Isnin, 29 Julai 2013

SEMUA DALAM KETENTUAN ALLAH SWT...KITA LIHAT SAPE YANG AKAN KECUNDANG

Pemimpin bersin pun ahli Umno tepuk tangan - Mahathir

Disusun semula dari Thechulan.blogspot.com, 29 Jul 2013


(Pertemuan Tun Dr Mahathir dengan ahli KelabCheDet - Thechulan.blogspot.com)

PUTRAJAYA: “Kalau pemimpin bersin pun ahli Umno tepuk tangan," kata Tun Dr Mahathir Mohamad  dalam satu sesi dialog bersama NGO KelabCheDet Sabtu lalu di pejabatnya.

“Mereka akan sokong tanpa bersoal jawap lagi apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin Umno walaupun yang dilakukan itu merosak kan parti,” tambahnya.

Bagi beliau, ahli Umno sudah tidak berkualiti lagi,apa tidaknya jika ramai orang yang berpendidikan tinggi dan berpelajaran dihalang masuk ke dalam Umno.

“Jika ketua bahagian itu guru besar misalnya dia akan cuba halang orang yang kedudukan taraf dan pangkat yang lebih tinggi dari masuk menjadi ahli kedalam bahagiannya, jika orang itu guru biasa baru lah diluluskan, begitu seterusnya cik gu pula enggan orang yang lebih berpendidikan dari nya untuk masuk, lama-lama yang ada orang yang tiada kualiti dan pendidikan, nak cari calon jadi menteri pun tak ada kerana yang sedia ada semuanya tidak berkelayakan.

“Orang-orang  yang dihalang masuk ini akan kemudiannya masuk ke dalam parti lawan dan bersaing dengan pemimpin Umno ini, itu sebabnya retired general, pensyarah semua masuk ke dalam parti lawan,” ujarnya.

“Dulu waktu saya jadi Presiden,  MT Umno berdebat sampai pukul 4 pagi, isu Musa Hitam didebatkan malah mereka berhujah sehingga saya akur dan keputusan yang berpihak kepada Musa Hitam dengan kehendak majlis mahu menghantar wakil memujuk Musa," katanya.

Bagi beliau, kerosakan Umno bermula dari waktu Pak Lah menjadi pemimpin Umno, dan kemudian Datuk Seri Najib gagal memperbetulkannya menjadikan keadaan bertambah buruk.

“Akibat perpecahan perpecahan Melayu orang Cina menjadi penentu kuasa malah kemungkinan kita akan dapat Perdana Menteri Melayu yang ikut telunjuk Cina, ini sudah pun berlaku sekarang.

“Lihat sahaja isu EC (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang di serah kepada Parlimen, ini semua tanda tunduk kepada desakan kerana kedudukan kita tidak  begitu kuat begitu jugalah dengan ISA dan isu keselamatan, ini semua sebab pemimpin nak jaga hati lawan," katanya.

“DS Najib nak jadi 'BRAND' dan juga slogan '1Malaysia' kerana dia fikir nama Umno sudah tidak bagus lagi,” dakwa Mahathir.

Bagi  beliau, 1Malayisa tidak dijelaskan dengan betul, ia bermaksud lain pada pihak lain.

Pada orang Cina ia bermaksud semua sudah sama Melayu dan Cina, pada orang Melayu ia bermaksud tiada lagi sekolah Cina dan sebagainya.

“Keadaan bertambah buruk dengan memiliki penasihat yang tidak faham politik dan sensitiviti, tapi malangnya merekalah yang didengar oleh pemimpin,” getus Mahathir.

“Pemuda Umno sekarang  tidak semacam dulu,” ujar Tun Mahathir.

Ini amat ketara kerana Pemuda Umno ada agenda dan kepentingan sendiri dan bukan pemankin kepada penentu kuasa orang Melayu.

“Nak kira 700 undi pun makan masa 8 jam,” katanya lagi.

“Kita kini dalam keadaan yang cukup bahaya,” jelas Tun Mahathir. “Saya di datangi oleh pelbagai pihak dan pertubuhan Melayu yang mengadu mereka tidak selesa dengan pentadbiran DS Najib , malah ada diantaranya  mencadangkan DS Najib di langgar (dalam pemilihan parti),” tambahnya.

Tun Mahathir juga berkata banyak pihak yang berjumpa dengannya merasakan Melayu tersisih kerana DS Najib terlalu mahu menarik perhatian pihak yang tidak menyokongnya terutamanya orang Cina.

Malah mereka ini sangat di layan dengan istimewa berbanding dengan orang Melayu yang menyokongnya.

Walaupun DS Najib naik atas tiket Melayu tapi amat malang dia masih menumpu kepada bukan Melayu untuk dilayan, tambahnya.

Tentu sekali pemimpin Umno bukan jenis yang berkata benar kepada DS Najib akan keadaan dibawah kerana mereka seperti di kata bukan lagi ahli yang berkualiti selain hanya mahu mengampu dan memberi kabaran baik sahaja.

Tun Mahathir juga turut menyatakan bahawa apa yang kita ada harus berkongsi bersama mereka, tapi apa yang puak itu ada tidak pernah dikongsi bersama orang Melayu.

Kini GLC dan beberapa perkara lain harus ada peruntukan untuk orang bukan Melayu, sedang itu sahaja yang Melayu ada.

“Adakah sebarang kontrak orang Cina akan serah kepada Melayu?" tanya Tun Mahathir. 

“Orang Melayu yang dapat tender dan kontrak akhirnya akan sub kepada bukan Melayu juga tapi malangnya apa yang dapat kepada orang Cina tidak pernah dapat kepada orang Melayu," katanya.

Tun juga memberi contoh antara institusi milik bukan orang Melayu dan apa yang dibuka oleh orang Melayu untuk bukan Melayu sebagai contoh.

“Orang Melayu undi Najib bukan kerana suka kepadanya, tapi kerana takut kepada Anwar dan Lim Kit Siang dan apa yang akan dibawa oleh keduanya, lalu ketakutan mereka diterjemah kepada undi kepada Umno dan DS Najib,” kata Tun lagi.

“BR1M akan menjadi masalah jika satu ketika nanti rakyat sudah terbiasa dengan pemberian sebegini, dan keadaan akan jadi buruk apabila tidak lagi dapat memberinya,” kata Tun lagi.

“Saya Ultra Malay tapi orang Cina tahu dan kenal cara saya dan mereka undi saya, ada caranya untuk memikat hati mereka. Pendekatan DS Najib tidak betul dengan sentiasa menghulurkan wang, mereka akan ambil tetapi belum tentu mengundi,” kata Tun.

“Himpunan besar besaran tidak menentukan sokongan orang Cina,"  ujarnya.

Akhir sekali Tun berkata “Saya akan terus bersuara untuk bumiputera dan Melayu, jika mereka kata saya rasis, Ya saya akan kata saya rasis”.

Dalam sesi dialog ini nama-nama tertentu dengan kedudukan tertentu juga disebut oleh Tun, tetapi kerana bertaraf “sulit” dan terlalu sensitif, maka tidak perlu di perjelaskan di sini.

KelabCheDet juga telah diberitahu oleh  Tun tentang hal-hal keselamatan negara dan kedudukan politik individu Umno serta pendapatnya berkenaan tokoh-tokoh tertentu.

Pertemuan di akhiri dengan pesanan dan arahan tertentu yang mana pastinya NGO seperti KCD akan berusaha keras untuk merealisasikannya demi kepentingan Alif Ba Ta.

Mahathir sanggah Najib, tapi apa kesudahannya

Shahbudin Husin, 29 Jul 2013
Apabila Mahathir terus menunjukkan sikap perkaumannya, dengan terbaru menyatakan mengenai dilema orang Cina sama ada mahu berkongsi kuasa atau merebut kuasa, bekas Perdana Menteri itu secara jelasnya menunjukkan beliau semakin berbeza dengan Najib. Najib yang memperkenallan 1Malaysia untuk mendapatkan undi kaum Cina, setelah ditolak oleh mereka pun tetap dengan sikap toleransi dan merintih terhadap sokongan kaum itu.

Berbeza dengan Mahathir, bermula dengan buku Dilema Melayu yang memperlihatkan sikap ultra Melayunya, kemudian 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan dan kini menjadi pesara paling berkuasa, sikapnya terhadap Melayu tidak banyak berubah. Walaupun memperjuangkan Melayu tetapi semasa menjadi Perdana Menteri, beliau sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai kaum termasuk Cina.

Tulisan terbaru Mahathir mengenai dilema kaum Cina negara ini yang telah menguasai ekonomi dan perniagaan dan kini berada dalam dilema sama ada mahu berkongsi kuasa atau merebut kuasa daripada Melayu, boleh dibaca dengan tafsiran yang pelbagai tetapi yang jelasnya ia menunjukkan perbezaannya yang makin ketara dengan Najib.

Mahathir juga tidak menyetujui dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib sebelum ini dan beberapa kritikannya terhadap sikap pengundi kaum Cina sebelum kni menguatkan perbezaannya dengan Najib.

Meskipun dalam pilihanraya lalu Mahathir berkempen kuat untuk kemenangan BN tetapi selepas itu, beliau mula menunjukkan sikap kritikalnya. Beberapa pendekatan dan pembaharuan yang cuba diperkenalkan Najib mengundang kritikan terbuka daripadanya.

Antaranya, Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan Najib mahu memansuhkan Akta Hasutan kerana berpendapat akta itu masih perlu untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini. Beliau juga tidak setuju dengan penghapusan Ordinan Darurat dan mengaitkannya dengan kadar peningkatan jenayah dan jenayah berulang.

Mahathir juga mengkritik perjanjian TPPA yang dianggapnya sebagai penjajahan bentuk baru kuasa besar kepada negara serta lebih merugikan berbanding untung yang bakal diharapkan sedangkan Najib lebih melihat keuntungannya semata-mata.

Ayah kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz itu juga tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal berbilang kaum dan berpendapat parti berasaskan kaum masih relevan lagi bagi negara ini. Najib bagaimanapun meneruskan penubuhan makmal untuk mengkaji perkara itu dan seperti tidak memperdulikan pendirian Mahathir.

Mahathir juga tidak bersetuju dengan pemberian tunai BR1M bernilai RM500 yang diperkenalkan Najib kerana katanya, ia merupakan pendekatan yang tidak baik untuk pertumbuhan negara, selain menyebabkan rakyat tidak berterima kasih dengan pemberian itu kerana menganggapnya sebagai wang kerajaan yang diperolehi melalui cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat. Bagi Mahathir juga, pemberian BR1M adalah bentuk kempen Najib yang gagal.

Sekali lagi kritikan Mahathir itu sedikit-sebanyak mengundang dilema kepada Najib menjelang pembentangan Belanjawan 2014 Oktober depan, sama ada mahu menerus atau menghentikan pemberian tunai itu sedangkan dalam kempen pilihanraya lalu, BN juga berjanji untuk menaikkan BR1M kepada RM1,200 setahun jika terus diberi mandat oleh rakyat.

Hakikatnya Mahathir tidak saja menunjukkan perbezaan dan penyanggahannya terhadap beberapa pendekatan Najib, bahkan penentangan dan sikap kritikalnya terhadap Najib juga diluahkan kepada orang-orang berkunjung menemuinya.

Antara kritikan Mahathir yang dipercakapkan oleh ramai orang ialah mengenai kepimpinan yang lemah, mengabaikan Melayu serta cenderung meniru gaya kepimpinan Pak Lah yang menyerahkan banyak perkara mengenai pentadbiran kerajaan untuk dinilai dan diputuskan oleh penasihat-penasihat yang dipercayainya.

Ada kumpulan tertentu bertemu dengan Mahathir dikatakan telah bertanya kepadanya sama ada elemen "Tingkat 4" ketika pentadbiran Pak Lah sedang berulang dalam pentadbiran Najib sekarang, Mahathir dengan tegas dan yakin berkata, "yes".

Kumpulan penasihat Najib ini turut dikritik oleh Daim Zainuddin, sekutu rapat Mahathir dan menegaskan mereka perlu berundur kerana sering memberi nasihat yang salah kepada Perdana Menteri. Selepas pilihanraya, antara penasihat Najib yang terus menjadi sasaran ialah Omar Ong yang dikatakan banyak memberi cadangan mengenai keperluan Najib untuk terus bersikap liberal dan terbuka, terutamanya kepada kaum Cina.

Malah dalam perjumpaan Perkasa dengan Mahathir minggu lalu, dikhabarkan juga beliau banyak menyentuh mengenai kelemahan kepimpinan dan pentadbiran Najib serta mahukan NGO yang sudah berubah menjadi Perkasa 1Malaysia itu memainkan peranan lebih aktif menyerang dan mengkritik Najib.

Namun demikian, persoalan yang timbul mengenai sikap Mahathir itu, terutamanya di kalangan rakyat dan ahli-ahli UMNO ialah apakah penyudahnya? Apakah kritikan dan sanggahan itu hanya sekadar kritikan dan sanggahan semata-mata? Apakah ianya bakal membuatkan Najib tersingkir dari kerusi Perdana Menteri sebagaimana yang dilakukan terhadap Pak Lah dulu?

Apakah kepimpinan tertinggi UMNO yang bakal mengadakan pemilihannya pada 5 Oktober depan bakal berubah dengan adanya kritikan dan sanggahan Mahathir itu?

Rata-rata ramai yang keliru dengan sanggahan Mahathir terhadap Najib dan apakah tujuan sebenar beliau melakukannya. Kekeliruan itu tambah mengukuh apabila Mahathir juga sebelum ini menyokong agar tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Mahathir dikatakan keberatan untuk mengasak Muhyiddin agar mencabar Najib kerana menyedari Timbalan Perdana Menteri itu tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi berbanding Najib yang mempunyai rangkaian penyokong tegar di berbagai peringkat dalam UMNO berbanding Muhyiddin yang hanya mempunyai penyokong bermusim dan silih berganti. Selain ketiga-tiga Naib Presiden UMNO sekarang adalah orang Najib, di dalam barisan Majlis Tertinggi pula mereka yang dikenali sebagai orang Muhyiddin juga hanyalah boleh dibilang dengan jari.

Dalam hal ini, walaupun Muhyiddin belum memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya dan terus menyebabkan timbulnya spekulasi beliau bakal mencabar Najib, laluan Muhyiddin sebenarnya tidaklah mudah jika beliau memutuskan untuk menentang Najib, kecuali jika dibantu oleh keajaiban Tuhan.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang berpotensi mencabar Najib ialah Tengku Razaleigh tetapi Mahathir memang tidak sekata dengannya sejak Ahli Parlimen Gua Musang itu mencabar beliau pada 1987 dan agak mustahil Mahathir mahu menyokong beliau.

Dengan hanya dua bulan lebih saja lagi sebelum tarikh pemilihan UMNO, sikap dan pendirian Mahathir dan kaitannya dengan kedudukan Najib terus menjadi bualan di mana-mana. Dalam masa yang sama, Najib pula dilihat terus tidak memperdulikan kritikan Mahathir dan meneruskan apa juga yang sedang dirancangnya seolah-olah suara Mahathir hanyalah umpama gangguan nyamuk di tepi telinga.

Selain meneruskan pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat serta meneruskan kajian untuk menjadikan BN parti tunggal pelbagai kaum, Najib juga terus meminta dan mendengar cadangan daripada para penasihatnya yang dikritik itu.

Najib juga, walaupun dengan sistem pemilihan yang baru diperkenalkan di samping adanya kritikan daripada Mahathir, nampaknya tidak tergugat dan mempunyai keyakinan untuk terus mempertahankan kerusi Presiden UMNOnya itu.

Ke manakah seterusnya kritikan dan sanggahan Mahathir itu? Mungkinkah ianya hanya untuk menyedarkan Najib dan bukan untuk menjatuhkannya? Atau mungkinkah Najib akan diundurkan dengan cara yang lain selepas pemilihan UMNO nanti, tetapi sebelum PRU14 menjelang tiba? - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Jeneral As-sisi bangga setaraf Gemal Naseer

Abd Shukur Harun, 29 Jul 2013
Walaupun tentera Mesir telah membunuh lebih 200 orang dan mencederakan beribu-ribu lagi, namun Jeneral Abd Fatah As-sisi yang memimpin rampasan kuasa daripada Presiden Mohd Mursi itu sangat bangga apabila ia disamakan dengan ketokohan bekas Presiden Gemal Abd Naseer, diktator yang juga sangat memusuhi Ikhwanul Muslimin.

Gemal Abd Naseer yang pro-Soviet terkenal sangat kejam iaitu telah menggantung hingga mati Almarhum Syed Qutb dan ramai pemimpin Ikhwan yang lain pada tahun 60-an, mendera ribuan pendukung Ikhwanul-Muslimin, termasuk Zainab Al-Ghazali yang diseksa dengan kejamnya di penjara Mesir.

As-sisi sangat berbangga disamakan dengan Gemal Naseer, walaupun rampasan kuasanya itu telah mengorbankan demikian ramai. Serangan tentera terhadap penyokong Ikhwan Muslimin itu  bukan saja berlaku di tengah panas terik siang hari, tetapi juga ketika umat Islam beriftar, tarawikh dan sahur serta ketika solat Subuh.

Media pro tentera di negara itu dan gambar yang dipamerkan dalam himpunan sekumpulan kecil rakyat Mesir yang pro-tentera di Medan Tahrir baru-baru ini telah menjulang gambar As-Sisi dan Gemal Abd Naseer.

Demikianlah kekejaman tentera Mesir yang dilihat separa dengan kekejaman tentera Syria yang membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Dan ini seperti membenarkan kata-kata bekas Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Boutros- Boutros Ghali bahawa rejim pemerintah umat Islam jauh lebih banyak membunuh umat Islam berbanding dengan jumlah pembunuhan yang dilakukan oleh kerajaan bukan Islam terhadap umat Islam.

Sementara itu, rampasan kuasa tentera di Mesir itu menimpakan kesan paling buruk terhadap penduduk Gaza apabila terowong Gaza yang menghubungi Gaza dengan Mesir telah ditutup oleh tentera Mesri baru-baru ini selepas rampasan kuasa.

Penduduk Gaza kini semakin menderita kerana selama ini umat Islam di sana banyak bergantung kepada bantuan dunia luar melalui trowong Gaza dan sangat bergantung harapan kepada Dr Mohd Mursi.

Apabila trowong Gaza ditutup oleh tentera Mesir dan disambut baik oleh Israel, maka segala bantuan makanan, perubatan, pakaian dan segala keperluan untuk penduduk Gaza telah terputus. Dalam masa yang sama juga ekonomi kerajaan Hamas pimpinan Ismael Hayniyeh di sana di sana hampir lumpuh. Demikian juga kerajaan Hamas telah terpencil dan terputus dengan dunia luar. Ini dilihat sangat memudahkan Israel untuk menggempur Hamas dan melumpuhkan kerajaannya bila-bila masa.

Berita-berita dari Gaza mengatakan bahawa bekalan perubatan dan makanan yang selama ini diterima oleh penduduk Gaza melalui  terowong telah hampir kehabisan.

Menurut penganalisis Gaza, Mohsen Abu Ramadan, sejak penutupan trowong Gaza, kehidupan penduduk Gaza kini sangat sukar dan bertambah buruk setiap hari. Bantuan makanan dan keperluan lain dari luar sekitar 80 peratus  dan Hamas tidak berupaya mengatasi masalah ini.

Hamas bertanggungjawab kepada kehidupan 1.7 juta rakyat Palestin di Gaza iaitu menyediakan sumber makanan, minyak dan keperluan lain. Israel tidak membenarkan import makanan dan keperluan lain ke Gaza. Dan umat Islam Gaza merasakan kesan paling buruk akibat rampasan kuasa pimpinan Jeneral Abd Fatah As-sisi itu. Rampasan kuasa tersebut juga mengakibatkan ekonom Mesir lumpuh, terutama sektor pelancongan di mana tidak ada lagi pelancong yang melawat Mesir sekarang, sedangkan sektor pelancongan menjadi sumber utama ekonomi Mesir.

Berapa lamakah keadaan gawat ini akan terus berlaku, tidak ada siapa yang boleh menjangkakan dan kini Mesir bergantung sepenuhnya kepada bantuan Amerika serta beberapa negara kaya Arab yang menyokong rampasan kuasa itu.

Sementara itu dalam perkembangan selanjutnya, Syeikh Hasan asy-Syafi’i, penasihat Syeikh Al-Azhar dan anggota Dewan Ulama Mesir, menyatakan bahawa serangan terhadap para peserta himpunan di lapangan Rabiah al-Adawiyah, di Kaherah pada Subuh Sabtu lalu adalah kezaliman dan kebiadaban yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah Mesir, demikian menurut laporan TV Al-Jazeera.

Syeikh asy-Syafi’I menyatakan bahawa penjajah sekalipun tidak pernah melakukan kebiadaban seperti yang dilakukan junta Mesir pada Subuh berdarah itu. Beliau menyeru kepada ‘orang-orang mulia’ di Mesir dan seluruh dunia supaya bertindak menghentikan siri pembunuhan beramai-ramai di Mesir.

Menurut Syeikh asy-Syafi’I, junta tentera Mesir tidak membunuh sekejam itu ketika berperang melawan zionis yang merampas tanah suci Palestin, tetapi mereka membunuh beramai-ramai umat Islam yang tidak bersenjata.

“Mana organisasi Hak Asasi Manusia (HAM)? Di mana Muhamad El-Baradi, boneka Amerika yang memusuhi Dr Muhd Murshi,” tanyanya.

Kini El-Baradi dilantik sebagai Naib Presiden dalam kerajaan haram Mesir.

Sementara itu, hari-hari mendatang – Malam Lailatul-Qadar dan seterusnya Edul-Fitri – dijangka akan terus disambut dengan darah dan air mata oleh pendukung Ikhwan Muslimin dan para simpatisannya, justeru tentera tidak menunjukkan sebarang isyarat untuk menghentikan kekejamannya, membunuh dan mencederakan begitu ramai rakyat Mesir sendiri.

Walaupun kononnya ada tekanan daripada Amerika dan negara Kesatuan Eropah supaya tentera menghentikan serangan terhadap rakyatnya, namun tentera kelihatan tidak bersedia untuk ‘berdamai’ dengan anggota Ikhwan Muslimin.

Oleh itu, kemungkinan serangan demi serangan akan terus berlaku dan banyak lagi rakyat Mesir akan terkorban, sementelah lagi, menurut pemerhati Mesir, Jeneral As-sisi sangat membenci Ikhwan, egonya besar dan sangat bengis.

Jenayah: Polis didesak siasat dakwaan Sanjeevan

Hazayani Zakaria, 29 Jul 2013
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak menyiasat dakwaan penglibatan PDRM dalam sindiket jenayah dan kegiatan haram seperti yang didedahkan pengerusi NGO MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik janji Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kes Sanjeevan ditembak namun siasatan ke atas dakwaan Sanjeevan tidak harus diketepikan.

"Kami mengalu-alukan kanyaaan pantas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berjanji akan menjalankan siasatan  terperinci dengan kadar segera tapi kami juga menuntut supaya pendedahan Sanjeevan bahawa PDRM terlibat dengan sindiket jenayah dan kegiatan haram turut disiasat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana hari ini.

Sanjeevan ditembak di bahagian rusuk dipercayai dilakukan oleh dua lelaki India ketika sedang memandu kereta.

Kejadian berlaku dekat Bahau, Negeri Sembilan pada jam 4.30 pagi kelmarin.

Akibat kejadian itu, Sanjeevan dimasukkan ke Hospital Jempol dan akan dipindahkan ke Hospital Serdang.

Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata percubaan membunuh Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dengan sindiket jenayah.

"Kita tidak menolak kemungkinan penembakan Sanjeevan seperti yang dikatakan mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa ada katan dengan hasrat beliau untuk mendedahkan penglibatan PDRM dengan sindiket jenayah dan kegiatan haram," kata Anwar yang juga Ahli parlimen Permatang Pauh.

Justeru Anwar turut menggesa Khalid megarahkan anggotanya mengadakan kawalan yang ketat di hospital kerana mendapati kawalan di tempat Saneevan dirawat sangat longgar.

"Kawalan di hospital sangat longgar.Kalau kes yang begitu penting melibatkan pegawai-pegawai polis saya bimbang keselamatan Sanjeevan.

"Saya ingin menggesa ketua polis negara mengarahkan kawalan diperketatkan dan kawalan polis diadakan bagi menjamin keselamatan Sanjeevan," katanya.
MyWatch: Keadaan Sanjeevan makin serius
 
Penasihat MyWatch S Gobi Krishnan berkata keadaan Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan, yang ditembak Sabtu lalu, kini dikatakan semakin teruk.

Gobi Krishnan berkata pemindahan Sanjeevan ke Hospital Serdang sedang diatur supaya peluru yang tersangkut di tulang rusuknya dapat dikeluarkan melalui pembedahan.

"Keadaan beliau semakin teruk dan kami sedang atur perpindahannya ke Hospital Serdang. Beliau demam dan ia semakin teruk," kata Gobi sewaktu dihubungi.

Beliau bercakap dari Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, tempat Sanjeevan diwadkan sejak dua hari lalu.

"Beliau ditahan di sini selama dua hari kerana mereka kata Hospital Serdang belum beri kebenaran untuk beliau dipindahkan," katanya.
MP dakwa Sanjeevan mahu dedah memo polis
 
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa aktivis anti-jenayah R Sri Sanjeevan yang cedera parah akibat ditembak pada Sabtu lalu merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah.
Rafizi mendakwa: “Sanjeevan berkata beliau memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah”.

Rafizi dalam satu sidang media hari ini mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu.

Rafizi berkata, pengerusi MyWatch itu memberitahunya bahawa kesalahan berkenaan sangat serius dan membawa hukuman berat sekiranya disabit kesalahan.

Bagaimanapun, Sanjeevan tidak mendedahkan nama pegawak polis terlibat, kata Rafizi.

Katanya, malang sekali Sanjeevan tidak menyatakan nama berkenaan kepadanya.
IGP: Jangan terus tuduh polis terlibat kes tembakan
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta agar pasukannya tidak dipersalahkan susulan kes cubaan membunuh ke atas pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan.
“Janganlah terus menuduh polis terlibat dalam kes tembakan presiden MyWatch.

“Seperti yang saya kata, kami akan siasatan perkara itu dari semua sudut,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman pagi ini.

Katanya, anggota pasukannya tidak akan terlepas dari tindakan sekiranya mereka benar-benar terlibat dalam kes tersebut.

“Kami tidak pernah melindungi sesiapa yang telah melakukan jenayah,” katanya lagi.

Hanya beberapa jam sebelum ditembak pada hari Sabtu lalu, Sanjeevan menulis di Twitter bahawa seorang anggota polis telah mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.

Sanjeevan ditembak oleh dua penunggang motosikal semasa dia sedang memandu, di satu persimpangan jalan di Bahau.

Tiada ulasan: