Rabu, 24 Julai 2013

INSYAALLAH...INSYAALLAH ....BERDOLAH TERUS DISAMPING TIDAK MENINGGALKAN USAHA...KEMUDIAN TAWAKAL

Pemuda PAS promosi petrol percuma

Khairul Azlam Mohamad, 23 Jul 2013


BESUT: Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Pemuda PAS Malaysia menggunakan medan kempen pilihan raya ini bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti bersifat kebajikan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata jika rakyat memberi mandat kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah Terengganu, konsep ‘Negara Berkebajikan’ akan dilaksanakan di negeri ini.

“Jika sekiranya rakyat memberi mandat kepada PAS khasnya dan amnya Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri Terengganu ini. Maka, kita (PAS) akan melaksanakan konsep ‘Negara Berkebajikan’.

“Kita cuba untuk mengaplikasikan segala aktiviti-aktiviti bersifat kebajikan dan ianya akan menjadi simbolik bahawa kita sedang mempromosikan atau mempopularkan apa yang telah menjadi slogan Negara Berkebajikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program Petrol Percuma Motosikal Sahaja 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang tadi di sebuah stesen minyak di Kampung Nail, anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menafikan aktiviti mengagihkan minyak petrol percuma tersebut berbentuk rasuah kerana diberikan kepada semua rakyat.

Katanya, Pemuda PAS mempromosikan konsep tersebut melalui aktiviti simbolik dengan memberikan petrol percuma kepada semua penunggang motosikal.

“Ini bukan rasuah, sebab apa yang kita (Pemuda) lakukan pada hari ini satu daripada simbolik. Kita (PAS) tidak memaksa atau membuat suatu pertaruhan jika mereka (rakyat) hendak minyak mereka kena undi kami, tidak.

“Kita ‘open’, kita (PAS) terbuka malah ada yang kita lihat tadi penunggang motosikal yang memakai baju Barisan Nasional juga datang mengisi minyak percuma yang ditaja oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia.

“Sebab ini adalah aktiviti terbuka, aktiviti umum. Ini mempromosikan konsep kebajikan yang dicanangkan oleh PAS selama ini,” jelasnya.

Hadir sama pada program tersebut Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

PAS ada peluang jika pengundi luar pulang

Harakahdaily, 23 Jul 2013

(Kempen Che Long di Pulau Perhentian...kepulangan pengundi luar menjadi faktor yang bakal menentukan menang kalah PAS dalam pilihan raya kecil ini.


KUALA LUMPUR: PAS berpeluang menang di pilihan raya kecil Kuala Besut jika berjaya membawa pulang semua pengundi luar yang ada di dalam pilihan raya ini di samping memujuk pengundi muda untuk mengundinya.

Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre dari 18 hingga 21 Julai 2013 ke atas 546 respondan dari lapan peti undi dalam Kuala Besut mendapati, populariti calon PAS sangat tinggi berbanding calon BN.

"Kajian ini  yang diadakan pada 18 sehingga 21 Julai 2013 menunjukkan populariti calon PAS  jauh mendahului 71 peratus berbanding 14 peratus bagi calon BN," kata Mohamad Hisomudin Bakar, Pengarah Eksekutif Ilham Centre berdasarkan kajian yang dibuatnya.

Walaupun calon PAS popular tetapi kajian Ilham mendapati, faktor pengundi luar yang terdedah kepada media baru bakal menentukan keputusan pilihan raya ini.

"Jika PAS tidak berjaya membawa balik pengundi luar ini, kami jangka majoriti BN akan meningkat," kata Hisomudin.

Ilham Centre mempunyai reputasi yang baik dalam kajian pra pilihan raya ekoran hampir kesemua ramalan badan ini dalam pilihan raya kecil musim lalu hampir tepat.

Kira-kira 17,000 pengundi Kuala Besut akan mengundi 24 Julai esok di lapan pusat mengundi seluruh pekan yang terkenal dengan pelancongan itu. Pengundian akan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang.

SPR menjangkakan, keputusan rasmi dijangka akan diperolehi jam 10.30 malam ekoran bulan Ramadhan namun keputusan tidak rasmi dijangka akan mula diterima sekitar jam 7.30 malam.

PAS turun sebagai underdog dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut ini selepas kalah dengan majoriti agak besar dalam PRU12 yang lalu iaitu 2,400 undi.

Penampilan  Che Long  sebagai calon PAS bagaimanapun  menjadikan pertembungan adalah sengit dan sukar diramal.

Walaupun Che Long sangat popular namun kekuatan imej Che Long ini kelihatan tidak dapat diterjemahkan kepada bentuk undi  oleh responden atas beberapa faktor yang lebih dominan, lapor Ilham Centre.

Sejarah pertembungan radikal dan ekstrim PAS – UMNO suatu ketika dahulu yang menyaksikan isu yang kontroversi seperti kafir-mengkafir dan sembahyang dua imam masih membayangi pengundi.

Penampilan Che Long yang mewakili PAS yang dilihat membawa imej kebajikan untuk semua dan perwatakan rentas  parti belum berjaya memadamkan legasi lama ini. 

Sikap responden yang memberi wajaran tinggi kepada soalan-soalan positif tentang Che Long  perlu diberi perhatian.

51.2 pengratus responden misalnya bersetuju bahawa Che Long adalah seorang peniaga yang cukup dermawan manakala 65.1 peratus menerima Che Long sebagai  seorang yang ramah dan mudah mesra.

Kekuatan figura Che Long berdepan dengan dilema pengundi untuk diterjemahkan kepada  bentuk undi, kata Ilham.

"Kempen agresif dan mewah oleh jentera Barisan Nasional membelenggu  pertimbangan rasional pengundi di sini. Elemen bantuan rakyat dimanipulasi sepenuhnya oleh  jentera kerajaan dalam pelbagai bentuk sama ada bersifat one off hinggalah kepada janji-janji  yang mengikat minda pengundi," lapor Ilham.

Kebanyakan responden mengakui terpengaruh dengan  manipulasi ini sehinggakan peratus prediksi kemenangan memihak kepada Barisan Nasional mendahului sebanyak 69 peratus berbanding hanya 13 peratus kepada PAS.

Hit N Run Muslimat PAS meriahkan hari terakhir

Hazayani Zakaria, 23 Jul 2013


KUALA BESUT: Hari terakhir kempen PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Kuala Besut dimeriahkan lagi dengan kewujudan 'gelombang hijau' muslimat di seluruh kawasan mengundi.

Jentera kempen muslimat berpakaian serba hijau berdiri di tepi-tepi jalan utama sambil mengedarkan risalah kempen dan poster calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long kepada kenderaan yang lalu-lalang.

Program yang dinamakan 'Hit N Run'anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) itu bermula jam 8.30 pagi tadi dan dijangka tamat pada jam enam petang selepas selesai melawati kesemua tujuh unit peti undi (UPU) tidak termasuk satu UPU di Pulau Perhentian.

Pelbagai respons dapat dilihat daripada pemandu kenderaan yang melewati mereka.

Ada yang membunyikan hon tanda memberikan sokongan dan mengambil risalah yang diedarkan dan ada juga yang berlalu begitu sahaja.

Sementara beberapa kumpulan berdiri di sepanjang jalan utama mempamerkan poster calon, satu kumpulan lagi mengadakan ceramah bergerak menaiki pacuan empat roda.

Enam orang penceramah bergilir-gilir merayu undi menggunakan pembesar suara antaranya Ketua Penerangan DMPP Aiman Athirah Al Jundi, ahli jawatankuasa kerja DMPP Normala Sudirman dan Kintan Man serta ahli jawatankuasa DMP Johor Anis Afida Mohd Azli.

Mereka mengajak pengundi-pengundi keluar mengundi pada esok hari dan memilih Che Long bagi memenangkan PAS.

Cara ini menarik perhatian penduduk dan pengguna jalan raya.

Di sepanjang jalan, poster-poster calon serta bendera-bendera PAS dan BN semakin bertambah.

Tempoh berkempen yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berakhir sebelum jam 12 tengah malam ini.

Awas, jangan tertinggal anak dalam kenderaan

Harakahdaily, 23 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati ke atas tragedi yang menimpa kepada adik Nawal Iris Samsudin, 3, yang meninggal dunia akibat lemas dalam kereta setelah ditinggalkan ibunya secara tidak sengaja di sebuah sekolah di Subang Jaya beberapa hari yang lalu.

Kanak-kanak ini ditinggalkan selama lima jam dalam kereta sebelum disedari oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia kemudiannya.

“DPPM menganggap kejadian ini sebagai suatu tragedi yang menyedihkan. Apa yang berlaku adalah suratan yang menimpa ke atas kanak-kanak malang itu dan keluarganya,” ujar Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan inginkan kejadian seperti itu menimpa anaknya namun itulah yang berlaku ke atas keluarga itu.

Kejadian itu, ujarnya menjadi suatu pengajaran berharga kepada semua ibu bapa agar sentiasa mengawasi keselamatan anak-anak.
Jelasnya, anak-anak adalah permata yang paling berharga, dan ibu bapalah yang diamanahkan menjaga mereka.
“Setiap pergerakan anak-anak perlu dipantau, diawasi dan diketahui supaya mereka tahu perkembangan anak-anak,” ujarnya.
DPPM, katanya merasakan insiden seperti ini boleh dielakkan sekiranya ibu bapa mengetahui pergerakan anak-anak di samping sentiasa memerhatikan keadaan kenderaan mereka sebelum meninggalkannya di kawasan parkir.
Seharusnya, kata beliau sebelum meninggalkan kenderaan, setiap orang melihat di dalam kenderaannya supaya tidak ada barang berharga atau orang yang tercicir di dalamnya. Ia boleh mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk tertinggal anak atau insan yang disayangi di dalam kenderaan selain mengelakkan kejadian pecah kereta atau jenayah kecurian berlaku.

Selain itu, beliau mengingatkan ibu bapa tidak boleh meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan atau dimatikan kerana boleh mengakibatkan kenderaan mereka di bawa lari perompak atau anak-anak terkunci di dalam kenderaan.

Katanya, kecuaian dan sikap culas ibu bapa dalam menguruskan keluarga terutama anak-anak boleh menyebabkan malapetaka terhadap keluarganya.

“Amalkan sikap berhati-hati dan teliti dalm setiap perkara kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan menjaga keharmonian keluarga,” katanya.

NGO Kluster Pembinaan Melayu bantah TPPA

Harakahdaily, 23 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu berpandangan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) bukanlah satu keperluan yang mustahak buat masa ini memandangkan Malaysia telahpun menandatangani perjanjian perdagangan dua hala dengan banyak negara ahli TPPA.

Gabungan itu menyatakan Malaysia pernah menolak FTA dengan Amerika pada tahun 2007, namun sehingga kini Amerika masih tetap merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

“TPPA tidak terbukti boleh menjana pendapatan yang lebih baik buat Malaysia, tetapi perjanjian ini sudah hampir pasti akan mengekang peluang serta kebebasan yang sedang dikecapi,” ujar Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Kami selaku Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu; dengan ini bersepakat bahawa penyertaan Malaysia di dalam Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) harus diberhentikan serta-merta berdasarkan resolusi yang telah dipersetujui bersama seperti berikut:

1.  TPPA tidak akan dapat menguntungkan kontraktor, pembekal, pengilang dan kumpulan profesional pembinaan Melayu terutamanya dan Malaysia amnya.  Senario semasa telah menunjukkan betapa sengitnya persaingan sesama kontraktor dan pembekal tempatan, apatah lagi sekiranya peluang-peluang ini dibuka pula kepada syarikat asing. Manakala peluang untuk berniaga di negara-negara anggota TPPA hampir tidak pernah wujud lantaran pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan. Sekiranya TPPA benar-benar berpotensi, data-data mengenainya tidak pernah diumumkan, bahkan intipati TPPA yang penuh berahsia ini dilihat terlalu memihak kepada pelabur dan syarikat asing. Tanpa maklumat yang lebih terperinci daripada MITI, kami lebih percaya bahawa TPPA mahu menutup terus pintu rezeki syarikat tempatan, sebaliknya akan membuka seluas-luasnya akses perniagaan kepada entiti asing yang mempunyai keupayaan modal dan sokongan lebih baik. Tidak ada data dan keyakinan bahawa pasaran untuk syarikat pembinaan di Malaysia dapat terbuka kepada negara-negara TPPA khususnya US, Singapura, Canada, New Zealand dan sebagainya malahan pasaran tempatan boleh dikuasai mereka.

2.  Kami berpandangan bahawa TPPA bukanlah semata-mata berkaitan perdagangan bebas atau pembukaan pasaran, tetapi satu bentuk penjajahan baru yang cuba mengawal akses, mengaut untung dan menghukum Malaysia sekiranya enggan bekerjasama. 29 bab yang sedang dirundingkan bukan lagi bersangkut paut dengan perdagangan, tetapi turut cuba merombak perundangan negara agar lebih ‘pro-syarikat multinasional’.  Kesan-kesan buruk perjanjian multilateral seperti kemasukan bahan binaan pada harga yang terlalu murah bakal mengancam kedudukan pembekal tempatan. Kontrak-kontrak kerajaan akan membenarkan penyertaan terus syarikat asing, tertutupnya peluang pekerjaan kepada kumpulan pengurusan dan profesional (penggunaan tenaga buruh tempatan sudah lama tertutup), kenaikan nilai hartanah yang tidak mampu dimiliki rakyat tempatan lantas memaksa mereka berhijrah ke luar bandar, pemilikan ekuiti asing tanpa had, tiadanya kawalan terhadap aliran keluar-masuk tunai oleh syarikat asing serta ancaman berterusan negara kepada tindakan undang-undang, hanya kerana cuba mahu menjaga nasib kontraktor tempatan.

3.  Kami turut mempertikaikan kelayakan serta integriti para perunding TPPA Malaysia yang telah diamanahkan, terutamanya daripada MITI sebagai ketua perunding.  Kealpaan dan sikap tidak profesional mereka amat mengecewakan.  Sekiranya benar ada proses konsultasi sebagaimana yang didakwa MITI, ia sudah amat terlewat dan tidak mampu memberi apa-apa kesan signifikan terhadap perjanjian.  Lebih memburukkan keadaan apabila jawapan serta alasan yang diberikan amat memihak kepada pelabur asing.  Sebagai rakyat Malaysia, kami kecewa kerana wakil perunding kerajaan dilihat lebih cenderung melayan kehendak dan permintaan negara asing khususnya Amerika sepertimana permintaan mereka dalam FTA-FTA US sebelum ini dari mahu melindungi hak serta kepentingan warganegara. Perunding-perunding Malaysia kelihatan tergopoh-gapah mahu mempercepatkan rundingan. Kami mendesak agar pasukan perunding TPPA ditukar dengan individu yang lebih cekap, matang, berkelayakan dan prihatin kepada nasib semua pihak, bukan sesetengah golongan sahaja.

4.  Kami berpandangan TPPA bukanlah satu keperluan yang mustahak buat masa ini memandangkan Malaysia telahpun menandatangani perjanjian perdagangan dua hala dengan banyak negara ahli TPPA.  Malaysia pernah menolak FTA dengan Amerika pada tahun 2007, namun sehingga kini Amerika masih tetap merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.  TPPA tidak terbukti boleh menjana pendapatan yang lebih baik buat Malaysia, tetapi perjanjian ini sudah hampir pasti akan mengekang peluang serta kebebasan yang sedang dikecapi.  Dengan TPPA, dasar-dasar kerajaan yang mendahulukan rakyat akan terpaksa dirombak berikutan ancaman tindakan saman daripada syarikat-syarikat transnasional yang hanya mementingkan keuntungan.  Malaysia juga harus memberi lebih perhatian dan usaha untuk menjayakan ASEAN Single Market yang lebih sejiwa dan dinamik sifatnya.  Kami bersetuju bahawa TPPA akan merencatkan kemajuan ASEAN sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Filipina Cesar V. Purisima.

5. Impak yang lebih buruk melalui TPPA secara jangka panjang bukan hanya melibatkan  pihak swasta / usahawan sahaja malah pihak kerajaan dan generasi akan datang akan turut terkesan.

Kami mendesak Malaysia untuk keluar daripada rundingan TPPA serta-merta sebelum terlambat.  Kita tidak akan menanggung apa-apa kerugian tanpa menganggotai TPPA, bahkan kita yakin bahawa peluang-peluang yang lebih besar, saksama dan bermakna masih terbuka luas, tanpa perlu menggadai maruah dan kedaulatan ibupertiwi.

Gagasan Persatuan NGO-NGO Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM):

Senarai nama persatuan:

1.    Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)
2.    Persatuan Pengeluar, Pembekal Dan Pengedar Bahan Binaan Bumiputera Malaysia (PPBM)
3.    Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (ARKIM)
4.    Persatuan Pengusaha Kayu Kayan Dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA)
5.    Persatuan Kontraktor-Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM)
6.    Persatuan Pengilang,Pembekal, Kontraktor Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal Dan ICT Melayu Dan Bumiputera Malaysia (PERKEM)
7.    Gabungan Jurutera Perunding Bumiputra Malaysia (GJPBM)
8.    Persatuan Perunding Jurukur Bahan Melayu Malaysia (PPJBMM)
9.    Persatuan Pengilang Bahan Binaan Bumiputera Malaysia (PERBINA)
10.  Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan Dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP)
11.  Persatuan Kontraktor Jentera Melayu Malaysia (PKJMM)

Tiada ulasan: