Isnin, 22 Julai 2013

YANG HARAM TU JELAS...JANGAN KITA NAK MENYESATKAN ORANG LAIN

Kempen BN di Kuala Besut, satu undi RM19,000

Anis Nazri, 22 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 mengutuk suasana berleluasanya kejadian pancing undi dengan dana awam yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada hari ke-10 tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang membabitkan peruntukan sebanyak RM337 juta.

Dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini, badan reformis pilihan raya itu menegaskan sekiranya jumlah itu dibahagikan di kalangan 17,679 pengundi berdaftar, ini bermakna undi di Kuala Besut bernilai RM19,000 setiap satu.

Bersih juga tidak menolak kemungkinan berlaku lonjakan amaun ini dalam tempoh tiga hari baki kempen sebelum hari membuang undi, 24 Julai ini.

Bersih berpendapat, amalan memancing undi dengan menyalahgunakan dana awam, bukan sahaja melanggar etika pilihan raya, tetapi turut menunjukkan perancangan pembangunan secara ad-hoc didorong oleh kepentingan politik semata-mata.

Sehubungan itu, Bersih menyeru pengundi Kuala Besut untuk bebas daripada amalan rasuah memandangkan rakyat berhak untuk menerim dana pembangunan secara sihat.

Memandangkan kepentingan pilihan raya terus terjamin, Bersih 2.0 menggesa semua pengundi Kuala Besut yang tinggal atau bekerja di tempat lain untuk pulang ke kawasan mereka untuk mengundi bagi menghalang sebarang percubaan penyamaran di kalangan pengundi hantu dan mengundi bagi pihak mereka.

Sebelum ini, PAS berpendapat peruntukan sebanyak RM377.45 juta untuk projek-projek yang diumumkan kerajaan setakat ini jelas menunjukkan ia merupakan pembelian undi menjelang PRK.

Sebanyak sembilan projek yang dijanjikan kerajaan BN, termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.

Terbaru, kerajaan mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka.

Terdengar orang bertukang di sebuah rumah di Pulau Perhentian

Hazayani Zakaria, 22 Jul 2013
BESUT: Ketika melalui lorong-lorong yang menempatkan rumah-rumah penduduk di Pulau Perhentian, terdengar bunyi orang bertukang di sebuah rumah.

Mata segera memandang ke arah rumah tersebut dan kelihatan seorang wanita 50-an sedang memaku kain rentang tertera gambar calon PAS Azlan Yusof atau Che Long di dinding ruang tamu rumahnya.

Di beranda rumah pula, seorang wanita tua sedang duduk berehat di atas kerusi.

Situasi tersebut memanggil wakil Harakahdaily memberi salam dan singgah di rumah tersebut.

Wanita 40-an itu menjawab salam kami ramah dan mengajak naik ke beranda sambil dia meneruskan kerja memaku kain rentang.

Selesai kain rentang melekat elok di dinding, dia duduk bersama kami di beranda.

Sedia maklum tujuan dan dari mana kami datang, dia memulakan perbualan tanpa teragak-agak.

"Dah alang-alang orang label saya penyokong PAS, baik saya gantung banner besar-besar bagi semua orang nampak," katanya.

Dia yang enggan namanya dikenali berkata, setiap kali Umno BN datang memberikan bantuan kepada penduduk di pulau, keluarganya tidak mendapat bantuan kerana ahli jawatankuasa Umno di pulau tersebut melabelkan keluarganya sebagai penyokong PAS.

"Banyak kali mereka (Umno BN) datang bawa macam-macam barang keperluan tapi rumah ini tak dapat sebab orang yang bawa mereka itu bagitahu kami orang PAS.

"Mak cik tak kisah, kalau mereka beri mak cik ambil tapi kalau nak suruh mak cik pergi ambil di balai raya, mak cik memang tak pernah pergi," jelasnya.

Berbeza dengan PAS katanya yang memberikan bantuan kepada setiap rumah tanpa mengira parti.

"Kalau orang PAS datang mereka memang berikan bantuan kepada setiap rumah tak kira sokong mana-mana pun," ujarnya.

Menyentuh mengenai hari membuang undi pada 24 Julai ini, dia memberitahu dia akan mengundi di pulau dan tiga orang anaknya yang berada di luar akan pulang mengundi.

Katanya lagi, keluarganya ada hubungan persaudaraan dengan calon BN namun memilih untuk mengundi calon PAS Che Long.

"Mak mak cik sepupu ayah kepada Tengku Zaihan tapi biarlah, mak cik nak undi PAS," katanya.

Beliau juga tidak berkenan dengan cara jentera Umno BN yang suka menganggu ceramah PAS di pulau itu.

"Bila PAS buat ceramah, orang Umno akan pasang muzik kuat-kuat nak lawan suara orang PAS.

"Tapi bila PAS tak buat program, tak ada pula mereka pasang muzik kuat-kuat," katanya.

Wanita Islam haram sertai ratu cantik

Harakahdaily, 22 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti mengambil tindakan tegas bagi memastikan Pertandingan Ratu Cantik [Miss Malaysia World 2013] yang akan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 2 Ogos akan datang dibatalkan bagi menghormati bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, sementelah 4 orang dari 20 orang finalis pertandingan ratu cantik itu adalah terdiri dari wanita Islam.

“Islam sangat menegah perbuatan yang tidak bermoral ini,” tulis beliau di dalam facebooknya.

Beliau menambah, selain ianya bertentangan dan fatwa yang telah digazet [Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan], ianya juga jelas dicela oleh syarak dan bertentangan dengan akhlak Islamiyyah.

“Kerajaan mesti mengemukakan undang-undang khusus untuk menyekat gejala tidak bermoral ini dari terus menjadi aktiviti yang mendapat sambutan dalam negara kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Beliau menegaskan, sebelum parah dan membarah, tindakan tegas dan berkesan mesti diambil.

Selain itu, tambah beliau bagi pihak DPPM dan NGO-NGO Islam yang lain akan terus menguatkan kerja-kerja dakwah bagi menyedarkan masyarakat agar menjauhkan diri dari program mungkar yang meruntuhkan moral dan akhlak.

Pemuda PAS gesa Malaysia haramkan ratu cantik

Harakahdaily, 22 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta para mufti di negeri-negeri agar mengambil pendirian tegas dengan mengharamkan pertandingan ratu cantik di negara ini.

Ia berikutan terdapat satu penganjuran Pertandingan Miss Malaysia World 2013 bagi mencari bakat untuk diketengahkan bagi mewakili Malaysia dalam Pertandingan Ratu Cantik Miss World 2013 akan datang.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, apa yang menyedihkan adalah penglibatan daripada wanita beragama Islam dalam pertandingan tersebut dan mereka mendapat tempat yang tinggi dalam ranking pertandingan tersebut.

Beliau berkata, isunya bukan kerana pertandingan itu diadakan dalam bulan Ramadhan maka penganjur tidak membenarkan empat orang gadis beragama Islam menyertainya, lebih dari itu adalah ia sama sekali menjatuhkan maruah umat Islam dan agama Islam di negara ini.

Tegasnya, pengharaman penglibatan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik bukan terhad hanya pada bulan Ramadhan, tetapi pengharamannya kekal di mana-mana bulan sekalipun.

Menurutnya, melibatkan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik telah menyebabkan peserta tersebut serta umat Islam yang melihat mereka menanggung dosa besar.
Katanya, dengan pakaian yang memberahikan termasuk berbikini, maruah gadis beragama Islam diinjak sedemikian rupa sehingga aurat mereka boleh dipertontonkan untuk tatapan nafsu kaum lelaki.

“Wanita sebenarnya dijadikan untuk dihormati, disanjung dan diletakkan pada kedudukan yang istimewa, bukan sebagai bahan pemuas nafsu lelaki sehingga dijadikan barang dagangan dan dipertontonkan sesuka hati,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa amat wajar Malaysia mengambil pendirian mengharamkan terus penganjuran pertandingan ratu cantik di negara ini.

Sebagai sebuah negara Islam, katanya Malaysia seharusnya mengamalkan ajaran Islam dan mesti memperlihatkan keindahan Islam di mata dunia.

Katanya, negara-negara barat akan menghormati Malaysia atas ketegasannya memelihara maruah wanita di samping negara-negara Islam menyanjung tinggi pendirian berani pemimpin negara ini.

“Tonjolkan sikap bahawa Malaysia adalah pembela maruah wanita dengan mengangkat darjat mereka sesuai dengan kedudukan mereka,” katanya.

TPPA: Kedaulatan negara tergugat kerana kecuaian rundingan kerajaan?

., 22 Jul 2013
1. Keengganan kerajaan untuk memperincikan kandungan perundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) tajaan Amerika Syarikat amat dicurigai di kala rakyat menuntut suatu ketelusan.

2. Bagi sebuah kerajaan yang gah mengumumkan ketibaan era pentadbiran inklusif dan berakhirnya zaman “government knows best”, rundingan TPPA ini adalah manifestasi sikap gopoh dan tidak cermat kerajaan yang terus menerus membelakangkan penyertaan rakyat di dalam amalan pentadbiran.

3. Kegopohan kerajaan bersandarkan kepada alasan bahawa TPPA boleh melonjakkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi. Berpandukan
kepada kajian dari sebuah think tank ekonomi berpangkalan di Washington, Malaysia diunjur untuk mencatatkan penambahan tahunan sebanyak USD 40 billion dalam hasil eksport, USD 25 billion penambahan tahunan dalam pendapatan kasar, akses kepada ekonomi AS yang bernilai USD 15 trillion serta pasaran perolehan kerajaan yang bernilai USD 500 billion setahun.

4. Namun demikian, mengambilkira falsafah yang digunapakai kerajaan di dalam perlaksanaan ETP, kami percaya faedah pendapatan tinggi ini hanya akan dirasai oleh kumpulan pemodal dan elit-borjois manakala golongan marhaen terbanyak akan terus terpinggir sepertimana yang
berlaku sekarang.

5. Selagi mana faktor-faktor keadilan ekonomi tidak mendapat keutamaan, TPPA akan terus menjarakkan pendapatan sebenar dikalangan kelompok ekonomi masyarakat. Kajian awal beberapa NGO profesional turut mendedahkan perlaksanaan TPPA kelak akan memberi impak secara langsung terhadap kenaikan mendadak kos yang mesti ditanggung oleh pengguna di dalam sektor kesihatan, ICT dan perkhidmatan.

6. Sekiranya butiran TPPA didedahkan, kami percaya lebih banyak impak negatif terhadap isu-isu kepenggunaan diluar dari dua sektor ini akan dapat dikesan. Situasi inilah yang ingin dielakkan oleh kerajaan yang mahu rakyat
hanya menurut tanpa bantahan bagi membolehkan kerajaan menyegerakan pemuktamadan rundingan. Keadaan ini akan mengizinkan segelintir kumpulan pelobi mengejar keuntungan segera di samping membolehkan pemerintah mengukuhkan imej dan legitimasinya pada kaca mata Washington pasca PRU ke-13.

7. TPPA adalah adalah agenda yang boleh mengancam kedaulatan Negara secara “by design”. Pihak konglomerat Multinational Corporations (MNC) bebas melabur dan berniaga di pasaran tempatan dan pihak kerajaan tidak dibenarkan melindungi perusahaan tempatan kerana ini dilihat sebagai ‘kezaliman’ kepada MNC. Bahkan pihak MNC boleh menyaman pihak kerajaan sekiranya tindakan kerajaan dilihat ‘mengancam’ pelaburan yang dibuat oleh syarikat-syarikat mega tersebut.

8. Nah, apa yang akan berlaku kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan? Apakah selepas ini kerajaan perlu menjadi pak turut MNC kerana bimbang disaman dan sekiranya disaman berapa juta atau bilionkah yang terpaksa dibayar kepada pihak MNC tersebut? Inilah agenda halus yang diungkapkan oleh sesetengah pemikir sebagai agenda mewujudkan
America’s Pacific!

9. Sepatutnya kerajaan mempelbagaikan penyertaan meliputi pakar-pakar segenap bidang dengan perwakilan dari anggota-anggota parlimen dan kumpulan-kumpulan berkepentingan. Malah kepelbagaian ini sepatutnya diterapkan sehingga kepada jawatankuasa perunding antarabangsa dan bukannya dimonopoli oleh birokrat MITI dan kerajaan semata-mata.

10. Sekiranya kerajaan boleh menganjurkan perundingan nasional dengan menjemput kumpulan-kumpulan masyarakat madani untuk turut serta merangka bajet tahunan, kenapakah tiada pendekatan yang sama digunakan untuk TPPA?

11. Apakah yang begitu ingin dirahsiakan kerajaan? Berdasarkan kepada perkembangan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian rundingan mestilah ditangguhkan sehinggalah kerajaan memperincikan butiran TPPA ini untuk penilaian awam dan membuka penyertaan di dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengemudi rundingan.

12. Draf akhir TPPA ini pula mesti dibahaskan secara terbuka dengan muktamad akhir penerimaan atau penolakannya dihakimkan oleh rakyat sendiri menerusi satu referendum bebas.

13. Bagi pihak DPPM insyaallah, melalui INFO [Institut Pemikiran Fadhil Noor] yang ditubuh bawah Lajnah Penerangan DPPM akan menganjurkan wacana bersiri mengenai TPPA : Kesan dan Ancaman kepada ekonomi negara dan ummah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Bawa akta kawalan tembakau ke parlimen

Harakahdaily, 22 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyokong saranan pakar kawalan tembakau, Dr Zarihah Mohd Zain dari Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) supaya diperkenalkan lesen wajib ke atas semua urusniaga hasil tembakau dan peralatan tembakau untuk mengurangkan tabiat merokok di kalangan penduduk Malaysia.                             

“Perlesenan wajib ini dapat perkukuhkan penguatkuasaan dan perlaksanaan peraturan-peraturan lain seperti larangan jualan kepada/oleh orang bawah umur dan kanak-kanak; kawalan ke atas jualan rokok haram dan penyeludupan rokok,” ujar Timbalan Presiden Fomca, Muhammad Sha’ani Abdullah.

Katanya, ada pihak tertentu terus menimbulkan kesangsian ke atas cadangan naikkan cukai tembakau/rokok akan meningkatkan penyeledupan rokok dan penggunaan rokok haram.

Maka, kata beliau sewajarnya peruntukan perlesenan diwujudkan untuk semua bentuk urusniaga melibatkan tembakau termasuk di peringkat runcit supaya semua peruntukan Konvensyen Rangkakerja mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

“Ke arah ini Fomca menggesa kerajaan supaya segera perkenalkan Akta Kawalan Tembakau untuk membolehkan perlaksanaan perlesenan jualan hasil tembakau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, cadangan Akta Kawalan Tembakau hampir 10 tahun dibincang dan diputuskan melalui rundingan awam, bagaimanapun rang undang-undang itu masih belum dibawa ke Parlimen.

Justeru, ujarnya, Fomca berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segerakan pembentangan rang undang-undang  Kawalan Tembakau pada sidang Parlimen akan datang.

Mengenai hak pengguna, jelasnya Malaysia sebagai negara pihak (party) kepada Konvensyen Rangkakerja mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), ia harus digunakan oleh majoriti penduduk yang bukan merokok menuntut hak untuk persekitaran yang sihat dan selamat melalui perlaksanaan sepenuh FCTC.

Singgah Sahur R T’ganu selami derita rakyat

Hazayani Zakaria, 22 Jul 2013
BESUT: Sekretariat Mengembalikan Royalti Minyak Terengganu (R Terengganu) merayu pengundi di Kuala Besut membuat pilihan yang tepat dan bijak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Julai ini.

Setiausaha kerjanya, Syed Husain Solahuddin berkata, R Terengganu berharap pengundi tidak termakan dengan umpan sementara Umno BN pada PRK kali ini.

Beliau yang  melihat sendiri keperitan hidup masyarakat ketika mengadakan program Singgah Sahur awal pagi tadi  berkata, walaupun Terengganu kaya dengan hasil petroleum bernilai RM1.8 bilion setahun, namun rakyat masih dihimpit kemiskinan akibat kerajaan yang tidak telus menguruskan  hasil negeri.

"Inilah yang menggambarkan situasi sebenar rakyat Kuala Besut yang dahagakan perubahan, dahagakan kemajuan.

"Pada  24 julai ini pentingnya satu kerajaan, satu suasana 16:16 yang akan menentukan rakyat lebih terbela yang mana kedua dua pihak akan bersaing membela rakyat keluar daripada kemiskinan dan keperitaan hidup.

"Undi itu adalah kuasa rakyat yang akan menentukan kepimpinan yang lebih adil dan saksama memperjuangkan nasib rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, aktivis Royalti Terengganu bersama aktivis Royalti Kelantan awal pagi tadi meneruskan lagi sesi Singgah Sahur awal bagi menjejaki beberapa buah rumah di sekitar perkampungan nelayan di Kuala Besut.

Kebanyakan daripada mereka nyata terharu kedatangan kami aktivis Royalti yang rata-rata dari kalangan anak muda sanggup singgah ke teratak sederhana mereka dalam waktu sahur. Bahkan ada di antara rumah yang kami sempat singgah kelihatan begitu menyayat hati sedangkan selang dua tiga rumah tersergam indah rumah batu yang dipenuhi oleh bendera-bendera biru.

Keadaan ini menggambarkan seolah-olah, rakyat miskin yang hidup dengan kepayahan dan keperitan langsung tidak pernah dihiraukan sebelum ini melainkan menjelang musim pilihanraya kecil kali ini. Ada pula di antara mereka yang masih ragu-ragu apakah janji-janji yang ditabur benar-benar akan dilaksana ataupun tidak. Ini kerana mereka telah terlalu lama hidup dalam kesusahan.

Menurut aktivis R Terengganu Safwan Anang, ada antara rumah yang sempat mereka singgah mempunyai bil-bil air dan elektrik yang masih tertunggak.

"Ini menimbulkan persoalan apakah nasib mereka tidak pernah terbela sebelum ini? Bahkan lebih menyedihkan apabila mereka mengaku sendiri bahawa Kuala Besut antara daerah yang paling miskin dalam Terengganu," katanya.

Bagaimanapun, apa yang menggembirakan mereka adalah apabila ditanya mengenai calon PRK kali ini mereka mengakui bahawa mereka lebih mengenali Che Long daripada calon BN.

Che Long juga sudah seolah-olah memang dikenali sebagai wakil rakyat di Kuala Besut dengan sifat pemurah yang ada pada beliau.

"Dengan penuh pengharapan, kami selaku Aktivis Royalti menaruh harapan tinggi kepada pengundi Kuala Besut untuk ciptakan perubahan terutama demi masa depan rakyat negeri Terengganu yang sememangnya kaya dengan hasil royalti minyak," katanya.

Tiada ulasan: