Ahad, 21 Julai 2013

ADA GIGI TAK BOLEH MENGIGIT...GIGIT PUN YANG LEMBUT2...GIGIT YANG KERAS GIGI PATAH

Menteri merayu, akui malu kalau calon BN kalah

Aslani M, 21 Jul 2013
BESUT: Umno dianggap begitu terdesak bagi mempertahankan Dun Kuala Besut, apabila ada menteri dikatakan terpaksa membuat rayuan, jangan malukan beliau kalau ada yang tidak berkenan dengan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Satu sumber memberitahu rayuan itu difahamkan dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada satu pertemuan dengan pengusaha bot laut dalam yang diadakan di sebuah resort pada 13 Julai lalu.

Turut hadir pada pertemuan tersebut pegawai-pegawai kanan Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa pengusaha bot laut  dalam tempatan yang diundang khas.

“Menteri ada menyebut pengusaha terbabit perlu menganggap mereka seolah-olah mengundi menteri dan bukan calon BN yang bertanding. Beliau tidak mahu imejnya terjejas kerana baru dilantik menjadi menteri pertanian,” kata sumber terbabit di sini.

Kata beliau menteri tidak mengendahkan isu pengusaha laut dalam yang mengalibabakan lesen dimilki mereka, sebaliknya lebih takut kalau ada pengusaha tidak menyokong BN pada 24 Julai ini.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin, menteri perlu menyokong pengusaha bot terbabit kerana mereka merupakan nelayan yang bermula dari bawah sehingga muncul sebagai pengusaha bot laut dalam yang berjaya.

“Pengusaha terbabit sepatutnya diberi sokongan penuh dan bukannya menekan mereka supaya menyokong calon BN. Tidak ramai pengusaha bot laut dalam anak tempatan yang berjaya seperti mereka.

“Mereka mendapat lesen daripada hasil penat lelah sendiri dan bukan dianugerah seperti pemimpin Umno dan wakil rakyat, diberi lesen laut dalam namun bot didapati tersadai,” katanya.

Kata beliau juga pengusaha laut dalam terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko terutamanya kos operasi yang tinggi termasuk membeli keperluan diesel  dan upah awak-awak.

Menurut sumber itu lagi sebuah bot difahamkan dimiliki seorang wakil rakyat BN sudah lama tidak keluar menangkap ikan setelah mendapat lesen secara anugerah dan bukannya memiliki  kemahiran dalam  industri perikanan.

Menurutnya juga pegawai kanan agensi kerajaan datang berkempen bersama menteri atas nama politik, difahamkan menggunakan sepenuhnya peruntukan kerajaan.

Dari mana RM377.45 juta ditabur di Kuala Besut

Hazayani Zakaria, 21 Jul 2013
BESUT: Sekretariat Mengembalikan Royalti Minyak Terengganu (R Terengganu) mempersoalkan sumber wang yang digunakan oleh Umno BN untuk membeli undi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Kuala Besut.

Pengarah Sekretariat Royalti PRK Kuala Besut Naraza Muda mendakwa akibat wang royalti Petroleum Terengganu yang tidak disalurkan melalui kerajaan negeri, Umno BN menggunakan wang tersebut untuk kempen mereka.

"R Terengganu merasakan pengkhianatan terbaru Umno Terengganu terhadap duit royalti minyak tidak sepatutnya berlaku. Kami merujuk kepada taburan duit RM377.45 juta yang digunakan untuk memancing undi di PRK Kuala Besut.

"Inilah akibatnya wang royalti tidak disalurkan melalui kerajaan Negeri. Wang ini untuk pembangunan rakyat Terengganu bukan untuk kempen Umno," dakwa beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Naraza juga, R Terengganu turut terkejut dengan projek rakyat yang dinamakan Taman Ilmu bernilai RM300 juta kepada syarikat asing sedangkan projek itu tidak disiapkan sepenuhnya.

"Dengan keluasan 700 ekar projek ini sepatutnya disiapkan dan dipercayai hanya memerlukan peruntukan RM50 juta lagi untuk disiapkan.

"Berapa pun nilainya untuk modal insan pendidikan anak negeri sewajarnya diteruskan. Taman Ilmu untuk menempatkan beberapa universiti dan kolej di atas sebidang tanah di Tembila, Besut," katanya.

Tambah Naraza, projek kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kurang memberi tumpuan, perhatian dan keutamaan termasuk berkaitan kewangan terhadap projek pembinaan yang diinisiatifkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh sewaktu menjadi menteri besar pada 2004.

Projek dijalankan atas sebuah tapak 700 ekar sebagai tapak untuk beberapa universiti dan kolej pendidikan, dengan kerajaan negeri akan menyediakan tujuh kemudahan iaitu pejabat pentadbiran, dewan konvokesyen, pusat pelajar, perpustakaan, asrama, infrastruktur dan kompleks sukan.

Justeru R Terengganu mendesak Ahmad menjelaskan isu tersebut dengan segera.

Che Long temui saudara mara terdekat buat kali kedua

Hazayani Zakaria, 21 Jul 2013
BESUT: Tiga hari menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N01 Kuala Besut pada 24 Julai ini, calon PAS Azlan Yusof atau Che Long meluangkan masa menemui saudara mara dan rakan-rakan rapat hari ini.

Menurut Pengurus Kempen PRK Kuala Besut Hanafiah Mat, pertemuan tersebut merupakan pertemuan kali kedua Che Long dengan mereka selepas pertemuan kali pertama sebelum penamaan calon 12 Julai lalu.

"Petang ini beliau akan pergi ke rumah waris, rumah jiran dan rumah saudara mara yang agak jauh sikit dan kita dah masuk pusingan kedua dan dia akan bertemu kali kedua dengan saudara mara dekat dan jauh di samping kawan-kawan dan teman-teman rapat dia.

"Kempen kedua ini untuk merayu undi supaya saudara mara memberi undi kepada Che Long. Ini adalah rayuan terakhir daripada Che Long," kata beliau ketika ditemui di Markas Besar PAS di Kampung Baharu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut Dr Hatta Ramli berkata PAS yakin terhadap kebolehan Che Long mendekati pengundi.

"Kempen Che Long sudah masuk ke pusingan kedua dan PAS yakin dengan kebolehan Che Long bertemu pengundi dan Che Long tahu apa yang dia buat," katanya.

BN umum projek serta-merta bila PAS bersuara

Salmiyah Harun, 21 Jul 2013
BESUT: Tindakan drastik kerajaan mengumumkan projek-projek yang mencecah ratusan juta dalam masa sepuluh hari buat penduduk Kuala Besut merupakan usaha dan kejayaan PAS.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata pendedahan demi pendedahan yang dibuat PAS ternyata membuatkan kerajaan terus menunjukkan keperihatinan mereka terhadap nasib pengundi di Kuala Besut.

Misalnya kata beliau pendedahan kerosakkan Empangan Lowier di Pengkalan Nangka yang menjejaskan 400 keluarga terus mendesak kerajaan meluluskan segera peruntukan RM35 juta untuk membuat empangan yang baru.

"Jika tidak didedahkan ternyata Umno BN kesampingkan apa yang diperlukan di sini (penduduk Kuala Besut),"katanya dalam sidang media di Markaz Besar PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baru.

Jelasnya, sebaik PAS membangkitkan isu ini ternyata kerajaan Umno BN dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa sehari sedangkan ianya pernah dibangkitkan sejak dua tahun lepas.

Mengulas sama ada pengundi Kuala Besut terus termakan budi dengan usaha drastik kerajaan ini, Hatta berpendapat ianya tidak sekali-kali akan mempengaruhi pengundi.

Malah katanya, pengundi akan berterima kasih kepada PAS dan akan memberi undi kepada PAS pada 24 Julai ini.

"Kita akan menjangkakan tempat-tempat yang kita kuat akan bertambah baik," katanya.

Justeru katanya, PAS telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk rakyat khususnya di Kuala Besut yang ternyata dipinggirkan oleh kerajaan BN.

"Sebenarnya apa yang dibuatkan oleh kerajaan dalam masa berkempen ini adalah kredit bagi kami," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk membuat empangan baru menggantikan Empangan Lowvier.

Terdahulu, sudah sembilan projek yang dijanjikan oleh kerajaan BN buat penduduk Kuala Besut termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.

Rezeki penduduk Kuala Besut datang mencurah-curah apabila kerajaan tidak putus-putus menabur projek-projek yang mencecah ratusan juta dalam masa sepuluh hari.

Empangan Lowvier: Bukti pentingnya undi Pakatan

Muhammad Faizal, 21 Jul 2013
BESUT: PAS menyifatkan pengumuman yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembinaan semula Empangan Lowvier sebagai kejayaan PAS khususnya Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat.

Ahli Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, belum pun PAS memenangi kerusi Dun Kuala Besut ini, BN sudah takut dengan pendedahan semasa kempen sehingga hak rakyat itu diberikan semula.

"Belum lagi kita mendapat kerusi 16:16 hak rakyat kita perjuangkan, bayangkan kalau 16:16 kita perolehi apa yang mampu kita tunaikan untuk kesejahteraan rakyat.

"Jelas pendedahan kita mengenai Empangan Lowvier yang telah menimbulkan kesusahan kepada rakyat dari golongan petani, Barisan Nasional akur dan terpaksa memenuhinya," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Muhyiddin pada satu program himpunan keluarga nelayan dan peladang di Jeti Kuala Besut semalam mengumumkan peruntukkan bernilai RM35 juta bagi pembinaan semula empangan tersebut.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, semua serangan dan pendedahan yang telah dilakukan menyebabkan Barisan Nasional (BN) terpaksa mengakui kepincangan pentadbiran mereka dengan mengumumkan kelulusan segera peruntukan.

"Kita bukan serang peribadi calon BN tetapi apa yang kita lakukan adalah mendedahkan kepincangan kerajaan BN yang gagal ditunaikan.

"BN mengakui kepincangan mereka dengan mengumumkan peruntukan segera terhadap projek-projek yang gagal mereka sempurnakan sebelum ini," katanya lagi.

Dr Dzulkefly menyatakan peruntukan segera sebanyak RM35 juta bagi empangan dan RM250 juta bagi mendalamkan Sungai Besut adalah kemenangan untuk rakyat yang diperjuangkan PAS.

Malah jelasnya lagi, kedua-dua projek tersebut mempunyai kaitan dengan calon BN yang pada waktu itu beliau memegang jawatan sebagai Jurutera di Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Besut.

"BN turut mengakui kelemahan yang di miliki oleh calonnya dalam membantu penduduk Kuala Besut, jadi di manakan kecemerlangan yang diperkatakan oleh BN terhadap calon mereka.

"Jelas mereka tidak dapat jawab dan takut dipersoalkan hanya sogokan peruntukan projek segera mereka lakukan," sambungnya.

Dalam masa yang sama, Dr Dzulkefly turut mempersoalkan mengenai dana yang akan dipergunakan nanti bagi projek-projek yang telah mereka umumkan adakah melalui peruntukan kerajaan pusat atau diambil dari wang royalti rakyat.

'Sogokan' projek RM377 juta, SPR hanya membisu?

Hazayani Zakaria, 21 Jul 2013
BESUT: PAS menyifatkan tindakan menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung sogokan yang dilakukan Umno BN terhadap pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Kuala Besut sebagai membuang masa.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata, dengan peruntukan sebanyak RM377.45 untuk projek-projek yang diumumkan setakat ini, jelas menunjukkan ia merupakan pembelian undi menjelang PRK.

"Perkara ini wajar dilihat sebagai sogokan tetapi kita tidak mengharapkan SPR misalnya untuk membuat sebarang komen, untuk mengiyakan atau menafikan semua janji ini adalah sogokan.

"Buang masa sahaja kita harap SPR buat kenyataan cuma kita harap pemantau-pemantau dapat membuat laporan-laporan yang sewajarnya," kata beliau pada sidang media di Markas Besar PAS di Kampung Baharu hari ini.

Beliau bagaimanapun masih menaruh harapan agar SPR telus dan berperanan sebaik mungkin dalam PRK sebagai badan yang bebas.

"Ada sedikit lagi sisa-sisa harapan saya minta SPR mengambil serius isu ini, jangan kata terserah kepada kementerian.

"Kena ada peraturan untuk menghalang daripada janji-janji segera, memberikan bantuan kepada pengundi.

"Apa kita nak definisi pengumuman projek-projek ini melainkan membeli undi," katanya.

Sebelum itu, pada sidang media bersama ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta mendedahkan sebanyak sepuluh projek dijanjikan oleh Umno BN sepanjang sepuluh hari berkempen.

Antaranya ialah projek projek berjumlah RM250 juta untuk mendalamkan Sungai Besut dan pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka.

"Hasil kempen PAS dan Pakatan Rakyat mendedahkan kepincangan tadbir urus dan ketempangan pembangunan yang tidak seimbang ini maka rakyat Kuala Besut mendapat habuan ini," katanya.

Harga ayam: Pembekal 'win', rakyat tetap 'lost'

Muhammad Faizal, 21 Jul 2013
BESUT: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu keputusan kerajaan menetapkan harga siling ayam RM7.70 sekilo sebagai menekan hidup rakyat yang sedia terbeban.

Beliau yang ditemui di Kampung Seberang Barat semalam turut menyatakan keputusan tersebut hanya memberi kebaikan kepada penguasa ayam serta penjual sedangkan rakyat tidak mendapat apa-apa faedah.

"Jumaat lepas saya telah minta kerajaan meletakkan harga siling ayam sebelum Ramadhan iaitu RM7 sekilo dan perlu diumumkan pada Jumaat lepas.

"Menteri mengatakan pengumuman akan dilakukan pada awal Ogos tetapi itu sudah terlewat dan kementerian telah mengumumkan pada Jumaat lepas dengan harga siling RM7.70 sekilo.

"Bagi saya itu adalah harga yang tidak wajar dan terlalu tinggi untuk pengguna, kenapa kerajaan menetapkan RM7.70," jelasnya kepada Harakahdaily.

Mahfuz turut memberitahu alasan kerajaan bahawa penetapan harga siling RM7.70 itu adalah berdasarkan kepada konsep menang-menang "win-win situation" adalah bohong.

"Mana ada konsep menang-menang dalam penetapan harga tersebut, konsep tersebut adalah menang-kalah, pembekal, penternak dan penjual yang menang sedangkan pengguna terus kalah.

"Jika dibandingkan harga Ramadhan tahun lepas ia ditetapkan pada RM6.80 dan tahun ini RM7.70, ini bermakna kenaikkan setahun sebanyak 90 sen," sambung beliau lagi.

Katanya lagi, kenaikan harga ayam sebanyak 90 sen setahun merupakan kenaikan harga yang cukup tinggi dan kerajaan sepatutnya menetapkan harga siling pada RM7 sahaja.

Beliau yang tidak menolak perkara yang sama akan terus berulang setiap tahun kerana kegagalan kerajaan memikirkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Kegagalan kerajaan mengambil pandangan pengguna akan menyebabkan perkara yang sama akan berulang setiap tahun, pengguna terus ditekan.

"Hasrat pembekal tercapai tetapi hasrat pengguna tidak, kerajaan kata nak kawal harga tetapi ia tidak beraya dan seterusnya berlaku kezaliman terhadap rakyat," jelasnya lagi.

Mahfuz yang turut mempersoalkan keputusan kerajaan bahawa harga tersebut akan berkuatkuasa pada 26 Julai nanti.

Beliau yang merasakan sebelum tarikh tersebut pembekal mahupun penjual akan terus menjual dengan harga yang mahal bagi mengaut keuntungan sebelum ia dijualkan kepada harga yang ditetapkan.

"Saya minta kerajaan kaji balik kenaikan tersebut, pengguna perlu diberi keutamaan bukannya pembekal ataupun penjual," jelas Mahfuz.

Beliau mengesa agar kerajaan tidak terperangkap dengan pemainan pihak yang menguasai pasaran, kerajaan juga perlu berunding dengan rakyat bagi menepati konsep sebenar menang-menang.

Penyokong Idris gesa pengundi 'ajar' Mat Said

Harakahdaily, 21 Jul 2013
BESUT: Pilihan Raya Kecil Kuala Besut yang akan berlansung pada 24 Julai ini merupakan peluang terbaik bagi orang Umno khususnya penyokong Datuk Seri Idris Jusoh di sini untuk 'mengajar' Datuk Seri Ahmad Said.

Salah seorang penyokong kuat Idris, Mohd Abiah Awang (gambar) berkata, orang Umno di Besut masih ingat apa yang Ahmad buat pada 2008 sehingga Idris diketepikan dari menjawat jawatan Menteri Besar untuk penggal berikutnya.

"Orang sini ingat lagi, kita berlarok (konvoi) pegi ke Kuala Terengganu, pergi Putrajaya, pergi lapangan terbang, usung (bawa) sepanduk, rayu supaya Datuk Deris (Idris) kekal jadi MB.

"Tapi Mat Said (Ahmad Said) buat apa? Parut (luka) dalam hati ini belum sembuh lagi ni. Kita ingat apa dia buat," katanya ketika berceramah di pentas PAS di Kampung Seberang Barat di sini malam tadi.

Beliau berkata, pengundi Kuala Besut khususnya penyokong Idris Jusoh tidak harus menggadai perinsip perjuangan mereka hanya kerana wang RM50 dan sekantong rokok.

Sebaliknya mereka harus mengembalikan maruah orang Kuala Besut yang telah dicalar oleh Ahmad Said sebelum ini.

"Dulu Mat Said baru jadi MB, nak datang sini kena ada polis iring dia, sekali dengan 'body guard'. Sekarang ini dia boleh datang lenggang sahaja macam dia dah lupa apa dia pernah buat kat kita.

"Kita kena berani tuntuk kuasa kita. Inilah masanya. Kali ini kita pakat pangkah PAS belaka. Jangan malukan orang Kuala Besut. Biar berani gak kita," katanya lagi.

Beliau juga mengakui bahawa calon PAS, Che Long dan keluarga sangat dikenali penduduk di sini.

Che Long juga ujarnya memang senang untuk ditemui oleh penduduk Kuala Besut kerana sememangnya menetap di sini.

Berbeza dengan calon BN katanya, walaupun keluarganya berasal dari Kuala Besut, tapi bertugas dan tinggal di Putrajaya.

"Kita biar jadi 16:16 sekali. Kita tengok nak jadi macam mana. Kalau main bola, bila seri kena penalti.

"Sekurang-kurangnya Mat Said tahu kita oarang Kuala Besut tak pernah lupa apa yang dia pernah buat kepada kita," katanya.

MB seru pengundi Kuala Besut tiru rakyat S'gor

Harakahdaily, 21 Jul 2013

BESUT: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru seluruh pengundi Kuala Besut meniru sikap rakyat Selangor, yang bijak menggunakan peluang demokrasi untuk menjamin kebajikan mereka.

Berucap ketika hadir membantu kempen calon PAS Kampung Seberang Barat di sini semalam, Abdul Khalid berkata, rakyat Selangor telah membuat perubahan dengan memilih calon-calon Pakatan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu dan mengekalkannya pada PRU13 Mei lalu untuk penggal kedua.

"Pada 2008 rakyat Selangor memilih Pakatan Rakyat. Kita perkenalkan bermacam program untuk bantu rakyat Selangor melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

"Bila nak PRU13 macam-macam projek BN turun di Selangor. Rakyat dapat dua kali untung. BN bagi, Pakatan Rakyat selaku kerajaan negeri pun bagi. Apa yang BN beri diambil, tapi bila undi, rakyat Selangor undi kita," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor juga terbukti jauh lebih baik dari BN di mana rakyat dapat merasai dan menikmati hasil negeri yang turur disalurkan kepada mereka.

"Bila menang 2008, kita beri air percuma 20 meter padu, dia (BN) kata kita akan bankrap. Masuk 2009 sampai 2012 kita teruskan lagi beri air percuma, dia kata kita akan bankrap lagi, tetapi suaranya dah makin perlahan.

"Bila nak PRU13, tiba-tiba BN dah tukar nada. Tak dengar dah pasal bankrap. Rupanya-rupanya dia pulak tiru buat manifesto nak bagi air percuma juga. Tapi rakyat Selangor kata, dah ketinggalan," katanya disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

Beliau juga mendedahkan, semasa BN memerintah Selangor, peruntukan membina masjid sebanyak RM50 juta hanya boleh menyiapkan lima buah masjid.

Namun apabila Pakatan memerintah, dengan jumlah peruntukan sama mampu menyiapkan sembilan buah masjid.

"Kita buktikan kita boleh tadbir lebih baik, lebih telus. Kita antara negeri yang dapat pengiktirafan empat bintang oleh audit negara. Negeri BN termasuk Terengganu saya kira nak dapat dua bintang pun belum tentu.

"Sebab itu pentadbiran ini mesti diberi kepada pasukan yang telus. Nak pentadbiran telus perlu pilih pemimpin yang telus dan bertanggungjawab.

"Jadi saya seru orang Kuala Besut, pilihlah calon PAS (Che Long) supaya kita dapat keseimbangan kerusi jadi 16:16. Bila jadi seimbang, Umno tak boleh lagi nak buat main-main dengan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: