Rabu, 17 Julai 2013

JANGAN TUNJUK YANG BERJAYA SAJA...YANG GAGAL MACAM MANA

Cara PAS memperjuangkan Islam dalam politik

Ustaz Nasrudin bin Hasan, 16 Jul 2013
Masih ada yang gagal memahami, bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah, bida'ah, sesat, tidak mengikut sunnah, bercanggah dengan syariat, hanya mementingkan politik, meragukan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS.

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi daripada kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke ‘gaung dalam’ yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam.

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku, bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya (matlamat). Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syarak.

Kepimpinan Ulama, Jawatan Kuasa Disiplin Parti, Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama, Mesyuarat Dewan Harian, Mesyuarat Bulanan, Mesyuarat Khas, Liqa’ Fikri, Tamrin, Mukhayyam, Kuliah Haraki, Usrah Mingguan, Konvensyen PAS Negeri, Ijtimak Pilihan Raya, Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an-Nabawi.

Jika terdapat perbezaan dalam pendekatan atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain, ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya, wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :

* Tarbiyyah dan Pengkaderan (pembinaan dan pembentukan).
* Dakwah (penerangan).
* Lapangan Siasah (politik)

Asas Pertama: Tarbiyah dan Pengkaderan

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS. Tarbiyah digerak dan diaktifkan untuk membina :

1. Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.
2. Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri.
3. Syakhsiyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah SAW.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :

1. Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa.
2. Organisasi yang mantap dan hebat.
3. Tindakan yang strategik dan berkesan .

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS, Lajnah Tarbiyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS, bermula dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan-dewan seperti Dewan Ulama’, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita-cita tarbiyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah di pelbagai peringkat (kepimpinan atau ahli), tamrin, liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach.

Asas Kedua: Dakwah (Penerangan)

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat prinsipal sifatnya. Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat, dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan.

Ada dalam kalangan pemimpin PAS yang dibunuh, dipenjara, dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka. Namun, segalanya tidak menghalang PAS daripada terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua, dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing-masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing-masing.

Maudhu' (kandungan) dakwah PAS sangat jelas, menepati apa yang diajar oleh Allah Taala. Perkara ini dapat dipastikan pada Fasal 6 Perlembagaan PAS. PAS menggariskan usaha-usaha dakwah sebagai aktiviti teras dalam dalam perlembagaannya;

1. Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

PAS mendekati semua lapisan masyarakat. Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan umat yang lesu hinggalah ulama yang bisu. Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat.

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

* Dakwah Ammah (umum).
* Dakwah Fardiyah (khas)

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik. Biarpun nanti selepas tamatnya pilihan raya, PAS tetap meneruskan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat, demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Inilah cita-cita PAS.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit daripada pelbagai pihak, PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam itu.

Asas Ketiga: Lapangan Siasah (politik)


Islam adalah agama yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan Umno dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik daripada golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah, dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ia sah untuk bergerak di sisi undang-undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksanakan tanpa kuasa politik. Justeru itu, penglibatan di bidang politik (siasah) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci.

Kesimpulan

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak dan meragui hala tuju perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS, tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan atau meragui perjuangan sucinya memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti, bukan beralaskan emosi dan sentimen perbezaan ideologi. Saya selalu menegaskan kepada umum, jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah, sila nyatakan! Jika ia berbentuk dakwaan, sila kemukakan bukti!

Kita mencari kebenaran. Andai benar atau ada PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat atau terkeluar daripada manhaj perjuangan Islam sehingga menimbulkan keraguan, saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu, janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti, dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

http://www.tarbawi.my

Ke mana hala Malaysia?

Lim Kit Siang, 16 Jul 2013
Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk Kinabatangan Bung Mokhtar Radin di Parlimen kelmarin mengakui bahawa pemimpin-pemimpin Umno bahagian menuntut kontrak daripada kerajaan dan mana-mana pemimpin bahagian yang tidak berbuat demikian adalah pengecut. Pengakuan ini merupakan satu lagi kenyataan mengejutkan daripada sekian banyak kenyataan mengejutkan yang telah dikeluarkan oleh menteri, pemimpin, dan penyokong Barisan Nasional sejak enam minggu lalu, iaitu selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei 2013.

Antara kenyataan lain sepertinya yang telah dikeluarkan oleh menteri/pemimpin/penyokong BN sejak enam minggu lalu:

•    Datuk Tajuddin Abdul Rahman mencemarkan politik Ramadan malam Ahad lalu dengan menyebarkan pembohongan dan dusta dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Besut dengan mendakwa DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja Melayu, dan bahawa DAP ingin menghapuskan sistem raja berperlembagaan untuk menubuhkan sebuah republik serta melantik Karpal Singh sebagai Presiden pertama Malaysia;

•    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam wawancara dengan Sin Chew Daily bulan lepas memberi nasihat songsang kepada kaum Cina di Malaysia dengan menyeru mereka agar meninggalkan “perkauman ekstrem” yang dibawa oleh DAP agar “Malaysia suatu hari nanti akan mendapat Perdana Menteri berketurunan Cina.” Shahidan membuat dua kesilapan memandangkan DAP tidak pernah mengajak kaum Cina di Malaysia ke arah “perkauman ekstrem” dan isu Perdana Menteri berketurunan Cina tidak pernah persoalan penting bagi kaum Cina kerana bagi mereka yang lebih penting ialah mendapat Perdana Menteri yang berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

•    Dongeng “Tentera Kacang Merah” yang ditaja DAP dan dianggotai oleh 3,000 cybertrooper serta mendapat peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk menyerang peribadi dan memburuk-burukkan para pemimpin UMNO/BN mendominasi ucapan Ahli-ahli Parlimen UMNO/BN dalam perbahasan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Parlimen. Malah seorang Menteri telah mencadangkan supaya Kabinet mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja untuk menyiasat “Tentera Kacang Merah”, padahal RCI sepatutnya ditubuhkan untuk menyiasat sekian banyak pembohongan dan provokasi yang diterbitkan dalam media kawalan UMNO/BN, khususnya Utusan Malaysia. Kebelakangan ini dongeng “Tentera Kacang Merah” digunakan untuk menjustifikasi tuntutan para cybertrooper Umno/BN untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM350 juta bagi memerangi “Tentera Kacang Merah” bagi jangka masa lima tahun lagi.

•    Respons apologetik “bukan hanya Malaysia yang berdepan masalah rasuah” daripada Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio integriti dan urus-tadbir baik, apabila tinjauan Global Corruption Barometer 2013 yang dijalankan oleh Transparency International mendapati hanya 31 peratus responden merasakan kerajaan Malaysia telah memerangi rasuah dengan berkesan, merosot daripada 49 peratus di tahun 2011.

•    Kenyataan-kenyataan perkauman yang berulang kali dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sehingga melebarkan jurang perkauman, antaranya apabila beliau berdusta dengan menuduh DAP menolak konsep “kongsi” Melayu/Cina/India dan mendakwa kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik Melayu.

•    Ucapan perkauman dan menghasut oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah yang mengingatkan kaum Cina di Malaysia agar bersedia menerima tindak balas daripada masyarakat Melayu atas “pengkhianatan” mereka dalam PRU-13.

•    Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri, apabila beliau menyuruh pihak yang mengkritik pilihan raya umum ke-13 agar meninggalkan negara ini jika mereka tidak suka dengan sistem pilihan raya yang ada.

Jika tidak disangkal, semua kenyataan ini mampu mengheret negara ini ke masa depan Malaysia yang mundur, berpecah-belah dan sengsara – sama sekali bertentangan dengan aspirasi 1Malaysia, “Global Movement of Moderates” dan “perdamaian kebangsaan”.

Ke mana hala Malaysia?

Warisan Dunia: P Pinang belum terima peruntukan

Harakahdaily, 16 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Setelah Melaka dan George Town menerima pengiktirafan Unesco sebagai Tapak Warisan Dunia, kerajaan persekutuan, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji akan memberikan RM20 juta masing-masing kepada Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town demi membantu kerja-kerja pemuliharaan, perlindungan dan promosi warisan.

Namun bagi Tapak Warisan Dunia George Town, jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta tidak disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti mana yang dijanjikan.

“Sehingga hari ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang peruntukan, sebaliknya negeri Melaka memperolehi RM30 juta,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam surat kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz.

Berikut ialah kandungan surat berkenaan mengenai permohonan geran RM20 juta yang dijanjikan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memulihara, melindungi dan mempromosikan Tapak Warisan Dunia Unesco George Town.

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perbualan di ruang legar Parlimen berkaitan dengan perkara di atas.

2. Sempena lawatan YB Dato’ Seri ke Taiping baru-baru ini dan kenyataan YB Dato’ Seri tentang kepentingan usaha-usaha untuk mengekal, memelihara dan melindungi aset-aset warisan kita yang bersejarah daripada dihapus oleh arus pembangunan moden, saya dengan tulus hati amatlah menyokong dan menyahut seruan YB Dato’ Seri untuk memelihara dan mempertahankan aset-aset warisan kita yang tak ternilai demi kepentingan generasi-generasi kita yang akan datang.

3. Untuk makluman YB Dato’ Seri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak dahulu lagi telah bertekad dan berusaha gigih dalam perancangan serta pelaksanaan kerja-kerja memelihara dan memulihara aset-aset warisan negeri yang dibanggai dan dikagumi ramai. Tambahan pula kini dengan pengiktirafan status Tapak Warisan Dunia UNESCO kepada George Town pada 7hb Julai 2008, usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan di Pulau Pinang amnya dan khususnya Tapak Warisan Dunia George Town telah giat berkembang dan pelbagai program/aktiviti pemuliharaan warisan telah dirancang dan dijalankan oleh Pihak Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan agensi-agensi/persatuan lain.

4. Untuk makluman lanjut YB Dato’ Seri, setelah Melaka dan George Town menerima pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia, kerajaan persekutuan, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji akan memberikan RM20 juta masing-masing kepada Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town demi membantu kerja-kerja pemuliharaan, perlindungan dan promosi warisan. Namun bagi Tapak Warisan Dunia George Town, jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta tidak disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepertimana yang dijanjikan. Sehingga hari ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang peruntukan, sebaliknya negeri Melaka memperolehi RM30 juta.

5. Memandangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberi komitmen penuh kepada pihak UNESCO dalam usaha memelihara dan melindungi aset-aset warisan dalam Tapak Warisan Dunia George Town, yang merangkumi aset warisan ketara dan tak ketara, maka kami ingin memohon sokongan dan kelulusan khas YB Dato’ Seri agar janji peruntukan RM20 juta. Wang tersebut yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat meneruskan lagi perancangan-perancangan dan program-program pemuliharaan warisan yang telah dijalankan dan bakal dijalankan di Tapak Warisan Dunia George Town demi manfaat semua pihak seperti yang dijanjikan dalam Pelan Pengurusan Pemuliharaan dan Rancangan Kawasan Khas George Town.

6. Setakat ini, projek-projek pembangunan dan pemuliharaan warisan yang sedang giat dijalankan dalam Tapak Warisan Dunia George Town adalah seperti disenaraikan dalam lampiran.

7. Adalah menjadi harapan kami dan semua rakyat jelata Pulau Pinang bahawa Kerajaan Persekutuan dapat berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama menerajui usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan aset-aset warisan Pulau Pinang agar budaya warisan negara kita dapat diturun-temurunkan kepada generasi-generasi kami yang akan datang serta Tapak Warisan Dunia George Town dapat dimajukan sebagai satu tapak warisan dunia UNESCO yang betul-betul unik, unggul dan bandar warisan hidup (“Living Heritage City”) yang sebenarnya.

8. Segala pemberian sokongan dan kerjasama YB Dato’ Seri dalam penyaluran peruntukan baru ini amatlah dihargai dan dialu-alukan. Jasa baik YB Dato Seri adalah dihargai.

Calon BN gagal selesai masalah Empangan Lowvier

Muhammad Faizal, 16 Jul 2013


BESUT: Kerajaan BN Terengganu didakwa gagal menyelesaikan masalah Empangan Lowvier di Pengkalan Nangka yang hampir runtuh sejak dua tahun lepas akibat dari kerja-kerja pengambilan pasir.

Kegagalan menyelesaikan masalah itu menyebabkan hampir 400 keluarga kerugian kerana gagal menguasahakan 1,000 ekar tanah sawah mereka.

Difahamkan, masalah tersebut turut terkait dengan calon BN Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang ketika itu memegang jawatan sebagai Jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut.

Menurut Anggota Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut, Datuk Abu Bakar Chik, sudah hampir tiga musim penduduk gagal menguasakan tanah sawah mereka menyebabkan keseluruhan petani kehilangan pendapatan kira-kira RM800 ribu semusim.

"Seribu ekar tanah gagal diusahakan akibat dari empangan yang hampir runtuh serta pecah, ini menyebabkan kerugian besar dihadapi penduduk sekitar dan mereka kehilangan punca pendapatan.

"Apa yang paling menyedihkan empangan tersebut pecah ketika calon BN Zaihan masih berkhidmat sebagai Jurutera di JPS Besut sebelum beliau berpindah ke Putrajaya," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Utama PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut hari ini.

Menurutnya lagi, jika Zaihan merasakan beliau sebagai anak jati di Besut, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh dengan bertindak cepat bagi menyelesaikan masalah yang melibatkan sebahagian besar petani di kawasan Kuala Besut.

"Empangan berada di bawah kuasa JPS dan sebagai jurutera Zaihan perlu menyelesaikannya sejak dulu lagi dan bukan sekarang.

"Ini bukannya serangan peribadi tetapi rekod perkhidmatan sebagai kakitangan kerajaan yang berhak diketahui oleh pengundi.

"Ini adalah kerana BN mencanangkan bahawa calonya adalah profesional anak tempatan yang diyakini mampu memberi khidmat dengan lebih baik untuk memajukan Kuala Besut," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Abu Bakar juga turut mempersoalkan tindakan JPS yang membina sebuah empangan sementara dengan membuat benteng pasir di sungai tersebut.

JPS telah membina empangan Lowvier sementara pada 29 November tahun lalu dan dijangkakan siap sepenuhnya pada 8 Ogos 2013.

"Saya pun hairan dengan pembinaan empangan baru, hanya menggunakan benteng pasir ditengah-tengah sungai dan kalau musim banjir saya pasti pasir itu tidak akan bertahan lama.

"Bagi saya Jabatan Alam Sekitar pun tidak akan meluluskan pembinaan empangan tersebut, bagaimana nak lulus kalau hanya letak pasir di tengah-tengah sungai," katanya.

Khuatir ketelusan SPPBS

Mohamad Zamzuarie Bin Mohamad Noor,
Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) telah dilaksanakan dan untuk mengetahui tahap keberkesanan sistem ini pelajar tingkatan 2 pada tahun ini tidak akan lagi mengambil peperiksaan Penilaian Menegah Rendah (PMR) pada tahun hadapan. Sama ada ibu bapa sedar atau tidak dengan perkara ini saya kurang pasti. Yang pastinya, tiada PMR lagi pada tahun 2014.

Adakah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia ada menerangkan dan menghebahkan kepada ibu bapa tentang perkara ini.? Saya tahu ibu bapa ada dimaklumkan tentang SPPBS ini semasa taklimat murid baru, tetapi berapa peratus ibu bapa yang mengambil cakna dan faham terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar? Sebabnya sehingga kini masih ada lagi ibu bapa yang masih tidak sedar dan tahu secara terperinci perlaksanaan sistem ini. Sepatutnya makluman dan hebahan perubahan sistem ini dibuat bukan setakat di sekolah malah perlu juga dibuat melalui iklan di media cetak mahupun media elektronik. Saya amat yakin dan percaya bahawa ramai ibu bapa yang tidak mengetahui kaedah perlaksanaan sistem ini. Sistem penyampaian maklumat harus dipertingkatkan untuk memastikan semua maklumat sampai kepada golongan sasar.

Saya agak kuatir dan was-was dengan tahap ketelusan, integriti dan kebolehpercayaan sistem SPPBS ini. Yang saya ketahui penilaian ini dilakukan oleh guru-guru yang mengajar murid masing-masing. Setakat yang saya ketahui, standard soalan ujian yang dilaksanakan oleh semua sekolah bergantung kepada guru yang mengajar mereka. Bagi pelajar yang tidak dapat menjawab soalan semasa dibuat ujian, pelajar ini akan dibenarkan mengulangi semula soalan bab yang diuji berulang kali sehingga pelajar tersebut dapat menguasai bab yang diuji. Maka terdapat kemungkinan akan wujudnya ”manipulasi” oleh sekolah-sekolah yang mempunyai rekod yang kurang baik untuk meningkatkan prestasi murid-murid mereka. Janganlah nanti kita terkejut bila pencapaian sekolah harian lagi tinggi dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disebabkan perlaksanaan SPPBS ini.

Sistem SPPBS ini diwujudkan pada masa tersebut adalah bagi menutup isu yang menyatakan sistem pendidikan Malaysia hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata. Sepatutnya pelbagai kaedah boleh dilaksakan, sebagai contohnya dengan melihat sistem pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di mana mereka menjalankan sistem peperiksaan dan kerja kursus. Dalam kerja kursus mahasiswa diberikan markah oleh pensyarah melalui tugasan, kuiz, ujian berkala dan sebagainya bergantung kepada IPT. Peperiksaan akhir semester tetap dilaksanakan dan biasanya mewakili 60 peratus-70 peratus daripada markah keseluruhan bergantung kepada subjek dan IPT masing-masing. Dalam SPPBS tiada peperiksaan untuk pelajar tingkatan 3 dan 100 peratus dinilai berasaskan sekolah.

Saya merasakan sistem ini terdapat banyak kelemahan dan memerlukan kajian yang lebih terperinci, janganlah hanya ”indah khabar dari rupa” disebabkan untuk transformasi pendidikan langkah ini dibuat secara tergesa-gesa. Saya amat percaya dan yakin sekiranya dibuat soal-selidik dalam kalangan guru persoalan yang diutarakan oleh saya ini ada benarnya. Saya juga amat percaya masih ada lagi pelaksana dasar ini iaitu guru masih lagi ada yang kabur dan kurang jelas tentang perlaksanaan sistem ini. Ini belum lagi mengambilkira sistem online yang masih lagi bermasalah hingga kini. Usahlah menafikan kebenaran semata-mata untuk ”menjaga kerusi” masing-masing.

Sebagai contohnya, sekiranya ada pelajar yang dimanipulasikan keputusan ini berjaya memasuki SBP mahupun MRSM di tingkatan 4, apa yang akan terjadi kepada generasi ini bila menghadapi SPM? Akhirnya negera yang akan rugi disebabkan kesilapan kita sendiri sekiranya kita tidak melihat balik kepada komen-komen dan ulasan-ulasan yang diutarakan oleh warga pendidik mahupun masyarakat.

Tiada ulasan: