Jumaat, 26 Julai 2013

MUSUH ISLAM MEMANG TAK SUKA ISLAM ADA DIMUKA BUMI INI...MEREKA TAK SEDAR IA DIHIDUPKAN OLEH ALLAH SWT...MEREKA TERJERAT DENGAN TIPU DAYA SYAITAN

Ketirisan RM6.7 juta bayar penyelaras parlimen

Harakahdaily, 26 Jul 2013
IPOH: Adalah tidak wajar untuk membayar gaji kepada penyelaras kawasan parlimen di kawasan-kawasan BN kalah dalam pilihanraya.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, pelantikan penyelarasan kawasan parlimen adalah pelantikan politik dan bukan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Oleh yang demikian, kerajaan tidak seharusnya membayar gaji kepada penyelaras-penyelaras kawasan parlimen itu,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pembayaran gaji kepada mereka adalah satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak Kementerian Kewangan yang mana wang kutipan cukai daripada rakyat disalahgunakan untuk tujuan politik BN.

Tambahnya, penyelaras-penyelaras kawasan itu hanya menganjurkan program-program politik untuk BN.

Tidak salah kalau parti-parti politik melantik penyelaras kawasan Parlimen  dan dibayar gaji daripada dana politik masing-masing.

“Tetapi, membayar gaji mereka melalui dana kerajaan adalah satu salah laku dan penyelewengan yang patut dielakkan,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Menurutnya, sebelum 1 Jun 2012, gaji yang dibayar kepada penyelaras kawasan parlimen ialah RM5,680 sebulan.

Pada 13 Ogos 2012, kadar gaji itu dinaikkan kepada RM6,265 sebulan berkuat kuasa 1 Jun 2012.

Ini, kata beliau bermaksud kerajaan terpaksa membayar gaji kepada kesemua 89 penyelaras  parlimen di kawasan-kawasan yang BN tewas.

Oleh yang demikian jumlah gaji yang perlu dibayar oleh kerajaan berjumlah RM557,585 setiap bulan, katanya.

Dalam tempoh satu tahun, kata beliau jumlah gaji yang dibayar kepada penyelaras-penyelaras kawasan parlimen ini berjumlah RM6,691,020 dan dalam tempoh lima tahun, beban kerajaan untuk pembayaran gaji itu ialah RM33,445,100.

Justeru, beliau berkata kerajaan harus berhenti membayar gaji kepada penyelaras kawasan parlimen dengan serta merta kerana RM33.5 juta dibelanjakan secara tidak amanah.

“Dalam jawapan yang diberikan  di Dewan Rakyat, kerajaan tidak mengetahui atau mempunyai apa-apa rekod bagaimana wang yang dibayar itu dibelanjakan oleh penyelaras-penyelaras kawasan parlimen itu,” ujarnya.

DAP: Kerajaan BN sedang siapkan kejutan hari raya

Harakahdaily, 26 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Soal mendaftarkan sebuah parti baru jika pembatalan DAP dibatalkan tidak pernah dibangkitkan atau dilayan oleh sesiapa dalam DAP, sama ada di peringkat pimpinan mahu pun ahli biasa, memandangkan tiada asas yang munasabah untuk membatalkan pendaftaran DAP.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Parlimen DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

“Senario bahawa para pemimpin DAP dan ahli-ahlinya bersedia untuk menubuhkan sebuah parti politik baru sama sekali tidak berasas dan ia adalah rekaan propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno BN untuk mencemarkan peribadi pemimpin DAP,” jelasnya.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Akhbar The Star hari ini memaparkan tajuk berita “Dont harbour false hope” (Jangan gantung harapan tidak bertempat) yang memetik kata-kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Datuk Abdul Rahman Othman. Ini petanda paling jelas bahawa kerajaan Umno/BN sedang menyiapkan kejutan Hari Raya – pembatalan pendaftaran DAP atas alasan mengarut dan tidak berasas.

Laporan The Star itu diisi dengan premis-premis yang palsu dan tidak berasas, menunjukkan Ketua Pengarah ROS itu bertindak dengan cara yang sama sekali tidak wajar, tidak saksama, dan tidak profesional dalam menjalankan tanggungjawab awam.

Mengapa Ketua Pengarah ROS mengulas tentang sebuah senario yang direka-reka sepenuhnya dan tidak lain merupakan khayalan para propagandis, cybertrooper dan agen-agen Umno/BN seolah-olah ia satu fakta?

Di bawah ini berita bertajuk “Don’t harbour false hopes” berkenaan:

‘Don’t harbour false hopes’
PETALING JAYA: DAP members have been told not to harbour hopes of forming a new party if the Registrar of Societies (ROS) decides to de-register it.
ROS director-general Datuk Abdul Rahman Othman said they would not likely entertain requests to set up a new party.
“They can apply. But the right to approve is with the ROS. We did not even entertain 29 applications to set up new parties submitted over the last five years,” he said yesterday.
He was asked to comment on the move by DAP members to look into establishing a new political party if de-registration was inevitable following complaints of election fraud in the DAP’s central executive committee (CEC) election in December.

Soal mendaftarkan sebuah parti baru jika pembatalan DAP dibatalkan tidak pernah dibangkitkan atau dilayan oleh sesiapa dalam DAP, sama ada di peringkat pimpinan mahu pun ahli biasa, memandangkan tiada asas yang munasabah untuk membatalkan pendaftaran DAP.

Senario bahawa para pemimpin DAP dan ahli-ahlinya bersedia untuk menubuhkan sebuah parti politik baru sama sekali tidak berasas dan ia adalah rekaan propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno/BN untuk mencemarkan peribadi pemimpin DAP.

Apabila pembohongan dan kepalsuan seperti itu diterima sebagai hakikat dan kebenaran sehingga layak mendapat ulasan daripada Ketua Pengarah ROS, maka kebebasan, kesaksamaan, dan profesionalisme Ketua Pengarah ROS segera menjadi persoalan, memunculkan pertanyaan sama ada Ketua Pengarah ROS sendiri terlibat dalam segala pembohongan dan kepalsuan yang dilemparkan oleh propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno/BN yang telah menuduh DAP dengan segala macam tindakan tidak wajar dalam pemilihan parti sewaktu Kongres Kebangsaan DAP Disember lalu.

Ketua Pengarah ROS telah membuat ulasan yang seolah-olah menyiratkan sesuatu dalam laporan Star itu ketika beliau ditanya sama ada “parti itu patut membuat pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat semula”. Ujar beliau:

“It is better for the party members and leaders to take the initiative to save the party rather than harbour false hopes of setting up a new one.”

(Lebih baik jika anggota dan pimpinan parti mengambil inisiatif untuk menyelamatkan parti daripada menggantung harapan tidak bertempat untuk menubuhkan sebuah parti baru.)

Abdul Rahman perlu menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengan “inisiatif untuk menyelamatkan parti” kerana sejak sepanjang tujuh bulan sehingga kini DAP belum menerima sebarang tuntutan untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Hanya propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno/BN yang bising-bising tentang perkara ini sejak beberapa bulan lalu.

Dengan semakin hampirnya pemilihan parti Umno di hujung tahun ini, semakin jelas bahawa ROS tidak akan membuat keputusan profesional tentang DAP, sebaliknya keputusan politik.

Ketua Pengarah ROS dan kerajaan Umno/BN harus sedar bahawa DAP sedetik pun tidak akan berhenti menentang sebarang penyalahgunaan kuasa  yang akan menjejaskan masa depan DAP, termasuk penyalahgunaan kuasa dalam bentuk membatalkan pendaftaran DAP secara tidak berasas.

Memberi, menambah makna kepada diri

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 26 Jul 2013
“Saya sudah membuat keputusan muktamad. Setakat ini sahaja perkhidmatan saya bersama tuan. Saya mahu bersara” kata seorang tukang kayu.

Sudah berpuluh tahun beliau bekerja bersama majikannya itu. Penuh dedikasi. Tetapi hatinya dihinggap rasa jemu. Terasa mahu segera pergi.

Meninggalkan tempat kerja dan rutin hariannya.

Pergi bercuti sepuas hati.

Si majikan termenung. Perasaan bercampur aduk.

“Aku ada satu permintaan. Permintaan yang mungkin terakhir daripada aku untuk kamu” ujar si majikan.

“Apakah permintaan itu?” tanya si tukang kayu.

“Aku mahu kamu selesaikan satu sahaja lagi projek. Sebuah rumah kayu terakhir yang aku mahu kamu tumpahkan segala pengalamanmu untuk membinanya” kata si majikan.

Si tukang kayu serba salah.

Sudah terbayang wajah monyok sang isteri di rumah.

Kakinya sudah terasa-rasa pasir di pantai. Wajah sudah dingin-dingin dihembus angin benua. Menangguhkan semua itu untuk kembali bertukang kayu, terasa ralat benar di hati.

Tetapi dek mengenangkan begitu banyak jasa si majikan kepada dirinya dan keluarga selama ini, beliau mengangguk lesu. Setuju.

Terpaksa.

Rumah dibina seadanya. Asalkan siap.

Sifirnya mudah, apa-apa sahaja yang dibuat kerana terpaksa, terseksa.

Malang sekali.

Setelah berpuluh tahun bekerja dengan penuh dedikasi, dengan hasil kerja yang dipuji ramai, beliau mengakhiri hasil tangan seperti melepaskan batuk di tangga.

“Alah, bang. Tak payahlah ukir dan paku beria-ia sangat. Janji siap sudah. Ini pun kira kita dah baik hati nak tolong siapkan!” hasut sang isteri, menambah lagi rasa ‘tidak ikhlas’ di hati suami, si tukang kayu.

Selesai rumah kayu itu ditukang, beliau sendiri berasa tidak suka untuk melihatnya. Tetapi peduli apa. Beliau mahu segera bersara dan pergi bercuti.

“Nah, tuan. Ini kunci rumah itu. Segala tugasan sudah saya selesaikan.” kata si tukang kayu.

“Simpanlah kunci itu!” jawab si majikan.

“Kenapa tuan?” si tukang kayu kebingungan.

“Rumah itu adalah hadiah daripada saya untukmu. Tanda penghargaan atas persahabatan kita selama ini.” kata si majikan dengan wajah yang tulus penuh keikhlasan.

Menggeletar tangan si tukang kayu.

Hatinya ditaufan rasa sesal.

“Kalaulah aku tahu rumah ini adalah milikku, nescaya akan kubuat dengan sebaik mungkin!” hati kecil yang tidak pernah berbohong itu berbisik kesal.

Erti Hidup Pada Memberi

Dalam menghayati makna ERTI HIDUP PADA MEMBERI, hati sering dibisik was-was. Apa gunanya bersusah payah membantu. Cukuplah dengan segala kesusahan hidup kita yang sedia ada, kenapa mahu berpenat lelah untuk orang lain!

“Buat baik berpada-pada!” tokok sebuah peribahasa.

Hati yang akur dengan bisikan-bisikan ini akan mengeluh,” asyik aku sahaja yang memberi. Sesekali kenalah menerima. Terasa bagai dimanipulasi!”

Lalu datanglah segala penyakit sikap. Culas, acuh tidak acuh, ala kadar dan janji siap, menjadi sendi-sendi kerja yang dibuat tanpa sokongan jiwa.

Hakikatnya kehidupan tidak begitu.

Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik subur berkat dan kemajuan.

Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita berikan dalam khidmat kepada umat, tidak pernah kebaikan itu tidak berbalik kepada kita.

Hanya manusia yang lupakan Tuhan, tidak menyedarinya.

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Israa' : ayat).

http://saifulislam.com/

SAMM rayu bantuan guaman

Harakahdaily, 26 Jul 2013

KUALA LUMPUR: Seramai 33 aktivis akan didakwa pada 29 Julai ini di bawah Akta Perhimpunan Aman ekoran himpunan di hadapan bangunan Parlimen 24 Jun lalu.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memohon dana wang jaminan mahkamah serta bantuan guaman bagi mereka terbabit.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard berkata, 17 daripada mereka turut berdepan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana cubaan merusuh.

"Jumlah cukup besar iaitu seramai 33 orang, bayangkan jika seorang wang jaminan RM3,000  bagi satu pertuduhan, maka ia mencecah RM150,000 nilai jaminan yang diperlukan.

"Kepada yang berkemampuan diharap dapat bersama menyumbang bagi kami mengumpulkan dana yang cukup bagi tujuan ikat jamin, jika ada baki maka akan dikumpulkan bagi menjamin orang kena tuduh (OKT) berkaitan kes perlawanan rakyat di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan media.

Untuk menyumbang dana boleh terus memasukkan wang ke akaun Maybank bernombor 555041113224 atas nama Solidariti Anak Muda dan SMS ke nombor 012-6937908 atau emel yang sama bagi makluman pengesahan.

Selain itu, mana-mana peguam yang ingin memberi perkhidmatan boleh menghubungi Pengerusi SMM Safwan Anang di talian 014-8408219 atau Penyelaras SAMM Wilayah Sdr Azmir Hj Mustafa 012-2231239 atau emelkan kepada samm4anakmuda@gmail.com untuk butiran akuan sedia menyediakan khidmat guaman.

Selangor negeri pertama 30% ahli majlis wanita

Harakahdaily, 26 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Menyusuli pelaksanaannya di peringkat Exco selama dua penggal berturut-turut, ketetapan terkini Kerajaan Selangor pula mensyaratkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus ahli majlis di kalangan wanita untuk penggal akan datang.

“Ia merupakan salah satu kriteria yang diperlukan pada pemilihan ahli majlis PBT yang akan bermula pada 1 Januari 2014,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Rodziah Ismail.

Katanya, ketetapan yang diangkat dari Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pemilihan Ahli Majlis itu telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 24 Julai lalu.

Beliau berkata, tentunya dasar itu menjadi petanda yang utuh bagi memastikan kecemerlangan dalam penggemblengan sumber manusia yang bertebaran di bumi Selangor. 

Katanya, kehadiran suara wanita yang berkelayakan akan menambah kegemilangan Selangor untuk mencapai visi menjadikan Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.

Beliau menambah, wanita dan lelaki yang penuh bersemangat (passionate), berdedikasi, komitted dan istiqamah dalam hasrat supaya rakyat sentiasa sejahtera, adalah pasangan yang mantap dan menjadi kesayangan rakyat serta tempat rakyat meletakkan sepenuh harapan.

“Wanita Selangor yang layak kini tiada alasan untuk maju ke hadapan dalam mengisi ruang kepimpinan sebagai ahli majlis di pihak berkuasa tempatan,” ujarnya yang juga Adun Batu Tiga.

Rodziah berkata, proses pemilihan wajarlah berasaskan kelayakan, yang meliputi pengetahuan dalam bidang pentadbiran, undang-undang yang berkaitan, pengolahan bajet dan isu-isu berkaitan rakyat.

280 terkorban, 7000 cedera sejak rampasan kuasa

Harakahdaily, 26 Jul 2013


(Puluhan ribu penyokong Morsiberarak ke Dataran Raba'ah malam tadi untuk himpunan Jumaat Furqan hari ini)

MESIR: Bantahan terhadap rampasan kuasa Presiden Mesir yang sah Dr Muhammad Morsi yang masuk minggu ketiga, telah menyaksikan ratusan terkorban ditangan tentera yang dipimpian jeneral Abdul Fatah Al-Sisi.

Menurut sumber Ikhwan Muslimin, jumlah korban di kalangan penyokong Morsi mencecah 280 orang manakala lebih 7000 cedera dalam beberapa siri serangan tentera terhadap kumpulan penyokong yang berhimpun secara aman di beberapa kawasan.

Paling ramai mencatat angka korban adalah pada tragedi "Subuh Berdarah" 8 Julai lalu ketika penyokong Morsi yang berhimpun di hadapan Bangunan Pengawal Republik diserang polis dan tentera Mesir dengan peluru hidup ketika sedang menunaikan solat Subuh.

Dalam insiden itu lebih 50 dilapor terkorban manakala 300 lagi cedera.

Selain itu juga, sejumlah 800 lagi termasuk pimpinan tertinggi Ikwan Muslimin, pemimpin kumpulan parti Islam lain, ulama dan rakyat biasa yang bersolidariti menyokong Morsi, ditangkap dan ditahan oleh pihak tentera.

Biarpun berdepan pelbagai tekanan oleh pemerintah sementara khususnya pihak tentera, himpunan menyokong Morsi tidak pernah berkurang malah sentiasa bertambah dari masa ke masa.

(Penyokong Morsi sedang menampal poster tertulis "Akan pulang ke istanamu, Akan pulang kepada rakyatmu")

Kini masuk minggu ketiga mereka berkampung dan tidak berganjak dari tempat himpunan yang menjadikan Dataran Raba'ah sebagai pusat tumpuan.

Hari ini sekali lagi himpunan besar-besaran akan berlangsung di sini bagi menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa dan desakan agar Morsi dibebaskan dari tahan tentera dan dikembalikan sebagai presiden.

Himpunan hari ini digelar himpunan "Jumaat Furqan" atau "Jumaat Pembeza".

Biarpun himpunan rasmi akan berlangsung selepas Jumaat hari ini, namun sejak malam tadi Dataran Raba'ah telah dipenuhi oleh penyokong Morsi.

Di sebelah pihak tentera pula, mereka juga menyeru rakyat untuk turun berhimpun di Dataran Tahrir sebagai memberi mandat kepada mereka menggunakan segala kekuatan untuk mengekang dan menyuraikan himpunan penyokong Morsi.

Banyak pihak melihat seruan himpunan oleh tentera ini sebagai cara mendapat persetujuan untuk membuat "pertumpahan darah" bagi menyuraikan penyokong Morsi.

Dalam pada itu, perkembangan terkini di Mesir menyaksikan Kelab Hakim Mesir memecat 75 ahlinya yang mengumumkan sokongan mereka terhadap Morsi.

Tiada ulasan: