Rabu, 17 Julai 2013

YANG LEMAH SERTA TAK BERKUASA TERUS TERTINDAS

4 penyokong Morsi terkorban digempur polis di Ramsis

Harakahdaily, 17 Jul 2013
MESIR: Sekurang-kurangnya empat terkorban dalam serangan pihak polis terhadap penyokong Dr Muhammad Morsi di Ramsis semalam.

Penyelaras Hospital awam dataran Raba'ah, Dr.Hisyam Ibrahim berkata, selain korban itu, lebih 300 lagi cedera.

"Angka kematian serangan polis semasa umat Islam sedang solat terawih di Ramsis meningkat kepada 4 kematian sementara lebih 300 orang cedera," katanya.

Dalam kejadian malam semalam, polis menggempur lebih 10,000 penyokong Morsi ketika sedang bersolat terawih di Masjid Al-Fath Ramsis.

Bukan sahaja gas pemedih mata dan pancutan meriam air, polis juga didakwa turut menggunakan peluru hidup.

Polis turut didakwa menggunakan khidmat samseng upahan (baltoji) mengepung mereka yang cuba menyembunyikan di dalam masjid beberapa jam.

Lebih 1,000 orang termasuk wanita terperangkap dalam masjid kerana dikepung.

Imam masjid berkenaan ketika memberitahu Aljazeera berkata, kesemua jemaah yang terperangkap dikepung sehingga awal pagi dan mereka tidak dapat bersahur.

Di luar masjid pula katanya, pihak polis berkeliaran membawa senjata keras dan senjata tajam.

Kejadian ini sekaligus mengulangi tragedi Subuh berdarah minggu lalu yang menyaksikan lebih 50 penyokong Morsi terkorban di Dataran Raba'ah.

Hari ini masuk hari ke 12 selepas presiden sah Dr Muhammad Morsi dijatuhkan melalui rampasan kuasa oleh tentera.

Demostrasi bantahan terus meningkat di Keherah khususnya di Dataran Raba'ah, Nahda Square, Giza Square, bundaran Monib, bangunan Kelab Pengawal Republik , Ramsis dan Istana Negara 'Ettihadiyah'.

Kos Najib ke luar negara RM44 juta, apa hasilnya

Hazayani Zakaria, 17 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membelanjakan hampir RM44.071 juta untuk rombongan ke luar negara dalam tempoh lima tahun bermula Mac 2008 hingga Mei 2013.

Demikian dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawatan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Kor Ming berkata jumlah itu bersamaan dengan perbelanjaan RM8,814,200 untuk tempoh setahun atau RM734,516.67 untuk tempoh sebulan.

"Perbelanjaan ini sangat tinggi, kita mahukan penjelasan daripada Perdana Menteri.

"Daripada hasil rombongan ini, apakah hasilnya kepada negara," katanya.

Kor Ming turut mempersoal perbelanjaan Najib yang sangat tinggi berbanding mantan Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang membelanjakan RM30 juta bagi rombongan ke luar negara.

"Kenapa perdana menteri sekarang belanja terlalu mewah.

"Kita harap Datuk Seri Najib menunaikan janji beliau untuk menjalankan dasar transformasi yang beliau uar-uarkan selama ini, sepatutnya Najib berhemah ketika belanja," katanya.

PAS cabar Muhyiddin arah MB T'ganu batal beri tanah

Buletin Online, 17 Jul 2013



BESUT: PAS hari ini mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mengarahkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said supaya membatalkan pemberian 2.5 ekar tanah (satu hektar) kepada semua wakil rakyat yang telah didedahkan baru-baru ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Datuk Tengku Hassan Omar, sidang media PAS pada hari Isnin, 15 Julai lalu, telah mendapat jawab balas daripada Menteri Besar Terengganu sebagaimana dilaporkan dalam Utusan Malaysia, The Malay Mail.

Oleh itu, beliau berkata, PAS mahu memperjelaskan tentang kedudukan isu rampasan tanah rakyat di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tok Saboh oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), apabila kembali berkuasa semula pada tahun 2004.

Katanya, beliau yang juga mantan Pengarah Tanah dan Galian negeri menafikan dakwaan Ahmad yang telah menuduh kerajaan PAS ketika itu tidak melakukan pemberian hak milik tanah secara mengikut prosedur.

"Kami ingin membuat penjelasan bahawa segala prosedur telah diikuti dengan sepenuhnya mengikut tatacara yang disebut di dalam Kanun Tanah Negara (KTN) (dan) untuk mempercepatkan proses pelupusan tanah kerajaan telah menggunakan khidmat juruukur swasta. Kita telah berjaya mengukur lebih kurang 60,000 tapak rumah dan tapak pertanian untuk agihan kepada rakyat yang berhak.

"Dalam kes tanah di Kuala Besut sebenarnya tanah telah diberi milik secara Lesen Mendudukki Semntar (TOL, LMS). Lesen-lesen itu malangnya
telah dibatalkan oleh kerajaan BN tanpa apa apa sebab yang menasabah," jelas Tengku Hassan.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PAS sepanjang kempen Pilihan raya Kecil Dun Kuala Besut, di Markas Tarbiah PAS Kampung Baru, di sini hari ini.

Menurutnya, amat menyedihkan, apabila tanah-tanah itu dirampas kerajaan tidak membayar apa-apa pampasan dengan alasan bahawa tanah ini adalah masih tanah kerajaan.

Namun katanya, walaupun tidak ada peraturan yang menuntut kerajaan supaya membayar, tetapi tidak juga ada peruntukan yang menghalang kerajaan.

"Sesuai dengan keprihatinan kemanusiaan, (kerajaan BN sepatutnya) membayar ganti rugi kepada tuan rumah yang berkenaan. Sepatutnya sebuah kerajaan yang 'mendahulukan rakyat' wajar membayar.

"Sebaliknya (bukan sahaja tidak bayar pampasan bahkan) ketika tanah rakyat dirampas, kerajaan BN Terengganu telah meluluskan tanah kepada 4 wakil rakyat seperti telah kami dedahkan," jelasnya.

Karpal buat laporan polis terhadap Tajuddin

Roketkini, 17 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee berikutan kenyataan hasutan Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tajuddin Abdul Rahman terhadap dirinya.

Beliau menegaskan, tindakan tegas harus diambil terhadap Tajuddin kerana mengeluarkan satu kenyataan berunsur serangan peribadi yang sama sekali tidak benar.

“Saya membuat laporan ini supaya satu siasatan polis secara menyeluruh dapat dilaksanakan dan beliau boleh didakwa di mahkamah di atas kelakuan jahatnya itu.

“Saya menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, serta mengikut Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di luar Balai Polis Tun HS Lee, tengah hari tadi.

Seksyen 4 (1) menyatakan bahawa adalah satu kesalahan jenayah untuk mengeluarkan sebarang perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan dan lain-lain yang mempunyai kecenderungan menghasut. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Tajuddin sebelum ini dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut memberi amaran kepada pengundi di sana dengan mendakwa Karpal akan menjadi Presiden pertama Malaysia jika DAP dibenar menerajui tampuk pemerintahan negara melalui PAS.

Karpal berkata, beliau percaya bahawa kenyataan itu mempunyai kecenderungan menghasut dan berunsur fitnah.

“Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dibenar dan digalakkan sama sekali dalam negara,” tegasnya.

Turut hadir menemani Karpal membuat laporan polis itu ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Kit Siang turut mengecam kenyataan itu yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan orang yang melakukannya tidak boleh terlepas daripada hukuman.

“Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, jentera keadilan negara bukan sahaja perlu adil tetapi dilihat adil di mata umum dan sesiapa saja yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan seperti dilakukan Tajuddin mesti didakwa.

“Apa yang dilakukan Tajuddin itu adalah satu daripada beberapa siri kenyataan berunsur hasutan yang dibuat dalam tempoh enam minggu lalu,” ujarnya.

PAS desak umum harga siling ayam Jumaat ini

Anis Nazri, 17 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menetapkan siling bagi harga ayam pada Jumaat ini.

Harga siling itu juga kata Mahfuz perlu tidak lebih dari harga siling dahulu, iaitu RM6.80 bagi tidak membebankan pengguna ekoran kenaikan harga ayam kebelakangan ini.

"Kerajaan sendiri sedar saban tahun akan berlaku kenaikan harga ayam menjelang musim perayaan, yang sepatutnya diambil kira untuk kerajaan mengambil langkah awal bagi membendung isu ini.


"Justeru, saya  minta kementerian menetapkan harga siling bagi ayam itu selewat-lewatnya Jumaat ini," kata beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut kenaikan harga ayam tersebut, Naib Presiden PAS itu berpendapat tiada alasan yang menampakkan keperluan untuk harga ayam dinaikkan.

Lebih-lebih lagi, katanya apabila kerajaan sedar perkara itu (kenaikan harga) akan berlaku setiap kali musim perayaan dan sewajarnya sudah mempunyai mekanisme terbaik bagi mengelakkan kenaikan harga barangan.

Dalam pada itu, Mahfuz turut meminta pihak kementerian menyenaraikan 30 syarikat yang diberi permit import (AP) untuk membawa ayam yang sudah dibersihkan di negara ini.

"Takut-takut, 30 syarikat tersebut mungkin terdiri daripada pengusaha ayam, yang mungkin akan meraih keuntungan demi keuntungan hingga membebankan pengguna," tegas beliau.

Mahfuz turut mencadangkan kepada kerajaan agar menjadikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi pembekal, sekaligus membantu peruncit dan pengguna.

Kita usaha yang terbaik temui pengundi – Che Long

Muhammad Faizal, 17 Jul 2013



PULAU PERHENTIAN: “Kita berusaha yang terbaik bertemu seramai mungkin pengundi dan yang lain itu kita serahkan kepada Allah,” jelas calon PAS PRK Dun Kuala Besut, Endot@Azlan Yusof kepada Harakahdaily.

Azlan Yusof atau dikenali dengan panggilan mesra Che Long turut memberitahu walaupun di Pulau Perhentian mempunyai sekitar 700 lebih pengundi namun beliau yakin penduduk akan melakukan perubahan.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk bertemu dengan semua pengundi dan kita tengok hari ini sambutan dari kalangan penduduk amat baik.

"Saya yakin jika niat kita ikhlas, pengundi di sini akan memberi undi untuk memenangkan PAS, kita cuba," jelas beliau pada program di Pulau Perhentian semalam. (Gambar atas)

Che Long yang bertemu dengan penduduk pulau sewaktu program kempen mendapati sambutan penduduk di sini amat menggembirakannya.

Beliau sewaktu berumur 18 tahun sudah biasa berada di Pulau Perhentian dan mempunyai kawan rapat, malah penduduk di sini bukannya asing dengan beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut sama pada program tersebut turut mendapati sambutan yang baik diberikan kepada rombongan kempen PAS termasuk kepada calon.

Malah katanya lagi, sebanyak 205 buah rumah telah dikunjungi dan mereka memberi layanan yang sempurna.

"Berpuas hati dengan sambutan yang penduduk berikan, mereka melayan kita dengan baik.

"Saya yakin penduduk di sini akan memberi sokongan kepada calon kita, walaupun bukan secara keseluruhan tetapi ada antara mereka yang merupakan kawan rapat kepada Che Long," jelas beliau.

Selain mengunjungi pengundi dari rumah ke rumah, PAS juga turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk Pulau Perhentian.

Turut hadir pada program tersebut adalah bekas penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin. (Gambar bawah)

Umno Baruputra: Rakyat juga yang ketinggalan

Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 17 Jul 2013
Isu ini terus dimainkan oleh UMNO. Kalau UMNO tewas maka masa depan orang Melayu akan musnah. Oleh yang demikian, orang Melayu mesti terus menyokong UMNO. Tapi untuk tujuan apa? Supaya mereka yang kita beri kuasa boleh terus mengayakan golongan UMNO Baruputra? Keadaan rakyat Melayu ketinggalan di belakang. UMNO menjerit sana sini mengenai Melayu itu dan ini. Tapi yang merasai nikmat dari kuasa politik yang rakyat beri ialah putera bangsawan, putera pemimpin UMNO, putera dan puteri kroni UMNO dan putera pegawai tinggi kerajaan.

Perkara ini saya dengar juga selama saya berada dalam persidangan Dewan Rakyat. Teriakan Melayu itu dan Melayu ini lantang kita dengar. Kadang-kadang dalam nada yang bellicose dan mengajak kita bergaduh.

Yang berteriak Melayu ini dan Melayu itu lupa bahawa lebih ramai orang Melayu menolak mereka. Dari jumlah 11.23 juta yang keluar mengundi, jumlah Melayu ialah 65% atau 7.3 juta.

UMNO dan BN mendapat 3.4 juta undi Melayu. Ini bererti 3.9 juta orang Melayu menolak BN berbanding dengan 3.4 juta. UMNO sendiri secara keseluruhan mendapat 3.2 juta undi yakni sama dengan jumlah ahli UMNO.

Maka yang menjerit Melayu itu dan ini, menjerit atas autoriti apa? Majoriti Melayu tidak bersama kamu.

Kita nak tanya, apa parti Melayu yang terbesar lakukan selama mereka perintah. Sejak 1955 hingga hari ini, yang perintah kerajaan persekutuan ialah perikatan dan BN yang dikepalai oleh UMNO.

Pendapatan purata orang kampung yang majoritinya Melayu sekitar RM3,000 sebulan. Ini angka purata. Dalam kawasan saya Raub, saya tidak tahu bagaimana sebahagian besar rakyat Melayu mencari pendapatan. Mereka hanya bekerja kampung atau makan gaji sebagai buruh menoreh getah. Dengan harga getah yang amat rendah keluaga Melayu yang hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM200 sebulan pun ramai?

Maka pendapatan purata RM3,000 sebulan tidak bererti apa-apa kepada orang Melayu. Sebahagian besar berada di luar lingkungan pendapatan purata ini. Tapi, kebetulan itulah dianya tahap kelayakan menerima BR1M. maka BR1M sebetulnya pengesahan bahawa orang Melayu miskin selama berada dalam pemerintahan UMNO.

Pendapatan purata orang Melayu 70% dan 85% dari pendapatan purata Cina dan India. Ini bemakna, yang paling miskin ialah Melayu. Setelah berbilion dibelanjakan dan setelah puluhan dasar dijalankan. Setelah puluhan tahun memerintah, 7.2 juta Melayu berpendapatn kurang dan RM1,700. 8.7 juta dengan pendapatan RM1,500. Pekali gini atau gini coefficient Melayu sekitar 0.421 di kalangan Melayu menunjukkan perbezaaan pendapatan antara kaya dan miskin Melayu masih meluas walaupun sudah diperbaiki semenjak 2009. Pekali untuk Malaysia ialah 0.431. sehingga 2012, incidence of poverty di kalangan Melayu yakni peratusan Melayu yang jatuh di bawah garis kemiskinan ialah 2.2%.

Saya mengajak pembaca Melayu merenung perkara ini. Yang menerpa kepada kita memohon bantuan kebajikan ialah Melayu. Yang menerjah kita apabila ada malapetaka dan bencana alam ialah Melayu. Yang memohon bantuan kewangan untuk ke hospital untuk  mendapaat rawatan khusus dan memerlukan wang nak hantar sekolah ialah Melayu. Jika mak dan bapa bermula sebagai penerima bantuan JKM, anak pun sama mewarisi status ini. Bahkan untuk bayar rumah dan bil api pun yang datang memohon pertolongan ialah orang Melayu.

Yang meraung tidak dapat hak milik tanah yang diusahakan 30-40 tahun ialah Melayu. Jadi, Melayu yang macam mana BN tolong?

UMNO tolong UMNO Baruputra. Ketua eksekutif yang bergaji 400 ribu ke atas dan 1.2 juta sebulan? Malah ada yang jadi menteri, tahun lepas mendapat gaji dan emolumen RM6-7 juta. Melayu jenis ini tidak kisah tak dapat hak milik, tak tahu pun apa JKM, tak tahu perasaan ditimpa bencana alam, tak peka hidup dalam gerobok usang, tidak tertekan mahu menyekolahkan anak dan sebagainya.

Jadi jeritan Melayu itu dan ini yang berkumandang dalam Dewan Rakyat selama saya bersidang hanya hipokrasi hendak menunjuk-nunjuk si penjerit menjuarai kepentingan Melayu. Bagaimana teriakan yang kuat menyelesaikan masalah kemiskinan dan keterbelakangan Melayu?

Jeritan bukan ganti kepada integriti, tataselia yang baik, kerajaan yang bersih dan cekap, pematuhan kepada pemerintahan ikut undang2 dan akauntabiliti. Jeritan dan pekikan bukan ganti kepada dasar yang jujur dan ikhlas. - http://sakmongkol.blogspot.com

Tempat tinggal mangsa keganasan rumah tangga

Selangorku, 17 Jul 2013
KLANG: Kerajaan negeri sedang berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada mangsa keganasan rumah tangga selepas dirujuk kepada Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC).

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata pihaknya mahu LPHS menyediakan sebahagian rumah kosong dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijadikan rumah perlindungan kepada mangsa.

Katanya, hal itu kerana terdapat kes yang dirujuk ke mahkamah mengambil masa yang lama, jadi mangsa hilang tempat untuk berlindung.

“Saya sedang berbincang dengan LPHS berhubung hal ini kerana pihak yang terlibat kadangkala lambat menangani aduan mangsa, jadi selepas keluar dari OSCC mereka hilang tempat perlindungan.

“Mangsa terpaksa tinggal di wad hospital sebagai pesakit, ada juga dengan membawa anak-anaknya mangsa sekali.

“Jadi perkara ini perlu diberi perhatian serius di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat pusat itu bagi daerah Klang, di Pejabat Daerah/Tanah Klang, di sini.

Beliau menambah mangsa boleh tinggal di rumah perlindungan itu nanti selama tiga hingga enam bulan yang mana pihak kerajaan negeri akan membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

“Mereka boleh dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO) dari segi keperluan mereka tetapi dalam masa yang sama kita akan gabungkan dengan program wanita yang disediakan kerajaan negeri supaya mangsa dapat mencari pendapatan sendiri.

“Kita memerlukan tempat perlindungan ini jika boleh di setiap daerah. Jadi saya juga berharap semua pihak tampil ke depan untuk membantu menyediakan tempat perlindungan ini, jangan risau di peringkat kerajaan negeri sedia membantu,” katanya.

Tiada ulasan: