Isnin, 22 Julai 2013

JANGAN TERLEPAS PANDANG KITA NI ADALAH HAMBA ALLAH...WAJIB TAAT BUKAN MENENTANG ATAU ENGKAR PADA ALLAH SWT

Rakyat Kuala Besut boleh cipta sejarah dunia - Mahfuz

Muhammad Faizal, 22 Jul 2013
BESUT: Kuala Besut bakal dicipta sejarah baru politik dunia dalam perubahan perimbangan kuasa kerajaan jika pengundi Kuala Besut melakukan perubahan pada 24 Julai nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) ketika ditemui memberitahu rakyat Kuala Besut perlu mengambil peluang untuk memastikan sejarah politik dunia ini dicipta.

Malah katanya, kedudukan kerusi 16:16 ini akan menguji kebijaksanaan pemimpin politik Terengganu dalam mengendalikan urus tadbir kerajaan negeri untuk lebih baik.

"Sejarah bakal dicipta, rakyat Kuala Besut perlu rebut peluang jika mahu ia terlaksana.

"Selain itu juga kedudukan kerusi 16:16 menguji kebijaksanaan pemimpin politik Terengganu dalam mengurus tadbir negeri untuk menjadi lebih baik," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz yang turut menyatakan kedudukan Menteri Besar tidak pernah dipersoalkan kerana sebarang keputusan yang akan dibuat nanti pada sebarang urus tadbir negeri akan merujuk kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat.

Dalam pada itu, Mahfuz juga memberitahu rakyat sudah boleh menerima kedudukan kedudukan kerusi 16:16 setelah mendapat penjelasan, yang berada dalam keadaan cemas adalah Barisan Nasional (BN).

"Pada awalnya rakyat tidak memahami apa sebenarnya 16:16, setelah penjelasan kita berikan mereka mula memahami dan dapat menerimanya.

"Cuma yang berada dalam keadaan cemas adalan BN dan kepimpinan Umno kerana mereka tidak lagi dapat membuat keputusan mengikut sesuka hati mereka," jelasnya.

Beliau yang turut menafikan akan menyebabkan sesuatu keputusan atau enakmen tidak dapat diluluskan jika Pakatan Rakyat dan BN berada dalam kedudukan kerusi yang sama di Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Untuk membuat sesuatu keputusan atau pindaan enakmen perlu persetujuan semua dan bukannya mengikut suka hati.

"Setiap pihak akan berbahas bagi memastikan perubahan atau pindaan enakmen itu yang terbaik untuk rakyat sebelum ia diluluskan, jadi tidak timbul ia tidak akan diluluskan," jelasnya.

Mahfuz memberitahu setiap keputusan di dalam Dun akan dibincang dan dipantau oleh 16 pemimpin yang dipilih oleh rakyat, politik baru di Terengganu ini akan mewujudkan senario baru pentadbiran yang lebih adil dan telus.

TPP: Rakyat perlu tahu kos dan keuntungannya

Institut Rakyat, 22 Jul 2013
Semenjak hari Isnin minggu lalu, Malaysia dan 11 pihak yang terlibat dalam rundingan pelaburan dan perdagangan Trans-Pacific Partnership (TPP) bertemu lagi dalam pusingan ke 18 di Kota Kinabalu untuk meneruskan proses rundingan bagi perjanjian yang penuh kontroversi tersebut. Selain daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat dan Vietnam, Jepun merupakan pihak terbaharu yang menyertai rundingan plurilateral ini.

Kota Kinabalu telah dipilih sebagai lokasi pertemuan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya protes. Sebagai peneraju utama rundingan ini, Amerika Syarikat sememangnya sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kesan publisiti negatif.
Namun, pilihan lokasi tersebut bukanlah penghalang bagi rakyat yang prihatin.

Mereka yang berdemo di Kota Kinabalu pada hari Sabtu lepas telah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum didakwa di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012.
Kritikan telah timbul kerana intipati rundingan tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan rakyat daripada kebanyakkan 12 negara yang terlibat  bimbang bahawa TPP bakal mengancam kedaulatan ekonomi negara mereka.

Walaupun TPP dijenamakan sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA), tetapi bukan hanya isu berkaitan perdagangan yang menjadi topic utama rundingan. Rundingan berkaitan dengan perdagangan sepatutnya fokus kepada tarif dan halangan-halangan memasuki sesuatu pasaran, teras utama World Trade Organisation (WTO) yang mana TPP bakal menggantikannya.

Rundingan TPP merangkumi 29 perkara, termasuklah bagaimana pelaburan dikawal-selia , hak-hak syarikat milik kerajaan (atau lebih dikenali sebagai GLCs di Malaysia), industri kecil dan sederhana (IKS), piawaian makanan (yang mungkin menjejaskan kawalan ketat dalam industri halal), hak perlindungan intelektual dan paten – yang mungkin mengakibatkan kenaikkan harga ubat-ubatan – dan perkara yang paling dirisaukan adalah hak dan kelonggaran yang bakal dinikmati Syarikat Multi-Nasional (MNCs) untuk menyaman negara tuan rumah.

Sebagai contoh, perkara terakhir yang disebut dalam senarai kegusaran ramai ini bakal menyekat hak kerajaan untuk mengekang atau langsung mengusir syarikat-syarikat yang memudaratkan persekitaran dan masyarakat, seperti LYNAS Corp.

Para pengkritik dasar Barisan Nasional yang menggalakkan kontrak kroni dan kedudukan dominan GLCs mungkin melihat TPP sebagaisuatu cara untuk menstruktur semula ekonomi di Malaysia.

Syarikat asing bakal memdapat peluang yang  saksama atau mungkin lebih berbanding syarikat tempatan. Ini akan memaksa syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing agar kekal teguh, sekaligus merangsang persaingan sihat dalam pasaran tempatan.

Walaubagaimanapun, campurtangan asing bukanlah jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah di Malaysia. Memberikan terlalu banyak hak kepada syarikat gergasi asing bakal merencatkan pembangunan usahawan tempatan sepertimana kepincangan sistem kroni.

Sekiranya para perunding tidak berhati-hati, TPP bakal mengakibatkan kegagalan ekonomi yang lebih dahsyat daripada sistem kroni kerana, ruang dan fleksibiliti bagi para penggubal dasar dalam membentuk halatuju ekonomi Malaysia berlandaskan kepentingan rakyat kemungkinan besar akan mengecil dengan drastik sekali.

Kekangan-kekangan sebegini akan dirasai oleh kerajaan sekarang dan mana-mana kerajaan pada masa hadapan. Sayugia diingatkan bahawa kejayaan syarikat-syarikat besar dari Jepun dan Korea Selatan adalah hasil kombinasi dasar afirmatif dan perlindungan, sepertimana sedia maklum, hak yang kita tidak seharusnya nafikan bagi syarikat-syarikat milik Malaysia yang layak.

Sebagaimana Ha-Joon Chang, seorang pakar ekonomi daripada Universiti Cambridge pernah simpulkan, kesemua negara-negara perindustrian baharu telah berjaya hasil dasar-dasar seumpama ini terutamanya di peringkat awal pembangunan.

TPP juga dilihat sebagai cubaan Amerika Syarikat untuk mengekang pengaruh  negara Cina, yang tidak terlibat dalam rundingan ini, di rantau Asia-Pasifik.

Sememangnya sekarang, Malaysia telah pun menikmati hubungan dagang yang baik dengan Amerika Syarikat dan Cina. Sebagai contoh, sepanjang lima bulan pertama 2013, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia (14.3%), manakala Amerika Syarikat (8.1%) berada di tangga kelima.

Institut Rakyat berpendapat bahawa Malaysia harus berwaspada dalam setiap tindakan yang diambil supaya Malaysia tidak menjadi pelanduk yang tersepit mati di tengah-tengah apabila dua gajah sama berjuang.

Para pemerhati yang arif bersetuju bahawa pendekatan Amerika Syarikat bagi sebarang FTAs lebih didorong oleh cita-cita geopolitik mereka berbanding kepentingan ekonomi. Amerika Syarikat mempunyai rundingan FTA hanya dengan 3 daripada 10 rakan perdagangan terbesar mereka.

Kebanyakkan daripada rakan FTA terbesar Amerika Syarikat merupakan negara yang menjalin hubungan ketenteraan, seperti Israel, Jordan, Korea, Singapura dan negara-negara Amerika Tengah.

Kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah sememangnya berlumba-lumba untuk menandatangani FTA dengan negara-negara Asia Pasifik, supaya mereka tidak ketinggalan di dalam ‘Great Game’ dunia politik abad ke 21.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menuntut agar kerajaan Malaysia mendedahkan analisa kos-faedah (CBA) yang dibuat sebelum menyertai rundingan TPP.

Tiada perunding patut menyertai sebarang rundingan tanpa perpektif atau wawasan yang jelas mengenai untung-rugi. Walaupun Kementerian Industri & Perdagangan Antarabangsa (MITI) berjanji untuk menyerahkan laporan penilaian TPP yang diselaraskan oleh United Nations Development Programme (UNDP) dalam masa dua minggu selepa mesyuarat di antara wakil MITI dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Institut Rakyat diadakan pada pertengahan bulan Jun 2013,  namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat yang telah diterima.

Malaysia perlu menimbangtara di antara peluang dan kos dari sudut ekonomi dan politik sebelum menandatangani sebarang perjanjian. Kerajaan Malaysia yang begitu berbangga dengan sistem demokrasi perwakilannya harus telus dengan rakyat mengenai TPP memandangkan perjanjian tersebut akan memberi impak terhadap masa depan Malaysia di rantau Asia-Pasifik.

Azalina, Shahrizat: Pilih satu atau tolak kedua-dua

Harakahdaily, 22 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Sama ada mengekalkan Shahrizat Jalil atau memilih Azalina Othman Said sebagai Ketua Wanita Umno yang baru, masalah Wanita Umno sebenarnya tidak akan selesai dan tidak juga mampu menjadi cerminan bahawa pergerakan itu menjadi lebih cantik dan menarik.

“Shahrizat ada bebannya yang tersendiri, begitu juga dengan Azalina,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Justeru, baginya untuk menyolek dan menghias dirinya menjadi lebih menarik, Wanita Umno sebenarnya perlu mencari pemimpin baru yang bukan saja berwibawa tetapi juga tidak mempunyai beban yang dibawa bersamanya ke dalam pergerakan itu.

Menurutnya, mereka yang layak itu boleh dicari di kalangan Exco Wanita Umno atau pun yang di luar daripadanya.

“Tetapi sehingga ini rasanya gandingan Halimah Siddiqe dan Norian Kasnon yang mana kedua-duanya sudah menjadi timbalan menteri dan Ahli Parliman, boleh dipertimbangkan untuk memberi nafas baru kepada pergerakan itu,” tulisnya lagi.


Baca lagi

Pengundi Kuala Besut penting untuk rakyat T’ganu

Salmiyah Harun, 22 Jul 2013
BESUT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu kepada pengundi Kuala Besut agar mengundi calon PAS pada 24 Julai ini kerana kerusi ini penting bukan kepada PAS tetapi rakyat Terengganu khususnya.

Katanya, kemenangan PAS bagi kerusi ini menjadikan kedudukan kerusi Dun Terengganu 16:16 seterusnya akan mendesak berlaku pilihan raya negeri.

Malah katanya, jika sekiranya rakyat Kuala Besut mahukan manfaat yang berterusan dan melimpah ruah mereka harus memastikan PAS menang di kerusi ini.

"Kalau setakat pilihan raya kecil, ia.akan habis macam itu sahaja. Kalau ada pilihan raya lagi maka  mencurah-curahlah wang datang," katanya ketika berceramah di UPU Bukit Puteri malam tadi.

Ekoran ini, Anwar percaya rakyat Terengganu dan Kuala Besut bukan sahaja dapat lebih banyak manfaat bahkan empat kali BR1M pun mereka akan dapat selepas ini.

Tegasnya, rakyat Kuala Besut harus ketepikan siapa PAS dan siapa Umno untuk kali ini kerana di kesempatan inilah menteri-menteri turun menabur 'gula-gula' pilihan raya dengan janji projek ratusan juta.

Jelasnya, kemenangan ini akan mengubah sejarah politik dan Terengganu akan menjadi tumpuan dunia sekiranya keputusan nanti 16:16.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika bercermah berkata, jika pengundi di sini perlukan habuan pilihan raya yang banyak mereka harus tolak BN dalam pilihan raya Rabu ini.

"Kalu nok barang banyok kena kalahkan Umno. Biar dio kaloh baru BN bawak barang banyok ko kito. Nak suruh banyok lagi peruntukan kena kalahkan Umno biar pembangkang di Ganu kuat," katanya dengan loghat Kelantan di hadapan hampir 1,000 pegundi dalam sesi ceramah berkelompok malam tadi.

Jangan jadi hamba semata-mata mahu bantuan BN - Anwar

Harakahdaily, 22 Jul 2013

(Anwar berucap membantu kempen PAS di Tok Saboh malam tadi - gambar The Malaysian Insider)

KUALA BESUT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut supaya tidak menjadi hamba BN semata-mata kerana mahu bantuan dari mereka.

"Pengundi Kuala Besut jangan jadi hamba dengan bantuan-bantuan BN. Pasal apa Umno curah banyak wang?

"Sebab nak menang, kalau kalah peta politik akan berubah, gugat kuasa politik Umno," katanya depan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut malam tadi, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Umum PKR itu berkata, pengundi boleh mengambil bantuan yang diberi BN tetapi perlu berfikir sebelum mengundi kerana BN didakwanya bakal menindas mereka.

"Kerana miskin, tak salah dapat RM500, RM200 tapi salah kalau dapat RM500, jadi hamba kepada pemerintah.

"Kalau kata perlu undi BN untuk dapatkan bantuan, itu tidak masuk akal. Perlu tanya diri sendiri, kita ada pilihan," katanya pada ceramah menggunakan lori kecil yang dihiasi lampu warna-warni sebagai pentas.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa.

BN setakat ini sudah mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggarkan bernilai RM387,490,750.

Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PAS pula mendakwa semua projek itu hasil perjuangan dan kempen PAS selama ini yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan.

Sebaliknya, Anwar berkata, pengundi Kuala Besut harus mengambil peluang pilihan raya kecil (PRK) untuk mewujudkan kerajaan setara antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Menyeru pengundi memberi sokongan kepada Endut@Azlan Yusof, calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long di Kuala Besut, beliau yakin PAS mampu mengulangi kemenangan pada 1999.

"Siapa kata ini kawasan Umno? Tidak. Tahun 1999 dahulu PAS menang. Cuma, kita perlu tanamkan kekuatan itu," katanya merujuk kemenangan ke atas Terengganu hingga membentuk kerajaan negeri pada tahun berkenaan.

Anwar juga tidak menolak kemungkinan BN akan mengadakan pilihan raya semula jika PAS menang kerusi itu yang sebelum ini dimenangi BN melalui calonnya, Dr Abd Rahman Mokhtar.

Tiada ulasan: