@Azlan Yusof akur dengan kekalahannya kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut semalam.
  
"Saya terima kekalahan ini dan kalah itu perkara biasa, kita tidak merasa pelik dengan kekalahan ini tetapi jikalau kita menang ia memang suatu yang luar biasa," katanya yang juga dikenali sebagai Che Long, 48, dalam sidang media di markas PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baharu di Kuala Besut.
  
Azlan, seorang kontraktor, menyifatkan pilihan raya ini sebagai aman dan beliau berpuas hati dengan kempen yang berlangsung selama 12 hari sejak 12 Julai lepas.
  
Calon PAS itu bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK A Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh, dekat Kuala Besut malam tadi.
  
Beliau memberi alasan tidak sempat untuk menghadirinya kerana sibuk tetapi enggan mengulas lanjut.

Azlan kalah kepada Tengku Zaihan, 37, dengan majoriti 2,592 undi setelah mendapat 5,696 undi berbanding calon BN yang mendapat 8,288 undi.
  
Sementara itu, PAS mengakui strategi 'Gelombang Biru' BN lebih mantap berbanding slogan '16-16 Terengganu Baru' dan BN mempunyai tawaran yang tidak boleh ditolak oleh pengundi Kuala Besut berbanding tawaran PAS.
  
Yang Dipertua PAS kawasan Besut Wan Azhar Wan Ahmad berkata penduduk Kuala Besut dilihat lebih mementingkan pembangunan yang dicanangkan oleh BN.
    
- Bernama

Bufet Ramadan: Premis tanpa sijil halal diserbu

Pihak berkuasa hari ini menyerbu dua premis di bandar raya Ipoh yang didapati menggunakan perbahasan halal 'Bufet Ramadan' tanpa sijil halal yang sah.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Datuk Mohd Yusop Husin berkata Operasi Bufet Ramadan itu melibatkan pegawai JAIPK; Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Operasi bermula pukul 10 pagi itu adalah susulan aduan orang ramai dan pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan ramuan masakan yang tidak mempunyai sijil halal, katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Katanya pemeriksaan juga mendapati pengusaha tidak mengasingkan barangan halal dan tidak halal.

Menurut Mohd Yusop satu daripada premis turut bertindak menipu pelanggan dengan memberitahu permohonan sijil halal mereka masih dalam proses sedangkan siasatan mendapati pengusaha tidak memohon sijil berkenaan.

Beliau berkata perkara itu diserahkan kepada PPDNKK Perak untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta  Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya dalam serbuan hari ini pengusaha premis diarah menurunkan kain rentang dan menyerahkan semua risalah promosi bufet Ramadan kepada pihak berkuasa.

Mohd Yusop turut mengingatkan orang ramai yang ingin berbuka puasa di luar supaya memastikan terlebih dahulu sama ada premis makanan itu mempunyai sijil halal atau sebaliknya.

Beliau berkata setakat ini 40 premis makanan di seluruh Perak mempunyai sijil halal manakala beberapa permohonan lagi sedang diproses.

"Prosedur untuk mendapatkan sijil halal bukan sahaja mengambil kira barangan itu halal ataupun tidak. Kita juga mengambil kira kebersihan sesuatu premis itu dan mengasingkan barang yang tidak halal dan halal," katanya.

- Bernama
Black 505: Dua MP Pakatan, lima lagi didakwa

Dua MP Pakatan dan lima lagi yang lain mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan berhubung perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu.

MP Pandan Rafizi Ramli dan MP Seremban Anthony Loke didakwa mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman atas tuduhan menganjurkan perhimpunan, tak mematuhi syarat polis dan tidak memohon persetujuan pemilik padang tersebut bagi tujuan itu.

NONEKedua-duanya turut didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta sama atas tuduhan tidak memaklumkan kepada ketua polis daerah dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan berkenaan dijalankan.
Jika disabitkan kesalahan, Rafizi dan Loke boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap tuduhan tersebut.
Menurut undang-undang, beliau akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya jumlah denda ditetapkan melebihi RM2,000.
Seorang kakitangan ibu pejabat PKR, Muhammad Adib Ishar turut didakwa mengikut pertuduhan sama hari ini.
Empat aktivis mahasiswa yang lain – Adam Adli Abdul Halim, Safwan Anang, Ehksan Bukharee serta Mohd Bukhari Sofian – didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) akta sama atas tuduhan berhimpun di tempat larangan di perkarangan Masjid Abdul Rahman, Universiti Malaya pada hari sama.

NONEPasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memohon agar setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM5,000 namun dibantah oleh peguam yang mewakili Adam Adli, N Surendran.

Surendran berkata, jaminan tidak perlu bagi kes saman seperti ini.
Hakim Mat Ghani Abdullah kemudiannya memutuskan agar kesemua tertuduh dilepaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.

Surendran serta seorang lagi peguam Latheefa Koya turut mewakili Rafizi dan Adib dalam kes tersebut, manakala Loke diwakili peguam Thomas Su.

Tiga lagi aktivis siswa tersebut diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ke atas Rafizi, Anthony dan Adib pada 7 dan 8 Oktober serta 9,10 dan 12 Disember depan.

Perbicaraan kes bagi empat aktivis mahasiswa itu pula akan berjalan pada 21 hingga 24 Oktober.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Tiada ulasan: